lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Tidak Serik, Pasangan Kekasih Dicekup Kali Kedua
Tidak Serik, Pasangan Kekasih Dicekup Kali Kedua
MARANG, 23 Ogos - Satu pasangan kekasih seolah-olah tidak serik melakukan aktiviti tidak bermoral apabila dicekup buat kali kedua di sebuah hotel di sini baru-baru ini. Pasangan yang masih dalam perbicaraan kes pertama itu ditahan dalam satu operasi berkala daripada Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad Amar) dengan kerjasama Pegawai Penguatkuasa Syariah Daerah Marang. Ketua Skuad Amar, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya merasa sangat dukacita atas tangkapan ini, kerana mereka seolah-olah tidak serik atas tindakan yang telah diambil sebelum ini. "Saya merasakan perlu diambil perhatian khusus terhadap peraturan atau undang-undang kepada pemilik hotel, chalet, rumah tumpangan  yang membenarkan pasangan yang tidak mempunyai ikatan yang sah atau pertalian suami isteri menyewa di premis miliknya. "Misalnya diadakan satu ketetapan, pasangan yang hendak menyewa perlu memberikan bukti atau kad nikah sebagai syarat untuk menetap di bilik dan premis berkenaan. "Ini adalah sebagai salah satu langkah yang perlu diambil, bagi mendidik dengan lebih tegas dan mencegah perkara seperti ini berulang. "Saya juga mengucapkan jutaan penghargaan kepada penyumbang tenaga, wang ringgit dan maklumat yang bersama-sama dalam menjayakan operasi ini yang melibatkan aktiviti dakwah berterusan di kalangan masyarakat dan komuniti," ucapnya. Mereka ditahan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir)(Terengganu) 2001, Seksyen 31, Khalwat apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. Pasangan tersebut masing-masing berusia di antara 17 tahun sehingga lewat 20an, bukan berasal daripada daerah sini. Operasi berkala itu disertai oleh hampir 20 orang yang terdiri daripada sukarelawan Skuad Amar dan Pegawai Penguatkuasa Syariah Daerah Marang.
23 Aug 20
1690
Kampung Budaya Bakal Dilancarkan 3 September Ini
Kampung Budaya Bakal Dilancarkan 3 September Ini
KUALA NERUS, 23 Ogos - Kampung Budaya berkonsepkan muzium hidup yang menggabungkan pelbagai kebudayaan dan warisan dalam satu kawasan iaitu di Muzium Negeri akan dilancarkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada 3 September ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, kewujudan produk baharu itu secara tidak langsung juga dapat menonjolkan peranan Muzium Negeri Terengganu sebagai pusat rujukan tamadun Melayu.  “Kita mahu tonjolkan keunikan seni warisan yang terdapat di setiap daerah di Terengganu, dan akan kita hidupkan suasana tradisi dalam persekitaran yang menyerupai kehidupan sebenar rakyat Terengganu dahulu kala di rumah-rumah tradisi yang ada.  “Termasuk dengan menerapkan elemen sejarah dalam usaha memartabatkan adat budaya dan seni warisan negeri,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Kursus Kampung Budaya di Quinara Al Safir Resort, semalam. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ab Rasid Jusoh dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Baharum Tun Abdul Razak. Ariffin berkata, terdapat beberapa perhentian rumah budaya dimana penerangan berkaitan Kampung Budaya serta demonstrasi pembuatan perahu akan diadakan di Galeri Pelayaran. “Rumah Nelayan  pula memaparkan demonstrasi pembuatan jala, bubu, pembuatan budu belacan, ikan kering, kerepok lekor, otak-otak, satar dan kerepok kering sementara  Rumah Bujang Berserambi Selasar  berkaitan demonstrasi pembuatan seni khat, ukiran kayu, bubur assyura, berzanji, dan pameran barangan lama. “Sementara Rumah Bujang Berkembar  diadakan demonstrasi anyaman tikar mengkuang, lidi dan kerecut, pembuatan terendak, buluh dan atap dan Rumah Limas Belanda pula demonstrasi pembuatan wau tradisional, permainan tradisional seperti congkak, batu selambut, gasing, dam aji serta demonstrasi pembuatan gasing,” jelasnya.
