lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Pembangunan Infrastruktur Luar Bandar Tidak Dipinggirkan
Pembangunan Infrastruktur Luar Bandar Tidak Dipinggirkan
SETIU, 5 September - Projek pembangunan infrastruktur tidak tertumpu di kawasan bandar sahaja tetapi turut dilaksanakan di sekitar luar bandar demi kesejahteraan rakyat pedalaman.  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata pembangunan di kawasan kampung sedang giat dijalankan termasuk usaha untuk meminimakan masalah yang ditanggung penduduk terutama pada musim tengkujuh. "Kita agihkan sedikit sebanyak biar sama rasa, semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). Untuk kali ini, jalan dan longkang U di Kampung Bukit Tanah. Insya-Allah, musim banjir akan datang, masalah air bertakung kita cuba minimakan sedaya yang boleh," katanya ketika ditemui pemberita semalam. Menurutnya, sebarang pembangunan boleh dibina daripada pelbagai sumber sama ada Peruntukan Projek Kecil ADUN, Majlis Daerah, Pejabat Daerah, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) malah ada ketikanya peruntukan poket  sendiri boleh dikeluarkan.  "Fungsi kami ialah merancang, mengatur dan membuat urusan bersama agensi atau jabatan terlibat agar peruntukan yang ada dapat disalurkan serta dibelanjakan sebaiknya bagi manfaat rakyat.  "Saya ibarat seorang ayah yang ada anak ramai. Tak boleh tunggu dan lihat sekadar apa yang mari sahaja. Perlu cergas bergerak ke sana ke mari, cari belanja dan peruntukan untuk keperluan anak-anak. "Naik lif, turun tangga, masuk pejabat keluar pejabat. Jumpa Menteri, KSU dan pegawai-pegawai kanan kementerian. Akhirnya biarlah ada hasil yang boleh dibawa balik kepada rakyat. "Jangan salah faham, duit pun bukan diberi kepada kita. Tapi dalam bentuk projek pembangunan melalui tatacara kewangan yang ketat," tambah beliau.
05 Sep 20
1013
Kaji Keperluan Hadkan Pengunjung Ke Perkampungan Budaya -Ariffin
Kaji Keperluan Hadkan Pengunjung Ke Perkampungan Budaya -Ariffin
KUALA NERUS, 4 September - Kerajaan Terengganu akan mengkaji keperluan untuk menghadkan jumlah kehadiran pengunjung ke Perkampungan Budaya di Muzium Negeri bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dipatuhi. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata perkara tersebut sudah berada dalam pemantauan pihaknya dan akan melakukan perbincangan pada masa yang sesuai. "Kampung budaya baru bermula semalam, kita tengok dalam tiga hari percuma ni, sejauh mana sambutan, macam mana keadaan berlaku dan Insya-Allah kita buat pelan untuk perancangan seterusnya. "Sebagaimana yang  telah dilakukan di santuari kelah oleh kerana permintaan tinggi terpaksa kita hadkan walaupun itu keuntungan yang sepatutnya kita dapat tetapi kita hadkannya. "Jadi perkara ini juga kita akan bincang, mungkin sampai masa kita akan hadkan jumlah ke kampung budaya tetapi buat masa sekarang tak boleh lagi dan kita sedang melihat perkara ini...oleh kerana baru sangat kita tengok dulu sambutan macam mana," ujarnya. Beliau berkata demikian di Majlis Penutup Festival Kebudayaan Terengganu 2020 di Warisan Sari Tok Jembal, di sini hari ini. Sementara itu, mengulas tentang pematuhan SOP di pulau-pulau peranginan, Ariffin menyerahkan kepada pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mereka juga membuat pemantauan tentang perkara ini. "Kita dah nasihat kepada mereka, untuk jangka masa panjang pelancongan Terengganu wajib mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan kami sendiri telah mengeluarkan panduan pelbagai acara kebudayaan yang dilancarkan di pulau redang dahulu. "Insya-Allah akan ada perbincangan berterusan agar perkara ini tidak berlaku lagi," ujarnya. Untuk rekod, perkampungan budaya yang dirasmikan semalam berkonsepkan muzium hidup yang menggabungkan pelbagai kebudayaan dan warisan dalam satu kawasan itu menawarkan pelbagai keunikan serta keistimewaan seni budaya sebagai salah satu daripada kluster pelancongan negeri.  
