lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Utamakan Usaha Tangani COVID-19, Daripada Isu Politik
Utamakan Usaha Tangani COVID-19, Daripada Isu Politik
DUNGUN, 25 Oktober - Wabak COVID-19 yang mencatatkan peningkatan kes ketika ini sepatutnya menjadi keutamaan yang perlu ditangani semua pihak berbanding isu lain termasuk politik. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu,, Wan Hapandi Wan Nik berkata, usaha menjaga kebajikan dan kesihatan rakyat serta ekonomi negara dalam waktu yang mencabar ini perlu diberikan tumpuan. "Usah tamak berpolitik kerana akan merugikan rakyat.  Bukan masa sekarang untuk tunjuk siapa kuat atau siapa paling banyak sokongan. Sekarang masa untuk kita bersatu padu melawan pandemik ini,” ujarnya kepada pemberita. Wan Hapandi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura berkata, tindakan segelintir ahli politik yang tamak akan kuasa boleh mencetuskan ketidakstabilan ekonomi kepada negara.  Beliau menegaskan isu COVID-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini lebih serius berbanding isu politik yang hanya menguntungkan sebelah pihak.  “Kita dapat lihat dimana rakyat sudah muak dengan permainan ahli politik yang gila kuasa ini. Rakyat sudah penat melayan mereka ditambah dengan peningkatan kes COVID-19 setiap hari," ujarnya.  Wan Hapandi turut berharap semua pemimpin politik agar bersatu hati melawan pandemik COVID-19. 
25 Oct 20
453
Pembinaan RMM Kampung Tajin berjalan Lancar
Pembinaan RMM Kampung Tajin berjalan Lancar
HULU TERENGGANU, 25 Oktober - Rumah Mampu Milik (RMM) Kampung Tajin kini dalam proses pembinaan dan dilaporkan berjalan lancar, seperti mana yang dijadualkan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata sehingga hari ini, pembinaan RMM Kampung Tajin berjalan dengan baik dan akan siap tidak lama lagi. "Sebanyak 250 buah unit RMM sedang dibina dan proses pembinaan berjalan dengan lancar setakat ini. "InsyaAllah, saya jangkakan perumahan ini akan dapat disiapkan pada jun 2021," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak RMM di hadapan Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT), Kampung Tajin, baru-baru ini. Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pegawai Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid dan Penyelaras Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kuala Berang, Mohamed Abdullah. Menurut beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Negeri berkata, pihaknya turut berhasrat untuk membina sebuah masjid bagi kemudahan penduduk di kawasan Limau Rendang ini. "Ada beberapa ekar tanah di sini (Limau Rendang) yang kita akan buat pengambilan untuk bina masjid. Ini kerana, masjid yang baru ini boleh digunakan oleh masyarakat dan pelajar di sekolah yang terdekat di kawasan ini," katanya.  
25 Oct 20
7709
Sukan Jadi Ejen Perpaduan Masyarakat
Sukan Jadi Ejen Perpaduan Masyarakat
