Artikel "Semasa" Terkini
Terengganu Sasar Bina Lagi 6,171 Rumah Mampu Milik
Oleh : Suriati Ali
KEMAMAN, 18 Ogos - Kerajaan negeri mensasarkan 6,171 unit Rumah Mampu Milik (RMM) patuh syariah dibina di Terengganu dalam tempoh dua tahun akan datang.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah itu adalah sebahagian 20,000 RMM yang dicadangkan dibina dalam tempoh empat tahun bermula 2018.
Katanya, sejumlah 5,966 RMM masih dalam pembinaan dan ada sebahagiannya sudah siap dan telah pun diagihkan
"Bagi RMM Tajin, Hulu Terengganu dengan jumlah binaan 250 unit dan RPMM Tok Jembal, Kuala Nerus (160 unit) dan
RMM Tempinis, Jabi, Besut (100 unit) telah dilancarkan.
"Manakala projek dalam tempoh terdekat dan telah diuluskan adalah RMM Bukit Gasing, Marang dengan jumlah 250 unit dan RPMM Bukit Tumbuh, Kuala Nerus pula sebanyak 120 unit," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah RMM Gong Chengal 2, Kemasik, di sini. hari ini.
Dr Alias Razak.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan,Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, Ahli DCewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili.
Projek itu membabitkan pembinaan 200 unit RMM dengan nilaian RM80,000 seunit harga subsidi kerajaan.
Sementara itu, Dr Alias berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik adalah antara kawasan yang terpilih untuk projek RMM.
"Tidak ketinggalan DUN Kijal telah mendapat projek RMM Seri Bandi sebanyak 200 unit dan dalam proses untuk agihan kepada peserta yang berjaya,
"Jumlah permohonan RMM yang berstatus dalam senarai menunggu di Kemaman adalah sebanyak 8,088 dan dari jumlah tersebut 1,031 adalah permohonan dari DUN Kemasik.," katanya.
18 Aug 20
2291
Pemasangan Perangkap Minyak Tangani Banjir Kilat Di Pasar Payang
KUALA TERENGGANU, 18 Ogos – Kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan memasang perangkap minyak di setiap kedai di Pasar Payang bagi mengelakkan kejadian banjir kilat di dalam premis tersebut terus berulang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, hasil siasatan ke atas kejadian banjir kilat yang berlaku sebelum ini mendapati ia berpunca daripada perkumpulan lemak dan minyak (grease) dalam saliran.
“Saliran utama atau longkang menjadi sempit dan tersumbat kerana kita dapati orang ramai termasuk peniaga membuang sisa lemak dan ‘grease’ ke tempat terbabit.
“Untuk jangka masa pendek, kita sudah bersihkan aliran yang tersumbat itu, dan bagi jangka masa panjang, persetujuan bersama peniaga telah dicapai untuk dipasang perangkap minyak di kedai-kedai terlibat, surat rasmi akan dikeluarkan sebelum ia dipasang dalam masa terdekat,” katanya kepada UPDI selepas melakukan tinjauan ke Pasar Payang baru-baru ini.
Mengulas lanjut beliau menjelaskan, pemasangan itu akan memakan kos sebanyak RM200 dan ia akan ditolak sewa bulanan para peniaga.
“Perangkap minyak itu hanya dipasang di ‘outlet’ luar sahaja sebelum ini, jadi untuk akan datang setiap kedai akan dipasang supaya kes banjir kilat di dalam pasar tidak lagi berlaku walaupun pembuangan minyak dan lemak dibuang berlebihan,” ujarnya.
Dr Alias meninjau proses pelaksanaan meter parkir digital di sekitar Kuala Terengganu.
Dalam pada itu, Dr Alias masalah banjir di sekitar Pasar Payang termasuk Jalan Paya Keladi juga dipandang serius pihaknya.
“Konsultan telah dilantik bagi mengkaji dan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu ini.
“Antara yang menjadi cadangan kita ialah pembukaan saliran dan laluan baharu dengan memotong jalan yang ada supaya air dapat dialirkan terus ke sungai kerana saliran sedia ada sudah tidak dapat menampung air sekiranya hujan lebat,” tambahnya.
Dalam perkembangan berbeza, beliau berpuas hati dengan perjalanan proses meter parkir digital yang memudahkan lagi rakyat Terenggganu untuk membuat urusan parkir kereta.
