lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Capaian Internet Di Terengganu Akan Dipertingkat - KKMM
Capaian Internet Di Terengganu Akan Dipertingkat - KKMM
KUALA TERENGGANU, 26 Julai – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) komited untuk meningkatkan liputan capaian internet yang optimum, terutama 4G di negeri Terengganu.  Menteri KKMM, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya melalui Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi makmal infrastruktur digital sedang mengkaji kawasan-kawasan yang mempunyai impak kepada ekonomi serta penduduk untuk diberi keutamaan penambahbaikan akses jalur lebar.  “Di sebelah Pantai Timur termasuk Terengganu, kita kena bagi tumpuan lebih, contohnya liputan 4G di Terengganu capaian hanya sekitar 87.7 peratus, 3G pula 95.5 peratus manakala 2G 97.8 peratus.  “Apa yang kita hendak bincang dan akan perhalusi ialah bagaimana kita hendak optimumkan liputan 4G. Itu melibatkan soal pembinaan menara-menara baharu dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjung hormat ke Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan neger, Mohd Nor Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, dan beberapa ketua agensi serta jabatan negeri yang berkaitan. Mengulas lanjut, Saifuddin memaklumkan, Terengganu kini mempunyai 685 menara telekomunikasi dan ia tidak mencukupi untuk menyediakan liputan terbaik di seluruh negeri. “Oleh itu, kita memerlukan lebih 400 lagi menara telekomunikasi bagi mengoptimumkan liputan internet di sini, termasuk di pusat-pusat pelancongan dan pulau-pulau peranginan. “Termasuk yang sedang dibangunkan sekitar 34 menara, semua perkara ini sudah disebut dalam dewan rakyat, namun menjadi kekangan ialah kos yang besar untuk kita laksanakan sekali gus, jadi kita buat berperingkat mengikut keutamaan dan zon,” jelasnya. Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian juga akan meningkatkan usaha untuk melonjakkan industri nasyid ke peringkat yang lebih tinggi kerana ia merangkumi pelbagai aspek seperti seperti dakwah, pendidikan, produk halal, busana muslimah dan sebagainya. “Memanglah nasyid itu orang lihat sebagai sebahagian dari muzik, tetapi ia ada dunianya tersendiri yang sangat luas,” katanya.  
26 Jul 20
1989
Lesen Nelayan Kelas A Dibuka Semula, 800 terima Manfaat
Lesen Nelayan Kelas A Dibuka Semula, 800 terima Manfaat
Foto oleh : Hidayah Azlin  DUNGUN, 26 Julai - Seramai 800 nelayan aktif dan tulen di negeri ini bakal menerima manfaat apabila Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) Malaysia melalui Jabatan Perikanan Malaysia akan membuka semula Lesen Nelayan Sampan Zon A (kategori pesisir pantai) dalam masa terdekat. Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pemberian  lesen vesel nelayan kelas A itu bertujuan memudahkan urusan perlindungan insurans dan elaun sara hidup kerana ramai nelayan terpaksa turun ke laut dengan risiko sendiri. “Kita melihat bahawa ramai nelayan tulen bukan sahaja di Terengganu tetapi di negeri lain yang tidak mempunyai lesen dan terdapat juga dalam kalangan mereka yang berlesen bukan nelayan tulen.  “Justeru, dalam proses melesenkan nelayan tulen, pihak Jabatan Perikanan Malaysia juga akan melalukan pemutihan terhadap pemegang lesen yang ada sekarang ini. “Kita akan mewujudkan satu ‘database’ zon A yang melibatkan pemutihan dan pemberian lesen dimana di Negeri Terengganu sendiri lebih 800 nelayan sampan akan menerima manfaatnya,” ujar beliau sempena sesi ‘walkabout’ dan ramah mesra bersama nelayan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Dungun, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim. Sementara itu, Dr Azman berkata, kerajaan negeri merakamkan ucapan terima kasih kepada MAFI yang memberi perhatian terhadap masalah yang membelenggu nelayan negeri ini. “Saya berterima kasih kepada pihak MAFI khususnya Jabatan Perikanan Malaysia di atas respon yang sangat positif untuk menyelesaikan isu yang dihadapi nelayan kita yang mana didapati sebagaian besar daripada mereka ada yang ke laut sejak muda sampai ke tua tetapi tidak berlesen. “Di pihak kerajaan negeri kita melihat