lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

'Slipway' Mudahkan Pengguna Bot Di Kuala Berang
'Slipway' Mudahkan Pengguna Bot Di Kuala Berang
HULU TERENGGANU, 18 Oktober - Pembinaan 'Slipway' dengan kos hampir RM250 ribu bakal memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk menggunakan bot di Sungai Berang berhadapan dengan Kampung Buluh, Kuala Berang. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang berkata pembinaan 'slipway' ini bertujuan untuk menurunkan bot dengan mudah selain digunakan ketika kecemasan. "Pembinaan 'slipway' ini merupakan satu keperluan yang sepatutnya sudah lama ada di sini. Ianya bertujuan untuk menurunkan dan menaikkan bot dengan lebih mudah. Sekiranya ada keperluan misalnya kejadian mati lemas atau kecemasan di air, kita boleh menurunkan bot dengan lebih cepat dan mudah" jelasnya. Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak pembinaan 'slipway' berdekatan Jambatan Kampung Buluh petang semalam. Menurut beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau berkata projek ini menelan kos yang agak besar, dan baru sahaja memasuki peringkat awal pembinaan. "Projek ini baru saja bermula kerja-kerja melantak cerucuk, dan saya berharap projek ini akan berjalan dengan lancar bagi memberikan kemudahan kepada orang ramai pada masa akan datang," katanya.
18 Oct 20
1866
Jambatan Baharu 'Hadiah' Buat Penduduk Kuala Por
Jambatan Baharu 'Hadiah' Buat Penduduk Kuala Por
HULU TERENGGANU, 18 Oktober - Jambatan baharu bakal menjadi 'hadiah' buat penduduk Kampung Kuala Por, Kuala Berang  yang dikelola oleh Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Hulu Terengganu dengan kerjasama JPP Negeri Terengganu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh  yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri berkata jambatan baharu ini dijangka menelan kos hampir RM200 ribu. "Kos projek ini dianggar lebih kurang RM200 ribu, dan telah mula dibina dalam sebulan yang lepas. Alhamdulillah, ia hampir siap untuk gantikan jambatan yang lama," katanya kepada Urus Setia penerangan Darul Iman (UPDI) ketika melakukan lawatan ke jambatan tersebut di Kampung Kuala Por, baru-baru ini. Tambah Dr Mamad  lagi, jambatan baharu ini merupakan salah satu permintaan penduduk kampung, yang sekian lama memohon untuk menggantikan jambatan lama yang sudah uzur dan berisiko jika terus menggunakannya. "Apabila musim hujan, jambatan lama yang sebelum ini akan tenggelam kerana tiangnya ada yang patah dan runtuh. Ini juga berisiko kepada lori atau pun jentera yang melalui jambatan itu," jelasnya.     .
18 Oct 20
3106
Bina Longkang Atasi Masalah Banjir
Bina Longkang Atasi Masalah Banjir
HULU TERENGGANU, 17 Oktober - Kerajaan negeri melalui Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang meneruskan projek pembinaan longkang baharu  bagi menyelesaikan masalah banjir di Kampung Pantai Ali. ADUN Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata terdahulu Jabatan Kerja Raya (JKR) baru sahaja selesai membina longkang bagi menyelesaikan sebahagian masalah banjir di hadapan Sekolah Kebangsaan Pasir Tinggi, di sini. "Dengan terbinanya longkang ini, insyaAllah masalah banjir akan dapat diatasi. Akan datang, projek ini akan diteruskan lagi oleh Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) dengan kos bernilai RM100 ribu," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak cadangan pembinaan longkang tersebut di hadapan Sekolah Kebangsaan  Pasir Tinggi pada 16 oktober selepas solat jumaat. Menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau berkata projek ini akan ditambah baik lagi pembinaannya pada tahun hadapan. "InsyaAllah, tahun hadapan kita akan tambah lagi peruntukan berkaitan dengan permasalahan banjir di kawasan sekitar ini, terutamanya berdekatan Klinik Kesihatan di kampung ini," "Masalah ini sudah lama disuarakan oleh penduduk kampung dan insyaAllah kita akan bantu semampunya," katanya.