04 Sep 20
687
19 Tahun Menanti, Akhirnya Kerajaan Beri Tanah
19 Tahun Menanti, Akhirnya Kerajaan Beri Tanah
MARANG, 4 September - Penantian hampir dua dekad penduduk Kampung Lapang Jambu Laut untuk memiliki tanah sendiri berakhir selepas menerima Geran Hak Milik Kekal dan Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok baru-baru ini. Ismail Abu Bakar, 51, berkata, dia sangat bersyukur dan berterima atas segala usaha pihak kerajaan yang mengotakan janji untuk memberi semula tanah yang diambil sebelum ini. "Lama kami tunggu, selama 19 tahun lamanya, akhirnya sekarang baru dapat kembali hak milik tanah. Terima kasih kerajaan PAS Terengganu atas usaha yang diambil. "Setelah pemerintahan PAS yang baru kami dapat geran ini. Bertambah bertuah lagi, geran ini disampaikan sendiri Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang," katanya yang menuntut hak milik untuk tanah-tanah terkilan sejak tahun 2001.  Menurut Ismail lagi, pemberian geran itu membolehkannya mendirikan sebuah rumah untuk anak-anak dan mampu hidup dengan lebih selesa. "Anak-anak di rumah sudah mengetahui lebih awal tentang pemberitahuan penerimaan ini dan mereka berasa sangat gembira dengan mendapat geran tanah yang kekal ini," jelasnya lagi. Turut berkongsi perasaan gembira ialah Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Lapang Jambu Laut, Zulkifli Puteh, ujarnya, meskipun penerima menanti agak lama, mereka tidak pernah mengalah dan hari ini membuktikan penantian mereka sangat berbaloi "Sesungguhnya sudah lama kita mohon untuk mendapatkan geran hak milik sejak kita berjuang daripada tahun 2000 sehingga pada hari ini," tambahnya.  
04 Sep 20
414
Gelanggang Futsal Penuhi Hasrat Pemuda Batangan
Gelanggang Futsal Penuhi Hasrat Pemuda Batangan
MARANG, 4 September - Gelanggang futsal yang sedang dibina bakal memenuhi hasrat dan impian golongan belia Kampung Batangan untuk memiliki kemudahan dalam aktiviti sukan. Disebabkan kampung Batangan terletak agak jauh dari jalan utama dan kawasan membangun, anak muda kampung terbabit yang ingin bersukan mengalami kesukaran apabila ketiadaan kemudahan gelanggang futsal. Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Batangan, Abdul Rahman Abdullah berkata, dengan adanya kemudahan berkenaan nanti, ia memberi peluang kepada golongan belia untuk terus aktif dalam aktiviti sukan. "Pembinaan gelanggang futsal di Kampung Batangan ini bukan sahaja dapat dijadikan tempat untuk bermain futsal malah menjadi tempat riadah masyarakat setempat khususnya generasi muda bagi mengelak mereka terjebak dalam kegiatan tidak berfaedah," katanya. Beliau berkata demikian ketika membuat kunjungan bersama Pejabat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang di lokasi gelanggang futsal tersebut hari ini. Turut hadir adalah Ketua Pemuda Pas DUN Rhu Rendang, Ziyad Zakaria dan AJK MPKK Kampung Batangan. Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, gelanggang itu dibina di bawah peruntukan Jabatan Pembangunan Negeri Terengganu melalui Pejabat Daerah dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang. "Di awal pemerintahan kerajaan negeri, kita mendapat maklumat tentang hasrat golongan belia yang mengharapkan sebuah gelanggang futsal. "Pihak pengurusan DUN telah berusaha membawa hasrat ini kepada jabatan berkenaan, selari dengan keutamaan permohonan yang dipohon oleh setiap MPKK di dalam kawasan Rhu Rendang," katanya. Menurut beliau, pihaknya memandang berat keperluan rakyat setempat kerana gelanggang tersebut bukan sahaja dijadikan tempat untuk bermain, malah sebagai tempat kemudahan bagi segenap lapisan masyarakat. "Bagi belia dan penduduk kampung pula, jagalah kemudahan yang ada di kampung sebaiknya, gunakan dengan betul dan ikut peraturan supaya kerajaan boleh menyediakan lebih banyak kemudahan di kampung masing-masing," tambahnya.
