Artikel "Semasa" Terkini
Pendaftaran 700 Pelajar PSMZA Secara Berperingkat Mulai Hari Ini
DUNGUN, 4 Ogos - Pendaftaran 700 pelajar baharu di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) bagi kemasukan sesi Jun 2020 diadakan secara berperingkat mulai hari ini.
Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PSMZA, Yaswadi Mat Yasim berkata, pihaknya melaksanakan sesi pendaftaran dengan cara berbeza dari tahun-tahun sebelumnya disebabkan wabak COVID-19 masih belum reda sepenuhnya.
"Pendaftaran sesi Jun 2020 hari ini berbeza daripada sesi-sesi sebelumnya kerana ia dilaksanakan dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan.
"Dengan menjaga peraturan dan Tatacara Pengendalian Piawaian (SOP) yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan Malaysia dan Kementeri Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.
Yaswadi berkata demikian ketika meninjau perjalanan Pendaftaran Pelajar Baharu Kemasukan Sesi Jun 2020 yang diadakan di Dewan Dagang, PSMZA di sini.
Menurutnya, seramai 400 orang pelajar baharu telah mendaftarkan diri di hari pertama yang dilaksanakan sesi pagi dan petang.
"Hari kedua pendaftaran pelajar baharu akan berlangsung pada 6 Ogos 2020 nanti dan dijangka seramai 300 orang lagi pelajar yang akan mendaftarkan diri.
"Dengan semua pelajar wajib memakai pelitup muka tiga lapis bagi dan manjaga penjarakan fizikal bagi melindungi diri daripada virus COVID-19," ujarnya lagi.
04 Aug 20
1580
DUN Batu Buruk Agih 2,000 Kilogram Daging Korban
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos – Sebanyak dua tan daging korban diagihkan dalam Program Korban Perdana di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi memaklumkan, sebanyak 12 ekor lembu dikorbankan untuk diagihkan melalui setiap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
"Sebanyak 36 MPKK dalam DUN ini telah turun memberikan kerjasama dan mengambil bahagian dalam tugas-tugas membungkus daging korban untuk diagihkan.
"Sebanyak 100 beg daging disalurkan kepada setiap MPKK untuk diagihkan kepada masyarakat setempat," katanya kepada Urus Setia Darul Iman (UPDI), di lokasi program tahunan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk itu dalam menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha.
Di samping itu jelasnya, semua petugas yang hadir telah mengikuti garis panduan kesihatan yang telah ditetapkan.
04 Aug 20
180
Dr Azman Korban Lembu Sado 3.2 Tan Untuk Penduduk Jabi
SETIU, 4 Ogos - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim menampilkan kelainan pada ibadah korban sempena Aidiladha tahun ini dengan menyembelih lapan ekor lembu jenis Charolais, Belgian Blue dan Limousine semalam.
Apa yang menarik, haiwan korban atau digelar lembu sado itu mempunyai saiz yang besar dengan berat keseluruhan kira-kira 3.2 tan.
Dr Azman berkata, ia merupakan program korban yang julung-julung kalinya diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan dengan melibatkan skala besar.
"Di hari Tasyriq yang terakhir, program Korban Perdana DUN Jabi disempurnakan dengan penyembelihan lapan ekor lembu sado baka bernilai kira-kira RM100,000.
"Ia mencukupi untuk dipastikan daging korban ini sampai ke setiap 6,000 buah rumah dalam DUN Jabi, kuantiti daging yang mampu kita agihkan ke setiap rumah tidaklah banyak. Tapi bolehlah sama-sama merasa keenakkan daging lembu sado," katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita di Program Korban Perdana peringkat DUN Jabi di Dataran Pekan Jabi, di sini.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada para petugas yang bertungkus-lumus bermula daripada awal persiapan, proses penyembelihan serta pengagihan ke setiap rumah penduduk.
"Kunci kejayaan program yang paling utama ialah semangat kerjasama para petugas dari Pusat Khidmat ADUN Jabi, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jabatan Amal, Jabatan Keselamatan, Pemuda, Muslimat, Ameerah dan kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu," tambah beliau.
