lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Yahaya Rakam Penghargaan Kepada Petugas Media
Yahaya Rakam Penghargaan Kepada Petugas Media
Oleh: Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali merakamkan penghargaan kepada seluruh petugas media yang bekerja keras dalam menyampaikan maklumat sahih dan tepat sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 yang berlangsung selama tiga hari di Wisma Darul Iman bermula 10 ogos lalu. Katanya, pengorbanan dan jasa petugas ‘barisan hadapan’ itu wajar diberi perhatian. "Saya mengucapkan terima kasih kepada pengamal media  yang berada di barisan hadapan melaporkan dan menyalurkan berita terkini berkenaan sidang DUN. “Tahniah dan terima kasih juga kepada bahagian teknikal Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) yang sentiasa memastikan perjalanan dewan berjalan dengan lancar. "InsyaAllah sistem video digital, bilik media dan lain-lain akan ditambah baik dari semasa ke semasa" ujarnya. Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan singkat selepas sesi pagi Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14, semalam. Turut hadir, Setiausaha Dewan Undangan Negeri Terengganu, Zulkifly Isa. Yahaya berkata, lawatan singkat itu sebagai meraikan para petugas yang bertungkus-lumus  sejak hari pertama persidangan lagi.  
12 Aug 20
294
Dakwaan Pengusaha Nanas Dihalau Kerajaan Tidak Benar
Dakwaan Pengusaha Nanas Dihalau Kerajaan Tidak Benar
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Dakwaan pihak tertentu yang mengatakan kerajaan negeri menghalau pengusaha nanas MD2 di Bujal, Kijal sehingga menyebabkan kerugian RM350,000 adalah tidak benar. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pemilik tanah termasuk pihaknya tidak pernah mengganggu atau menghalau Sofea Pineapple Farm yang sedang mengusahakan 15 ekar tanaman. "Sewa tanah pun pemilik tanah tak ambil daripada pengusaha. Malah pengusaha menambah lagi lima ekar keluasan kawasan bertanam menjadikan 20 ekar kesemuanya. "Kebun nanas tersebut masih ada sampai hari ini. Projek ini dalam kawasan Kijal. Saya pernah menjadi orang tengah bagi mencari titik persepakatan antara tuan tanah dan pengusaha," katanya ketika ucapan penggulungan usul menjunjung kasih perutusan titah Kebawah DYMM Sultan pada Persidangan DUN Terengganu Penggal Ketiga Kali ke-14 hari ini. Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi mengelakkan pengusaha mengalami kesukaran selepas tuntutan tanah oleh pemilik, Sofea Pineapple telah diberi lot tanah kerajaan secara Lesen Menduduki Sementara (LMS) di belakang SM Imtiaz Kijal. "Proses bagaimana tanah tersebut dikembalikan kepada tuan yang berhak telah melalui prosedur yang sepatutnya. Tanah tersebut milik Hamdan Ahmad, Geran Pajakan Negeri bernombor 1815 dengan tempoh pajakan selama 30 tahun, seluas 44.2 ha.  "Tempoh pajakan tamat pada 18 Februari 2009. Tahun 2008 lagi Hamdan sudah mengisi Jadual 1 dan angkat permohonan untuk sambung pajakan tetapi tak ada keputusan.  "Malah sebahagian tanah telah diberi milik kepada orang lain. Selepas pertukaran kerajaan Mei 2018, barulah permohonan diproses semula. Urusan permohonan tanah tersebut dua kali masuk Jawatankuasa Tanah Daerah (JKTD) Kemaman sebelum diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan dibuat keputusan," tambah beliau. Semalam, ketika sesi perbahasan usul perutusan titah Diraja, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Dato' Seri Dr Ahmad Said turut membangkitkan isu berkenaan dan memohon penjelasan kerajaan.
