lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

60 Ibu Tunggal Di Setiu Terima Keperluan Harian
60 Ibu Tunggal Di Setiu Terima Keperluan Harian
SETIU, 15 Jun - Seramai 60 ibu tunggal di sekitar parlimen ini telah menerima bantuan berupa hamper barangan keperluan harian. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, bantuan tersebut walaupun tidak seberapa namun sedikit sebanyak mampu mengurangkan beban golongan ibu tunggal dalam tempoh penularan COVID-19. “Sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada bank Simpanan Nasional (BSN) dan Maxis ini bertujuan membantu ibu tunggal yang layak yang terpaksa menanggung keluarga sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. “Saya hanya sebagai pemudah cara sahaja bagi mereka,” katanya selepas menyerahkan hamper terakhir kepada seorang ibu tunggal di Kampung Bari Besar. Mengulas lanjut, Shaharizukirnain berkata, program seperti itu akan terus dilaksanakan dengan komitmen beberapa badan-badan korporat lain dalam masa terdekat. Program sumbangan ini ialah lanjutan kepada sumbangan daripada pihak FGV kepada peneroka di Kampung Felda Selasih, Felda Chalok dan Felda Rahmat Chalok. “Sumbangan bakul makanan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berupa barang-barang keperluan harian untuk 40 keluarga di setiap Majlis Pengurusan Komuniti kampung (MPKK) juga telah diagihkan. “Termasuk sumbangan lauk mentah kepada 27 ribu rumah dalam Parlimen Setiu sepanjang musibah pandemik COVID-19. “Sumbangan berbuka puasa juga dihulurkan kepada ‘frontliners’ dan pengawal keselamatan di jabatan-jabatan kerajaan dan sekolah,” tambah beliau.  
02 Jul 20
151
Petugas Kebersihan 'Wira Tak Didendang' Diraikan Di Hulu Terengganu
Petugas Kebersihan 'Wira Tak Didendang' Diraikan Di Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 10 Mei - Di saat dunia memerangi wabak Covid-19, ada wira tidak didendangkan yang tidak ketinggalan menjalankan amanah dengan memastikan persekitaran sentiasa dalam keadaan yang bersih dan terjaga. Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid berkata peranan petugas barisan hadapan (frontliner) seperti doktor, jururawat, polis dan tentera dalam memerangi Covid19 tidak perlu dipersoalkan lagi. Katanya, beliau turut menganggap petugas kebersihan juga merupakan barisan hadapan atau wira yang perlu diberi penghargaan. "Petugas-petugas kebersihan sanggup berhadapan dengan risiko untuk dijangkiti disaat mereka terpaksa kerja walaupun dalam masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). "Mereka ini banyak membantu negeri kita dalam memastikan setiap kawasan terjaga kebersihannya terutama ketika wabak ini melanda. "Sebab kita mengambil keputusan untuk memberi sedikit tanda penghargaan sebagai membalas segala jasa dan pengorbanan mereka yang tidak ternilai dari sudut agama itu sendiri," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Barangan Keperluan Kepada Pekerja Kebersihan Hulu Terengganu di Pusat Tarbiyyah Kawasan Hulu Terengganu, hari ini. Seramai 185 petugas dari 10 syarikat kebersihan  di daerah ini menerima sumbangan barangan keperluan asas sempena Ramadan kali ini.
10 May 20
192
Polis Perketat Pemantauan Di Kawasan Tumpuan
Polis Perketat Pemantauan Di Kawasan Tumpuan
KUALA TERENGGANU, 5 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperketat kawalan dan pemantauan di kawasan tumpuan awam bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan seperti jarakan sosial diamalkan sepenuhnya. Ketua Polis Terengganu, Dato’ Roslee Chik berkata, perkara itu dilaksanakan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula semalam yang menyaksikan sekatan jalan raya di negeri itu dikurangan kepada 20 berbanding 49 sebelum ini. “Kita berikan tumpuan kita kepada perkara lain pula selepas sekatan jalan raya dikurangkan dalam PKPB ini, tumpuan ini bagi memastikan SOP sentiasa dipatuhi orang ramai,” katanya kepada media. Menurut beliau, pihaknya juga akan terus memperketat kawalan di setiap pintu sempadan negeri termasuk ‘lorong-lorong tikus’ dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Nerus bagi mengelak wujudnya kluster COVID-19 dari luar Terengganu. “Saya telah arahkan petugas untuk membuat pemeriksaan yang cukup ketat dan rapi. “Sekiranya tidak mempunyai sebarang surat atau tujuan yang kukuh, orang dari luar tidak boleh masuk ke Terengganu supaya tidak ada kluster import baharu,” tambah beliau.
