lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

TDM Jelajah 12 Lokasi Bersejarah
TDM Jelajah 12 Lokasi Bersejarah
  HULU TERENGGANU, 21 Ogos - Bersempena Bulan Kemerdekaan 2020,TDM Berhad (“TDM” atau “Kumpulan”) julung kali menganjurkan Program Gateh Jejak Sejarah dengan menjelajah tempat-tempat bersejarah di Kuala Berang. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Zainal Abidin Shariff, berkata cetusan idea bagi meningkatkan budaya intelektual dan kesedaran sejarah sebelum kemerdekaan di kalangan kakitangan Kumpulan TDM disamping dapat meningkatkan jati diri dengan memahami sejarah dan warisan.  "Saya difahamkan bahawa Kuala Berang ni adalah satu tempat yang banyak unsur-unsur bersejarah seperti Batu bersurat telah ditemukan di sini dan juga kalau kita lihat daripada asal sejarah kerajaan Kesultanan Terengganu ni pun berpusat di Kuala Berang. "Di samping itu kerajaan Kesultanan dan sebagainya termasuk ulama-ulama yang merupakan waris-waris daripada Nabi dan sebagainya yang diceritakan bertapak di sini. "Ia satu perkara yang wajar kepada generasi muda untuk lihat semula bagaimana kita pada satu waktu dulu adalah satu bangsa yang gagah berpandukan agama Islam dan ulama,"ujarnya. Zainal berkata demikian kepada pemberita di pelepasan Program Gateh Jejak Sejarah sempena bulan Kemerdekaan di Dataran Kuala Berang, semalam. Antara tempat-tempat bersejarah yang  dilawati sempena program Gateh Jejak Sejarah Siri 1 ini ialah Tapak Surau Tok Abdul Rashid, Kampung Buluh , Telaga Tok Abdul Rashid,  Kubur Tok Abdul Rashid, Tanah Batu (tempat Asal Batu Bersurat) dan Memorial Batu Bersurat. Tanah Batu Pada masa yang sama, turut menziarahi Makam Tuk Raja Ri, Kubur Tuk Gajah (Imam Perang Rasu bin Shahrum), Makam Syeikh Abdul Qahar, Masjid Kampung Dusun, Makam Shariff Muhamad Al Baghdadi, Makam Tok Kawah dan Makam Syeikh Abdullah (Tuk Pauh). Geduk di Masjid Kampung Dusun   Tambah beliau, program jelajah siri seterusnya masih dalam perancangan dan akan dikembangkan ke setiap daerah dengan penyertaan yang lebih meluas. "Saya dapat maklumat sebenarnya permintaan lebih daripada apa yang kami mampu sediakan pada hari ini jadi atas dasar itu saya berhasrat untuk mengadakan ulangan dan buka kepada rakan-rakan seterusnya kepada umum jika terus mendapat sambutan," katanya.  
21 Aug 20
2813
Tokoh Maal Hijrah, Tidak Jemu Lakukan Kerja Amal
Tokoh Maal Hijrah, Tidak Jemu Lakukan Kerja Amal
KUALA TERENGGANU, 20 Ogos - Berpangalaman luas menganjurkan pelbagai program peringkat antarabangsa, tidak jemu menyertai kegiatan sosial dan kemanusiaan antara faktor, Hussain Ismail dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Terengganu. Anugerah itu disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat  Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pagi ini. Hussain yang kini menjawat jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah Kemaman Supply Base S/B, GLC Terengganu membawa pulang wang tunai RM10,000 beserta pakej ummrah. Penerima lain, Ab Rahman Ishak, dianugerahkan Tokoh Bilal Cemerlang dan Mohamad Ghani (Tokoh Imam Cemerlang) masing-masing layak membawa pulang wang tunai RM5,000. Hussain yang pernah menjawat jawaran sebagai guru berkata, anugerah itu sebenarnya bukan untuknya seorang malah buat rakan seperjuangan yang tidak pernah jemu melakukan kerja-kerja amal. “Apa yang diterima itu  juga sebenarnya anugerah dari Allah S.W.T supaya mendorong diri  untuk terus berbakti  kepada masyarakat islam di negera ini mahupun di negara luar,” katanya. Anak jati Kampung  Tebakang, Bukit Payong itu  memiliki 9 orang anak hasil  perkongsian hidup dengan Rosemunainah Noor Assmuni. Semua anak-anak berjaya menamatkan pengajian universiti luar negara dan dalam dalam negara. Lebih menarik, hasil didikan pasangan itu juga, semua anak-anak Hafiz dan Hafizah.  
