Artikel "Semasa" Terkini
Peguam Mohon Terengganu Bertindak Segera, Sedia Beri Kerjasama
KUALA NERUS, 6 Ogos- Kerajaan Terengganu perlu bertindak segera menangani dakwaan penyelewangan dalam tuntutan pampasan berhubung projek mega Taman Ilmu di Tembila, Besut.
Itu gesaan yang disuarakan peguam, Dato’ Abu Backer Sidek ketika membentangkan isu berkenaan kepada pihak media di Raia Hotel, hari ini.
Jelasnya, dengan struktur besar yang dimiliki, kerajaan negeri boleh menghalang pihak terbabit daripada membuat tuntutan pampasan kepada kerajaan.
Abu Backer menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
“Saya menyarankan kerajaan negeri untuk membuat kajian semula kehakiman (judicial review) dan penghakiman persetujuan itu boleh dibawa ke mahkamah untuk membatalkan tuntutan tersebut atas alasan ia dicapai dengan cara penipuan dan rasuah.
“Dengan cara itu, kita boleh batalkan penghakiman dan membuang semua tuntutan kepada kerajaan negeri,” katanya dalam sidang media yang turut disiarkan secara langsung di laman Facebook TV Darul Iman.
Tambahnya, kerajaan negeri juga berpeluang memperolehi semula wang yang telah diberikan kepada pihak terbabit sebagai pampasan sebanyak RM45 juta sebelum ini.
“Berkenaan RM45 juta yang telah dibayar oleh kerajaan negeri lalu, kita berpeluang mendapatkan sebahagian daripadanya sebab polis boleh bertindak atas pelaburan wang haram (money laundering) dengan bukti-bukti yang ada.
“Penilaian saya, kalau dilakukan kita mampu mendapatkan kembali lebih kurang RM25 juta dan mungkin lebih,” katanya yang turut menyatakan sedia untuk berkerjasama dalam menyelesaikan isu tersebut.
06 Aug 20
3220
Penantian 27 Tahun Miliki Air Bersih Tercapai
MARANG, 5 Ogos - Penantian dan impian keluarga Siti Nuraisyah Abdul Latif, 44, sejak 27 tahun lalu untuk memiliki bekalan air bersih akhirnya tercapai apabila bekalan air mula dipasang dua hari sebelum hari raya Aidiladha baru-baru ini.
Sebelum ini, keluarganya terpaksa menggunakan air telaga yang kurang bersih dan apabila tiba musim panas, Nuraisyah terpaksa berulang alik ke surau berdekatan yang melebihi satu kilometer dari rumahnya untuk mendapat keperluan air.
“Apabila menggunakan air telaga, baju putih atau baju sekolah anak-anak bertukar kekuningan, air juga berbau dan terasa masam, malah kuku juga bertukar kebiruan namun kami terpaksa mengendahkanya.
“Saya berasa amat bersyukur setelah sekian lama, kami tiga buah keluarga yang tinggal di sini dapat menggunakan bekalan air bersih yang sangat diimpikan selama ini.
“Sebelum ini, kami tidak mampu menanggung kos pemasangan meter air yang agak besar kerana jauh daripada rumah orang lain, tambahan lagi suami hanya berkerja sebagai buruh.” katanya kepada wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman ketika lawatan diadakan ke rumahnya.
Nuraisyah tinggal bersama lima orang anak, dan tiga daripadanya masih bersekolah. Seorang daripada anaknya yang telah berkahwin dan tinggal berdekatan juga turut mengalami masalah yang sama.
Menurut Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, masalah keluarga ini diberikan keutamaan agar impian keluarga ini menjadi realiti dengan kehidupan yang lebih selesa.
“Isu ini mendapat perhatian daripada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga merupakan ADUN Rhu Rendang supaya masalah ini dapat diselesaikan dengan kadar segera.”
“Terima kasih juga diucapkan kepada yang terlibat, iaitu Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, pihak Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd (SATU), dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Gong Beris.”
“Kita juga akan terus membantu dan menyelesaikan masalah rakyat secara berperingkat dari masa ke semasa,” tambahnya.
06 Aug 20
543
Galak Ibu bapa Muda Sertai Skim BSN MyFirst
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos - Kerajaan negeri menerusi portfolio Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri menggalakkan ibu bapa membuat tabungan seawal kelahiran bayi demi menjamin masa depan anak-anak.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melancarkan kempen ‘DUIT for Baby’ melalui skim baharu iaitu BSN MyFirst.
Katanya, kempen yang diperkenalkan bermula 23 Jun lalu sehingga akhir tahun 2020 iaitu 31 Disember bertujuan menggalakkan simpanan untuk kanak-kanak yang berumur dibawah tujuh tahun.