03 Sep 20
778
Kampung Budaya Tarikan Baharu Pelancongan Terengganu
Kampung Budaya Tarikan Baharu Pelancongan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 3 September - Kampung Budaya Terengganu yang dilancarkan di Muzium Negeri hari ini bakal menjadi produk pelancongan terbaharu sekali gus menarik lebih ramai kunjungan pelancong ke negeri ini. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkampungan berkonsepkan muzium hidup yang menggabungkan pelbagai kebudayaan dan warisan dalam satu kawasan itu menawarkan pelbagai keunikan serta keistimewaan seni budaya sebagai salah satu daripada kluster pelancongan negeri. Katanya, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk mewujudkan Kampung Budaya Terengganu yang dijadikan ‘one stop centre’ dalam menghimpunkan pelbagai seni budaya warisan dari seluruh daerah Negeri Terengganu. “Ia memberikan pengalaman percutian bersejarah buat pengunjung kerana dipersembahkan dengan latar belakang serta suasana kehidupan sebenar masyarakat Melayu lama.  “Rumah-rumah asal tradisional negeri menempatkan pameran, demonstrasi dan pelbagai aktiviti kesenian dan warisan negeri yang seterusnya menjadi landasan bagi persembahan kesenian dan kebudayaan negeri,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kampung Budaya Terengganu, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ab. Rasid Jusoh. Tambah Ahmad Samsuri, ia turut melambangkan identiti negeri melalui keunikan seni warisan yang terdapat di setiap daerah. Menurut beliau, sebagai sebuah produk pelancongan baharu pengoperasian Kampung Budaya ini kelak bukan sahaja menjulang kembali kegemilangan warisan seni budaya masyarakat Melayu dahulu kala, tetapi juga mengingatkan generasi akan datang akan pentingnya mengetahui asal-usul sejarah peradaban Melayu.
03 Sep 20
4047
Harimau Menangis Ditawan Beliawanis
Harimau Menangis Ditawan Beliawanis
Foto oleh : Wan Abdul Hadi KUALA TERENGGANU, 2 September - Beliawanis dari pelbagai daerah dalam negeri Terengganu telah berjaya menawan puncak Bukit Harimau Menangis, Kemasik dalam satu program pendakian sempena Hari Kemerdekaan ke-63. Menurut Pengarah Urus Setia Belia Sukan dan NGO Negeri Terengganu (UBSNT), Nasir Abdul Razak program tersebut merupakan suatu inisiatif yang baik bagi mengumpulkan anak muda dan golongan belia termasuklah beliawanis. Kata beliau lagi, umum mengetahui bahawa program ‘outdoor’ sangat sinonim dengan anak muda yang suka kepada cabaran dan kebebasan. “Penganjuran program ‘Hiking’ Merdeka yang pertama kali dianjurkan ini sekaligus menepati minat mereka yang cenderung kepada aktiviti sukan dan lasak. “Di samping bertujuan untuk mengumpulkan anak muda khususnya wanita yang berminat dengan aktiviti mendaki, program ini secara tidak langsung juga memperkenalkan cara hidup yang sihat dan bermanfaat. “Selain itu, ia juga dapat mengeratkan silaturrahim antara para beliawanis bukan sahaja di Kemasik ini tetapi juga dari seluruh Terengganu,”ujarnya. Nasir berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini. Program Hiking Beliawanis Merdeka 2020 ini telah disertai oleh 250 peserta yang terdiri daripada pelbagai agensi seperti wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) beliawanis, pejabat daerah, pejabat pendidikan daerah dan sekolah-sekolah berdekatan. Program tersebut turut melibatkan wakil pusat khidmat masyarakat (PKM), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS), Majlis Pewakilan Komuniti Kampung (MPKK), Krew Bukit Harimau Menagis serta rakyat tempatan. “Persatuan Kebajikan Sedia Setia Hawa Terengganu (SETIA) menjadi pendokong kuat kepada penganjuran program ini di samping agensi-agensi lain. “Dan tanpa kita sedar sebenarnya, program seumpama ini dapat mempromosikan tempat rekreasi dan sukan yang menarik di Terengganu,”tambahnya.  
