Artikel "Semasa" Terkini
Penyertaan Bersatu Kukuhkan Muafakat Politik
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam Muafakat Nasional (MN) diyakini mampu memperkukuhkan persefahaman politik sekali gus menghasilkan kehidupan yang lebih baik untuk rakyat.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan MN yang menerima penyertaan Bersatu adalah petanda positif dan sangat dialu-alukan semua pihak.
“Saya ada baca satu kajian yang mengatakan bahawa peratusan rakyat yang bersetuju dan mahu tiga parti ini iaitu PAS, UMNO dan Bersatu bergabung adalah tinggi.
“Alhamdulillah, saya juga sangat teruja dengan perkembangan semasa ini,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Manis FM dan Bernama Radio di Damai Lounge, U2, Wisma Darul Iman hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS menegaskan, situasi terkini politik itu akan dipastikan bergerak dengan jaya termasuk penerimaan di peringkat akar umbi.
Katanya, peranan pimpinan setiap parti dalam memberi penjelasan sangat penting bagi merealisasikan hasrat dan matlamat MN.
“Sudah menjadi adat, perkara baharu ini biasalah, ia memerlukan sedikit masa sebelum ia mampu difahami dan dilaksanakan dengan sempurna di peringkat sana.
“Samalah macam anak-anak kita pergi sekolah, hari, minggu dan bulan pertama masih belum dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam persekitaran baharu, selepas beberapa tempoh barulah semuanya akan serasi.
“MN benda baharu, jadi mereka memerlukan sedikit masa untuk mereka membuat ubah suai kefahaman dan cara bertindak dalam masyarakat,” tambah beliau.
27 Aug 20
525
Penguatkuasa Syariah Sukarela Dilantik Bagi Cegah Maksiat
HULU TERENGGANU, 27 Ogos - Kerajaan negeri melalui pejabat agama daerah secara rasminya telah melantik penguatkuasa syariah sukarela bagi melaksanakan tugas 'amar makruf nahi mungkar' yang dianggotai oleh lelaki dan wanita di kawasan berkenaan.
Pegawai Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyiddin Abd Rashid berkata bilangan penguatkuasa syariah sukarela ini dianggotai oleh pelbagai lapisan masyarakat setelah melalui syarat yang ditetapkan.
"Kita secara rasminya telah melantik penguatkuasa sukarela ini dengan setiap masjid mempunyai empat sukarelawan dan mereka semua ini mempunyai keinginan bagi melaksanakan amar makruf nahi mungkar serta menerapkan nilai Islam dalam kehidupan bermasyarakat,
"Pelantikan ini tidak terhad kepada lelaki, bahkan kita juga melantik mereka yang dari kalangan wanita bagi mengatasi masalah atau maksiat yang berlaku di tempat ini," katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada YAB Menteri Besar Terengganu berkata demikian, ketika merasmikan Seminar Pemantapan Sukarelawan Syariah bagi daerah Hulu Terengganu yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, baru-baru ini.
Menurutnya, usaha ini merupakan satu kewajipan apabila menjadi pemerintah bagi menangani maksiat yang berlaku di dalam negeri.
"Ini merupakan satu kewajipan bagi kita dalam membanteras maksiat yang berlaku di persekitaran kita. Maksiat ini suatu perkara yang Allah murka dan kerajaan perlu buat sesuatu bagi menanganinya dan ini adalah satu usaha yang dibuat oleh kerajaan negeri," jelasnya.
Turut hadir dalam perasmian seminar itu ialah Timbalan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Zulkefli Othman, Ketua Penolong Pesuruhjaya (Penguatkuasaan) , Adnan Abdullah, Pegawai Agama Daerah Hulu Terengganu, YM Engku Omar Amirudin Engku Ali, Ketua Sukarelawan Syariah Daerah Hulu Terengganu, Encik Mohd Syarif Jusoh, Ketua Sukarelawan Syariah Negeri Terengganu, Saudara Yasin Muda.
