Artikel "Semasa" Terkini
Asnaf Perumahan Maidam Disantuni Kembara Merdeka TCCT
KUALA NERUS, 3 September - Kelab Basikal Tepoh Cakna Cycling Team (TCCT) yang baharu dilancarkan baru-baru ini telah memulakan langkah awal dalam aktiviti kemasyarakatan apabila menyantuni semua wakil keluarga asnaf yang tinggal di kawasan Taman Perumahan MAIDAM di Jalan Wakaf Sharif, Padang Nenas.
Penaung Kelab TCCT, Hishamuddin Abdul Karim berkata, aktiviti yang dilakukan bersama Kembara Merdeka TCCT itu sesuai dengan teras atau matlamat penubuhan kelab.
“Kelab basikal TCCT ditubuhkan berpaksikan kepada ‘cakna’. Terasnya kebajikan dan keprihatinan. Menelusuri jalan-jalan di pendalaman untuk mendekati warga yang memerlukan secara lebih dekat. Itulah hasratnya. Semoga ia dipermudahkan untuk direalisasikan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh.
Dalam aktiviti terbabit seramai 40 wakil keluarga disantuni dan diberikan sumbangan dalam satu majlis ringkas ketika Kembara Merdeka membuat persinggahan di perkarangan taman perumahan tersebut.
Program yang dianjurkan secara bersama Jabatan Penerangan Negeri Terengganu melalui program Merdeka @ Komuniti mendapat sambutan luar biasa semua lapisan masyarakat.
Sumbangan disampaikan oleh Syed Ahmad Saifuddin Syed Muhammad atau lebih dikenali dengan Ku Adik yang turut sama menyertai Kembara Merdeka dan Pegawai Penerangan Daerah Kuala Nerus, Nor Emylia Lot.
01 Sep 20
480
Tepoh Lancar Kelab Basikal TCCT & Kembara Merdeka
KUALA NERUS, 1 September - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh melancarkan sebuah kelab berbasikal Tepoh Cakna Cycling Team (TCCT) di perkarangan Dewan Serbaguna Tepoh semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kelab basikal itu meletakkan paksi ‘cakna’ dengan menganjurkan program berkebajikan melalui aktiviti berbasikal.
"Terasnya kebajikan dan keprihatinan selain gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan basikal. Kami berhasrat dapat menelusuri jalan-jalan di pendalaman untuk mendekati warga yang memerlukan secara lebih dekat. Itulah hasratnya," jelas beliau ketika dihubungi media selepas pelancaran kelab itu semalam.
Dalam program terbabit, satu program Kembara Merdeka TCCT sejauah 21 kilometer telah dianjurkan pada hari yang sama dengan melibatkan 250 peserta.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu diberikan penghormatan untuk menyempurnakan acara pelepasan Kembara Merdeka TCCT.
Turut hadir bagi memeriahkan lagi program Konvoi Kembara Merdeka dan pelancaran kelab, Syed Ahmad Saifuddin Syed Muhammad, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ariffin Abdullah, pelumba basikal termuka TSG, Mohd Hariff Salleh, Nur Amirul Fakhruddin dan beberapa lagi pelumba lain.
Hishamuddin yang juga Penaung Kelab TCCT juga memaklumkan, penubuhan kelab turut memberi peluang kepada belia untuk mengasah bakat dalam sukan berbasikal.
“Penubuhan kelab ini bagi memberi ruang kepada anak muda meningkatkan nilai tambah untuk diri masing-masing selain hanya tertumpu aktiviti kayuhan semata-mata. Kelab ini akan membimbing penganjuran ‘fun ride’ secara profesional, kepelbagaian aktiviti berbasikal dan membina jaringan hubungan dengan pelbagai pihak,” tambah beliau.
01 Sep 20
494
MBKT Sita Empat Premis Perniagaan
KUALA TERENGGANU, 1 September- Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyita empat premis perniagaan menerusi operasi bersepadu yang dijalankan sekitar bandaraya Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Operasi bersepadu yang dilaksanakan Bahagian Pelesenan dan Bahagian Penguatkuasaan MBKT itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kekuatan anggota seramai 29 orang.
Datuk Bandar MBKT, Shahidan Embok berkata, operasi yang bermula sekitar 2.30 petang itu diadakan bagi membanteras operasi premis perniagaan yang menjalankan jualan barangan yang tidak dinyatakan di dalam lesen perniagaan.
"Fokus operasi adalah premis perniagaan di sekitar kawasan hentian bas MBKT di mana kita telah menyita barangan jualan yang tidak dinyatakan di dalam lesen perniagaan walaupun telah beberapa kali dikompaun oleh pihak MBKT.
