Artikel "Semasa" Terkini
Kebajikan, Pendidikan Agenda Utama Kerajaan
KEMAMAN, 1 Jun – Kebajikan rakyat dan pendidikan generasi muda menjadi dua agenda paling utama dalam dasar pentadbiran negeri.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata dasar yang memberi kesan terus kepada rakyat sentiasa menyentuh jiwanya, terutamanya dalam perkara yang mampu meringankan beban hidup rakyat.
"Daripada keseluruhan dasar yang kita rancang, antara perkara terpenting ialah melibatkan inisiatif kebajikan kepada rakyat.
"Untuk meringankan bebanan kepada rakyat, itu ada nilai sentimental kepada saya," katanya dalam Majlis Bicara Santai Pimpinan semasa program Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) di Padang Astaka, Cukai, di sini, baru-baru ini.
Menurut beliau, selain kebajikan, inisiatif Pendidikan menjadi perkara kedua untuk membina kehidupan berdikari dan bukan sekadar pemberian sementara.
"Saya lihat, manusia ini kalau kita beri ikan, maka dia bolehlah makan ikan tersebut.
"Tapi kalau kita beri joran kepada dia, maka dia boleh berdikari, kita ajar pula cara nak guna joran itu, akhirnya dia mampu untuk cari ikan sendiri," jelasnya.
Ahmad Samsuri yakin, pendidikan ialah pelaburan jangka panjang yang akan mencorakkan masa depan rakyat dan negeri.
"Inilah konsep pendidikan kepada rakyat, saya percaya kalau buat begitu, kita menyediakan kehidupan mereka di masa akan datang.
"Mungkin 10 hingga 20 tahun akan datang, anak muda inilah yang akan meneruskan agenda kita di masa kita sudah tiada," ujarnya.
01 Jun 25
139
Aidiladha : 60,000 Kenderaan Sehari Dijangka Penuhi LPT2
KUALA TERENGGANU, 1 Jun- Peningkatan trafik sehingga 60,000 kenderaan sehari dijangka berlaku di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sempena cuti perayaan Aidiladha ini.
Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan memaklumkan, peningkatan tersebut dijangka berlaku pada hari-hari puncak iaitu pada 5 Jun dan 6 Jun serta 8 Jun hingga 9 Jun.
“Sehubungan itu, pengguna lebuh raya yang pulang ke kampung atau bercuti di Pantai Timur menggunakan Lebuhraya LPT2 dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal pada musim perayaan ini,” ujar kenyataan tersebut.
Katanya, pengguna disaran rancang perjalanan musim perayaan dengan MyPLUS-TTA .
“LPT2 Sdn. Bhd. telah bersiap sedia untuk menguruskan peningkatan trafik di lebuh raya bagi membantu pengguna menikmati perjalanan yang lebih lancar dan selesa sepanjang musim perayaan ini.
“Untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan kenderaan tertumpu di satu-satu lokasi di lebuh raya secara serentak, LPT2 menyediakan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA menerusi aplikasi PLUS untuk membantu pengguna lebuh raya merancang perjalanan lebih awal.
“Untuk mendapatkan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA, pengguna lebuh raya boleh memuat turun dan mengakses aplikasi PLUS untuk memilih waktu perjalanan yang paling optimum bagi perjalanan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di antara 5 Jun hingga 10 Jun 2025 sempena perayaan Aidiladha yang akan datang,” ujarnya.
Oleh itu katanya, LPT2 menyeru orang ramai supaya dapat merancang dan menyusun jadual perjalanan lebih awal berdasarkan cadangan MyPLUS-TTA bagi perjalanan pulang ke kampung halaman pada 5 Jun hingga 7 Jun, malah menyusun jadual perjalanan kembali semula ke Lembah Klang pada 8 Jun hingga 10 Jun selepas bercuti sempena Aidiladha.
“Inisiatif ini adalah sebahagian usaha LPT2 untuk meningkatkan keselesaan para pengguna lebuh raya semasa musim-musim perayaan berdasarkan data dan pola perjalanan pada musim-musim perayaan yang lalu,” katanya.