18 Oct 20
1204
Fiqh Siasah Khalifah Abu Bakar RA, Tawar Harga 40 Peratus
Fiqh Siasah Khalifah Abu Bakar RA, Tawar Harga 40 Peratus
MARANG, 18 Oktober - Karya terbaru Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berjudul Fiqh Siasah Khalifah Abu Bakar RA yang berharga RM40 akan diberi potongan harga sehingga 40 peratus sempena ulang tahun kelahiran Tuan Guru yang jatuh pada 20 Oktober 2020 (Selasa)..  Buku terbaru dan bermuka surat 400 helaian itu adalah kesinambungan daripada  buku Fiqh Harakah Siri 1 hingga 3 Sirah Rasulullah SAW.  Siri kali ini mengisahkan perjalanan selepas kewafatan Rasulullah SAW dan perkembangan Islam semasa pemerintahan khalifah yang pertama.  Menariknya, gaya penulisan buku ini adalah dalam bentuk penceritaan yang pastinya ramai tidak sabar untuk menelusuri setiap baris ayat yang dikarang oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ini.  Pada peminat karya Tuan Guru yang tidak mahu terlepas info bolehlah daftar diri dalam pautan ‘Waiting List’.  Banyak lagi tawaran menarik dari pihak penerbit yang akan dimaklumkan dari masa ke semasa.  Orang ramai dijemput daftar sekarang dan dapatkan info pantas: https://bukutghh.onpay.my/prospect/form/fiqhsiyasah
18 Oct 20
842
Perebutan Kuasa, Tuan Guru Presiden 'Steady' Sampaikan Kuliah Dhuha
Perebutan Kuasa, Tuan Guru Presiden 'Steady' Sampaikan Kuliah Dhuha
MARANG, 18 Oktober - "Di saat kekalutan dengan landskap politik tanah negara berdepan situasi sukar, Tuan Guru tetap setia berkuliah dhuha menabur ilmu buat ummah," demikian antara komentar warga maya apabila memerhatikan tuan guru tidak pernah ketinggalan saban Jumaat untuk menyampaikan kuliah Dhuha secara dalam talian walau dalam apa jua keadaan sekalipun.  Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang atau lebih mesra disapa Tuan Guru tetap meneruskan kuliah dhuha walaupun menjadi tumpuan masyarakat berikutan pergolakan politik tanah air minggu lalu. Dalam kuliah tersebut, Abdul Hadi berbicara tentang pelindung orang-orang yang beriman daripada segala kejahatan dan keburukan dunia. "Semua agama, teori-teori ideologi yang bercanggah dengan Islam adalah kegelapan. Cahaya Allah SWT hanyalah pada agama Islam semata-mata. "Barangsiapa yang layak mendapat hidayah, Allah SWT akan menyelamatkannya daripada segala jenis kejahatan sehinggalah dia meninggal dunia dengan husnul khatimah. Kita diajar bergantung kepada Allah SWT dan diajar untuk meminta pertolongan daripadaNya pada setiap rakaat solat. "Pelindung orang kafir terdiri daripada kalangan jin yang tidak dapat dilihat, manusia yang mengaku sebagai tuhan seperti Firaun termasuklah ahli-ahli nujum yang berlagak umpama Allah SWT yang tahu perkara yang akan datang. Maka atas sebab itulah kita disarankan supaya menghadiri majlis-majlis ilmu yang memberikan manfaat dan nasihat yang baik. Mintalah kepada Allah SWT supaya kita dilindungi daripada api neraka, kesesatan, serta syaitan yang kita nampak dan tidak nampak," katanya lagi.