23 Aug 20
753
Pulau Kapas Jadi Destinasi Rehlah Amal Marang
Pulau Kapas Jadi Destinasi Rehlah Amal Marang
Oleh : Mohd Fakhrullah Mohamad Marang, 21 Ogos – Inisiatif Jabatan Amal Malaysia (Amal)  cawangan Marang menganjurkan  Program Rehlah di pulau peraginan tersohor, Pulau Kapas, kelmarin  sebagai hadiah kepada 47 ahli  jabatan itu yang telah berkerah tenaga dalam setiap program sebelum ini. Mereka yang terpilih adalah ahli Amal   dari   Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, DUN Bukit Payong, DUN Pengkalan Berangan dan DUN Alur Limbat. Komandan Jabatan Amal Malaysia Kawasan Marang, Mohd Izuha Kamal juga sebagai pengarah program berkata, sememangnya aktiviti rehlah itu merupakan program tahunan untuk meraikan para petugas sambil bersantai menikmati keindahan alam. "Kita sentiasa mengambil berat dan meraikan para petugas yang banyak memberi sumbangan tenaga dalam membantu memudahkan urusan dalam setiap program yang ada. “Lokasi kali ini juga tidak memerlukan perjalanan yang jauh untuk peserta dapat bersantai menikmati keindahan alam. Malah dengan mengunjungi destinasi indah, ia secara tidak langsung dapat merehatkan fizikal dan minda mereka." katanya. Pengisian program santai selama dua hari satu malam itu diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti membakar ayam, bermain bola, mandi-manda, snorkeling dan mendaki bukit. Tambah lagi, pada sebelah malam diserikan lagi dengan kehadiran Ketua Pemuda Marang, Mohd Yusuf Abdul Hadi dan Timbalannya, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin sebagai penyeri program apabila mereka menyampaikan tazkirah dan qiamulai sebagai pengisian rohani kepada para peserta. Program telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Amal Malaysia Negeri Terengganu, Sauji Abd Rasid dan turut serta, Timbalannya, Azmi Aminuddin Ahmad dan para peserta rehlah.  
23 Aug 20
537
Kayuhan Merdeka Terokai Marang Semarakkan Semangat Patriotisme
Kayuhan Merdeka Terokai Marang Semarakkan Semangat Patriotisme
  MARANG, 22 Ogos - Program Kayuhan Merdeka Terokai Marang menjadi medan terbaik untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Ariffin Deraman berkata, aktiviti yang menjadi kesinambungan daripada program sebelum ini itu juga turut bertujuan untuk memperkenalkan keunikan produk dan lokasi menarik di daerah tersebut. "Ini inisiatif terbaik bagi menyemarakkan lagi suasana bulan kemerdekaan di daerah Marang dengan mengibarkan Jalur Gemilang di sepanjang kayuhan yang bermula dari Dataran Marang sehingga ke Dataran Batu Putih dan berakhir di Kampung Jenang," katanya ketika merasmikan program itu hari ini. Turut hadir sama dalam program itu, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Fathil Abd Ghani. Menurutnya, ia adalah kesempatan terbaik apabila imej atau budaya tersebut dapat ditonjolkan ketika Terengganu dikunjungi ramai tetamu. "Mengambil kira limpahan pelancong domestik di musim PKPP ini, Program Jejak Budaya Marang 2020 telah tercetus bagi menggantikan Pekan Budaya yang menjadi program tahunan di seluruh Terengganu. "Memandangkan situasi PKPP yang masih berkuatkuasa, orang ramai tertumpu kepada pelancongan domestik seperti di Pulau Kapas yang menerima kunjungan hampir 5,000 pelancong setiap minggu," katanya lagi. Untuk rekod ujarnya, program itu diadakan selama sebulan bagi menarik pelancong ke daerah Marang khususnya yang bercuti di Pulau Kapas dan pengunjung luar untuk mengisi cuti mereka dengan pelbagai program menarik yang disediakan sepanjang berada di Terengganu. "Sebanyak 13 program dan aktiviti menarik telah dijadualkan bagi program ini antaranya aktiviti kesenian, kebudayaan dan keunikan pelancongan di Marang seperti Night Fishing di Merchang dan Jenang, Sehari di Dataran Batu Putih, persembhan Dikir Barat, Rodat dan Busking, Demonstrasi Krafttangan, Sukan Rakyat serta banyak lagi program menarik", katanya.
