lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

WWF, Penduduk Lupus Barangan Elektrik
WWF, Penduduk Lupus Barangan Elektrik
SETIU, 15 Oktober - WWF Malaysia, syarikat H&M, Persatuan Wanita Kampung Mangkok (PEWANIS) dan penduduk Kampung Mangkok bertindak melupuskan barangan elektrik tidak terpakai bagi menjaga kelestarian alam sekitar. Pegawai Program berkenaan, Nur Syahirah Wahab berkata, aktiviti itu juga sebagai tanda sokongan bagi menjayakan Kempen Pengumpulan Buangan Elektrikal dan Elektronik sempena Hari Alam Sekitar Negara 2020. "Program yang diadakan pada hari ini banyak mengumpulkan barangan seperti televisyen, pencetak, radio, komputer, telefon bimbit dan banyak lagi. "Ini usaha kita menjaga alam sekitar dan menyedarkan masyarakat bahawa barangan sisa elektrikal dan elektronik perlu dihapuskan secara terkawal dan baik," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program pelupusan di Kampung Mangkok di sini hari ini. Program yang diadakan selama dua hari di Rumah Pink, PEWANIS Kampung Mangkok itu berjaya mengumpul lebih 100 barangan elektrikal dan elektronik.  
15 Oct 20
865
ADUN Paka Disahkan Negatif COVID-19
ADUN Paka Disahkan Negatif COVID-19
DUNGUN, 15 Oktober - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Satiful Bahri Mamat memaklumkan hasil ujian saringan COVID-19 terhadap beliau disahkan negatif.  Satiful memaklumkan perkara itu menerusi satu kenyataan yang dimuat naik menerusi halaman Facebook rasminya bahawa beliau bebas daripada wabak itu. "Alhamdulillah, dua kali swab test, dua kali negatif," katanya.  Satiful diantara kontak rapat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato' Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disahkan positif COVID-19 semasa mengadakan kunjung hormat di Kompleks Islam Putrajaya.  "Selepas 14 hari, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mari kerat gelang.  "Bebas dah ambe. Kalau jumpa tu tidak perlu larilah," ujarnya secara spontan dalam kiriman Facebooknya.   Justerus, beliau menzahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang berganding bahu menangani COVID-19.  "Terima kasih pihak 'frontliners' yang sedia berkhidmat, memikul tugas dan amanah," katanya.
15 Oct 20
1102
COVID-19 : Langkah Drastik Jejaki Kontak Rapat Berjaya
COVID-19 : Langkah Drastik Jejaki Kontak Rapat Berjaya
BESUT, 14 Oktober – Langkah drastik yang diambil kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) bagi membendung penularan wabak COVID-19 daripada terus merebak dalam kalangan masyarakat berjaya. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan, dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, persiapan rapi telah dibuat sebagai persediaan sebelum menghadapi gelombang kedua dan ketiga penularan wabak ini. "Alhamdulillah, setakat ini kelengkapan cukup di hospital dan pusat kuarantin selain kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang ada terdiri daripada mereka yang berpengalaman untuk menjejaki kontak rapat kes positif COVID-19," katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas lawatan ke tapak projek pembinaan projek RMM di Kampung Tempinis, Jabi dan projek pembinaan RMM Bukit Cina, Hulu Besut baru-baru ini. Turut hadir, Timbalannya, Ustaz Ahmad Shah Muhamed dan Pegawai Penyelaras DUN Hulu Besut, Ustaz Mat Daik Mohamad. Mengulas lanjut, Dr. Alias berkata, antara kluster baru wujud di Terengganu ialah mereka yang pulang daripada Sabah baru-baru ini. "Alhamdulillah pihak KKM terus dapat menjejaki kontak rapat kes positif ini sekaligus mengasingkan mereka di pusat kuarantin untuk peringkat permulaan. "Dari segi kawalan kes, insya-Allah kita mampu menguruskannya dengan baik, jika kerjasama daripada semua pihak berperanan dengan membudayakan norma baharu dalam kehidupan seharian," ujarnya. Untuk rekod, Terengganu tidak merekodkan sebarang kes positif baharu COVID-19 dalam tempoh tiga hari berturut-turut.
