Artikel "Semasa" Terkini
PETRA Tinjau Kelancaran Projek Air dan Tenaga di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 Mei – Kerajaan Persekutuan perlu memantau secara dekat kemajuan projek berkaitan sumber tenaga dan bekalan air yang sedang dijalankan di negeri itu.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Zawawi Ismail berkata kehadiran Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Skuad ke beberapa lokasi di Terengganu sejak semalam adalah sebahagian daripada usaha agar segala perancangan dan pelaksanaan projek dapat diteruskan dengan lancar serta memberi manfaat secara langsung kepada kesejahteraan rakyat negeri Terengganu.
Katanya, ia susulan lawatan Timbalan Perdana Menteri II, Dato' Sri Fadillah Yusof bersama rombongan PETRA selama dua hari ke Terengganu bagi meninjau pelaksanaan projek serta inisiatif strategik sektor air dan tenaga di negeri ini.
“Lawatan ini penting dalam memastikan projek yang dirancang berjalan mengikut jadual dan memberikan impak positif kepada rakyat, khususnya dari segi kecekapan pengurusan air dan tenaga,” katanya dalam satu hantaran rasmi di facebook semalam.
Terdahulu ketibaan delegasi PETRA Skuad Zon Timur disambut oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, dalam satu Majlis Makan Malam rasmi yang turut dihadiri oleh Zawawi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong,
Lawatan kerja dua hari ini dijangka melibatkan pemantauan ke beberapa tapak projek pembangunan termasuk pembaikan sistem bekalan air luar bandar, penyelenggaraan loji rawatan air serta kajian awal bagi pelaksanaan tenaga boleh baharu di kawasan tertentu.
27 May 25
353
Permit Khas Candat Sotong Percuma, Jamin Keselamatan Rakyat
KUALA TERENGGANU, 26 Mei – Permit khas candat sotong yang diperkenal bertujuan menjamin keselamatan pelancong khususnya peserta mencandat sotong dan tiada sebarang bayaran permohonan akan dikenakan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pengeluaran Surat Kebenaran Khas bagi aktiviti mencandat sotong dikendalikan oleh Jabatan Laut Malaysia Wilayah Timur (JLMWT) bagi memastikan keselamatan pelancong dan pengendalian aktiviti pelancongan marin berjalan lancar.
"Permit khas ini adalah langkah penyelarasan untuk membantu pengusaha bot mematuhi garis panduan keselamatan yang sedia demi manfaat bersama.
“Kerajaan Negeri hanya menjadi perantara dan tidak mengenakan sebarang bayaran untuk permohonan ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan dalam laman sosialnya, semalam.
Menurutnya, permit khas ini hanya diwajibkan sepanjang musim mencandat, iaitu dari April hingga Oktober, dan hanya terpakai bagi bot pesisir yang beroperasi dalam jarak 15 hingga 20 kilometer dari pantai.
"Pengusaha yang telah memiliki lesen ‘sport fishing’ tidak perlu memohon permit khas ini kerana lesen tersebut telah merangkumi kebenaran mencandat sotong secara sah," ujarnya.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut mencadangkan penetapan zon khas mencandat sotong yang bebas daripada aktiviti pukat tunda, demi melindungi sumber marin dan memastikan kelestarian habitat mencandat.
"Pihak kami bercadang untuk membentangkan kepada Jabatan Laut Malaysia (JLM) melalui sesi libat urus berkenaan penetapan zon khas mencandat sotong dari bulan April hingga September setiap tahun," kata Razali.
Beliau menambah, Kerajaan Negeri kini dalam perbincangan lanjut dengan JLM untuk memperincikan mekanisme pelaksanaan permit khas ini.
Justeru itu, semua pengusaha bot diseru memberikan kerjasama penuh demi menjamin keselamatan pelancong dan memastikan industri pelancongan mencandat sotong terus berkembang secara mampan.
26 May 25
417
170 Kakitangan WDI Sertai Tanggathon, Zumba
KUALA TERENGGANU, 26 Mei – Seramai 170 kakitangan Wisma Darul Iman (WDI) hari ini menyertai aktiviti tanggathon dan zumba anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.
Daripada jumlah itu, 70 kakitangan lelaki mengambil bahagian dalam aktiviti Relay-Tanggathon Darul Iman dan 100 penjawat awam wanita pula menyertai aktiviti Zumba.
Program yang diadakan serentak di laluan tangga hadapan dan Dewan Jamuan, Tingkat 18, WDI adalah bersempena Karnival Cakna Sihat Penjawat Awam Di Negeri Terengganu 2025.
