lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Kemerdekaan Perlu Selari Dengan Tuntutan Islam
Kemerdekaan Perlu Selari Dengan Tuntutan Islam
KUALA TERENGGANU, 30 Ogos- “Kemerdekaan yang dibawa oleh Islam ialah kemerdekaan manusia dari hati syirik kepada beriman kepada Allah, daripada jiwa yang kotor, lalai kepada jiwa yang tenang dan daripada akal yang penuh dengan kejahilan kepada akal yang penuh dengan pencerahan ilmu,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah. Katanya, rakyat Malaysia harus bersyukur dengan nikmat kemerdekaan yang dikecapi kini  kerana mereka telah berjaya menguasai, memimpin dan mengatur hidup, negeri dan negara ini berasaskan cara mereka sendiri. “Tetapi harus diingat, jika merdeka cuma dalam konteks penjajahan fizikal khususnya penjajahan ketenteraan terhadap sesebuah negara, tetapi pemikiran mereka sama dengan pemikiran penjajah dan hati masih lagi dibelenggu dengan hati penjajah, mereka masih lagi tidak merdeka pada konsep Islam yang sebenar. “Kepesatan teknologi hari ini telah memudahkan ancaman penjajahan bentuk baharu terutamanya dalam bentuk budaya dan pemikiran, justeru inilah yang kita hendak  sedarkan kepada seluruh umat Islam dan rakyat negara ini bahawa selamat merdeka itu, selamat pemikiran dan hati kita dari penjajah, bukan zahir semata tetapi jiwa kita,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung pada program Salam Chit Chat Santai Daie yang dianjurkan oleh Akademik Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) di Galeri Drawbridge, hari ini. Katanya, erti kemerdekaan ada kalanya dicemari ideologi ekstrim seperti liberalisme hingga ada terpesong daripada penghayatan kemerdekaan sebenar. “Justeru, kemerdekaan perlu disambut menurut tuntutan Islam yang membezakan diri daripada pihak penjajah serta golongan menyalahi Islam serta kembali kepada ajaran Islam sebenar,” ujarnya.
30 Aug 20
327
Semarak Merdeka Dengan Erti Hijrah Yang Sebenar
Semarak Merdeka Dengan Erti Hijrah Yang Sebenar
MARANG, 30 Ogos - Bulan kemerdekaan pada tahun ini sangat istimewa kerana berada di dalam bulan Muharram ketika mana seluruh umat islam memperingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW, untuk memerdekakan jiwa, akidah, keyakinan, kepercayaan manusia dan yang paling utama memerdekakan sistem di dalam negara ketika itu. Pengerusi Jawatankuasa Modal Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, keadaan ini menguatkan lagi sambutan bulan kemerdekaan sebagai umat islam seiring dengan erti hijrah yang sebenar. "Kita juga menyambut hari kemerdekaan tiada lain melainkan bagi menunjukkan rasa besarnya erti kemerdekaan dan menghargai jasa para pejuang yang mengadaikan segala jiwa raga serta harta benda bagi memerdekkan negera daripada penjajah. "Kita yang hidup di zaman ini walaupun tiada penjajah dan penguasa kerana mereka telahpun meninggalkan tanah air kita, tetapi pemikiran kita masih dikuasai dengan belenggu nilai-nilai, tingkah laku dan akhlak yang merosakkan. Menurutnya lagi, cabaran masyarakat pada hari ini, adalah dari pelbagai sudut termasuk media baru dan teknologi maklumat yang penuh dengan unsur fitnah, propaganda dan provokasi. “Justeru, kita perlu lebih teliti dalam menerima sesuatu berita kerana dikhuatiri termakan fitnah daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.” Beliau berkata ketika hadir merasmikan program Semarak Merdeka Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang di Pentas Budaya Pantai Peranginan Kelulut, semalam. Turut hadir adalah Pengarah Majlis Tindakan Dun Rhu Rendang, Hassan Awang, Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusof dan Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Rhu Rendang, Mohamad Embong. Beliau yang juga ADUN Bukit Payung turut menyampaikan hadiah dan cenderahati kepada petugas barisan hadapan seperti Polis Diraja Malaysia Marang, Pejabat Kesihatan Marang, Angkatan Pertahanan Awam Marang, Anggota Rela Daerah Marang, dan Jabatan Amal Malaysia sebagai tanda menghargai pengorbanan mereka. Penyerahan bendera jalur gemilang juga turut diserahkan kepada seluruh cawangan dan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di Dun Rhu Rendang.    