isu nelayan sampan atau nelayan zon A yang tiada lesen ini sebagai isu lapuk yang perlu diselesaikan,” ujarnya. Justeru katanya, kerajaan negeri telah menubuhkan ‘task force’ bersama jabatan berautoriti dan berkaitan termasuk Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Terengganu, LKIM Negeri Terengganu dan juga persatuan-persatuan nelayan yang diurusetiakan oleh kerajaan negeri bagi mengatasi masalah ini. “Sebelum ini, kita telah buat dua kali mesyuarat dan proses pemutihan di peringkat negeri dan selepas pemutihan akhirnya kita keluarkan sekitar 800 lebih nelayan sampan yang tidak berlesen dan telah diangkat permohonan kepada pihak kementerian,”ujarnya. Katanya, nelayan yang tidak berlesen terdedah kepada pelbagai risiko diantaranya jika terlibat dengan kemalangan atau bencana di laut tidak ada suatu pelindungan yang boleh melindungi mereka. “Mereka juga tidak dapat faedah seperti elaun sara hidup nelayan, subsidi minyak dan sebagainya dan yang merugikan negeri kita ialah bila tangkapan dibuat oleh nelayan tidak berlesen bermakna hasil tangkapan mereka tidak direkodkan,” ujarnya. Katanya, beliau turut dimaklumkan oleh pihak kementerian bahawa Terengganu adalah  negeri pertama yang ambil langkah ‘bottom to top’ dengan mengambil inisiatif sendiri cuba menyelesaikan isu ini dengan membawanya kepada peringkat kementerian. Disamping itu katanya, kerajaan negeri turut menekankan kepada program memperkaya sumber perikanan seiring pemberian lesen kepada nelayan. Dalam usaha menambahkan bilangan nelayan yang mempunyai lesen, dalam masa yang sama sumber perikanan turut diberi perhatian melalui program melabuhkan tukun dan unjam,” ujarnya.
26 Jul 20
1371
‘Marang River Cruise’ Produk Baharu Pelancongan Terengganu
‘Marang River Cruise’ Produk Baharu Pelancongan Terengganu
Oleh : Aziz Hambali MARANG, 25 Julai - Kerajaan Terengganu menerusi Pejabat Daerah Marang melancarkan produk pelancongan baharu di negeri itu selepas memperkenalkan pakej menelusuri Sungai Marang dari Dataran Batu Putih (DBP) terus ke Pulau Kapas. Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, inisiatif tersebut pastinya akan merancakkan kembali industri pelancongan domestik sejak pandemik COVID-19 melanda negara.  "Pakej ini tercetus rentetan hasil sumbangan sebuah bot laju daripada Terengganu Silica Consortium Sdn Bhd yang menjadi pemangkin yang sangat besar untuk memajukan industri pelancongan  berasaskan sungai dan laut ini.  "Produk ini kita akan hebahkan melalui media sosial dan kemungkinan dilancarkan bersempena dengan program Jejak Budaya Marang yang akan berlangsung pada bulan September nanti," katanya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bot oleh Pengerusi Terengganu Silica Consortium Sdn Bhd, Tengku Sri Temenggong Raja Dato' Seri Tengku Baharuddin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muttafi Billah Shah di sini baru-baru ini. Tun Ahmad Faisal menerima sumbangan bot dari Tengku Sri Temenggong Raja. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman. Mengulas lanjut mengenai sumbangan bot berkuasa tinggi itu, pihaknya berbesar hati dengan komitmen Terengganu Silica Consortium Sdn Bhd apabila dimaklumkan akan potensi program menyusuri sungai dan 'floating market' di Marang. "Penghargaan tidak terhingga kepada Terengganu Silica atas pemberian sebuah bot berkuasa 150 kuasa kuda yang membolehkan program menelusuri Sungai Marang dan terus pergi ke Pulau Kapas terlaksana. "Uniknya pakej ini para pelancong akan memuduki Sungai Marang daripada DBP sampai di kuala Sungai Marang terus ke Pulau Kapas. Jadi ini adalah satu nilai tambah kepada pakej-pakej pelancongan yang Marang tawarkan. "Pelancong boleh membuat tempahan dengan operator yang akan kita lantik nanti dan pakej itu merangkumi aktiviti menelusuri sungai, makan pagi di DBP sambil melihat produk-produk di sepanjang sungai Marang. “Seterusnya ke Pulau Kapas menikmati jamuan tengah hari dan aktiviti di sana seperti snorkelling dan mandi manda sebelum pulang bergerak balik ke Marang sebelah petang itu, sebelum ini pakej-pakej begini diasingkan dengan pakej pulau dan sungai,” jelasnya.  
