Artikel "Semasa" Terkini
Kibar Jalur Gemilang, Bangkitkan Semangat Patriotisme
DUNGUN, 25 Ogos - Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli meminta orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, tempat kerja atau kenderaan bagi menunjukkan rasa cinta terhadap negara.
Katanya, setiap orang perlu menunjukkan semangat dan komitmen tinggi untuk mengibarkan Jalur Gemilang kerana usaha itu menjelaskan rakyat di Malaysia khususnya Terengganu bersatu hati mempertahankan pengisian nikmat kemerdekaan.
"Apa maknanya sambutan Hari Kebangsaan sekiranya tiada kibaran Jalur Gemilang secara meluas dan meriah. Ia adalah ‘roh’ yang menghidupkan suasana dan lambang kecintaan kita kepada negara," katanya.
Beliau yang ditemui ketika program agihan Jalur Gemilang turut menyatakan bahawa tema sambutan ‘Malaysia Prihatin’ harus dijadikan landasan kesedaran bahawa setiap rakyat perlu mengambil berat antara satu sama lain dan bersatu-padu dalam apa jua perkara lebih-lebih lagi apabila seluruh dunia sedang berusaha menentang pandemik COVID-19.
Mengulas lebih lanjut, beliau mengatakan amalan kibar Jalur Gemilang amat penting bagi menyemarakkan sambutan serta menjadi bukti bahawa rakyat di Malaysia cintakan bumi Malaysia.
"Pemimpin dan rakyat mesti ‘sehati sejiwa’ dalam merealisasikan perkara berkaitan semangat patriotisme ini. Perasaan menyayangi dan mencintai Malaysia akan menjadikan kita lebih kuat dan berdaya tahan dalam mengharungi segala cabaran.
"ia wajar dijadikan prinsip kehidupan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Hakikatnya tema sambutan Hari Kebangsaan kali ini melambangkan semangat kesepaduan, solidariti rakyat tidak kira di mana juga mereka berada," tambahnya.
25 Aug 20
436
Madrasah Tahfiz Persis Taj Mahal Bakal Dibina
MARANG, 25 Ogos - Sebuah madrasah tahfiz atau dikenali sebagai Madrasah Tahfiz Al-Ayyubi yang seni binanya bercirikan negara sruktur binaan negara Timur Tengah dan Taj Mahal bakal dibina di daerah ini.
Pengarah Madrasah, Ustaz Abu Bakar Salleh berkata, institusi itu dibangunkan melalui konsep wakaf sememangnya dan mendapat kerjasama yang baik daripada penduduk sekitar.
"Kita menjangkakan madrasah ini bukan sekadar bakal dipenuhi anak-anak pelajar tetapi juga para pengunjung akan turut membanjiri persekitarannya bagi menyaksikan keindahannya dan bergambar kenang-kenangan.
"Signifikan pembinaan ini juga dengan visi 'Kampung Kita, hafal al-Quran' dan misinya ialah 'satu rumah satu hafiz' bagi melahirkan generasi celik al-Quran, menghafal dan beramal dengan ilmu penyuluh hidup dunia dan akhirat.
"Insya-Allah kita akan membina sebuah tahfiz empat tingkat berkonsepkan Taj Mahal. Bukan saja kami nak jadikan sekolah tahfiz ini sebagai tarikan. Untuk pelajar-pelajar datang ke sini mengaji menghafal tetapi juga sebagai tarikan pengunjung," jelasnya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah merasmikan majlis pecah tanah projek pembinaan Madrasah Tahfiz Al-Ayyubi, Masjid Mujahidin, Kampung Bukit Gasing, pada 20 Ogos yang lalu.
Orang ramai yang berminat untuk terlibat sama menyumbang kepada pembinaan madrasah ini boleh menyalurkan ke akaun Bank Rakyat Madrasah Tahfiz Al-Ayyubi (111431007464).
25 Aug 20
1347
Ahli Parlimen Setiu Selar Pengisian 'Kakak Kondom'
KUALA LUMPUR, 25 Ogos - Video 'Kakak Kondom' berkaitan seks selamat yang menjadi tular baru-baru ini mendapat perhatian Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir.
Menurut beliau, video tersebut bukanlah untuk memberikan penerangan berkenaan pendidikan seks selamat semata-mata tetapi beragenda untuk mempromosi seks bebas dalam kalangan anak muda.
"Naratif yang dibawa bagi memastikan individu bebas melakukan seks selamat tanpa perlu ikatan perkahwinan dilihat semata-mata menjerumus ke arah penzinaan.