30 Aug 20
707
DUN Buluh Gading Juara Konvoi Ambang Merdeka
DUN Buluh Gading Juara Konvoi Ambang Merdeka
KUALA NERUS, 29 Ogos- Pasukan bermotosikal dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading dinobatkan sebagai konvoi terbaik dalam program Konvoi Ambang Merdeka bersama Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr. Khairuddin Aman Razali, hari ini. Konvoi yang berakhir di Dataran Jambatan Angkat (Drawbridge) disertai kira-kira 200 penunggang daripada empat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Nerus iaitu DUN Buluh Gading, Seberang Takir, Tepoh dan Bukit Tunggal. Seawal jam tiga petang, konvoi motosikal tersebut diketuai Dr. Khairuddin sendiri selaku Ahli Parlimen Kuala Nerus melalui DUN-DUN di kawasannya dengan mngibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan di kalangan masyarakat sekitar. Turut serta menunggang motosikal ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ariffin Abdullah. Program anjuran Pusat Khidmat Parlimen Kuala Nerus itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Penerangan Malaysia Terengganu, Jabatan Kerja Raya, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa tempatan.      
29 Aug 20
1227
Pusat Penyelidikan Buluh Pertama Malaysia Dibina Di Terengganu
Pusat Penyelidikan Buluh Pertama Malaysia Dibina Di Terengganu
Oleh : Suriati Ali KUALA TERENGGANU, 29 Ogos - Surau Buluh yang akan berfungsi sebagai Pusat Penyelidikan Buluh akan dibina dalam tempoh terdekat di Dataran Tembesu, Kuala Nerus. Menteri Perusahaan, Perladangan dan  Komoditi, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pusat bernilai RM400,000 itu menjadi rujukan pengkaji dan penyelidik termasuk Lembaga Perinsustrian Kayu Malaysia (MTIB). Katanya, ia akan mengguna pakai manual aplikasi buluh dalam industri pembinaan yang terbaharu. "Manual ini akan menjadi rujukan kepada mana-mana pihak yang ingin membina bangunan menggunakan buluh sebagai struktur utama. "Penggunaan buluh dalam industri tradisional juga perlu ditranformasikan termasuk menghasilkan papan komposit, papan lantai, perabot, bahan binaan bangunan dan pelbagai produk biomas," katanya. Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) diantara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Bamboo Jungle Adventures Sdn Bhd (BJA) dan Golden Pharos Berhad di Hotel Paya Bunga, di sini hari ini. MTIB diwakili Ketua Pengarahnya, Mohd Kheiruddin Mohd Rani manakala BJA diwakili Pengarah Urusannya, Anum Nazahah Ahmad Mazlan dan Golden Pharos diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Nadzarudin Abdul Razak. Majlis bersejarah berkenaan turut disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim. Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, langkah itu secara tidak langsung berupaya menjadikan Dataran Tembesu sebagai pusat pelancongan dengan adanya surau dan pusat penyelidikan yang diperbuat daripada buluh. Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kementerian juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi membangunkan projek ‘Model Ladang Hutan Buluh’ di Terengganu. "Pelaksanaan projek ini adalah selama lima tahun dan diharapkan projek tersebut akan menjadi panduan kepada pemain-pemain industri yang lain untuk menceburi bidang perladangan dan seterusnya menyumbang kepada bahan mentah bagi pembuatan produk berasaskan buluh," katanya.  