Sementara itu katanya, bagi mengelakkan gangguan terhadap pergerakan trafik di laluan utama lebuh raya, tiada penutupan lorong untuk kerja-kerja penyelenggaraan di Lebuhraya LPT2 bermula 5 Jun hingga 9 Jun 2025 kecuali melibatkan kerja-kerja kecemasan, pengalihan kemalangan dan pembaikan kritikal.
“Bagi membantu melancarkan lagi pergerakan orang ramai sepanjang tempoh perayaan Aidiladha kali ini, LPT2 turut mengambil beberapa langkah lain yang merangkumi persediaan di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R).
“Antaranya menyediakan lebih 300 keseluruhan petugas dalam ekosistem LPT2 terutama di plaza-plaza tol dan pusat pemantauan trafik. Selain itu, LPT2 turut menyediakan lebih daripada 160 anggota RELA untuk membantu melancarkan pengurusan trafik di R&R, hentian sebelah dan plaza tol terpilih untuk keselesaan pengguna.
“LPT2 juga memohon kerjasama orang ramai supaya dapat merancang perjalanan mereka dan menggunakan kemudahan tandas dan surau yang turut disediakan di plaza-plaza tol terdekat,” ujarnya.
Pada masa yang sama katanya, pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik terkini di LPT2 menerusi X@lpt2trafik, LPT2Line 1800-88-0220, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih atau menerusi saluran stesen-stesen radio utama negara. Orang ramai juga boleh menggunakan aplikasi navigasi Waze atau Google Maps untuk merancang laluan yang akan digunakan.
“Orang ramai juga boleh menghubungi talian LPT2Line di 1800-88-0220 sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan,” ujarnya.
01 Jun 25
160
Hutang Negara Makin Naik
KEMAMAN, 31 Mei – Di sebalik pelbagai janji manis dan dakwaan membawa masuk pelaburan ratusan bilion ringgit dari luar negara, hutang negara kini mencecah RM1.3 trilion di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, angka RM1.3 trilion sangat membimbangkan menurut laporan ekonomi terkini.
"Semasa era pemerintahan Perikatan Nasional (PN), kita menyelesaikan masalah besar negara ketika darurat. Ketika itu, rakyat tidak dapat keluar bekerja, majikan pula mahu memberhentikan pekerja. Maka kita sediakan peruntukan besar untuk pastikan pekerjaan rakyat dapat dikekalkan.
"Memang belanjawan ketika itu tinggi, tetapi ia berasaskan keperluan rakyat dan pemulihan negara. Ekonomi negara berjaya dibuka semula dan ketika Datuk Seri Anwar mengambil alih, beliau mewarisi ekonomi yang sedang berada pada landasan terbaik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Perdana Himpunan Teguh Memimpin Terengganu, di Padang Astaka, Chukai, malam tadi.
Namun katanya, dalam tempoh pentadbiran Anwar Ibrahim, kerajaan membelanjakan lebih besar daripada zaman pandemik COVID-19, tetapi hasilnya tidak seimbang dengan tekanan kos sara hidup yang ditanggung rakyat.
“Diumumkan kononnya berjaya membawa pelaburan ratusan bilion ringgit, tapi rakyat semakin tertekan dengan pelbagai polisi baharu yang meningkatkan beban hidup. Harga barang keperluan naik, subsidi ditarik, dan pelbagai insentif rakyat dikurangkan.
“Rakyat memilih kerajaan untuk menjamin kebajikan dan kesejahteraan, namun hari ini yang berlaku adalah sebaliknya. Janji tidak ditepati, rakyat pula terus menanggung masalah demi masalah.
"Akta gaji minimum kononnya mahu membantu, tetapi nilai gaji tersebut tidak mampu menampung peningkatan kos sara hidup yang kian mendadak.
"Inilah yang berlaku hari ini, rakyat bingung, bagaimana kononnya pelaburan masuk, ekonomi baik, tetapi kerajaan gagal mempertahankan skim kebajikan dan subsidi rakyat,” tegas beliau.
