Artikel "Semasa" Terkini
MPKK Jabi Gotong-Royong Baiki Pondok Polis
SETIU, 22 September – Pondok polis Jabi yang terjejas akibat dibadai ribut pada Khamis lalu mendapat perhatian Dr Azman Ibrahim apabila satu aktiviti gotong-royong dijalankan semalam bagi membaiki kerosakan terbabit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu berkata, inisiatif berkenaan diambil bagi mengekal dan meningkatkan jalinan baik antara pihak berkuasa dan komuniti.
"Polis dan masyarakat berpisah tiada. Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jabi bergotong-royong baik pulih atap Pondok Polis Jabi yang rosak dalam kejadian ribut khamis lepas.
"Sekadar sumbangan kecil kami berbanding besarnya pengorbanan anggota keselamatan sehingga kami mampu tidur lena di malam hari. Semoga dengan usaha ini dapat memberikan keselesaan untuk terus berkhidmat. Terima kasih semua,’’ katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Dalam kejadian ribut terbabit, sekitar 30 buah rumah di Jabi, kedai serta tanaman padi turut terjejas dan akan diberikan bantuan secara berperingkat.
22 Sep 20
829
ADUN Jabi Agih RM3,000 Kepada Masjid, MPKK
SETIU, 22 September – Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi mengagihkan sumbangan secara ‘one-off’ sebanyak RM3,000 kepada 37 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan 22 masjid di seluruh DUN terbabit.
ADUN Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, bantuan kepada setiap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berjumlah RM2,000 turut diberikan bagi merancakkan lagi perjalanan entiti itu.
Katanya, walaupun tiada peruntukan khusus untuk institusi-institusi tersebut, pihaknya tetap mengusahakan beberapa langkah supaya ia memberi manfaat kepada semua pihak.
"Kesemua 37 MPKK dalam DUN Jabi menerima sumbangan ‘one-off’ sebanyak RM3,000 dari Pejabat ADUN Jabi. Sebelum ini pun macam-macam peruntukan kita dah bagi berdasarkan keperluan.
"Kita tak ada suatu peruntukan khusus untuk masjid, PIBG atau MPKK. Dengan apa yang ada, kita atur dan agihkan sebaik mungkin agar sama dapat merasa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya lagi, pihaknya merupakan badan yang bertanggungjawab dalam memberi kemudahan kepada semua.
"Tahun ini tak ada mesyuarat agong PIBG. Untuk kesemua PIBG bagi 14 buah sekolah dalam DUN Jabi, kita salurkan sumbangan ‘one-off’ sebanyak RM2,000 di samping sumbangan berkala lain sebelum ini. Tak banyak tapi sama merasa," tambah beliau.
22 Sep 20
834
Pesara Jururawat Terus Berbakti Untuk Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 24 September – Seorang pesara jururawat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Fatimah Musa, 66, mengambil inisiatif mengadakan khidmat pemeriksaan kesihatan secara percuma di Masjid Sultan Ismail Chendering bagi membantu masyarakat.
Menurutnya, perkhidmatan tersebut telah mula dilaksanakan sejak tahun 2014 dengan bantuan pihak Masjid Sultan Ismail Chendering yang menyediakan tempat dan beberapa peralatan.
“Di sini, kita sediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan asas seperti tekanan darah, pemeriksaan BMI dan tekanan gula dalam darah. Ini mendapat sambutan menggalakkan dari kalangan jemaah.
“Tambahan pula, sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dimulakan, sambutan bagi pemeriksaan kesihatan ini semakin menggalakkan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika kunjungan isteri Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, Dr Farhaana Husainy Hasbullah bagi meninjau perjalanan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan tersebut.
Perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma itu diadakan pada setiap hari Isnin bermula pukul 8.00 pagi sehingga 10.30 pagi sekali gus menjadi nilai tambah kepada pengurusan masjid.