04 Aug 20
1274
Pembinaan LPT 3, Gemuroh-Tumpat Bantu Kurangkan Kesesakan
Oleh : Muhammad A Rahman
KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Pembinaan Lebuhraya Pantai Timur fasa 3 (LPT3) sejauh 150 kilometer yang bermula dari Gemuroh, Terengganu ke Tumpat, Kelantan mampu mengurangkan kesesakan yang berlaku di sekitar kawasan terbabit.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, daerah Setiu merupakan pintu masuk kepada pengguna jalan raya yang menggunakan LPT2 untuk ke Kota Bharu.
"Perkara tersebut menjadi lebih parah apabila tibanya musim perayaan, justeru sekiranya projek LPT3 dapat disegerakan masalah kesesakan yang berlaku pasti dapat dibendung,” ujar beliau perbahasan usul titah Yang di-Pertuan Agong, bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, di sini baru-baru ini
Menjawab perkara yang dibangkitkan itu semalam, Menteri Kanan Infrastruktur yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelaksanaan pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) telah diluluskan dengan kos kerja-kerja awalan keseluruhan berjumlah RM35 juta.
Katanya, ia diluluskan menerusi satu surat bertarikh 3 Julai 2019 daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri.
"Kerja awalan projek tersebut telah bermula pada Ogos 2020 dan dijangka siap April 2022.
"Oleh yang demikian, hala tuju, skop dan tarikh pelaksanaan bagi projek LPT3 ini hanya dapat dimuktamadkan setelah laporan kerja awalan bagi projek ini diperoleh," tambah beliau.
04 Aug 20
19595
THP-YT Kini Rasmi Milik Anak Syarikat TDM Berhad
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos – THP-YT Plantation Sdn Bhd dari TH Plantation Berhad ('THP') kini telah menjadi salah satu anak syarikat di bawah TDM Berhad pada 1 Ogos 2020 secara rasmi.
Pengerusi TDM Berhad, YM Raja Dato’ Haji Idris Raja Kamarudin berkata dibawah Pelan Pembangunan Perniagaan kami ("BDP"), Kumpulan sentiasa mencari aset yang telah dibangunkan dan mempunyai potensi untuk mencapai pendapatan akretif dalam kedua-dua sektor perladangan dan juga kesihatan.
“Pengambilalihan ini adalah sebahagian daripada strategi keseluruhan Kumpulan untuk meningkatkan profil umur purata dan mengurangkan turun naik dalam hasil pendapatan.
“TDM meletakkan kedudukan secara strategik untuk terus berdaya saing dalam keadaan pasaran yang sangat mencabar,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.
Tambah beliau lagi, TDM Berhad juga telah mengambil alih pengurusan dan tadbir urus operasi ladang Bukit Bidong seluas 2,594.50 ha yang terletak berhampiran dengan kilang minyak sawit TDM Sungai Tong.
“Pengambilalihan ini akan meningkatkan jumlah kawasan tanaman TDM di Terengganu dari 31,346 hektar kepada 33,653 hektar. Di samping itu, profil usia antara dua hingga sembilan tahun akan meningkatkan profil umur purata tanaman keseluruhan TDM secara positif.
“Ini turut merupakan sebahagian daripada rancangan untuk perluasan perladangan dan meningkatkan keluasan tanaman di Terengganu.Oleh itu, pengambilalihan ini dijangka berupaya mengoptimumkan kapasiti dan kecekapan pemprosesan BTS, dan selanjutnya menurunkan kos pemprosesan di kilang minyak sawit TDM.
"TDM yakin bahawa nilai strategik yang bakal diperolehi daripada pemerolehan ini akan di diiterjemahkan ke dalam kecekapan operasi untuk meningkatkan keuntungan dalam jangka masa panjang," kata YM Raja Dato 'Haji Idris.