“Manakala sebuah premis telah ditutup serta merta kerana beroperasi dengan lesen perniagaan yang telah dibatalkan sebelum ini,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
01 Sep 20
2078
Cara Dakwah Perlu Seiring Perkembangan Semasa
KUALA TERENGGANU, 1 September - Usaha dakwah memerlukan ilmu, pendekatan yang lebih terkesan dan paling penting tanamkan keikhlasan dalam diri setiap individu agar ia menjadi wahana dalam penyemarakkan usaha dakwah secara keseluruhannya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata ramai orang boleh berkata-kata tapi hanya sedikit yang boleh turun ke lapangan untuk berdakwah kepada pelbagai golongan masyarakat.
“Ramai sasaran dakwah pada hari ini terdiri dari pelbagai golongan masyarakat dan sememangnya sangat sulit untuk sampai kepada mereka malah memerlukan cara berbagai bagai dalam menyampaikannya.
“Ia juga sangat sukar pada masa sekarang untuk temui orang yang sanggup turun ke bawah untuk menyampaikan dakwah tersebut,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Semarak Dakwah 2020 ' Islam Itu Indah ' Negeri Terengganu Sempena Ambang Merdeka di Pantai Batu Buruk, di sini semalam.
Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, Pengarah YADIM Terengganu, Mahadi Awang dan Pengarah Akademi DUAT ,Ramlan Mahmood.
Mohd Nor juga berkata ummah yang paling baik adalah mereka yang mengerjakan kerja dakwah yang mudah disebut tapi sukar untuk dilaksanakan.
“Walaupun Islam itu indah, ia tidak akan sampai ke manusia jika tiada orang bersedia mengikut sunnah Nabi SAW untuk menyampaikan agama ini.
“Maka pendakwah mainkan peranan penting dalam menyampaikan dakwah terutamanya menyantuni generasi muda dengan kaedah komunikasi yang santai dan berkesan,”katanya.
01 Sep 20
557
264 Penduduk Kota Putera Terima Geran Tanah
BESUT, 1 September - Seramai 264 penduduk Kota Putera menerima Geran Tanah Hak MIlik & Borang 5A Tanah dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Kota Putera Square, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, penyerahan geran tanah dan borang 5A tersebut adalah bukti kerajaan negeri cakna dan prihatin kepada rakyat.
"Proses mengembalikan tanah terkilan merupakan manifesto kita pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu. Proses ini terus berjalan dan ia mengambil sedikit masa ekoran pelbagai kekangan di pelbagai peringkat. Walau bagaimanapun, saya tetap akan mengusahakan sebaik mungkin untuk semua yang terlibat dalam kawasan saya dan akan diadakan secara berperingkat.
"Majlis penyampaian tersebut adalah yang kedua selepas lebih 10 orang penduduk telah menerima borang itu daripada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini pada majlis perasmian Rumah mampu Milik (RMM) Taman Putera Rahman," ujarnya yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Putera kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pemberian geran tersebut.
Sementara itu, seorang penerima Wan Hanapi Wan Su, 70, merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu kerana mengembalikan hak beliau yang sebelum ini dinafikan.
"Tahniah kepada peserta yang bersabar hingga kini. Berbanyak syukur kepada Allah dan terima kasih kepada Kerajaan Terengganu. Peserta RTB 1999 - 2004 (terkilan) yang belum mendapat tawaran mohon kesabaran kerana bukan mudah kerajaan negeri menyelesaikan semuanya dalam tempoh yang singkat.
"Terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus bekerja. Semoga dengan penyelesaian ini akan menggembirakan kembali semua pihak yang sepatutnya telah lama berhak menerima pemberian tanah ini secara sah," ujarnya.
01 Sep 20
1246
Merdeka, Bukan Sekadar Bebas dari Penjajah
KUALA TERENGGANU, 31 Ogos - Kemerdekaan yang dikecapi hari ini merakamkan pahit getir usaha pejuang terdahulu dan semua pihak perlu mengambil peluang dan ruang untuk bersama-sama menghayati erti sebenar kemerdekaan supaya cara pemikiran yang tidak lagi terkongkong dek belenggu rantai ideologi songsang yang dibawa oleh penjajah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata tempoh 63 tahun kemerdekaan negara merupakan satu tempoh yang panjang, mengisarkan bagaimana sesuatu bangsa bangkit dari hanya merangkak, kini telah mampu berdiri gagah dan akhirnya memerintah negara dengan kaki sendiri.
Katanya, kemerdekaan yang dikecapi bukan bermakna bebas daripada penjajah semata-mata, malah mencakupi definisi yang cukup luas sama ada dari segi mental, fizikal dan spiritual.
