Artikel "Semasa" Terkini
Motosikal Milik Mohd Azmi
MARANG, 20 September - Sebuah motosikal menjadi milik Mohd Azmi Said, 55 dari Taman Hassan Hussien, Kampung Padang Mengkuang, di sini apabila diumumkan sebagai pemenang paling bertuah.
Mohd Azmi memenangi hadiah tersebut dalam Program BP Fun Ride sempena Hari Malaysia 2020, Rabu lalu.
Katanya, dia tidak menyangka bahawa hadiah cabutan bertuah motosikal itu menjadi rezeki dia.
"Saya datang hari ini harnya untuk memeriahkan program dan agak teruja kerana diumumkan sebagai pemenang paling bertuah, " katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman, selepas program itu.
Lebih 500 peserta dari pelbagai daerah menyertai program tahunan itu yang turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri. Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah.
Peserta yang melalui perjalanan sejauh 25 kilometer itu turut ditawarkan pelbagai hadiah cabutan lain antaranya basikal, hamper dan pelbagai barangan elektrik.
Peserta melalui beberapa kampung, bermula Pekan Bukit Payong menghala ke Kampung Paya Resak - Pekan Kedai Buloh - Kampung Atas Tol - Kampung Laut - Kampung Bukit - Pekan Kedai Buloh - Kampung Undang dan pulang ke Pekan Bukit Payong sebagai garisan penamat.
Turut serta dalam Program Fun Ride tersebut, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Penghulu Mukim Bukit Payong, Ahmad Zafiri Ahmad Zaki dan Pegawai-pegawai dari Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Payong.
Mohd Nor merakamkan sekalung tahniah kepada semua peserta yang telah mengambil bahagian dalam program Fun Ride pada hari ini.
"Ucapan tahniah kepada semua peserta yang telah mengambil bahagian pada hari ini, sifat kesukanan dan semangat yang sangat baik telah ditunjukkan oleh semua,”katanya.
20 Sep 20
403
Jangan Pindah Ternakan Elak Wabak Merebak
KUALA TERENGGANU, 19 September - Kerajaan negeri mengeluarkan amaran melarang sebarang aktiviti pemindahan ternakan dari kandang serta ladang yang dijangkiti penyakit hawar berdarah atau haemorrhagic septicaemia (HS).
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim menegaskan, tindakan berkenaan penting bagi memastikan kematian berskala besar tidak terus merebak ke kawasan lain.
"Mohon kerjasama daripada semua penternak, peraih atau sesiapa sahaja yang berkenaan agar tidak melakukan pemindahan ternakan dari daerah yang sedang dilanda wabak HS ke daerah lain tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Terengganu.
"Hari ini Penguatkuasa JPV Terengganu menahan sebuah lori dengan dua ekor kerbau yang disyaki cuba dipindahkan dari daerah berlaku wabak tanpa kebenaran Pengarah JPV.
"Kes disiasat mengikut Warta Kerajaan Negeri Terengganu, Perintah di Bawah Subseksyen 36 (1) Akta Binatang 1953, Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut dan Penyakit Hawar Berdarah kerana melakukan pemindahan tanpa kebenaran Pengarah JPV Terengganu," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, jika disabitkan kesalahan mereka yang terlibat boleh didenda tidak melebihi RM15,000.
Sehubungan dengan itu ujarnya, larangan keras diambil tersebut perlu pihak diambil perhatian oleh semua pihak.
"Daerah yang terjejas sekarang ialah Marang dan Kuala Terengganu. Pemindahan ternakan dari daerah lain yang tak terlibat juga perlu mendapat kebenaran JPV," tambah beliau.
19 Sep 20
1028
Usaha Gigih JPV ‘Selamatkan’ Kerbau Pak Khamis Dipuji
KUALA TERENGGANU, 18 September – Usaha gigih kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu dalam menyelamatkan baki kerbau Khamis Jusoh, 64, mendapat pujian Exco kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ternakan Khamis yang diserang wabak Hawar Berdarah atau Heamoragic Septicaemia (HS) telah mendapat diberi perhatian sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan JPV termasuk dengan melaksanakan kerja-kerja menyelamat terhadap binatang yang tinggal.
"Hari menjelang senja. Dalam hujan renyai-renyai, kakitangan JPV terus bertungkus-lumus bekerja untuk menyelamatkan baki kerbau yang masih hidup.
"Sebahagian besarnya telah dijangkiti Hawar Berdarah. Pada tahap ini, pemberian vaksin tiada fungsi lagi. Vaksin berkesan sebagai pencegahan sebelum dijangkiti.