Untuk rekod, anak syarikat milik penuh TDM Berhad iaitu TDM Plantation Sdn Bhd telah ditauliahkan oleh Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) pada 2013 sebagai syarikat perladangan pertama di Terengganu yang melangkaui amalan piawaian dan diberikan 100 peratus pensijilan RSPO.
04 Aug 20
1985
Gara-Gara Lelaki Berbasikal, Mok Nah Dah Popular
Oleh : Adli Mohamad
HULU TERENGGANU, 3 Ogos- Fatimah Jusoh, 71, atau lebih mesra dikenali sebagai 'Mok Nah' dari Kampung Matang tidak menyangka dirinya tular di media sosial, gara-gara lelaki berbasikal dari Kuala Lumpur yang singgah di kediamannya.
Mok Nah berkata, layanan baik terhadap tetamu merupakan kebiasaan pada dirinya termasuklah kepada lelaki datang dari Kuala Lumpur tersebut.
"Tidak perlu nak dihebohkan, kalau boleh biarlah tangan kanan memberi, tangan kiri tidak tahu. Lagi pula Mok Nah lihat lelaki itu tercegat di hadapan kedai dalam kepenatan. Masa nak bayar tu Mok Nah bergurau dengan dia, Mok Nah kata raya-raya ni mana ada kedai, tak bagitau hal sebenar bahawa kediaman itu juga merupakan kedai sebenarnya.
"Mok Nah terkejut apabila dimaklumkan oleh anak dan cucu bahawa seluruh Malaysia dah tahu mengenai perkara ini. Kebetulan ketika lelaki itu datang, dia dijamu dengan Nasi Dagang. Kalau hari biasa memang Mok Nah berjualan Nasi Minyak, Nasi Kerabu, Nasi Dagang, dan Nasi Lemak," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman, di Kampung Matang, hari ini.
Katanya, kerana peristiwa yang ditularkan Mohd Karbi Mominin, 51, dari Kuala Lumpur itu yang berbasikal seorang diri ke Kuala Berang, dia menerima panggilan tidak henti-henti sejak hari itu.
"Semalam sahaja lebih dari 13 panggilan yang diterima, dan ada juga dari wartawan-wartawan, tapi Mok Nah tidak selesa menjadi hebahan,"jelasnya.
Mengulas mengenai lelaki berkenaan, katanya pada hari tersebut, lelaki berkenaan kelihatan agak penat.
"Berhenti di depan rumah, dia kata payah nak temui kedai makan, jadi jemputlah dia makan, suka sangat dia makan Nasi Dagang dari Terengganu, tambah pula saya bercakap didalam 'loghat' Terengganu lagi dia suka, ketika hendak balik saya hendak bagi dia makanan sebagai bekalan takut lapar tengah jalan.
"Dia kata sukar hendak bawa bekal makanan kerana dia hanya berbasikal. Sebelum balik sempat dia ambil gambar saya, saya kata pada dia buat apa hendak ambil gambar orang tua ni, tak sangka untuk dihebahkan di media sosial menceritakan pengalamannya," ujarnya.
Terdahulu, Mohd Karbi telah memuatnaik status di facebook miliknya tentang kejadian tersebut selepas singgah di rumah yang disangkakan kedai selepas melakukan kayuhan 70 km, dari Tasik Kenyir setelah kepenatan dan ingin mendapatkan makanan.
03 Aug 20
23773
Korban Perdana Serlahkan Semangat Veteran dan Belia
Oleh: Ahmad Mawardi
HULU TERENGGANU, 2 Ogos -Majlis Korban Perdana peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir berjaya menyerlahkan semangat perpaduan antara golongan veteran dan belia dalam menjayakan di sini, semalam.
ADUN Manir, Ustaz Hilmi Dato' Harun berkata, berharap budaya itu akan diteruskan pada masa akan datang dan semua peserta yang terlibat dapat menghayati ibadah korban sebaik-baiknya.
“Penglibatan peserta dan petugas menunjukkan bahawa majlis ibadah korban adalah komitmen untuk semua dan ia bukan tugas orang vateran sahaja sebaliknya semua perlu terlibat.
