lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Nelayan Terima Bantuan Bina Baru Rumah LKIM
Nelayan Terima Bantuan Bina Baru Rumah LKIM
MARANG, 5 Oktober –  Seorang nelayan, Yusri Musa, 48, dari Kampung Kelulut kini mampu menarik nafas lega apabila bakal mendiami rumah lebih selesa. Rumah yang masih dalam pembinaan itu adalah inisiatif  Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bersama Pejabat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang yang mahu  golongan nelayan menikmati hidup lebih selesa. Yusri bersama keluarga  sebelum ini terpaksa tinggal di rumah yang agak daif dan serba kekurangan. Pengurus LKIM, Zainal Abiden Mohamad berkata, Yusri adalah salah seorang daripada dua orang penerima bina baru rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang melalui LKIM. Peruntukan untuk bina baru rumah yang berjumlah RM56,000 adalah bertujuan membantu nelayan melalui persatuan nelayan di mana pemohon di sekitar marang adalah seramai sembilan orang.   Tapak rumah bina baru milik Yusri Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, bantuan di bawah peruntukan ini merupakan satu nikmat yang sangat besar bagi mereka lebih-lebih lagi keluarga ini memang sangat memerlukan. "Di pihak pusat khidmat, kami akan sentiasa mencari jalan untuk membantu mereka yang memerlukan melalui jabatan-jabatan yang menyalurkan peruntukan bina baru rumah seperti ini. "Dalam kawasan Rhu Rendang, dua permohonan telah diluluskan, satu daripadanya adalah di Sungai Kerak di mana kita telah berusaha mengangkat permohonannya dan menyumbang bantuan untuk meratakan tanah serta meninggikan tapak tanah miliknya." Beliau berkata ketika selesai tinjauan proses bina rumah milik Yusri bersama-sama Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman. Sedikit sumbangan keperluan asas dan kewangan turut diserahkan kepada keluarga Yusri.  
05 Oct 20
945
REPSOL Sumbang Kit Keselamatan COVID-19
REPSOL Sumbang Kit Keselamatan COVID-19
KUALA TERENGGANU, 5 Oktober - REPSOL Oil & Gas Malaysia Limited telah menyumbang kit keselamatan COVID-19 kepada tujuh buah sekolah-sekolah rendah di sekitar Kuala Terengganu bagi mewujudkan keadaan pembelajaran yang selamat buat semua, baru-baru ini. Selaku wakil REPSOL Oil & Gas Malaysia Limited, Muhammad Suip, berkata, syarikat tersebut menitikberatkan tanggungjawab sosial syarikat terhadap komuniti-komuniti di mana ia beroperasi. "Oleh itu, kami telah mengatur inisiatif usaha pengumpulan dana di antara kakitangan dan juga dari syarikat REPSOL untuk membantu sekolah-sekolah menentang penularan pandemik ini.  "Kit keselamatan COVID-19 yang disumbangkan bertujuan membantu pihak sekolah memastikan persekitaran yang selamat bagi pelajar-pelajar, guru-guru dan kakitangan-kakitangan sekolah," katanya. Antara sekolah yang menerima sumbangan tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Serada, SK Paloh, SK Pulau Rusa, SK Durian Mas, SK Kebor Ayer, SK Pulau Manis dan SK Bukit Petiti. Sementara itu, setiap kit keselamatan yang disumbangkan mengandungi pendispen pembersih tangan automatik , dispensar pembersih tangan yang dipasang di dinding,  pengisian semula pembersih tangan, topeng pelindung muka untuk tenaga pengajar, topeng pelintup muka & hidung bersaiz kanak-kanak dan termometer tanpa sentuh.  Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan program kali ini. "Setinggi-tinggi tahniah daripada REPSOL kepada semua 'frontliners' termasuk Kementerian Kesihatan, doktor dan pasukan paramedik dan juga semua agensi-agensi awam, swasta serta semua yang terlibat yang terus melangkah dengan tabah untuk menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia walaupun risiko jangkitan wabak pada ketika itu adalah tinggi," tambahnya.  