22 Aug 20
423
Khairuddin Mohon Maaf, Pulang Semula Gaji Empat Bulan
Khairuddin Mohon Maaf, Pulang Semula Gaji Empat Bulan
KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali membuat permohonan maaf terbuka selepas gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kuarantin wajib. Sebagai menebus kekhilafan itu juga, beliau berkata, semua gaji sebagai Menteri bagi bulan Mei hingga Ogos 2020 akan didermakan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung COVID-19) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). "Gaji Mac dan April 2020 juga telah disumbangkan sebelum ini ke Tabung tersebut sebagaimana keputusan Kabinet.  "Saya juga akan terus bekerja keras dan melipat-gandakan lagi segala usaha dan tenaga saya untuk melaksanakan tugasan amanah sebagai Menteri bagi memastikan semua rakyat yang terlibat di bidang perladangan dan komoditi, khususnya lebih sejuta pekebun kecil B40 sentiasa mendapat manfaat dan terbela kebajikan mereka," ujarnya dalam satu kenyataan rasmi hari ini. Terdahulu, KKM telah mengenakan kompaun RM1,000 kepada Ahli Parlimen Kuala Nerus itu atas kesalahan terbabit. Mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342), semua individu yang baru tiba dari luar negara sama ada warga negara atau warga asing perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebagai langkah mengekang penularan virus COVID-19. Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataannya, berkata Mohd Khairuddin melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 [Akta342]. "Ekoran kegagalannya mematuhi peraturan mengikut akta berkenaan, Pegawai Diberi Kuasa (PDK) sudah mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000 kepada beliau pada 7 Ogos lalu dan beliau sudah membayarnya," ujar KKM dalam kenyataan rasmi. Menurut KKM, Mohd Khairuddin pulang ke negara ini dari Turki pada 7 Julai lalu sebelum menjalani ujian pengambilan sampel 'nasopharyngeal swab' kali pertama pada hari yang sama yang didapati negatif. "Ujian kedua dan ketiga juga didapati negatif," jelas kenyataan itu lagi.