20 Aug 20
1521
Masyarakat Perlu Berubah - MB Terengganu
Masyarakat Perlu Berubah - MB Terengganu
  KUALA TERENGGANU, 20 Ogos - Masyarakat islam di negeri ini sewajarnya berazam untuk sentiasa melakukan perubahan yang terbaik dan bukannya bersikap selesa dengan pencapaian yang ada. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pada masa yang sama setiap insan perlu sentiasa bersikap positif dengan apa jua keadaan, selain perlu kreatif, inovatif dan optimis untuk mecorak kehidupan masing-masing. Katanya, sikap seumpama itu sewajarnya perlu ada ada diri, selain perlu mencontohi sikap Rasulullah SAW. “Rasulullah SAW dan para sahabat berjaya membebaskan diri dan pegangan mereka daripada penindasan dan kezaliman yang dilakukan oleh Musyrikin Quraisy. “Konsep ini lebih dekat dengan hati kita rakyat Malaysia, apakala kita menyambut kedatangan tahun baharu hijrah, pada saat yang sama kita sedang menyambut bulan kemerdekaan negara, simbolik kepada pembebasan daripada cengkaman penjajah,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat  Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuaka Terengganu, pagi ini. Ahmad Samsuri, berkata kemerdekaan cukup mahal, tidak ternilai harganya, tidak boleh ditukar beli dengan harta dunia. dan dengan kemerdekaan dan kebebasan inilah, peradaban Islam dapat mentadbir dunia.   “Oleh kerana itu, pertahankan kemerdekaan ini, seperti bidalan orang tua-tua, adat bernegeri memagar negeri, adat berkampung memagar kampung (erti : tidak mementingkan diri sendiri dan dan buat sesuatu untuk kebaikan bersama). “Nilai kedua adalah Pembebasan atau Kemerdekaan. Hijrah menunjukkan Penyatuan. “Ketiga, Hijrah menonjolkan nilai penyatuan yang kukuh, yang telah diasaskan tapaknya oleh Rasulullah SAW untuk generasi terkemudian mengikut lakaran jejak langkah baginda,” katanya.
20 Aug 20
486
Disyaki COVID-19 : Beberapa Masjid, Surau Terengganu Dinyahkuman
Disyaki COVID-19 : Beberapa Masjid, Surau Terengganu Dinyahkuman
KUALA TERENGGANU, 20 Ogos – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) akan menjalankan proses disinfeksi ke atas beberapa surau dan masjid yang dikunjungi oleh individu disyaki positif COVID-19. Pengarah JKNT, Dr Nor Azimi Yunus berkata, pihaknya telah menerima makluman awal mengenai kes tersebut pada 18 Ogos 2020. Tegasnya, langkah proaktif telah diambil walaupun kes itu masih dalam proses ujian pengesahan di makmal. ‘’Individu tersebut tidak bergejala dan mempunyai sejarah pulang bercuti ke Terengganu pada 30 Julai sehingga 15 Ogos 2020. Sepanjang berada di Terengganu, beliau telah menziarahi sanak saudara dan kenalan di beberapa lokasi. ‘’Sebagai langkah proaktif untuk mencegah dan mengawal penularan, JKNT telah membuat pengesanan, pengasingan dan ujian saringan ke atas kontak-kontak rapat meskipun pengesahan kes beliau masih berjalan,’’ katanya dalam satu kenyataan media, semalam. Mengulas lanjut, pihaknya mengesyorkan masjid dan surau yang terlibat ditutup kepada umum sehingga keputusan ujian pengesahan dan ujian makmal ke atas semua kontak diperolehi. Dalam masa yang sama, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak panik dengan situasi berkenaan kerana langkah awal sudah diambil. ‘’Masyarakat diminta untuk kekal tenang di samping sentiasa mematuhi ‘Standard Operating Procedure’ (SOP) di setiap masa serta tempat bagi mencegah penularan wabak di Negeri Terengganu khasnya dan di Malaysia amnya. ‘’Ingatlah bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih berkuatkuasa sehingga 31 Ogos 2020. Marilah kita sama-sama membudayakan amalan 3S/3C dan 3W sebagaimana saranan kementerian kesihatan Malaysia," tambah beliau.
