Artikel "Semasa" Terkini
Sokong Larangan Vape, Seru Pengharaman Menyeluruh Demi Wanita dan Remaja
KUALA TERENGGANU, 29 Mei – Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) menyatakan sokongan penuh terhadap langkah Kerajaan Negeri Terengganu dan Perlis yang tidak lagi akan mengeluarkan lesen perniagaan bagi vape bermula Ogos 2025, sambil menggesa agar langkah pengharaman tersebut diperluaskan ke seluruh negara.
Pengarahnya, Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, langkah tegas ini amat wajar bagi melindungi kesihatan rakyat, khususnya wanita dan remaja yang semakin terdedah kepada bahaya vape.
“Peningkatan penggunaan vape dalam kalangan wanita, termasuk remaja perempuan, amat membimbangkan dan boleh memberi kesan buruk bukan sahaja dari sudut kesihatan, tetapi juga sosial dan budaya,” jelasnya ketika dihubungi semalam.
Menurut Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia 2023, seramai 0.8 peratus wanita dewasa di negara ini menggunakan rokok elektronik.
Sementara itu, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 melaporkan peningkatan ketara dalam kalangan remaja perempuan 13 hingga 17 tahun yang menggunakan vape daripada 2.8 peratus pada tahun 2017 kepada 6.2 peratus pada 2022.
“Turut menekankan bahawa kandungan nikotin dalam vape berpotensi menyebabkan ketagihan, kerengsaan paru-paru dan risiko terhadap kesihatan reproduktif wanita,” ujar beliau.
Malah, pengaruh media sosial dan gaya hidup moden didapati turut menyumbang kepada normalisasi penggunaan vape dalam kalangan wanita, terutama generasi muda.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, guru, pemimpin masyarakat dan pihak berkuasa untuk berganding bahu menyekat penyebaran penggunaan vape melalui pendidikan dan kempen kesedaran yang berterusan.
“Kita mesti pastikan generasi akan datang bebas daripada ancaman vape dan membesar dalam persekitaran ang lebih sihat,” tambah Roslina.
29 May 25
85
Penjawat Awam Kena Cakna Produk Tidak Berdaftar
KUALA TERENGGANU, 29 Mei – Penjawat awam diingatkan supaya lebih cakna terhadap bahaya penggunaan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi yang boleh menjejaskan kesihatan.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dato' Dr. Kasemani Embong berkata, masih ramai pengguna termasuk dalam kalangan penjawat awam yang kurang peka mengenai risiko produk sedemikian sering dijual secara dalam talian.
“Kita dapati banyak produk yang tidak melalui pemeriksaan keselamatan mengandungi bahan terlarang seperti steroid, sildenafil, sibutramine dan hydroquinone yang boleh membahayakan kesihatan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Cakna Sihat Penjawat Awam di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Menurutnya, program julung kali itu dianjurkan oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu.
Mengangkat tema “Cakna Kesihatan, Tolak Ubat Tidak Sah”, karnival selama tiga hari itu bertujuan mendidik penjawat awam agar lebih prihatin terhadap amalan gaya hidup sihat dan mampu mengenal pasti produk kesihatan yang berdaftar melalui aplikasi rasmi seperti FarmaCheck NPRA dan MyHealth KKM.
Antara aktiviti menarik yang disediakan sepanjang karnival termasuk Zumba, Tanggathon, pemeriksaan kesihatan umum, pendengaran dan pergigian serta pameran kesihatan.
Beliau menambah, terdapat empat objektif utama program ini ialah meningkatkan kesedaran penjawat awam mengenai bahaya produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi.
”Mendorong amalan gaya hidup sihat untuk menjaga kesihatan fizikal dan mental serta mempromosikan penggunaan aplikasi FarmaCheck untuk mengenal pasti status pendaftaran produk.
”Menyebarluaskan Kempen Tolak Ubat Tidak Sah (TOBaTS) dalam kalangan penjawat awam,” tambah beliau.
Selain itu, katanya, penjagaan kesihatan dalam kalangan penjawat awam sangat penting kerana mereka merupakan tulang belakang kepada penyampaian perkhidmatan awam negeri.
Justeru itu, beliau berharap program ini dapat memberi impak positif dan akan diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan ke arah penjawat awam yang sihat dan produktif.
29 May 25
37
'Mat Saleh' Puji Pengalaman Unik Candat Sotong di Terengganu
MARANG, 28 Mei – Program candat sotong yang dianjurkan sempena Sail Malaysia: Passage to the East 2025 Yacht Rally berjaya menarik perhatian pelancong antarabangsa, terutamanya dari Jerman yang terkenal dengan minat mendalam terhadap budaya dan aktiviti tempatan.