Dr. Farhaana mengunjungi tempat pemeriksaan kesihatan di Masjid Sultan Ismail Chendering
22 Sep 20
364
Kuih Akok Chalok Sedap 'Terlajok'
SETIU, 22 September - Keenakan kuih akok di Kampung Chalok Kedai antara yang menjadi tumpuan dan dinanti-nantikan ramai pelanggan setiap hari.
Pengusaha kuih akok D' Kubur, Sarifah Yaacob berkata, punca rezeki itu pada mulanya diusahakan ibu dan kakaknya sebelum dia bersama suaminya, Osmera Omar, 46, mengambil alih perniagaan tersebut sejak tiga tahun lepas.
"Setiap hari kita mampu membuat jualan sebanyak 500 biji sehari dan ditambah dengan jualan kuih lain menjadikannya sebanyak 800 biji.
"Bagi memenuhi permintaan pelanggan, setiap hari kira-kira 700 hingga 800 biji telur akan digunakan untuk membuat adunan, sekiranya hari cuti jumlah yang digunakan akan bertambah kerana jumlah pelanggan juga meningkat," kata Sarifah, 46, ketika ditemubual oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di sini hari ini.
Osmera Omar menuangkan adunan kuih akok ke dalam acuan yang dibakar menggunakan dapur arang.
Katanya, setiap hari mereka berdua akan bangun seawal jam 4 pagi bagi penyediaan kuih akok untuk dijual kepada pelanggan.
"Kami memasak atau membakar kuih ini dengan menggunakan dapur supaya keaslian aromanya tidak hilang," jelasnya.
Selain akok, mereka turut menjual kuih bahulu, cara, bingka kelapa, bingka ubi kayu dan kuih bakar pandan, jualan bermula jam 10 pagi hingga habis.
Tambahnya lagi, nama kedai Kuih Akok Chalok D' Kubur diambil sempena lokasi kedai yang betul-betul selepas Tanah Perkuburan Islam Chalok Kedai.
Mereka yang berminat membuat tempahan boleh menghubunginya di talian 012-4687021.
Sarifah Yaacob menunjukkan kuih akok yang telah siap.
22 Sep 20
4009
Amzad Sokong Cadangan Penuaian Air Hujan KASA
KUALA TERENGGANU, 21 September- Rakyat Malaysia disaran sentiasa ke hadapan dan terbuka menerima teknologi terkini melalui pelbagai cara daripada pembacaan, pengajian, latihan dan kursus atas talian.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim berkata secara peribadi beliau menyokong kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai penuaian air hujan serta menyambut baik cadangan KASA bagi melestarikan penggunaan air selari dengan usaha Sustainable Development Goals anjuran United Nations (UN-SDG 2030) ke arah Positive Carbon Footprint.
“Pelbagai kajian dalam negara dan pelaksanaan di luar negara menunjukkan keberkesanan dan kelestarian penuaian air hujan.
“Antara contoh penuaian air hujan di luar negara ialah pelaksanaan di Frankfurt Airport dan London Olympic Park,” ujarnya dalam satu kenyataan media, semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu menjelaskan, pelaksanaan dan kajian dalam negara telah dibuat oleh Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan (NAHRIM) melalui projek Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) semenjak tahun 2008 lagi.
Menurutnya, Universiti-universiti tempatan seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) juga telah banyak menjalankan kajian untuk memaksimakan teknologi penuaian air hujan bagi kegunaan domestik, industri dan pertanian.
“Ini kerana, ia merupakan antara inisiatif terbaik untuk kelestarian alam bagi generasi akan datang.
“Saya juga menyokong penuh cadangan Yang Berhormat (YB) Menteri Alam Sekitar dan Air (Dato’ Seri Tuan Ibrahim), mengenai penuaian air hujan dan seterusnya mencadangkan, kita mengukuhkan pelaksanaan dalam negara dengan menggunakan teknologi tempatan yang telah tersedia,” ujarnya.
22 Sep 20
261
Empower ECER Bantu Lonjak Potensi Perniagaan
SETIU, 22 September - Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Empower ECER merupakan antara agenda terpenting kerajaan bagi melonjakkan potensi perniagaan setiap usahawan.
