lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Terengganu Benar Aktiviti Agama, Kemasyarakatan Di Masjid, Surau Bermula Esok
Terengganu Benar Aktiviti Agama, Kemasyarakatan Di Masjid, Surau Bermula Esok
KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memberi perkenan untuk membenarkan semua aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan dilakukan di masjid serta surau di negeri berkenaan bermula esok. Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato' Osman Muda walau bagaimanapun berkata, kebenaran perluasan aktiviti-aktiviti tersebut tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan pihak berkuasa. "Kebenaran menyampaikan kuliah atau pengajaran agama kepada semua pemegang tauliah yang dilantik MAIDAM turut diberikan. "Jawatankuasa masjid dan surau dikehendaki membuat pemantauan supaya SOP dipatuhi oleh semua yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini. Menurut beliau, sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan tertakluk kepada arahan pihak berkuasa. "Sultan Mizan Zainal Abidin juga menyeru kepada rakyat jelata supaya tidak mengambil ringan akan arahan pihak berkuasa dalam mendepani wabak COVID-19," tambah Osman.  
31 Jul 20
3221
YADIM Santuni 100 Asnaf  Di DUN Manir
YADIM Santuni 100 Asnaf  Di DUN Manir
  Oleh: Ahmad Mawardi HULU TERENGGANU, 31 Julai - Seramai 100 orang asnaf yang terkesan dengan penularan Covid-19 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, menerima sumbangan (food basket) mengandungi barangan keperluan harian daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Terengganu, semalam. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Ustaz Hilmi Dato' Harun berkata, program yang berlandaskan dakwah itu mengajak kepada kebaikan dan kebajikan serta perkongsian rezeki secara bersama-sama. "Ia suatu tugas yang harus dipikul dan bekerjasama dalam menjalankan gerakan dakwah dan membantu masyarakat. "Program bantuan ini adalah tanda sokongan usaha dan keprihatinan agensi-agensi kerajaan kepada golongan asnaf dari usaha tanggungjawab sosial,” katanya. Beliau yang juga ADUN Manir  berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Program Yadim Peduli : Cuci-Cuci dan Musa’adah Pasca Covid-19 Terengganu di Dewan Tuan Guru Harun Taib Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah, Kubang Lembik, Manir.  Majlis perasmian dan serta penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.   Turur hadir , Yang Dipertua YADIM,  Ustaz Nasruddin Hassan dan Ketua Pengawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh. Sementara itu, program ini dimulakan seawal jam 7.30 pagi dengan pembahagian peserta sebelum kerja mencuci dan sanitasi dimulakan, seterusnya diakhiri pembahagian bantuan PASCA Covid19 kepada asnaf.
31 Jul 20
249
Alasan Kemiskinan Bukan Sebab Nilai Pendidikan Menjadi Luntur
Alasan Kemiskinan Bukan Sebab Nilai Pendidikan Menjadi Luntur
  Oleh : Azhar Yusof HULU TERENGGANU, 29 Julai -  "Faktor kemiskinan ibu bapa bukan alasan untuk anak-anak tidak menikmati pendidikan sempurna di negeri ini," tegas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah Pendidikan Dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Maliaman Kassim. Beliau berkata, kemiskinan itu wajar dijadikan cabaran ibu bapa bagi mengubah corak kehidupan masa depan anak-anak melalui pendidikan. Katanya, ibu bapa juga perlu menjadikan pendidikan sebagai agenda utama dalam keluarga kerana dengan pendidikan sahaja berupaya mengubah nasib keluarga dan keluar dari belenggu kemiskinan. “Kita harus pastikan semua anak kita yang menuntut ilmu agar mereka menjadi insan berjaya kerana belajar bukan satu prasyarat keperluan sahaja, jangan biar anak-anak kita tercicir dalam pendidikan. “Jadi tidak ada alasan untuk ibu bapa tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah hanya kerana kemiskinan. “Harapan kita, ibu bapa perlu berusaha untuk memberi rangsangan kepada anak-anak untuk minat ke sekolah dapat dicapai sekali gus meningkatkan prestasi pembelajaran  untuk berjaya dalam bidang pendidikan yang akan mengubah nasib sesebuah keluarga,” ujarnya. Beliau berkata demikian pada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas lawatan kerja ke sekolah-sekolah dalam DUN Ajil, di Sekolah Kebangsaan Peroh, hari ini. Maliaman  yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil turut menggesa guru supaya berkongsi maklumat murid yang dikategorikan sebagai miskin tegar kepadanya agar dapat memastikan bantuan yang sepatutnya diberikan bagi memastikan ibu bapa dapat menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Jelasnya, ia bagi memastikan semua masyarakat terutamanya di kawasan luar bandar mendapat pembelaan yang berterusan daripada kerajaan. Tambah Maliaman lagi, kepentingan pendidikan untuk anak-anak perlu disedari oleh ibu bapa bukan sahaja untuk mengubah keluarga malah negara ini.   