"Jasa dan bakti mereka layak dihargai walau di medan ini pelbagai nada kata-kata terpaksa mereka terima dan hadapi tapi mereka terus tabah menyumbang bakti. Terima kasih semua," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sementara itu katanya, JPV Terengganu turut memaklumkan bahawa permohonan untuk program pemvaksinan telah meningkat mendadak.
"Harap bersabar menunggu giliran kerana kakitangan kami sedang bekerja keras lebih masa. Ia tak semudah A, B, C kerana staf kami bukan hanya berurusan dengan haiwan ternakan, tetapi juga perlu berurusan dengan tuan punya haiwan.
"Ternakan pula berada bertaburan di serata lokasi. Sebahagiannya tidak ditambat dan tiada kandang. Perlu kerja tambahan juga untuk tangkap.
"Sebelum ini ada tawaran untuk program penvaksinan yang dibuat hebahan melalui surat kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), letak notis di kedai-kedai, khutbah jumaat, staf kita turun ‘survey’ tanya penternak dan pelbagai kaedah lagi," tambah beliau.
‘’ Wabak Hawar Berdarah yang berlaku sekarang membuka mata semua pihak. Saya dah arahkan JPV Terengganu untuk beri khidmat yang terbaik kepada rakyat. Kerjasama penternak juga amat dimohon kerana staf kami tak mampu nak kejar dan tangkap setiap ekor lembu untuk dicucuk vaksin. Kita jaga kita.’’
18 Sep 20
5998
Skuad Cegah Sura Pantau Lokasi Panas
DUNGUN, 18 September - Skuad Cegah Sura akan sentiasa memantau lokasi panas di bandar Dungun dalam usaha membantu pihak berwajib membanteras maksiat di negeri ini.
Ketuanya Mahdi Hassan berkata, tumpuan diberikan di lokasi utama dibandar ini yang menjadi tumpuan segelintir individu untuk melakukan perbuatan tidak bermoral.
“Skuad Cegah ini berjalan hampir setiap malam dianggotai lebih dari 20 orang.
"Buat masa ini kami menfokuskan tempat tempat yang menjadi tumpuan utama untuk kami bergerak dan pantau,” katanya.
Menurut Mahdi, skuad terbabit memberi kesedaran sivik kepada orang ramai akan bahaya gejala tidak bermoral.
“Kami dari Skuad Cegah sentiasa meronda dan memberi kesedaran sivik kepada warga Dungun agar menjauhi perkara tidak bermoral.
"Disamping kita cegah, kita juga mengedar risalah kesedaran awam berkaitan masalah bahaya dadah, tutup aurat, solat berjemaah dan lain- lain lagi,” ujarnya.
Katanya,antara lokasi yang dipantau adalah sekitar Taman Poket Arena, Taman Riadah hadapan Imtiaz, sepanjang pantai Sura, bandar Dungun dan berapa tempat lagi.
“Sesungguhnya tiada permintaan lain yang kami inginkan melainkan Dungun ini bersih dari ‘wabak' yang tidak sihat dan yang merosakkan akal dan akhlak kita semua," ujarnya.
18 Sep 20
527
30 Buah Rumah Dibadai Ribut Dibaiki Segera
SETIU, 18 September - Sebanyak 30 buah rumah yang rosak di Jabi akibat dibadai ribut semalam akan dibaiki segera bermula hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, kejadian pada waktu asar itu menjejaskan beberapa buah kampung di sini.
"Ribut melanda beberapa kampung di Jabi waktu asar semalam disertai hujan lebat. Antara kampung yang terjejas ialah Kampung Oh, Kampung Renek, Kampung Bharu Tok Dor, Kampung Padang Lengkuas, Kampung Sri Aman dan beberapa kampung lain.
"Terdapat beberapa buah rumah ditimpa pokok tumbang. Tujuh batang pokok di atas pembahagi jalan Pekan Jabi turut rebah.
"Alhamdulillah, hanya atap, syiling dan sebahagian dinding sahaja yang rosak. Setakat ini, tiada kecederaan dan kematian yang dilaporkan akibat daripada ribut berkenaan," katanya.
Ribut turut merosakkan sawah padi.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke beberapa rumah penduduk di sekitar Jabi, petang semalam.
"Saya sangat berterima kasih atas tindakan segera kakitangan Pejabat ADUN dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menyelesaikan apa yang perlu disegerakan terutama mengalihkan pokok tumbang yang menghalang laluan.