“Dalam usaha melahirkan masyarakat celik kewangan, saya mewakili kerajaan negeri megucapkan terima kasih kepada BSN dan AKPK kerana menganjurkan program sebegini.
“Kempen ‘DUIT for Baby’ ini bukan sahaja memberi fokus untuk mendidik ibu bapa muda mengenai perancangan kewangan menerusi modul pendidikan kewangan secara atas talian, malah turut menekankan kepentingan celik kewangan dalam kalangan wanita,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Wanita Bijak Wang 2.0 Dan Majlis Pelancaran BSN MyFirst, DUIT For Baby di Dewan Auditorium, Pusat Sains Dan Kreativiti Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor; Pengurus Besar Bahagian Operasi AKPK, Nor Fazleen Zakaria dan Pengarah Negeri BSN Terengganu, Mohammad Khasnieddy Khasimi.
Sementara itu Nor Fazleen berkata, menerusi skim ini, hadiah simpanan bernilai RM50 akan didepositkan ke dalam akaun BSN MyFirst bagi 10,000 penyimpan pertama yang mendaftar.
“Tertakluk terma dan syarat, penyimpan yang menyertai perlu mendepositkan minimum RM50 ke dalam akaun serta mengikuti kursus kewangan secara atas talian yang disediakan di laman sesawang AKPK.
“Disamping itu, penyimpan juga berpeluang memenangi hadiah BSN SSP bernilai sehingga RM5,000 dengan menghantar tiga slogan selepas mengikuti kursus kewangan AKPK,” ujarnya.
06 Aug 20
2943
SRIDI Kota Putera Berwajah Baharu
BESUT, 6 Ogos - Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Kota Putera bakal berwajah baharu mulai tahun hadapan susulan akan berpindah ke tapak bekas Sekolah IMTIAZ BESUT.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, bemula pada bulan ini proses untuk membaik pulih bangunan itu akan dijalankan dengan teratur selepas penubuhan Jawatankuasa bagi kelancaran gerak kerja.
"Pada 15 Ogos nanti juga akan diadakan gotong-royong secara beramai-ramai di tapak ini, diharapkan kepada sesiapa yang berkelapangan bolehlah terlibat sama. Hasrat ini juga adalah untuk membantu kerajaan untuk mencurah tenaga dan mengurangkan kos baik pulih bangunan yang lama ditinggalkan ini," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Katanya lagi, Bangunan ini dahulunya diduduki oleh IMTIAZ Besut dan Madrasah Moden tetapi telah lama dikosongkan kerana berpindah ke bangunan sekolah yang baharu.
"Tempat yang ada sekarang ini adalah tanah wakaf sejak zaman-berzaman daripada Dato Bentara Luar, insya-Allah akan dihidupkan kembali hasil wakaf ini. Amatlah sayang bangunan sebaik ini tidak dimanfaatkan untuk kegunaan pelajar, katanya ketika ditemubual selepas lawatan kerja ke tapak baharu SRIDI Kota Putera.
Sementara itu, Guru Besar SRIDI Kota Putera, Ustaz Zulhassan Abdullah turut merakamkan jutaan terima kasih hasil usaha dan kecaknaan ADUN Kota Putera dalam bidang pendidikan di Daerah Besut ini.
"Saya percaya dengan wujudnya tempat pembelajaran yang lebih kondusif ini akan memberi impak yang positif kepada bidang pendidikan di sekolah ini. Semoga Allah mengembalikan semula keizzahan anak anak dlm mencari mutiara ilmu Allah d tanah waqaf ini," tambah beliau.
06 Aug 20
1700
Ibu Bapa Mainkan Peranan Penting Untuk Kemenjadian Pelajar
HULU TERENGGANU, 5 Ogos - Ibu bapa diharap dapat memainkan peranan dalam terus membantu pihak sekolah melahirkan generasi yang berilmu, berdaya saing dan mampu menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan seharian.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah Pendidikan Dan Pengajian Tinggi, Ustaz Maliaman Kassim berkata, beliau yakin menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa akan membantu kemenjadian murid dalam pelbagai bidang terutama dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah.
“Ibu bapa merupakan tulang belakang di samping guru untuk memastikan kemenjadian murid dalam pelbagai bidang yang mereka hadapi iaitu akademik, kokurikulum, sahsiah dan kepimpinan. Kerjasama ibu bapa juga sangat penting dalam memastikan kejayaan pendidikan di negeri ini.
"PIBG hendaklah sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah bagi memastikan kelancaran pendidikan di sekolah berlangsung dengan baik.