Bertemakan ‘Cakna Kesihatan, Tolak Ubat Tak Sah’, karnival tersebut berlangsung bermula hari ini sehingga 28 Mei ini dengan pelbagai aktiviti termasuk pemeriksaan kesihatan dan sebagainya.
26 May 25
114
UC TATI Jalin Kerjasama Dengan Lapan Rakan Strategik
KEMAMAN, 26 Mei - University College TATI (UC TATI) telah memeterai lapan perjanjian bersama rakan strategik bersempena Majlis Pelancaran Biasiswa Terengganu Sejahtera di Dewan Cancelor UC TATI, di sini, semalam.
Perjanjian tersebut melibatkan dua Memorandum Perjanjian (MoA) bersama CyberSecurity Malaysia (CSM) dan Sekolah Tinggi Teknologi Warga Surakarta (STTW).
Manakala enam Memorandum Persefahaman (MoU) pula melibatkan Bank Islam, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), DreamEdge Sdn Bhd, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), DH Borneo Training Services Sdn Bhd dan Hal FinTech Sdn Bhd.
Rektor UC TATI, Prof Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid berkata, kerjasama tersebut akan memberikan pelajar UC TATI akses luas kepada latihan industri, bimbingan profesional, penyelidikan dan pemindahan teknologi.
“Ia juga akan memperkukuh hubungan UC TATI dengan pihak industri dan memastikan kurikulum sentiasa relevan dengan keperluan pasaran kerja yang sentiasa berubah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Biasiswa Terengganu Sejahtera yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Canselor UC TATI di sini.
26 May 25
142
Kelestarian Air: Terengganu Perkukuh Infrastruktur dan Penguatkuasaan
DUNGUN, 25 Mei – Dalam menghadapi cabaran iklim dan tekanan terhadap sumber air, Kerajaan Negeri Terengganu komited melaksanakan dasar berimpak tinggi melalui pelaburan infrastruktur, pengurusan kawasan tadahan dan penguatkuasaan undang-undang bagi menjamin kelangsungan bekalan air bersih kepada rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, Terengganu tidak hanya bergantung kepada retorik, sebaliknya telah menggerakkan pelbagai langkah konkrit dan menyeluruh.
“Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk memperkukuh pengurusan sumber air, termasuk pelaburan dalam infrastruktur bekalan air, pengurusan kawasan tadahan, pemuliharaan sungai serta peningkatan kecekapan sistem bekalan dan saliran," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Karnival Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Terengganu 2025 di Taman Tasik Sura, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu, Ir. Ts. Gs. Osman Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadli Rahmi Zulkifli dan ADUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.
Beliau turut memaklumkan bahawa semua inisiatif tersebut digerakkan secara strategik melalui Pelan Tindakan Kelestarian Alam Sekitar Terengganu, yang menekankan pendekatan lestari dan saintifik.
"Pelan ini antara lainnya memberi penekanan kepada pengurusan air secara lestari, pemantauan kualiti air dan pemuliharaan kawasan sensitif alam sekitar," jelasnya.
Menurutnya, pendekatan ini memerlukan kolaborasi antara agensi teknikal, institusi pendidikan dan masyarakat awam bagi memastikan semua usaha berjalan secara menyeluruh dan berkesan.
Dalam aspek penguatkuasaan pula, katanya, kerajaan negeri tidak berkompromi terhadap pencemaran dan penyalahgunaan air, malah bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memperkemaskan tindakan di lapangan.
"Kerajaan Negeri bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memperkemaskan penguatkuasaan terhadap pencemaran sungai dan penggunaan air secara haram," ujarnya.
Beliau menyeru agar semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam menjadikan pengurusan air satu agenda bersama yang merentas politik, sektor dan sempadan.
25 May 25
201
70 Peratus Air Tawar Dunia Dalam Bahaya
DUNGUN, 25 Mei – Ketika dunia bergelut dengan krisis perubahan iklim, Negeri Terengganu tampil menyahut cabaran global untuk melindungi glasier, simpanan semula jadi yang menyimpan 70 peratus air tawar dunia, demi memastikan kelangsungan hidup generasi akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, pencairan glasier akibat pemanasan global memberi kesan langsung kepada kitaran air dunia dan bakal mengancam bekalan air bersih secara keseluruhan.
"Glasier merupakan bongkah ais semula jadi hasil pemampatan salji yang menyimpan kira-kira 70 peratus air tawar dunia.
