Artikel "Semasa" Terkini
Projek RM47 Juta Terbengkalai Akan Dipulihkan
SETIU, 5 Jun - Kerajaan Terengganu terus komited memulihkan projek terbengkalai terutama projek yang telah menelan kos besar walaupun agak sukar.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, memulihkan projek gagal yang ditinggalkan lebih rumit dari memulakan projek dari awal.
"Namun, sama ada rumit atau tidak, Projek Pengairan Kampung Jelapang Langkap yang dimulakan pada 2007 perlu dipulihkan.
"Projek bernilai RM47 juta seluas kira-kira 400 ha sampai sekarang ini gagal ditanam padi disebabkan isu pengairan, tanah jerlus dan sisa kayu dalam petak sawah dan beberapa isu lagi," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan Lawatan Ke Tapak Projek Penanaman Padi Skim Pengairan Padi di Kampung Jelapang, Langkap semalam.
Menurut Dr. Azman, anak Syarikat Kerajaan Negeri, Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) bersama sebuah syarikat pelabur tempatan Qudsi Global sedang berkolaborasi untuk memulihkan projek itu walaupun ia sukar.
"Petang ini untuk kali seterusnya lawatan lokasi bersama Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS), Jabatan Pertanian, Pejabat Daerah Setiu, TADC dan Syarikat Qudsi Global untuk kita selesaikan secara berperingkat satu persatu isu dan permasalahan yang berbangkit seterusnya membangunkan tanaman padi di sini secara berfasa," jelasnya.
05 Jun 25
2278
Santuni Orang Asli Kuala Sayap
BESUT, 5 Jun– Program “Menyantuni Komuniti Orang Asli dan Gotong-Royong” yang berlangsung di Kampung Kuala Sayap telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata, program tersebut dianjurkan dengan matlamat utama bagi mengukuhkan ukhwah dan mempererat silaturahim antara komuniti luar dan masyarakat Orang Asli di kampung tersebut.
“Sesungguhnya, dengan saling mengenali, menghormati dan memahami budaya serta cara hidup masing-masing, kita mampu membina sebuah masyarakat yang lebih harmoni, inklusif dan bersatu padu,” ujar beliau ketika berucap di Majlis tersebut, di sini, hari ini.
Katanya, antara pengisian utama program adalah aktiviti sukaneka dan gotong-royong yang turut disertai oleh komuniti tempatan.
"Aktiviti ini selaras dengan aspirasi untuk memastikan persekitaran kampung kekal bersih dan sihat, seiring dengan slogan “Hulu Besut Bersih”," katanya.
Atas kejayaan pelaksanaan program tersebut Mohd Husaimi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya komuniti Orang Asli Kampung Kuala Sayap yang menyambut baik kehadiran rombongan, serta pasukan Ameerah Kawasan Besut yang turun padang memberikan sokongan padu.
“Semoga segala usaha murni ini menjadi amal jariah buat kita semua dan menjadi titik tolak kepada lebih banyak program yang menghubungkan hati dan menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang,” tambah beliau.
Menurut beliau, program seumpama itu akan diteruskan pada masa akan datang demi mewujudkan masyarakat yang saling memahami, bersatu dan makmur bersama.
05 Jun 25
78
Ulu Kekabu Produk Pelancongan Baharu Berasaskan Komuniti
SETIU, 4 Jun – Kerajaan Terengganu berhasrat menjadikan Lata Ulu Kekabu sebagai produk pelancongan baharu berasaskan komuniti (CBT), dengan mengekalkan keaslian alam semula jadi dan memanfaatkan kekuatan ekopelancongan yang belum terusik.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, Ulu Kekabu memiliki ciri unik kerana masih belum tercemar, malah kekal dengan struktur semula jadi hutan dan batu-batu yang tidak pernah dialihkan.
"Tempat ini masih tidak diusik, masih lagi tempat yang mempunyai pokok-pokok yang tidak ditebang dan batu-batu yang masih original," katanya ketika lawatan kerja ke lokasi tersebut semalam.