27 Aug 20
1416
Projek Alam Mutiara Fasa 1 Penuhi Syarat Amalan Terbaik MBKT
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos- Projek Pembangunan Bercampur (Alam Mutiara Fasa 1), Mukim Pengadang Buloh berjaya memenuhi amalan-amalan terbaik rekabentuk fizikal persekitaran yang ditetapkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, projek penswastaan oleh Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) dengan usahasama pemaju Tentuan Dacing Sempurna Housing Sdn. Bhd itu telah mematuhi 11 syarat ditetapkan MBKT.
“ Majlis penyerahan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) dan kunci bagi projek ini diadakan sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada pemaju kerana telah melaksanakan semua syarat kelulusan.
“Pihak kerajaan negeri mengharapkan skim pembangunan ini akan menjadi contoh dan ikutan oleh pemain-pemain industri lain dan seterusnya menjadi penanda aras baharu kualiti pembangunan perumahan di Terengganu,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis tersebut, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ahmad Shah Muhamed, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Shahidan Embok serta Setiausaha LTAWNT, Abd Razak Abd Rahman.
Menurut beliau, pihak pemaju telah melaksanakan syarat kelulusan berkaitan amalan-amalan terbaik dalam rekabentuk fizikal persekitaran antaranya mereka bentuk laluan pejalan kaki yang bersambungan dan mesra pengguna ke arah menjamin keselamatan dan keselesaan penduduk.
‘Taman rekreasi yang lengkap, tanaman pokok-pokok teduhan bagi mewujudkan suasana persekitaran yang nyaman, kemudahan infrastruktur dan ulititi yang lengkap, disamping pembinaan bonggol dan papan tanda bagi melancarkan lalulintas dan keselamatan penduduk, susun atur dan reka bentuk kediaman yang mengambil kira 'natural surveillance'.
“ Juga lorong belakang rumah teres dinaiktaraf untuk landskap dan pencahayaan, hutan nipah didikekalkan sebagai ekosistem semulajadi sungai, menyediakan parker OKU serta ramp di laluan beranda kedai, perletakkan feeder pillar dan fire hydrant yang teratur serta menerapkan ciri-ciri Manual Saliran Mesra Alam (MSMA),” ujarnya.
Alias berkata, projek berkenaan yang telah diluluskan Kebenaran Merancang pada 19 Disember 2017 dan kelulusan pelan bangunan pada 21 Mac 2018 siap dalam jangkamasa dua tahun mengikut tempoh ditetapkan.
“Ianya mengandungi 21 unit kedai pejabat dua tingkat, 73 unit rumah teres dua tingkat dan lain-lain kemudahan berkaitan di atas tapak tanah seluas 20.85 ekar.
“Harga jualan bagi projek kormesial ini adalah sekitar RM399,000 hingga RM420,000 bagi kediaman teres dan antara RM650,000 hingga RM685,000 untuk kedai pejabat,” ujarnya.
27 Aug 20
3453
Abdul Hadi Serah Laporan Perkembangan Timur Tengah Kepada PM
KUALA LUMPUR, 26 Ogos - Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menyerahkan Laporan Eksekutif kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang antara lain menerangkan situasi terkini politik dan ekonomi di rantau itu serta impak terhadap kepentingan Malaysia.
Abdul Hadi, dalam hantaran di laman Facebook beliau, berkata, ia juga bertujuan menggariskan peluang kerjasama dalam bidang agama Islam, pelaburan, perdagangan dan pendidikan selaras dengan kepercayaan yang dipertanggungjawabkan kepadanya.
"Laporan tersebut turut mengandungi beberapa syor dan agenda bertindak, khususnya dalam usaha menarik pelaburan dari Timur Tengah pada pasca koronavirus (Covid-19) yang perlu disegerakan, seterusnya memanfaatkan potensi kerjasama dalam pelbagai bidang demi kebaikan Malaysia, umat Islam dan dunia keseluruhannya.
