lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Agong Tidak Terima Senarai Nama Ahli Parlimen Sokong Anwar
Agong Tidak Terima Senarai Nama Ahli Parlimen Sokong Anwar
  KUALA LUMPUR, 13 Oktober - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak menerima senarai ahli-ahli Parlimen yang menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa majlis menghadap di Istana Negara padi tadi. Istana Negara melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, susulan itu Yang di-Pertuan Agong telah memberi nasihat kepada Anwar supaya akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. "Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan jumlah ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau. "Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut," katanya dalam satu kenyataan. Sementara itu, menyentuh tentang penularan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Yang Dipertuan Agong melahirkan rasa kegusaran dan menasihati seluruh rakyat Malaysia agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan berdisplin dalam menjaga kesihatan diri.
13 Oct 20
1695
Pokok Tumbang Hempap Kereta, Nyaris Ragut Nyawa
Pokok Tumbang Hempap Kereta, Nyaris Ragut Nyawa
KUALA TERENGGANU, 13 Oktober – Hujan lebat serta ribut menyebabkan pokok tumbang menghempap sebuah kereta selain menghalang laluan dalam kejadian di Jalan Sultan Mahmud berhampiran Jambatan Kuala Ibai malam tadi. Ketika kejadian, pemandu kereta berkenaan, Shahriza Abdullah, 37, bersama isteri dan dua anaknya dalam perjalanan dari Marang menuju ke Kuala Terengganu. Isteri Shahriza telah mengalami kecederaan ringan di bahagian muka  dan telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, sebuah jentera bersama sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 8.30 malam. Katanya, kedua-dua mangsa berjaya keluar daripada kenderaan mereka dengan bantuan orang awam sebelum bomba tiba. "Kejadian itu turut menghalang pergerakan lalu lintas kerana pokok berkenaan tumbang dan melintang di tengah jalan. "Kita mengambil masa kira-kira 30 minit untuk kerja-kerja pembersihan pokok berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini. Dalam pada itu, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Mohd Izzat Abdullah turut meninjau keadaan mangsa di HSNZ. “Saya bagi pihak Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk mengambil maklum tentang kejadian ini dan akan mengambil tindakan susulan bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang,” katanya. Keadaan kereta mangsa ketika kejadian  
13 Oct 20
871
Waspada Peralihan Monsun Timur Laut
Waspada Peralihan Monsun Timur Laut
SETIU, 13 Oktober - Warga Terengganu dinasihatkan untuk berwaspada dengan fasa permulaan peralihan monsun timur laut yang dijangka berlaku antara hujung September hingga awal November ini Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata, berkata, beberapa persiapan yang telah diaturkan oleh Urus Setia Bencana Daerah termasuk di daerah ini yang dipengerusikan Pegawai Daerah Setiu, Mohd Sophian Abu Bakar. Katanya, antara langkah itu ialah menghantar bekalan keperluan makanan dan asas ke pengkalan hadapan yang melibatkan dua DUN, Langkap dan Permaisuri. "Selain itu, bilangan pusat pemindahan banjir ditambah bagi memastikan tidak berlaku kesesakan dengan mangsa banjir dan juga 'Standard Operating Procedure' (SOP) akan ditambah baik," katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat jawatankuasa bencana daerah di Pejabat Daerah Setiu petang semalam. Zul Bhari yang juga anggota mesyuarat jawatankuasa bencana daerah turut menasihatkan masyarakat supaya membuat persiapan awal bagi penduduk yang berisiko berlaku banjir. Peralihan monsun timur laut juga mengakibatkan angin kencang beserta ribut, laut bergelora yang membahayakan kepada aktiviti perikanan dan hujan lebat yang kemungkinan berlaku banjir di kawasan rendah.