HULU TERENGGANU, 25 Oktober - Sukan bukan sahaja untuk dilihat dan nikmati, tetapi jauh lebih besar kerana sukan adalah ejen perpaduan yang akan menyatukan masyarakat. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, sukan perlu dimartabatkan oleh semua pihak sekali gus merapatkan hubungan sesama kaum dan dapat menghapuskan tembok politik perkauman dan agama. "Sukan bukan sahaja untuk kita lihat dan nikmati, tetapi jauh lebih besar kerana sukan adalah ejen perpaduan yang akan menyatukan kita dan rakyat perlu bangga dengan ini. Melalui program sukan ini juga, ia akan dapat menjadi platform kepada penduduk untuk berkumpul dan bersatu dalam menjayakan program yang dirancang. “Sukan jelas menjadi wadah yang dapat mengintegrasikan masyarakat di daerah ini. Apabila bersukan atau beriadah, tiada siapa pun yang akan memikirkan mengenai politik atau warna kulit, sebaliknya mereka hanya memikirkan cara terbaik untuk bermain dalam satu kumpulan.    “Program sukan seperti karnival sukan perlu diteruskan kerana ini merupakan kunci utama untuk memenangi hati masyarakat. Sukan juga merupakan platform penting dalam menggalakkan penyertaan belia dalam kemasyarakatan dan yang lebih penting dapat mengeratkan lagi silaturahim di antara semua lapisan masyarakat,"katanya ketika merasmikan penutupan Explorace anjuran MBFM Felda mengkawang, di Dataran Felda Mengkawang semalam. Tambah beliau lagi, generasi muda dan belia digesa supaya berusaha mengelak diri daripada terlibat dengan sebarang gejala tidak sihat kerana tiada sebarang kebaikan yang bakal mereka perolehi, tetapi apa yang nyata ialah mereka menghancurkan masa depan diri dan memusnahkan harapan bangsa dan negara. “Penglibatan golongan belia dalam aktiviti bersukan dapat mengelakkan mereka terlibat dari sebarang gejala yang tidak sihat.Menerusi aktiviti sebegini juga kita dapat berkumpul dan beramah mesra antara satu sama lain. “Perbezaan politik dan fahaman dapat dikurangkan apabila masyarakat sesuatu tempat itu menyertai aktiviti aktiviti begini dan sekaligus akan memberi kesan yang baik dalam memupuk kehidupan yang lebih baik dalam masyarakat,”ujar Maliaman.
24 Oct 20
1581
Mohon Lesen, Jangan Ceroboh Tanah
Mohon Lesen, Jangan Ceroboh Tanah
SETIU, 24 Oktober – Orang ramai dinasihatkan agar tidak menceroboh tanah kerajaan sesuka hati walaupun bertujuan untuk memajukannya. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, mereka yang berminat untuk mengusahakan tanah bagi tujuan perusahaan akuakultur seperti sangkar ikan boleh memohon Lesen Menduduki Sementara (LMS). Katanya, di seluruh Terengganu terdapat banyak lokasi tanah, tasik, kolam dan sungai milik kerajaan negeri yang telah dimanfaatkan oleh rakyat untuk aktiviti tersebut. "Ramai yang sudah diberikan LMS, mereka bukan sahaja tidak diganggu, malah dibantu lagi oleh kerajaan.  "Dalam proses nak meluluskan LMS ini, pandangan teknikal daripada beberapa jabatan terlibat seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Daerah, Jabatan Perikanan, Jabatan Taman Negeri, Jabatan Alam Sekitar, Plan Malaysia dan beberapa jabatan lain lagi akan dikaji. ‘’Sekiranya tiada apa-apa isu berbangkit, maka tiada masalah untuk permohonan LMS tersebut diluluskan kerana hasrat kerajaan adalah untuk memajukan industri," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya ada isu berbangkit dengan lokasi tapak projek yang dimohon, maka perbincangan boleh dibuat untuk mencadangkan lokasi lain yang lebih sesuai.  "Hasrat kerajaan ialah untuk bantu rakyat dengan mengambil kira juga kepentingan pihak-pihak lain yang turut berkaitan.  "Tak boleh kita terus ceroboh begitu saja kerana negeri ini ada tuan yang jaga. Tuan yang jaga negeri ini menjaga amanah tanah, bumi dan air untuk rakyat keseluruhannya," tegasnya.