26 Jul 20
4372
Sinar Baharu Buat OKP
Sinar Baharu Buat OKP
  Oleh : Azhar Yusof HULU TERENGGANU. 24 Julai - Seramai 20 Orang Kena Pengawasan (OKP) Hulu Terengganu dan OKP ‘client‘ sukarela mengikuti program latihan kemahiran yang dianjurkan Madrasah Khairul Insan dibawah seliaan AADK Hulu Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah(JKPD) Hulu Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim  berkata, OKP  ini akan mengikuti latihan berdasarkan minat dan kemahiran yang ada pada mereka. Katanya, ia adalah usaha memberi pendedahan dan ilmu pengetahuan kepada peserta mengenai ilmu berasaskan perniagaan.  "Di antara latihan yang diberikan antaranya menjahit pelbagai pakaian, perniagaan berasaskan makanan dan kedai pakaian terpakai termasuklah cara menggunakan mesit jahit dan memasak. "Pihaknya juga merancang untuk menganjurkan program itu berterusan untuk memberikan manfaat kepada pihak yang terbabit secara langsung dengan aktiviti perniagaan," ujar Maliaman ketika ditemui selepas turun padang melihat sendiri aktiviti perniagaan mereka semalam. Tambahnya, program ini memberi peluang kepada peserta untuk menimba ilmu pengetahuan dari segi persediaan apabila mereka berada diluar nanti termasuk meningkatkan kemahiran peserta untuk mencari rezeki dengan asas perniagaan. "Berdasarkan respon dari para peserta yang ditemubual, mereka mengakui dapat membina semula keyakinan diri. "Sehubungan itu JKPD dan AADK sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan mana mana NGO untuk menganjurkan Program Latihan Kemahiran latihan buat OKP," ujarnya.
24 Jul 20
748
UMT Ajak Media Sembang Santai
UMT Ajak Media Sembang Santai
KUALA TERENGGANU, 23 Julai - Berdepan dengan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memilih cara tersendiri untuk merakamkan rasa terima kasih dan meraikan pihak media di negeri itu. Naib CaNselornya, Profesor Dato’ Dr. Nor Aeini Mokhtar berkata, pihaknya mengambil kesempatan menzahirkan rasa terima kasih kepada media dengan pendekatan santai supaya kedua-dua pihak dapat berkerjasama lebih mesra dan erat pada masa akan datang. “Sebelum ini rakan media diraikan dalam Majlis Anugerah Media (MAM), namun dengan keterbatasan UMT ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada sahabat-sahabat media yang sudi meluangkan masa pada petang ini.  Durian jadi antara santapan utama majlis. “Saya sangat berbesar hati mendapat kerjasama padu daripada rakan media dan saya percaya biar secanggih mana pun teknologi yang digunakan, sebagai seorang wartawan, etika, integriti serta tanggungjawab tuan tuan dan puan-puan di dalam menyalurkan bahan berita yang sahih dan tepat amatlah penting dan perlu diutamakan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Santai Bersama Naib Canselor UMT di institusi tersebut, semalam. Turut hadir, Presiden Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT), Khairul Azlam Mohamad; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Mazlan Abd. Ghaffar serta Pro Naib Canselor (Hal Ehwal Korporat Dan Jaringan Industri), Prof. Dr. Fauziah Abu Hasan. Dr. Nor Aeini turut melahirkan rasa simpati dengan kesukaran yang melanda dunia kewartawanan berikutan perubahan yang berlaku dalam medium penyebaran maklumat. “Tahun 2019 dan 2020 merupakan tahun yang banyak menguji dunia kewartawanan di mana banyak syarikat-syarikat media terpaksa meminimakan operasi dan mengurangkan pekerja. Perkara ini secara tidak langsung memberi impak kepada keterlihatan UMT. “Namun, harapan saya adalah agar segala kerjasama dan bantuan yang diberikan oleh rakan-rakan media ini berkekalan serta dapat dipertingkatkan lagi di masa hadapan,” katanya.