19 Aug 20
10179
Hasrat Tunai Solat Subuh Berjemaah Tidak Kesampaian
Hasrat Tunai Solat Subuh Berjemaah Tidak Kesampaian
SETIU, 19 Ogos – Hasrat seorang warga emas untuk menunaikan solat subuh berjemaah di surau tidak kesampaian selepas maut dirempuh sebuah van ketika menyeberang jalan di Kampung Renek. Dalam kejadian jam 6.10 pagi itu, mangsa, Mahyiddin Othman, seorang peniaga nasi ayam kampung berusia 73 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian dipercayai berlaku semasa pemandu van jenis Nissan Vanette yang juga merupakan peniaga dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Jerteh. “Apabila sampai di Jalan Kampung Jabi, tiba-tiba mangsa yang berjalan kaki melintas dari kanan ke kiri jalan. “Jarak yang terlalu dekat menyebabkan pemandu itu melanggar mangsa walaupun telah cuba mengelak,” katanya kepada media. Abdul Rozak berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Besut untuk tindakan lanjut. Katanya, kes disiasat mengikut in Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.  Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim menzahirkan rasa simpati kepada seluruh ahli keluarga arwah atas kejadian yang berlaku.  ‘’Semoga Allah merahmati dan mengampuni Allahyarham yang meninggal dunia dalam perjalanan untuk ke rumah Allah. Takziah kepada seluruh keluarga dengan simpati yang mendalam dari kami,’’ ujarnya
19 Aug 20
975
Peruntukan RM41,250 Untuk Ringankan Beban Ulama Terkesan COVID-19
Peruntukan RM41,250 Untuk Ringankan Beban Ulama Terkesan COVID-19
KUALA TERENGGANU, 19 Ogos - Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM41,250 bagi membantu 165 para asatizah dan daie (ulama) di negeri ini yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan secara ‘one- off’ RM250 setiap seorang itu sebagai perghargaan kepada mereka yang sebelum ini mengorbankan masa dan tenaga menyampaikan ilmu kepada rakyat Terengganu. “Bantuan ini mungkin tidak setimpal dengan jasa dan bakti ulama, namun diharapkan sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan yang ditanggung para azatizah akibat pandemik COVID-19. “Semoga anda terus istiqamah menunaikan amanah ilmu yang diberikan oleh Allah, dan doakan saya bersama barisan kepimpinan negeri dapat melunaskan amanah kepimpinan ini berpandukan syariatNya,” ujar beliau ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan One-Off kepada Dai’e Terkesan Akibat Penularan COVID-19 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah. Katanya, diharapkan para asatizah juga dapat meneruskan pembudayaan ilmu dan menggerakkan agenda penyatuan serta perpaduan ummah di negeri ini dalam berhadapan dengan cabaran semasa yang sangat mencabar. “Kerjasama antara pihak kerajaan (umara) dan para asatizah dan daie adalah amat penting bagi mencapai matlamat negeri yang dirahmati Allah,” katanya.