05 Oct 20
1212
Kakitangan Positif COVID-19, UniSZA Ditutup
Kakitangan Positif COVID-19, UniSZA Ditutup
KUALA NERUS, 4 Oktober - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan ditutup sementara bermula esok hingga 7 Oktober ini selepas seorang kakitangannya disahkan positif COVID-19 semalam. Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, penutupan Kampus Gong Badak, Kampus Perubatan dan Kampus Besut itu juga bagi membolehkan proses disinfeksi dilakukan secara menyeluruh. Katanya, sebagai langkah kawalan pengurusan UniSZA turut memutuskan semua kakitangannya bekerja dari rumah. "Arahan ini melibatkan semua operasi pentadbiran, kecuali staf yang terlibat dalam perkhidmatan perlu (essential services) seperti keselamatan, kesihatan, kewangan, hal ehwal pelajar dan kolej kediaman tertakluk kepada kelulusan naib canselor. "Kebajikan pelajar yang masih berada di dalam kampus akan diuruskan oleh pihak universiti. "Sepanjang tempoh penutupan, pengajaran dan pembelajaran (PDP) tetap diteruskan seperti biasa secara dalam talian," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Hasan Basri. Menurutnya, staf yang disahkan positif terbabit mempunyai sejarah perjalanan dari Kuala Lumpur ke Terengganu dengan menaiki kapal terbang sama yang dinaiki oleh seorang individu yang pulang dari Sabah dan disahkan positif COVID-19. "Sejurus UniSZA mendapat maklumat itu, staf yang terlibat diarahkan membuat saringan segera di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan keputusannya positif. "Seramai 14 staf UniSZA telah dikenalpasti sebagai kontak rapat dan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan kuarantin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia," jelasnya. Tambah Hasan Basri, semua warga UniSZA yang mempunyai kontak dengan staf yang dikuarantin telah diarahkan menjalani kuarantin kendiri di rumah selama dua minggu bermula 2 hingga 15 Oktober ini bagi mengelakkan penularan.     
04 Oct 20
2152
Perkhidmatan Celcom Alami Gangguan
Perkhidmatan Celcom Alami Gangguan
  KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Celcom Axiata Berhad (Celcom) mengesahkan rangkaian telekomunikasi syarikat terbabit mengalami gangguan di seluruh negara susulan beberapa masalah teknikal. Disebabkan itu, jutaan pengguna syarikat terbabit tidak dapat mengakses Internet sejak tengah hari tadi. Namun, menerusi laman sosial syarikat terbabit, mereka memaklumkan perkara ini dijangka dapat diselesaikan secepat mungkin. Gangguan ini menjadi ‘trending’ di kalangan pengguna laman sosial dan ramai yang meluahkan rasa tidak puas hati disebabkan masalah berkenaan. Malah, ada antara pengguna Celcom kesal kerana mereka tidak dimaklumkan lebih awal mengenai gangguan berkenaan hingga berdepan kesukaran.
04 Oct 20
561
Buaya Seberat 70 Kilogram diserahkan kepada PERHILITAN
Buaya Seberat 70 Kilogram diserahkan kepada PERHILITAN
KUALA NERUS, 4 Oktober- Buaya sepanjang 2.3 meter yang ditangkap di Sungai Kampung Ladang Sentosa, Tepoh, semalam selamat diserahkan kepada pihak PERHILITAN untuk tindakan lanjut. Pengarah Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman menjelaskan, buaya sebarat hampir 70 kilogram itu merupakan tangkapan terbesar pertama APM Terengganu dalam tempoh tiga tahun. "Reptilia ini diperolehi APM Kuala Nerus hasil bantuan orang ramai. "Alhamdulillah, kita telah serahkan kepada PERHILITAN bagi melestarikan haiwan ini ke habitat asalnya," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas penyerahan buaya berkenaan kepada PERHILITAN di pejabat APM Kuala Nerus, hari ini. Jelasnya, perubahan cuaca akibat peralihan monsun menyebabkan banyak haiwan terutamanya binatang menjalar keluar dan mencari kawasan baru kerana habitatnya terganggu. "Orang awam yang mengunjungi tempat rekreasi dalam musim peralihan monsun ini perlu lebih berhati-hati.  Pada awal November, kita dijangka akan mengalami monsun timur laut di mana perubahan cuaca agak drastik," katanya. Tambah Che Adam, pihak APM sentiasa menguar-uarkan kepada orang ramai, jika ada haiwan berbisa dan liar supaya menghubungi APM untuk tindakan. "Peranan komuniti penting tetapi jika tidak mempunyai peralatan dan pengalaman, lebih baik menghubungi APM untuk bantuan," katanya.        