18 Oct 20
237
Bantuan Mangsa Ribut Disegerakan
Bantuan Mangsa Ribut Disegerakan
KUALA NERUS, 18 Oktober - Kira-kira 92 rumah rosak akibat dilanda ribut  dengan sebahagian besar bumbung rumah tercabut dan diterbangkan angin kencang  menerima bantuan segera berupa kepingan atap asbestos dan juga perabung. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, kejadian jam 9.15 malam itu melibatkan 12 kampung antaranya Banggol Donas, Kampung Jeram, Paya Datu dan Tanjung Sabtu kepingan atap baru telah mula diedarkan kepada setiap mangsa bermula pagi semalam. YB Ustaz Ridzuan Hashim memantau pengagihan atap ke ruamh mangsa ribut “Kepingan atap telah kita edarkan ke setiap mangsa ribut agar pembaikan dapat dilakukan dengan segera. “Kita jangkakan pembaikan rumah rosak dapat diselesaikan dalam minggu ini agar rutin harian mangsa tidak terkesan”, ujar beliau lagi. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menziarahi rumah mangsa ribut pagi semalam. Menurutnya, Kampung Buluh Gading Dewan dan Buluh Gading Masjid paling teruk terjejas dengan 56 kediaman dilaporkan mengalami kerosakan akibat dilanda ribut yang berlaku antara 10 hingga 15 minit.  
17 Oct 20
412
43 Rumah Rosak Dibadai Ribut
43 Rumah Rosak Dibadai Ribut
KUALA NERUS, 17 Oktober - Sebanyak 43 buah rumah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading di sini rosak selepas dibadai angin kencang pada jam 8.45 malam tadi. Kebanyakan rumah mengalami kerosakan pada bahagian struktur dan bumbung termasuk yang ditimpa pokok. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, sehingga jam 12 malam sebanyak 43 buah rumah dari enam kampung telah terkesan dengan ribut tersebut. “Kita jangka akan ada pertambahan bilangan rumah yang rosak akibat kejadian ini dan pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sedang mengumpulkan maklumat kerosakan di kampung masing-masing. "Difahamkan juga, setakat ini tiada kemalangan jiwa yang berlaku. “Kali terakhir DUN ini dilanda ribut adalah pada September tahun lepas, mengakibatkan 150 buah rumah rosak,” ujar beliau. Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita selepas kejadian ribut luar biasa yang berlaku malam tadi. Dalam perkembangan sama, beliau berharap agar orang ramai lebih bersiap siaga berikutan peralihan monsun timur laut sejak hujung September lepas dan dijangka berakhir awal November ini.
16 Oct 20
2414
Individu Kuarantin Terima Buah Tangan
Individu Kuarantin Terima Buah Tangan
KUALA TERENGGANU, 16 Oktober- Individu yang menjalani kuarantin di dua pusat kuarantin di negeri ini menerima kunjungan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, hari ini. Dalam kunjungan tersebut, Mohd Nor turut menyampaikan sedikit sumbangan kepada mereka. "Hari ini saya mendapat khabar bahawa ramai dikalangan yang dikuarantin di Terengganu akan keluar dari pusat kuarantin tersebut selepas test terakhir mereka bebas dari wabak COVID-19 ini.  "Jadi, saya mengambil peluang ini untuk memberikan sedikit buah tangan sebagai semangat untuk mereka terus menjalani hidup yang sihat selepas ini. Moga kita semua terus dilindungi dari penyakit COVID-19," ujarnya seperti yang dipetik dalam laman Facebook rasminya. Mohd Nor turut mengharapkan orang ramai terus mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan agar terhindar dari wabak COVID-19.   "Sama-samalah kita jaga diri kita, keluarga dan masyarakat daripada terkena penyakit ini," katanya.