22 Aug 20
1578
Ubah Persepsi Masyarakat Tentang Penagihan Dadah
Ubah Persepsi Masyarakat Tentang Penagihan Dadah
  HULU TERENGGANU, 24 Ogos – Stigma negatif masyarakat terhadap golongan penagih dadah perlu diubah, terutama terhadap bekas penagih yang sedang bergelut untuk kembali mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah(JKPD) Hulu Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata sokongan masyarakat sekeliling sangat diperlukan oleh golongan ini untuk sentiasa kekal positif dan bersemangat menjauhi gejala penyalahgunaan dadah. Katanya, gejala penyalahgunaan dadah ini sememangnya satu isu besar yang perlu ditangani segera. Walaupun terdapat agensi ditubuhkan untuk membanteras aktiviti tidak sihat ini, tanggungjawab menangani masalah ini sebenarnya harus dipikul setiap warga Malaysia. "Kes penyalahgunaan dadah boleh berlaku dan bermula di mana-mana sahaja. Jadi, komuniti setempat boleh memainkan peranan melaporkan sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah yang berlaku di kawasan mereka. "Usaha membanteras gejala penyalahgunaan dadah memerlukan bantuan setiap individu. Jika terdapat sebarang pertanyaan berkaitan tindakan yang sepatutnya dilakukan bagi sesuatu keadaan, ia boleh disalurkan kepada pihak berwajib seperti polis ataupun agensi bertanggungjawab untuk membanteras penyalahgunaan dadah iaitu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). "Semoga segala usaha yang kita dilakukan mampu mengatasi gejala penyalahgunaan dadah seterusnya menjadikan Malaysia negara yang bebas dadah demi kemakmuran bersama," katanya dalam program Outreach bersama JKPD, Ajil baru-baru ini.. Terdahulu, seramai lapan klien CCIC disantuni melalui program komuniti untuk bertanya khabar serta menghulurkan sumbangan kepada  klien-klien di bawah seliaan AADK. " Kita mahu mereka ini merasakan masih ada diluar sana yang masih mengambil berat terhadap mereka.orang ramai terutama sekali ahli keluarga dan kawan-kawan bekas penagih untuk tidak mengasingkan, memulaukan mereka kerana tanpa bantuan ahli keluarga, kawan-kawan dan masyarakat, mereka tidak akan berjaya jadi “baik” dan pulih sepenuhnya. “Jiwa mereka sangat sensitif, yang perlukan perhatian dan pemedulian, penagih tidak selamanya jahat atau kotor, maka jangan dilabel seratus peratus jahat, dan beri peluang untuk mereka kembali ke pangkal jalan dan sebab itu golongan penagih dadah di negara ini tidak sepatutnya dihukum sebaliknya dibantu untuk keluar daripada masalah ketagihan yang membelenggu diri mereka. Tambah beliau lagi, kerajaan bukan sahaja bertanggungjawab untuk menghentikan pengedaran dadah tetapi juga memberi lebih tumpuan kepada kempen pencegahan dadah yang berkesan dan menyediakan rawatan ketagihan dadah yang lebih mudah untuk diakses.  
22 Aug 20
1057
Semarakkan Jiwa Merdeka Anak Muda
Semarakkan Jiwa Merdeka Anak Muda
  HULU TERENGGANU, 22 Ogos - Golongan muda hari ini perlu menghargai kemerdekaan yang dikecapi berkat keberanian dan kesungguhan pejuang-pejuang terdahulu membebaskan negara ini daripada penjajah. Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Mohd Adli Mat Daud berkata penglibatan anak muda yang peduli dalam isu masyarakat mencerminkan keadaan semasa sesebuah negara itu. "Masyarakat khususnya anak muda perlu menanamkan semangat cintakan negara dan mempertahankan keamanan negara yang dilihatnya semakin berkurangan dalam kalangan masyarakat. "Marilah kita bersama-sama memeriahkan sambutan dengan norma baharu walau di mana sahaja kita berada tanpa mengira umur, bangsa dan agama," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di program Santai Mat Motor Merdeka di Dataran Kuala Berang, semalam. Sembang Santai Mat Motor turut mendapat sentuhan istimewa daripada Ketua Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik IPD Hulu Terengganu, Inspektor Zainon Abidin Ismail bersama selebriti dan Pendakwah Bebas, Ustaz Ahmad Muzani Abdul Rahman dengan moderator Ustaz Kamaruzaman Abdullah yang juga Pengarah i-MiTS. Antara pengisian bertujuan memberi penerangan tentang kesalahan-kesalahan yang sering dilakukan oleh penungang motosikal disamping memberi nasihat agar sentiasa mematuhi peraturan Jalan Raya.  