06 May 20
251
Jangan Bawa Anak Semasa Beli Barang Keperluan – Polis
Jangan Bawa Anak Semasa Beli Barang Keperluan – Polis
KUALA TERENGGANU, 4 Mei – Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak ketika keluar untuk membeli barang keperluan harian termasuk juadah berbuka puasa. Ketua Polis Terengganu, Dato’ Roslee Chik berkata, hasil tinjauan di beberapa lokasi secara rawak, pihaknya berjaya mengesan sebahagian penjaga yang mengambil sikap sambil lewa dalam hal itu semasa bulan Ramadan ini. Tegasnya, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak boleh dipandang mudah dan masih berjalan walaupun dilonggarkan bersyarat. “Saya mengambil kesempatan ini untuk menasihati mereka yang membawa dua atau tiga anak menaiki motosikal untuk tidak melakukan sedemikian. “Kita masih dalam PKP, jadi kena patuh dengan peraturan-peraturan serta SOP yang telah ditetapkan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita. Tambah beliau lagi, setakat ini pihaknya masih melakukan sekatan jalan raya di seluruh negeri walaupun jumlah anggota telah dikurangkan semasa operasi itu. Jelasnya, pihaknya turut melakukan rondaan dan pemantauan di lorong-lorong tikus bagi mengehadkan pergerakan orang ramai dalam usaha memutus rantaian COVID-19.
04 May 20
184
Majikan, Pekerja Perlu Patuhi SOP
Majikan, Pekerja Perlu Patuhi SOP
KUALA TERENGGANU, 4 Mei- Semua majikan dan pekerja perlu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ketika beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini. Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, langkah itu perlu bagi memastikan usaha untuk mengekang penularan wabak COVID-19 dapat dilakukan dengan sebaiknya. "Kepada yang terpaksa bekerja contohnya pekerja pembersihan, kita nasihatkan kepada majikan mereka supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia. "Majikan perlu memastikan pekerja dalam keadaan sihat, mengekalkan amalan jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter, amalan sanitasi yang betul, mensanitasi peralatan yang digunakan untuk kerja pembersihan dan lain-lain yang perlu, " ujarnya ketika bersiaran dalam Wawancara Khas COVID-19: APM Dan Komitmen Barisan Hadapan di TV Darul Iman, semalam. Semeentara itu, beliau yang juga merangkap Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, rakyat Terengganu khususnya perlu meningkatkan kawalan kendiri dalam usaha mencegah penularan COVID-19 terutamanya dalam tempoh PKPB ini. Katanya, setiap individu seharusnya memainkan peranan dalam mendisiplinkan diri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa. "Tanggungjawab menjaga diri dan keluarga adalah daripada disiplin kita dan kita mesti melakukan kawalan kendiri demi keselamatan  bersama," ujarnya.