31 May 25
155
PM Mohon Imuniti : Sejarah Pelik Dalam Negara
KEMAMAN, 31 Mei – Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon imuniti daripada Mahkamah Persekutuan dalam kes saman sivil yang difailkan oleh Muhammed Yusoff Rawther disifatkan sebagai sesuatu yang pelik dan belum pernah berlaku dalam sejarah kepimpinan negara.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, tidak pernah ada rekod atau sebarang maklumat menunjukkan mana-mana Perdana Menteri dari yang pertama hingga yang kesembilan memohon kekebalan atau pengecualian daripada tindakan undang-undang sivil.
"Malah, satu-satunya krisis imuniti yang pernah berlaku dalam negara ini hanyalah membabitkan institusi raja-raja semasa krisis perlembagaan dahulu. Namun begitu, undang-undang tetap memberi ruang untuk raja-raja dibawa ke muka pengadilan dalam situasi tertentu," katanya.
Tambahnya lagi, permohonan Anwar untuk diberikan kekebalan oleh mahkamah seolah-olah mahu mewujudkan imuniti peribadi dalam berdepan saman sivil — suatu perkara yang amat menghairankan dan menimbulkan tanda tanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Perdana Himpunan Teguh Memimpin Terengganu di Padang Astaka, Chukai, semalam.
Ahmad Amzad turut mengulas tentang sikap Anwar Ibrahim yang menurutnya gemar menyaman pihak-pihak yang mengkritik beliau, namun tidak pula berani menghadapi kes-kes yang difailkan terhadap dirinya.
“Dalam kes saya misalnya, beliau menyaman saya hanya kerana perbualan biasa di kedai kopi Simbang Tokku, Chabang Tiga. Perbualan itu melibatkan lima atau enam orang sahaja, bukannya tokoh-tokoh besar pun.
“Saya sahut cabaran dan kes itu hampir dibicarakan, namun di peringkat akhir beliau melalui peguamnya meminta supaya kes diselesaikan di luar mahkamah. Takut untuk masuk kandang saksi,” katanya.
Menurut beliau, tindakan Anwar yang enggan membawa kes-kes ke mahkamah, termasuk kes saman oleh Yusoff Rawther, menimbulkan persoalan apakah yang cuba dielakkan oleh Perdana Menteri.
“Bila seseorang masuk kandang saksi, banyak perkara lama boleh dibangkitkan semula. Mungkin itu yang ditakuti beliau,” ujar beliau.
“Sebab itu, permohonan mendapatkan imuniti ini amat pelik dan wajar menimbulkan persoalan besar dalam kalangan rakyat. Apa sebenarnya yang berlaku? Kenapa sampai takut nak hadapi saman daripada seorang rakyat biasa?” tambah Ahmad Amzad.
31 May 25
90
Cukai Dikaut Persekutuan, Kuasa Negeri Terbatas
KEMAMAN, 30 Mei – Sektor pertanian dan pelancongan Terengganu menjadi pemangkin utama kepada peningkatan ekonomi rakyat, namun hasil cukai yang diperolehi sebahagian besarnya disalurkan kepada kerajaan Persekutuan dan bukan negeri.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata empat negeri SG4 iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis menyumbang sebanyak 71 peratus daripada keperluan makanan ruji negara, manakala sektor pertanian negeri mencatatkan pertumbuhan sebanyak 70.4 peratus pada tahun 2023 berbanding penguncupan 3.3 peratus pada tahun sebelumnya.
“Bagi sektor pelancongan pula, Terengganu berjaya menerima kehadiran 7.8 juta pelancong pada tahun 2024, jauh melebihi sasaran asal sebanyak 4.5 juta.
“Limpahan ekonomi ini turut dinikmati oleh para pengusaha makanan tempatan seperti nasi dagang, sata dan keropok lekor, serta pelbagai perkhidmatan berkaitan pelancongan seperti bot ke pulau, candat sotong dan memancing,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) di Padang Astaka, Cukai, Kemaman, semalam.
