lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Selesaikan Masalah Pembinaan Rumah PR1MA Di Rantau Abang
Selesaikan Masalah Pembinaan Rumah PR1MA Di Rantau Abang
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun mendesak supaya kerajaan menyegerakan pembinaan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) seperti yang dijanjikan sebelum ini kerana sudah tertangguh sekian lama. Menurut beliau, dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 2016 telah dimaklumkan bahawa projek PRIMA akan dibina di Rantau Abang. “Malangnya sehingga ke hari ini belum menjadi kenyataan dan kemungkinan ia masih dalam perancangan. “Diharapkan pihak kerajaan dan agensi berkaitan menyegerakan pembinaannya kerana ia terlalu lama tertangguh sedangkan tapaknya sudah ada,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Ke Bawah DYMM Sultan Terengganu pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darul Iman di sini, hari ini. Sementara itu, Alias merakamkan ucapan penghargaan kepada kerajaan negeri atas usaha memenuhi keperluan rakyat khususnya golongan B40 di Terengganu berkait dengan perumahan untuk rakyat . “Tahniah kepada kerajaan negeri kerana memperkenalkan dasar perumahan patuh syariah, yang mana ini suatu yang perlu kita tonjolkan kepada umum bahawa kita betul-betul melaksanakan perintah Allah supaya sesiapa saja yang mendapat rumah sekurang-kurangya ada tiga bilik. “Terima kasih juga kerana berusaha merealisasikan janji untuk membina sebanyak 20,000 unit rumah menjelang 2022 walaupun ketika ini sesetengahnya masih dalam pembinaan dan perancangan tetapi diharapkan ia disegerakan demi kepentingan rakyat,” ujarnya.  
10 Aug 20
793
Pejabat DUN Terengganu Terbit Buku Pertama
Pejabat DUN Terengganu Terbit Buku Pertama
  KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Pejabat Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini melancarkan buku pertama terbitan institusi tersebut yang berjudul Perkembangan Dewan Undangan Negeri Terengganu : Pemantapan Dan Cabaran. Buku yang mengandungi 221 muka surat merangkumi 14 bahagian, serta turut diterjemahkan ke dalam tulisan jawi itu mendapat kerjasama Jawatankuasa Terpilih Pengurusan Dewan Undangan Negeri Terengganu. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, terbitan edisi sulung  berkenaan mampu menambah pengetahuan dan pendidikan politik bukan sahaja dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) malah kepada masyarakat luar.   “Pada masa sama mampu mengubah persepsi orang ramai di mana sebelum ini menganggap Speaker Dewan hanya berfungsi ketika persidangan dewan, sedangkan tugas dan tanggungjawabnya cukup luas. “Antaranya secara inklusif menjalin hubungan baik dengan pelbagai pihak, sebab itu dewan sentiasa dikunjungi pelbagai termasuk daripada pimpinan belia, golongan pelajar dan pelbagai agensi kerajaan,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini. Menurut Yahaya, buku tersebut akan diedarkan secara percuma mulai hari ini kepada ketua-ketua jabatan dan pelbagai agensi media, selain bakal menjadi cenderahati kepada tetamu pejabat DUN. “Saya berharap, apa yang dikongsikan dalam buku itu terutama berkaitan penambahbaikkan badan legislatif dimafaatkan sebaik mungkin oleh pembaca. “Untuk mempelbagaikan bahan terbitan, pihak kami  turut bercadang akan menerbitkan buku Sejarah DUN, bermula dari awal sehingga kini. Buku itu kini masih di peringkat kajian dan mengumpul bahan,” katanya.  