22 Aug 20
513
Lebih 10,000 Pengunjung Dijangka Meriahkan Festival Kebudayaan Terengganu
Lebih 10,000 Pengunjung Dijangka Meriahkan Festival Kebudayaan Terengganu
KUALA NERUS, 22 Ogos- Lebih 10,000 pengunjung tempatan dijangka hadir memeriahkan Festival Kebudayaan Terengganu 2020 yang akan diadakan di enam lokasi terpilih sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus bermula  27 Ogos sehingga 6 September ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, penganjuran festival tersebut merupakan cetusan baharu untuk mengumpul dan menghimpunkan kesemua seni budaya warisan negeri. "Terengganu lazimnya dikenali kerana pulau dan pantainya yang cantik, tetapi sebenarnya  negeri ini memiliki khazanah seni warisan budaya yang amat tinggi nilainya.  "Dalam usaha mempromosi produk seni budaya warisan Terengganu, festival ini diharap dapat membawa kembali kegemilangan, kebudayaan dan warisan seperti senibina, masakan tradisional, tarian tradisional, dan sebagainya.  "Ciri-ciri ini telah lama hilang ditelan zaman sehingga kian dilupakan masyarakat setempat apatah lagi pelancong asing," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Kursus Kampung Budaya di Quinara Al Safir Resort, hari ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ab Rasid Jusoh dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Baharum Tun Abdul Razak. Katanya, Festival Kebudayaan Terengganu juga dapat dijadikan platform dalam mengetengahkan dan memperkenalkan kebudayaan, kesenian dan warisan yang ada di Terengganu kepada dunia. "Selain memartabatkan seni warisan budaya, kita juga mahu generasi sekarang dan akan datang supaya kenal, dan tahu erti menilai khazanah kesenian dan kebudayaan yang kita ada ini agar ianya tidak ditelan zaman," ujarnya. Ariffin berkata, kebanyakan program atau aktiviti sempena festival berkenaan adakan di beberapa lokasi di Kuala Terengganu. "Kita ingin menjadikan Bandaraya Kuala Terengganu ini sebagai hub pelancongan kepada pelancong, baik dari dalam negeri, luar negeri ataupun dari luar negara. "Di samping mereka berkunjung ke Terengganu, mereka berkesempatan untuk singgah dan turut serta dalam festival yang julung kali diadakan dalam skala yang besar ini dan jarak untuk satu lokasi ke lokasi yang lain tidak jauh," katanya. Katanya, enam lokasi terbabit akan menonjolkan seni budaya warisan negeri dengan tema yang berlainan.   "Sebagai contoh, Primula Beach Hotel berkonsepkan Perkampungan Nelayan, justeru pengunjung akan disajikan dengan pameran nelayan berkolek, pertunjukkan kebudayaan, bicara kebudayaan, dan juga seni kraf Terengganu. "Permai Hotel (wau sobek), Warisan Sari (alunan gamelan sari), Paya Bunga Square & Hotel (flying gasing), Terradala (caritera langkasuka) dan di Duyong Marina & Resort (cerita duyong)," ujarnya.
22 Aug 20
7859
100 'Penebuk Buah' Ditembak Mati
100 'Penebuk Buah' Ditembak Mati
SETIU, 21 Ogos – 100 ekor tupai ditembak mati dalam program Mengurangkan Musuh Tanaman Tupai di sekitar kebun durian Kampung Kuala Kubang, Jabi hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, aktiviti itu merupakan program komuniti untuk mengurangkan makhluk perosak yang memusnahkan kualiti durian dan buah-buahan lain.  "Di sini adalah antara kawasan kebun durian tersohor di Jabi. Durian Kuala Kubang ada jenama dan kualiti tersendiri. Sayangnya banyak yang ditebuk tupai.  "Saya sedar pencinta haiwan tidak akan bersetuju dengan langkah ini. Peminat lagu 'Anak Tupai' Halim Yazid pun akan marah. Tapi operasi ini dah jadi satu keperluan disebabkan banyaknya buah yang rosak angkara tupai. "Apabila berlaku konflik, akan ada pihak yang terpaksa menjadi mangsa. Kita memahami sesama makhluk Allah, tetapi manusia menjadi keutamaan kita," katanya selepas program terbabit. Katanya lagi, program seumpama itu akan dibuat secara berterusan kerana ia merupakan isu utama yang dibangkitkan oleh orang kampung. Sementara itu jelasnya, Jabatan Pertanian juga akan menekankan sistem pengairan serta pembajaan yang teratur di kebun-kebun durian bagi menghasilkan buah yang berkualiti. "Persetujuan telah dibuat bersama Perhilitan. Insya-Allah, program selepas ini mensasarkan khinzir dan kera. "Mudah-mudahan langkah yang diambil di samping banyak lagi program di bawah Jabatan Pertanian, kita boleh tingkatkan lagi hasil untuk orang kampung kita khususnya dalam musim buah," tambah beliau.
