lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Tidak Boleh Guna Perkataan Kesat Dalam Sidang DUN
Tidak Boleh Guna Perkataan Kesat Dalam Sidang DUN
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 15 Ogos- Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali mengingatkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat agar menjaga tutur kata dan tidak boleh menggunakan bahasa yang kesat dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri. Menurut Yahaya, mereka hendaklah mematuhi Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri bagi Negeri Terengganu (Standing Rulers and Orders) ketika Dewan bersidang.  "Di antara perkara 46 (xiii) seseorang ahli di larang menyindir  tujuan - tujuan yang menyerong terhadap ahli-ahli lain, membuat tuduhan terhadap peribadi ahli yang lain. "Menggunakan bahasa ataupun perkataan yang cemar atau mencela dan menimbul-nimbulkan peribadi-peribadi," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undanagn Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman baru-baru ini. Menurutnya, beberapa perkara dalam buku Peraturan Dewan hendaklah dipatuhi agar ia boleh membina tertib perjalanan Dewan yang teratur. "'Standing Orders' ini penting kerana ia boleh mengharmonikan dan memastikan perjalanan sidang DUN berjalan lancar dan licin. "Sebab saya perhatikan ada masanya kadang-kadang kita tidak merujuk kepada 'Standing Orders'," ujarnya. Yahaya menambah, perkara  48 dalam Peraturan Dewan apabila Yang Dipertua Dewan (YDP) berucap, mana-mana ahli yang sedang bercakap hendaklah dengan serta merta duduk. "Perkara 47 (a) seseorang ahli boleh menggangu ahli lain untuk menerangkan apa-apa perkara yang dikeluarkan oleh ahli itu  dalam ucapannya dengan syarat  ahli yang sedang bercakap itu  mahu beralah dan duduk semula  dan ahli yang hendak menggangu itu dipanggil oleh YDP. "Satu perkara lagi saya nak peringatkan untuk ingatan bersama dalam perkara 46, tatkala membuat ucapan di atas mana-mana  cadangan yang sedang  ditimbangkan  oleh dewan ataupun seluruh dewan, peraturan-peraturan yang tersebut di bawah ini hendaklah ditaati," tambah beliau.
15 Aug 20
400
Hayati Sejarah Dan Semangat Pejuang Kemerdekaan
Hayati Sejarah Dan Semangat Pejuang Kemerdekaan
HULU TERENGGANU, 16 Ogos - Keberanian dan kecekalan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan wajar dihayati dan dihargai kerana sifat kepahlawanan mereka telah membawa kebebasan hari ini untuk mencorakkan masa depan negara tercinta.  Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, semangat yang ditiupkan ulama dahulu begitu padu hinggakan ramai sanggup mengetepikan kepentingan peribadi demi kelangsungan dan maruah agama, negara dan bangsa. "Mereka menyuntik rasa kesedaran kepada masyarakat agar bersama-sama menggalas tanggungjawab sebagai rakyat yang cintakan negara. “Telah tiba masanya untuk kita pula menyambung perjuangan mereka dalam mengekalkan keamanan dan kemerdekaan negara. Kita juga perlu mempertahankan kedaulatan tanah air kita ini dengan sebaik mungkin agar anak-anak dan generasi seterusnya akan turut dapat mengecapi kebebasan seperti mana yang kita miliki sekarang," ujarnya ketika merasmikan Program Merdeka @ komuniti info on wheels Dun Ajil di Dataran Kampung Tok Dor Pagi ini anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu semalam. Justeru itu katanya, mereka yang berjiwa merdeka dan patriotisme akan menghargai sejarah, pahit getir dan kegigihan perjuangan generasi terdahulu memerdekakan negara. "Malangnya, ada sesetengah pihak yang cuba mengubah fakta sejarah untuk mengelirukan generasi muda dengan maklumat dan informasi songsang yang menimbulkan kesangsian kepada fakta sebenar dan sejarah.  "Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. "Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang," jelas Maliaman. Tambah beliau lagi, semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patriotik yang tinggi.   