“Saya memuji semangat petugas kerana sejak awal pagi sudah mula hadir untuk menjayakan majlis ibadah korban ini.
"Malah, saya juga ingin memastikan lebih ramai anak muda dapat belajar dan terlibat untuk ambil alih melakukan ibadah korban pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ibadah Korban Perdana 1441H di dataran belakang Kompleks Tarbiah Al-Kawthar Kubang Lembek Manir.
Terdahulu, sebanyak 30 ekor lembu dikorbankan pada hari raya pertama dan kedua, manakala tiga ekor lembu sado mendapat perhatian dalam majlis tersebut.
Menurut Hilmi, daging-daging korban tersebut diagihkan kepada asnaf terpilih di 22 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Manir masing-masing untuk dinikmati dan dirasa bersama.
02 Aug 20
372
Ibadah Korban Sucikan Jiwa, Erat Silaturahim
HULU TERENGGANU, 1 Ogos- Kesediaan kerajaan memperhalusi pelaksanaan ibadah korban wajar dipuji walaupun dalam senario pandemik dan wajib dipatuhi atas kriteria kepentingan umum yang dibenarkan syarak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, walaupun dengan ‘kekangan’ prosedur operasi standard (SOP), namun ibadah korban dapat dilaksanakan dengan sempurna demi menghidupkan syiar Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S.
"Jika kita benar-benar memahami sejarah berlakunya ibadah korban serta menghayati kisah Habil dan Qabil, maka ia akan mendidik jiwa sosial yang tinggi atau dalam erti kata lain, peka terhadap sosio-ekonomi dalam masyarakat.
"Ini kerana ibadah korban memberi impak tinggi terhadap sosial masyarakat dengan mengeratkan hubungan silaturahim antara adik-beradik, jiran tetangga, sahabat handai dan ramai lagi.
"Ibadah korban merupakan rahmat Allah SWT kepada manusia tanpa mengira pangkat, darjat, usia dan bangsa,"ujarnya.
Menurut Maliaman, korban juga mendidik manusia memberi sesuatu yang terbaik dan bernilai kepada orang yang dikasihinya.
"Ibadah korban juga dapat melatih dan mendidik individu Muslim itu untuk bersikap dermawan.
"Perkara ini jelas menunjukkan bahawa Islam mengambil berat masalah yang dihadapi oleh golongan yang kurang bernasib baik,"tambah beliau.
01 Aug 20
502
Muafakat Semua Pihak, Jayakan Ibadah Korban
Kebimbangan umat Islam khususnya di negara ini mengenai Aidiladha dan ibadah korban berakhir, sekali gus boleh menarik nafas lega apabila Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaannya.
Ini membuktikan mesej kerajaan hari ini yang amat mengambil berat hal ibadah umat Islam dan hak Muslim untuk melaksanakan korban yang menjadi simbolik kepada pengabdian hamba kepada Allah SWT.
Pada masa sama, kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sangat tegas mengawal penularan wabak COVID-19 melalui arahan tetap serta garis panduan pelaksanaan ibadah lain dengan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) yang selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Tanpa kerjasama dan muafakat semua kementerian, kerajaan sukar memperhalusi hal ehwal umat Islam di negara ini dalam situasi penularan wabak mengorbankan ratusan ribu nyawa. Ia bukan sekadar jawatan dan duduk di kerusi pejabat, sebaliknya memerlukan pengorbanan hampir semua agensi kerajaan sesuai dengan peranan masing-masing. Pengorbanan ini memerlukan kerahan fizikal, mental dan emosi tanpa pengecualian.
Kesediaan kerajaan memperhalusi pelaksanaan ibadah korban wajar dipuji walaupun dalam senario pandemik. Ini bertepatan dengan Islam yang mendidik manusia agar menyediakan strategi dan tindakan kemudian barulah menyerahkan semua urusan kepada-Nya.