10 Aug 20
400
YPU Sasar Perniagaan Emas Sebagai Hasil Baharu Terengganu
YPU Sasar Perniagaan Emas Sebagai Hasil Baharu Terengganu
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) berhasrat untuk menceburi perniagaan emas secara khusus bagi menjana pendapatan negeri pada masa depan. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman memaklumkan, usaha tersebut sedang dinilai berikutan harga emas yang kini melonjak tertinggi dalam sejarah. "Pada peringkat awal ini tidaklah, tetapi penglibatan awal adalah untuk mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan fungsi dan tanggungjawab YPU. Sekiranya ia baik untuk kerajaan negeri, pelan ini akan dibentangkan. "Ketika ini, perniagaan ini diusahakan oleh syarikat Terengganu Metal Ex-Trade Sdn Bhd (TMEx) dan YPU menyokong serta bersetuju menawarkan seorang pegawai kanan sebagai ketua pegawai eksekutif bagi memandu TMEx," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini. ADUN Kota Putera itu turut menjelaskan modal berbayar YPU dalam syarikat itu ialah sebanyak RM1 juta dengan pegangan saham 20 peratus bernilai RM200,000. Terdahulu, harga emas mencapai harga tertinggi dalam sejarahnya sendiri dan bernilai RM275.51 hari ini, meningkat lagi berbanding RM274.96 semalam.          
10 Aug 20
1008
Kajian Impak COVID-19 Di Terengganu Dibentangkan
Kajian Impak COVID-19 Di Terengganu Dibentangkan
KUALA TERENGGANU, 9 Ogos - Dapatan kajian impak pandemik COVID-19  di Terengganu dan langkah baharu yang perlu dilaksanakan pelbagai pihak untuk sektor perniagaan khususnya dalam mendepani wabak berkenaan telah dibentangkan dalam satu majlis yang berlangsung di Wisma Darul Iman, hari ini. Pembentangan berkaitan dengan Laporan Tinjauan Khas COVID-19 Terhadap Ekonomi Dan Individu telah disampaikan oleh Ketua Perangkaan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin manakala Kajian Impak COVID-19  Ke Atas Sosioekonomi (Individu Dan Perniagaan) Di Terengganu pula oleh Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu, Prof Dr. Nur Azura Sanusi. Manakala pembentangan bertajuk kajian Impak Bisnes Terengganu disampaikan oleh yang Dipertua Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Melayu, Ahmad Izani Abd. Ghani. Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelbagai cadangan dan permasalahan yang ditimbulkan pada pembentangan tersebut memerlukan tindakan lanjut daripada pihak berkaitan. “Secara keseluruhannya, pembentangan ini memberikan maklumat penting kepada kita termasuk data, permasalahan yang dihadapi rakyat serta kesan COVID-19 kepada sektor peniagaan negeri. “Justeru, sebagai ‘policy maker’ kita berperanan untuk memperhalusi setiap cadangan yang diutarakan oleh para pembentang dengan mendahulukan apa yang terpenting demi kepentingan rakyat,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Program Pembentangan Dapatan Kajian Impak Pandemik COVID-19 Di Terengganu di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini. Turut hadir, barisan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli-Ahli Dewan Negara serta ketua-ketua jabatan. Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pembentang yang sudi berkongsi maklumat yang penting mengenai COVID-19 kepada kepimpinan kerajaan negeri yang berperanan besar untuk membangunkan  negeri.  
09 Aug 20
905
Empat Agenda Dalam Sidang DUN
Empat Agenda Dalam Sidang DUN
Oleh: Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Empat agenda penting akan dibawa dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 10 Ogos ini. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, terdapat dua usul dan dua Rang Undang-Undang yang akan dibentangkan pada persidangan tersebut. "Dua usul iaitu menjunjung kasih atas titah ucapan Diraja dan berkait dengan penubuhan Kumpulan Wang Amanah.  "Ini sebenarnya lebih kepada soal menjadikan akaun kerajaan negeri lebih cekap supaya dari segi pengurusannya lebih realistik'" ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemu bual pengacara konti Manis FM, semalam.  Menurutnya, kerajaan negeri bukan sahaja menekankan soal (cash flow) aliran tunai tetapi mengambil kira dari segi aset dan juga  isu-isu yang lain termasuk bidang perakaunan untuk menjadikan akaun kerajaan negeri menjadi lebih cekap. Selain itu, Rang Undang-Undang Enakmen Sumber Air yang merupakan satu enakmen baru menggantikan enakmen bekalan air sebelum ini juga akan dibentangkan. "Enakmen ini menjurus kepada bidang kuasa kerajaan negeri yang lebih luas berhubung dengan pengurusan air.   "Sebab itu kerajaan negeri berhasrat daripada enakmen yang bakal diluluskan ini dari segi pengurusan air, penjagaan alam sekitar dan perkara-perkara berkait dengan bagaimana nak menjadikan sumber air di negeri Terengganu ini dapat diuruskan dengan lebih sempurna," ujarnya  Tambah beliau, dari segi jangka panjangnya, kerajaan negeri boleh membangunkan sumber air ini dan memberikan keuntungan. Sementara itu, isu yang berkait dengan Rang Undang-Undang ialah cadangan pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi kerajaan negeri Terengganu iaitu  berhubung dengan had umur calon.  "Kita nak seragamkan apa yang telah diluluskan di peringkat parlimen maka dengan sendirinya kerajaan negeri perlu meluluskan perkara ini sama dengan kerajaan persekutuan had umur calon  daripada 21 kepada 18 tahun.  "Kerajaan negeri sangat  meraikan hasrat golongan muda bukan sahaja dari segi umur mengundi. "Kita harap 18 tahun ke atas adalah umur rakyat negeri kita ini menjadi lebih matang," tambah beliau lagi.