11 Aug 20
5203
JPKK Terengganu Bakal Dianggotai PAS, Umno Dan Bersatu
JPKK Terengganu Bakal Dianggotai PAS, Umno Dan Bersatu
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Keanggotaan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Terengganu atau sekarang dikenali sebagai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) akan dianggotai oleh PAS, Umno dan Bersatu mulai tahun depan. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, usaha itu adalah selaras dengan hasrat pihaknya untuk maju ke hadapan bersama rakan-rakan gabungan baharu. “Saya juga telah berbincang dan memaklumkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim bahawa cadangan penambahan komposisi dalam JPKK adalah dengan bilangan yang sesuai, insya-Allah ia akan dimuktamadkan dan dilaksanakan bermula pada awal tahun 2021. “Dalam debaran ini, kita mengharapkan keharmonian baharu dapat diwujudkan dan ditambah baik dalam JPKK yang dijenamakan semula nanti.  "Sekiranya ini dapat dicapai, saya yakin kita mampu untuk membuka ruang di struktur pentadbiran masyarakat di segmen yang lain pula,” katanya. Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan usul menjunjung kasih perutusan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini. Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menjelaskan, pemerkasaan kerjasama itu juga akan berterusan ke peringkat tertinggi apabila wakil rakyat semua parti dilibatkan dalam jawatankuasa-jawatankuasa khas bagi membincangkan pemerkasaan ekonomi dan industri Terengganu. "Perubahan ini perlu dilakukan dengan cermat agar ia tidak menyebabkan sebarang kejutan di bawah sana. "Hal ini perlu dirundingi secara berlapang dada, kerana parti-parti yang ada dalam Dewan ini juga perlu berkira-kira dengan suasana rakan-rakan kita di negeri-negeri lain juga, seperti Johor, Melaka, Pahang, Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan," ujarnya. Tambah beliau, pihaknya akan terus memperkukuhkan saluran pertemuan, dan perbincangan sesama rakan gabungan, supaya setiap perbezaan dapat dirungkaikan.
11 Aug 20
6734
Dua Budak, Guru Taska Pulang Dari Kedah Jalani Kuarantin
Dua Budak, Guru Taska Pulang Dari Kedah Jalani Kuarantin
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Dua kanak-kanak dan seorang guru di Taska Permata yang diselia Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) masing-masing kini menjalani kuarantin secara sukarela di rumah selepas pulang berhari raya di Kubang Pasu, Kedah. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu Hanafiah Mat berkata, mereka tiada kaitan dengan Kluster Sivagangga, cuma kuarantin itu dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga selain turut melakukan saringan kesihatan di klinik berdekatan. "Prosedur di Taska Permata turut memerlukan borang khas diisi oleh mereka yang merentas kawasan (luar Terengganu), dari situ kita dapat tahu ada yang pulang ke Kubang Pasu, Kedah. "Tiga individu yang dikuarantin ini ialah dua kanak-kanak dari Taska Permint Jaya dan Taska Wakaf Tembesu manakala seorang dewasa itu ialah guru yang bertugas di Taska Bukit Perah dekat Hulu Terengganu. "Guru itu yang berusia 33 tahun, cuma ada gejala batuk dan selesema jadi pihak Taska Permata dan YPKT menasihatkannya agar menjalani kuarantin di rumah," katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini. Mereka dikuarantin sejak 3 Ogos lalu dan tempoh kuarantin bagi kanak-kanak ialah tujuh hari manakala individu dewasa selama 14 hari. - Bernama  
11 Aug 20
3579
Terima Kasih ‘Front Liners’ – MB Terengganu
Terima Kasih ‘Front Liners’ – MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Kerajaan Terengganu hari ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh petugas barisan hadapan yang membantu mengawal penularan wabak COVID-19. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pengorbanan dan jasa bakti petugas ‘front liners’ sepanjang ‘tempoh sukar’ pandemik wajar diberi penghormatan. “Saya juga ingin mengambil kesempatan ini, untuk menzahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga atas pengorbanan dan jasa bakti petugas barisan hadapan iaitu Majlis Keselamatan Negara, para doktor dan seluruh petugas kesihatan. “Tidak dilupakan juga Anggota Keselamatan dan Beruniform  seperti Polis, Tentera, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Bomba dan Penyelamat, anggota RELA, MPKK, NGO-NGO dan orang perseorangan yang telah berkorban masa dan tenaga, merisikokan diri untuk memastikan kawalan terhadap Pandemik COVID19 dapat diurus dengan baik,” katanya. Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan usul menjunjung kasih perutusan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini.