"Saya turut berkongsi hasil pertemuan dengan enam duta kepada negara-negara Timur Tengah di Malaysia iaitu Arab Saudi, Yaman, Qatar, Iran, Oman dan Afganistan serta beberapa negara lain yang sedang diatur," katanya.
Beliau berkata, pertemuan itu adalah bagi mendapatkan maklum balas langsung serta mengeratkan hubungan dua hala melibatkan kerjasama dalam bidang pelaburan, perkongsian pintar dan kestabilan politik. - Bernama
26 Aug 20
630
Kerajaan Komited Bangunkan Generasi Belia Berkualiti
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos - Kerajaan negeri komited untuk melahirkan belia berkualiti dalam kalangan rakyat Terengganu.
Manifestasi ini dibuktikan melalui penubuhan Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT) serta mewujudkan peluang buat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia menimba pengalaman melalui persidangan dewan yang dianjurkan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pelaksanaan strategi itu akan membolehkan belia berkualiti dibangunkan secara menyeluruh.
"Ia merupakan satu tanggungjawab kerajaan negeri untuk melahirkan generasi pelapis yang benar-benar mampu menyumbang kepada negeri dan masyarakat," ujarnya ketika berucap merasmikan Program Bengkel Modul 10 Sifat Belia Sejahtera di Dewan Permata, Permai Hotel di sini semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor dan Pengarah UBSNT, Mohd Nasir Abdul Razak.
Mengulas lanjut, Hishamuddin menegaskan, UBSNT ditubuhkan bukan bertujuan untuk memperkukuhkan cengkaman politik sebaliknya bertujuan memandu dan melahirkan generasi belia berwibawa.
"Bengkel pada hari ini bertujuan untuk membentuk satu modul yang mampu menggarap usaha pembinaan generasi kini terus sambung menyambung peranan antara satu sama lain," tambah beliau.
26 Aug 20
315
Bersama Hayati Bulan Kemerdekaan
DUNGUN, 26 Ogos- Seluruh masyarakat terutamanya penduduk Bukit Besi diharap agar menyemarakkan bulan kemerdekaan dengan pengertian yang sebenar serta melakukan perubahan ke arah positif.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, ianya bagi memastikan masyarakat hidup dalam keadaan lebih baik dan sejahtera.
"Bukan sekadar memahami dan menyambutnya dengan mengibarkan bendera semata-mata, di samping mengenangkan jasa pejuang terdahulu yang telah bersusah payah membebaskan negara daripa cengkaman musuh, perlu juga melakukan perubahan didalam diri serta minda supaya tidak terikut dengan budaya dari barat yang merugikan agama, bangsa dan negara
"Sebaliknya kembali menghayati ajaran Islam serta mengikut segala panduan yang telah disyariatkan didalam Islam serta meninggalkan segala perkara yang dilarang juga kembali melihat bahawa kehidupan yang dianjurkan oleh Islam sangat baik," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika dtemui pihak media, di Pusat Khidmat Masyarakat DUN (PKMD) Bukit Besi, semalam.
Katanya, pelbagai kaedah dan cara dizahirkan oleh masyarakat untuk tonjolkan perasaan cinta kepada negara.
"Diantara perkara lazim yang dilakukan adalah menghiaskan rumah dengan bendera Jalur Gemilang, serta meletakkannya pada kenderaan mengambarkan jiwa patriotik. Semoga ianya difahami dengan sebaiknya terutama generasi muda, perlu menunjukkan kecintaan yang tiada berbelah bahagi terhadap tanahai tercinta, tidak mahu negara dijajah lagi.
"Dimana sekarang ini peperangan bukan lagi berlaku secara fizikal tetapi serangan dari sudut pemikiran. Jika tidak sensitif dan tidak berhati-hati senang negara dijajah oleh agenda musuh akhirnya negara tergadai. Justeru berpegang kembali dengan ajaran Islam yang syumul," ujarnya.
