lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Maritim Malaysia Tahan Tujuh Bot Haram Vietnam
Maritim Malaysia Tahan Tujuh Bot Haram Vietnam
KUALA TERENGGANU, 19 Julai - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tujuh bot nelayan Vietnam sejak Khamis menerusi Op Kuda Laut yang dilaksanakan bermula akhir Jun lalu. Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, Op yang bertujuan mengekang pencerobohan nelayan asing di perairan negara itu berjaya merampas hasil laut berupa ikan berkualiti, ikan baja dan ikan campur seberat lima tan. "Turut dirampas peralatan menangkap ikan bernilai RM10.5 juta termasuk rampasan diesel 10,000 liter. "Semua bot terbabit ditahan di tujuh lokasi berasingan oleh tiga Kapal Maritim (KM) iaitu Tegas, Mulia 2 dan Gemia yang menjalankan operasi selama tiga hari bermula Khamis hingga Sabtu di lokasi antara 115 batu nautika hingga 134.5 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, katanya dalam satu kenyataan hari ini. Muhammad Suffi Mohd Ramli. Menurut beliau lagi, tangkapan antara 8.45 malam hingga 3 pagi itu turut berjaya menangkap 86 awak-awak termasuk tekong berusia antara 16 hingga 68 tahun. "Mereka ditahan kerana tiada lesen dan pengenalan diri serta tiada kebenaran melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia. "Semua tahanan dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Terengganu untuk proses saringan COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). "Kes kemudian diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia," katanya. Antara awak-awak yang berjaya diberkas. Tambah Muhammad Suffi, sejak Op Kuda Laut dilancarkan pada 24 Jun lalu, pihaknya menahan 25 bot nelayan Vietnam di perairan Terangganu yang turut membabitkan penahanan 281 awak-awak dan tekong warga Vietnam. "Kami akan terus melaksanakan rondaan di perbatasan sempadan negara bagi menghapuskan pencerobohan nelayan asing khasnya dari Vietnam yang tidak serik memasuki perairan negara dan mengaut hasil laut secara haram," tegasnya.  
19 Jul 20
1879
Keluhan Peniaga Pasar Tani Kuala Besut Diberi Perhatian
Keluhan Peniaga Pasar Tani Kuala Besut Diberi Perhatian
Oleh : Mustaqim Afandi Besut,19 Julai- Keluhan dan rungutan peniaga Pasar Tani Kuala Besut berkaitan kekurangan tapak niaga di pasar berkenaan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuatkuasa mendapat perhatian kerajaan negeri. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, masalah peniaga terbabit akan diselesaikan sebaik mungkin. Katanya,  isu segelintir peniaga yang kurang berpuashati terhadap perlaksanaan SOP dalam tempoh PKPP sekarang dalam pertimbangan pihaknya. “Masalah ini bukan hanya melibatkan peniaga dari Kelantan sahaja malah peniaga tempatan juga turut terkesan. 'Ini kerana jumlah peniaga sebelum ini lebih daripada 500 peniaga dan apabila PKPP dilaksanakan hanya 153 peniaga sahaja yang mendapat kebenaran berniaga dari pihak Majlis Daerah Besut (MDB),” ujarnya kepada pemberita selepas meninjau Pasar Tani Kuala Besut, kelmarin.  Katanya, selepas perbincangan beliau bersama Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Mohd Rashdan Muda, keputusan ‘win-win situation’ telah dicapai dengan tambahan lot tapak niaga dan sebahagian peniaga dari Kelantan pula telah diberi kebenaran untuk menjalankan perniagaan.  Mengulas lanjut, keputusan untuk mengurangkan jumlah peniaga sebelum ini terpaksa dilakukan pihak MDB berikutan keterbatasan tempat apabila penjarakan sosial dalam kepatuhan norma baharu perniagaan dilaksanakan kerajaan. "Diharap semua peniaga dapat menerima dan berlapang dada dengan keputusan ini. Kepada peniaga yang tidak berjaya mendapat tapak diharap terus bersabar dan berdoa agar wabak COVID-19 cepat berlalu dan tempoh PKPP dapat di tamatkan segera dan peniaga boleh berniaga seperti biasa,” ujarnya.