29 Aug 20
3273
250 Peserta Meriahkan Program Kayuhan Ambang Merdeka
250 Peserta Meriahkan Program Kayuhan Ambang Merdeka
KUALA NERUS, 29 Ogos- Seramai 250 peminat sukan berbasikal menyertai program Kayuhan Ambang Merdeka di sini, sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 yang bakal disambut Isnin ini. Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir itu bermula dari Dataran Budaya Pantai Teluk Ketapang. Kayuhan sejauh 17.1 kilometer (km) melalui Kampung Teluk Ketapang, Kampung Telaga Daing, Kampung Baru, Kampung Seberang Takir, Jambatan Drawbridge, Pasarnita dan berakhir di lokasi pelepasan disertai oleh pelbagai peringkat usia termasuk warga emas, belia serta kanak-kanak. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman berkata, selain menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas program ini juga dapat mewujudkan semangat perpaduan di kalangan peserta. "Peserta dapat menyemarakkan semangat patriotik dan perpaduan melalui aktiviti berbasikal dan paling penting semangat cintakan negara. "Malah, aktiviti sebegini juga salah satu cara mempromosikan pelancongan negeri, kerana laluan lokasi ini sememangnya merupakan daya tarikan pelancong, " ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan 'flag-off' Program Kayuhan Ambang Merdeka di Dataran Budaya Pantai Teluk Ketapang, hari ini. Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab. Ariffin berkata, walaupun tiada acara besar-besaran sempena sambutan kemerdekaan di peringkat negeri disebabkan pandemik COVID-19, namun setiap DUN tetap mengadakannya dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. "Sebagai contoh, program kayuhan basikal diadakan hampir di semua daerah dalam skala kecil iaitu tidak melebihi 250 orang seperti ditetapkan. "Penganjur terpaksa menghadkan penyertaan biarpun permintaan dari orang ramai begitu menggalakkan demi menjaga keselamatan semua pihak," ujarnya. 
29 Aug 20
825
Penerbangan Dron Sekitar Drawbridge Pada 30,31 Ogos Tidak Dibenarkan
Penerbangan Dron Sekitar Drawbridge Pada 30,31 Ogos Tidak Dibenarkan
KUALA TERENGGANU, 28 Ogos - Penerbangan dron di Drawbridge serta kawasan sekitarnya tidak dibenarkan pada Ahad dan Isnin ini. Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties, Khalizan Mahmud berkata, larangan itu akan bermula dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari. "Hal ini kerana pesawat-pesawat udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan berlegar di sekitar Drawbridge bagi tujuan eksesais. "Bagi mengelakkan gangguan frekuensi pesawat dan sistem operasi Terengganu Drawbridge, serta menghalang insiden yang tidak diingini," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini. Tambah beliau, kerjasama daripada semua pihak untuk tidak menerbangkan dron pada waktu tersebut sangat diharapkan.
28 Aug 20
19626
Durian Sungai Serai Jadi Tumpuan
Durian Sungai Serai Jadi Tumpuan
  MARANG, 29 Ogos - Durian di Kampung Sungai Serai menjadi tumpuan orang ramai termasuk pelancong dari luar negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri Terengganu Ariffin Deraman berkata, ia berikutan 'raja buah' di kawasan terbabit mempunyai keenakkan yang tersendiri berbanding kawasan lain. "Durian di sini adalah antara durian yang terbaik di Negeri Terengganu. Sehingga sekarang orang ramai tidak pernah putus untuk mendapatkan durian dari kampung ini. "Rasa durian yang unik dengan rasa manis serta tekstur yang lembut memang tidak dapat dikalahkan dengan durian di tempat lain lain membuatkan pencinta durian ingin terus menikmatinya," ujarnya. Beliau berkata demikian semasa ditemui di dalam program Makan Durian 2020 di Puncak Bukit Sungai Serai kelmarin sempena sambutan Hari Kebangsaan kali ke-63 yang bakal disambut Isnin ini. Turut hadir sama dalam program itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong serta Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak. Tambahnya lagi, beliau bercadang untuk menjadikan tempat itu sebagai salah satu tempat pelancongan yang menarik untuk kawasan Marang dan negeri. Dalam program yang dianjurkan oleh MPKK Sungai Serai, Pejabat Dun Pengkalan Berangan dan Pejabat Daerah Marang itu, penduduk turut menyediakan hidangan sampingan berasaskan durian antaranya pulut durian, serawa durian dan bubur durian. Sebanyak 20 kilogram beras pulut serta 10 kilogram santan digunakan untuk menyediakan hidangan sampingan berkenaan untuk dijamu kepada pengunjung.