08 Aug 20
576
Gabungan NGO Malaysia Lancar Aid4Lebanon
Gabungan NGO Malaysia Lancar Aid4Lebanon
  KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Sebanyak 20 badan bukan kerajaan (NGO) yang berpengalaman dalam mengendalikan misi kemanusiaan di dalam dan luar negara melancarkan Aid4Lebanon sebagai sokongan dan solidariti terhadap mangsa letupan di Beirut, Lubnan. Dalam satu kenyataan semalam, sekretariat Aid4Lebanon berkata, pihaknya juga akan menggerakkan kempen sumbangan yang diselaraskan secara rasmi di bawah saluran Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato' Seri Abdul Hadi Awang. "Bentuk sumbangan segera diperlukan adalah bantuan perubatan dan keperluan harian kepada manga-mangsa yang terlibat. "Sekretariat Aid4Lebanon mensasarkan kutipan dana sebanyak RM10 juta dalam tempoh terdekat," ujar kenyataan itu. Sekretariat Aid4Lebanon menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama menyumbang bagi menyatakan solidariti kemanusiaan sejagat. "Peristiwa letupan Ammonium Nitrat di Beirut yang mengorbankan lebih 135 nyawa dan menyebabkan kecederaan lebih 5,000 mangsa, manakala ratusan ribu sokongan dan solidariti terhadap mangsa letupan kehilangan tempat kediaman amat menyedihkan kita. "Tidak cukup dengan kes wabak COVID-19 yang telah meragut 68 nyawa dan lebih 5,000 kes positif, kerajaan Lubnan terpaksa berdepan pula dengan bencana letupan besar sehingga diumumkan darurat yang akan berlangsung selama dua minggu," tambah kenyataan itu.
08 Aug 20
658
Isu Mendapan Pelabuhan Chendering Selesai Jika Hakisan Pantai Rusila Dibaiki Segera
Isu Mendapan Pelabuhan Chendering Selesai Jika Hakisan Pantai Rusila Dibaiki Segera
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Kerajaan Persekutuan menyasarkan pelan 'serampang dua mata' bagi menyelesaikan isu mendapan di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering di sini dengan menyegerakan projek membaiki hakisan pantai di Rusila, Marang. Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dato' Che Abdullah Mat Nawi berkata, projek tersebut memerlukan sumber pasir yang banyak dan kos dapat dioptimumkan dengan langkah memperdalamkan pelabuhan Chendering. Dato' Che Abdullah ketika ditemui pemberita, hari ini. "Saya insya-Allah, akan cuba memastikan apa yang dijanjikan (pembaikian hakisan pantai) itu dapat disalurkan segera kerana pengurangan pendaratan ini melibatkan juga bidang-bidang lain seperti perbekalan air batu dan pemprosesan isi ikan terhenti akibat tidak cukup sumber. "Aktiviti perniagaan yang lain turut akan berkurang oleh kerana kurangnya pendaratan di LKIM Chendering, jadi saya harap peruntukan itu dapat menyelesaikan masalah ini segera supaya LKIM Chendering dapat beroperasi sepenuhnya dan dapat mengembalikan kegemilangannya," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke pelabuhan berkenaan sempena Lawatan Kerja ke Terengganu, hari ini. Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Mohd Sor Othman memaklumkan, tambakan Pantai Rusila Marang seluas 50 meter lebar dan tiga kilometer panjang memerlukan antara 800 hingga satu juta kubik meter pasir. "Hasil lawatan Menteri Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man ke Terengganu beberapa minggu lepas telah meluluskan peruntukan RM15 juta untuk menyelesaikan sementara hakisan yang berlaku di Rusila dan kita jangkakan sumber utama yang dapat mengoptimumkan kos itu adalah dengan memperdalamkan pelabuhan Chendering. Che Abdullah berjumpa nelayan dan peraih yang beroperasi di pelabuhan LKIM Chendering.  "Bagaimanapun, kajian akan dibuat berapa jumlah pasir yang perlu dikorek dan dikeluarkan dari pelabuhan ini. Saya difahamkan pelantikan juru ukur telah dilakukan oleh JPS Malaysia untuk membuat kerja-kerja ukur di Rusila dan kawasan ini. Proses berikutnya iaitu penyediaan dokumen dan tender juga sedang disediakan JPS," katanya. Pelabuhan berkenaan yang mula beroperasi 1983 berkeluasan 41 hektar termasuk 33 hektar dermaga pelabuhan (harbour basin) merupakan satu-satunya fasiliti pendaratan yang dibina untuk mengendalikan bot C2 kerana dermaganya yang panjang. Namun, disebabkan masalah mendapan pasir amat serius, bot- bot laut dalam tidak dapat masuk mendaratkan tangkapan menyebabkan ramai pengusaha bot mengalihkan operasi ke Tok Bali, Kelantan dan Kuantan Pahang. Keadaan bertambah teruk apabila benteng pemecah ombak juga telah bocor menyebabkan lebih banyak pasir masuk ke pelabuhan. Penurunan pendaratan mula berlaku sejak 2013 iaitu daripada13 ribu 682 metrik tan pendaratan ikan di Pelabuhan LKIM Chendering yang direkodkan dan jumlah itu menurun kepada hanya seribu 334 metrik tan sahaja tahun lalu. Kilang air batu yang turut terjejas.                
08 Aug 20
1143
Sektor Pertanian Terengganu Catat Pertumbuhan Ekonomi Mendadak
Sektor Pertanian Terengganu Catat Pertumbuhan Ekonomi Mendadak
Foto oleh : Hidayah Azlin KUALA TERENGGANU, 8 Ogos – Jabatan Perangkaan Malaysia semalam melaporkan sektor pertanian di Terengganu bagi tahun 2019 mencatatkan pertumbuhan ekonomi mendadak berbanding tahun sebelumnya. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, peningkatan kepada enam peratus daripada -2.5 peratus pada tahun 2018 dalam bidang itu menjadi penyumbang utama pertumbuhan ekonomi di negeri ini secara keseluruhan. "Ekonomi Terengganu mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik daripada 2.5 peratus pada 2018 kepada 3.3 peratus pada 2019.  "Laporan ini menyebut bahawa peningkatan ini didorong oleh peningkatan yang dicapai dalam sektor perkhidmatan dan pertanian," katanya dalam satu kenyataan. Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu 2019-2023 yang diwujudkan kerajaan Terengganu menjadi asas penting terhadap pencapaian luar biasa dalam sektor terbabit. "Saya sedar ketika mengambil alih teraju sektor pertanian negeri pada Mei 2018, kita tidak diberikan banyak harapan. Bajet negeri Terengganu 2019 untuk sektor pertanian hanya RM2 juta lebih sahaja.  “Bayangkan kita nak bekerja bagi membangunkan sektor pertanian, perikanan, penternakan dan industri asas tani meliputi sebuah negeri dengan bilangan rakyat 1.2 juta berbekalkan bajet tersebut. "Namun, strategi terus disusun bagi membangunkan ekonomi negeri berasaskan pertanian. Inilah bidang di mana majoriti rakyat Terengganu berada. Pelan strategik inilah yang menggariskan rangka kerja besar sektor pertanian negeri Terengganu," jelasnya. Katanya lagi, akhirnya dalam tempoh setahun data dan angka telah mengiktiraf usaha tersebut.  "Sektor pertanian telah menjadi antara penyumbang utama pertumbuhan ekonomi negeri Terengganu," tambah beliau.