Prof Khaled Karrai, pesara pensyarah dari University of Munich, berkongsi keterujaannya ketika mengikuti aktiviti candat sotong di perairan Marang.
“Ini pengalaman yang sangat unik. Saya tidak pernah cuba candat sotong secara langsung dan kemudian makan hasil tangkapan di atas bot.
"Ia sangat berbeza dan menyeronokkan dan saya tidak pernah merasai pengalaman ini di tempat lain," katanya kepada pemberita ketika program berkenaan.
Program itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris.
Razali berkata program tersebut amat penting untuk mempromosikan pelancongan laut Terengganu sebagai tarikan utama, terutama kepada pelancong luar negara.
“Sail Malaysia 2025 bukan sahaja menunjukkan keindahan alam semula jadi negeri ini, tetapi juga memperkenalkan budaya tempatan seperti candat sotong.
"Saya berharap program sebegini dapat membantu meningkatkan ekonomi penduduk nelayan di Marang melalui pelancongan berasaskan pengalaman dan budaya," katanya.
Seorang doktor bidang kejuruteraan mekanikal dari Jerman, Dr Frank turut melahirkan rasa kagum dengan keindahan laut Terengganu dan pengalaman candat sotong.
“Pengalaman ini membuka mata saya tentang keunikan budaya dan pelancongan di Malaysia, terutama di Terengganu.
"Ia sangat berharga dan berbeza daripada apa yang saya pernah alami sebelum ini,” ujarnya.
28 May 25
4221
87 Pelajar Cemerlang Naik Pentas Bersama Ibu Bapa di Kijal
KEMAMAN, 28 Mei – Seramai 87 orang pelajar cemerlang dari seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal diraikan dalam Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diadakan di Dewan Ibnu Sina, UC TATI, semalam.
ADUN Kijal, Datuk Razali Idris berkata, pelajar yang mendapat 6A dan ke atas dalam peperiksaan SPM 2024 telah naik ke pentas bersama ibu bapa masing-masing sebagai tanda penghargaan atas usaha dan sokongan yang telah diberikan.
Katanya, kejayaan itu bukan sahaja hasil usaha pelajar, tetapi juga berkat doa dan sokongan ibu bapa serta guru-guru.
"Majlis ini kita buat khas untuk beri penghargaan kepada anak-anak Kijal yang telah berusaha gigih.
"Kita juga nak hargai ibu bapa yang sentiasa menjadi tulang belakang kejayaan anak-anak,” katanya dalam ucapan perasmian bertempat di Dewan Ibnu Sina, UC TATI semalam.
Turut hadir, Rektor University College TATI (UC TATI), Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid serta wakil daripada Yayasan Terengganu (YT) dan Yayasan Pendidikan MAIDAM yang memberi taklimat mengenai bantuan pengajian dan peluang sambung belajar kepada para pelajar.
Razali berharap kejayaan 87 pelajar tersebut dapat menjadi contoh kepada adik-adik lain di Kijal agar terus berusaha dalam bidang pendidikan.
"Setiap pelajar menerima sijil penghargaan dan sumbangan khas sebagai motivasi untuk terus berjaya dalam pelajaran.
"Anak-anak muda ini harapan masa depan. Kita mahu mereka terus berjaya dan bantu keluarga serta masyarakat satu hari nanti,” ujarnya.
28 May 25
91
Terengganu, ACWA Meterai Perjanjian Bangunkan Solar Terapung Terbesar
Oleh : Daing Siti Norbaity Abd Latif
KUALA LUMPUR, 28 Mei – Kerajaan Negeri melalui Konsortium Terengganu Inc - TNB Power Generation Sdn. Bhd (TNB GENCO) dan ACWA Power yang berpangkalan di Riyadh, Arab Saudi memeterai perjanjian pembangunan bersama bagi projek solar terapung berskala besar di Tasik Kenyir, dengan kapasiti 1GW.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek Solar Fotovoltaik Terapung (FPV) itu bakal menjadi yang terbesar di Malaysia dan membuka peluang baharu dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, pekerjaan serta pelaburan.
“Projek ini adalah selaras dengan aspirasi Terengganu untuk mencapai 35 peratus Tenaga Boleh Baharu menjelang 2025.
“Doakan agar projek dan usaha sama ini berjalan lancar serta berjaya mencapai objektifnya,”ujarnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Perjanjian tersebut ditandatangani sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) semalam dan menjadikan projek itu juga antara yang terbesar di Asia Tenggara.