Beliau berkata, pembangunan kawasan itu akan dilakukan secara berhati-hati bagi mengekalkan keseimbangan ekologi, dengan pihak berkuasa tempatan diminta memastikan tiada aktiviti penebangan dilakukan.
"Saya sudah beritahu kepada YDP Setiu supaya jaga tempat ini, jaga sumber alam semulajadi dan jangan beri peluang kepada sesiapa sahaja untuk tebang pohon-pohon yang ada di sekitar ini," tegasnya.
Sebagai langkah awal, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk pembinaan tandas berasingan lelaki dan wanita sebagai kemudahan asas buat pengunjung.
"Saya lihat tiada kemudahan tandas di sini, saya sudah bersetuju untuk meluluskan sebanyak RM20,000 untuk membuat asas tandas yang diasingkan antara lelaki dan wanita," katanya.
Beliau turut menekankan aspek kebersihan dan keselamatan, termasuk penyediaan tali, laluan trek dan papan tanda sebagai keperluan penting untuk menjadikan kawasan itu mesra pelancong.
"Tempat ini kita angkat sebagai Community Based Tourism, jawatankuasa yang menguruskan tempat ini akan menguruskan laluan dan penunjuk arah," jelas beliau.
Razali turut menasihatkan agar pendaki yang tidak berpengalaman mendapatkan khidmat malim gunung tempatan yang berlesen serta tidak melakukan aktiviti bersendirian bagi mengelakkan risiko keselamatan.
Untuk memasuki kawasan hutan simpan, pengunjung diwajibkan mendapatkan permit daripada Jabatan Perhutanan dengan bayaran RM10 seorang, selain menggunakan khidmat malim gunung yang berdaftar.
"Sekarang sudah disediakan kemudahan bayaran secara atad talian dan wajib gunakan khidmat malim gunung untuk masuk ke kawasan hutan simpan," ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang aktiviti menebang pokok besar adalah dilarang, manakala pemotongan semak renek bagi tujuan perkhemahan masih dibenarkan dengan kawalan.
04 Jun 25
849
Ahli Akademik Setuju Terengganu Naikkan Papan Tanda Amaran LGBT
KUALA TERENGGANU, 4 Jun - Usaha kerajaan negeri menaikkan papan tanda amaran homoseksual disokong oleh Rektor Kolej Universiti TATI (UC TATI), Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid bagi menimbulkan kesedaran serta rasa benci terhadap perbuatan terkutuk dan ditegah keras dalam ajaran Islam.
Katanya, papan iklan seumpama itu yang memaparkan maklumat penerangan dan kesedaran awam terhadap perbuatan itu sangat baik.
"Bahkan elok sekiranya diperluaskan ke seluruh pelusuk negeri dinaikkan di hadapan universiti awam sebagaimana dipasang di hadapan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
"Juga kita mengalu-alukan agar ia turut dinaikkan di hadapan UC TATI sebagai usaha pencegahan," ujarnya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Jelas beliau, usaha yang dilakukan kerajaan Terengganu ini bagi memperkasakan syariah merupakan satu usaha yang sangat baik bagi memastikan negeri ini terus maju, berkat dan sejahtera.
"Khususnya untuk kebaikan sosial dan sudah tentu akan mengundang keredaan daripada Allah SWT.
"Menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam pengukuhan peranan Islam selari dengan sistem perundangan negara," ujarnya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata kerajaan menaikkan papan tanda yang dipasang di laluan utama berhampiran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melarang perlakukan homoseksual adalah sebahagian daripada pendekatan dakwah berteraskan prinsip 'amar makruh nahi mungkar'.
04 Jun 25
164
Keluarga Mat Nasir Penerima Bantuan MAIDAM, Bakal Dapat Rumah Baharu
KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh mengambil perhatian serius termasuk dengan membina rumah baharu bagi membela nasib Mat Nasir Islam, 48, serta isterinya, Mazilah Mansor.