08 Aug 20
1391
Parti Baharu : 'Terpulang Kepada Tun' - Abdul Hadi
Parti Baharu : 'Terpulang Kepada Tun' - Abdul Hadi
MARANG, 7 Ogos - Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, semua pihak bebas untuk menubuhkan sebarang parti politik selagi tidak melanggar undang-undang. Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, ia terpulang kepada mana-mana kumpulan atau individu termasuk bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika mahu menubuh parti baharu. “Itu terpulang kepada dia, Malaysia negara demokrasi dan sesiapa boleh menubuhkan parti. Kita tidak boleh halang,” katanya diminta mengulas dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bakal menubuhkan sebuah parti baharu dinamakan Parti Bersatu Rakyat Malaysia pada petang ini. Bercakap mengenai pilihan raya negeri (PRN) Sabah, Presiden PAS itu berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan Sabah dalam masa terdekat bagi berbincang beberapa perkara. “Saya akan berjumpa pemimpin Sabah mungkin dalam masa terdekat sama ada di Kuala Lumpur atau di sini (Rusila). “Tentang kerusi kita kena lihat laporan daripada Sabah dan kita pernah bertanding di samping ada cawangan dan calon,” jelasnya. Untuk rekod, dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lepas, Pas bertanding di 26 kerusi dengan lapan kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN di samping julung kali meletakkan calon bukan Islam. Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, PAS mempunyai kekuatan di bahagian utara dan tengah Sabah, bahkan pernah bertanding di lebih 20 kerusi di negeri itu dalam pilihan terdahulu. “Kekuatan kita ada di utara dan tengah misalnya di Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu kita pernah bertanding,” tambah beliau.  
07 Aug 20
2000
Tauliah : Situasi Yang Wajib Difahami
Tauliah : Situasi Yang Wajib Difahami
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos - Kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk memberi, meluluskan atau menarik permohonan tauliah pengajaran agama terhadap mana-mana individu di Terengganu. Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Muhammad Ramlan Mahmood berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak berautoriti iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk membuat keputusan terbaik berkaitan perkara itu. “Kerajaan negeri tiada kuasa atau hak untuk memberi atau menolak sebarang permohonan tauliah. Saya berpendapat biarlah urusan itu diputuskan MAIDAM kerana ia berada di bawah bidang kuasa pihak mereka. “Ia juga selaras dengan Seksyen 102, Enakmen 2 Tahun 2001, Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Islam (Terengganu) bahagian Pendidikan Islam yang menyebut Majlis (MAIDAM) hendaklah melantik suatu jawatankuasa bernama Jawatankuasa Pengawasan Pendidikan Agama Islam. “Jawatankuasa itu mempunyai kuasa untuk memberikan tauliah bagi maksud pengajaran agama Islam atau apa-apa perkara tentang agama Islam dan untuk menarik balik tauliah itu,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas mengadakan Kunjungan Hormat terhadap Yang Dipertua MAIDAM, Dato’ Haji Osman Muda di pejabat MAIDAM di sini, hari ini. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah memaklumkan, tidak timbul isu kerajaan negeri bertindak mengagalkan mana-mana permohonan tauliah daripada mana-mana penceramah atau individu. Sebaliknya beliau menegaskan urusan tersebut adalah terletak di bawah institusi lain dan dijaga oleh pihak yang berautoriti. “Jadi tuduhan yang mengatakan kerajaan negeri tidak memberi kelulusan tauliah kepada pihak tertentu adalah tidak benar kerana ia bukan bidang kuasa kerajaan negeri. “Kita tidak boleh melangkaui tugasan atau bidang kuasa pihak lain kerana ia sudah tertakluk dalam undang-undang,” tambah beliau.
06 Aug 20
1766