12 Oct 20
4158
23 Jemaah Masjid Ulul Albab Disahkan Negatif COVID-19
23 Jemaah Masjid Ulul Albab Disahkan Negatif COVID-19
  BESUT, 12 Oktober - Seramai 23 jemaah Masjid Ulul Albab, Kampung Seberang Jerteh disahkan negatif COVID-19 melalui hasil dua ujian pengesanan yang dilakukan terhadap mereka. Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Seberang Jerteh, Mohd Hanis Abas berkata, mereka sebelum ini telah menjalani kuarantin di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai di Marang sejak Selasa lalu. "Kesemua 23 jemaah telah menjalani kuarantin dan sepanjang tempoh saringan tidak ada satu orang pun yang menunjukkan tanda-tanda positif. "Mereka telah pun dibenarkan pulang dan selamat sampai ke rumah masing-masing," ujarnya kepada pemberita di Kampung Seberang Jerteh, semalam. Mohd Hanis berkata, para jemaah tersebut diarahkan menjalani kuarantin setelah masjid itu baru-baru ini dilawati Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato' Seri Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri yang disahkan positif COVID-19.  Katanya, Masjid Ulul Albab juga ditutup sementara selama tiga hari bagi melancarkan kerja-kerja proses nyahkuman.
12 Oct 20
2169
Mangsa Dipatuk Ular Layak Terima Bantuan Serangan Binatang Buas
Mangsa Dipatuk Ular Layak Terima Bantuan Serangan Binatang Buas
MARANG, 11 Oktober - Mangsa yang dipatuk ular, Noraniza Abu Bakar, 30, layak dikategorikan sebagai penerima Kumpulan Wang Amanah Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan sokongan laporan daripada Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu. Kejadian malang, dipatuk binatang berbisa yang dikenalpasti daripada spesis ular senduk itu telah menimpa Noraniza, ketika terserempak dengannya di dalam bilik air. Paling menyedihkan, mangsa yang tinggal di Kampung Sungai Kerak merupakan penghidap sakit kencing manis kronik menyebabkan kesan luka di kakinya menjadi lebih parah dan teruk. Penolong Pengarah Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu, Aniza Ibrahim berkata, berdasarkan kejadian yang menimpa mangsa, kami mengesyorkan agar mangsa memohon bantuan khusus itu bagi membantu meringankan beban mangsa atau keluarga mangsa yang terlibat dengan serangan binatang buas. Penolong Pengarah Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu, Aniza Ibrahim "Peruntukan bagi bantuan ini adalah maksimum sebanyak RM20,000 untuk kes kematian atau kehilangan keupayaan kekal. Manakala bagi kes hilang upaya sebahagian, kadar bantuan ditentukan berdasarkan peratusan kategori kecederaan." "Sepanjang tahun 2020, pihak Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu telah menerima dua permohonan melibatkan serangan beruk dan babi hutan, manakala pada tahun 2019 pula, dua kes melibatkan serangan babi hutan dan beruang matahari." Beliau berkata, sebaik sahaja selesai menziarahi mangsa di rumahnya setelah mendapat maklumat daripada laman rasmi facebook Pusat Khidmat Masyarakat yang dimuat naik di Rhu Rendang Sejahtera Official. Turut hadir adalah Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng, Ketua Perhilitan Daerah Kuala Terengganu, Nik Norhafizah Daud, dan Pengerusi MPKK Sungai Kerak, Muhamad Azahar Bin Adam. Antara kelayakan serta kriteria adalah mangsa atau waris mangsa diserang oleh binatang buas yang telah dikategorikan sebagai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN). Contohnya adalah seperti gajah, seladang, babi hutan, beruang, harimau, ular sawa, ular-ular berbisa, spesis primat (beruk, kera siamang, ungka, lotong dan kongkang) serta buaya.  