Namun, Ahmad Samsuri menjelaskan bahawa hasil langsung kepada kerajaan negeri adalah sangat minima kerana ketiadaan sempadan imigresen yang membolehkan kutipan cukai secara langsung ke atas pelancong.
“Hasil utama kerajaan negeri hanyalah cukai katil (bed tax) bagi mereka yang menginap di hotel, manakala cukai pendapatan yang dibayar oleh syarikat hotel dan peniaga disalurkan terus kepada kerajaan pusat.
“'Income tax' tak dibayar kepada kerajaan negeri. Dibayar kepada kerajaan pusat. Oleh kerana itu, apabila pelancong mari ramai, sebenarnya yang mendapat hasil yang banyak bukan sangat kerajaan negeri tetapi kerajaan pusat,” katanya.
Justeru, beliau menyeru agar kerajaan pusat memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan negeri dalam menguruskan hasil dan pembangunan ekonomi demi kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
“Tak boleh dah nak hidup, nak beroperasi negeri dan negara dan Malaysia ini dengan cara yang berasingan atau nak berseteru dengan negeri.
"Itu cara lama. Politik tahun tak tahu zaman bila. Nak bergaduh dengan negeri,” ujarnya.
30 May 25
958
Tiada Lagi Kubu Kuat UMNO di Terengganu
KEMAMAN, 30 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal, Datuk Razali Idris, menegaskan bahawa kubu kuat UMNO di Terengganu kini semakin hilang, terutama di Parlimen Kemaman yang sebelum ini terkenal sebagai benteng kuat Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, pada Pilihan Raya Umum yang lalu, PAS Negeri Terengganu meraih kemenangan besar dengan memenangi kesemua 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 8 kerusi Parlimen.
Katanya, kejayaan itu dianggap sebagai anugerah daripada Allah SWT yang perlu dipertahankan dengan penuh keazaman.
“Walaupun tiada pembangkang rasmi dalam DUN Terengganu namun sistem semak dan imbang tetap berjalan dengan lancar.
“Ia melalui perbincangan dan percanggahan pandangan di kalangan wakil rakyat kerajaan sendiri demi memastikan pentadbiran berjalan secara berkesan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) di Padang Astaka, Cukai, Kemaman, semalam.
Razali mengakui terdapat beberapa kawasan yang sukar untuk dipertahankan seperti Seberang Takir, Telemong, Permaisuri dan Hulu Besut.
“Namun saya percaya dengan usaha dan perpaduan yang berterusan, kelima-lima kerusi tersebut akan dapat dipertahankan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 nanti.
“Saya menegaskan bahawa pentingnya wakil rakyat Bersatu untuk bekerjasama rapat dengan pimpinan PAS di semua peringkat bagi memastikan kemenangan dan kesinambungan kepimpinan di Terengganu,” ujarnya.
30 May 25
1201
Rakyat Terengganu Raih Manfaat Ekonomi Kesan Ledakan Pelancongan
KEMAMAN, 30 Mei – Pertumbuhan sektor pelancongan yang pesat di Terengganu telah memberikan manfaat ekonomi secara langsung kepada rakyat negeri ini, sekali gus menjadi pemangkin kepada peningkatan pendapatan dan peluang perniagaan setempat.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pada tahun 2024, Terengganu mencatatkan kehadiran 7.8 juta pelancong, jauh mengatasi sasaran asal sebanyak 4.5 juta.
"Kehadiran pelancong yang tinggi ini telah menghidupkan pelbagai aktiviti ekonomi rakyat tempatan, khususnya dalam sektor perkhidmatan dan makanan.
"Pelancong yang datang ke Terengganu bukan sekadar melancong secara berkhemah atau tidur dalam kenderaan, sebaliknya menginap di hotel dan 'homestay' yang dimiliki oleh rakyat negeri ini, termasuk oleh syarikat-syarikat milik kerajaan negeri serta pengusaha daripada pelbagai kaum.
“Hotel dan 'homestay' ni hak siapa dia? Hak rakyat negeri kita. Bila pelancong ramai masuk, mereka duduk di hotel ini ataupun di 'homestay' . Siapa boleh hasil? Mereka dapat hasil,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) di Padang Astaka, Cukai, Kemaman, semalam.