15 Aug 20
2736
Ibu Bapa Penentu Kejayaan Anak
Ibu Bapa Penentu Kejayaan Anak
KUALA TERENGGANU, 13 Ogos - Sokongan moral dan peranan ibu bapa mampu memberi impak yang besar kepada anak-anak dalam mencapai kejayaan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, agenda pembangunan modal insan tidak akan terbantut di peringkat tertentu sahaja. Malah katanya, ia akan berterusan sehingga ke liang lahad. "Proses paling membantu kejayaan anak-anak adalah melalui peranan ibu bapa masing-masing. Selain faktor guru, ibu bapa memiliki peranan besar dalam memberikan motivasi dan harapan buat anak-anak. "Oleh kerana harapan ibu bapa juga besar, saya menyeru kepada semua anak-anak yang bakal melanjutkan pelajar ke peringkat yang lebih tinggi supaya sentiasa gigih menuntut ilmu," katanya. Beliau berkata demikian ketika majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar dari kalangan anak-anak penduduk di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh di Dewan Permata Permai Hotel, di sini kelmarin. Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Tuan Haji Ariffin Abdullah dan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Nerus, Tuan Haji Hamid Yahya. Selain itu, semua pengetua-pengetua Sekolah Menengah dan Sekolah Menengah Agama dalam kawasan dun Tepoh turut sama memeriahkan majlis. Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, selain ilmu, antara agenda penting yang mesti dipelajari adalah adab, kerana mendidik adab itu lebih sukar berbanding mencari ilmu. Tambahnya lagi, di peringkat kerajaan negeri, Yayasan Terengganu turut memainkan peranan dalam memberikan Bantuan Persediaan ke pusat pengajian tinggi. Selain itu, sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) juga turut disalurkan atas tujuan yang sama. "Semoga semua anak-anak Terengganu yang berjaya ke menara gading akan dapat memanfaatkan peluang ini dengan sebaik mungkin dan terus berjaya," jelasnya.
13 Aug 20
821
COVID-19 : Kluster Piktawa Terengganu Berakhir
COVID-19 : Kluster Piktawa Terengganu Berakhir
  PUTRAJAYA, 13 Ogos - Satu kluster COVID-19 yang menular di kalangan rakyat Terengganu diisytiharkan tamat hari ini. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, kluster Piktawa merupakan antara tiga kluster tersebut. Untuk rekod, kluster PUI Pitakwa, kes indeks kluster itu adalah seorang warga negara Malaysia (iaitu kes ke-8,737) yang pulang ke Malaysia dari Nigeria pada 11 Julai 2020. Saringan COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didapati negatif namun tiga hari selepas ketibaan di Malaysia beliau perlu menjalani ujian ulangan bagi COVID-19 kerana mula mengalami gejala yang lebih teruk yang mana beliau dikesan positif serta dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu. Susulan itu, 44 kontak rapat dikenal pasti dan disaring terutama dalam kalangan ahli keluarga, penumpang dan krew kapal terbang, pemandu teksi serta rakan sekerja. Jumlah kes positif melibatkan kluster berkenaan adalah tiga yang kesemuanya membabitkan rakyat Terengganu
13 Aug 20
1589
Pusat Konservasi Dinaiktaraf Sebagai Hospital Penyu Negara
Pusat Konservasi Dinaiktaraf Sebagai Hospital Penyu Negara
DUNGUN,13 Ogos - Pusat Konservasi Penyu di Kampung Rantau Abang dinaiktaraf sebagai Hospital Penyu Negara.   Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun menyambut baik usaha untuk memperkasakan semula Rantau Abang yang dikenali dengan tempat penyu bertelur.  "Saya berharap juga agar nanti kerajaan menjadikan program pelepasan anak penyu Sebagai acara tahunan. "Agar boleh memberi peluang menambah pendapatan kepada penduduk setempat," ujarnya ketika dihubungi pemberita semalam. Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman tersebut oleh  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman di dalam Ucapan Penggulungan Perbahasan Titah Diraja di Persidangan DUN di Wisma Darul Iman di sini kelmarin. Di dalam ucapan penggulungan tersebut juga turut diumumkan Pusat Santuari Penyu Rantau Abang akan mempunyai galeri hidupan laut terancam  yang menempatkan spesis dugong, paus dan ikan lumba-lumba yang bakal menarik lebih ramai lagi pelancong.