11 Oct 20
10072
PKP, Fasa Ngeri Buat Peniaga
PKP, Fasa Ngeri Buat Peniaga
KUALA TERENGGANU, 12 Oktober - Pandemik yang melanda dunia telah memaksa hampir seluruh negara melaksanakan 'lockdown' di tempat masing-masing termasuklah Malaysia dengan beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga menjejaskan para peniaga. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, ia merupakan satu fasa yang sangat mengerikan terutama kepada para nelayan, petani, dan peniaga kecil kerana pengaliran ekonomi akan teruk terjejas. Katanya, kesan besar sekiranya dilaksanakan semula PKP tahap pertama kerana pendapatan isi rumah akan terjejas teruk. "Walaupun pengalaman PKP yang lalu banyak mengajar kita tentang nilai cakna semua pihak, termasuk dana peruntukan sebanyak RM250 bilion daripada kerajaan, namun sebolehnya kita tidak mahu ia berulang lagi kerana masyarakat di semua peringkat akan menanggung peritnya. "Rata-rata peniaga yang saya temui di sekitar bandar ini melahirkan kebimbangan andai peningkatan mendadak kes baharu COVID-19 ini memaksa pihak kerajaan laksanakan semula PKP seperti fasa pertama," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman semasa meninjau aktiviti peniaga baru-baru ini. Tegas beliau lagi, semua pihak sama ada yang terlibat secara langsung atau tidak dalam peningkatan mendadak kes dalam negara ini perlulah mengambil langkah serius menjaga diri, keluarga, dan masyarakat bagi meredakan kembali pandemik tersebut. "Mereka yang terbabit sama ada dalam kalangan pemimpin masyarakat ataupun orang ramai terutamanya yang ada sejarah berkunjung ke Sabah baru-baru ini, perlulah mengambil tanggungjawab dengan mewajibkan diri mengikuti segala langkah keselamatan yang telah diarahkan oleh pihak KKM," tambah beliau. Ahmad Shah turut berharap semua pihak dapat mematuhi garis panduan pencegahan penularan COVID-19 yang ditetapkan oleh KKM serta mengambil panduan dari hadis Nabi SAW tentang kaedah membendung tersebarnya wabak dalam sesebuah negeri di samping munajat yang tidak pernah surut kepada Allah SWT.
10 Oct 20
1586
Kuih Bulan Tanda Persahabatan
Kuih Bulan Tanda Persahabatan
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober – Kuih bulan menjadi simbolik ikatan persahabatan yang terjalin antara wanita bukan muslim dengan kerajaan negeri setiap kali tiba  'Moon Cake Festival 2019” yang disambut oleh masyarakat Tiongha di Terengganu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata walau pun jumlah kuih bulan yang diedarkan itu tidak besar tetapi memadai sebagai tanda ingatan dan tanda persahabatan bersempena dengan perayaan tradisional masyarakat Tionghua yang lazimnya disambut pada pertengahan September sehingga Oktober. Zuraida mengagihkan kuih bulan.   “Tidak banyak pun yang kita edar, tapi ada. Mudah-mudahan pemberian kecil ini, jadi pengikat keharmonian antara semua kaum di Negeri Terengganu. “Apa yang lebih mengujakan saya ialah sambutan baik daripada komuniti bukan muslim kepada Program Minum Petang bersama ADUN Wanita dan ini pertama kali sebenarnya, kita mengadakan program santai bersama komuniti wanita Cina dan India di sekitar Kuala Terengganu khusus bersama ADUN Wanita. “Alhamdulillah, saya menerima banyak maklum balas dan cadangan yang positif daripada wakil-wakil mereka yang melibatkan diri secara aktif semasa sesi dialog,"ujarnya. Cikgu Mala, wakil masyarakat India bercakap semasa sesi dialog. Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh wakil Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.   Antara yang hadir dalam program tersebut ialah wakil wanita India dan Cina Dewan Himpunan Penyokong, Dewan Perhimpunan Tionghua Terengganu, Persatuan Penjaja Pasar Pagi, Persatuan Penjaja Medan Selera, wakil masyarakat India dan Siam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar dan wakil masyarakat Kg. Cina atau Peranakan. Zuraida turut berjanji akan menyuarakan segala kebimbingan dan cadangan yang telah diusulkan oleh mereka ke peringkat seterusnya. Beliau juga berharap agar penganjuran program tersebut dapat mempereratkan tautan antara masyarakat di Terengganu tanpa mengira bangsa ataupun agama demi memastikan keamanan dan kedamaian pada tanah watan sentiasa terpelihara.  