“Kita akan meningkatkan lagi sistem ini dari semasa ke semasa termasuk membuat pembayaran melalui telefon pintar sahaja,” katanya
18 Aug 20
2407
Tourism Malaysia Seru Pengusaha Pelancongan Zahirkan Semangat Kebangsaan
KUALA NERUS, 18 Ogos - Tourism Malaysia Wilayah Timur menyeru semua pengusaha pelancongan terdiri daripada hotel dan resort di pantai timur mempamerkan semangat patriotisme di premis masing-masing sempena bulan kebangsaan ini.
Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin mengajak pengusaha pelancongan untuk menyemarakkan lagi kempen bulan kebangsaan dengan memasang lagu-lagu patriotik dan mengibarkan bendera Malaysia.
Hafiz Hazin.
"Memang kita mengalu-alukan sikap patriotisme dari kalangan pengusaha pelancongan untuk sama-sama menghayati bulan kebangsaan ini.
"Tambahan pula sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, kita hanya fokus kepada pelancongan domestik berikutan pengunjung luar tidak dapat masuk ke negara ini. Jadi, ini adalah peluang kita melahirkan rasa bangga dan syukur kita sebagai rakyat Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sesi pemantauan pihak Tourism Malaysia Wilayah Timur, Pusat Informasi Pelancongan (TIC) Kuala Terengganu dengan kerjasama Pejabat Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia Kuala Terengganu di pusat peranginan Pulau Redang, semalam.
Tambah beliau, pihaknya turut berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi di kalangan pengusaha pelancongan terdiri daripada hotel dan resort.
Kakitangan salah Redang Pelangi Resort memasang Jalur Gemilang di bangunan utamanya.
"Sekarang ini kita sedia maklum rakyat Malaysia mula keluar bercuti dan alhamdulillah kita telah menerima ramai pengunjung terutama di pulau-pulau di Terengganu ini. Setakat ini, masih belum dapat apa-apa rungutan daripada pengunjung dan kita harap mereka berpuas hati dengan pelaksanaan SOP oleh pengusaha hotel dan resort sebagaimana yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Cumanya, kekangan yang kita hadapi di sini adalah saiz jeti yang menyukarkan pengunjung mempraktikkan penjarakan fizikal seperti ditetapkan. Itu antara penekanan yang perlu dilihat untuk kita ambil berat dan saya mohon sekiranya suasana sekitar jeti dipertingkatkan,' katanya.
Jelasnya lagi, Tourism Malaysia sering mengutamakan respon balas dari pengunjung untuk beri penarafan kepada resort dan hotel dalam mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengalu-alukan sebarang pandangan pihak luar bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan dan SOP.
Sejak pelaksanaan PKPP bermula 10 Jun hingga 31 Ogos depan, sebanyak 60 hingga 90 peratus kadar purata penginapan di resort-resort di pulau peranginan di pantai timur ditempah pelancong, antaranya di Pulau Redang, Setiu.
Kakitangan Redang Pelangi membentuk angka 63 simbolik sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-63.
18 Aug 20
800
Masalah Institusi Mahkamah Rendah Syariah Terengganu Dalam Perhatian
Oleh : Amiirullah Mansor
DUNGUN, 18 Ogos- Masalah atau perkara berbangkit yang timbul di setiap Mahkamah Rendah Syariah Terengganu mendapat perhatian daripada kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, pihaknya akan mengambil tindakan dengan menambahbaik kemudahan sedia ada dan sebagainya demi keselesaan pelanggan.
“Kebanyakkan bangunan mahkamah di negeri ini merupakan peninggalan daripada Pejabat Agama setiap daerah.
"Bangunan-bangunan dibina sejak tahun 70an dahulu, menyebabkan struktur bangunan yang lama ini perlu dibaikpulih untuk memenuhi keperluan dan keselesaan kepada masyarakat yang berkunjung ke mahkamah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media usai lawatan rangka kerja ke mahkamah-mahkamah setiap daerah di Terengganu.
Menurutnya, kebiasaannya sebanyak 900 hingga 1000 kes setahun melibatkan orang ramai yang menggunakan khidmat mahkamah ini.
"Disebabkan struktur bangunan yang agak lama, banyak perkara yang timbul termasuk tidak mesra pelanggan OKU dan sebagainya," ujarnya.
Jelasnya lagi, ada beberapa perkara yang perlu dibuat penambahbaikan antaranya struktur bangunan, kemudahan infrastruktur dan sebagainya.