13 Aug 20
546
Eksport Pasir : Asal Jasa Dilantik Kerana Miliki AP
Eksport Pasir : Asal Jasa Dilantik Kerana Miliki AP
KUALA TERENGGANU, 13 Ogos – Pemilihan Asal Jasa Sdn Bhd sebagai pengambil dan pengeksport pasir di muara sungai Merang, Terengganu dilakukan secara professional di samping hanya syarikat tersebut yang mempunyai lesen eksport (AP). Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, tambahan pula semua pemilik konsesi pasir di muara sungai di negeri ini termasuk syarikat Terengganu Dredging (T-Dreg) tidak memiliki AP. “Dalam isu pasir ini ia melibatkan dua bahagian iaitu pemilik konsesi dan pemilik AP. Jadi T-Dreg selaku pemilik konsesi untuk eksport pasir telah melantik Asal Jasa untuk melaksanakan projek itu, ia menjadi hak pemilik konsesi untuk melantik syarikat mana yang memilki AP sebagai plaksana projek itu. “Sebelum kelulusan diberi kepada Asal Jasa, sebanyak lima syarikat telah dipanggil dan dianalisa kemampuan-kemampuan mereka, namun lima syarikat itu tiada AP. Kita juga tidak ada ‘favour’ untuk melantik mereka hanya kerana mereka dari Kelantan,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan usul menjunjung kasih perutusan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 di Wisma Darul Iman kelmarin. Menjawab kekeliruan yang ditimbulkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Kijal), Dato’ Seri Dr Ahmad Said itu, Nurkhuzaini turut menjelaskan, cita-cita besar T-Dreg sememangnya untuk menjadi payung kepada projek-projek berkenaan. “Namun, T-Dreg masih di peringkat awal penubuhan, jadi cita-cita besar itu akan berlaku melalui proses-proses secara berperingkat,” tambah beliau.  
13 Aug 20
2539
Terengganu Lulus Belia 18 Tahun Jadi Calon Pilihan Raya
Terengganu Lulus Belia 18 Tahun Jadi Calon Pilihan Raya
  KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Terengganu menjadi negeri terbaharu yang menurunkan had usia calon pilihan raya daripada 21 kepada 18 tahun apabila Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu meluluskan pindaan Enakmen Undang-Undang bagi diri Kerajaan Negeri Terengganu (Bab Yang Pertama) (Pindaan) 2020 hari ini. Usul yang dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Satiful Bahri Mamat itu diterima sebulat suara 32 ADUN. Satiful berkata, pindaan itu selaras dengan perkembangan di peringkat Parlimen yang memberikan kelulusan kepada individu yang berusia 18 tahun menjadi calon Parlimen. "Jadi kita menuruti langkah itu dengan meluluskan pindaan ini sekali gus memberi kelayakan kepada mereka yang berusia 18 tahun menjadi calon ADUN mana-mana parti "Kita bersedia untuk melaksanakan ini walaupun ada negeri-negeri yang tidak bersedia dan menolak untuk melaksanakannya," katanya ketika ditemui media selepas penangguhan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga DUN Ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini. Menurut beliau, pindaan itu boleh digunapakai sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang turut melibatkan DUN. "Ini pengiktirafan kepada orang muda dengan menjadi calon dan boleh mengundi pada usia 18 tahun," ujarnya.
12 Aug 20
3034
Parkir MBKT : Jana Untung Baharu, Hapus Kerugian
Parkir MBKT : Jana Untung Baharu, Hapus Kerugian
  KUALA TERENGGANU, 12 Ogos – Keputusan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menswastakan kira-kira 6,000 tempat letak kereta bahu jalan adalah untuk menjana keuntungan baharu di samping menghapuskan kerugian yang dialami pihak berkuasa tempatan itu sejak empat tahun terdahulu.  Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, MBKT kerugian lebih RM2.4 juta ekoran peningkatan kos perbelanjaan operasi termasuk membaiki kerosakan. Katanya, dengan penswastaan tersebut pihak berkuasa tempatan itu tidak lagi perlu menanggung kerugian sebaliknya akan menerima bayaran sekitar RM1.3 juta setahun manakala segala kerosakan pula akan ditanggung oleh syarikat terbabit. "Sejak tahun 2016, MBKT mengalami kerugian bersih melibatkan parkir sahaja berjumlah RM170 ribu, RM484 ribu bagi tahun 2017, RM850 ribu (2018) dan sebanyak RM918 ribu pada 2019. "Memang betul, sebelum ini MBKT memperoleh hasil sekitar tiga ke empat juta setahun berbanding RM1.3 juta yang diterima dari pihak pengurusan swasta, tetapi, kos operasi (OPEX) yang tinggi menyebabkan defisit, tidak betul kalau kita hanya kira pendapatan tanpa mengira OPEX," katanya. Beliau berkata demikian semasa membuat penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Iman semalam. Dr Alias turut memaklumkan, pihaknya telah melakukan beberapa inovasi dalam sistem tersebut namun MBKT tetap mengalami kerugian. "Jadi atas sebab itu kita memikirkan kaedah lain iaitu penswastaan, ditambah pula kita tidak dibebankan dengan servis dan kerosakan,” katanya sebagai menjawab kekeliruan yang ditimbulkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Dato’ Seri Dr Ahmad Said. Tambahnya lagi, daripada 70 orang kakitangan asal pengurusan parkir MBKT, 34 kakitangan dikekalkan dan 36 yang lain diserapkan ke jabatan lain serta pihak pengurusan swasta berkenaan namun, masih kekal berstatus kakitangan kerajaan yang tetap dan berpencen.