27 Aug 20
639
Bernama Radio, Manis FM Terbit Program ‘Khabar Pantai Timur’
Bernama Radio, Manis FM Terbit Program ‘Khabar Pantai Timur’
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos – Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Radio dan Husa Network Sdn Bhd, Manis FM bakal menerbitkan program ‘Khabar Pantai Timur’ bermula 3 September ini. Ia selepas kedua-dua entiti terbabit memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) di Wisma Darul Iman, hari ini. Majlis menandatangani MoU menyaksikan Bernama diwakili Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Ketua Pengarangnya, Datuk Mokhtar Hussain dan Ketua Penyiaran (TV dan Radio Bernama) Roslan Ariffin. Manis FM pula diwakili Pengurus Besar Husa Network Sdn Bhd, Ozarizan Mohd Nor dan Pengurus Operasi Husa Network Sdn Bhd Zaid Talib. Mokhtar Hussain. Turut hadir menyaksikan detik bersejarah itu ialah Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri Mohd Nor Hamzah. Program bual bicara ‘Khabar Pantai Timur’ mengetengahkan isu semasa, perniagaan dan keusahawanan yang akan bersiaran selama 30 minit di Bernama Radio dan Manis FM setiap Khamis pukul 7.30 pagi selama 13 minggu. Jalinan itu turut mengetengahkan usahawan berjaya sebagai pencetus inspirasi, malah ia membuka ruang kepada usahawan baharu terutamanya masyarakat yang terlibat dalam bidang pertanian dan Industri Kecil Sederhana (IKS). Kerjasama antara Bernama Radio dan Manis FM dicetuskan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah selepas melakukan lawatan kerja ke Terengganu baru-baru ini bertujuan memantapkan pengisian dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.
27 Aug 20
962
Lahirkan Kesedaran Semarak Kemerdekaan -Wan Sukairi
Lahirkan Kesedaran Semarak Kemerdekaan -Wan Sukairi
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-63 empat hari lagi, kerajaan negeri menyarankan seluruh rakyat Terengganu bersama-sama menyemarakkan kempen sambutan kemerdekaan dengan memasang bendera di premis kediaman dan kedai masing-masing. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri lebih suka mengambil pendekatan kesedaran yang datang daripada masyarakat sendiri untuk menyemarakkan kemerdekaan. "Itu yang lebih penting. Kalau mereka sedar, kita tidak perlu arah pun mereka akan pasang, semangat ini memang perlu ada dalam diri kita. Sesuai dengan keadaan negara yang berdepan cabaran Covid-19 ini, kita tidak mahu ambil pendekatan menguatkuasakan pemasangan bendera. Wan Sukairi menyerahkan bendera kepada salah seorang daripada wakil MPKK-MPKK di DUN Wakaf Mempelam. "Saya rasa, Jalur Gemilang ini ramai di antara kita bukannya pasangkan setiap hari, jika begitu lebih baik. Hanya sempena kempen bulan kemerdekaan, jadi kita harap ada kesedaran dan semangat daripada rakyat sendiri. "Appalah sangat harga sehelai Jalur Gemilang jika hendak dibandingkan dengan tanggungjawab yang perlu dilahirkan rakyat untuk menunjukkan kasih dan cinta kita kepada negara kita," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Merdeka @ Komuniti dan Kempen Kibar Jalur Gemilang daerah Kuala Terengganu di Dewan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, hari ini.  