10 Oct 20
998
Masalah Mental Tidak Semestinya Gila
Masalah Mental Tidak Semestinya Gila
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober – Golongan yang menderita dengan masalah kesihatan mental tidak wajar dilabelkan sebagai ‘orang gila’ orang masyarakat sekeliling. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata kesihatan mental merupakan aspek yang jarang diambil perhatian dalam negara Malaysia. Menurutnya lagi, terlalu banyak salah faham dan salah sangka kepada orang yang menghadapi keuzuran daripada sudut kesihatan mental. “Lebih parah, apabila pesakit mental dikaitkan dengan iman yang tidak kuat di samping tidak diberi sokongan oleh masyarakat sekeliling lantaran menyebabkan masalah mentalnya menjadi lebih teruk. “Walau bagaimanpun belakangan ini, kita melihat ada perkembangan yang positif berkenaan kesedaran kesihatan mental di Malaysia. Semakin ramai orang persendirian mahupun persatuan yang tampil menghulurkan tangan bagi membantu pesakit. “Di pihak saya sendiri, isu ini juga menjadi fokus utama selaku ADUN Wanita dan sebenarnya ada saya selitkan mengenai kesihatan mental dalam Ucapan Perbahasan Titah Di-Raja dalam Sidang DUN yang lalu,’ujarnya. Zuraida berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), kelmarin. “Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2015 (NHMS), sebanyak 29.2 peratus rakyat Malaysia mengalami tekanan atau pun masalah kesihatan mental. “Ada pesakit yang tidak menyedari mereka menghadapi simptom masalah kesihatan mental kerana kurangnya kesedaran sama ada individu atau pun masyarakat sekeliling. “Saya menyeru supaya lebih banyak banyak program kesedaran diadakan bagi mendidik masyrakat di samping mengikis stigma negatif terhadap pesakit,”ulasnya. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut bersempena dengan Hari Kesihatan Mental Sedunia, kelmarin. Zuraida turut menegaskan isu ini wajar diberi perhatian kerana ia akan memberi kesan kepada kestabilan keluarga dan juga rumah tangga.
10 Oct 20
467
Gabungan Agama Dan Teknologi, Cara Dakwah Alaf Baharu
Gabungan Agama Dan Teknologi, Cara Dakwah Alaf Baharu
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober – Paduan antara bidang agama dan bidang teknologi serta multimedia menjadi platform saluran dakwah dalam dunia tanpa sempadan hari ini. Pengerusi Kelab Penggiat Media Sosial Wanita Inspirasi Terengganu (MASWIN), Daing Siti Norbaity Abdul Latif berkata, satu lawatan kunjung balas ke Studio al-Quran Universiti Malaysia  Terengganu (UMT) telah diadakan, baru-baru ini. Katanya lagi, kunjung balas itu diadakan sebagai balasan hormat kepada pihak rombongan dari Studio al-Quran UMT yang telah hadir ke Wisma Darul Iman (WDI) sebelum ini. Norbaity. “Beberapa bulan lepas mereka adakan kunjung hormat untuk bertemu Yang Berhormat (YB) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita di WDI. Jadi kali ini, YB ADUN Wanita mengadakan kunjung hormat kembali. “Dan memandangkan MASWIN dan juga Kelab Media Baru Negeri Terengganu (NewMed) merupakan rakan kerjasama strategik Pejabat ADUN Wanita, maka kami dipelawa untuk menyertai delegasi ke Studio al-Quran. “Objektif kita ialah untuk melihat Studio al-Quran UMT dan mengadakan diskusi tentang apakah kerjasama yang boleh dijalinkan bersama studio ini untuk manfaat komuniti.”ujarnya. Norbaity