16 Oct 20
493
'Dulu Beli Cermin Mata Kat Pasar Je'
'Dulu Beli Cermin Mata Kat Pasar Je'
HULU TERENGGANU, 16 Oktober - "Alhamdulillah dapat bantuan cermin mata ini kalau tidak, pakai spek beli dekat pasar saja untuk mengaji, " demikian luahan penerima bantuan, Faziah Ismail, 50. Penduduk Kampung Kedai Manir itu meluahkan rasa syukur apabila terpilih sebagai penerima sumbangan cermin mata (sesi pemeriksaan mata) anjuran Jabatan Kebajikan Malaysia JKM Daerah Kuala Terengganu dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat PKM Manir. "Kalau nak beli sendiri memang tak mampu sebab harga beratus, kalau nak mengaji atau isi borang tu memang pakai cermin mata yang beli harga murah-murah saja sebab rabun dekat. "Alhamdulillah, JKM Daerah Kuala Terengganu beri peluang kepada saya dan semoga sumbangan seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang," katanya kepada Media Urusetia Penerangan Darul Iman UPDI. Menurutnya, dia yang sudah kematian suami sejak lapan tahun lalu sangat terharu kerana terpilih untuk sesi bantuan kali ini diadakan di Dewan Musolla Kompleks Al-Kawthar Kubang Lembek, Manir, semalam. Faziah sebahagian daripada 130 penerima yang hadir untuk sesi pemeriksaan mata bagi DUN Manir. Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Masyarakat DUN Manir, Rozali Mamat berkata, cermin mata itu diagihkan kepada warga emas dan golongan B40 yang mengalami masalah penglihatan di kawasan ini. “Ada yang berpendapat, pemberian ini tidak seberapa, namun ia amat bernilai kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
16 Oct 20
907
'Cukuplah 18 Tahun Bergelumang Dengan Najis Dadah'
'Cukuplah 18 Tahun Bergelumang Dengan Najis Dadah'
HULU TERENGGANU, 16 Oktober - “Cukuplah 18 tahun saya bergelumang dengan najis dadah," kata Zakri Ismail, 39, antara Orang Kena Pengawasan (OKP) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang berjaya pulih daripada masalah ketagihan dadah. Zakri Ismail yang lebih mesra disapa Zack, berkata mujurlah sinar keinsafan itu hadir membuatkannya kembali ke pangkal jalan. Dia wajar dijadikan contoh apabila  kini mencorak langkah mengusahakan ternakan lembu di kampung Peroh , Ajil, Terengganu. Ketika menceritakan pengalamannya, Zakri berkata, dia mula terbabit dalam penyalahgunaan dadah ketika berada di Tingkatan Empat kerana terpengaruh dengan rakan sehingga tidak dapat memberi tumpuan kepada pelajaran. Masih berbaki setahun untuk bebas dari pengawasan, Zakri bersyukur mempunyai keluarga terutama arwah ibu yang tidak berputus asa memberi sokongan kepadanya untuk kembali pulih dari penagihan dadah. “Saya bukanlah pemuda yang nakal di kampung, namun mula terpengaruh untuk mengambil bahan terlarang itu secara serius apabila mula bekerja di Shah Alam apabila mula melepak bersama kawan kawan. “Sejak itu, saya hanyut dengan rakan-rakan dan mengabaikan keluarga terutama ibu dan ayah. Setiap minggu saya habiskan RM200 hingga RM300 untuk beli dadah sedangkan saya bukan orang senang.  “Tidak cukup dengan itu, saya diberhentikan kerja walaupun sebenarnya saya menjadi antara pekerja cemerlang ketika itu. Apabila mengingat kembali semua itu, saya berasa amat malu dan menyesal,” katanya yang pernah ditahan polis dua kali. Katanya, pengaruh rakan-rakan terlalu kuat menyebabkannya gagal untuk berhenti mengambil dadah walaupun mempunyai keinginan berhenti, namun semuanya berubah selepas dia berada di bawah pengawasan di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Hulu Terengganu untuk tempoh dua tahun. Zakri berkata, dia mengenali Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim ketika Pengerusi JKPD itu hadir setiap kali sesi kaunseling Agama bersama OKP. “Ayah ( Ustaz Maliaman) berkongsi modal untuk diberikan kepada saya bagi memulakan penternakan. “Allhamdullilah, syukur penternakan semakin maju dengan sokongan ayah dan saya sedang memperbesarkan perternakan ini,” katanya. Sementara itu, Maliaman berkata, masyarakat perlu memberi ruang kepada bekas penagih untuk memperbaiki diri masing- masing. “Program keusahawanan perlu diberikan dan peluang untuk golongan ini bagi melatih bekas penagih dengan memberikan kemahiran serta cara untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan," ujarnya.  
16 Oct 20
9251