lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Majlis Daerah Marang Wujud 'Task Force' COVID-19
Majlis Daerah Marang Wujud 'Task Force' COVID-19
MARANG, 10 Oktober - Majlis Daerah Marang (MDM) telah mewujudkan satu 'Task Force' khas untuk mengawal dan melakukan sanitasi bagi mengelakkan peningkatan kes COVID-19 terus berlaku di daerah ini. Pasukan itu terdiri daripada Penguatkuasa MDM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA dan agensi-agensi terbabit. Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, mereka akan memantau secara lebih terperinci di seluruh kawasan rekreasi, premis perniagaan, pasar dan tempat-tempat lain di bawah pentadbiran MDM. "Sementara itu, pasar awam dan pasar malam dibuka seperti biasa namun pihak kami akan lebih memperketatkan pematuhan Prosesur Operasi Standard (SOP) di kalangan peniaga dan orang awam. "Manakala pasar giliran dan pasar pagi hanya dibenarkan untuk dibuka sekali sahaja pada setiap minggu," jelasnya ketika dihubungi oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman hari ini. Menurutnya, aktiviti nyahkuman pula akan dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak menganggu waktu operasi premis perniagaan. "Proses sanitasi juga akan dilakukan di semua pasar awam setiap hari iaitu pada waktu malam kerana aktiviti perniagaan tidak dijalankan pada waktu tersebut," tambahnya. Untuk rekod, satu pekeliling telah dikeluarkan melalui media sosial dan laman rasmi Facebook MDM, berkaitan arahan tersebut.  
10 Oct 20
3690
Pantai Pulau Kekabu Ditutup Setiap Hari Minggu
Pantai Pulau Kekabu Ditutup Setiap Hari Minggu
MARANG, 10 Oktober - Pantai Pulau Kekabu akan ditutup sementara pada setiap hari minggu bermula semalam selepas peningkatan kes pandemik COVID-19 di Terengganu. Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat ekoran kehadiran pengunjung yang terlalu ramai pada hari minggu. "Ini menyebabkan pihak MDM khuatir akan berlaku peningkatan kes akibat daripada prosedur operasi standard (SOP) yang tidak dipatuhi oleh orang awam," jelasnya ketika dihubungi wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Menurutnya lagi, langkah itu juga diambil kerana wujud kluster baharu, iaitu Kluster Bah Sahabat yang dikenalpasti di daerah ini. "Penutupan Pulau Kekabu adalah berkuatkuasa pada hari minggu sahaja, bukan setiap hari namun sebarang perubahan akan dimaklumkan dari masa ke semasa," tambahnya. Pusat rekreasi keluarga itu kembali menjadi tumpuan pelancong sebaik tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) tamat sehingga menyebabkan kesesakan dan agak sukar dikawal. Sebelum ini, pihak MDM juga telah menetapkan peraturan kepada semua pengunjung iaitu perlu mengosongkan kawasan perairan pantai pada jam 6.30 petang.  
10 Oct 20
3144
Anak Terengganu Raih Pingat Kejohanan Taekwando Antarabangsa
Anak Terengganu Raih Pingat Kejohanan Taekwando Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 10 Oktober – Seorang lagi anak Terengganu, Zara Habib Haniya Mohd Haizal berjaya mengharumkan nama negeri dan negara, dalam Kejohanan Antarabangsa ‘Virtual KTA Poomsae dan Para Poomsae’ tahun 2020. Beliau yang mewakili Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1, berjaya merangkumi pingat gangsa dalam acara kategori poom tali pinggang hitam bawah 11 tahun perempuan, berlangsung secara maya selama tiga hari pada 2 hingga 4 oktober. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kejayaan adik Zara bukan sahaja membanggakan Sekolah Kebangsaan Sultran Sulaiman Satu, tetapi juga mengharumkan nama Terengganu dan Malaysia di persada dunia. “Penghargaan sebesar-besarnya diberikan kepada Zara. Insya-Allah ia menjadi suatu lonjatan, dan memberi semangat kepadanya supaya terus berjaya pada masa hadapan. “Tahniah juga buat Jurulatih Kelab Taekwondo Teguh Terengganu, Solihin Abdullah atas kejayaan dan usaha didikan atlet sepanjang kejohanan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau juga berkata, pelajar SK Sultan Sulaiman 1 itu antara lapan atlet yang mewakili negara ke peringkat taraf dunia itu. Kejohanan atas talian ini dianjurkan oleh Harrogate KTA United Kingdom yang disertai oleh kira-kira 67 buah negara dari segenap benua, melibatkan 566 orang atlet.