19 Jul 20
1083
Abdul Hadi Tinjau Lembu Sado Milik Keluarga Eman Manan
Abdul Hadi Tinjau Lembu Sado Milik Keluarga Eman Manan
Oleh : Aziz Hambali MARANG, 27 Jun - Rutin turun bertemu rakyat bagi ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kali ini sedikit istimewa dengan melawat Ladang Lembu Sado yang terletak di Kampung Atas Tol, di sini. Lebih menarik lagi, pemilik ladang tersebut adalah adik kepada pelakon otai terkenal tanah air iaitu Abdul Manan Embong atau lebih dikenali dengan nama gelaran Eman Manan. Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Cikgu Haron Yusof berkata, lawatan Abdul Hadi buat julung kalinya itu kerana dilihat usaha tersebut mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan lebih-lebih lagi ia menepati hasrat kerajaan negeri ini dalam mewujudkan Hub Pengeluaran Lembu Sado Terengganu. "Alhamdulillah hadirnya Ahli Parlimen ke ladang ternakan lembu sado ini antara lain bertujuan memberi sedikit suntikan modal bagi menaikkan lagi pengusahaan lembu sado di daerah ini. "Pihak kami (Parlimen Marang) sangat mengalu-alukan penternak dan pengusaha lembu sado untuk sentiasa mengorak langkah maju setapak demi setapak selaras dengan dasar kerajaan," katanya kepada UPDI selepas mengiringi Abdul Hadi meninjau ladang lembu sado, di sini baru-baru ini. Terdahulu, Abdul Hadi yang diiringi anaknya, Khalil Abdul Hadi tiba di ladang berkenaan dan disambut oleh Eman Manan sendiri dan juga ADUN Bukit Payung, Ustaz Mohd Nor Hamzah.
02 Jul 20
1449
Saya Cemburu Dengan Pemergiannya - Ahmad Amzad
Saya Cemburu Dengan Pemergiannya - Ahmad Amzad
Oleh : Ahmad Sabri Yusof KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim meluahkan, cara pemergian Allahyarham Mohamed Salahudin Shahabudin, amat ‘dicemburui’ oleh setiap orang yang beriman. Mohamed Salahudin atau dikenali ‘Din Brothers’, 54, adalah pemilik Syarikat Din Collection, Perniagaan Alat Tulis Din Brothers dan Din Mega di Kuala Terengganu. Allahyarham meninggal dunia ketika sedang sujud solat tahajud selepas lima hari menerima rawatan di Hospital Gleneaglas, Kuala Lumpur, 17 Jun lalu. Beliau yang merupakan Pengerusi Persatuan India Muslim dan Kongres India Muslim Melayu (Kimma) Terengganu, sangat dikenali dengan sifat dermawannya. Pemergian beliau disedari sekitar jam 4.30 pagi ketika sedang sujud menunaikan solat sunat tahajud bersama isterinya, Habibou Nissa Abdul Rashid, 50. Ahmad Amzad yang masih di Putrajaya atas urusan kementeriannya ketika itu, sempat menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham melalui Pegawai Perhubungan dan Kebajikan Parlimennya, Zulkifli Wahab yang menziarahi keluarganya, di Taman Padang Negara, di sini. Menurutnya, Salahudin dikenali seorang yang sangat pemurah, dermawan dan banyak melakukan kerja-kerja kebajikan membantu golongan susah. “Saya dimaklumkan, sepanjang hayat Allahyarham tidak pernah jemu menghulurkan sumbangan bagi kerja-kerja kebajikan terutama melibatkan pembinaan dan perbelanjaan madrasah, pusat tahfiz serta rumah anak-anak yatim. “Dikatakan juga, antara sikap terpuji beliau ketika hidupnya suka merahsiakan derma atau sumbangan yang disalurkan dan tidak pernah ada sikap menunjuk-nunjuk atas jasa yang ditabur,” jelasnya. Justeru, pemergian Allahyarham Salahudin itu amat dirasai kehilangannya kerana jasa dan kebaikan itu. Jenazah Allahyarham Mohamed Salahudin tiba dari Kuala Lumpur jam 4.30 petang 17 Jun, dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim, Jalan Pusara, Kuala Terengganu