"Walhal penzinaan amat dilarang sekali di sisi Islam sama ada zina selamat ataupun tidak sebagaimana yang telah difirmankan Allah," tegas beliau dalam kenyataan medianya hari ini.
Tegasnya lagi, ajaran yang dibawa oleh 'Kakak Kondom' ini juga dilihat tersasar jauh dari adat dan budaya kita dan ia adalah jarum halus bagi mempromosi budaya barat ke dalam masyarakat Malaysia yang 55 peratus daripadanya adalah Melayu Islam.
"Perkara ini dilihat turut menyimpang daripada norma budaya hidup masyarakat Malaysia yang bukan sahaja menolak seks bebas selamat tanpa ikatan yang sah malah meneuralisasi budaya barat ke negara kita sama sekali tidak diterima," jelasnya lagi.
'Kakak Kondom' adalah salah satu inisiatif oleh Yayasan Aid’s Malaysia dan One Condoms MY yang bertujuan untuk mendidik masyarakat berkenaan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial melalui seks bebas yang selamat.
25 Aug 20
3394
Terengganu Terus Komited Beri Lesen Motosikal Percuma
SETIU, 24 Ogos - Kerajaan negeri terus komited dalam meneruskan pemberian lesen motosikal percuma di bawah Program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) kepada belia di negeri ini.
Pegawai Peyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, kerajaan telah berjaya melaksanakan janji itu tidak sampai tiga tahun memerintah dengan memberi manfaat kepada 880 peserta bagi DUN berkenaan.
“Daripada jumlah itu, DUN Batu Rakit mencatatkan permohonan 570 permohonan di semua 42 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
“Bagi pemohon yang gagal untuk tahun ini, mereka boleh mohon lagi tahun depan dengan mengisi kembali borang, jika ada sebarang maklumat yang perlu diubah dan diperbaharui. Keutamaan akan diberikan kepada mereka yang gagal pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) Tahun 2020 di Dewan Sivik Pantai Batu Rakit, di sini kelmarin.
Turut hadir, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera i-MiTs Batu Rakit, Mohd Pauzi Muda dan Inspektor Balai Polis Batu Rakit, Tuan Aizul Abdul Karim.
Jelas Mohd Shafizi, sebanyak 12 institut memandu telah terlibat bagi menjayakan program di seluruh Terengganu.
“Melalui pemberian lesen motosikal kepada belia ini, kita harap ia dapat mengurangkan gejala rempit, dengan pendedahan melalui taklimat-taklimat yang telah diatur sepanjang menjalani ujian untuk mendapatkan lesen, supaya golongan ini lebih peka akan bahaya-bahaya di jalan raya dan kesannya.
“Selain itu, kerajaan juga mahu mengurangkan beban keluarga yang sebelum ini terpaksa membayar RM300 untuk mendapatkan lesen berkenaan,” katanya.
25 Aug 20
602
Suri Rumah Perlu Didik Diri Belanja Berhemah
DUNGUN, 25 Ogos - Para suri rumah disaran agar mendidik diri berbelanja dengan berhemah dalam mengharungi suasana ekonomi negara yang kian mencabar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, para ibu tidak seharusnya terpedaya dengan tawaran-tawaran hebat atau jualan murah di saat ekonomi terjejas akibat COVID-19.
Alias Harun sedang bertanya sesuatu kepada salah seorang penerima
"Kalau ada tawaran-tawaran hebat, iklan periuk atau apa sahaja, kita rasa berkenan hendak beli, tetapi kita dah ada periuk atau apa sahaja, jadi kita ajar diri untuk tidak melayan kehendak kita," ujarnya.
Beliau bercakap demikian ketika berucap di Majlis Caruman I-Suri di Dewan Al-Husna Darul Ansor di Kampung Alor Mak Bah, dekat sini hari ini.
Tahun ini katanya, seramai 600 orang suri rumah di DUN Rantau Abang telah terpilih sebagai penerima caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat (KPKWM) sejak 2018.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada mereka yang terpilih dan menzahirkan rasa terimakasih kepada KPKWM yang telah mengadakan program tersebut.
"I-Suri ini adalah satu cara kerajaan menyantuni golongan suri rumah yang ada di negara kita," ujarnya lagi.
24 Aug 20
353
Jangan Lupa Jasa Pejuang Kemerdekaan Terdahulu
KEMAMAN, 24 Ogos - Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh menyeru kepada seluruh rakyat agar tidak melupakan pengorbanan pejuang terdahulu yang memerdekakan Malaysia.