19 Aug 20
266
Terengganu Nafi Gugur Syarat SPM Dalam Pelantikan Ahli Majlis PBT
Terengganu Nafi Gugur Syarat SPM Dalam Pelantikan Ahli Majlis PBT
Oleh : Suriati Ali KEMAMAN, 18 Ogos - Menteri Besar Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan ada menggugurkan syarat memiliki kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam pelantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) berkuatkuasa 1 Jun lalu sebagaimana yang tular di media sosial. Katanya,  pengecualian itu hanya diberikan kepada individu tertentu berdasarkan kes-kes yang dipertimbangkan dengan mengambil kira aspek kepemimpinan dalam komuniti. "Semakan mendapati kurang daripada empat individu yang diberikan kelonggaran kelayakan SPM dalam pelantikan sebagai ahli majlis PBT. “Berita itu kurang tepat, bukan kita menggugurkan syarat sebaliknya pengecualian diberikan kepada individu tertentu sekiranya ada. “Sebolehnya kita mahu syarat itu dipenuhi tetapi kadang kala dalam komuniti ada individu tertentu yang mempunyai daya kepemimpinan tetapi tiada kelayakan SPM atas faktor demografi yang berbeza-beza dan mungkin ada segelintirnya tidak sempat mengambil peperiksaan itu suatu masa dulu,” katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan pecah tanah Projek Rumah Mampu Milik (RMM) Gong Chengal 2 di pekarangan Masjid Kampung Bukit Kukuran, Kemasik di sini hari ini.  Ahmad Samsuri berkata, pengecualian kelayakan SPM itu bukan bersifat kekal dan selepas selesai tempoh pelantikan bagi sesi 1 Jun 2020 hingga 31 Mei 2022, kerajaan negeri akan memperketatkan aspek berkenaan agar selari dengan ketetapan pihak kementerian. Baru-baru ini, tular surat bertarikh 9 Ogos 2020 mengenai pengecualian syarat kelulusan SPM  atau kelayakan diiktiraf seperti yang ditetapkan dalam tatacara dan kriteria bagi pelantikan dan penamatan ahli majlis PBT di negeri ini.  
19 Aug 20
1867
DOSM Sasar 30 Peratus Rakyat Terengganu Respon Secara E-Census
DOSM Sasar 30 Peratus Rakyat Terengganu Respon Secara E-Census
  KUALA TERENGGANU, 19 Ogos - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Terengganu menyasarkan lebih 30 peratus penduduk Terengganu mengisi borang soal selidik Banci Penduduk dan Perumahan (Banci 2020) secara dalam talian e-Census 2020.   Pengarahnya Mohd Sofi Ali berkata, bagi tujuan itu pihaknya dimaklumkan, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu sudah menghantar surat kepada semua jabatan supaya penjawat awam perlu  menggunapakai perkhidmatan itu.   Katanya, pada masa sama, pelbagai saluran termasuk media elektronik, media cetak, pengiklanan papan tanda dan media sosial telah digunakan bagi mempromosi kaedah e-Census 2020.   “Sekiranya mendapat kerjasama penduduk, terutama penjawat awam, pihaknya yakin apa yang disasarkan itu mampu dicapai sehingga 30 peratus pada akhir September ini.   “Orang awam boleh mengisi soal selidik melalui portal banci (e-Census) https://ecensus.mycensus.gov.my/,” katanya ketika dihubungi UPDI.   Oleh itu beliau berkata, kaedah e-Census 2020 diperkenalkan mulai 7 Julai sehingga 30 September ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga dalam penularan wabak COVID-19.   "Inisiatif ini adalah sesuai dengan normal baharu sekarang, saya memilih dan selesa untuk mengisi data tersebut secara dalam talian. Saya berpendapat platform ini melicinkan urusan semua pihak serta mengurangkan risiko jangkitan COVID-19," jelasnya.   Tambahnya, untuk lebih terperinci, DOSM masih mengekalkan bancian secara bersemuka seperti yang diamalkan sebelum ini melibatkan tarikh yang ditetapkan adalah pada 7 hingga 24 Oktober depan.   “Bancian secara bersemuka ini akan menemui penduduk yang gagal respon secara dalam talian e-Census 2020.   “Dianggarkan seramai 3,260 pembanci dan 472 penyelia bertauliah akan dilantik oleh Pejabat Daerah kawasan masing-masing,” kata beliau.   Menurutnya, data banci yang terkini dan komprehensif akan menjadi sumber utama dan penting dalam penyediaan rancangan pembangunan Terengganu dan negara.   “Berdasarkan unjuran, dianggarkan bilangan penduduk Terengganu sehingga tahun ini, adalah sebanyak 1.3 juta membabitkan 290,000 tempat kediaman,” katanya.
