lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Hobi Memburu Bertukar Tragedi
Hobi Memburu Bertukar Tragedi
DUNGUN,7 Oktober - Mohd Suhaimi Damuri tidak menyangka hobinya memburu di hutan bertukar menjadi tragedi apabila ditembak rakan sendiri yang menyangkakan dirinya kijang dalam kejadian seminggu lalu di Hutan Besul. Katanya, akibat peristiwa itu dia telah dimasukkan ke hospital selama seminggu bagi menerima rawatan. "Kejadian itu disedari ketika sedang memasang jerat, saya terdengar bunyi tembakan yang sangat hampir dan tiba-tiba saya merasa sakit di badan. "Kejadian itu berlaku pada 25 September yang lalu, seminggu juga saya menerima rawatan di hospital dan mendapat kecederaan di bahagian pinggul dan serpihan peluru terkena di bahagian tulang belakang. "Kini terpaksa kerap juga ke klinik berhampiran bagi mendapatkan rawatan susulan," ujarnya. Mohd Suhaimi berkata demikian ketika diziarahi  Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman di kediamannya semalam. Ghazali berharap Suhaimi akan segera pulih bagi meneruskan kehidupannya seperti biasa dan bersimpati diatas nasib yang menimpa dirinya. Terdahulu Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata kejadian tertembak rakan itu telah membawa kepada penahan dua lelaki bagi membantu kes siasatan. "Kedua-dua suspek penduduk tempatan. Suspek pertama mengaku dia dipanggil suspek kedua ke tempat kejadian untuk membantu mangsa yang cedera ketika memburu dalam Hutan Simpan Besul. Kedua-dua suspek tiada rekod jenayah lampau," katanya. Beliau turut menyatakan bahawa suspek mengaku masuk ke hutan berkenaan adalah untuk memburu kijang di kawasan hutan terbabit tanpa mempunyai niat bagi menembak mangsa, kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.
07 Oct 20
9428
Beri Penekanan Serius Terhadap SOP Pelancongan - Ariffin Deraman
Beri Penekanan Serius Terhadap SOP Pelancongan - Ariffin Deraman
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Para penggiat industri pelancongan Terengganu diingatkan supaya memberi penekanan serius terhadap pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dalam mengendalikan pelancong bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri Ariffin Deraman berkata kerajaan negeri  juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam memastikan semua penggiat industri pelancongan terus melaksanakan SOP kepada pelancong. “Saya menyeru semua yang terlibat dalam aktiviti pelancongan seperti pengusaha hotel dan resort, homestay, agensi pelancongan, agensi selaman, pemandu pelancong memberi penekanan terhadap (SOP) dalam mengendalikan pelancong di negeri ini. "Semua pihak terlibat perlu serius dalam memastikan isu-isu yang melibatkan kesihatan dan keselamatan pelancong di Terengganu menjadi keutamaan. Antara langkah pencegahan yang perlu diambil oleh pemain industri (pelancongan) adalah dengan memastikan pengunjung wajib mendaftar menerusi sistem aplikasi MySejahtera, Masuk.la, dan CHaSe Covid-19 yang akan memudahkan pengesanan maklumat pelancong yang berkunjung ke negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam. Dalam pada itu, Ariffin berkata, sektor pelancongan Terengganu antara yang pertama pulih selepas gelombang pertama dan kedua COVID-19 dengan jumlah kehadiran pelancong ke negeri ini mencatatkan peningkatan begitu memberangsangkan berbanding tempoh sama tahun lalu. Beliau berkata beberapa destinasi pelancongan di negeri ini turut mencatatkan peningkatan jumlah pelancong termasuk Pulau Redang yang menerima kedatangan 25,004 pelancong pada Ogos lepas berbanding hanya 11,640 pelancong pada bulan yang sama tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 114.8 peratus. Pada Ogos lepas juga Pulau Perhentian mencatatkan 41,420 pelancong berbanding 13,940 pelancong pada Ogos 2019 (kenaikan 197.13 peratus) dan Zoo Kemaman merekodkan 28,740 pengunjung berbanding 6,852 pengunjung pada Ogos 2019 (kenaikan 319.4 peratus). Bagi bulan yang sama, Taman Tamadun Islam mencatatkan 95,878 pengunjung berbanding 69,783 orang pada Ogos tahun lepas (kenaikan 37.4 peratus) manakala Lata Kolam Air Deru Ecopark menerima 23,956 pengunjung berbanding 16,006 pengunjung pada Ogos 2019 (peningkatan 49.67 peratus).- BERNAMA.  