“Justeru setelah 63 tahun kita merdeka, maka seharusnya seluruh warganegara tanpa mengira agama dan bangsa memiliki jiwa Malaysia yang mencintai negara setulus hati. Berfikir sebagai rakyat Malaysia yang tidak cenderung kepada gaya hidup dan pemikiran penjajah.
“Semestinya bukan satu kesalahan untuk menceduk ilmu dan nilai-nilai baik daripada mereka yang pernah menjajah negara kita, namun janganlah yang diambil itu perkara-perkara yang bertentangan dengan agama dan nilai yang kita pegang, apatah lagi mencemar addin serta identiti ketimuran.
“Dengan itu semoga kita akan lebih memahami betapa mengecap nikmat dengan sebaris kata MERDEKA itu bukanlah mudah, namun tukarannya adalah air mata dan darah para pejuang terdahulu termasuklah golongan ulama', cendiakawan, ilmuan dan orang-orang biasa berjiwa pahlawan,”ujar beliau melalui hantaran media sosialnya, bersempena dengan Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-63, hari ini.
Beliau turut mengimbas kembali sejarah di saat awal negara mencapai kemerdekaan, dimana memerlukan kompromi tiga kaum berbeza untuk berjiwa besar menerima Islam sebagai agama rasmi, hak-hak istimewa bangsa Melayu, kedaulatan Raja-Raja Melayu serta Bahasa Melayu terlindung di bawah payung Perlembagaan Persekutuan.
Tambah Zuraida lagi, pada ketika itu bangsa Melayu pula bertolak ansur untuk menerima bangsa-bangsa lain hidup aman dan damai serta mencari rezeki dengan pengiktirafan tinggi sebagai warganegara, berbeza dengan situasi Myanmar dan Brunei.
Justeru itu, Zuraida yang juga merupakan Ketua Pengarah Ameerah Malaysia menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya anak-anak muda supaya mengkaji sejarah kemerdekaan negara dengan lebih mendalam, tidak terhad sekadar pengetahuan sejarah yang dipelajari di bangku sekolah.
Beliau turut mengingatkan supaya rakyat sentiasa bersyukur kepada Allah, yang telah mengurniakan kemerdekaan, kestabilan dan keamanan kepada Negara Malaysia.
31 Aug 20
1822
Dakwah Jalanan Ambang Merdeka, Didik Masyarakat Jauhi Maksiat
MARANG, 31 Ogos - Satu pendekatan berkonsepkan dakwah jalanan berkaitan 'Anda Bijak Jauhi Zina' telah diadakan di daerah ini sempena sambutan malam ambang kemerdekaan Malaysia kali ke-63 semalam.
Program yang dilakukan Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad Amar) tersebut mensasarkan golongan belia dalam isu bahaya zina, perkara maksiat dan anak luar nikah yang berlaku pada masa kini.
Ketua Skuad Amar, Nasaruddin Samsudeng berkata, dalam waktu terluang itu pihaknya mengambil inisiatif untuk mendekati golongan belia bagi menyampaikan risalah dan penerangan berkaitan perkara tidak bermoral.
Mendekati golongan belia di kedai makan.
"Seperti yang kita sedia maklum, umumnya pada malam ambang kemerdekaan sering terjadi perkara yang menyalahi hukum syarak, tidak bermoral dan perkara yang mengundang kemurkaan Allah SWT.
"Kaedah turun ke lapangan untuk bertemu mata dengan anak muda ini juga menghidupkan suasana masyarakat di dalam kita memberi peringatan antara satu sama lain," katanya kepada pemberita semasa aktiviti tersebut semalam.
Menurutnya, melalui aktiviti dakwah dan pengedaran risalah jauhi zina yang dilakukan, rata-rata orang awam dan golongan muda menerima dengan terbuka dan menunjukkan reaksi positif.
Kata Nasaruddin lagi, dengan usaha itu, mereka berharap kawasan setempat malah negeri ini akan terus subur dan sejahtera tanpa perbuatan tidak berakhlak.
"Skuad Amar akan terus melakukan aktiviti dakwah ini secara berkala agar golongan belia dan juga ibu bapa lebih terbuka terhadap masalah kerosakan akhlak kerana mereka ini merupakan penyambung generasi kita akan datang.
"Pada malam ini, kita mendapat kerjasama dengan Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang, dan kami juga membuka ruang kerjasama dengan semua agensi, jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) tanpa mengira latar belakang politik," tambahnya.
Dakwah jalanan yang bermula pada jam 11.00 malam itu disertai seramai 25 orang sukarelawan Skuad Amar termasuk daripada kalangan wanita.