29 Jul 20
1616
Mesin ATM Anak Ikan Beri Manfaat kepada Lebih 10,000 Penduduk
Mesin ATM Anak Ikan Beri Manfaat kepada Lebih 10,000 Penduduk
Oleh : Muhammad A Rahman SETIU, 29 Julai – Kewujudan Mesin Juruwang Automatik (ATM) di Stesen Minyak Petron Kampung Anak Ikan bakal memberi manfaat kepada lebih 10,000 penduduk di sekitar kawasan terbabit. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, rata-rata rakyat di kawasan terbabit melahirkan rasa lega apabila tidak perlu lagi bergerak sejauh 15 hingga 20 kilometer untuk melakukan transaksi harian. “Sebelum ini penduduk dari kampung-kampung sekitar seperti dari Kampung Bintang, Felda Selasih, Kampung Anak Ikan dan Kampung Tok Dor terpaksa ke Pekan Jabi. “Saya berterima kasih atas kesabaran penduduk setempat yang sudah terlalu lama menanti kehadiran sebuat mesin ATM di kawasan ini,” katanya selepas merasmikan mesin ATM Bank Simpanan Nasional di sini kelmarin. Menurut beliau lagi, kesukaran yang dihadapi rakyat itu sering diadu kepadanya dalam setiap pertemuan. “Alhamdulillah, hari ini masalah itu dapat diselesaikan dengan baik, semoga orang ramai dapat memanfaatkan mesin ATM ini,” tambahnya.
29 Jul 20
976
Hijrah Tidak Sama Makna Dengan Pelarian
Hijrah Tidak Sama Makna Dengan Pelarian
Oleh : Adli Mohamad /Foto : Wan Hadi PUTRAJAYA, 29 Julai - Istilah ataupun terma penggunaan perkataan hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah dari Mekah ke Madinah tidak boleh disamakan dengan makna pelarian. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, tindakan Rasulullah berdasarkan perintah serta tuntutan bersumberkan wahyu. "Bukan bermakna Rasulullah melarikan diri dengan hanya melarikan diri begitu (sahaja) tetapi adalah atas perintah dan tuntutan Allah SWT dan istilah hijrah berbeza sangat dalam mana-mana terma dari segi agama berbanding dengan yang lain," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Parlimen Sabak Bernam, Dato' Mohd Fasiah Mohd Fakeh mengenai istilah yang mengelirukan daripada Ahli Parlimen Kota Raja, Muhamad Sabu, di Persidangan Dewan Parlimen, semalam. Dalam pada itu, Dr. Zulkifli berkata kerajaan akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas berdasarkan undang-undang terhadap mana-mana individu atau kumpulan bertujuan menghasut dan merendahkan ajaran Islam. "Dari segi akidah, ibadah dan syariat Islam (Perundangan Islam) Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan sentiasa bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan semua pihak berkuasa agama negeri bagi mengekang aktiviti penghinaan agama yang tidak sihat ini, "tegasnya. Justeru, katanya usaha akan dipergiat bagi menyampaikan kefahaman mengenai keindahan Islam kepada seluruh rakyat. "Bagi memperbetulkan banyak salah faham sekaligus meredakan kes-kes penghinaan yang mungkin berpunca daripada silap faham terhadap ajaran Islam," katanya. Tegas beliau, Islam merupakan ajaran agama nasihat berkonsepkan berpesan-pesan kepada kebenaran dengan penuh kesabaran.  