24 Oct 20
5845
Kesan Awal, Nyawa Anda Selamat
Kesan Awal, Nyawa Anda Selamat
Foto : Angah Hanis  KUALA TERENGGANU, 24 Oktober – Kaum wanita perlu tahu bahawa kanser payudara yang dikesan pada tahap awal, mempunyai sinar harapan yang cerah untuk pulih. Ketua Kluster Perubatan Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Negeri Terengganu (KHAIRUNNISA’), Dr Farhaana Husainy Hasbullah berkata kanser payudara adalah kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan wanita. Menurut beliau lagi, kanser nombor satu tertinggi ini menyumbang kepada 17.7 peratus daripada keseluruhan kanser di Malaysia dan 32.1 peratus daripada keseluruhan kanser yang dialami oleh wanita. Namun katanya, 43 peratus daripada keseluruhan kanser payudara di Malaysia dikesan pada tahap lewat iaitu tahap tiga dan empat. “Kanser payudara menjadi penyebab kematian keempat tertinggi dalam kalangan wanita. Pada tahun 2018, terdapat 7598 kes baharu kanser payudara di Malaysia dan 40 peratus dikesan pada tahap yang teruk iaitu tiga dan empat. “Saya ingin tegaskan bahawa pengesanan awal kanser payudara dan dengan rawatan awal, peluang pulih (5 year survival rate) adalah lebih dari 90 peratus jika dikesan di tahap satu dan dua, malah menghampiri 100 peratus bagi tahap satu. “Pengesanan awal ialah melalui ujian mammogram dan ini adalah cara yang paling efisien untuk mengesan kanser bagi wanita berumur lebih dari 40 tahun. Wanita juga digalakkan melakukan pemeriksaan sendiri payudara serta pemeriksaan payudara oleh kakitangan kesihatan terlatih,"ujarnya. Dr Farhaana berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini. Beliau menambah, bahawa tanda paling kerap bagi kanser payudara ialah benjolan manakala tanda-tanda lain yang boleh dikesan ialah perubahan pada saiz atau bentuk payudara, lelehan dari puting payudara atau perubahan warna dan rupa kulit payudara. Namun begitu, Dr Farhaana mengingatkan bahawa kadangkala tidak ada sebarang tanda sehinggalah kanser itu telah merebak. Justeru itu katanya, mammogram adalah wajib dilakukan walaupun tiada simptom, khususnya bagi mereka yang berisiko tinggi. “Sekiranya terdapat tanda-tanda seperti yang disebutkan, perlulah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut, hal ini demikian kerana, lapan daripada 10 benjolan yang dikesan adalah bukan kanser. “Setiap wanita perlu mengenali payudaranya dengan terperinci dan perlu melakukan pemeriksaan sendiri payudara setiap bulan untuk mengesan sebarang perubahan,” jelasnya.
24 Oct 20
625
Tuan Faizah Bawa Pulang Baka Strawberi 'Rare'
Tuan Faizah Bawa Pulang Baka Strawberi 'Rare'
MARANG, 23 Oktober - Galeri Madu Big Bee yang diusahakan Nor Ehsan Abd Rahman @ Draman, 42 dan dibantu anaknya Nor Alya Syamimi Nor Ehsan, 18, di kampung Jambu Bongkok mendapat perhatian Isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman baru-baru ini. Menurut Tuan Faizah, beberapa baka tanaman strawberi yang unik dan tidak terdapat di Pusat Informasi Pertanian Bandar Kediaman Seri Setia mengundang beliau untuk hadir ke galeri terbabit. "Di samping menambah koleksi tanaman dan jenis baka yang unik di Seri Setia, pelbagai ilmu dan maklumat berkaitan pertanian yang dikongsikan bersama boleh dimanfaatkan sebaik mungkin. "Antara spesis yang dibawa pulang adalah jenis Snow Rabbit dan Kabarla," jelasnya selepas kunjungan tersebut. Buah Strawberi spesis Japanese Sweet Charlie' (JSC) yang terdapat di Galeri Madu Big Bee Sementara itu, Nor Ehsan berkata perniagaan itu ditubuhkan bermula 17 tahun lalu iaitu pada tahun 2003 ketika masih di bawah syarikat 'Four NJaya Trading'. Kemudian katanya, pada 2008, beliau memutuskan untuk bertukar kepada Big Bee Honey Sdn Bhd dan mengusahakan penternakan lebah serta lebah kelulut. "Di galeri ada lima jenis madu iaitu Madu Lebah Akasia, Madu Lebah Tualang (Manis), Madu Lebah Tualang (Pahit), Madu Kelulut Akasia, dan Madu Kelulut Hutan. "Manakala pokok Strawberry yang pernah diusahakan pula sebanyak 27 spesis, antaranya adalah Japanese Sweet Charlie' (JSC), Shogun, Snow Rabbit, Sweet Charlie, Ruby Gem, Kabarla, Kamilla dan lain-lain. "Pelanggan atau pelancong boleh mempelajari ilmu penternakan dan kehidupan lebah dan lebah kelulut. Selain itu, mereka juga berpeluang untuk merasai sendiri pelbagai jenis madu. "Mereka juga dapat mengetahui kaedah pertanian bandar dan pelbagai jenis tanaman lain seperti salah satunya ialah tanaman strawberi tanah rendah," tambahnya lagi. Minat Nor Ehsan dalam bidang berkenaan sangat mendalam sehingga melayakkannya menjadi ikon pelancongan di negeri Terengganu. Nor Ehsan juga dapat menjayakan konsep ladang kontrak dan dalam masa yang sama memudahkan transformasi perkongsian ilmu.