23 Jul 20
183
Terengganu Sasar Bina Mini ‘Slipway’ Di Setiap Daerah
Terengganu Sasar Bina Mini ‘Slipway’ Di Setiap Daerah
Oleh : Hidayah Azlin SETIU, 22 Julai – Kerajaan Terengganu mensasarkan untuk membina mini ‘slipway’ di setiap daerah bagi memudahkan pembaikian kerosakan kecil bot nelayan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, perkara itu merupakan satu keperluan yang sangat kritikal untuk nelayan menyelenggara bot tanpa melalui jarak yang jauh. "Saya melihat keperluan ini perlu bagi setiap daerah supaya kerosakan-kerosakan kecil tidak mengambil masa yang lama. Contohnya kerosakan kipas, ia hanya memerlukan pembaikian dalam beberapa hari sahaja. "Besut, Setiu, Dungun dan Kemaman akan menjadi fokus kita khususnya di daerah-daerah yang sebahagian besar terdiri daripada nelayan bot kelas A dan B yang memerlukan khidmat setempat," jelasnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas meninjau projek pembinaan rumah sejuk beku dan mini 'slipway' di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Marang, semalam. Dr Azman (tengah) melihat keadaan semasa rumah sejuk beku. Mengulas tentang mini 'slipway' di Jeti LKIM yang menelan kos kira-kira RM50,000 itu, beliau memaklumkan binaan telah siap hampir 90 peratus dan dianggarkan mampu menampung bot dalam lingkungan 30 tan. "Hanya tinggal untuk pasang ‘wings’ untuk menarik bot, kebanyakkan daripada nelayan Marang sama ada nelayan sampan atau fiber, bot kelas A dan B kecil itu sahaja. Maka, dengan saiz ini kita kira sudah memadai.   "Insya-Allah selepas ini, sasaran kita ialah untuk membina sebuah kilang air batu di sini. "Sebahagian lagi usaha untuk mempertingkatkan lagi pengeluaran sektor perikanan kita dalam masa yang sama kita tangani isu-isu yang timbul dari semasa ke semasa," jelasnya. Tambahnya lagi, projek pembinaan rumah sejuk beku dan mini 'slipway' itu merupakan projek yang pertama dibiayai oleh kerajaan negeri di Malaysia.  Malah, satu-satunya ‘slipway’ yang berada di bawah kerajaan negeri dan ada di daerah Marang kerana di tempat lain dibina oleh pihak swasta. "Alhamdulillah projek bilik sejuk yang telah dimulakan pembinaannya di sekitar bulan Oktober tahun lepas siap dibina. Ujian operasi telah dibuat dan ia  beroperasi dengan baik.  "Ia akan dimanfaatkan oleh nelayan-nelayan Marang dalam kapasiti simpanan kira-kira 10 tan ikan atau hasil laut dalam satu-satu masa," katanya.
22 Jul 20
3997
Kerajaan Dukacita Mural Pemimpin Negara Diconteng
Kerajaan Dukacita Mural Pemimpin Negara Diconteng
Oleh : Azkar Zahidi KUALA LUMPUR, 21 Julai – Kerajaan menzahirkan rasa dukacita apabila mural yang memaparkan beberapa pemimpin utama negara termasuk Yang di-Pertuan Agong di Taman Cahaya Alam, Shah Alam diconteng baru-baru ini. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim menegaskan, contengan mengandungi kata-kata kesat itu amat tidak wajar dan biadap serta bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang bersopan santun. “Kita haruslah jaga mentaliti kita seiring hasrat negara untuk menjadi sebuah negara maju, rakyat perlu mempunyai mentaliti kelas pertama. Walaupun berlainan parti politik, tidak seharusnya tindakan sebegitu dilakukan. “Kita sepatutnya berbangga kerana negara kita antara negara yang terbaik dalam menangani wabak pandemik COVID-19, bukannya dengan menulis perkara-perkara tidak elok seperti ini," ujar Ahmad Amzad ketika dihubungi pemberita. Menurut beliau, perkara tersebut bertambah serius apabila Sultan Selangor, Sultan Syarafuddin Idris Shah sendiri telah melahirkan rasa murka terhadap insiden terbabit. Dalam masa yang sama, beliau mahu tindakan segera diambil bagi menghukum dua individu yang tidak bertanggungjawab itu. "Saya berharap pesalah dikenakan tindakan yang sewajarnya dan orang ramai dapat mengambil iktibar daripada kejadian yang kurang bermoral seperti ini," tambah beliau.