Pengerusi TEKUN Nasional,Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, program bagi Pembangunan Usahawan Setiu yang dijalankan bersama Perkeso, KWSP, MARA dan Amanah Ikhtiar akan mewujudkan ekosistem keusahawanan positif.
"Ia juga dapat menggalakkan peserta di bawah program Empower ECER berniaga secara formal dan menguruskan perniagaan lebih efektif. Di samping itu, program ini dapat mendedahkan para peserta dengan situasi sebenar perniagaan mengikut kesesuaian setempat.
"Program empower ECER merupakan sebuah program pembangunan modal insan serampang dua mata oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai penyedia perkhidmatan dalam memberi bimbingan dan latihan kepada semua peserta empower ECER golongan B40 dari pelbagai peringkat umur," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi taklimat dan pendaftaran program terbabit di Dewan Teater, Kolej Universiti Bestari, Pak Kancil, Setiu di sini semalam.
Katanya, kesemua peserta empower ECER yang telah hadir untuk menyertai program tersebut telah mendapat pelbagai manfaat untuk membangunkan lagi perniagaan mereka.
"Program bersama agensi ini turut dijalankan di tujuh kawasan di bawah seliaan UiTM iaitu di Setiu, Marang, Gua Musang, Kuala Krai, Machang, Tumpat dan Pasir Mas. Program-program seumpama ini dapat dimanfaatkan oleh golongan B40 untuk terus berusaha dan seterusnya meningkatkan taraf ekonomi mereka," tambah beliau.
21 Sep 20
308
18 Kawah Bubur Asyura Dipertandingkan, Rebut Gelaran Juara
SETIU, 21 September - Sebanyak 18 kawah berentap bagi merebut gelaran juara dalam acara memasak bubur Asyura bagi peringkat daerah Setiu tahun ini.
Pegawai Daerah Setiu, Mohd Sophian Abu Bakar berkata, program yang melibatkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) itu dipilih daripada sembilan mukim seluruh daerah.
"Dalam situasi PKP yang masih berjalan ketika ini, urus setia terpaksa hadkan penyertaan bagi mengelakkan berlaku kesesakan di tapak program," katanya ketika ucapan penutup pertandingan tersebut semalam.
Dalam pertandingan berkenaan, MPKK Seri Kenangan dalam Mukim Hulu Nerus 1 dinobatkan sebagai juara dengan memperoleh markah sebanyak 85.5 peratus menyaksikan mereka membawa pulang wang tunai sebanyak RM700.
Manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing disandang oleh MPKK Panchur Merah, Mukim Guntung dan MPKK Bukit Maksom, Mukim Chalok.
Bubur asyura turut diedarkan kepada pengguna jalan raya yang melalui Depo Pejabat Daerah dan Tanah Setiu yang diserahkan sendiri oleh Pegawai Daerah Setiu, Pegawai Penyelaras DUN Langkap dan Permaisuri serta Ketua-Ketua Jabatan.
21 Sep 20
296
Giatkan Pembersihan Setempat, Cegah Pembiakkan Aedes
DUNGUN, 24 September - Masyarakat digesa untuk menggiatkan serta memberi penekanan kepada aspek penjagaan kebersihan setempat dengan mengamalkan amalan gotong-royong bagi mencegah
pembiakkan nyamuk aedes.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, masyarakat sedia maklum kes denggi akan semakin meningkat jika masalah kebersihan tidak dibendung.
"Kita sudah tahu berkenaan penyakit yang kian menular sekarang, jangan tunggu sehingga musibah menimpa keluarga kita baru hendak ambil tindakan. Ini adalah kediaman anda, maka jagalah kebersihan
dan keselamatannya," katanya ketika ditemukan di Pejabat Ahli Parlimen Dungun, di sini kelmarin.
Wan Hassan berkata, kebiasaannya peningkatan kes denggi di sesuatu kawasan adalah berpunca daripada sikap individu itu sendiri yang kurang menjaga kebersihan persekitaran rumahnya.