"Kesan perubahan iklim menyebabkan kadar pencairan glasier semakin meningkat, dan ini memberi impak besar kepada kitaran hidrologi serta bekalan air global," katanya ketika merasmikan penutupan Karnival Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Terengganu 2025 di Taman Tasik Sura, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu, Ir. Ts. Gs. Osman Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadli Rahmi Zulkifli dan ADUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.
Beliau menyifatkan tema sambutan tahun ini, 'Glacier Preservation', sebagai amat signifikan dan perlu dilihat bukan sekadar simbolik, sebaliknya satu seruan mendesak untuk seluruh dunia bertindak.
"Tema ini amat relevan kepada usaha kita untuk mengekalkan kelestarian sumber air dan memperkukuhkan daya tahan ekosistem terhadap perubahan iklim," ujarnya dengan penuh harapan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan rakyat agar tidak leka dengan memberi contoh pengalaman getir yang hampir melumpuhkan sistem bekalan air bandar Cape Town, Afrika Selatan pada tahun 2018.
"Lihat sahaja kepada pengalaman Cape Town yang hampir berhadapan dengan 'Hari Sifar' apabila bandar tersebut hampir kehabisan air akibat kemarau dan pengurusan sumber air yang lemah.
"Namun, hasil tindakan pantas kerajaan serta penyertaan aktif rakyat, mereka berjaya mengelakkan krisis tersebut melalui sistem penggunaan semula air, pembaikan infrastruktur dan kempen penjimatan," katanya.
Beliau menegaskan bahawa pengajaran itu seharusnya menjadi pemangkin untuk Terengganu kekal proaktif dan tidak menunggu sehingga krisis berlaku.
25 May 25
150
Dr. Sam Lancar Biasiswa Anak Terengganu
KEMAMAN, 25 Mei - Kerajaan negeri melancarkan Biasiswa Terengganu Sejahtera buat anak Terengganu yang berpotensi tetapi menghadapi kekangan kewangan untuk melanjutkan pengajian di Universiti College (UC) TATI.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata inisiatif hampir RM1.6 juta itu adalah satu langkah yang amat terpuji kerana ia bukan sekadar bantuan kewangan tetapi adalah sebuah pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan negeri Terengganu.
"Dengan memberikan peluang kepada pelajar-pelajar cemerlang dari keluarga yang kurang mampu untuk menimba ilmu di UC TATI, kita sedang mempersiapkan generasi pemimpin masa depan yang akan memacu pembangunan ekonomi, sosial dan intelektual negeri kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Terbuka UC TATI 2025 di Dewan Canselor di sini hari ini.
Justeru itu, beliau berharap agar para penerima biasiswa tersebut akan menggunakan peluang yang diberikan sebaik-baiknya, belajar dengan tekun dan kembali berkhidmat untuk membangunkan Terengganu.
Dalam masa sama, turut dilancarkan maskot baharu UC TATI yang dikenali sebagai “LEO” satu simbol visual menggambarkan nilai, semangat dan
aspirasi UC TATI sebagai institusi TVET unggul.
25 May 25
3131
Beach Run 2.0: Primula Eco Green 2025 Raih Lebih 300 Penyertaan
KUALA TERENGGANU, 25 Mei – Beach Run 2.0: Primula Eco Green 2025, pada kali ini berjaya menarik lebih 300 penyertaan komuniti setempat, aktivis alam sekitar serta atlet antarabangsa.
Pengurus Besar Primula
Beach Hotel, Suaibah Harun berkata bertemakan “Run for a Greener Tomorrow”, acara tahun ini menampilkan dua kategori larian iaitu 10 kilometer (km) dan 21km, yang bermula jam 3 hingga 10 pagi itu bukan sahaja memupuk kesedaran terhadap alam sekitar tetapi juga menggalakkan gaya hidup sihat.
"Mereka berkumpul seawal 3 pagi di sepanjang pesisir pantai indah Kuala Terengganu demi satu matlamat memartabatkan gaya hidup lestari dan pelancongan mampan.
"Suasana acara penuh semangat dan
bermakna, mencerminkan sokongan kuat terhadap inisiatif yang menggabungkan kesihatan, semangat komuniti dan nilai kelestarian alam," katanya kepada pemberita.
Tambah Suaibah, acara pada kali ini turut diserikan kehadiran atlet wanita elit Malaysia, Juliana, yang memberi inspirasi kepada ramai pelari muda.
Selain itu katanya, penyertaan seorang peserta antarabangsa dari Bangladesh turut menambah nilai global kepada acara ini serta
mengukuhkan imej Kuala Terengganu sebagai destinasi eko-pelancongan yang inklusif dan mesra pengunjung.