04 May 20
229
Terengganu Sedia Laksana PKPB
Terengganu Sedia Laksana PKPB
KUALA TERENGGANU, 3 Mei - Kerajaan negeri bersedia untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebagaimana saranan kerajaan Persekutuan. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia amat bertepatan dengan hasrat pihaknya untuk menyelamatkan ekonomi rakyat dan negeri yang agak lesu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi tiga fasa sebelum ini. “Keputusan ini dibuat selepas melihat kebajikan rakyat dan perkembangan terkini kes COVID-19 di Terengganu yang bertambah baik,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini. Tegas Ahmad Samsuri, semua pihak perlu mematuhi setiap syarat yang ditetapkan dan kerajaan negeri akan mengambil tindakan sewajarnya jika peraturan tersebut dilanggar.  “Kita tidak akan teragak-agak untuk membuat perubahan pada PKPB supaya kembali lebih ketat sekiranya pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) adalah di tahap rendah dan memberi kesan pada status kesihatan rakyat. “Kerajaan negeri tetap memandang serius akan pelaksanaannya dan terus komited dengan apa sahaja langkah pencegahan, terutama pematuhan yang ketat SOP yang akan dinilai dari semasa ke semasa,” jelasnya. Pada 1 Mei yang lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan  pelaksanaan PKPB bermula esok bagi mengerakkan kembali ekonomi negara selepas rugi RM2.4 bilion sehari. Untuk rekod, kelonggaran pergerakan yang diberikan di Malaysia adalah berbeza dengan negara lain. Perbezaan ketara adalah pembukaan sempadan apabila melonggarkan sekatan, sebaliknya kawalan sempadan Malaysia tetap diperketatkan selain terus memantau wabak dalam masyarakat setiap hari dengan melihat lokaliti dan kumpulan sasar.
03 May 20
144
‘Gagal Patuhi Syarat, Kelonggaran Ditarik Balik’ - Menteri
‘Gagal Patuhi Syarat, Kelonggaran Ditarik Balik’ - Menteri
KUALA TERENGGANU, 3 Mei - Kerajaan akan menarik balik kelonggaran yang diberikan kepada pemain sektor perladangan dan komoditi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) jika syarat keselamatan gagal dipatuhi. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, meskipun diberi kebenaran beroperasi 100 peratus semua pengusaha masih tertakluk kepada syarat yang ketat. Katanya, antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah mengambil dan merekodkan suhu badan pekerja setiap hari, penggunaan pensanitasi tangan serta mengamalkan penjarakan sosial semasa bekerja. “Kita juga minta mereka yang terlibat dalam sektor di bawah kementerian ini supaya mengamalkan sistem penggiliran kerja bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19. “Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, kerajaan pasti akan mengambil tindakan termasuk menarik balik kelonggaran yang diberikan ini,” katanya. Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas menyampaikan sumbangan gulai daging dan barangan keperluan harian kepada penduduk di Kampung Banggol Peradong di sini semalam. Menurut beliau, tujuan kerajaan memberi kelonggaran bersyarat itu adalah untuk menggerakkan kembali ekonomi negara selepas mengalami kerugian RM2.4 bilion sehari sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). “Kelonggaran juga diberi selepas menilai semua aspek, dan  jika langgar syarat kelonggaran itu maka akan ditarik balik. Kita masih lagi dalam tempoh PKP, berkait dengan Akta 342. “Sepatutnya ada arahan atau kawalan pergerakan ini tetapi kita perluaskan lagi kelonggaran itu pada sektor-sektor yang lain. Jadi kena faham, kita masih dalam tempoh PKP. Cuma kita beri peluang ‘bernafas’ untuk ekonomi,” tegasnya.
03 May 20
112
COVID 19- Pertubuhan Forum Udara Bersih Sasar Agih 4,000 PPE
COVID 19- Pertubuhan Forum Udara Bersih Sasar Agih 4,000 PPE
KUALA TERENGGANU, 2 Mei- Pertubuhan Forum Udara Bersih Malaysia (PFUBM) menyasarkan menghasilkan kira-kira 4,000 peralatan perlindungan diri (PPE) untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan dalam tepoh terdekat. Pengarah Projek Frontliner PPE Support Team Dr Noor Zaitun Yahaya, berkata sehingga kini 2,000 PPE berjaya dihasilkan bagi projek fasa pertama  dan telah diagihkan kepada pihak yang memerlukan, termasuk barisan hadapan di Kelantan dan Pahang. Katanya, PFUBM bersedia menghasilkan lebih banyak PPE sekiranya mendapat permintaan, terutama  daripada negeri yang masih mencatatkan kes baharu penularan Covid-19. “Dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk  Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA) dan  Majlis Dakwah Negara Negeri Terengganu (MDNT), apa yang dirancang itu mampu dilaksanakan. “Projek penghasilan PPE dibiayai oleh dana sumbangan, NGO, badan korporat, serta orang ramai,”katanya. Beliau berkata demikian selepas  Majlis Penyerahan 148 Set Isolasi kepada barisan hadapan, termasuk Menteri Besar,  Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Hadir sama, Naib Canselor  UMT, Prof Nor Aieni  Mokhtar dan  Pegawai Eksekutif TESDEC, Dato’ Md Kamaru Al-Amin, Katanya, individu atau institusi yang berhasrat menyokong projek ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Malaysia Berhad (5630-6414-4012 atas nama The Clean Air Forum Society of Malaysia). "Semua sumbangan dikecualikan daripada cukai (tertakluk kepada kelulusan pihak LHDN). Para penyumbang boleh kemukakan bukti pembayaran untuk Resit Pelepasan Cukai yang akan diberi setelah transaksi berjaya dan boleh die-melkan kepada: cleanairmalaysia@gmail.com atau hubungi Dr Mohd Shahrir di talian 017 – 9681102," katanya.