19 Aug 20
429
Johor Mahu Contohi Terengganu
Johor Mahu Contohi Terengganu
Oleh: Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 19 Ogos – Kejayaan Kerajaan Terengganu mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia akan dijadikan contoh buat Kerajaan Negeri Johor untuk memperkenalkan perkara sama di negeri tersebut. Yang Dipertua  Speaker Dewan Negeri Johor, Suhaizan Kaiat berkata, dengan kesediaan Kerajaan Terengganu untuk berkongsi pengalaman, beliau yakin persidangan yang dianggotai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia yang dilantik selepas menjalani sesi temuduga itu juga boleh dilaksanakan di negeri berkenaan. “Pelantikan ADUN Belia adalah sebagai latihan untuk mereka, selain menarik golongan muda untuk bersama-sama mengetengahkan dan menyalurkan apa jua isu kepada kerajaan, ia juga adalah usaha yang baik bagi mendedahkan golongan belia memahami struktur pentadbiran negeri. "Lawatan ini adalah bertukar maklumat dan pandangan di antara dua negeri tentang penubuhan DUN, pengurusan serta perjalanan persidangan bagi memperkasa dewan untuk kesejahteraan rakyat," jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Pejabat DUN Terengganu, baru-baru ini. Turut hadir, Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato' Yahaya Ali dan Timbalan Yang Dipertua  Speaker Dewan Negeri Johor, Gan Peck Cheng. Suhaizan berkata, lawatan tersebut juga bagi mengeratkan hubungan di antara dua negeri.   "Saya mengambil pandangan Yang Dipertua DUN Terengganu dan merumuskan bahawa hubungan Badan Legislatif dan Eksekutif perlu seiring bagi memudahkan pembaharuan yang hendak dilakukan di DUN dapat direalisasikan," katanya. Suhaizan menambah, usaha berterusan yang dibuat DUN Terengganu dengan melaksanakan perubahan termasuk modal insan adalah satu inisiatif yang sangat  baik. “Saya berpendapat Kerajaan Negeri Terengganu dalam keadaan stabil dan berfungsi dengan baik,” tambah beliau.  
19 Aug 20
861
NUSA Bantu Asnaf Anjur Program Amal Bulanan
NUSA Bantu Asnaf Anjur Program Amal Bulanan
MARANG, 18 Ogos - Norlan United Skuad Amal (NUSA) di bawah Program Amal Asnaf Bulanan telah turun membantu 10 keluarga kurang berkemampuan di sekitar Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang. 10 buah keluarga tersebut merupakan penerima yang terdiri daripada golongan asnaf, hilang punca pendapatan akibat COVID19, ibu tunggal, penghidap sakit kronik dan lain-lain. Eksekutif Pentadbiran dan Sumber Manusia, Muhammad Faris Abdul Muluk berkata program itu merupakan program tahunan yang diadakan secara bulanan dan akan berterusan pada setiap bulan. “Buat masa ini, bantuan ini mungkin belum merangkumi di keseluruhan tempat, tapi kebanyakannya telah mula menyasarkan semua daerah di Terengganu.” “Pihak NUSA melalui Tanggungjawab Sosial Korperat (CSR) juga melakukan kerjasama dengan agensi serta Pejabat DUN, serta ada juga yang diusahakan sendiri melalui pekerja syarikat.” Turut hadir adalah Petugas Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Rhu Rendang dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Rhu Rendang, Bukit Rhu Rendang, Rhu Rendang Pantai, Kijing, Kijing Pantai serta Paya. Menurutnya lagi, anggaran bajet yang diperuntukkan untuk program ini adalah sebanyak 350 pek sebulan. Antara bentuk sumbangan adalah merupakan keperluan asas atau harian, kerusi roda malah ada juga melalui tenaga gotong royong di rumah-rumah. Sementara itu, Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata, pihaknya mengalu-alukan NUSA yang sudi memberi bantuan kepada mereka yang layak di sekitar DUN Rhu Rendang. "Tanggungajawab sosial daripada syarikat korperat seperti ini juga boleh membantu agensi-agensi dan jabatan lain dalam mengagihkan bantuan kepada rakyat dan masyarakat", ucapnya.
18 Aug 20
817