06 Oct 20
307
Isteri MB Ziarah Mangsa Musibah Kebakaran
Isteri MB Ziarah Mangsa Musibah Kebakaran
MARANG, 6 Oktober - Isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman sempat ziarah dua keluarga yang ditimpa musibah kebakaran di Bukit Payong, di sini. Ziarah tersebut diadakan sebaik sahaja, isteri Menteri Besar itu selesai dari tempoh kuarantin selama dua minggu yang berakhir pada hari ini. Menurutnya, salah seorang mangsa musibah kebakaran yang dikunjungi adalah merupakan rakan sekolahnya dulu. "Terasa sayu hati apabila melihat sisa-sisa dan keadaan rumah akibat dari kebakaran tersebut, dan saya mendoakan agar urusan mereka dipermudahkan selepas ditimpa ujian kesukaran ini. "Saya juga merasa amat bersyukur dengan nikmat kesihatan yang dikurnikan oleh Allah SWT setelah dikuarantin kerana masih berpeluang untuk bersama-sama menziarahi mereka yang ditimpa musibah ini."katanya. Beliau berkata melalui perkongsian facebook rasmi miliknya sebaik sahaja selesai program ziarah tersebut. Sedikit sumbangan juga turut diberikan kepada mangsa kebakaran bagi meringankan beban yang dialami. Turut hadir adalah, isteri kepada YB Ustaz Mohd Nor Hamzah yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Payong iaitu Ustazah Zainun Abd Wahab .
06 Oct 20
947
COVID-19 : Solat Hajat Seluruh Terengganu Malam Ini
COVID-19 : Solat Hajat Seluruh Terengganu Malam Ini
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Seluruh masjid dan surau di Terengganu diminta untuk mengadakan solat hajat selepas solat isyak hari ini sebagai ikhtiar bagi menghadapi ancaman wabak COVID-19 yang kembali meningkat. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, orang ramai yang tidak berkesempatan ke masjid dan surau juga digalakkan solat hajat di kediaman masing-masing. “Solat hajat ini dibuat bagi memohon pertolongan ALLAH SWT agar segera mengangkat wabak dan malapetaka dari bumi ini. "Saya menyeru pada semua rakyat di Terengganu untuk mengambil langkah penjagaan diri, anggota keluarga dan orang yang di bawah jagaan mereka ketika berdepan dengan ancaman pandemik. "Semoga Allah S.W.T melindungi kita semua," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
06 Oct 20
2068
COVID-19 Kembali Menular, Rakyat Terus Dibantu
COVID-19 Kembali Menular, Rakyat Terus Dibantu
SETIU, 6 Oktober - Penularan pandemik COVID-19 sejak akhir-akhir ini tidak menghalang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi untuk turun padang untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat kurang berkemampuan.  Dr Azman Ibrahim berkata, rentetan penangguhan program rasmi kerajaan membuka peluang untuk menumpukan perkhidmatan sepenuhnya di DUN tanpa meminggirkan tanggungjawab sebagai Exco kerajaan negeri. "Setakat ini, program rasmi kerajaan yang melibatkan rakyat umum ditangguhkan untuk suatu tarikh yang ditentukan kerana penularan kembali pandemik COVID-19. Namun, perkhidmatan kita kepada rakyat tetap berjalan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepenuhnya. "Program menyantuni kebajikan rakyat tidak boleh tertangguh. Apa pun situasi yang berlaku, rakyat adalah keutamaan," katanya selepas menziarahi penduduk di beberapa kampung sekitar DUN Jabi, semalam. Menurutnya, hasil turun padang itu terdapat beberapa orang telah dikenalpasti tidak menerima apa-apa bantuan daripada mana-mana agensi. Ujarnya, tindakan segera untuk membuat permohonan telah dijalankan bagi membantu mereka terutama warga emas, orang berpenyakit dan Orang Kurang Upaya (OKU).  "Untuk berjumpa dengan rakyat kita, pergilah ke tempat di mana mereka berada. Secara umumnya, tidak sampai 10 peratus pun orang yang akan cari wakil rakyat untuk sesuatu urusan.  "Andai kita tunggu rakyat mari pejabat, itulah lebih kurang gambarannya. Fungsi dan peranan kita tak akan menyeluruh.  Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, melahirkan rasa bibang atas peningkatan kes COVID-19 yang berlaku di seluruh Negara.  "Saya sangat bimbang dan berdoa agar pergerakan rakyat untuk cari rezeki tidak kembali tersekat seperti awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu. Saya memahami dalam situasi sekarang ramai rakyat marahkan pemimpin lantaran penularan semula COVID-19. Itu hak rakyat dan inilah harga yang perlu dibayar atas apa sahaja tindakan kita sebagai pemimpin.  "Saya akur dan memohon maaf atas sebarang kekhilafan yang berlaku walau saya tak termasuk dalam senarai pemimpin politik yang balik dari Sabah. Teruskan mematuhi SOP bagi mengekang penularan ini," tambah beliau.