02 Jul 20
276
Keluarga Ahmad Afif Terharu Terima Rumah Baharu
Keluarga Ahmad Afif Terharu Terima Rumah Baharu
Oleh: Nooreni Abu Bakar DUNGUN, 21 Jun- Keluarga pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran terharu apabila menerima bantuan rumah baharu selepas rumah tempat mereka berteduh sebelum ini musnah dalam kebakaran Oktober lalu. Ayah pelumba yang merupakan penyandang juara CP150 Kejuaraan Cub Prix Malaysia, Amran Ngah, 53, melahirkan kesyukurannya kerana rumah sumbangan kerajaan Negeri Terengganu menerusi Tabung Darul Iman itu membolehkan mereka sekeluarga tinggal di rumah baharu yang lebih selesa. "Alhamdulillah, kini kami dapat tinggal di rumah sendiri selepas rumah kami musnah dalam kebakaran pada Oktober tahun lepas," katanya yang menumpang di rumah sewa ibunya selepas rumahnya terbakar. Amran ditemui pemberita selepas majlis gimik penyerahan rumah tersebut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun di Kampung Paya, Balai Besar, baru-baru ini. Sementara itu, ibu Ahmad Afif, Zaiton Ramli, 47 berpuas hati dengan rumah tiga bilik itu. "Masa dalam pembinaan dulu memang teruja dengan rumah ni, memang tak sangka dapat rumah macam ni, berpuas hatilah," ujar ibu kepada lima orang anak itu. Sebelum itu, Alias berterima kasih dengan keprihatinan kerajaan Negeri Terengganu yang menyegerakan pembinaan rumah yang bernilai RM56,000 itu. "Rumah ini telah siap pada bulan Mac lepas, tetapi memandangkan masa itu, kita dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jadi penyerahan kunci agak tergendala, jadi alhamdulillah sekarang dah dapat kunci dan sijil menduduki," jelasnya.
02 Jul 20
288
Genap Sebulan, Misteri Kehilangan Warga Emas Belum Terungkai
Genap Sebulan, Misteri Kehilangan Warga Emas Belum Terungkai
KEMAMAN, 20 Jun - Misteri kehilangan seorang warga emas, Abdul Malik Daud, 67, sejak 20 Mei lalu yang masih belum terjawab meskipun operasi mencari dan menyelamat (SAR) secara besar-besaran dijalankan hari ini. Abdul Malik atau Pak Malik yang turut menghidap penyakit Parkinson dikatakan keluar dari rumah dan tidak dapat dikesan. Pegawai Medan Operasi Mencari, ASP Mohd Khairi Abdullah berkata, SAR telah dilakukan ke setiap kawasan sekitar kampung terbabit dengan melibatkan 152 anggota termasuk penduduk kampung. "Kita pecahkan kepada enam lokasi di kawasan sekitar dengan 10 pasukan namun hingga saat ini kita masih gagal mengesan Pak Malik. "Dalam masa yang sama pihak kami juga telah menguar-uar kepada orang ramai dan media dengan harapan ada maklumat terbaharu berkait kehilangan ini," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas SAR di sini hari ini. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Hanafiah Mat mengatakan, kerjasama orang ramai dalam merungkai kehilangan warga emas terbabit sangat diperlukan. "Hari ini sudah masuk ke hari 31 Pak Malik hilang, operasi mencari giat dijalankan selama seminggu sebelum ini dan hari ini kita buat operasi secara besar-besaran bermula 8 pagi hingga 12.30 tengah hari tadi. "Bantuan daripada semua bagi membantu merungkai kehilangan ini juga diperlukan sesiapa yang mempunyai maklumat diminta untuk tampil memberi kerjasama. "Semua pihak berkuasa bersiap siaga jika ada maklumat terbaharu untuk mencari Pak Malik," ujar ADUN Chukai itu. Pada kejadian jam 5 pagi 20 Mei lalu, Pak Malik dilaporkan hilang dari kediamannya di Felda Neram 2, Blok 3 Peringkat 1, Cheneh Baru. Kehilangan tersebut disedari oleh isterinya, Hazizah Jusoh, 64, sebaik sahaja bangun untuk bersahur. Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di talian 09-8592222
02 Jul 20
450
Terima Kasih YB
Terima Kasih YB
Oleh : Pok Abbas KUALA TERENGGANU, 19 Jun - Mohd Rashid Kadir, 64, mengalirkan air mata kesyukuran apabila permintaannya untuk memiliki mesin tebu ditunaikan. Rancangan warga emas itu untuk memulakan perniagaan air tebu bagi menampung pendapatan keluarga mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar yang menghadiahkan sebuah mesin tebu sebagai menyokong hasratnya. Menurut Rashid, sebelum ini mereka sekeluarga telah hilang punca pendapatan berikutan dirinya menghidap penyakit  jantung, kencing manis dan buah pinggang. "Alhamdulillah, saya sangat berterima kasih kepada YB Dato' Ku atas sumbangan mesin tebu ini. "Insya-Allah, saya berharap semoga perniagaan yang bakal saya mulakan ini mencukupi untuk menampung keperluan kami sekeluarga," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui di rumahnya sewaktu kunjungan Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN), Mohd Zaim Azfar dalam program ziarah cakna di kawasan Ladang, baru-baru ini. Dalam kunjungan berkenaan, Zaim menyampaikan sumbangan mesin tersebut mewakili ADUN Ladang yang turut dihadiri oleh Pengerusi dan ahli jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Gong Penaga.  
02 Jul 20
232
ADUN Ladang Bantu Pembinaan Dewan Terbuka SK Seri Budiman
ADUN Ladang Bantu Pembinaan Dewan Terbuka SK Seri Budiman
Oleh : Amirah Liyana KUALA TERENGGANU, 18 Jun - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar menyampaikan sumbangan wang tunai bagi membantu pembinaan dewan terbuka Sekolah Kebangsaan Seri Budiman, di sini, Selasa lalu. Beliau yang turun melawat perkembangan pembinaan dewan terbuka itu berkata, sumbangan tersebut bagi membolehkan pihak sekolah memasang jubin untuk hasil akhir yang lebih baik. "Ini cuma satu bentuk kecaknaan pihak kami bagi memastikan keselesaan para pelajar dalam menjalankan aktiviti di sekolah," jelasnya. Kunjungan berkenaan turut diiringi para pegawai Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ladang dan disambut guru besar, Salleh @ Mokhtar Ismail, para guru dan wakil Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG) sekolah itu. Dalam pada itu, beliau sempat berbincang mengenai perkembangan permasalahan sekolah yang diajukan oleh pihak sekolah untuk diberi perhatian. "InsyaAllah, pihak kami akan cuba mencari solusi dan membantu setakat yang mampu bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi," katanya.