23 Oct 20
1114
Padang Bola Bukit Gasing Siap Mac Depan
Padang Bola Bukit Gasing Siap Mac Depan
MARANG, 23 Oktober - Padang Bola baru dilengkapi astaka dan dataran yang kini sedang giat dibina di Kampung Bukit Gasing dijangka siap menjelang Mac depan. Padang itu merupakan projek pembangunan di bawah peruntukan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang. Pegawai Khas Menteri Besar, Sabri Zakaria berkata, pembinaan kemudahan prasarana tersebut mendapat perhatian daripada Ahmad Samsuri setelah beliau sendiri turun melihat kawasan padang yang ketika itu berada dalam keadaan yang agak teruk. "Melihat kepada keperluan berkenaan, beliau telah bersetuju menaik taraf padang Bukit Gasing di samping menjadikannya sebagai Akademi Bola Sepak DUN Rhu Rendang yang bakal menjadi pusat latihan bola sepak bagi mencungkil bakat anak muda untuk peringkat yang lebih tinggi. "Dengan pembangunan yang dijalankan, penggunaan padang ini boleh dimanfaatkan oleh semua rakyat di seluruh DUN Rhu Rendang, bukan sahaja hanya tertumpu untuk penduduk Bukit Gasing," katanya. Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika meninjau keadaan padang semalam. Sementara itu, seorang pemuda berasal kampung Bukit Gasing, Abd Rahman Awang, 30, menyatakan perasaan yang sangat gembira dan bersyukur atas pembinaan padang tersebut. “Mewakili anak muda di sini, yang telah lama mengharapkan kemudahan lengkap seperti ini, ianya adalah satu hadiah yang cukup besar dan bermakna. "Penduduk sekitar juga boleh menggunakan padang yang serba lengkap ini kerana di sini tiada dewan serbaguna lain sebagai tempat melakukan aktiviti besar seperti acara tahunan iaitu Hari Keluarga. "Sebelum ini, padang sedia ada tidak rata, berlopak, menyebabkan timbul pelbagai kekangan untuk melakukan aktiviti dan riadah," tambahnya lagi.
23 Oct 20
4864
Elak Dicekup, Cubaan Lari Melalui Tingkap Gagal
Elak Dicekup, Cubaan Lari Melalui Tingkap Gagal
MARANG, 25 Oktober - Cubaan seorang lelaki untuk melarikan diri melalui tingkap bagi mengelakkan dirinya dicekup gagal apabila berjaya dikawal dan ditahan oleh penguatkuasa. Pasangan yang masing-masing berusia awal 40-an dicekup dalam satu serbuan di sebuah rumah kira-kira jam dua pagi semalam. Ketua Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad Amar), Nasaruddin Samsudeng berkata, satu serbuan telah dilakukan dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah Marang setelah menerima aduan daripada penduduk setempat. Keadaan motor yang disembunyikan di dalam semak “Dipercayai individu terbabit telah menyembunyikan motosikal miliknya di dalam semak bagi mengelakkan perbuatannya ke rumah wanita tersebut dihidu oleh orang kampung. “Namun, perbuatannya itu tetap berjaya dikesan oleh si pengadu kerana pelik dan syak setelah kerap menjumpai motosikal disembunyikan di kawasan tersebut,"katanya Katanya, pada malam ini, setelah mendapat maklumat, skuad Amar telah turun membantu Pegawai Penguatkuasa Syariah (PPS) bagi membanteras perkara tidak bermoral ini. “Kerjasama ini akhirnya berjaya dengan bantuan bilangan ahli dan sukarelawan Skuad Amar yang cukup sewaktu proses serbuan dijalankan di mana kita lihat cubaan melarikan diri berjaya digagalkan,” tambahnya lagi. Pasangan tersebut akan didakwa di mahkamah di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganh) 2001, Seksyen 29, iaitu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah. Apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
22 Oct 20
439
MBKT Cantas Pokok Rhu Ancam Keselamatan