06 Oct 20
363
JHEAT Ditutup Sementara Untuk Sanitasi
JHEAT Ditutup Sementara Untuk Sanitasi
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober- Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) ditutup sementara bagi memberi laluan kepada proses sanitasi dan pencegahan awal COVID-19, di kawasan berkenaan. JHEAT dalam satu kenyataan menerusi laman rasmi Facebook jabatan itu memaklumkan, kesemua operasi kaunter dan khidmat pelanggan kelolaan jabatan itu ditangguhkan, bermula hari ini hingga esok. “Untuk makluman semua, bangunan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu dan Pejabat Agama Daerah Kuala Nerus di Kompleks Seri Iman akan disanitasi pada Selasa, 6 Oktober. “Sehubungan itu, segala urusan kaunter dan pelanggan di tiga jabatan di atas tidak akan beroperasi buat sementara waktu dan semua pegawai serta kakitangan diarahkan untuk bekerja dari rumah,” menurut kenyataan itu. Urusan kaunter dan khidmat pelanggan akan beroperasi semula seperti biasa pada 7 Oktober (Rabu). “Segala kesulitan tuan puan dalam perkara ini amat dikesali dan didoakan semoga kita semua terhindar dari segala wabak penyakit yang tidak diingini,” ujar kenyataan tersebut.  
06 Oct 20
9034
Dr Zulkifli Positif COVID-19, Mohon Doa Semua
Dr Zulkifli Positif COVID-19, Mohon Doa Semua
KUALA LUMPUR, 5 Oktober - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini mengesahkan beliau positif COVID-19 dan kini sedang menjalani rawatan. Beliau bagaimanapun berkata, kesihatannya berada dalam keadaan baik ketika ini. “Saya menyeru orang ramai yang menghadiri majlis melibatkan kehadiran saya dari 24 September hingga 4 Oktober agar menjalani pemeriksaan saringan COVID-19 di mana-mana klinik kesihatan segera. “Saya berdoa semoga Allah sembuhkan dan selamatkan rakyat Malaysia daripada COVID-19. Insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya Dr Zulkifli turut memohon maaf atas sebarang bentuk kelemahan dan kekurangan dirinya, namun menegaskan program yang diatur akan tetap diteruskan pihaknya. “Insya-Allah, bantuan Mus’adah Khas Siswa Siri 2 yang saya janjikan semalam kepada siswa yang terkandas, tetap akan diteruskan oleh agensi agama bawah saya. “Program Musa’adah Covid-19 yang diaturkan, akan terus dijalankan seperti biasa di seluruh Malaysia. Masih ramai memerlukan bantuan kewangan, barangan asas, makanan dan lain-lain dalam tempoh getir ini,” katanya.
05 Oct 20
987
Selamatkan Lapisan Ozon Tanggungjawab Bersama
Selamatkan Lapisan Ozon Tanggungjawab Bersama
KEMAMAN, 5 Oktober - Kerajaan negeri komited melaksanakan pelbagai program sempena sambutan Hari Ozon sedunia yang disambut pada 16 September setiap tahun. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, program ini bagi menyebar luas kesedaran dan komitmen melindungi lapisan ozon di seluruh negara. Katanya, program-program ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama agensi-agensi yang berkaitan  bagi mewujudkan persekitaran yang sihat. “Antara program yang berteraskan kelestarian alam sekitar telah dirancang dan dilaksanakan di negeri Terengganu seperti hari bumi, hari alam sekitar sedunia (WED), Kem Kesedaran Alam Sekitar di Tasik Kenyir dan banyak lagi. “Program alam sekitar ini akan dijalankan secara berterusan sehingga awal November 2020 yang melibatkan semua peringkat lapisan masyarakat dengan kerjasama strategik pelbagai pihak,”katanya.  Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Ozon Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di Kelab Golf Petronas, Kertih, hari ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri, Ramli Abd Rahman dan Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abd. Rahman. Tambah Dr. Alias, penggunaan bahan kimia secara berlebihan seperti Kloroflurokarbon (CFC) dan seumpamanya adalah bahan utama dikenalpasti sebagai penyebab fenomena penipisan lapisan ozon. ”Akibat daripada tangan-tangan manusia yang mengabaikan  kesedaran mengenai kepentingan penjagaan lapisan ozon maka kesannya akan dirasai oleh semua penduduk bumi,” tegasnya. Justeru itu, beliau berkata segala usaha yang dijalankan ini dapat menyemaikan rasa kecintaan rakyat Malaysia dalam menjaga kelestarian alam sekitar secara menyeluruh dan kesejahteraan, kualiti hidup rakyat terus terpelihara. “Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada urusetia dan kakitangan JAS Terengganu, Petronas Pantai Timur, agensi-agensi kerajaan serta semua pihak yang terlibat menjayakan majlis ini,” ujarnya.