Mereka dikatakan tinggal di sebuah pondok usang bersama anak dan cucu, tiga daripada mereka masih bersekolah termasuk seorang anak yang dikategorikan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Dr. Mamad berkata, pada Khamis lalu pihaknya melalui pegawai khas dan kakitangan Pejabat DUN serta Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Hulu Terengganu telah menziarahi mereka dan mengambil maklum keadaan yang dialami oleh keluarga yang mengalami kesempitan hidup terbabit.
"Meskipun serba terbatas, mereka tetap tabah meneruskan kehidupan dengan bergantung kepada bantuan bulanan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang sudah lama disalurkan.
"Hari ini (kelmarin) saya bersama pihak Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Terengganu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan MAIDAM turut turun sekali lagi bagi menilai keadaan semasa.
"Pihak kami juga cuba untuk mengenal pasti bentuk bantuan tambahan yang boleh disalurkan demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup keluarga ini," ujarnya menerusi satu hantaran di facebook rasminya, semalam.
Terdahulu Mazilah memaklumkan masalah dialami mereka telah lama mendapat perhatian MAIDAM yang menyumbang zakat sebanyak RM3,000 setahun.
Selain itu, dia memaklumkan juga turut menerima bantuan khas untuk anak OKU sebanyak RM1,800 daripada JKM.
Dalam pada itu, Pegawai Khas ADUN, Arif Azlan memaklumkan Dr Mamad berusaha bagi memastikan sebuah rumah baru akan dapat didirikan untuk keluarga terbabit.
"Pihak DUN telah bertemu dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Prihatin, cuma sekarang ini kalau menurut Mazilah tanah ini telah diusahakan sudah 20 tahun.
"Apabila kita semak dengan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu, tanah ini baru dipohon oleh keluarga ini pada April yang lalu, jadi kita tunggu kelulusan untuk mendirikan rumah yang lebih baik untuk didiami oleh keluarga ini," ujarnya.
03 Jun 25
1112
Hudud Telah Lama Dilaksanakan
KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Pelaksanaan hukum hudud bukan suatu perkara baru yang perlu dikhuatiri oleh rakyat negeri Terengganu kerana hukum Islam itu telah lama dilaksanakan.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, masyarakat tidak seharusnya bimbang atau keliru terhadap hukum Islam seperti hudud kerana pelaksanaannya berpaksikan sejarah panjang dan realiti kedaulatan negeri yang telah lama berlandaskan prinsip syariah.
"Apa yang kita lihat pada hari ini merupakan kesan daripada peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah umat Islam sebagaimana yang disebut oleh para ahli sejarah iaitu empat peristiwa utama yang menjadi titik jatuh bangun tamadun Islam, sehingga membawa kepada keadaan umat Islam yang kita saksikan pada hari ini.
"Kejatuhan Baitulmaqdis ke tangan tentera Salib pada tahun 1099 Masihi, Kejatuhan Baghdad ke tangan Mongol pada tahun 1258 Masihi, Kejatuhan Andalusia (Sepanyol) ke tangan Kristian pada tahun 1492 Masihi, dan Kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1918 Masihi," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Syarahan Sejarah Perjanjian Bangkok di Hotel Sri Malaysia, pada semalam.
Menurutnya, walaupun Baitulmaqdis jatuh, lahirnya tokoh seperti Salahuddin al-Ayyubi membuktikan umat Islam bangkit semula.
"Begitu juga selepas kejatuhan Baghdad, muncul kerajaan-kerajaan Islam lain yang terus memperjuangkan Islam.
"Jalur sejarah ini sangat penting untuk difahami dan dihayati,” ujarnya.
Dr. Muhammad Khalil turut berkongsi strategi penjajah British yang melaksanakan dasar pecah dan perintah, termasuk membawa masuk pendatang asing dan menempatkan mereka secara berasingan, bagi melemahkan umat Melayu-Islam di Tanah Melayu.
"Strategi yang sama juga digunakan di Palestin dengan membawa masuk Yahudi dari Eropah, yang akhirnya menubuhkan negara haram Israel melalui sokongan kuasa imperialis Barat.
“Wilayah kita mungkin tidak sepanas Timur Tengah, tetapi kesannya tetap wujud. Perjuangan mempertahankan identiti dan kedaulatan perlu diteruskan,” kata beliau.