berkata demikian ketika dihubungi oleh Wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini. Beliau berharap kerjasama akan terlaksana demi manfaat kepada masyarakat di samping berpeluang untuk memartabatkan al-Quran di bumi Darul Iman. “Di akhir lawatan, kami dapat melihat dan meneliti program yang boleh dijalankan secara kerjasama oleh kedua-dua belah pihak, berdasarkan kepakaran masing-masing. “Dan alhamdulillah, kita juga dapat mengenalpasti bagaimana bentuk kerjasama yang bakal dijalankan nanti dan pastinya ia bermanfaat untuk komuniti dan pelajar,”tambahnya. Zuraida berkongsi idea dan pendapat. Dalam pada itu, ADUN Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor juga dilihat optimis untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak Studio al-Quran. “Mungkin kita kena adakan beberapa siri lagi perjumpaan susulan untuk membincangkan kerjasama secara terperinci dan tersusun. “Dan insya-Allah, jika tiada halangan kita akan usahakan untuk memastikan kerjasama ini berjaya dan memberi kebaikan kepada pihak kerajaan negeri , rakan kolaborasi dan pastinya kepada rakyat,”ulasnya. Para peserta Kunjung Balas ke Studio al-Quran UMT.
10 Oct 20
695
DUAT Gilap Skil Pengucapan Wanita Terengganu
DUAT Gilap Skil Pengucapan Wanita Terengganu
Foto : Media DUAT KUALA TERENGGANU, 11 Oktober – Program Seni Pengucapan Daie Wanita Terengganu Sejahtera mampu mengasah kemahiran berkomunikasi dalam kalangan peserta, memberi pendedahan berkenaan strategi berhadapan dengan khalayak dan melatih peserta supaya berani berhujah di hadapan penonton dengan penuh keyakinan dan keberanian. Pengarah program, Ilhami Nadhrah Hamzah berkata, program tersebut yang telah diadakan di Pusat Sains Dan Kreativiti Terengganu (PSKT) merupakan program latihan khusus untuk para wanita dalam Negeri Terengganu. Menurut beliau, program yang menyasarkan golongan wanita meliputi pelbagai usia itu mendapat sambutan daripada peserta meski pun terpaksa berlangsung dalam suasana norma baharu. “Ramai pihak yang menghantar wakil dan kalau saya boleh sebutkan, antara yang terlibat ialah para Daie Wanita Terengganu dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (HANEES), Pertubuhan Ikatan Generasi Anak Terengganu (i-GenT), Gabungan Mahasiswa Islam se-Malaysia (GAMIS) serta masyarakat awam. “Kita ada dua tujuan utama program iaitu memfokuskan kepada peserta tentang strategi-strategi untuk menangani cabaran pengucapan awam dan penguasaan pentas yang efektif. “Dan yang kedua ialah untuk menambahkan keyakinan diri para peserta untuk mengatasi perasaan gementar apabila berhadapan dengan orang ramai,”ujarnya. Ilhami berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini. Program Seni Pengucapan Daie Wanita Terengganu Sejahtera dianjurkan oleh Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) dan dikendalikan oleh Perunding Pembangunan Wanita Ummah Training Centre, Mariyam Sa'ari yang juga merupakan Finalis Solehah TV Al-Hijrah telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor. Beliau juga berharap program tersebut dapat membantu para peserta khususnya para daie dalam kalangan wanita Terengganu untuk memahami serta mengaplikasi ilmu pengucapan awam dengan cara penyampaian yang lebih berkesan dan efektif.   Ilhami bergambar bersama Zuraida.  
10 Oct 20
317