12 Aug 20
3249
Fitnah Rasuah : ADUN Kemasik Buat Laporan Polis
Fitnah Rasuah : ADUN Kemasik Buat Laporan Polis
  KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu berhubung fitnah yang tular di media sosial terhadap dirinya.  Ir Saiful menegaskan bahawa dirinya tidak pernah terlibat dengan permintaan sejumlah RM500, 000 dari seorang kontraktor. "Saya tidak pernah secara peribadi atau melalui mana-mana wakil saya, meminta sebarang imbuhan sepertimana didakwa. "Saya dengan ini memohon pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan ke atas fitnah ini dan seterusnya mengambil apa-apa tindakan yang perlu mengikut semua peruntukan undang-undang yang ada," ujarnya selepas membuat laporan tersebut.   Tegasnya, beliau langsung tidak mempunyai sebarang pengetahuan dan menafikan terlibat dengan dakwaan tersebut. "Setakat ini ia sangat memberi kesan kepada saya termasuk keluarga dan juga masyarakat yang berkaitan rapat dengan saya terutama sekali ia adalah satu fitnah," katanya.
12 Aug 20
2353
Jawatan GLC : ‘Individu Dilantik Untuk Selesaikan Kepincangan’
Jawatan GLC : ‘Individu Dilantik Untuk Selesaikan Kepincangan’
  KUALA TERENGGANU, 12 Ogos – Pelantikan beberapa individu ke jawatan penting dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri adalah untuk menyelesaikan kepincangan, termasuk pengurusan dan tatacara kewangan syarikat selepas mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2018. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelantikan itu dibuat secara kontrak berdasarkan pengalaman dan kelayakan individu berkenaan. "Individu berkenaan dilantik secara kontrak antara dua dan tiga tahun untuk membantu kerajaan menyelesaikan pelbagai permasalahan dihadapi GLC. "Mereka mempunyai keluarga dan menetap di negeri ini dan pernah memegang jawatan beberapa GLC sebelum ini. "Individu berkenaan juga mampu menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi GLC dalam tempoh yang singkat," katanya ketika ditemui media selepas penangguhan Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14, di Wisma Darul Iman semalam. Mengulas lanjut dakwaan bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said itu, beliau menegaskan selepas segala permasalahan itu yang dihadapi berjaya diselesaikan kerajaan negeri akan menyusun semula GLC dengan melibatkan anak tempatan. "Apabila syarikat milik kerajaan itu kembali pulih, kerajaan negeri akan memberi peluang kepada anak tempatan untuk menerajuinya," katanya. Untuk rekod, antara pelantikan jawatan GLC yang dipersoalkan Ahmad Said, TDM Berhad mengumumkan peningkatan pendapatan sebanyak tujuh peratus kepada RM425.1 juta bagi tahun 2019 berbanding RM397.9 pada tahun sebelumnya. Pengerusi TDM, Raja Dato’ Idris Raja Kamarudin berkata, pihaknya berpuas hati dengan prestasi tersebut meskipun 2019 adalah tahun yang penuh cabaran termasuk perang perdagangan, ketidaktentuan ekonomi global dan pemulihan harga minyak sawit mentah pada suku berakhir 2019. TDM juga memaklumkan akan memulakan penanaman pertama secara rasmi tahun ini di Ladang Pelung. “Selepas Ladang Pelung, program penanaman semula yang seterusnya adalah di Ladang Fikri, Jerangau, Pinang Emas, Pelantoh, Tebak dan Jernih dengan jumlah keluasan 1,440 hektar,” tambah Raja Dato’ Idris baru-baru ini.
12 Aug 20
4981