Tambahnya lagi, sejarah tidak boleh diubah, tetapi ia boleh dilupakan jika tidak dipelihara.
"Maka menjadi tanggungjawab kita bersama untuk terus mengangkat, mendidik dan menyebarluaskan fakta sejarah yang sahih agar generasi hari ini dan akan datang tidak tercabut daripada akar jati diri mereka,” katanya.
Justeru itu, generasi muda hari ini perlu celik sejarah, peka isu semasa, dan bersedia membina masa depan negara.
03 Jun 25
203
Rakyat Terbeban Ekoran Pelaksanaan Penguatkuasaan 'Gas Purple' - Ariffin
MARANG, 2 Jun - Kerajaan Persekutuan digesa menimbang semula arahan penggunaan Gas Tanpa Subsidi 14 kilogram (kg) komersial berharga RM70 bermula 1 Mei baru-baru ini kerana membebankan peniaga.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata peniaga kecil dan pengusaha kedai makan amat terkesan dengan arahan kerajaan tersebut dan harga makanan dijangka meningkat kesan dari penggunaan gas tersebut.
Menurutnya, langkah Kerajaan Persekutuan itu sebagai tindakan tergesa-gesa tanpa kajian mendalam mengenai kesan penggunaan gas tersebut.
"Sepatutnya Kerajaan Persekutuan menangguh atau menarik balik terus arahan tersebut kerana ia satu keputusan tidak matang dan separuh masak," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat seterusnya berkata peniaga khususnya pengusaha makanan dan minuman sebelum ini pun sudah terbeban dengan kenaikan harga barang yang tidak menentu.
"Keadaan ini menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga jualan untuk mempastikan perniagaan mereka mendapat keuntungan yang menasabah dengan keadaan semasa," ujarnya yang juga Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunan PAS Terengganu (HAKS).
Tambah Ariffin, beliau juga sependapat dengan Pengerusi HAKS PAS Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin yang mendesak Kerajaan Persekutuan menangguhkan atau membuat pertimbangan semula keputusan itu supaya orang ramai tidak terbeban akibat penggunaan gas tersebut.
Terdahulu dari itu, HAKS PAS Pusat menggesa Kerajaan menangguhkan pelaksanaan kewajipan penggunaan tong gas tidak bersubsidi itu sehingga kajian impak ekonomi dan sosial yang menyeluruh dijalankan.
Pengerusi HAKS, Ir Ts Khairil Nizam dalam satu kenyataan media baru-baru ini berkata, keputusan itu akan memberi impak besar terhadap ekonomi mikro dan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Beliau berkata, peniaga kecil dan penjaja, terutamanya di kawasan luar bandar dan pinggir bandar, sangat bergantung kepada subsidi untuk mengekalkan kos operasi yang rendah.
Ir Ts Khairil Nizam turut menegaskan, banyak peniaga kecil berisiko menutup perniagaan atau mengurangkan tenaga kerja akibat peningkatan kos operasi.
“Berdasarkan pemerhatian dan laporan dari akar umbi, ramai peniaga kecil kini berdepan margin keuntungan yang semakin nipis, dan ada yang terpaksa menggantung operasi perniagaan mereka kerana tidak mampu menanggung kos yang semakin meningkat.
“Terdapat juga kajian menunjukkan hampir 40 peratus peniaga makanan kecil mengalami penurunan jualan lebih 20 peratus akibat kos dan penurunan kuasa beli pengguna,” ulasnya.
02 Jun 25
2129
Peniaga Kecil Rayu Kelonggaran: Kenaikan Kos LPG Cengkam Sumber Rezeki
HULU TERENGGANU, 2 Jun – Penguatkuasaan mengejut penggunaan gas petroleum cecair (LPG) domestik 14 kilogram komersial mula menimbulkan keresahan dalam kalangan peniaga kecil dan penjaja makanan di sekitar daerah ini.
Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, berkata hasil tinjauan petang semalam mendapati rata-rata peniaga mengakui terkesan dengan langkah tersebut yang dianggap dilaksanakan secara mendadak tanpa pelan sokongan sewajarnya.
Menurut beliau, walaupun peraturan berhubung penggunaan LPG komersial sudah lama digubal, pelaksanaannya secara agresif ketika rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup yang tinggi boleh disifatkan sebagai tidak peka terhadap realiti semasa.
“Peniaga kecil kini perlu menggunakan tong LPG komersial 14 kilogram yang berharga sekitar RM70 setong, menggantikan tong subsidi 14 kilogram pada harga kira-kira RM26. Ini satu lonjakan kos yang besar bagi mereka,” katanya selepas meninjau beberapa premis di kawasan Kuala Berang dan Ajil.
Kerajaan sebelum ini menjelaskan hanya peniaga yang menggunakan lebih tiga tong gas subsidi akan dikenakan tindakan, namun menurut Rosol, ramai peniaga kecil sebenarnya termasuk dalam kategori tersebut.
Beberapa peniaga yang ditemui menyuarakan pelbagai kekhuatiran terhadap pelaksanaan ini, malah menggesa kerajaan tampil dengan penyelesaian yang lebih mesra rakyat.
Pengusaha masakan panas di Pekan Ajil, Ayu Azlina Mat Nor, 45, berkata kos operasi harian terus meningkat sejak akhir-akhir ini, ditambah pula dengan tekanan baharu akibat harga gas yang melonjak hampir tiga kali ganda.
“Dulu, tiga tong subsidi sekitar RM78. Sekarang kalau tukar ke tong komersial, boleh cecah RM210 sebulan. Untung pun makin sikit, sebab pelanggan pun tak mampu kalau harga makanan naik,” katanya.
Seorang lagi peniaga makanan bergoreng di Kuala Berang, Muhamed Junoh, 55, pula menyifatkan pelaksanaan mendadak ini sebagai tidak sensitif terhadap keadaan semasa peniaga mikro.
“Kami bukan kilang besar, meniaga pun cukup-cukup makan. Sekurang-kurangnya beri tempoh bertenang atau bantuan khas. Ini tidak, terus dikuatkuasa tanpa timbang rasa,” luahnya.
Sementara itu, Norlaila Sulong, 63, yang mengusahakan gerai masakan harian di Kampung Butut pula mempersoalkan keutamaan kerajaan dalam melindungi kebajikan peniaga kecil.
“Banyak benda naik harga sekarang. Minyak, ayam, sayur semua mahal. Sekarang gas pula jadi beban. Kalau kerajaan tak bantu, siapa lagi?” soalnya dengan nada kecewa.
Susulan aduan yang diterima, Rosol menggesa kerajaan agar menilai semula pendekatan penguatkuasaan tersebut dan mempertimbangkan mekanisme bantuan bersasar kepada golongan peniaga kecil.
“Kita bukan tolak undang-undang, tapi mesti ada pertimbangan. Jangan tekan rakyat kecil yang sedang berusaha mencari rezeki.
"Berikan pelan insentif atau subsidi peralihan agar mereka tidak terjejas secara mendadak,” katanya.
Beliau menegaskan, suara dan keluhan rakyat di peringkat akar umbi perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkaitan sebelum sesuatu dasar dilaksanakan sepenuhnya.
01 Jun 25
929
Projek Ternakan Ayam Kampung Organik Jana RM3,600 Dalam 36 Hari
HULU TERENGGANU, 2 Jun – Usaha menternak ayam kampung organik di bawah Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) membuktikan potensi ekonomi luar bandar apabila mampu menjana pendapatan sehingga RM3,600 bagi setiap pusingan ternakan dalam tempoh hanya 36 hari.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Paloh Nyor, Mohd Sharif Jusoh, 65, berkata komuniti kampung itu menerima geran sebanyak RM100,000 di bawah inisiatif tersebut.
Menurutnya, projek yang bermula sejak November tahun lalu kini memasuki pusingan kelima, dengan setiap pusingan melibatkan penternakan sekitar 1,500 ekor ayam.