Majlis pertukaran dokumen Heads of Terms (HoT) Joint Development Agreement (JDA) disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Fadillah Yusof dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri bagi Hal Ehwal Antarabangsa, Kementerian Pelaburan Arab Saudi, Sara Al Sayed dan Timbalan Menteri Luar bagi Hal Ehwal Ekonomi dan Pembangunan Arab Saudi, Abdullah Zarah.
Perjanjian tersebut bukan sahaja membangunkan tenaga bersih melalui teknologi Floating Photovoltaic (FPV), malah memanfaatkan kelebihan seperti pengurangan penyejatan air dan penggunaan tanah yang lebih cekap.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed, juga menyifatkan perjanjian ini sebagai pencapaian penting dalam perjalanan tenaga boleh diperbaharui negara.
“Dengan kapasiti minimum 1GW, pemasangan solar terapung ini akan menyumbang secara besar kepada sasaran TBB Malaysia sambil mempamerkan penyelesaian tenaga bersih yang inovatif.
“Kerjasama tiga hala ini bakal memperkukuh kedudukan Terengganu sebagai hab serantau teknologi solar terapung, serta menyumbang kepada sasaran net-zero menjelang 2050,” ujar beliau.
Tambahnya, secara tidak langsung kerjasama tersebut membuktikan Terengganu bukan hanya bertumpu kepada sumber petroleum semata-mata, malah bersedia menerajui transformasi hijau negara dan rantau ini.
28 May 25
1194
EPIC Berhad Dinobat Tujuh Terbaik Anugerah Syarikat Harmoni
KUALA TERENGGANU, 28 Mei – Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad mencatatkan pencapaian cemerlang apabila diumumkan sebagai salah satu pemenang Top 7 Anugerah Syarikat Harmoni 2025 daripada 103 penyertaan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili melahirkan rasa syukur atas pengiktirafan ini dan menzahirkan agar EPIC terus maju dan cemerlang dalam memberikan khidmat terbaik kepada pelanggan dan negara.
"Anugerah ini bertujuan mengiktiraf syarikat-syarikat di Malaysia cemerlang dalam mengamalkan hubungan industri yang harmoni, adil dan produktif.
"Anugerah ini menekankan nilai-nilai seperti kerjasama antara majikan dan pekerja, pematuhan undang-undang buruh, serta usaha membina persekitaran kerja yang sejahtera dan inklusif," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam laman sosialnya pada semalam.
Menurutnya, daripada 103 penyertaan, hanya 21 syarikat terpilih sebagai finalis, dengan EPIC Berhad berjaya mara ke peringkat Top 7.
"Anugerah ini berperanan sebagai platform untuk menggalakkan amalan terbaik dalam pengurusan sumber manusia dan hubungan industri, serta menyokong pembangunan tenaga kerja yang mampan di Malaysia," ujarnya.
Justeru itu, beliau juga menyeru semua pihak agar sentiasa mengutamakan nilai kerjasama, integriti dan keharmonian dalam melaksanakan amanah masing-masing dan terus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat serta pembangunan negara.
Sementara itu, EPIC Berhad, yang menawarkan perkhidmatan dalam bidang Oil & Gas Supply & Support Base, Commercial Port Management, Marine Engineering & Services, Engineering & Maintenance Services, serta Renewable Energy & Green Technology, mempunyai 11 anak syarikat di bawah naungannya.
“Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin untuk kita terus berbakti dan memberi khidmat yang terbaik kepada semua, insya-Allah,” kata Muhtar.
28 May 25
92
Amzad Cadang Pendekatan Lebih Fleksibel, Bantuan eKasih Lebih Berkesan
KUALA TERENGGANU, 27 Mei - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim mencadangkan supaya dasar penyaluran bantuan kewangan di bawah program eKasih disemak semula agar lebih fleksibel mengikut situasi semasa.
Beliau berkata, pemberian bantuan yang seragam tanpa mengambil kira faktor lokasi dan keperluan sebenar penerima berisiko menjejaskan keberkesanan program tersebut dalam membantu golongan miskin dan miskin tegar.
"Saya mencadangkan supaya dasar penyaluran bantuan kewangan eKasih harus disemak semula agar lebih bersifat adaptif dan mengambil kira realiti kos sara hidup.
"Tidak wajar pemberian bantuan diseragamkan tanpa mempertimbangkan perbezaan lokasi (bandar atau luar bandar) serta keperluan sebenar penerima.