"Kita buat operasi secara menyeluruh untuk baik pulih rumah yang rosak. Jumlahnya setakat dilaporkan sekitar 30 buah rumah. Harap bersabar semua," katanya.
Dalam pada itu beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Idustri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri berkata, beberapa ekar sawah padi di Baruh Kampung Oh Jabi juga ranap akibat angin yang kuat itu.
"Insya-Allah kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan sewajarnya melalui Tabung Bencana Pertanian Negeri," jelasnya.
18 Sep 20
871
Keluarga Syukur 'Kampung Boy' Akan Dibantu - Ahmad Amzad
KUALA TERENGGANU, 17 September - Keluarga Muhammad Syukur Khamis,15, yang kematian 50 ekor kerbau peliharaan akan dibantu mereka mengikut kesesuaian dan keperluan semasa.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, kematian haiwan itu yang dipercayai akibat penyakit hawar berdarah atau Heamoragic Septicaemia (HS) adalah satu perkara yang sangat serius dan perlu diberi perhatian segera bagi membendung penularan penyakit itu ke kawasan lain.
“Kalau di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), vaksin COVID-19 di bawah pantauan kami dan begitu juga dengan wabak (hawar berdarah) ini kerana ia bwrkait dengan sains.
“Di samping berkait dengan industri penternakan, yang merupakan sesuatu yang besar impaknya kepada negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengunjungi ke kandang kerbau milik Khamis Jusoh di Kampung Banggol Katong, Alor Limbat di sini semalam.
Menurutnya, beliau telah menghubungi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dato' Che Abdullah Mat Nawi bagi menjelaskan tentang wabak tersebut.
“Che Lah (Abdullah) terkejut kerana sudah lama kes (hawar berdarah) ini tidak berlaku.
“Di kesempatan itu juga, saya nyatakan harapan supaya penternak ini dibantu,” jelas Timbalan Menteri MOSTI itu.
Ahmad Amzad turut mengingatkan penternak di negeri ini agar mengambil perhatian dan cakna terhadap haiwan ternakan masing-masing.
Ini kerana katanya, penyakit hawar berdarah ini sangat merbahaya kepada haiwan ternakan.
“Penyakit ini cepat merebak dan saya minta para penternak lain supaya memantau haiwan masing-masing dengan baik. Jadi, jika perlu kuarantin dan sebagainya ikutlah arahan tersebut,” ujarnya.
17 Sep 20
2135
Lebih 5,000 Bekas Bubur Asyura Diagihkan DUN Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 17 September – Dianggarkan lebih 5,000 bekas bubur Asyura telah diagihkan kepada masyarakat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk menerusi Program Kacau Bubur Asyura Perdana Peringkat DUN berkenaan, semalam.
Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu telah dijalankan secara serentak oleh 21 buah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam kawasan terbabit.
“Apa yang penting dalam membuat bubur Asyura ini ialah semangat kerjasama dan muafakat yang ditonjolkan antara petugas dalam menyiapkan bubur Asyura ini.
“Sekiranya dalam perkara kecil ini kita dapat bermuafakat, lebih-lebih lagi apabila muafakat yang melibatkan perkara besar seperti perjuangan menegakkan Islam dan perjuangan menjaga hak umat Islam,” kata ADUN Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi ketika turun meninjau perjalanan program tersebut di setiap MPKK.
17 Sep 20
322
Fun Ride : Bina Budaya Sihat Dan Cintai Alam
KUALA NERUS, 17 September - Seramai 350 peserta telah menyertai program kayuhan Malaysia Day Ride 2020 sejauh 33 Kilometer bermula di Kompleks Sukan Negeri Terengganu semalam.
Aktiviti berkenaan dianjurkan Tepoh Cakna Cycling Team (TCCT) dengan kerjasama Pejabat Daerah Kuala Nerus, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Terengganu Inc. TSG.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, ia merupakan usaha memupuk semangat kesukanan dan gaya hidup sihat di kalangan masyarakat.
"Di samping itu, ini jua adalah peluang untuk peserta menikmati alam dan suasana persekitaran menerusi jelajah perkayuhan ini," ujarnya semasa program berlangsung.
Beliau yang juga Penaung Kelab TCCT berkata, penganjuran program itu juga bagi menyuntik dan menimbulkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar.
"Seawal kayuhan sehingga ke garisan penamat, kita akan melihat persekitaran laluan kita. Sudah tertentu kita akan berfikir sesuatu apabila melihat persekitaran kita dipenuhi dengan sampah sarap.