21 Jul 20
392
Gangguan Air, Hakisan Pantai Setiu Bergema Di Parlimen
Gangguan Air, Hakisan Pantai Setiu Bergema Di Parlimen
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Isu-isu rakyat di kawasan Setiu melibatkan masalah bekalan air dan hakisan pantai mencuri perhatian Dewan Rakyat yang bersidang semalam. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir ketika membahas Titah DiRaja berkata, tiga kawasan dalam parlimennya iaitu Kampung Bari Kecil, Kampung Tanjung Gelam dan Kampug Pengkalan Maras dikesan menghadapi masalah tersebut. Katanya, kesulitan itu kian meruncing apabila ia memberi masalah dan mendatangkan rasa tidak selamat kepada komuniti setempat. “Tekanan air yang rendah disebabkan kebocoran paip yang sudah usang dan tidak diganti, ia menggangu masyarakat untuk melakukan aktiviti harian dengan sempurna.  “Isu hakisan di tiga kawasan yang agak kritikal dan memerlukan peruntukan segera sebelum datangnya musim tengkujuh nanti.   “Saya mengharapkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengambil satu tindakan segera bagi menyelesaikan masalah ini,” ujarnya. Dalam masa yang sama, Shaharizukirnain dalam perbahasannya itu turut membangkitkan beberapa isu nasional seperti pasaran buruh asing, cadangan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 dan gantian cuti rehat oleh penjawat awam.
21 Jul 20
582
Dron Terhempas Di Menara Drawbridge, Punca 'No Fly Zone'
Dron Terhempas Di Menara Drawbridge, Punca 'No Fly Zone'
KUALA TERENGGANU, 21 Julai - Larangan menerbangkan dron dan memancing yang telah dikuatkuasakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan Drawbridge adalah untuk memastikan keselamatan struktur bangunan dan orang awam terjamin. Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties Sdn Bhd, Khalizan Mahmud berkata, kegagalan mengawal dron boleh menyebabkan risiko melanggar cermin bangunan termasuk ‘skybridge’ yang hampir keseluruhannya terdiri daripada panel kaca boleh retak atau pecah jika ada impak daripada pesawat udara tanpa pemandu terbabit. “Berdasarkan kes terdahulu, terdapat beberapa unit dron yang telah terhempas di atas bumbung menara dan kawasan persekitaran jambatan. “Selain itu, penggunaan dron di kawasan ini turut berisiko untuk melanggar dan tersangkut pada ‘Lightening Arrestor’, memberi gangguan kepada sistem frekuensi operasi (system bascule yang beroperasi menggunakan sistem gelombang frekunsi dan wifi) serta mendatangkan bahaya kepada pengunjung dan pemandu jika terhempas," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. Menurut beliau, pihak pengurusan Terengganu Drawbridge juga terikat dengan peraturan yang telah diwartakan dalam Akta Penerbangan Awam 1969 dan Peraturan-Peraturan penerbangan Awam Malaysia 2016 iaitu setiap penerbang dron memerlukan permit daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk menjalankan aktiviti penerbangan. “Kegagalan dalam mendapatkan Permit Penerbangan daripada CAAM akan dikenakan denda minima RM50,000 atau tiga tahun penjara bagi individu atau denda maksima RM100,000 untuk badan korporat,” ujarnya. Justeru katanya, bagi menjamin keselamatan persekitaran Terengganu Drawbridge, pihaknya telah menetapkan papan tanda ‘No Fly Zone’ di sekitar kawasan tersebut bagi setiap penerbangan dron dengan mendapat kelulusan permit dari pihak berwajib. “Bagi isu larangan memancing pula, kawasan larangan yang dimaksudkan