"Kita jangan lupa pengorbanan nyawa dan darah yang telah dicurahkan oleh pejuang terdahulu dalam memerdekakan negara kita yang tercinta ini.
"Antara mereka adalah Tuan Guru Haji Hasan Munas (Tok Janggut), Tuan Guru Haji Abd Rahman Limbong, Dato' Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Dol Said, Dato' Maharaja Lela dan lain lag.
"Perjuangan menuntut kemerdekaan adalah sesuatu yang sukar, maka kitalah generasi yang mengisi kemerdekaan dan kita jangan lupa dan leka dengan anugerah ini," ujarnya dalam program Konvoi Merdeka anjuran Pejabat daerah Kemaman di Bukit Kuang kelmarin.
Ustaz Hazri (paling kanan) dan Mohamad A. Rahman (dua dari kanan)
Turut hadir dalam program tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat, Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad A. Rahman, wakil Pejabat Penerangan Kemaman, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman dan Angkatan Pertahanan Awam Kemaman.
Dalam program berkenaan, pihak Pejabat Daerah Kemaman juga turut mengagihkan Jalur Gemilang kepada semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di DUN Kijal dalam usaha menyemarakkan suasana kemerdekaan di setiap kampung menjelang 31 Ogos nanti.
24 Aug 20
585
PKM Batu Rakit Lancar Kelab Berbasikal
SETIU, 23 OGOS - Pelancaran Kelab Basikal Batu Rakit kelmarin bukan sahaja mengalakkan amalan gaya hidup sihat malah memperkenalkan garis panduan pemakaian patuh syariah dalam kalangan masyarakat.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, inisiatif penubuhan kelab basikal daripada Pusat Khidmat Masyarakat itu adalah yang pertama pernah diwujudkan.
Menurutnya, kewujudan kelab tersebut boleh dijadikan aspirasi dan contoh kepada PKM lain untuk mengikutinya kerana ia memberi banyak manfaat.
“Penglibatan ahli yang terdiri daripada warga emas, dewasa, remaja dan kanak-kanak bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim tetapi menjadikan badan lebih cergas serta sihat.
“Dengan adanya kelab basikal ini, ia akan lebih memberi semangat kepada anak muda di Batu Rakit melalui aktiviti berbasikal yang diwujudkan ini.
"Kelab ini telah wujud sejak 3 bulan yang lalu selepas Perintah Kawalan Pergerakan PKP dan ia terdiri daripada belia cawangan Bukit Cempaka, Pasir Puteh, Bukit Nenasi, Maras, Pecah Rotan, Darat Batu Rakit dan sebagainya," katanya.
"Kami yang hampir 70 peserta memulakan kayuhan merdeka dari Dataran Pusat Khidmat Masyarakat Kg Bukit Cempaka dan sampai di lokasi pada jam 10.30 pagi. Aktiviti ini akan kami teruskan di masa akan datang," katanya ketika pelancaran kelab terbabit.
Beliau juga berharap, dengan adanya kelab basikal tersebut, belia di sekitar kawasan berdekatan akan mengambil peluang untuk bersama-sama beriadah sambil menjaga kesihatan di samping mengeratkan hubungan silaturahim.
"Di antara objektif utama penubuhan kelab basikal ini adalah menggalakkan aktiviti berbasikal di kalangan warga kerja Pusat Khidmat Masyarakat PKM.
"Selain mengamalkan gaya hidup yg sihat,ianya juga akan menjadi contoh kepada orang awam untuk bersama-sama menggalakkan orang awam berbasikal," tambah beliau.
Program pelancaran Kelab Basikal Batu Rakit ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah sambil diiringi oleh Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnan Abdul Kadir dan Pengarah UBSNT, Mohd Nasir Razak.
23 Aug 20
1386
Elak Beli Alat Timbang Dan Sukat Secara Atas Talian
HULU TERENGGANU, 23 Ogos - Para peniaga tidak digalakkan membeli alat timbang dan sukat melalui jualan secara atas talian kerana ia tidak di tentu sahkan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP).
Timbalan Menterinya , Dato' Rosol Wahid berkata pihaknya memandang serius perkara ini bagi mengelak pengguna tertipu.
Katanya, penggunaan alat penimbang yang tidak di tentu sahkan juga merupakan kesalahan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972.
"Ramai peniaga-peniaga yang menggunakan ataupun membeli alat timbang sukat ini melalui platform atas talian kerana harganya murah tapi kita nak maklum walaupun murah tapi ia tak di tentu sahkan.