14 Oct 20
1271
UC TATI Terajui Pelaksanaan Data Raya Terengganu
UC TATI Terajui Pelaksanaan Data Raya Terengganu
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober - Kolej Universiti TATI (UC TATI) mendapat kepercayaan kerajaan negeri untuk meneraju pelaksanaan Data Raya (Big Data) bagi Negeri Terengganu sekaligus menambahbaik penyampaian kualiti perkhidmatan kepada rakyat. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, menerusi penubuhan Big Data Institute Terengganu (BDIT) bertempat di kampus universiti milik kerajaan negeri itu, ia menjadi tempat penyelidikan komputeran yang berfungsi sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menerokai cabaran Revolusi Industri 4.0. “Selain itu, objektif penubuhan BDIT ini juga sebagai pusat kecemerlangan akademik iaitu kemudahan dan kepakaran kakitangan UC TATI akan digunakan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran dalam program pengkomputeran terutamanya bagi pelajar institusi berkenaan. “Institut ini juga akan menawarkan perkhidmatan analisis data kepada pihak kerajaan dan swasta bagi membantu menjana pertumbuhan ekonomi negeri,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Big Data Antara UC TATI Dan Kerajaan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini. Pada majlis itu, Kerajaan Negeri Terengganu diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azahar dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Zainal Abidin Mohamed sementara UC TATI diwakili Rektornya, Prof. Dr. Anuar Ahmad dan Pendaftar UC TATI, Mohd Shafaruddin Mustaffa. Turut hadir, Setiausaha Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat (BPTM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu, Zuwislan Awang. Ariffin berkata, kerjasama yang dijalinkan antara BPTM dan UC TATI itu sangat bertepatan dalam memenuhi kehendak kerajaan negeri bagi mendapatkan data yang berintegriti, bersih dan memudahkan pentadbiran kerajaan negeri membuat perancangan dan keputusan masa depan. Katanya, sebanyak RM600,000 diperuntukan kerajaan negeri kepada UC TATI untuk pelaksanaan Data Raya ini. Menurut Ariffin, Data Raya telah digunakan secara meluas dalam pelbagai industri termasuk kerajaan, perbankan, komunikasi, pendidikan, pengangkutan dan lain-lain. “Antara kelebihannya termasuklah penjimatan kos melalui kaedah yang lebih efektif bagi menjalankan aktiviti seharian, penjimatan masa melalui sumber data baharu dan menyokong proses pembuatan keputusan yang lebih bermaklumat, pembangunan produk dan memahami keadaan semasa melalui analisa sentimen pengguna dan pasaran,” ujarnya. Sementara itu, Anuar berkata, pelaksanaan Big Data Analytics ini melibatkan tenaga kerja kakitangan UC TATI sendiri yang berkelayakan PhD termasuk seorang kakitangan yang menyambung pengajian PhD di Mie University, Jepun.  “Kakitangan tersebut akan menjalani latihan tertentu supaya memenuhi keperluan Analytics.  “UC TATI telahpun membuat pembangunan segera Big Data Product pada Ogos lalu dan dijangka berupaya memberi perkhidmatan Big Data Analytics sepenuhnya pada akhir tahun pertama penubuhannya,” ujar beliau.  
14 Oct 20
1173
Taman Negeri Boardwalk Setiu Dinyahkuman
Taman Negeri Boardwalk Setiu Dinyahkuman
SETIU, 14 Oktober - Majlis Daerah Setiu (MDS) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Setiu selesai melakukan operasi disinfeksi atau nyahkuman di Taman Negeri Terengganu, Boardwalk Setiu Wetlands, Kampung Pengkalan Gelap di sini hari ini. Ketua Jabatan Kesihatan Persekitaran, Majlis Daerah Setiu, Nurul Asmera Binti Zamli berkata, operasi itu melibatkan 10 anggota bagi keseluruhan kawasan dan laluan pejalan kaki yang memakan masa hampir 2 jam. "Operasi disinfeksi ini adalah bagi menghapuskan agen-agen bawaan wabak COVID-19 sekali gus mencegah penularan wabak ini," katanya ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). Untuk rekod, Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu baru-baru ini telah mengeluarkan arahan notis penutupan sementara kepada orang ramai dalam mengambil langkah berjaga-jaga situasi semasa akibat pandemik COVID-19. Dalam pada itu, masyarakat terus dinasihatkan untuk mematuhi 'Prosedur Operasi Standard' (SOP) seperti pemakaian pelitup muka, penggunaan 'handsanitizer' dan mengamalkan penjarakan fizikal.