"Selain itu, pihak kami juga cuba untuk menyelesaikan keperluan yang mendesak seperti membangunkan mahkamah tinggi khususnya di Kemaman dan Besut," jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Hakim Syarie Negeri Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang merangka lawatan kerja ke mahkamah di setiap daerah.
"Alhamdulillah, pihak kerajaan negeri dapat turun sendiri melihat keadaan dan isu-isu berbangkit yang berlaku di setiap mahkamah.
"Terima kasih juga kepada pihak atasan kerana sentiasa memberi sokongan dan dokongan untuk kami menjayakan hasrat kerajaan negeri," ujarnya lagi.
18 Aug 20
452
Pemohon Bantuan Tabung Darul Iman Perlu Kemukakan Surat Pengesahan KKM
DUNGUN, 17 Ogos - Pesakit kronik yang ingin memohon bantuan menerusi Tabung Darul Iman perlu mengemukakan surat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Rugayah Mahmood berkata, keengganan pesakit untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau di hospital menjadi antara penyebab kegagalan mendapat bantuan dari tabung berkenaan.
"Untuk memohon sumbangan Tabung Darul Iman memerlukan surat pengesahan daripada doktor, kalau tidak mahu ke hospital, macam mana nak dapat surat doktor," ujarnya ketika rutin ziarah ke Pulau Serai baru-baru ini.
Ziarah tersebut juga disertai Pembantu Penyelia Hal Ehwal Wanita Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera(i-MiTS), Ahli Jawatankuasa (AJK) Wanita Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pulau Serai dan AJK Lajnah Kebajikan Muslimat DUN Rantau Abang.
Sementara itu, beliau turut menggalakkan orang ramai melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.
"Pemeriksaan kesihatan sebenarnya tidaklah menakutkan. Malah, apa yang perlu ditakutkan jika penyakit lambat diketahui menyebabkan ia sukar untuk disembuhkan dan mungkin membawa mudarat," ujarnya.
Justeru, beliau menasihati supaya orang ramai mengubah tanggapan buruk dan membuang rasa takut untuk berjumpa doktor.
17 Aug 20
1372
Turun Padang Rasai Denyut Nadi Pengusaha Resort- Ariffin
DUNGUN, 17 Ogos - “Kita sentiasa turun ke lapangan dan bertemu dengan pengusaha chalet dan resort untuk merasai denyut nadi mereka terutama yang terkesan disebabkan pandemik COVID-19," kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman.
Katanya, kebanyakkan pengusaha chalet dan resort di negeri ini terutama di pulau mengalami kerugian ketika pandemik COVID-19 melanda negara.
“Pelancong asing tidak dibenarkan masuk sehingga sekarang ke negara ini menyebabkan pendapatan mereka terjejas namun mereka akur dengan situasi sukar ketika ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa membuat lawatan kerja rasmi ke Pulau Tenggol.
Sementara itu katanya, kerajaan negeri sentiasa membantu mempromosikan produk pelancongan yang ada di Negeri Terengganu ini.
“Walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita sentiasa giat membuat hebahan dan promosi berkaitan pelancongan supaya apabila sektor ini dibuka, kita bersiap sedia menerima pelanggan yang telah membuat tempahan awal,” katanya.
Dalam pada itu, ramai pengusaha yang memberitahu selepas kerajaan membenarkan sektor pelancongan beroperasi, sambutan orang ramai sangat positif.
“Kita mendapat maklum balas yang positif dari mereka ini apabila bilik-bilik hampir habis ditempah.
"Ada yang menempahnya untuk percutian seisi keluarga, hari keluarga syarikat dan seumpamanya,” tambah beliau.
17 Aug 20
448
Sedangkan Lidah Lagi Tergigit, Inikan Pula Suami Isteri
HULU TERENGGANU, 17 Ogos – Setiap perhubungan pasti ada pasang surutnya dan tidak semuanya indah bak kata pepatah sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan Dan Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim berkata, kasih sayang sesama insan akan membuahkan sikap bertolak ansur, hormat menghormati dan sedia berkorban demi kebahagiaan orang tersayang.
"Penting untuk kita meletakkan matlamat utama perkahwinan adalah mencari redha Allah, insya-Allah rumahtangga akan selamat dan bahagia ke akhir hayat. Satu lagi perkara penting yang tidak boleh diketepikan dalam mengekalkan kerukunan rumahtangga adalah cara berkomunikasi suami isteri.