04 Oct 20
7114
COVID-19 : Terengganu Catat Sembilan Lagi Kes Baharu
COVID-19 : Terengganu Catat Sembilan Lagi Kes Baharu
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Terengganu mencatatkan sembilan lagi pertambahan kes baharu jangkitan COVID-19 hari ini. Ia sekali gus menjadikan kes aktif atau kes sedang dirawat keseluruhan di negeri ini meningkat kepada 20 kes. Sembilan kes terbabit masing-masing membabitkan daerah Besut sebanyak lima kes, Dungun tiga kes dan Kuala Nerus satu kes. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua kes itu melibatkan warganegara iaitu tujuh daripadanya saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi Sabah. "Manakala satu kes saringan kontak rapat kes positif COVID-19 iaitu kes ke-11477 yang melibatkan warganegara. "Di samping satu kes saringan di Pintu Masuk (Domestik dan Antarabangsa) yang juga melibatkan warganegara," katanya dalam sidang media harian COVID-19 hari ini. Semalam, sebuah sekolah rendah di Kuala Nerus ditutup sementara selepas seorang guru yang merupakan kontak rapat kepada pesakit yang pulang dari Sabah disahkan positif koronavirus (Covid-19). Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, guru, murid dan kakitangan sekolah terbabit disaring, diletakkan di bawah perintah pengawasan dan dikuarantinkan sebagai langkah awal pencegahan penyebaran wabak berkenaan. "Salah seorang pesakit COVID-19 merupakan guru di salah sebuah sekolah rendah di daerah Kuala Nerus. "Sebagai langkah kawalan, sekolah ini ditutup sementara mulai 2 Oktober 2020 dan aktiviti disinfeksi secara menyeluruh akan dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)," katanya dalam satu kenyataan.  
03 Oct 20
1515
Tenggiri Challenge, Jejak Budaya Marang Ditangguh
Tenggiri Challenge, Jejak Budaya Marang Ditangguh
MARANG, 2 Oktober - Beberapa program yang melibatkan orang awam di Terengganu ditangguhkan serta merta ekoran peningkatan kes positif COVID-19 di negeri ini sejak beberapa hari lalu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, penangguhan itu turut membabitkan program Terengganu Tenggiri Challenge 2020 di Pulau Kekabu dan Jejak Budaya Marang di Dataran Batu Putih. "Ya, kita menangguhkan program-program ini selepas melihat bilangan kes positif COVID-19 di Terengganu semakin meningkat," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini. Dalam pada itu, antara aktiviti lain yang turut ditangguhkan ialah program bersih pantai. "Dengan mengambil kira semua faktor dan langkah-langkah keselamatan serta saranan semua pihak bertanggungjawab, maka penganjur (UBSNT) memaklumkan program bersih pantai yang dijadualkan esok ditangguhkan," ujar kenyataan itu. Sementara itu, pihak penganjur Karnival Rakyat Sayangi Kuala Nerus bersama YBM mengambil langkah membatalkan program. "Memandangkan perkembangan semasa gejala COVID-19 pada masa ini, kami mengambil pendekatan untuk membatalkan karnival ini demi menjaga maslahah semua," ujar penganjur.
02 Oct 20
2718
Kakitangan Positif COVID-19, Sebuah Tabika Ditutup
Kakitangan Positif COVID-19, Sebuah Tabika Ditutup
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Terengganu mengesahkan sebuah taman bimbingan kanak-kanak (tabika) di Al-Muktafi Billah Shah, Bukit Besi, Dungun ditutup bermula hari ini selepas seorang kakitangannya didapati positif COVID-19. Pengarahnya Ahmad Fakhrul Azman Muhammad Radzi berkata, penutupan premis tersebut adalah inisiatif pihaknya sendiri bagi mencegah penularan wabak itu, bagaimanapun tempoh penutupan akan bergantung kepada penilaian Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu kelak. "Hari ini juga kontak rapat kepada kakitangan tersebut telah menjalani ujian saringan COVID-19 termasuk 20 kanak-kanak yang belajar di tabika itu. "Sehubungan itu, kita berharap ibu bapa tidak panik kerana Kemas Terengganu telah mengambil semua langkah perlu seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. Katanya buat masa ini semua tabika Kemas yang lain di seluruh Terengganu beroperasi seperti biasa. - BERNAMA
01 Oct 20
6099
UC TATI Jalin Kerjasama Dengan ZSR Vortices Dan SRC Global Resources
UC TATI Jalin Kerjasama Dengan ZSR Vortices Dan SRC Global Resources