“Saya juga mahu murid memiliki nilai-nilai yang murni seperti hormat menghormati, kasih sayang dan berhati mulia, murid yang dididik secara holistik dalam pengurusan sekolah yang cekap berupaya mencapai potensi diri yang sepenuhnya dalam penguasaan pengetahuan dan kemahiran, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggunggjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas lawatan kerja ke sekolah-sekolah dalam DUN Ajil, di Sekolah Kebangsaan Felda Jerangau Barat, hari ini.
Tambah beliau lagi, kemenjadian murid itu adalah 'outcome' atau rupa bentuk insan yang mahu dihasilkan daripada usaha dalam mendidik sama ada ia benar-benar terjadi dengan sempurna, kurang sempurna atau tidak menjadi langsung.
Katanya, rupa bentuk insan yang diperlukan itu telah digaris secara sempurna dalam Falsafah Pendidikan
"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
"Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara," ujarnya.
05 Aug 20
2116
Letupan Lubnan : Abdul Hadi Rakam Takziah
KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang hari ini merakamkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Lubnan susulan kejadian letupan di Beirut yang mengorbankan lebih 100 nyawa awal pagi tadi.
"Saya bersimpati atas tragedi letupan di Beirut, Lubnan yang mengakibatkan ramai yang terbunuh dan ribuan lagi cedera.
"Keamanan dan keselamatan rakyat perlu diutamakan, maka sebarang tindakan yang menggugat keharmonian adalah dikutuk dan wajar dibawa ke muka pengadilan," katanya menerui Facebook rasmi beliau.
Katanya, kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra, telah menyatakan komitmen untuk membantu Lubnan bangkit daripada ujian itu.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut mendoakan agar Lubnan sentiasa berada dalam lindungan Allah, diberikan kesejahteraan dan keamanan serta rakyatnya bersabar menghadapi ujian.
05 Aug 20
1034
Dana Khas Galak Industri Hiliran Getah Ambil Pekerja Tempatan
KUALA LUMPUR, 5 Ogos - Majlis Getah Malaysia (MRC) akan menubuhkan dana khas berjumlah RM36 juta bagi menggalakkan industri hiliran terutamanya sektor pengeluaran sarung tangan getah mengambil lebih ramai pekerja tempatan.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, penubuhan dana itu adalah sejajar dengan dasar baharu kerajaan yang mengutamakan pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
"Kita sediakan subsidi upah sebanyak RM300 untuk seorang warga tempatan bagi tempoh 12 bulan, yang diambil bekerja di dalam sektor hiliran ini.
"Kita harap dengan dana ini kita berjaya menyediakan peluang pekerjaan kepada 10,000 rakyat Malaysia bagi menggantikan 10,000 warga asing yang bekerja di sektor hiliran getah terutama untuk sarung tangan getah," katanya.
MRC adalah agensi di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yang bertanggungjawab untuk mempromosikan produk getah berkualiti Malaysia di pasaran dunia, khususnya bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana.
Dana berkenaan menyasarkan pengambilan sekurang-kurangnya 10,000 pekerja tempatan dalam lebih daripada 200 buah syarikat di sektor industri getah.
Dana khas itu akan dibuka kepada syarikat pembuatan berasaskan getah untuk menggiatkan lagi pengambilan pekerja tempatan mulai Ogos 2020 sehingga Disember 2021.
Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata, MRC telah dijenamakan semula daripada Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia bagi mencerminkan peranan agensi yang lebih luas dalam pembangunan industri hiliran berasaskan getah, modal insan dan adaptasi teknologi termaju serta promosi pelaburan industri getah negara.
"Kita komited untuk memperkasakan lagi MRC menerusi satu projek yang boleh meningkatkan kepenggunaan getah dalam negara kita sendiri dan memperkasakan industri tayar di pasaran Malaysia. Industri tayar ini sangat berdaya saing, yang mana, ia bernilai AS$66.6 bilion (RM281.4 bilion) di pasaran global.
"Secara umumnya, Malaysia mengeksport sebanyak AS$300 juta (RM1.27 bilion) sedangkan nilai import kita adalah AS$600 juta (RM2.5 bilion). Ini ketidakseimbangan yang harus kita betulkan dan kita melihat pemerkasaan industri tayar, boleh menyeimbangkan nilai import dan eksport industri tayar negara," tambahnya.
MRC akan mengukuhkan hubungan dengan organisasi pembangunan antarabangsa untuk meningkatkan hubungan dagang bagi industri getah negara, katanya.