31 Aug 20
904
Jiwai Semangat Merdeka, Perangi Jenayah Setempat
Oleh: Ahmad Mawardi
HULU TERENGGANU, 30 Ogos - Sempena Sambutan kemerdekaan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir tekad pupuk semangat untuk memerangi jenayah khususnya dalam kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato’ Harun berkata, sambutan yang julung kali diadakan itu bertujuan memupuk semangat patriotik petugas agensi kerajaan selain itu membanteras jenayah untuk capai erti kemerdekaan yang sebenarnya.
Katanya, beliau berharap agensi tempatan bertangungjawab dan optimis untuk terus kekal membanteras dan tidak hanya pada Hari Kemerdekaan sahaja.
“Untuk hapuskan gejala jenayah keseluruhannya adalah mustahil, akan tetapi kita bersama berperanan untuk mengurangkannya adalah kewajipan semua pihak.
“Pada masa sama, kita perlu perbanyakkan program kesedaran di setiap kampung untuk capai matlamat sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Program Semarak Merdeka @ Komuniti 2020 (Info On Wheels) peringkat DUN Manir di Dewan Terbuka Pusat Komuniti Pulau Bahagia, semalam.
Turut hadir, Pemangku Pengarah Jabatan Penerangan Terengganu, Saharuddin Muhamad, Ketua Balai Polis Manir, Tuan Roslan Mat Yunus, Penghulu Mukim Manir dan semua Pengerusi Majlis Pengurusan Kampung MPKK DUN Manir.
Tambahnya lagi, sudah tentu kemerdekaan sebenar belum tercapai sehingga lengkapnya nilai-nilai Islam dalam undang-undang negara untuk membanteras jenayah.
"Islam adalah agama rasmi persekutuan dan seorang muslim tidak boleh berasa tenang sekiranya urusan negara masih lagi tidak dapat melengkapi seperti dikehendaki oleh Allah SWT,"ujarnya.
30 Aug 20
390
MB Teruja Bersama 250 Komuniti Basikal Semarak Merdeka Rhu Rendang
MARANG, 31 Ogos - Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar tidak melepaskan peluang bersama-sama hampir 250 orang peserta kayuhan basikal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Rhu Rendang, hadir pada jam 7.30 pagi bagi bersama-sama komuniti dari seluruh daerah Terengganu dalam acara 'Fun Ride' Semarak Kemerdekaan Dun Rhu Rendang 2020.
"Kemeriahan bulan merdeka diisi dengan pelbagai program diantaranya aktiviti sihat yang dapat dilakukan secara bersama-sama.
"Seronok dapat bersama komuniti sambil dapat melakukan aktiviti fizikal beramai-ramai," katanya.
Beliau berkata melalui perkongsian status di laman rasmi facebook miliknya.
Acara berbasikal itu disempurnakan oleh Pengarah Majlis Tindakan Dun Rhu Rendang, Hassan Awang diiringi oleh Ketua Balai Polis Daerah Marang, DSP Mohd Zain Mat Dris.
Program perasmian penutup Semarak Merdeka disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.
30 Aug 20
918
Kalang Warisan, Lokasi Pelancongan Berasaskan Komuniti Terbaharu Terengganu
Oleh : Suhaimi Taib
MARANG, 30 Ogos - Kalang Warisan Kampung Pulau Manis, Serada di sini menjadi contoh Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) terbaharu di Terengganu yang diwujudkan dengan kerjasama penduduk setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman berkata, destinasi itu pernah dikunjungi sehingga 1,000 orang sehari.
Menurut beliau terdapat sejarah warisan berhampiran pengkalan kampung yang diwujudkan selepas pandemik COVID-19, ketika pelancong domestik mencari alternatif destinasi pelancongan dalam negeri.
Warisan sejarah itu ialah Makam Tok Ku Pulau Manis atau nama sebenar Sharif Abdul Malik Sharif Abdullah seorang ulama dan dianggap wali meninggal dunia, tahun 1736.
"Dengan sejarah dan apa yang di sini, saya yakin tempat ini lebih maju di masa akan datang," katanya ketika bercakap kepada media di Majlis Semarak Merdeka 63 di destinasi pelancongan itu di sini baru-baru ini.
Turut hadir Penolong Setiausaha Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Raja Faisal Raja Haron.
Katanya, kerajaan Terengganu sedang memajukan beberapa tempat lain termasuk Dataran Batu Putih dan Dataran Banggol Cempedak.
"Kedatangan penyunjung di Dataran Batu Putih, semakin hari semakin ramai.
"Di Banggol Cempedak pun semakin ramai pwngunjung dan semua projek ini ada kait mengait antara satu sama lain," jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Alur Limbat.
Beliau berkata, kerajaan akan mewujudkan jejak (trail) dari Kuala Terengganu dan pelancong boleh membuat pilihan ke mana destinasi yang hendak dituju.
30 Aug 20
3145