adalah di bawah jambatan dan kawasan R.O.W jambatan sahaja. Ia adalah untuk memastikan kawasan ini bebas dari sisa-sisa umpan yang ditinggalkan oleh pemancing yang mencemarkan pemandangan dan bau busuk,” katanya. Khalizan berkata, pihaknya sentiasa komited untuk memastikan keselesaan, keselamatan pengunjung dan bangunan Drawbridge dan sentiasa mengalu-alukan pandangan dari orang ramai untuk membaiki mutu pengurusan Terengganu Drawbridge. Kata beliau, pihaknya akan meletakkan garisan di tempat larangan memancing iaitu di bawah jambatan dan orang ramai masih boleh meneruskan aktiviti itu di kawasan sekitar yang lain. “Begitu juga dengan dron, hanya di kawasan struktur drawbridge sahaja (ia dilarang) dan ia dikuatkuasakan demi keselamatan bersama,” ujarnya. Dalam masa yang sama, Khalizan berkata, pihaknya amat menghargai minat dan berterima kasih kepada para penerbang dron yang telah memuat naik video-video yang dirakam di Drawbridge sekali gus membantu mempromosikan ikonik Terengganu di mata dunia. Difahamkan, larangan ‘No Fly Zone’ itu tular di laman sosial media dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.  
21 Jul 20
9728
Pemotong Rumput Hargai Pemberian Rumah PPTS
Pemotong Rumput Hargai Pemberian Rumah PPTS
  MARANG, 20 Julai - Sepasang suami isteri yang hanya bergantung rezeki hasil memotong rumput menyifatkan pemberian rumah Program Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) secara percuma untuk mereka sekeluarga adalah hadiah yang sangat berharga. Pemilik rumah itu, Khairi Anuar Ali, 48, mengucapkan rasa syukur ke hadrat Ilahi dan berterima kasih kepada kerajaan negeri atas pemberian rumah itu. Katanya, tidak mungkin dia mampu membina sendiri rumah kerana dia hanya mendapat pendapatan daripada kerja memotong rumput dan apa yang diperolehi juga tidak menentu serta tidak pernah mencecah RM1,000 sebulan. “Dengan rumah yang diterima ini, pastinya dapat meringankan beban di mana sebelum ini kami terpaksa menyewa rumah kakak sejak rumah pusaka yang didiami selama ini terbakar pada pertengahan Ramadhan tahun lalu,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Program Serah Kunci Rumah PPTS di Kampung Gelugor, Kampung  Gong Kiat, Kampung  Pusu 3, Kampung  Pak Madah dan Kampung Rawai di sini hari ini. Sementara itu, menurut seorang lagi penerima, Eda Rohayu Mat Rawi, 36, berkata, setelah hampir 14 tahun dia memohon rumah itu akhirnya pada hari ini dia berjaya menetap di rumah baharu itu. “Pemberian rumah  yang diterima itu sangat membantu ekonomi kami sekeluarga yang hanya bergantung kepada pendapatan suami, Mohd Syazwan Mat Daud yang bekerja sebagai jurujual,” katanya. Katanya lagi, pemberian rumah itu juga adalah sebagai ganti kepada rumah pusaka arwah ibu dan ayah yang terbakar pada pertengahan Ramadan 2006. Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Ariffin Deraman berkata, lebih 100 individu memohon rumah PPTS dan hanya empat rumah dapat dibina dalam tempoh setahun membabitkan peruntukan peruntukan RM200,000  di DUN terbabit. Katanya, pihaknya mengutamakan mereka yang sangat memerlukan antaranya sebagai ganti rumah yang ditimpa bencana, termasuk kebakaran, banjir, ribut dan rumah yang dikategorikan sangat uzur. “Apa yang pastinya, agihan rumah PPTS secara percuma itu sangat membantu ekonomi keluarga penerima, termasuk jimat duit untuk sewa rumah,” tambah beliau.  
20 Jul 20
779