"Antara tanda rumahtangga bahagia adalah mempunyai isteri atau suami yang soleh. Isteri yang soleh adalah apabila dipandang, suaminya rasa terhibur dan hilang penat, kalau disuruh dia taat dan apabila ditinggalkan musafir oleh suami, dia menjaga kehormatannya. Tanda-tanda lain adalah mempunyai anak-anak yang baik dan mempunyai rakan-rakan yang terdiri daripada golongan yang baik-baik akhlaknya," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Penutup Kursus Pra Perkahwinan Islam Siri 3 anjuran bersama Pusat Khidmat Masyarakat Adun Ajil yang telah melabuhkan tirainya di Dewan Pejabat Agama Daerah Hulu Terengganu, semalam.
Tambahnya lagi, suami perlu bijak mengurus rumahtangga agar berupaya memimpin isteri dan anak-anak mendapat ketenangan dan kegembiraan, sesuai dengan ayat Allah yang suami itu pemimpin, mereka perlulah membuktikan 'kepemimpinan' dalam rumah tangga.
"Untuk itu, paling kurang seminggu sekali suami kena jadi imam di rumah. Jangan pula dah kahwin 20 tahun tetapi tak pernah sekali pun mengimamkan solat dengan keluarga.
"Tidak kisahlah kalau setiap kali solat baca surah al-Kauthar dan al-Ikhlas asalkan sekurang-kurangnya mampu mengimamkan isteri dan anak-anak. Apabila suami mencapai tahap begini, barulah isteri dan anak-anak lebih hormat. Anak-anak pun turut bangga kerana bapa mereka boleh jadi imam," ujar beliau.
Mengulas lanjut, Maliaman berkata, krisis dan konflik tidak dapat dielakkan, kerana ia adalah asam garam dalam kehidupan berumahtangga.
"Akan ada badai melanda akan tiba ombak menghentam pantai , maka bersiap sedia emosi dan rohani. Jika tidak akan tenggelam dalam lautan kehidupan yang dalam. Ketika konflik menjengah lazimnya ia tidak memberi sebarang tanda, ia menyapa bagai angin lalu, yang dijangka boleh dielak tetapi yang menjadi krisis dan konflik itu biasanya yang di luar jangka.
"Semoga segala ilmu yang ditimba oleh peserta kursus dapat dimanfaatkan sebagai bekal bagi mereka menempuh alam rumahtangga yang amat memerlukan persefahaman, komitmen, sikap harga menghargai dan kasih sayang serta mawaddah dan rahmah diantara pasangan," katanya.
17 Aug 20
2411
Qabil Tiada Tandingan
SEPANG, 16 Ogos - Pelumba cilik Terengganu, Qabil Irfan Azlan berada di kelas tersendiri apabila menjuarai perlumbaan 1 dan 2 bagi kategori 110cc dalam pusingan 1 SIC Motogp Championship 2020 hari ini.
Qabil yang juga antara pelumba termuda dalam kejohanan ini nyata tidak berdepan sebarang masalah untuk mengatasi pelumba-pelumba senior.
Dalam perlumbaan 1, pelumba yang mendapat julukan Valentino Rossi Jr gah menamatkan perlumbaan dengan 15 minit 39 saat meninggalkan Danish Rahman (Johor) serta Adie Putra (Melaka) untuk tempat kedua dan ketiga.
Manakala dalam perlumbaan 2 pada sebelah petang, Qabil sekali membuktikan kejaguhannya apabila terus berjaya mengekalkan podium pertama daripada dirampas pelumba Johor.
Kemenangan bergaya Qabil pasti akan menguatkan lagi impiannya untuk menjadi seperti ikon sukan permotoran dua roda negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang beraksi sehingga ke peringkat tertinggi, Kejuaraan Motosikal Dunia
Dalam pada itu, seorang lagi pelumba Terengganu, Hakim Danish yang beraksi dalam kategori 160cc tidak kurang hebatnya apabila menuruti pencapaian podium pertama Qabil.
Memenangi kedua-dua pusingan perlumbaan sudah cukup memberi kebanggaan kepada seluruh jentera pasukan Hakim.
Apatah lagi, pesaing di tempat kedua dan ketiga ditinggalkan jauh oleh pelumba yang menggunakan motor bernombor 19 itu.