"Itu satu kesalahan jadi kita berharap peniaga di luar sana yang ingin mendapatkan timbang sukat ni carilah daripada pengedar yang telah dilantik dan disahkan oleh KPDNHEP, " ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengagihkan Alat Timbang dan Sukat kepada 46 peniaga buah buahan di Pasar Buah Ajil dan di Kampung Gaung, hari ini.
Turut hadir pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia.
Dalam program tersebut, sebanyak 30 Alat Timbang Sukat Digital dan 16 Alat Timbang Neraca Spring disumbangkan kepada peniaga.
Rosol juga berkata, KPDNHEP turut merampas alat timbangan yang bernilai RM349,600 melibatkan 2,729 peniaga kerana melanggar Akta Timbang dan Sukat 1972.
"Jumlah rampasan yang melibatkan nilai kompaun sebanyak RM378,500 itu dibuat hasil pemeriksaan di 337,546 buah premis seluruh negara bermula Januari sehingga kini," ujarnya
23 Aug 20
1111
Jumlah Penagih Dadah Wanita Di Terengganu Masih Terkawal
HULU TERENGGANU, 23 Ogos - Masalah jenayah dadah di kalangan wanita di Terengganu masih lagi terkawal dan tidak membimbangkan berdasarkan rekod terkini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata berdasarkan statistik Januari hingga Jun 2020, hanya terdapat 188 orang penagih dadah wanita di negeri ini.
Katanya, remaja wanita seawal usia 14 tahun adalah antara penagih dadah yang dikesan terbabit dengan penagihan dadah, selain mereka berusia lingkungan 20 sehingga 35 tahun.
"Walaupun peningkatan penagihan dadah dalam kalangan wanita tidak banyak, ia masih perlu dilihat secara serius mulai sekarang kerana kita tidak mahu statistik ini terus meningkat.
"Sokongan masyarakat dan pelbagai agensi lain diperlukan supaya dapat membantu pihak polis mengurangkan gejala penagihan dadah di negeri ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas Program Penutup 'Community Policing' Jihad Dadah sempena penghayatan Bulan Kemerdekaan ke-63 di Sungai Kuala Menjing, hari ini.
Dalam pada itu, sebanyak 12 tangkapan telah berjaya dibuat melalui serbuan yang dilakukan kepada 16 rumah dan enam sarang penagih dadah dalam kawasan zon operasi.
Menurut Rosli, ia merupakan hasil fasa pertama projek " Jihad Dadah" yang telah dilaksanakan di daerah Hulu Terengganu bermula 20 hingga 23 Ogos baru-baru ini sempena Penghayatan Bulan Kemerdekaan ke 63.
23 Aug 20
2375
PIKAT Kunjungi Pusat Pertanian Bandar Isteri MB
KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - Setelah dikunjungi oleh pelbagai peminat dan pengusaha pertanian, kini giliran Persatuan Isteri Wakil-wakil Rakyat Kedah (PIKAT) pula yang mengunjungi Pusat Informasi Pertanian Bandar milik Isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman di Seri Setia semalam.
Kunjungan hormat tersebut diketuai oleh Isteri Menteri Besar Kedah, Puan Jusmalailani Jusoh sendiri yang bersama-sama rombongan seramai hampir 24 orang.
Antara hasil tanaman salad di Seri Setia
Tuan Faizah berkata, beliau menyambut baik kedatangan rombongan ini ke negeri Terengganu kerana dengan pertemuan ini, akan memberi pelbagai manfaat dan kebaikan dari kedua-dua belah pihak.
"Di sini terdapat satu Pusat Informasi Pertanian Bandar yang diusahakan sendiri sebagai contoh dan kempen pertanian bandar di negeri Terengganu.
"Rasa teruja untuk menunjukkan hasil tanaman dan sayur-sayuran yang terdapat di sini, malah sesiapa yang datang ke sini, saya akan benarkan mereka membawa pulang dan mengambil hasil tersebut."
"Aktiviti tanaman ini juga boleh dipraktikkan di tempat atau rumah masing-masing sebagai menyokong aktiviti kempen pertanian bandar."
Beliau berkata ketika berucap dalam majlis kunjungan hormat tersebut di Kediaman Rasminya, Seri Setia.
Di samping itu, beliau yang juga Pengerusi Isteri Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa') sempat menunjukkan hasil seni lukisan, dan jahitan yang dihasilkan sendiri olehnya.
23 Aug 20
1827