"RM100 mungkin mencukupi untuk mereka yang tinggal di kawasan luar bandar, tetapi ia tidak memadai bagi mereka di kawasan bandar seperti di Kuala Terengganu, di mana kos sara hidup jauh lebih tinggi.
Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran sosial media rasminya, sorotan daripada Mesyuarat Jawatankuasa 'Focus Group' Kesejahteraan Rakyat Daerah Kuala Terengganu yang telah berlangsung di Pejabat Daerah Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Kuala Terengganu itu turut membincangkan isu-isu berkaitan kemiskinan dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu yang meliputi DUN (Dewan Undangan Negeri) Bandar, Ladang, Wakaf Mempelam dan Batu Buruk.
Menurutnya, perbincangan mesyuarat menjurus kepada usaha bagi mempercepat penyelesaian kes-kes yang masih berada dalam kategori miskin tegar berdasarkan data eKasih.
"Alhamdulillah, hasil usaha pelbagai pihak termasuk inisiatif 'unit mobile' daerah dan kerjasama di peringkat DUN dan JPKK, lebih 7,000 individu telah berjaya dikeluarkan daripada garis kemiskinan.
"Malah, kes miskin tegar di Parlimen Kuala Terengganu yang dahulu berjumlah enam kes kini tinggal hanya dua, kedua-duanya di DUN Wakaf Mempelam.
"Insya-Allah, kedua-dua kes ini dijangka dapat diselesaikan tidak lama lagi melalui intervensi MAIDAM (Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu) dan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat)," ujarnya.
Dalam masa sama, Ahmad Amzad merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda kesejahteraan rakyat termasuk MAIDAM, JKM, Tabung Darul Iman dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).
Penambahbaikan terhadap program bantuan seperti eKasih adalah penting agar setiap sen yang disalurkan benar-benar memberikan impak kepada kehidupan rakyat, terutamanya dalam mendepani cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.
27 May 25
98
Empat Individu Terima Anugerah Peserta Terbaik Program YDSM
KUALA TERENGGANU, 27 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli mengurniakan anugerah kepada lima individu di Majlis Santapan Malam sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Terengganu ke-63.
Baginda berkenan berangkat mengurniakan anugerah tersebut pada Majlis Santapan Malam sempena Sambutan Dua Dekad Yayasan Diraja Sultan Mizan Zainal Abidin (YDSM) di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam.
Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail serta paduka-paduka anakanda, Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Sri Setia Mahkota Raja dan Tengku Puteri Daulath Raja.
Hadir sama Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Sebanyak empat kategori penganugerahan, iaitu Peserta Program Usahatani Terbaik, Peserta Program Seni Kraf Warisan Terbaik, Perserta Usahaniaga Terbaik dan Anugerah Khas Penyumbang, telah dikurniakan oleh Sultan Mizan, di sini, semalam.
Peserta-peserta yang telah menerima penganugerahan tersebut adalah merupakan Pengerusi Fastpora, Wan Naimah Wan Mat Ali (Peserta Program Usahatani Terbaik); Pemilik Restoran R&R Gawi, Siti Zubaidah Ismail (Peserta Usahaniaga Terbaik); Pemilik Qieyza Collection, Ahmad Taqiuddin Mohammad (Peserta Program Seni Kraf Warisan Terbaik) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi kategori Anugerah Khas Penyumbang.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan, Dato' Mohd Fadzli Yusof dalam melengkapkan majlis yang telah berlangsung di taman kegiatan luar didik hibur tempatan itu.
27 May 25
751
ADUN Kijal, PHT Ambil Berat Nasib Asmawi
KEMAMAN, 27 Mei - Nasib bekas penjaga gol skuad hoki remaja kebangsaan, Mohamad Asmawi Zaidi, mendapat perhatian serius daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris dan Persatuan Hoki Terengganu (PHT) selepas tular sebuah video yang memaparkan keadaan dirinya dalam situasi menyayat hati baru-baru ini.
Razali berkata saudara Asmawi pernah mengharumkan nama negara dan beliau tidak boleh membiarkan wira-wira sukan terabai selepas bersara.
“Usaha membantu beliau bukan sekadar tanggungjawab sosial, tetapi satu penghargaan atas jasa dan pengorbanan beliau,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program ziarah kebajikan di Kampung Pondok Pasir, Ibok semalam.
Turut hadir Penaung PHT, Ir Saiful Azmi Suhaili, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kemaman, Mohd Fadzli Ismail, kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal, serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat.
Razali berkata, dalam pertemuan itu, pihaknya bersama PHT dan JKM telah berbincang pelbagai bentuk bantuan dan sokongan jangka pendek serta jangka panjang bagi menjamin kebajikan Asmawi.