Untuk rekod, kejohanan sulung ini sebahagian daripada MAM SpeedWeek yang akan berlangsung sebanyak lima pusingan di SIKC sehingga Disember depan membabitkan 21 peserta muda daripada lingkungan umur lapan hingga 13 tahun berentap merebut gelaran.
Inisiatif dilakukan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan kerjasama ZK Racing kendalian ikon dua roda negara, Zulfahmi Khairuddin ini bakal menggunakan jentera BucciMoto BR-10 GP yang berkapasiti 110cc dan 160cc.
16 Aug 20
4342
Tidak Perlu Ada ‘Abang Long’ Dalam Muafakat Nasional - Dr Samsuri
KUALA TERENGGANU, 16 Ogos - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan pihak yang menyertai Muafakat Nasional (MN) supaya memahami hasrat dan tujuan sebenar pakatan itu dalam perjuangan politik negara.
Menurut beliau, apabila tiga pihak iaitu PAS, UMNO dan Bersatu bersama-sama mendokong MN, yang menjadi keutamaan adalah kebersamaan sebagai rakan kongsi.
“Saya rasa kebersamaan semua pihak daripada ketiga-tiga parti dalam MN ini adalah sebagai ‘equal partner’ iaitu semua pihak haruslah faham dengan hasrat MN, dan tidak ada mana-mana pihak yang menjadi ‘abang long’.
“Jadi, sebagai rakan kongsi saranan atau nasihat itu boleh diberi namun masing-masing kena cermin diri supaya kita bersama-sama dapat mencapai objektif dalam MN, bukan menunjuk siapa yang kuat, senior, lebih ramai pengikut, dan sebagainya,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) Kali Ke-45 di Dewan Utama SESMA, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan Barisan Nasional (BN) mahu mana-mana parti yang ingin bekerjasama dengan mereka agar ikhlas dan bersedia untuk menterjemahkannya dalam semua bentuk kerjasama.
Menurut Zahid, parti terbabit juga perlu bersedia untuk mengetepikan perbezaan pendapat, kerana kejujuran dan keikhlasan penting dalam perkongsian politik.
Samsuri berpendapat, sekiranya mana-mana parti menunjukkan sikap kurang enak dari awal, ia tidak akan mencapai objektif MN.
Sementara itu, beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, Gabungan Perikatan Nasional (PN) sudah mula berunding tentang pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang namun ia baru di peringkat permulaan dan masih lagi dalam proses.
“Insya-Allah semua itu masih lagi dalam proses. Kita ada banyak kerusi iaitu 222 dan bermacam kategori.
“Saya sangat optimis kita akan mencapai persetujuan di akhir perbincangan, soal orang itu nak ini dan macam-macam ‘wishlist’ (kehendak) itu perkara biasa.
“Bila kita duduk di meja perundingan kita kena ‘give and take’ dan tengok ‘plus minus’ setiap parti itu sendiri sebagai rakan kongsi dalam perbincangan,” ujarnya.
16 Aug 20
16557
Rumah Tuntung Tarikan Baharu Pelancongan Terengganu
KEMAMAN, 16 Ogos – Rumah atau Pusat Penetasan Tuntung di Kampung Pasir Gajah di sini menjadi tarikan baharu kepada pelancong yang berkunjung ke daerah ini
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, projek itu mempunyai beberapa aspek yang boleh menarik minat pelancong iaitu penyelidikan dan pemuliharaan hidupan liar terancam,
Katanya, usaha itu turut mendapat penglibatan dan pemerkasaan daripada penduduk setempat.
“Antara strategi pelancongan negeri Terengganu ialah untuk mempelbagaikan produk tarikan pelancong dan memperkasakan semua portfolio di negeri Terengganu.
“Produk tarikan pelancong yang sedia ada termasuklah pulau, pantai, Tasik Kenyir, air terjun dan pantai pendaratan penyu,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Pelepasan Tuntung di Rumah Tuntung, Sungai Kemaman semalam.
Turut hadir,Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat dan ADUN Air Putih, Abdul Razak Ibrahim.
Katanya lagi, kepentingan tuntung sungai dari sudut eko-pelancongan pula adalah kerana tuntung sungai hanya dijumpai di tiga buah negara sahaja di dunia dan Malaysia adalah salah satu daripadanya.
Dalam majlis berkenaan, Ariffin turut memberi peruntukan sebanyak RM10,000 kepada Pusat Penetasan Tuntung tersebut.
16 Aug 20
1629