MBKT Cantas Pokok Rhu Ancam Keselamatan
KUALA TERENGGANU, 22 Oktober – Pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah mengambil inisiatif memotong dahan-dahan pokok rhu di bahu Jalan Sultan Mahmud Kuala Ibai yang tinggi dan membahayakan orang awam. Penolong Pegawai Pertanian, Jabatan Landskap MBKT, Hasrol Ferdaus Mahmod yang menyelia kerja tersebut memaklumkan, kerja-kerja berkenaan dilaksanakan selama tiga hari berakhir hari ini dan melibatkan seramai 40 orang petugas dari pelbagai jabatan di MBKT. “Kami menerima aduan daripada orang ramai berkenaan pokok rhu ini dan beberapa hari lalu, kami telah mulakan kerja-kerja mencantas dahan pokok bagi memastikan ia tidak membahayakan pengguna jalan raya," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini. Operasi tersebut dilaksanakan secara berperingkat berikutan terjadi banyak kejadian dahan patah dan pokok tumbang yang membabitkan pengguna laluan itu. Baru-baru ini, sebuah kereta telah terlibat dalam kemalangan di Jalan Sultan Mahmud Kuala Ibai akibat dihempap sebatang pokok rhu yang tumbang ketika ribut melanda kawasan tersebut. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi turut memuat naik satu hantaran dalam laman Facebooknya merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak MBKT atas tindakan tersebut.
22 Oct 20
793
Lima Beranak Huni Rumah Usang Dapat Kediaman Baharu
Lima Beranak Huni Rumah Usang Dapat Kediaman Baharu
MARANG, 22 Oktober - Nasib lima beranak yang menghuni 'pondok' usang di Kampung Alur Tuman di sini mendapat perhatian apabila mereka bakal mendapat rumah baharu lebih selesa. Selepas lebih 30 tahun tinggal di rumah uzur dan daif itu, ibu tunggal, Zaidah Ghazali, 46, bakal menerima bantuan bina rumah baharu di bawah peruntukan khas Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan proses pembinaannya dijangka bermula dalam masa terdekat. Zaidah yang berkerja sebagai pembuat kuih tradisional selepas suaminya meninggal enam tahun lalu terpaksa berteduh di pondok itu bersama empat anak mereka. Menurut Zaidah, dia amat bersyukur apabila menerima bantuan tersebut dan tidak dapat membayangkan kegembiraan apabila akan tinggal di kediaman baharu "Saya berasa bersyukur setelah mendapat tahu saya akan menerima bantuan ini, dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atas pembinaan jalan asas untuk ke tanah tapak rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam. Sementera itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, bagi mendapat kelulusan bina baru, syaratnya adalah rumah yang hendak dibina mestilah mempunyai jalan asas untuk ke tapak tanah. "Jalan itu telah dibina dibawah peruntukan ADUN Rhu Rendang yang juga Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, ia bagi memudahkan kerja-kerja pembinaan dan membawa masuk barang-barang yang diperlukan oleh tukang rumah atau kontraktor yang terlibat. Jalan Asas yang dibina ke tapak rumah Puan Zaidah di bawah peruntukan YAB ADUN Rhu Rendang "Kita telah berusaha membantu Puan Zaidah setelah mendapat aduan daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Alur Tuman, dengan membangkitkan isu ini ke dalam mesyuarat Focus Group, pembasmi kemiskinan di Daerah Marang. "Puan Zaidah telah dijadikan sebagai calon peserta Mobile Team yang melibatkan beberapa jabatan untuk dibuat siasatan khusus berkenaan kelayakannya," ucapnya lagi. Sebelum ini, tinjauan telah dibuat oleh Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman.
22 Oct 20
10416