29 Jul 20
554
110 Pelajar DUN Manir Terima Anugerah
110 Pelajar DUN Manir Terima Anugerah
  Oleh: Ahmad Mawardi HULU TERENGGANU, 29 Julai - Seramai 110 pelajar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir yang cemerlang bidang akademik juga agama tahun lalu menerima anugerah kecemerlangan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Manir, semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato' Harun berkata ia selari dengan kehendak kerajaan negeri yang mengutamakan modal insan seperti pelajar cemerlang dan sangat komited untuk membantu meningkatkan akademik pelajar yang mempunyai pelbagai potensi untuk diketengahkan. “Agama Islam sentiasa memuliakan dan meninggikan kedudukan orang yang berilmu dan ilmu merupakan anugerah Allah SWT yang  sangat bernilai bahkan tidak mampu dibayar dengan wang ringgit. “Bertambah beruntung andai kita menjalankan amanah itu dengan penuh ikhlas dan tawakal kepada Allah SWT," katanya.  Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis perasmian Anugerah Kecemerlangan di Dewan Utama Dato' Tuan Guru Harun Taib, Kompleks Al-Kawthar kampung Kubang Lembek. Turut hadir Penyelia i-MiTs Manir, Ustaz Mohd Harun Esa, Penghulu Mukim Belara, Mazlan Ismail, Penghulu Mukim Lot Manir, Khairul Shahril Othman dan Guru-guru sekolah dalam DUN Manir. Sementara itu, pelajar-pelajar yang diraikan kali ini merupakan mereka yang berjaya dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Islam (UPSRI), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Syahadah Thanawi , Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Tahfiz 30 juzuk.
29 Jul 20
897
25 Jalan Di DUN Batu Buruk Selesai Diturap
25 Jalan Di DUN Batu Buruk Selesai Diturap
Oleh : Akid Hafriz KUALA TERENGGANU, 28 Julai – Sebanyak 25 jalan kampung dan perkarangan surau dalam dun Batu Buruk telah diturap untuk kemudahan dan kegunaan masyarakat setempat. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata kerja-kerja penurapan jalan tersebut merupakan inisiatif pihak Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan dalam usaha menjaga kebajikan rakyat. Perkarangan Surau Kampung Pantai Batu Buruk antara lokasi yang telah diturap setelah 10 tahun permohonan dibuat untuk dijadikan kawasan parkir dan dataran bagi menjalankan majlis tertentu. “Dataran ini sangat berguna bukan sahaja untuk dijadikan tempat parkir surau, malah ia juga boleh digunakan untuk mengadakan majlis-majlis berkaitan," kata Muhammad Khalil ketika membuat tinjauan ke lokasi tersebut, semalam. Kerja-kerja penurapan jalan tersebut dijalankan secara berperingkat bermula beberapa minggu yang lalu.
28 Jul 20
999
Pelancaran Bulan Kebangsaan, Kibar Jalur Gemilang Penuh Semangat Patriotik
Pelancaran Bulan Kebangsaan, Kibar Jalur Gemilang Penuh Semangat Patriotik
KUALA TERENGGANU, 28 Julai - Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 di Terengganu hari ini berlangsung dalam suasana penuh semangat patriotik meskipun Malaysia masih dilanda wabak COVID-19. Pelancaran yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu diadakan di Dewan Besar, Wisma Darul Iman dengan kehadiran terhad kepada 200 peserta bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Acara dimulakan dengan siaran amanat daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipancarkan secara langsung ke seluruh negera. Usai mendengar amanat Perdana Menteri dan ucapan perasmian oleh Menteri Besar, majlis diteruskan dengan penyerahkan Jalur Gemilang dan disusuli dengan upacara menaikkan bendera oleh Pasukan Simpanan Tentera Laut DiRaja Malaysia dan nyanyian Lagu Negaraku dan Jalur Gemilang. Kemudian, bacaan ikrar rukun negara dan penyerahan bendera jalur gemilang sebanyak 2,000 keping setiap daerah yang diwakili oleh pegawai daerah, pegawai persekutuan, badan uniform, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta. Majlis tersebut diakhiri dengan gimik pelancaran melekatkan bendera Jalur Gemilang di kenderaan-kenderaan jabatan oleh Dr Ahmad Samsuri. Sementara itu, Dr Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata, dalam situasi negara berhadapan pandemik COVID-19, acara sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini juga diadakan secara sederhana dan terpaksa dihadkan.  Katanya, pengalaman hidup semasa tempoh Perintahan Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dahulu dan tempoh Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini telah banyak mengajar masyarakat erti kebebasan sebenar dan nilai sebuah kemerdekaan.  “Kita seumpamanya telah dijajah dan dikawal oleh satu kuasa lain yang mengawal pergerakan kita, mengawal kehidupan kita dan mengawal segala-galanya. Hingga kini kita tidak boleh bebas seperti biasa, akibat pandemik COVID-19.  “Oleh kerana itu, untuk kita merdeka daripada pandemik COVID-19 ini, ia sangat memerlukan kerjasama seluruh rakyat Malaysia untuk lebih berdisiplin, memiliki jati diri yang tinggi, semangat patriotisme yang kukuh mengikuti SOP yang ditetapkan oleh kerajaan,” ujarnya.