02 May 20
213
Lebih 100 Keluarga Terima Lauk Berbuka Puasa Setiap Hari
Lebih 100 Keluarga Terima Lauk Berbuka Puasa Setiap Hari
Oleh: Nizam at-TakiriKUALA NERUS, 26 April – Saat orang ramai menikmati juadah yang lazat ketika berbuka, tetapi masih ada insan yang tidak bernasib baik yang berbeza keadaan dan memerlukan sumbangan serta perhatian dari pihak tertentu.Ahli Parlimen Kuala Nerus, merangkap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menzahirkan rasa belas ehsan beliau kepada golongan tersebut.Katanya, Pusat Khidmat akan mengagihkan sumbangan yang berbentuk lauk-pauk kepada lebih 100 keluarga setiap hari di seluruh kawasan.“Pada Ramadan pertama, agihan adalah kepada 105 keluarga kurang berkemampuan dari tiga kampung iaitu Kampung Kubang Jela, Banggol Tuan Muda dan Paya Datu.“Sumbangan lauk-pauk tersebut diagihkan melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing mengikut kampung," ujarnya.Dr Khairuddin  berkata demikian di dalam satu kenyataan di media sosial milik beliau, semalam.Tambahnya, beliau berharap sumbangan seperti ini dapat menambah kenikmatan Ramadan dan memberi kegembiraan buat keluarga penerima.
25 Apr 20
283
Agihan Sumbangan 150 Pasang Telekung Di Mak Chili
Agihan Sumbangan 150 Pasang Telekung Di Mak Chili
Oleh: AminjiKEMAMAN, 25 April - Skuad Ameerah Cawangan Mak Chili dengan kerjasama ahli jawatankuasa badan bukan kerajaan (NGO) Khairunnisa’ mengambil kesempatan mengagihkan sumbangan telekung solat sempena menyambut ketibaan Ramadan.Bertemakan ‘Seputih Telekung Seindah Ramadan’, sumbangan itu menyasarkan seramai 150 orang penerima yang terdiri daripada golongan beliawanis di sekitar Kampung Mak Chili, Kemaman.Rata-rata penerima sumbangan adalah mereka yang kurang berkemampuan dan berusia antara 15 hingga 40 tahun.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim ketika melepaskan konvoi skuad agihan telekung memperingatkan agar rakyat mengambil peluang meningkatkan ibadah di bulan mulia itu.“Di bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita sama-sama mempertingkatkan ibadah kepada Allah."Meskipun solat sunat terawih tidak dapat dilaksanakan di masjid, ianya tetap boleh dilaksanakan di rumah bersama keluarga masing-masing," katanya.Tambah Ab Razak lagi, beliau mengharapkan sumbangan tersebut dapat memberi semangat baharu kepada para penerima dalam melakukan ibadah kepada Allah.Sebanyak enam buah motosikal dan 2 buah kereta terlibat konvoi berkenaan.Agihan yang bermula seawal jam 8 pagi disampaikan sendiri oleh Skuad Ameerah Cawangan Mak Chili dari rumah ke rumah dengan mengekalkan langkah-langkah keselamatan yang disarankan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
25 Apr 20
156