09 Oct 20
1951
Burung Helang Daripada Sabut Kelapa
Burung Helang Daripada Sabut Kelapa
SETIU , 10 Oktober - Kreativiti seorang petani yang mencipta 'burung helang' daripada sabut kelapa mengundang rasa kagum segelintir masyarakat di sini. Petani tersebut, Bidin Salleh, 50, berkata ia bagi menghalau haiwan ternakan memakan padi yang dijemur di halaman rumahnya. Katanya, dia hanya memanfaatkan idea yang terlintas di kepala tambahan pula ia tidak melibatkan sebarang kos. "Hanya menggunakan ranting pokok rambutan, sabut kelapa, tali, dan polisterin, ia dapat menghasilkan seakan-akan seekor burung helang. Matanya pula dicucuk dengan api lidi sahaja, "Kalau 'orang-orang', mungkin sudah menjadi perkara biasa kita lihat. Dalam buku pun ade. Yang ni tiada dalam buku ni, "Burung-burung ini digantung pada tali, diserikan lagi dengan bunyi batu yang diletakkan ke dalam botol. Bila bunyi, ayam itik  pun tak berani nak masuk dekat," katanya kepada pemberita ketika dihubungi semalam. Kaedah ini juga turut digunakan di sawah padi untuk menakutkan tikus.
09 Oct 20
923
Sekatan Jalan Raya Dikuatkuasakan Di Seluruh Terengganu
Sekatan Jalan Raya Dikuatkuasakan Di Seluruh Terengganu
MARANG, 9 Oktober - Sekatan Jalan Raya (SJR) bagi mencegah penularan COVID-19 dikuatkuasakan semula di 16 lokasi seluruh Terengganu bermula semalam. Ketua Polis Negeri Terengganu, Dato' Roslee Chik berkata, pelaksanaan secara bergerak pada setiap empat jam itu dapat mengawal pergerakan masyarakat yang keluar masuk dari satu-satu daerah. "Kita juga menasihatkan mereka supaya mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang lama, jika hendak keluar ke tempat awam dan sebagainya. "Pada masa yang sama, dengan adanya SJR ini, pihak polis boleh mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang seperti penyeludupan manusia dan dadah," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini semalam. Menurut Roslee, pihaknya telah meningkatkan pasukan pematuhan di Terengganu dengan mewujudkan 93 pasukan berbanding 60 sebelum ini. "Pasukan pematuhan ini dianggotai dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Rela dan lain-lain agensi akan membuat pematauan ke lokasi tumpuan awam di seluruh negeri," tambah beliau.  