26 Aug 20
180
Saluran Kebajikan Keutamaan Tetap PKM
MARANG, 25 Ogos - Menjadi satu keutamaan tetap bagi Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang dan agensi berkaitan bagi menjaga saluran kebajikan untuk membantu masyarakat dan komuniti yang memerlukan bantuan.
Pegawai Khas PKM Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya sentiasa menitik beratkan usaha untuk menjaga kebajikan masyarakat setempat.
"Setiap minggu akan diadakan satu program ziarah atau kunjungan bersama-sama agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam), Petugas Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dun Rhu Rendang dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di tempat terlibat.
"Kunjungan ini mensasarkan mereka yang memerlukan bantuan seperti mereka yang dilanda musibah, kemalangan, bencana, sakit kronik dan lain lagi.
"Biasanya maklumat ini kita terima melalui aduan daripada pihak MPKK, i-MiTS, dan aduan terus di PKM di mana kita akan susun satu jadual bagi urusan ke rumah secara terus.
Beliau berkata ketika selesai mengadakan kunjungan ke enam buah rumah melibatkan MPKK Rusila, Taman Rasyidah, Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Sungai Kerak, Sentol Patah, Rusila, dan Kijing Pantai, baru-baru ini.
Menurutnya lagi, kebanyakan pengadu atau penduduk kampung tidak tahu saluran mana yang patut dituju, jadi dengan kaedah ini kita bawa terus agensi ke rumah untuk sebarang penjelasan berkenaan bantuan yang perlu dan layak dipohon.
"Sebarang permasalahan atau kekeliruan juga boleh diselesaikan secara berdepan di mana ianya lebih baik bagi mengelakan salah faham antara rakyat dan jabatan.
"PKM juga turut menyatakan seribu penghargaan kepada agensi terlibat dan pihak MPKK yang sering memberikan kerjasama dan terlibat dalam usaha membantu masyarakat memerlukan.
"Di samping usaha bagi menyalurkan bantuan tersebut, sedikit sumbangan daripada Pejabat ADUN juga turut disumbangkan kepada mereka yang dikunjungi," tambahnya.
26 Aug 20
488
Zahir Rasa Cinta Kepada Negara
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos - Rakyat berbilang kaum di negeri ini perlu menjadikan Hari Kebangsaan sebagai medan untuk menzahirkan rasa cinta kepada negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ustaz Ahmad Shah Muhamed berkata, hari tersebut merupakan manifestasi kepada sebuah semangat patriotik yang wajib diperingati pada setiap tahun.
"Kita perlu berbangga menjadi rakyat negara ini. Sambutan bulan kebangsaan menuntut rakyat berbilang kaum di negara ini untuk menanam semangat patriotik negara sebagai lambang spiritual dalam memacu perjalanan negara," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Merdeka @ Komuniti Dan Kempen Kibar Jalur Gemilang anjuran Pejabat Penerangan Kuala Terengganu di Dewan Serbaguna Flat PPR Padang Hiliran pagi senalam.
Majlis itu disempurnakan dengan agihan Jalur Gemilang kepada peserta yang terdiri daripada jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) seluruh DUN Bandar.
Menurut Ahmad Shah, aktiviti kibarkan Jalur Gemilang adalah syiar memperingati perjuang kemerdekaan negara.
"Sebagai rakyat yang cintakan negara, ia perlu dibuktikan dengan nilai kekeluargaan dalam usaha pertahankan negara dari anasir perosak.
"Tema Malaysia Prihatin perlu dihayati setiap masa, bukan sahaja pada bulan kemerdekaan.
"Gabungan tema Malaysia Prihatin membawa harapan dalam meningkatkan semangat patriotisma yang tinggi buat semua warga Malaysia agar dijadi contoh tauladan," tambahnya
Dalam masa yang sama, beliau turut berpesan supaya setiap masyarakat terus berwaspada dengan ancaman pandemik COVID-19.