"Pastinya apa yang kita lihat dengan tanggungjawab akan mencetus satu rasa semangat untuk lebih bertanggungjawab selepas ini.
"Kita perlu membentuk masyarakat supaya menjadi golongan yang lebih prihatin menjaga alam sekitar dan menerapkan budaya berdisiplin, khususnya ketika berada di jalanraya," jelasnya.
Terdahulu, acara perlepasan peserta kayuhan disempurnakan Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu.
17 Sep 20
203
ADUN Alur Limbat Bantu Pak Khamis
KUALA TERENGGANU, 16 September -
"Saya berasa lega dan terharu apabila ada pihak yang tampil memberikan sumbangan bagi membiayai kos menanam bangkai kerbau," kata Khamis Jusoh.
Katanya, dia memperuntukkan lebih RM300 sehari untuk menyewa jengkaut bagi menanam bangkai kerbau dikandangnya itu.
Khamis berkata demikian ketika ditemui ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat Ariffin Deraman yang juga Exco Kerajaan Negeri Terengganu di Kampung Kubang Bujuk, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ariffin berkata kerajaan negeri juga akan menyalurkan bantuan melalui Tabung Bencana untuk meringankan urusan keluarga itu.
Sehingga pagi tadi, 50 kerbau milik Pak Khamis, 64, mati termasuk 'Semek', yang paling disayangi anaknya Muhammad Syukur, 15, atau lebih dikenali sebagai 'Mowgli Malaysia'.
Syukur mula terkenal apabila gambar-gambar yang menampilkan kemesraannya dengan lebih 100 kerbau peliharaan
keluarganya tular, selain gambar itu turut tersenarai sebagai antara 20 yang terbaik dunia.
17 Sep 20
804
Pertandingan Inovasi Beca Terengganu Cetusan Nostalgia Zaman Persekolahan
KUALA TERENGGANU, 17 September- Pertandingan Inovasi Beca Terengganu Secara Dalam Talian yang dianjurkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hasil cetusan idea Timbalan Menteri MOSTI, Ahmad Amzad Mohamed yang mengimbau nostalgia zaman persekolahan.
Katanya, kenderaan beroda tiga itu merupakan pengangkutan yang selesa dan mengujakan.
"Semasa saya bersekolah rendah sekitar 1970an, saya berulang alik setiap hari ke Sekolah Rendah Tengku Bariah menaiki beca arwah Pok Jaapor. Naik beca arwah Pok Wel 1978-1982 ke Sekolah Pusat Chabang Tiga.
"Pok, tolong hantar saya nok gi pasor payang. Singgah bank dulu, pastu postopih (pejabat pos). Habis pasor payang nok round round (bersiar siar) dalam bandor dulu. Karang ator ah saya balik steseng bas," tulisnya seperti yang dipetik dalam laman Facebook beliau.
Katanya, pengangkutan ringkas dan mudah begini akan tetap menarik dan kekal relevan di masa hadapan sebagai penghubung antara suatu lokasi ke lokasi khususnya di dalam bandar.
"Saya kerap menyantuni penarik beca di Kuala Terengganu yang rata-rata sudah berumur 70an. Orang muda tak minat. Kerja letih.
"Ia perlu diinovasikan semula. Jadikan menarik, senang, selesa, tak perlu guna tulang empat kerat.
"Kerana itu saya telah minta MOSTI anjurkan Pertandingan Inovasi Beca Terengganu secara dalam talian ini," ujarnya.
Amzad berkata, diharapkan dengan adanya pertandingan tersebut akan muncul idea menarik, berdaya maju yang bakal menjadikan pengangkutan beca mempunyai nilai komersial yang lebih berpotensi selain tarikan pelancongan.
"Mungkin guna teknologi solar, bateri, punya wifi, atau skrin pilihan destinasi, mainkan lagu lagu menarik selang seli lagu identiti Terengganu seperti Teganung Kiter. Masih kekal beroda tiga.
"Mungkin nanti ada perkhidmatan beca sebegini yang berulang alik hantar pengunjung dari Pasar Payang ke Menara Drawbridge," katanya.
Difahamkan, pertandingan tersebut menawarkan hadiah yang cukup lumayan di mana Rekaan Terbaik akan ditawarkan Geran Pembangunan Maksimum RM200,000 dibawah Program Berimpak Tinggi 6 (HIP 6) manakala 10 pemenang saguhati akan menerima Wang tunai RM1,000.
Maklumat Lanjut di: http://iic innomap.my dan tarikh tutup penyertaan pada 20 September ini.
16 Sep 20
1189