“Beach Run 2.0 bukan sekadar acara larian; ia adalah satu gerakan yang menyatukan komuniti dan memperjuangkan kelestarian.
“Kami sangat teruja melihat sokongan luar biasa, termasuk penyertaan atlet elit dan pelari serantau yang berganding bahu demi Terengganu yang lebih hijau," ujarnya lagi.
Menurutnya, penganjur turut menerima sokongan padu daripada pelbagai penaja yang memperkukuh
nilai Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
25 May 25
178
381.4kg Sampah Dikumpul di Pantai Pandak
KUALA TERENGGANU, 25 Mei - Sebanyak 381.4 kilogram sisa sampah dan botol plastik berjaya dikutip dalam Program Santuni Alam 3.0 yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Kuala Terengganu di Pantai Pandak, Chendering, di sini hari ini.
Pengarah Program, Dr. Najdah Abd Aziz berkata, aktiviti yang berbentuk gotong-royong dan pendidikan alam sekitar ini melibatkan seramai 30 orang pelajar serta serta staf UiTM daripada gabungan tiga kelab iaitu Kelab ResQ, Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS), dan Kelab Minda Islam (KMI).
Menurutnya, pemilihan Pantai Pandak sebagai lokasi program adalah kerana ia merupakan kawasan tumpuan pengunjung dan pelancong, terutama pada hujung minggu.
"Namun, keindahan pantai ini kerap tercemar akibat sikap segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah sesuka hati.
“Kutipan lebih 380 kilogram sampah hari ini membuktikan bahawa kesedaran terhadap kebersihan alam sekitar masih berada pada tahap yang membimbangkan," katanya kepada pemberita selepas program berkenaan.
Turut serta dalam program ini ialah 15 ahli Geng Plastik Ija (GPI) Cawangan Kuala Terengganu, 10 staf dan pensyarah UiTM, serta 6 orang guru dan 64 murid dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Khairiah.
Program ini turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Terengganu, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan komuniti setempat.
Dr. Najdah berkata, perkara ini bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa, tetapi perlu dipikul bersama oleh semua lapisan masyarakat.
"Program ini memberi fokus kepada pendidikan sivik dan alam sekitar dalam kalangan pelajar dan komuniti, dengan harapan dapat menyemai sikap prihatin terhadap kebersihan dan kelestarian alam.
“Program seperti ini bukan sekadar bersih-bersih pantai, tetapi platform mendidik dan mengajak masyarakat menjadi ejen perubahan demi masa depan alam sekitar yang lebih lestari,” tambah Dr. Najdah.
25 May 25
146
Peruntukan RM90 Juta Kawal Hakisan Pantai Batu Rakit
Foto : Ghazali Kori
SETIU, 25 Mei - Kerajaan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memperuntukkan RM90 juta bagi projek Pengawalan Hakisan Pantai di kawasan Pantai Mengabang Telipot hingga ke Pantai Batu Rakit.
Ketua Setiausaha PETRA, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli berkata, projek telah mula dilaksanakan pada Julai 2023 dan status kemajuan fizikal projek terkini adalah 24.5 peratus dan dijangka siap pada Januari 2027.
Ujarnya, projek-projek yang dijalankan meliputi kerja-kerja 'beach nourishment' sepanjang dua kilometer (KM) dan pembinaan 16 'breakwater' bagi memulihara semula kawasan pantai itu.
"Saya difahamkan tadi (semalam) ada pemecah ombak yang berjaya siap hingga 92 peratus tetapi ada juga yang masih lagi di peringkat pelaksanaan yang kemajuannya mencapai 10 peratus, 20 peratus kerana sudah tentu setiap pelaksanaan itu mengambil masa sedikit.
"Alhamdulillah, diberi jaminan oleh kontraktor bahawa beliau akan cuba menyiapkan sebaik mungkin kalau boleh sebelum musim tengkujuh pada tahun ini bagi beberapa komponen dalam jangka masa pendek untuk lapan pemecah ombak yang telah dirancang," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Projek Pengawalan Hakisan Pantai di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangan Luar Bandar Terengganu, Dato' Hanafiah Mat dan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir.
Dalam pada itu, Mad Zaidi berkata, jumlah keseluruhan untuk pelbagai projek air di Terengganu membabitkan peruntukan RM287.8 juta di bawah Rolling Plan Ke-5 (RP5) tahun 2025 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Katanya, ia melibatkan 27 projek yang turut merangkumi 22 projek berkaitan sumber air, tebatan banjir, tiga projek bekalan air dan dua projek berkaitan pembentungan.
25 May 25
431