25 Aug 20
703
Promosi Pelancongan: Terengganu, Perak Wujud Kolaborasi 'Menang Menang'
Oleh : Suhaimi Taib
IPOH, 25 Ogos - Kerajaan Terengganu dijangka bekerjasama dengan Perak bagi mempromosikan produk pelancongan di kedua-dua negeri secara kolaborasi 'menang-menang'.
Kedua-dua negeri itu mempunyai banyak produk pelancongan yang unik bersumberkan alam semula jadi dan sejarah setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, pertemuan hari ini adalah untuk perbincangan awal antara beliau dengan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Perak, Datuk Nolee Ashikin Mohd Radzi.
"Hari ini adalah pertemuan awal kerana kita ada persamaan daripada segi produk-produk pelancongan yang berbeza dan mempunyai keunikan masing-masing.
"Jalinan perjalanan (perhubungan) akan jadi lebih baik dengan pembinaan lebuhraya melalui Simpang Pulai (Perak) ke Terengganu, " katanya ketika bercakap kepada pemberita di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Ariffin mengadakan kunjungan hormat kepada Datuk Nolee di bangunan tersebut diiringi kakitangan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.
Sementara itu, Datuk Nolee mengucapkan ribuan terima kasih atas kunjungan hormat Ariffin dan rombongan.
Beliau berkata, kerajaan negeri Perak akan mengadakan kerjasama dengan kerajaan Terengganu, memandangkan daripada segi jalan raya Perak tidak jauh dari Terengganu.
"Kerajaan negeri Perak akan mengambil peluang ini untuk mempelajari (tentang penghasilan dan pengurusan) produk-produk pelancongan negeri Terengganu seperti Tasik Kenyir dan lain-lain, " jelasnya.
Menurutnya, negeri Perak mempunyai pengusaha-pengusaha bot dan unit pengurusan pantai.
"Kami baru sahaja mengisytiharkan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai awal tahun ini.
"Daripada segi pengendalian itu kita akan belajarlah dari Kerajaan Negeri Terengganu," jelasnya.
25 Aug 20
1673
Tiga Exco Terengganu Bertemu Mata Dengan PERANTAU Perak
Oleh : Suhaimi Taib
IPOH, 25 Ogos – Seramai tiga orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu bertemu mata dengan kira-kira 150 orang ahli Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU) di Majlis Ramah Mesra di sebuah hotel di sini semalam.
Exco Kerajaan Negeri itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah serta Pengerusi Jawatankuasa, Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Haji Hanafiah Mat.
Mereka bertiga menjawab semua soalan yang dikemukakan oleh ahli PERANTAU termasuk isu berkait dengan kemudahan caravan di destinasi pelancongan bagi menarik pengunjung ke Terengganu.
Cadangan itu dikemukakan seorang ahli PERANTAU berasal dari Besut, dia menyatakan bahawa kerajaan Terengganu perlu menyediakan kemudahan tersebut termasuk punca air dan elektrik di tapak berkenaan bagi manfaat pelancong yang memerlukan kemudahan itu.
“Saya menjadi ahli Persatuan Caravan Malaysia telah melawat negeri Terengganu tetapi saya dapati tidak ada kemudahan disediakan untuk tapak perkhemahan itu sedangkan Terengganu mempunyai banyak tempat menarik,” jelasnya.
Ariffin ketika menjawab soalan berkaitan menjelaskan bahawa kerajaan negeri akan berusaha mewujudkan tapak berkenaan dan menyediakan kemudahan itu sedikit masa lagi.
Sementara itu, Ariffin turut melancarkan rakan pelancongan Terengganu di majlis yang sama mengajak ahli PERANTAU negeri itu mempromosikan tempat-tempat menarik di Terengganu di negeri tersebut.
Pelancaran rakan pelancongan itu dibuat dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Terengganu.
25 Aug 20
696