05 Oct 20
674
Lagi Dua Sekolah Di Terengganu Ditutup Angkara COVID-19
Lagi Dua Sekolah Di Terengganu Ditutup Angkara COVID-19
KEMAMAN, 5 Oktober - Dua sekolah dalam daerah Kuala Nerus ditutup akibat penularan kes baharu koronavirus (COVID-19). Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata dua sekolah berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Seberang Takir dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir. Katanya, ia susulan terdapat pelajarnya disahkan postif COVID-19 yang mempunyai kontak rapat dengan salah seorang kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang juga disahkan positif  sebelum ini. "Kedua-dua sekolah ditutup bermula hari ini sehingga 11 Oktober. "Kita sedang mengesan kontak rapat pelajar berkenaan untuk  menjalani ujian calitan (swab test) sebagai langkah berjaga-jaga dan diarahkan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di rumah," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Sambutan Hari Ozon Negeri Terengganu 2020 di Kelab Golf & Rekreasi PETRONAS, Kertih. SMK Kompleks Seberang Takir mempunyai seramai 765 pelajar dan 82 guru manakala SK Kompleks Seberang Takir mempunyai 817 murid dan 63 guru. Terdahulu, Sekolah Kebangsaan Padang Kemunting di Kuala Nerus ditutup sementara bermula 2 Oktober selepas seorang guru yang merupakan kontak rapat kepada pesakit yang pulang dari Sabah disahkan positif COVID-19. Ia termasuk sebuah taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) di Al Muktafi Billah Shah, Bukit Besi, yang ditutup bermula 30 September selepas seorang kakitangannya didapati positif pandemik berkenaan. Sementara itu, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) juga ditutup sementara bermula hari ini hingga 7 Oktober  selepas seorang kakitangannya disahkan positif COVID-19
05 Oct 20
17995
PKM Baik Pulih Dan Bina Baru Rumah Mangsa Kebakaran
PKM Baik Pulih Dan Bina Baru Rumah Mangsa Kebakaran
MARANG. 5 Oktober - Ekoran daripada kejadian kebakaran di Kampung Kijing, baru-baru ini, sebuah rumah telah hangus terbakar keseluruhan manakala sebuah rumah lagi rosak di bahagian dinding dan atap akibat tempias daripada bencana itu. Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang telah turun membantu menyalurkan bantuan bina baru rumah dan baik pulih rumah yang rosak sejak dari awal bencana itu berlaku. PKM dan JKM menyerahkan bantuan kepada Ahmad Lotfi, mangsa rumah terbakar Pegawai Khas PKM Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, sejak dari awal kejadian kebakaran tersebut, pada malam itu juga PKM telah turun bersama-sama Jabatan Bomba Marang dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Kijing bagi melihat bantuan yang perlu disalurkan kepada mangsa yang terlibat. "Pada hari seterusnya, PKM telah membawa jabatan-jabatan terbabit, seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Marang, dan juga Jurutera Daerah daripada Jabatan Kerja Raya Daerah Marang untuk proses penilaian keselamatan penghuni rumah. "Mangsa rumah yang hangus terbakar, Ahmad Lotfi Abas telah menerima bantuan bina baru rumah daripada peruntukan bencana Tabung Darul Iman melalui laporan JKM. Proses penilaian untuk permohonan baik pulih rumah tempias kebakaran Menurutnya, rumah sewa bersebelahan yang terjejas akibat tempias kebakaran telah menerima bantuan baik pulih dari PKM, setelah proses penilaian keselamatan dan kos peralatan dilakukan. "Pemilik rumah sewa juga sepatutnya boleh memohon bantuan daripada MAIDAM, tetapi akibat beberapa kekangan yang berlaku, PKM mengambil inisiatif untuk memberi bantuan segera kerana bimbangkan keselamatan penghuni rumah." "Pada hari selepas kebakaran juga, sedikit bantuan kewangan telah diserahkan kepada mangsa kebakaran, bagi mengurangkan sedikit sebanyak beban yang ditimpa," ucapnya lagi. Kebakaran yang berlaku pada 27 September itu, dipercayai berlaku akibat litar pintas, walaubagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan. Turut hadir dan bersama-sama terlibat dalam menyampaikan bantuan adalah Pegawai Kebajikan Daerah Marang, Mardiah Mohamed.  
05 Oct 20
804