11 Aug 20
439
Kerajaan Negeri Komited Maksimakan Potensi Tanah Terbiar
Kerajaan Negeri Komited Maksimakan Potensi Tanah Terbiar
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Terengganu komited memaksima potensi tanah-tanah terbiar dan tanah kerajaan yang belum dieksploitasi sepenuhnya. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa (Task Force) Pemulihan Tanah Terbiar bagi mencari solusi untuk memajukan kira-kira 8,000 hektar tanah terbiar di seluruh negeri pada 6 Mei lalu.  Katanya, fungsi jawatankuasa berkenaaan antaranya bertujuan mengenal pasti tanah terbiar dan pemilikan di setiap daerah yang melebihi 0.4 hektar dalam satu kawasan. "Selain mengenalpasti punca dan faktor yang menyumbang kepada tanah-tanah tersebut terbiar tidak diusahakan, jawatankuasa ini juga bertanggungjawab menyediakan pengkalan data dan pelan tindakan tanah terbiar. “Termasuk mengemukakan cadangan ‘business model’ yang bersesuaian bagi pemulihan tanah terbiar termasuk aspek pemasaran, penyertaan petani tempatan dan pelabur luar,” ujarnya. Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini. Mengulas lanjut Dr Azman berkata, setakat ini ia sudah berada di peringkat akhir penyedian pengkalan data. Sementara itu katanya, Pelan Strategik Pertanian Negeri 2019-2023 sedang diterjemahkan di tapak tanah pertanian, laut, kolam, tasik, ladang, kandang dan kilang.  “Kerja keras di peringkat pentadbiran disokong arahan atasan yang jelas akan membawa sektor pertanian negeri melangkah ke hadapan dengan lebih kemas,” ujarnya.
11 Aug 20
537
Terengganu Lucut Hak Tanah Tidak Diusahakan Pemaju
Terengganu Lucut Hak Tanah Tidak Diusahakan Pemaju
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Kerajaan negeri melaungkan ketegasan untuk bertindak melucutkan hak dan merampas tanah-tanah kawasan industri yang tidak diusahakan pemaju di seluruh negeri. Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar memaklumkan,Terengganu ketika ini secara keseluruhannya memiliki sebanyak 29 kawasan industri berkeluasan 10,621 hektar. "Mengikut Jawatankuasa Perancangan Negeri Terengganu pada tahun 2018, kita dapati hampir 45 peratus kawasan industri yang diberi milik tidak diusahakan di seluruh negeri. "Peratusan ini melibatkan 776 daripada 1,705 lot tanah dan jika mereka masih tidak mengusahakannya dalam masa terdekat, kita akan ambil semula dan menawarkannya kepada mereka yang berminat untuk mengusahakannya," katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini. Jelasnya, kerajaan negeri juga tidak dijelaskan akan masalah yang menyebabkan tanah-tanah terbabit terbiar. Oleh demikian, kerajaan negeri juga bersetuju untuk melaksanakan sistem 'Smart Map' yang akan mengemukakan status dan kedudukan tanah secara lebih terperinci sebagai penambahbaikan berhubung isu tanah.  
11 Aug 20
4719
Terengganu Tubuh Pasukan Khas Pantau Projek ECRL
Terengganu Tubuh Pasukan Khas Pantau Projek ECRL
  KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Kerajaan negeri menubuhkan pasukan pemantau di peringkat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi memastikan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu mendapat manfaat secara menyeluruh. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr  Mamad Puteh berkata, beliau akan memastikan rakyat di negeri ini akan mendapat peluang pekerjaan daripada serendah-rendah jawatan iaitu sebagai buruh sehingga ke peringkat profesional. “Pada masa yang sama mampu membuka peluang perniagaan baharu dan pertumbuhan bandar-bandar kecil di kawasan sekitar,” katanya. Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Katanya, kerajaan memandang serius perkara itu dengan turut mengadakan beberapa langkah lain “Kita sudah mengadakan perbincangan dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) bagi memastikan pelbagai peluang yang bakal perolehi. “Perbincangan turut dibuat antara tiga negeri iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan untuk menjadikan kita ini pasukan yang kuat bagi tujuan yang sama,” katanya. Dr Mamad turut memberitahu, disebabkan peruntukan untuk membina jajaran projek ECRL itu dikecilkan daripada RM66 bilion kepada RM44 bilion, Stesen Bukit Besar berkemungkinan  dibatalkan dan dicadangkan dipindah ke Durian Guling. "Oleh kerana stesen Pengkalan Berangan dekat dengan Durian Guling maka Stesen Pengkalan Berangan dipindahkan ke Bandar Permaisuri. “Perbincangan dengan MRL sudah dibuat supaya ada kemudahan sistem pengangkutan canggih antara Bukit Besar dan Durian Guling,”katanya menjawab soalan tambahan ADUN Seberang Takir, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman.  