09 Oct 20
89595
15 Tahun Menunggu, Akhirnya Dapat Bekalan Air Bersih
15 Tahun Menunggu, Akhirnya Dapat Bekalan Air Bersih
SETIU, 9 Oktober - Penantian keluarga Siti Idayu Mohd Ali sejak 15 tahun lalu untuk memiliki air bersih akhirnya tercapai apabila bekalan air tersebut mula dipasang di rumahnya tiga hari lepas. Kata Siti Idayu, 37, sebelum ini mereka sekeluarga terpaksa menggunakan air telaga yang kurang bersih dan apabila tiba musim kemarau, dia berulang alik ke rumah ibu dan bapanya untuk mendapat keperluan air. “Apabila menggunakan air telaga, baju putih atau baju sekolah anak-anak bertukar kekuningan, air juga berbau dan terasa masam, malah kuku juga bertukar kebiruan namun kami terpaksa mengendahkanya. “Saya berasa amat bersyukur setelah sekian lama, kami tujuh beranak yang tinggal di sini dapat menggunakan bekalan air bersih yang sangat diimpikan selama ini. “Sebelum ini, kami tidak mampu menanggung kos pemasangan meter air yang agak besar kosnya kerana jauh daripada rumah orang lain, tambahan lagi suami hanya berkerja sebagai pengawal keselamatan," katanya kepada wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman ketika lawatan diadakan ke rumahnya baru-baru ini. Siti Idayu tinggal bersama lima orang anak, dan empat daripadanya masih bersekolah sementara anak bongsunya baru berusia 40 hari. Kisah Siti Idayu itu mendapat perhatian dan simpati Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail yang terus mengambil beberap langkah proaktif. Kata Shafizi, masalah keluarga itu diberikan keutamaan agar impian mereka untuk mendapat kehidupan yang lebih selesa direalisasikan. “Isu ini mendapat perhatian daripada Pusat Khidmat Masyarakat Batu Rakit supaya masalah ini dapat diselesaikan dengan kadar segera, alhamdulillah bekalan air bersih telah disalurkan kepada keluarga terbabit. “Terima kasih juga diucapkan kepada yang terlibat, pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Alor Damat. “Kita juga akan terus membantu dan menyelesaikan masalah rakyat secara berperingkat dari masa ke semasa,” tambahnya lagi.
09 Oct 20
2516
89 Projek Mesra Rakyat Bangunkan Parlimen Setiu
89 Projek Mesra Rakyat Bangunkan Parlimen Setiu
SETIU, 9 Oktober - Kira-kira 67,300 rakyat Setiu akan menikmati kehidupan yang lebih selesa apabila 89 Projek Mesra Rakyat (PMR) sedang dan akan dijalankan di seluruh Parlimen terbabit. Ahli Parlimennya, Shaharizukirnain Abdul Kadir, berkata sebanyak RM1.6 juta diperuntukan bagi membangunkan Parlimen Setiu dengan projek-projek seperti menaiktaraf jalan raya, membina dan membaik pulih tempat letak kereta, surau-surau serta gelanggang-gelanggang sukan. "Projek-projek ini dijalankan setelah saya mendapat maklum balas, mendengar luahan rakyat Setiu dan berbincang sendiri dengan setiap pengerusi-pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dari seluruh Mukim. "Setiap projek yang dilaksanakan tidak lain tidak bukan hanyalah semata-mata untuk melihat keselesaan rakyat Setiu itu sendiri," ujar beliau semasa melakukan lawatan ke beberapa tapak projek tersebut. Menurut Shaharizukirnain, pihaknya telah mengadakan pelbagai ikhtiar yang dilihat menguntungkan seluruh rakyat sejak memegang tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Setiu. "Saya akan sedaya upaya terus memberikan tumpuan untuk membawa kemajuan dalam Parlimen Setiu terutamanya di kawasan pedalaman seperti Mukim Hulu Nerus, Hulu Setiu dan Guntong agar mereka dapat menikmati kemudahan sama seperti mukim-mukim yang lain," katanya. Beliau juga berterima kasih kepada pihak kerajaan negeri dan pusat atas respon yang positif, drastik dan cemerlang terhadap setiap isu-isu yang diajukan beliau selama ini.