“Semoga Allah SWT permudahkan segala urusan Asmawi dan keluarganya, serta dikurniakan kesembuhan dan ketenangan buat beliau,” ujarnya.
Untuk rekod, Mohamad Asmawi Zaidi pernah menyarung jersi Malaysia Bawah 16 Tahun dalam kejohanan di Jerman, India dan Pakistan, serta beraksi mewakili Terengganu dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA). Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beliau dilaporkan mengalami masalah kesihatan mental yang serius.
Awal Mei lalu, video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki dalam keadaan tidak terurus, berkaki ayam dan meracau di sekitar Taman Kerang, Kuantan. Individu tersebut kemudiannya dikenal pasti sebagai Asmawi.
Menurut ahli keluarganya, beliau pernah mengalami episod serupa kira-kira lima tahun lalu. Tekanan hidup, pemutusan kontrak dengan kelab pada 2018 serta kemurungan antara faktor yang dipercayai menyumbang kepada keadaan semasa beliau.
Selain itu, PHT bersama JKM dan agensi lain kini giat merangka pelan bantuan susulan, termasuk membawa beliau mendapatkan rawatan sewajarnya.
Sementara itu, pihak Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut menyatakan kesediaan untuk membantu dalam bentuk sokongan kesihatan, perkhidmatan kaunseling dan bantuan sara hidup.
27 May 25
98
Sultan Mizan Berangkat ke Santapan Malam Sempena Dua Dekad YDSM
KUALA TERENGGANU, 26 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat mencemar duli Majlis Santapan Malam Sambutan Dua Dekad Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) sempena Sambutan Ulang Tahun ke-63 Hari Keputeraan baginda.
Keberangkatan baginda turut diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan paduka anakanda-anakanda, Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Sri Setia Mahkota Raja dan Tengku Puteri Daulath Raja.
Hadir sama Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan, Dato' Mohd Fadzli Yusof bagi melengkapkan majlis yang telah berlangsung di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, semalam.
Mohd Fadzli berkata, matlamat utama YDSM ditubuhkan oleh tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin untuk mempertingkat dan memperkasakan tahap sosioekonomi rakyat, khususnya di Terengganu.
"Pelbagai program yang telah dijalankan dan kini terdapat empat inisiatif baru dimana dua daripadanya telah berjalan akhir tahun lalu dan dua lagi akan dilaksanakan pada tahun ini.
"Yang telah dilancarkan ialah kursus penyelenggaraan kenderaan elektrik (EV) dengan kerjasama Terengganu Skill Development Center (TESDEC), Yayasan Terengganu (YT), Motordata Research Consortium Sdn Bhd," katanya.
Selain itu, YDSM telah dipajakkan satu kawasan di Setiu dengan keluasan sebanyak 70 ekar bagi tujuan pembangunan Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Wilayah Pantai Timur.
"Pembangunan pusat rehabilitasi ini telah pun berjalan dan dijangka akan siap dalam masa dua tahun. Kita doakan dengan pembukaannya nanti, banyak manfaat ekonomi dapat diluahkan kepada masyarakat setempat.
"Seterusnya, seni anyaman kercut yang baru sahaja dilaksanakan awal tahun ini dengan dana daripada Hisbiscus Petroleum Berhad. Program latih seni ini bertujuan supaya anyaman warisan yang unik ini dapat dipelihara dan dipulihara.
"Kursus anyaman kercut ini disertai oleh 16 orang pelajar dan graduan di UniSZA Besut, juga dengan kerjasama daripada lembaga Kemajuan Kraftangan Malaysia," jelasnya.
Tambah beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Santapan Malam Sempena Sambutan Dua Dekad YDSM itu,turut diadakan pelancaran program tajaan biasiswa penuh oleh kerajaan Arab Saudi, khusus buat anak-anak Terengganu dengan sebanyak 50 tajaan secara keseluruhan.
Bagi memperingati peristiwa bersejarah sejak awal penubuhannya pada tahun 2005 yang kini telah mencapai usia dua dekad, tiga buah buku YDSM; 'Terengganu - Wajah-wajah Kehidupan', 'HRH Sultan Ismail Nasiruddin Shah - Life As A Pioneer Photographer King' serta 'Terengganu Islands and State Park' telah dilancarkan.
Majlis yang dihadiri lebih 300 orang tetamu daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan itu turut menyaksikan pelancaran 'Gold Bar' Edisi Khas Dua Dekad YDSM.
27 May 25
100