KEMAMAN, 1 Oktober - Kolej Universiti TATI (UC TATI) hari ini menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) dengan rakan industri untuk memantapkan lagi kualiti pendidikan, penyelidikan dan inovasi pusat pengajian itu. Bagi tujuan tersebut, UC TATI telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan ZSR Vortices Sdn. Bhd. sebuah syarikat yang dilesenkan oleh PETRONAS untuk membekalkan barangan dan perkhidmatan dalam industri minyak dan gas untuk sektor ‘upstream’ and ‘downstream’. UC TATI turut menjalinkan kerjasama dengan SRC Resources Sdn Bhd sebuah syarikat yang memberikan khidmat dalam latihan dan perundingan terutamanya berkaitan industri minyak dan gas. Bagi kedua-dua MoU itu, UC TATI diwakili Rektornya, Prof. Dr. Anuar Ahmad, manakala ZSR Vortices Sdn. Bhd. diwakili Pengarahnya, Abdul Rahim Pazikadin dan SRC Global Resources Sdn Bhd. pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nor Hisham Mohd Ariffin. Dr. Anuar berkata, kedua-dua perjanjian persefahaman ini merupakan satu langkah dominan yang memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak. “ZSR Vortices Sdn Bhd sebelum ini telahpun menjalinkan kerjasama dengan pihak UC TATI dengan menerima pelajar praktikal di syarikatnya seramai tiga orang. “Keyakinan syarikat ZSR terhadap kualiti graduan UC TATI telah membawa kepada penawaran tujuh kekosongan jawatan jurutera dan 25 jawatan pembantu teknik di syarikat mereka kepada graduan UC TATI,” ujarnya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Menandatangani MoU antara UC TATI Dengan ZSR Vortices Dan SRC Global Resources di Dewan Al-Jazari, UC TATI, hari ini. Turut hadir, Timbalan Rektor Akademik dan Pengantarabangsaan UC TATI, Prof. Madya Ts. Dr. Rosliza Ramli dan Pendaftar UC TATI, Shafaruddin Mustafa. Tambahnya lagi, kakitangan UC TATI juga akan mendapat manfaat dari segi penglibatan dalam projek penyelidikan dan komersial melalui perjanjian persefahaman ini. Sementara itu katanya, kerjasama dengan syarikat SRC Resources Sdn Bhd. pula memberi fokus terhadap penyediaan kemudahan latihan di UC TATI dalam bidang 'Scaffolding'.  “Sasaran seramai 20 peserta kursus akan menjalani latihan dalam sebulan di UC TATI. Ini bermakna UC TATI bakal menerima 240 peserta kursus dalam setahun,” ujarnya. Katanya, kursus ditawarkan iaitu pada tahap asas dan pertengahan yang akan bermula bulan ini telah ditauliahkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
01 Oct 20
1604
Perkhidmatan Awam Jadi Tonggak Utama Agenda Kerajaan
Perkhidmatan Awam Jadi Tonggak Utama Agenda Kerajaan
  KUALA TERENGGANU, 1 Oktober - Perkhidmatan awam merupakan tonggak utama yang berperanan untuk menggerakkan setiap pelaksanaan agenda dan inisiatif yang telah direncanakan oleh kerajaan. Ketua Setiausaha Negara,  Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, dalam berdepan situasi sukar fasa pemulihan ekonomi negara, penjawat awam perlu bersungguh-sungguh serta komited bagi memastikan setiap dasar dan strategi yang disusun kerajaan dapat diterjemahkan dengan jayanya. Katanya, hal ini dibuktikan menerusi pelbagai pengiktirafan antarabangsa yang diberikan kepada Malaysia dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia. “Global Covid-19 Recovery Index, sehingga Ogos 2020 telah meletakkan negara kita di kedudukan ke-4 terbaik dalam kalangan 184 negara di dunia. “Begitu juga Indeks Toluna-Blackbox bagi Pengurusan Persepsi dan Krisis telah menempatkan Malaysia di kedudukan ke-5 berbanding 23 negara,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kompleks Baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bukit Besar, di sini, hari ini. Hadir sama, Ketua Persuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Zahari Bin Md Azahar Menurutnya, usaha memulihkan dan melonjakkan semula ekonomi negara sesungguhnya memerlukan satu usaha yang lebih jitu dan komited dari kita semua penjawat awam. “Inisiatif-inisiatif segera pasca COVID-19 seperti pelaksanaan projek berimpak tinggi dan penyaluran bantuan kepada rakyat sudah pasti akan terencat. “Sekiranya terdapat isu-isu rasuah dan korupsi berlaku di dalam Perkhidmatan Awam khususnya dalam kalangan penjawat awam itu sendiri,” katanya .  
01 Oct 20
196