02 Jul 20
999
Amalkan Norma Baharu Dalam Aktiviti Ziarah
Amalkan Norma Baharu Dalam Aktiviti Ziarah
Oleh : Akid Hafriz KUALA TERENGGANU, 17 Jun – Meskipun kes baharu jangkitan wabak COVID-19 kian menurun, namun  orang ramai terutamanya agensi-agensi kerajaan mahupun bukan kerajaan harus mengamalkan norma baharu dalam segala aktiviti kemasyarakatan. Pengamal perubatan, Dr. Farhaana Husainy Hasbullah menyatakan bahawa individu yang menyertai aktiviti ziarah melibatkan golongan berisiko seperti warga emas atau pesakit kronik perlu mengamalkan amalan kebersihan yang baik. “Pengamalan penjarakan sosial sejauh satu meter dan mencuci tangan dengan kerap perlu diteruskan semasa berziarah. "Disamping itu, cuba elakkan dari bersentuhan dengan pesakit atau ahli keluarganya,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika di temu bual oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, semalam. Beliau yang juga merupakan isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi itu mengesyorkan agar amalan bersalaman ketika berziarah di rumah pesakit digantikan dengan meletakkan tangan di dada sebagai tanda hormat bagi mengelakkan berlakunya sentuhan. Dalam pada itu, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah memberi peluang kepada Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk untuk memulakan kembali rutin mingguan aktiviti ziarah kebajikan. Jelas Dr. Farhaana, PKPP memberikan sedikit kelonggaran untuk melakukan aktiviti kemasyarakatan, namun masyarakat perlu mengamalkan norma baharu mengikut Standard Operation Procedure (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berwajib. “Semoga dengan usaha ini, kita dapat memutuskan rantaian Covid-19 dan mencegas penularannya dalam kalangan komuniti setempat,” tambahnya lagi.
02 Jul 20
143
Bomba Pertingkat Rondaan Di Kawasan Pantai
Bomba Pertingkat Rondaan Di Kawasan Pantai
KUALA TERENGGANU, 16 Jun - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mempertingkatkan rondaan dan kawalan keselamatan khususnya di kawasan pantai peranginan di negeri ini. Ia susulan peningkatan kunjungan orang ramai setelah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun lalu. Timbalan Pengarah JBPM Terengganu, Penguasa Kanan Bomba 1 Mohd Khairiri Mat Resad @ Arshad berkata, selain pemantauan, pihaknya turut mengambil pendekatan memberikan nasihat tentang aktiviti di air. Menurutnya, orang ramai juga diingatkan tentang langkah-langkah kawalan yang perlu diambil memandangkan negara masih dalam usaha memerangi COVID-19. "Kita lihat pantai kembali meriah kerana orang ramai kembali keluar setelah lama 'berkurung' kerana pergerakan terhad. Tetapi apa yang menjadi kebimbangan kita adalah keghairahan orang ramai melakukan aktiviti di luar. "Sekiranya tiada kawalan dan pemantauan, ia boleh mengundang kejadian yang tidak diingini kerana ada sesetengah kawasan di pantai yang tidak sesuai untuk aktiviti mandi manda. "Bagi masyarakat tempatan yang biasa dengan keadaan pantai di sini, mereka lebih waspada. Bagaimanapun kita bimbang jika orang luar dan yang tidak biasa dengan keadaan pantai di Terengganu, risiko bahaya itu meningkat jika mereka cuai dan lalai," katanya.. Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian setelah membuat pemantauan dan rondaan bersama pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu dan ibu pejabat di Pantai Pandak di sini hari ini. Mohd Khairiri berkata, beberapa pantai di Terengganu yang dikenal pasti bahaya dan kerap berlaku kejadian lemas antaranya Pantai Pandak, Pantai Tok Jembal, Pantai Teluk Ketapang dan Pantai Teluk Bidara. Lebih membimbangkan katanya, jumlah kes lemas di Terengganu dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini adalah sebanyak 13 kes berbanding 15 kes sepanjang tahun lalu. Menurutnya, daripada jumlah itu, 10 kes lemas berlaku di pantai manakala tiga kes lagi di sungai. "Lima kes lemas berlaku di Dungun, Kuala Terengganu (dua kes), Hulu Terengganu (empat kes) manakala masing-masing satu kes di Besut dan Kemaman. "Dalam tempoh lima tahun ini, 94 kes lemas direkodkan. Ia jumlah yang agak tinggi, sebab itu bomba memberikan perhatian tentang aspek keselamatan sewaktu melakukan aktiviti di air. "Rondaan keselamatan dan pemantauan ini akan diteruskan terutamanya pada hujung minggu dan cuti persekolahan. Kita lakukannya di setiap lokasi tumpuan di daerah-daerah," katanya. – Sinar Harian.  
02 Jul 20
101