28 Jul 20
405
15 Sangkar Penyembelihan Mudah Alih Digunakan Sempena Aidiladha
15 Sangkar Penyembelihan Mudah Alih Digunakan Sempena Aidiladha
Oleh : Fidee Aziz KUALA LUMPUR, 27 Julai – Sebanyak 15 sangkar penyembelihan mudah alih akan digunakan di Kuala Lumpur, Terengganu, Negeri Sembilan dan Johor dalam aktiviti korban sempena Hari Raya Aidiladha Jumaat nanti. Timbalan Menteri Sains,Teknologi & Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim berkata, penggunaan sangkar bernilai RM25,000 itu merupakan kesempatan yang baik untuk memperkenalkan inovasi baharu dalam aktiviti penyembelihan haiwan korban. Ahmad Amzad ketika ditemui media. "Malah inisiatif ini juga mampu mengurangkan tenaga orang ramai di dalam proses penyembelihan. "Dalam menghadapi COVID-19, antara faktor-faktor yang sangat penting kita mendidik masyarakat kita adalah aspek kebersihan. "Kaedah menggunakan sangkar ini kita dapat mempertingkatkan aspek kebersihan kerana sebaik sahaja lembu disembelih ia akan diletakkan di dalam troli dan akan dibawa ke tempat lain untuk diuruskan," katanya. Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan dan Latihan Pengendalian Sangkar Penyembelihan Mudah Alih di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini. Mengulas lanjut, Ahmad Amzad berkata, sebagai sebuah kementerian yang menggalakkan inovasi, MOSTI akan sentiasa mencari jalan untuk menambah baik sistem sedia ada. "Inovasi ini akan mengundang keterujaaan pelbagai pihak apabila mula digunapakai pada ibadah korban tahun ini serta mendapat sambutan di seluruh negara," tambah beliau.
27 Jul 20
883
Tak Patuh SOP, 111 Premis Makanan Di Terengganu Diarah Tutup
Tak Patuh SOP, 111 Premis Makanan Di Terengganu Diarah Tutup
KUALA TERENGGANU, 27 Julai – Sebanyak 111 premis makanan di negeri ini diarah tutup kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang ditetapkan.  Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak memaklumkan ia termasuk 14 premis yang dihentikan operasinya hari ini akibat kesalahan pelanggaran SOP. Katanya, kesemua kesalahan itu dikesan dalam Operasi Patuh Khas PKPP Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sejak 10 Jun lalu. “Daripada jumlah keseluruhan itu, Kemaman adalah paling tinggi apabila merekodkan 47 buah, diikuti Kuala Terengganu (32), Setiu (13), Besut (10), Dungun (8) dan Kuala Nerus (1), penutupan biasanya selama tiga hingga tujuh hari untuk premis terbabit mencukupkan syarat pematuhan SOP. “Antara kesalahan dilakukan ialah tidak merekodkan butiran pelanggan dan tiada penjarakkan dua meter antara meja pelanggan,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika dihubungi hari ini. Dr Alias. Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, tempoh penutupan juga bergantung kepada tahap kebersihan premis. “Tindakan ini dilakukan di bawah Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” jelasnya. Tambah beliau, sehingga kini pihaknya telah memeriksa sebanyak 3,662 premis makanan serta mengesan sebanyak 115 kesalahan. “Angka itu mungkin bertambah memandangkan terdapat lagi beberapa daerah yang masih belum dijalankan. Penguatkuasaan akan dilakukan dari masa ke masa bagi memastikan masyarakat mematuhi SOP yang dikeluarkan sepanjang tempoh PKPP yang berakhir 31 Ogos nanti,” katanya. Tegasnya lagi, Ops pematuhan SOP bukan untuk mencari kesalahan masyarakat tetapi mahu memastikan tahap kepatuhan demi menjamin keselamatan orang ramai.
27 Jul 20
8888