02 Sep 20
601
Kerajaan Negeri Pantau Pengusaha Pelancongan Langgar Peraturan
Kerajaan Negeri Pantau Pengusaha Pelancongan Langgar Peraturan
MARANG, 2 September - Kerajaan Terengganu bersikap terbuka dan teliti dalam melakukan pemantauan berkenaan isu keselamatan pengunjung di pusat-pusat peranginan negeri tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu) sedia maklum dengan rungutan pengunjung terhadap isu keselamatan dan keselesaan di Pulau Kapas yang berlaku baru-baru ini. "Ini sebenarnya mengejutkan kita kerana sudah ada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang kita lancarkan apabila membuka semula pulau-pulau peranginan pada fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).  Ariffin bersama Dr. Mamad ketika meninjau keadaan di Stesen Solar Pulau Kapas. "Malangnya, ada sebahagian pengusaha mahu untung lebih dan ia menyebabkan pelbagai masalah. Kita menerima maklumat terbaru bahawa SOP yang diperketatkan menyebabkan segelintir pengusaha bot membawa penumpang di jeti kawasan lain. Perkara ini juga dalam pemantauan kita. "Kita telah mengarahkan Tourism Terengganu untuk mengadakan siasatan serta akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit. Kita tiada tindakan khusus tetapi yang penting, pendidikan terhadap pengusaha akan diteruskan. Jika perlu, kita akan bincangkan hukuman kepada mereka," katanya.  Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas tinjauan ke Stesen Solar Hybrid di Pulau Kapas bersama Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Haji Mamad Puteh di sini, semalam. Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim; Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan beberapa wakil dari Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT). Tambahnya, pemantauan akan diteruskan dan tindakan akan dibincangkan supaya pihak yang melanggar peraturan keselamatan dan SOP dapat ditangani. "Untuk makluman, setelah negara berada dalam norma baharu iaitu fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kelonggaran ini menyebabkan kenaikan pelancong tempatan ke Terengganu dan antara yang paling terkesan ialah Pulau Kapas kerana lokasinya yang dekat dengan tanah besar. "Kita sedia maklum, ada pelbagai perkara yang dalam proses dan telah diselesaikan pihak berkuasa tempatan, antaranya isu sampah yang akan disesuaikan semula dan tandas yang akan dibina baharu dengan peruntukan yang dah diluluskan. "Nasihat saya kepada pengusaha, pelancongan adalah sektor jangka masa panjang di mana kes-kes sebegini mampu menjejaskan imej industri ini," katanya.    
02 Sep 20
392
Terengganu Sokong Hasrat PM Naikkan Bantuan JKM
Terengganu Sokong Hasrat PM Naikkan Bantuan JKM
KUALA TERENGGANU, 1 September - Kerajaan Terengganu menyokong hasrat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menaikkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM1,000. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya amat terharu dengan pengumuman itu memandangkan jumlah pemberian bantuan berkenaan pada masa kini dilihat tidak mencukupi. “Saya menyokong penuh cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri untuk menaikkan bantuan JKM termasuk kepada orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal daripada sekitar RM200 hingga RM300 ke RM1,000. “Memandangkan kos kehidupan termasuk harga barangan sangat tinggi maka saya berkeyakinan dengan peningkatan jumlah bantuan bulanan ini akan memberi lebih keselesaan kepada para penerima," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Katanya lagi, kenaikkan itu juga pasti dapat membantu anak-anak penerima untuk meneruskan pembelajaran di sekolah rendah, menengah dan universiti dengan selesa. "Saya yakin dengan bantuan ini mereka dapat mengurangkan beban sara hidup. "Perkara ini sering menjadi rungutan di kalangan mereka di bawah dan mereka memohon supaya bantuan bulanan dapat dinaikkan, bayangkan sebelum ini mereka terpaksa menggunakan sebahagian duit bantuan untuk membayar sewa rumah dan selebihnya membeli barangan keperluan, memang tidak cukup," ujarnya. Kelmarin, Muhyiddin mengusulkan agar bantuan bulanan JKM dinaikkan sehingga RM1,000 kepada mereka yang berkelayakan. Menurutnya, cadangan itu akan dikemukakan oleh beliau pada mesyuarat Jemaah Menteri minggu hadapan.