Jelasnya, program usaha sama pusat khidmat bersama Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Terengganu (Penerangan) dan Pejabat Daerah Kuala Terengganu dimulakan dengan kayuhan sejauh lapan kilometer oleh kira-kira 250 peserta di kawasan Wakaf Mempelam dan berhenti di beberapa tempat seperti sekolah serta kedai-kedai bagi menyampaikan Jalur Gemilang l[epada masyarakat. "Insya-Allah, dengan sambutan ini rakyat akan menyemarakkan lagi kempen menaikkan bendera di premis masing-masing samada kedai atau kediaman untuk kita menaikkan semangat patriotik kasih dan sayang kita kepada negara. "Di samping kita agihkan Jalur Gemilang kepada masyarakat dan pelajar-pelajar. Kita juga mneyerahkan bendera kebangsaan itu ke kedai yang kita singgah dan kita harap kedai-kedai lain yang tidak menerima agihan ini turut mengibarkan Jalur Gemilang sempena kemerdekaan ini," katanya. Sementara itu, Penolong Pengarah Penerangan Terengganu, Mohd Othman Abu Bakar menyatakan kekecewaan berkenaan peristiwa-peristiwa melibatkan pemasangan bendera terbalik dan isu-isu patriotik. "Jabatan Penerangan samada di negeri atau persekutuan telah melaksanakan pelbagai program berbentuk patriotik serta panduan cara memasang bendera saban tahun tetapi, masih ada yang tidak faham. "Ini satu perkara yang sangat mendukacitakan dan kita harap pihak terbabit lebih prihatin, jika tidak tahu rujuk dahulu. Isu yang sangat sensitif ini tidak patut berlaku. "Bendera adalah lambang kedaulatan sesebuah negara, kita sebagai rakyat Malaysia jangan mengambil mudah dalam menyantuni bendera kita seperti gantung bendera yang sudah lusuh, membiarkannya di lantai serta memasang secara terbalik," pesannya. Tambahnya, bendera merupakan satu simbol yang utama sesebuah pemerintahan, mana-mana negara sekali pun. "Dalam contoh mudah, perkara pertama seseorang atlet lakukan apabila memenangi perlawanan ialah menjulang bendera negaranya sebagai bukti cintanya, menunjukkan bendera itu penting. "Pastikan bendera yang kita dipasang dipantau selalu, gantikan dengan yang baru jika sudah lusuh sebagai memartabatkan bendera. Ini sikap yang perlu ada dalam masyarakat," katanya.    
27 Aug 20
687
Terengganu Terus Perkasa Digitalisasi
Terengganu Terus Perkasa Digitalisasi
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Terengganu mengambil langkah untuk terus menggalakkan digitalisasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan sejajar dengan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).  Setiuasaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azhar berkata, melaluinya lebih banyak perkhidmatan secara dalam talian atau e-kaunter akan dibangunkan untuk merancakkan usaha digitalisasi dan automasi. Katanya, justeru itu, setiap penjawat awam seharusnya lebih kreatif dan berinovatif dalam mendepani gelombang IR 4.0 dengan memanfaatkan kelebihan komunikasi baharu dalam melaksanakan tugas harian. “Hari ini, sebarang maklumat dan promosi menjangkaui media arus perdana, di mana lebih menumpukan penggunaan  facebook, twitter atau Instagram. “Ia menjadi sumber utama kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini terutama di kalangan belia,” katanya. Beliau berkata demikian dalam teks yang dibacakan Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Dato’ Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang, di Hotel Permai di sini hari ini. Menurutnya lagi, semua penjawat awam perlu lebih peka dan melengkapkan pengetahuan diri dan kemahiran, terutamanya berkaitan teknologi maklumat (ICT). “Langkah itu penting bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan, sekali gus menjamin sistem penyampaian perkhidmatan kita yang lebih produktif, berkualiti dan cemerlang. “Ditegah menyalahgunakan media sosial dengan menyebarkan maklumat atau melemparkan tuduhan palsu dan kritikan terhadap kerajaan secara melulu,” katanya.  
27 Aug 20
672