21 Aug 20
10205
Tiga Penyelesaian Tadbir Urus Kerajaan Terengganu
Tiga Penyelesaian Tadbir Urus Kerajaan Terengganu
Oleh : Suhaimi Taib MASAI, 21 Ogos - Terengganu melaksanakan tiga gerak kerja pemerintahan termasuk membaiki kelemahan pentadbiran kerajaan, memastikan kestabilan pentadbiran dan melaksanakan manifesto pilihan raya ke 14 (PRU14) yang lalu. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan negeri itu bergerak berdasarkan tiga perkara termasuk memperbaiki kelemahan kerajaan yang berlaku sebelum tahun 2018. “Tetapi dalam usaha islah (memperbaiki) ini ada jalan mudah dan ada jalan susah, ada jalan singkat dan ada jalan yang perlu mengambil masa agak lama. “Contohnya Taman Ilmu Tembila Besut, satu projek yang besar yang diketahui umum dan ia terbengkalai, ada masalah, sehingga hari ini kita (kerajaan) bawa penyelesaiannya di mahkamah. “Begitu juga dengan projek Pelancongan Pulau Bayas Tasik Kenyir Hulu Terengganu diselesaikan mengikut keperluan dan manfaat untuk rakyat,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra Anak-anak Terengganu Di Perantauan (PERANTAU) Johor di sini semalam. Turut hadir Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS), Kamaruzaman Abdullah, Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (Duat), Ustaz Ramlan Mahmood, Presiden Perantau Prof Dr Kamaruzaman Yussof, Ketua PERANTAU Johor, Zulkifli Ibrahim. Mohd Nor seterusnya berkata, perkara kedua ialah kerajaan perlu menjaga kestabilan pemerintahan dan pentadbiran dengan tidak melakukan kezaliman dan balas dendam supaya kesejahteraan itu dirasai semua pihak. “Budaya politik matang kita laksanakan dengan ambil masa yang tertentu bagi merealisasikan hasrat murni ini,” jelas beliau. Tambahnya, gerak kerja ketiga ialah melaksanakan program untuk rakyat sebagaimana terkandung dalam manifesto pilihan raya tersebut. “Alhamdulillah, saya melihat seluruh manifesto yang kita rangka ada yang sudah bermula pergerakannya dan dilaksanakan, ada yang sedang dalam perancangan dan akan dilaksanakan. “Sementara itu ada yang agak lambat sedikit untuk dilaksanakan kerana memerlukan masa yang panjang. Sebagai contoh Bandar Baharu Lestari,” jelasnya lagi. Katanya, dalam manifesto itu kerajaan berhasrat untuk melaksanakan banyak lagi bandar-bandar baharu lestari agar pembangunan tidak berpusat hanya di Kuala Terengganu dan di Sura Dungun dan beberapa bandar lain lagi. “Macam mana kita mahu memperluaskan bandar-bandar ini ke kawasan lain, ini mengambil masa yang agak lama dengan menyusun dan merancang dengan teliti, peringkat demi peringkat,” ujarnya.
21 Aug 20
972