“Tiga blok reban dibina, masing-masing menempatkan 500 ekor ayam. Ternakan dilakukan secara berperingkat dan ayam dijual pada harga RM10 sekilogram.
“Daripada 500 ekor ayam, pulangan sekitar RM1,200 dapat diperoleh, manakala satu pusingan penuh dengan 1,500 ekor ayam boleh menjana sekitar RM3,600,” jelasnya.
Tambah beliau, hasil jualan digunakan untuk pengurusan operasi ternakan dan sebahagian lagi disalurkan kepada pengurusan kampung bagi pelaksanaan program yang memberi manfaat kepada penduduk.
Mohd Sharif berkata, projek itu memberi impak besar kepada ekonomi setempat kerana hasilnya turut memperkukuh kewangan kampung serta mewujudkan peluang pekerjaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa bekalan makanan ternakan dan anak ayam dibekalkan oleh syarikat yang sama, sekali gus memastikan ayam yang mencapai saiz piawaian akan dibeli semula tanpa berlaku lambakan.
“Selain itu, projek ini turut dipantau oleh Jabatan Veterinar yang membuat lawatan berkala bagi memastikan tahap kesihatan ternakan sentiasa berada dalam keadaan baik,” katanya lagi.
Menurutnya, ayam kampung organik berpotensi memberikan pulangan lumayan memandangkan tempoh pembesarannya yang singkat dan kaedah penjagaannya yang tidak terlalu rumit.
“Alhamdulillah, pelaksanaan projek SejaTi MADANI ini bukan sahaja membuka peluang ekonomi, malah memberi pendedahan kepada penduduk untuk mengusahakan ternakan sendiri pada masa akan datang,” ujar beliau.
Katanya lagi, beliau berharap kerajaan akan terus memberikan sokongan dan bantuan agar lebih banyak peluang dapat diwujudkan, khususnya untuk komuniti luar bandar dan pedalaman.
01 Jun 25
438
Kali Pertama Syarikat Terengganu Terima Kontrak Terbesar
KEMAMAN, 1 Jun – Terengganu mencatat satu lagi sejarah baharu dalam sektor tenaga apabila menerima kontrak bernilai RM1.5 bilion daripada syarikat minyak dan gas negara, Petronas, kontrak terbesar pernah diterima anak syarikat negeri itu dalam industri petroleum setakat ini.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, penerimaan kontrak tersebut menunjukkan keyakinan yang semakin kukuh terhadap keupayaan anak syarikat Kerajaan Negeri dalam industri berkenaan.
“Sebelum ini kita pernah laksanakan kontrak besar bersama ExxonMobil bernilai RM500 juta pada tahun 2020 dan ia berjaya dilaksanakan dengan baik.
“Kini dengan Petronas, kita menerima kepercayaan dalam skala yang jauh lebih besar,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa Kerajaan Negeri kini di landasan terbaik menubuhkan syarikat petroleum milik Terengganu sendiri.
"Usaha ini digerakkan secara serius. Saya sendiri bersama Menteri Besar telah ke Abu Dhabi, Oman dan Brunei untuk membina jaringan kerjasama strategik dalam memastikan syarikat ini dapat direalisasikan.
“Insya-Allah, Terengganu bakal mempunyai syarikat petroleum sendiri tidak lama lagi,” katanya ketika berucap di Ceramah Perdana Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) yang berlangsung di Padang Astaka, Chukai, baru-baru ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menegaskan kejayaan Perikatan Nasional (PN) mentadbir negeri-negeri di bawahnya dengan baik, khususnya dari segi pertumbuhan ekonomi dan pelaburan.
“Ekonomi Terengganu antara yang mencatat pertumbuhan tertinggi. Malah, Kedah pula menerima kemasukan pelaburan tertinggi di Malaysia.
“Contohnya, pelabuhan di Kemaman yang sebelum ini hanya mengurus sekitar tiga juta tan dagangan setahun, kini telah meningkat kepada tujuh hingga lapan juta tan, ini pencapaian era pemerintahan kita,” tambahnya.
01 Jun 25
13770