09 Oct 20
519
COVID-19 : Jemaah Positif, Masjid Paya Resak Ditutup
COVID-19 : Jemaah Positif, Masjid Paya Resak Ditutup
  MARANG, 8 Oktober - Masjid Kampung Paya Resak di sini ditutup selama tiga hari bermula hari ini berikutan terdapat jemaah yang dikesan positif COVID-19 telah menunaikan solat Jumaat di masjid itu. Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, arahan itu berkuatkuasa sehingga 10 Oktober depan supaya proses nyahkuman dapat dijalankan dengan rapi. “Terdapat individu disahkan positif COVID-19 semalam dan individu terbabit dipercayai telah menunaikan solat Jumaat di masjid itu pada 2 Oktober lalu. “Jadi masjid ini ditutup bagi kerja-kerja nyahkuman yang dilakukan mengikut Seksyen 18 (1) (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengelak jangkitan wabak ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
08 Oct 20
6680
Terengganu Rakam Takziah Kematian KP Jakim
Terengganu Rakam Takziah Kematian KP Jakim
  KUALA TERENGGANU, 8 Oktober - Kerajaan negeri Terengganu merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato' Paimuzi Yahya yang meninggal dunia hari ini. Ucapan berkenaan dizahirkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah ketika dihubungi media sebentar tadi. "Allahyarham merupakan tokoh yang tidak asing dalam dunia dakwah. Terima kasih tidak terhingga atas jasa dan khidmat yang diberikan kepada negera dan masyarakat selama ini. "Mewakili kerajaan negeri, saya mengucapkan takziah buat keluarga Allahyarham. Sama-sama kita doakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh," katanya. Allahyarham meninggal dunia pada jam 1.00 tengah hari tadi di Hospital Sungai Buloh. Jenazah akan dibawa ke kediaman beliau di Kuang, Gombak untuk proses pengkebumian. Semalam, Ketua Unit Komunikasi Korporat Jakim dalam satu kenyataan memberitahu, Paimuzi bebas daripada pandemik COVID-19. Menurut kenyataan itu, Paimuzi menjalani pemeriksaan saringan COVID-19 pada Selasa iaitu 6 Oktober lalu di Hospital Sungai Buloh dan keputusan didapati negatif. "Memandangkan faktor sejarah kesihatan beliau yang kurang memuaskan, maka pihak hospital mencadangkan supaya beliau ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) bagi mendapatkan rawatan susulan," menurut kenyataan itu.  
08 Oct 20
1947
Panel Pemikir Dakwah Diwujudkan Di Setiap DUN Terengganu
Panel Pemikir Dakwah Diwujudkan Di Setiap DUN Terengganu
KUALA TERENGGANU, 7 Oktober - Panel Pemikir Dakwah Negeri Terengganu yang dikenali sebagai Penolong Pegawai DUAT bakal diwujudkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi merintis kerjasama membangunkan gerak kerja dakwah. Pengarah Akademi DUAT, Muhammad Ramlan Mahmood berkata, posisi itu penting bagi memastikan gerak kerja dakwah dapat dilakukan secara lebih bersasar ahli masyarakat.  "Secara umumnya, setiap DUN mempunyai anggota masyarakat yang berbeza baik dari segi budaya dan sosialnya, pegawai DUAT DUN ini ditugaskan untuk mengkaji ‘uslub’ dan pembawakan dakwah yang sesuai dan berimpak tinggi bagi masyarakat di kawasan masing-masing," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Daurah Mutun Islamiyyah peringkat daerah Kuala Terengganu di Dewan Auditorium, Kompleks Sukan Negeri Terengganu dekat sini baru-baru ini. Katanya lagi, para pegawai DUAT DUN berkenaan juga bertanggungjawab merencana penyatuan dan penyelarasan antara pondok atau pusat pengajian agama di tempat mereka agar kebajikan serta peranan mereka tidak terabai. “Usaha mewujudkan pegawai DUAT setiap DUN itu telah dimulakan dan setakat ini kita telah melantik seramai 27 pegawai DUAT yang ditempatkan di DUN masing-masing,” tambah beliau. Untuk rekod, program Daurah Mutun Islamiyyah diadakan di setiap daerah dengan pembelajaran kitab dan dikendalikan ahli panel yang berbeza-beza latar pendidikan
07 Oct 20
829