14 Oct 20
1551
PKPM Bantu Kontak Rapat Mangsa COVID-19
PKPM Bantu Kontak Rapat Mangsa COVID-19
MARANG, 13 Oktober - Pusat Khidmat Parlimen Marang (PKPM) mengambil inisiatif membantu kontak rapat mangsa COVID-19 yang sedang menjalani perintah kuarantin di dua lokasi berasingan di daerah ini. Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusof berkata, bantuan wang tunai yang diagihkan melalui Pejabat Daerah Marang itu sedikit sebanyak dapat membantu pihak itu membeli pelbagai barangan keperluan. “Antaranya makanan, barangan kelengkapan diri, naskah al-Quran dan sebagainya,” katanya kepada pemberita. Sementara itu, Pegawai Daerah Marang, Tun Faisal Tun Abdul Razak berkata pihaknya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli Parlimen Marang yang turut bersama-sama membantu. Katanya, pendekatan itu pastinya dapat mengurangkan beban pihak lain untuk membeli pelbagai keperluan diri bagi kontak rapat mangsa COVID-19. “Setiap penempatan iaitu di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan dan Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai mempunyai bilangan kontak rapat yang agak ramai. “Keadaan itu pastinya memerlukan perbelanjaan yang agak besar, terutama bekalan makanan dan barangan keperluan diri,” katanya. Berdasarkan rekod, setakat ini seramai 162 orang kontak-kontak COVID-19 yang sedang dikuarantin. Kebanyakan mereka adalah daripada warganegara Malaysia yang bukan dari daerah Marang.    
14 Oct 20
329
Anwar Sudah Tidak Releven, Wajar Berundur
Anwar Sudah Tidak Releven, Wajar Berundur
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tidak releven dalam politik tanah air selepas beberapa tindak tanduknya menggugat kestabilan negara. Menurut Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, rakyat boleh melihat dengan jelas beliau berbohong ketika sidang media petang tadi dengan mendakwa telah menyerahkan butiran lengkap sokongan yang diperolehi seperti akuan bersumpah ahli parlimen kepada Yang Dipertuan Agung. "Perkara tersebut diperjelaskan semula Istana Negara bahawa Anwar hanya memaklumkan angka tanpa sebarang senarai nama Ahli Parlimen atau bukti berkaitan. "Saya fikir beliau telah mengecewakan seluruh penyokong dia sendiri, negara sementelah lagi. Beliau akan menjadi semakin tidak relevan oleh peristiwa ini. "Mungkin sudah tiba ketikanya beliau memikirkan untuk mengundurkan diri," katanya dalam satu kenyataan semalam. Mengulas lanjut, Timbalan Menteri Sains, Tenaga dan Inovasi (MOSTI) itu berkata, pihaknya mengambil pendirian untuk tidak terlalu terbabit dalam sandiwara politik tidak berkesudahan itu. "Sebaliknya, kami (Perikatan Nasional) akan terus bekerja keras untuk memperbaiki kesejahteraan rakyat dan negara. Kita tidak mahu tumpuan kita disibukkan dengan permainan sandiwara politik yg merugikan semua pihak. "Kerana itu kita tidak terkejut apa yg berlaku hari ini. Kita tahu Anwar Ibrahim tiada angka itu," tambah beliau.
14 Oct 20
1474
Jangan Pandang Ringan Isu 'Sexual Grooming'- Zuraida
Jangan Pandang Ringan Isu 'Sexual Grooming'- Zuraida
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober – Orang ramai diseru supaya memberi perhatian yang serius kepada kes keganasan yang berlaku kepada anak-anak perempuan, terutamanya persediaan seksual atau 'sexual grooming'.  Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor, sebanyak 3,308 kes penderaan yang melibatkan kanak-kanak direkodkan oleh pihak kerajaan. Zuraida berkata lagi, hal itu tambah merungsingkan apabila sebanyak 1,291 kes melibatkan penderaan secara seksual iaitu lebih satu pertiga daripada jumlah keseluruhan. “Apa yang menjadi perhatian saya ialah, kanak-kanak perempuan lebih tinggi peratusan menjadi mangsa dera jika dibandingkan dengan kanak-kanak lelaki.   “Dan kalau dalam kes penderaan seksual pula, tambah memualkan apabila majoriti pelaku adalah mereka yang dikenali mangsa, seperti saudara terdekat dan teman lelaki. “Kita pun sendiri sudah banyak membaca didada-dada akhbar dan di media sosial, bermacam kes. Apa yang pasti, perkara ini akan meninggalkan kesan negatif dalam jiwa mangsa,”ujarnya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman, semalam. Zuraida turut menyuarakan kebimbingannya mengenai polemik ‘sexual grooming’  terhadap anak-anak yang masih kecil. “Apabila kita bercakap soal ’sexual grooming’, kita sebenarnya sedang bercakap tentang masa hadapan generasi pewaris negara kita. “Cuba kita bayangkan, apa kesannya kepada negara kalau mereka membesar nanti, semuanya ber’otak kuning’? Sebab itulah bermula sekarang, masyarakat sudah perlu memainkan peranan masing-masing,”tegasnya. Sexual grooming menurut takrifan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ialah aktiviti jenayah yang menjadikan kanak-kanak sebagai rakan khususnya melalui internet dengan tujuan untuk memujuk mereka supaya menjalinkan hubungan seksual. Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Bukit Aman menunjukkan jumlah kes jenayah seks kanak-kanak meningkat sebanyak 20.3 peratus bagi tempoh enam bulan terakhir 2018 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
13 Oct 20
1015
Sistem Wakaf Dan Pinjam Bantu Pesakit Kronik
Sistem Wakaf Dan Pinjam Bantu Pesakit Kronik
MARANG, 13 Oktober - Sistem wakaf dan pinjam yang mula diperkenalkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang akhir tahun lepas nyata membantu penduduk di daerah itu terutama pesakit kronik yang kurang berkemampuan. Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, sistem yang diamalkan ini membantu dari sudut kebajikan mereka di samping menunggu bantuan daripada agensi berkaitan seperti Majlis Agama Islam dan Adat Melayu serta Jabatan Kebajikan Masyarakat. "Seperti contoh, mereka yang menghidap sakit lumpuh di mana mereka memerlukan katil atau kerusi roda bagi meringankan pergerakan dan pengurusan kendiri serta keluarga. Penyumbang Wakaf Katil Pesakit "Kami juga mengucapkan jutaan terima kasih serta penghargaan kepada semua penyumbang yang baik hati dan dermawan kerana sanggup memberi wakaf katil untuk kegunaan orang lain yang kurang bernasib baik. "Ini dapat mewujudkan masyarakat yang saling menyayangi dan bantu membantu antara satu sama lain sekaligus dapat merapatkan ukhuwwah serta melahirkan masyarakat yang perihatin." katanya. Beliau berkata ketika hadir menyerahkan sumbangan katil pesakit kepada ibu Muhamad Adafis Zakirai yang menghidap sakit lumpuh di Kampung Sungai Kerak. Di samping itu, pihak Dun juga sangat mengalu-alukan mereka yang berhasrat untuk membantu kami kerana di sana adanya satu ganjaran besar iaitu ganjaran pahala untuk bekalan akhirat. Turut hadir adalah, Setiausaha Majlis Tindakan Dun Rhu Rendang, Wan Nelang Abd Rahman, dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Sungai Kerak, Muhamad Azahar Adam.  
13 Oct 20
341
Bomba Sanitasi Taska Permata Keluarga Batu Burok
Bomba Sanitasi Taska Permata Keluarga Batu Burok
KUALA TERENGGANU, 13 Oktober- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu selesai melakukan operasi sanitasi atau nyah cemar di Taska Permata Keluarga Batu Burok, disini, hari ini. Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Wan Mohd Zaki Wan Abdullah berkata, sanitasi tersebut dilakukan berikutan maklumat yang diterima ada kontak kepada kontak rapat pesakit COVID-19 berurusan di taska itu. Katanya, langkah tersebut bagi memastikan 43 kakitangan dan 268 kanak-kanak di pusat jagaan bawah kelolaan YPKT itu kembali ke taman asuhan kanak-kanak (taska) berkenaan dalam keadaan selesa dan selamat selain tidak bimbang penularan wabak COVID-19. "Dengan kerjasama bomba, kita berjaya jalankan sanitasi untuk taska ini sebelum kita buat pembukaan balik esok hari. "Dalam operasi ini, lapan anggota bomba membantu melakukan kerja nyah kuman di tiga bangunan utama dengan mengambil kira aspek keselamatan dan langkah pencegahan awal untuk mengelak pandemik COVID-19," katanya kepada pemberita selepas proses sanitasi taska terbabit. Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah (Taska) YPKT, Nazri Yusoff. Katanya, YPKT terpaksa membuat penutupan sementara terhadap 17 buah daripada keseluruhan 68 taska dibawah kendaliannya sebagai langkah drastik dan ketat bagi membendung penularan wabak tersebut. “Kita ucapkan terima kasih kepada pihak bomba atas kerjasama ini, untuk esok hari kita akan buka sebanyak 12 buah yang mana secara puratanya taska ditutup sementara selama seminggu mulai 7 Oktober lalu,” ujarnya.
13 Oct 20
9418