Ketika ini, Malaysia menguasai 65 peratus pasaran sarung tangan getah dunia dan dijangka akan terus kekal sebagai pengeluar utama berikutan lonjakan permintaan terhadap sarung tangan getah perubatan. - BERNAMA
05 Aug 20
903
Nikmat Aidiladha, 1,500 Keluarga Terima Sumbangan Daging Korban
KUALA NERUS, 4 Ogos - Lebih 1,500 pek bungkusan daging korban diagihkan melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kepada penduduk kurang berkemampuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, sebanyak 10 ekor lembu telah dikorbankan di Surau Kampung Pak Tuyu, manakala pada Hari Raya pertama sebanyak enam ekor lembu pula dikorbankan di sini.
"Hari ini dua ekor dari lembu Charolais, seekor dari jenis Brahman dan bakinya lembu baka tempatan yang bersaiz besar," katanya selepas acara korban di sini.
Turut hadir sama Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ariffin Abdullah, wakil pegawai PDRM, pegawai Jabatan Veterinar dan Pasukan Penguatkuasa Syariah Jabatan Hal ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
Terdahulu, Pusat Khidmat Dun Tepoh juga telah mengagihkan 12 ekor lembu korban mengikut zon Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan menyerahkan pengurusan korban tersebut kepada zon masing-masing.
Tambahnya lagi, kru korban hari ini mengenakan uniform kuningbagi melahirkan perasaan positif dan optimis.
Katanya lagi, daripada awal proses ini dijalankan, semua krew bekerjasama dan bertungkus lumus menjayakan misi korban yang suasananya sedikit berbeza akibat COVID-19.
04 Aug 20
257
TDM Umum Tidak Lanjut Tarikh Jual Beli
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos - TDM Berhad hari ini mengumumkan untuk tidak melanjutkan tarikh akhir pelaksanaan Perjanjian Jual Beli Bersyarat ('CSPA') atas pelupusan dua anak syarikatnya di Kalimantan.
Syarikat terbabit adalah PT Rafi Kamajaya Abadi ('PT RKA') dan PT Sawit Rezki Abadi ('PT SRA') kepada PT Aragon Agro Pratama ('Aragon').
Pengerusi TDM Berhad, Raja Dato' Idris Raja Kamarudin pada 29 Mei 2020, berkata TDM turut mengumumkan bahawa Ahli Lembaga Pengarah telah bersetuju untuk melanjutkan tarikh akhir perlaksanaan CSPA kepada 31 Julai 2020.
“Pada 28 Februari 2020, TDM telah mengumumkan penerimaan Surat Tawaran dari Aragon untuk mengambilalih keseluruhan ekuiti TDM di PT RKA dan PT SRA dengan jumlah tunai keseluruhan sebanyak RM210 juta.
“Sejak pengumuman itu, TDM dan Aragon telah bekerjasama bagi memastikan CSPA tersebut dapat dilaksanakan,”katanya dalam satu kenyataan.
Namun begitu, katanya setelah menimbang tara tentang tarikh CSPA yang telah dipanjangkan beberapa kali dan juga ketidakpastian wabak global COVID-19 ini yang secara langsung telah mempengaruhi kedua-dua pihak dalam menyelesaikan CSPA.
“Ahli Lembaga Pengarah TDM memutuskan untuk tidak memanjangkan lagi tarikh akhir pelaksanaan CSPA,” katanya.
Idris berkata, TDM bersama penasihat tetap komited untuk melupuskan aset tersebut dan akan terus mengenal pasti pembeli yang sesuai agar dapat menyelesaikan proses ini secepat mungkin.
“Pihaknya akan membuat pengumuman yang relevan kepada Bursa Malaysia Securities Berhad sesuai dengan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama apabila ada perkembangan maklumat.
“Penamatan pelupusan ini tidak mempunyai kesan kewangan yang ketara terhadap aset bersih, pendapatan, hutang, modal saham dan pemegang saham majoriti pemegang saham,” katanya.
04 Aug 20
1245
Abaikan Papan Tanda Amaran Antara Punca Berlaku Lemas
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos - Sikap orang ramai yang tidak mengendahkan papan tanda amaran dikenal pasti sebagai antara faktor utama kejadian lemas di kawasan rekreasi air di Terengganu, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Md Hilman Abd Rashid.
Beliau berkata kebanyakannya pula melibatkan orang dari luar Terengganu yang tidak mengetahui keadaan di lokasi berkenaan.
"Kita lihat berlakunya peningkatan kes kematian akibat lemas pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya, antara faktor penyumbang ialah orang ramai ambil kesempatan mengunjungi ke pusat rekreasi seperti air terjun dan pantai selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan baru-baru ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ibadah Korban Peringkat JBPM Terengganu, di sini hari ini.
Md Hilman berkata bagi tempoh Januari hingga kini, Terengganu merekodkan 13 kes lemas berbanding 14 kes bagi keseluruhan tahun lepas. - BERNAMA
04 Aug 20
968