01 Sep 20
3146
RM200 Ribu Peruntukan Segera Baik Pulih Bekalan Elektrik Pulau Kapas
RM200 Ribu Peruntukan Segera Baik Pulih Bekalan Elektrik Pulau Kapas
MARANG, 1 September - Kerajaan negeri melalui Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) memperuntukkan RM200,000 pada kadar segera untuk memperbaiki set generator di Pulau Kapas bagi mengelakkan kejadian bekalan terputus berulang. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, pelaksanaan proses tersebut akan memakan masa sekitar tiga ke empat minggu. Dr. Mamad (kanan) memberikan penjelasan kepada media di samping Ariffin. "Untuk pengetahuan semua, kita menggunakan sistem solar hibrid iaitu gabungan solar, bateri dan generator yang membekalkan 350 kilowatt tenaga elektrik di bawah jagaan PMINT. "Namun, sistem yang beroperasi sejak 2007 itu mengalami kerosakan pada 2014 menyebabkan kita terpaksa menggunakan generator yang asalnya hanya sebagai sokongan kepada sistem solar," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di Stesen Solar Hibrid Pulau Kapas, hari ini. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman, Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim dan Pegawai Daerah, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak. Dr. Mamad dan Ariffin melihat keadaan satu-satunya set generator yang masih berfungsi. Dr. Mamad turut menjelaskan, pertambahan mendadak pengunjung ke pusat peranginan berkenaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyebabkan set generator sedia tidak dapat membekalkan elektrik secukupnya ke seluruh pulau. "Lebih merumitkan, dua dari tiga set generator telah rosak berikutan operasi berterusan. "Kini, satu set generator hanya mampu membekalkan maksimum 50 kilowatt sahaja pada satu-satu masa, jika berlebihan akan mengakibatkan bekalan putus," katanya. Tambahnya, bagi pelan jangka panjang Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah bersetuju memperuntukkan RM4.9 juta untuk menggantikan dan membaik pulih sistem solar serta menggantikan set generator yang memakan masa enam bulan hingga setahun untuk diselesaikan. Dalam pada itu, Pengurus Bahagian Penyenggaraan Harta PMINT, Mohd Zaidi Abdul Rahman yang turut hadir memaklumkan, peruntukan tersebut termasuk menaik taraf sistem berkenaan yang meningkatkan penyaluran bekalan tenaga elektrik kepada 200 kilowatt berbanding kemudahan sedia ada yang membekalkan 100 kilowatt pada satu-satu masa. Dr. Mamad bersama Ariffn dan wakil PMINT meilhat panel solar di Stesen Solar Hibrid Pulau Kapas.  
01 Sep 20
2085
ECRL: Batu Tujuh Dungun Bakal Miliki Dua Stesen Kereta Api
ECRL: Batu Tujuh Dungun Bakal Miliki Dua Stesen Kereta Api
DUNGUN, 1 September - Dua stesen kereta api Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal dibina di Batu Tujuh merupakan cadangan kerajaan negeri melalui portfolio Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau. Pengerusinya, Dr Mamad Puteh berkata dua stesen tersebut adalah kereta api penumpang dan kargo yang kedudukannya bersebelahan antara satu sama lain. "Laluan atau jajaran jalan raya yang masuk ke stesen kereta api, satu perbincangan bersama diadakan dengan wakil Pejabat Tanah dan Daerah Dungun, Majlis Daerah Dungun, Jabatan Kerja Negeri, JKPTG negeri bersama kakitangan atau staf konsultan dari CCCC dan MRL," katanya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi selepas lawatan kerja tapak cadangan ECRL Dungun di Pejabat Pengurusan Projek CCCC, ECRL, Kawasan Perindustrian Batu 7, Sura, Dungun. Menurut Dr Mamad, pihaknya telah melakarkan pengambilan tanah dan cadangan untuk membina jajaran jalan raya yang dimaksudkan. "Kita dah ambil persetujuan dan telah lakarkan pengambilan tanah dan cadangan untuk bina jalan R5 iaitu 40 meter lebar. R5 ini bermakna jalan yang kita rasa dah cukup untuk kita memenuhi laluan di masa hadapan. "Dari jalan besar ke Paka dan Dungun kita ada satu laluan masuk terus ke kereta api dan disana hampir dengan laluan terus ke Che Lijah. "Ia akan melibatkan sedikit pengambilan tanah dan kita cadangkan pengambilan ini di bawah kerajaan pusat kerana ia merupakan jalan persekutuan," jelasnya.  
01 Sep 20
10773