Ahmad Samsuri berkata, selain penginapan, pelancong juga berbelanja untuk menikmati makanan tempatan seperti sata, keropok lekor, nasi dagang dan nasi minyak yang semuanya diusahakan oleh rakyat Terengganu.
"Kesan daripada kemasukan pelancong ini, peniaga kecil yang dahulunya memperoleh pendapatan sekitar RM1,000 sebulan kini mampu menjana RM2,000 hingga RM3,000.
"Lonjakan pelancong turut membuka ruang kepada pertumbuhan perkhidmatan baharu seperti bot pelancong ke pulau, aktiviti mencandat sotong dan memancing yang diusahakan secara langsung oleh penduduk setempat," katanya.
Namun begitu, hasil langsung kepada kerajaan negeri daripada sektor pelancongan masih sangat minimum.
"Ini kerana tiada kutipan cukai masuk di sempadan negeri seperti yang dilakukan di peringkat antarabangsa. Satu-satunya hasil langsung kepada negeri adalah cukai katil (bed tax) yang dikenakan di hotel.
"Sebaliknya, hasil utama daripada pertumbuhan pelancongan ini lebih banyak dinikmati oleh kerajaan pusat melalui cukai pendapatan (income tax) yang dikenakan kepada syarikat dan pengusaha perniagaan.
“Sebab itulah kerajaan pusat kena beri kerjasama yang penuh kepada kerajaan negeri. Tak boleh dah nak hidup, nak beroperasi negeri dan negara dan Malaysia ini dengan cara yang berasingan atau nak berseteru dengan negeri. Itu cara lama,” ujarnya.
30 May 25
1120
'Politik Dendam Rugikan Rakyat, Negara' - Dr. Sam
KEMAMAN, 30 Mei – Kerajaan Negeri Terengganu memilih pendekatan politik matang berbanding politik balas dendam yang hanya merugikan rakyat dan negara.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, banyak contoh boleh dilihat di peringkat Malaysia apabila setiap kali pemimpin baru mentadbir, sekecil-kecil perkara membabitkan pemimpin terdahulu dikorek sehingga tiada kesudahan.
“Negara kita hari-hari berhadapan dengan politik dendam yang tidak memberi makna kepada negara dan rakyat. Kita perlu membawa negara dengan cara yang berbeza,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) di Padang Astaka, Cukai, Kemaman, semalam.
Ahmad Samsuri berkata Kerajaan Negeri Terengganu komited untuk memulihkan projek terbengkalai dan meneruskan agenda pendidikan serta pembangunan modal insan.
“Kita tidak menutup Imtiaz, malah kita tambah Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI), Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) dan jabatan pendidikan Islam lain,” katanya.
“Namun begitu, pelaksanaan pembangunan bergantung kepada peruntukan yang diperoleh kerajaan negeri. Kalau peruntukan dipegang oleh pihak lain, bagaimana kita hendak melaksanakan projek? Maka, kita terpaksa ikhtiar dengan cara berbeza,” katanya.
Selain itu, beliau menegaskan Bantuan Kewangan Pendidikan yang telah lama wujud di Terengganu akan diteruskan dan diperkasakan.
“Dalam aspek syariah dan pentadbiran Islam, kerajaan negeri melaksanakan apa yang boleh mengikut undang-undang sedia ada dan memperkemaskan Kanun Jenayah Syariah dan Takzir.
“Mana yang boleh kita buat, kita buat. Mana yang tidak boleh, kita tangguh dulu,” ujarnya.
30 May 25
166
Belum Sempat Bergelar Mahasiswa, Irfan Kini Hanya Mampu Terbaring
KEMAMAN, 29 Mei – Seorang anak muda dari Bukit Kuang, Kijal terpaksa melupakan seketika impiannya untuk melanjutkan pengajian di universiti apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya, sebulan sebelum tarikh pendaftaran.