Pengorbanan perlu menyeluruh dan konsisten. Ia bukan sekadar dibaca dan didengar, bahkan membabitkan pengorbanan dalam menyokong usaha kerajaan. Ibadah korban normal baharu ini wajib dipatuhi atas kriteria kepentingan umum yang dibenarkan syarak. Umat Islam ditegah memperlekeh dan tidak memperdulikannya.
Contohnya, kepatuhan aktiviti berkaitan ibadah korban adalah mengelakkan menerima kehadiran tetamu dalam kalangan pesakit dalam siasatan (PUI) dan pesakit bawah pemantauan (PUS).
Jamuan secara berhidang atau layanan pramusaji juga dibenarkan kecuali bufet layan diri. Selain itu, penganjur perlu melaporkan program korban yang akan dijalankan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD). Tepat pada masanya untuk umat Islam menekuni falsafah di sebalik pelaksanaan korban ini dengan berkorban mematuhi syarat baharu.
Pada masa sama, pihak penganjur boleh memberi idea lebih baik untuk pelaksanaan sembelihan lebih efisien dan sistematik sesuai dengan pelaksanaan 3S, iaitu elakkan sesak, sempit dan sembang dalam jarak dekat.
Kawalan terhadap pelaksanaan ibadah korban penganjur sama ada masjid, surau atau individu memperlihatkan normal baharu, sekali gus lambang ketinggian iman dan Islam.
Dengan melihat kepatuhan terhadap pelaksanaan korban dalam era PKPP ini, kita juga mahu umat Islam meluaskan ciptaan kreatif dan inovatif khususnya di masjid dan surau agar seiring kemajuan teknologi memudahkan Muslim melaksanakan ibadah.
Penggunaan alat pengimbas suhu auto, khutbah lebih padat dan bertenaga sehingga teknologi mesin penyembelihan akan menjadi norma baharu dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Dengan pengorbanan semua, segala pendekatan direncana kerajaan selepas ini akan membawa perubahan ketara dalam masyarakat dan umat Islam di negara ini khususnya.
Kerajaan sudah melaksanakan tanggungjawab secara serius memastikan rakyat berada keadaan terkawal. Cuma, jika bukan kita menyokongnya, siapa lagi hendak dipersalahkan.
Penulis adalah Pensyarah Kolej GENIUS Insan, Universiti Sains Islam Malaysia.
01 Aug 20
747
Korban Lembu ‘Sado’ Jadi Perhatian
Oleh : Azhar Yusof
HULU TERENGGANU, 1 Ogos - Seekor lembu baka Charolais seberat 970 kilogram (kg) menjadi perhatian penduduk sekitar apabila dikorbankan di Ajil sempena sambutan Aidiladha tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, ini kali pertama pihaknya membeli lembu baka ini untuk ibadah korban sejak program korban perdana diadakan kira kira empat tahun lalu.
Katanya, lembu baka Charolais bernilai lebih RM15,000 ini dibeli bersama seekor lagi lembu baka Belgian Blue dan 15 ekor lembu baka tempatan dengan peruntukan dari kerajaan negeri untuk diagihkan kepada Unit Daerah Mengundi (UDM) Ajil.
"Proses penyembelihan lembu sado ini memerlukan tenaga kerja hampir 10 orang dan mengambil masa lebih sejam.
"Jumlah daging yang berjaya diperolehi daripada lembu baka ini sebanyak 420 kg berbanding lembu kampung hanya 80 kg hingga 120 kg seekor.
“Kta lerakkan sebanyak 600 gram bagi setiap bungkusan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan dan penduduk sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui selepas berakhirnya ibadah menyembelih haiwan korban di perkarangan kediamannya hari ini.
Sementara itu, tukang sembelih, Mohd Amirul Ibrahim, berkata, proses penyembelihan lembu ini tidaklah sesukar seperti melihat fizikalnya yang besar.
"Cuma proses menumbangkannya memerlukan lebih fizikal manusia dan masa,"ujarnya.
01 Aug 20
4231