"Berapa ramai di antara kita yang prihatin menjaga kebersihan persekitaran.
"Tidak perlu pergi terlalu jauh, cuba perhatikan di kediaman kita, rumah kita, pasti ada yang kita terlepas pandang, sebagai contoh air yang bertakung pada bekas yang tidak digunakan,bekas tong, kolah, pasu dan lain lain," katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau mahu komuniti setempat bersama mengambil sikap cakna ataupun bertanggungjawab untuk menjaga persekitaran melalui aktiviti gotong-royong.
"Aktiviti gotong-royong tidak bermakna mendapatkan orang luar untuk datang membersihkan kawasan kediaman kita. Ia bermaksud ahli masyarakat sesuatu tempat bekerja bersama untuk menjaga
kebersihan tempat itu," katanya.
Beliau turut menyatakan harapan supaya para ibu bapa mendidik anak-anak mereka sejak kecil lagi mengenai kepentingan menjaga kebersihan.
21 Sep 20
79
Tukang Masak Masuk Besi Dapat Perhatian Dr. Khairuddin
KUALA NERUS, 20 September - Tukang masak, Afiq Izzuddin Abdullah, 20, yang patah tulang peha kerana kemalangan baru-baru ini mendapat perhatian Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam program ziarah Cakna Kuala Nerus baru-baru ini.
Afiq kini dalam proses untuk melakukan pembedahan kali kedua bagi memasukkan besi.
Menurut bapanya, Abdullah Mohd, anaknya juga tidak mendapat apa-apa bantuan termasuk perlindungan keselamatan sosial PERKESO walaupun sudah 3 tahun bekerja.
Berikutan itu, Dr Khairuddin telah memberikan sumbangan bagi mengurangkan kos yang ditanggung keluarga Afiq.
"Saya juga menasihatkan dan menyarankan orang ramai yang bekerja supaya membuat caruman Perlindungan Keselamatan Sosial PERKESO untuk jaminan masa akan datang," katanya semasa aktiviti ziarah terbabit.
Turut bersama dalam program ziarah tersebut, Setiausaha Politik, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin dan Pengerusi MPKK Tok Jiring, Ustaz Muzaihar Kamal Mustapa Kamal.
21 Sep 20
357
Pesawah Terjejas Ribut Akan Dibantu
BESUT, 21 September – Kerajaan Terengganu akan membantu pesawah di negeri itu yang terjejas akibat ribut beberapa hari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya kini sedang mengumpulkan data lengkap bagi kerosakan dialami kira-kira 160 orang pesawah.
"Setakat ini, kawasan sawah yang terlibat ialah seluas 97.2 hektar, melibatkan daerah Besut dan Setiu.
"Ia membabitkan kawasan seluas 82.2 hektar sawah padi di bawah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA KETARA) dan selebihnya terletak di luar kawasan jelapang tersebut.
"Kerugian keseluruhan setakat ini dianggarkan berjumlah RM567,000 yang dikira berdasarkan potensi hasil dan harga pasaran semasa bagi satu tan hasil padi," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan tanaman padi yang terjejas di baruh Gong Telikong, Jabi dan baruh Kampung Dengir, Kuala Besut, di sini semalam.
Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, selain berusaha mendapatkan bantuan kerajaan pusat, kerajaan negeri juga akan menyalurkan bantuan menerusi Tabung Bencara Pertanian Negeri
Sementara itu, salah seorang petani, Ab Halim Zakaria, 41, berkata kerugian yang dialaminya pada musim ini kira-kira RM12,000 melibatkan seluas dua hektar di Kampung Dengir setelah tanamannya rosak dilanda ribut pada 3.30 petang, Khamis lepas.
“Padi yang saya tanam sepatutnya dah boleh dituai dalam tempoh 10 hari lagi namun ia tidak menjadi kenyataan apabila musnah dipukul ribut,” katanya.
21 Sep 20
1621