Menurut ibunya, Siti Zainab Mat Rozi, seorang suri rumah, anaknya Ahmad Irfan Muhammad Johar, 21 tahun, sepatutnya melanjutkan pelajaran dalam Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sains Kejurulatihan) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
“Namun, kemalangan yang berlaku pada 30 Julai 2024 menyebabkan Irfan terlantar sehingga ke hari ini, sudah hampir 10 bulan.
“Irfan kini hanya 70 peratus sedar, tetapi masih belum mampu bercakap atau bangun sendiri,” katanya kepada pemberita ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal ke rumahnya di RMM Bukit Kuang, semalam.
Zainab berkata sebelum kejadian berlaku, anaknya sudah siapkan semua keperluan untuk masuk ke UPSI. Tapi selepas kemalangan tu, dia terus tak sedarkan diri.
"Sekarang ni, cuma boleh gerak sikit-sikit dan boleh dengar percakapan kita. Namun, masih tak boleh bercakap dan tak mampu bangun," jelasnya.
Sementara itu, ADUN Kijal, Datuk Razali Idris berkata pihaknya bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) RMM Bukit Kuang akan meninjau keperluan semasa keluarga terbabit bagi menyalurkan bantuan yang sesuai.
"Sama-sama kita doakan agar saudara Irfan diberikan kesembuhan segera dan diberikan kekuatan untuk menjalani kehidupan setiap hari," ujarnya.
29 May 25
117
Tangguh Guna LPG Komersial, Jangan Zalimi Rakyat - Rosol
KUALA TERENGGANU, 29 Mei – Kerajaan Persekutuan digesa menangguhkan serta-merta langkah mewajibkan larangan penggunaan gas petroleum cecair (LPG) domestik 14 kilogram ke atas peniaga kecil yang berkuat kuasa sejak 1 Mei lalu.
Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, penyusunan semula subsidi perlu dilakukan dengan cermat, komunikasi yang jelas serta disusuli insentif sokongan, bukannya secara terburu-buru.
Katanya, larangan tersebut hingga memangsakan rakyat yang akan dibebani kesan domino, di mana akhirnya pengguna terpaksa menanggung beban membayar pada harga mahal akibat peningkatan kos yang dihadapi peniaga.
“Saya menerima banyak aduan daripada peniaga kecil khususnya pengusaha makanan, yang tertekan dengan lonjakan kos hingga tiga kali ganda iaitu daripada sekitar RM2,600 sebulan kepada RM7,000 sebulan susulan larangan tersebut.
“Tidak cukup dengan lonjakan kos, mereka juga diburu pihak berkuasa sejak tiga minggu lalu menerusi Ops Gasak, menyebabkan ramai dalam kalangan peniaga kecil ini dikompaun dan dirampas silinder LPG mereka,”katanya dalam satu kenyataan.
Rosol yang juga Ketua Portfolio Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup PN berkata, keadaan bertambah buruk apabila ramai peniaga turut menjadi sasaran Ops Gasak sejak tiga minggu lalu, sehingga ada yang dikompaun dan tong gas dirampas oleh pihak berkuasa.
“Saya simpati dengan nasib peniaga kecil yang bukan sahaja dibebani kos hidup tinggi, malah kini berdepan tekanan dasar yang dilaksana secara tergesa-gesa oleh kerajaan Madani,
“Kesan rantaian daripada peningkatan kos ini akhirnya akan ditanggung oleh pengguna. Jangan zalimi rakyat,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan sepatutnya menyediakan terlebih dahulu insentif sokongan yang bersesuaian termasuk mempunyai pelan khusus untuk membantu meringankan bebanan kos peniaga kecil supaya pengguna akhir tidak menanggung kesan kenaikan kos mendadak.
“Rakyat bukan saja sedang bergelut demi kelangsungan hidup ketika kerajaan Madani gagal menangani isu kos hidup rakyat, tetapi berdepan pula dengan tindakan kerajaan ketika mana SST akan diperluas bermula Jun depan, subsidi RON95 tetap dirasionalisasi pada separuh kedua tahun ini dan tarif elektrik bakal naik Julai depan,” ujarnya.
29 May 25
227