11 Aug 20
1705
Pusat Pemulihan Dadah Holistik Beroperasi Januari Depan
Pusat Pemulihan Dadah Holistik Beroperasi Januari Depan
  KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Pusat pemulihan dadah secara holistik yang menggunakan pendekatan lebih komprehensif dijangka beroperasi mulai Januari tahun depan di Kem Chador, Marang dengan pengambilan 100 pelatih. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan negeri akan mengadakan kerjasama dengan pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Terengganu dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Kebangsaan berkaitan pemilihan pelatih. Katanya, mereka yang dipilih termasuk yang tinggal di kawasan pendalaman dan benar-benar mahu berubah kepada kehidupan lebih baik. "Pusat pemulihan dadah itu berada dalam peringkat penyelesaian isu tanah dan pemilikan bangunan sedia ada antara Lembaga Tabung Warisan Negeri Terengganu dan Sri Miah Sdn Bhd melibatkan kos RM1.5 juta. Permohonan tapak sebagai cadangan adalah tapak Program Latihan Khidmat Negara PLKN Kem Chador, Marang, Terengganu sebelum ini yang berkeluasan kira-kira 40 ekar. “Dalam konteks pemilihan pelatih, kita tidak akan memaksa mereka  untuk berubah sebaliknya menggunakan pendekatan  kerohanian dan mendalami ilmu agama, mengaji al-Quran, pentingnya solat apabila pelatih ke pusat itu kelak,”katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Wan Hapandi Wan Nik (Sura-PAS) pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14, di Wisma Darul Iman hari ini. Mengulas lanjut, beliau memaklumkan anggaran kos perbelanjaan pengurusan bulanan yang akan ditanggung oleh pihak kerajaan RM1.499 juta, termasuk kos gaji, emolumen, pengurusan dan operasi. Konsep secara holistik yang dimaksudkan adalah secara bersepadu, kerana itu pemilihan pelatih adalah daripada bukan penagih tegar kerana penagih tegar diuruskan oleh AADK "Hanya mana-mana pelatih yang sudah dikeluarkan daripada pihak penjara, kita akan ambil dan dibuka secara sukarela serta dididik di pusat ini. "Sistem itu nanti merangkumi dua segmen, pertama adalah melalui konsep kerohanian, iaitu rawatan secara dalaman. "Kedua adalah membuat perkampungan melalui projek-projek dari sudut kemahiran, seperti pertanian, penternakan sehingga mereka sesuai untuk keluar bersama-sama masyarakat setempat dan jika sebaliknya, mereka akan kekal di situ sehingga akhir hayat," tambah beliau.
10 Aug 20
2299
ADUN Kemasik Nafi Terlibat Kes Rasuah
ADUN Kemasik Nafi Terlibat Kes Rasuah
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili yang dikaitkan dengan rasuah bernilai RM500,000 bagi satu projek pasir di Terengganu menafikan dakwaan tersebut hari ini. Menurut beliau, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan akan meneliti butiran tertentu termasuk berbincang dengan peguam sebelum mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya. "Saya tidak pasti bagaimana isu berkenaan boleh dikaitkan dengan saya dan saya juga hanya mengetahui isu berkenaan daripada Facebook. "Saya akan tengok dulu sebelum ambil tindakan sewajarnya selepas perbincangan bersama pihak peguam. "Saya tidak tahu apa tujuan mereka tetapi dalam politik, ada yang tidak puas hati, apa-apa pun tindakan akan diambil," katanya ketika dihubungi media selepas Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14, di Wisma Darul Iman hari ini. Beberapa hari lalu, tular di media sosial beberapa tangkap layar yang didakwa perbualan antara Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Integrity & Strategic Studies Institute (T-ISSI), Nurul Islam Mohamed Yusoff dengan seorang individu yang dipercayai seorang kontraktor. Perbualan di aplikasi Whatsapp itu turut dimuat naik dalam akaun Facebook beberapa penyokong dan pemimpin Pakatan Harapan. Hasil tinjauan di status itu Facebook juga mendapati rata-rata pengguna media sosial mempersoal mengapa individu yang mendakwa mempunyai bukti rasuah tidak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).  
10 Aug 20
8192