lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Sinar Baharu Buat Keluarga Norzaimah
Sinar Baharu Buat Keluarga Norzaimah
KUALA TERENGGANU, 30 Oktober - Kunjungan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dan ADUN Wanita, Zuraida Md Noor ke teratak Wan Norzaimah Wan Muhammad bakal mengubah kehidupan ibu tujuh anak itu ke arah yang lebih baik. Sebelum ini, Norzaimah buntu untuk mencari sumber pendapatan tetap selepas ditinggalkan suami. Lebih parah, dia terpaksa membesarkan tiga anaknya yang disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU). Penderitaan 'ibu tinggal' itu mendapat perhatian pihak berwajib yang menziarahi keluarga terbabit semalam dan hasrat Norzaimah untuk membuka perniagaan serta mempunyai pendapatan tetap bakal termakbul. Menurut Zuraida, PKM dan pihaknya telah bersetuju untuk membantu Norzaimah dengan membelikan barangan keperluan perniagaan. "Hari ini adalah tindakan susulan dengan membeli kelengkapan untuk membuka kedai dan memudahkan urusan mereka untuk berniaga di tempat yang baru disewa di Kampung Pulau Kerengga. "Saya mengharapkan apa yang kita usahakan hari ini dapat membantu keluarga Norzaimah untuk berdikari dan ada sumber pendapatan tetap untuk menyara anak-anaknya. "Jiran-jiran dan masyarakat sekeliling juga perlu memainkan peranan penting untuk sama-sama dalam memberi bantuan di mana ibu ini berada dalam keadaan sedang diuji di samping mendoakan urusan perniagaannya agar berjalan dengan lancar," katanya ketika ditemui pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas memberi bantuan kepada Norzaimah kelmarin. Hadir sama, Pegawai Khas PKM DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng. Sementara itu, Norzaimah menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada PKM DUN Rhu Rendang serta ADUN Wanita atas sumbangan yang diberikan. "Proses untuk memulakan perniagaan iaitu membuka kedai makan telah dimulakan dengan memohon lesen dan mengubah suai kedai yang baru disewa. "Saya juga mengambil upah menjahit baju sementara menunggu kedai ini dibuka sepenuhnya bagi menyara keluarga dengan dibantu oleh anak-anak terutamanya anak sulong saya," tambahnya lagi. Untuk rekod, keluarga Norzaimah telah menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat di samping mendapat perhatian sebagai penama Focus Group.
30 Oct 20
395
Rutin Mingguan Pemuda Rhu Rendang Bantu Penduduk Setempat
Rutin Mingguan Pemuda Rhu Rendang Bantu Penduduk Setempat
MARANG, 1 November- Menjadi rutin Lajnah Kebajikan Penyelaras Pemuda Pas Dewan Rhu Rendang pada setiap minggu menyampaikan sumbangan dan bantuan kebajikan menziarah penduduk setempat yang kurang bernasib baik. Ketua Penyelaras Pemuda Pas Dun Rhu Rendang, Ziyad Zakaria berkata  lajnah itu akan memilih mana-mana cawangan di di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang. “Seramai sepuluh orang daripada golongan yang kurang berkemampuan akan dipilih dengan kerjasama pemuda cawangan setempat untuk dibantu. “Sumbangan yang diberikan berbentuk keperluan asas dan barang dapur, pada masa yang sama, sumbangan bola sepak turut diberikan kepada kampung yang mempunyai padang bola,"katanya. Beliau berkata sebaik sahaja selesai program ziarah pemuda di Kampung Batangan yang bermula sekitar jam 5.00 petang, baru-baru ini. Menurutnya lagi, walaupun sumbangan dan bantuan yang diberikan mungkin tidak sebesar mana, tetapi ianya sangat bermakna kepada mereka yang memerlukan.” “Selain itu, ziarah ini membuka ruang untuk kita saling mendekati antara satu sama lain, menunjukkan kecaknaan dan membina hubungan baik sesama masyarakat. “Program hari ini adalah merupakan kali ke-12, melibatkan Kampung Batangan dan bakinya masih ada lapan cawangan,”tambahnya lagi.
30 Oct 20
139
Masyarakat Islam Perlu Kenang, hayati Sirah Perjuangan Nabi
Masyarakat Islam Perlu Kenang, hayati Sirah Perjuangan Nabi
HULU TERENGGANU, 30 Oktober – Masyarakat Islam perlu menghayati makna di sebalik sambutan Maulidur Rasul dan sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW untuk dijadikan panduan dalam menghadapi pelbagai cabaran masa kini. Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN)Ajil, Maliaman Kassim berkata renungan dan peringatan zahir sahaja tidak memadai jika tiada pengisian penting dan penghayatan untuk mentafsirkannya dalam bentuk akidah dan amalan. "Majlis seumpama ini penting bagi memperingati kisah perjuangan dan pengorbanan baginda berdakwah dan memartabatkan Islam.   "Ini juga merupakan kaedah penyatuan ummah dan permuafakatan paling berkesan bagi menyatupadukan masyarakat Islam daripada pelbagai perbezaan pendapat dan ideologi," katanya. Beliau berkata demikian ketika memberi Tazkirah sempena sambutan Maulidur Rasul Dewan Masjid Kampung Menerong dekat sini, semalam yang disertai kira-kira 150 penduduk. “Rabiul Awwal merupakan bulan yang sangat dimuliakan oleh orang Islam khususnya di seluruh pelosok dunia kerana pada tanggal ke-12 bulan tersebut merupakan hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W," ujarnya. Tambahnya lagi, dalam menyingkap tabir sirah Rasulullah, terdapat banyak peristiwa bersejarah yang berlaku dalam bulan tersebut sebelum kelahiran Baginda, antaranya ialah kegagalan tentera bergajah dalam cubaan untuk menghancurkan Kaabah. “Setiap tahun hari kelahiran Rasulullah SAW diraikan supaya setiap umat Islam dapat mengambil iktibar daripada setiap sesuatu yang dilakukan dan diamalkan baginda untuk dijadikan panduan dan pedoman. "Rasulullah SAW merupakan contoh yang terbaik kepada setiap umat Islam dalam segala aspek kehidupan," katanya.
30 Oct 20
751
Kesabaran Pekebun Kecil Berbaloi
Kesabaran Pekebun Kecil Berbaloi
KUALA NERUS, 28 Oktober - Kesabaran pekebun kecil di Sungai Emas, Bukit Guntung yang menunggu proses mencuci dan menggali parit di kawasan itu selama sebulan akhirnya terbalas apabila operasi itu selesai sepenuhnya beberapa hari yang lalu.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, segala masalah yang membelenggu penduduk setempat dijangka tidak akan berulang lagi selepas ini khususnya buat pekebun-pekebun kecil yang sentiasa berdepan masalah kerosakan tanaman apabila berlaku limpahan air. "Insya-Allah, masalah limpahan air di sekitar kawasan ini sehingga merosakkan tanaman di kebun penduduk dijangka akan melegakan semua yang terlibat. "Hampir sebulan kerja-kerja proses mencuci dan menggali parit Bukit Jong, Sungai Emas dan Pengkalan Gelugur di Bukit Guntung telah berjaya disempurnakan dengan penglibatan sepenuhnya penduduk yang berkaitan," katanya semasa meninjau operasi di parit berkenaan kelmarin. Menurut beliau, kerjasama yang baik daripada orang ramai terutamanya penuntut Madrasah Darul Muhajirin (Pondok Bukit Jong), pekebun-pekebun kecil di Bukit Jong dan Sungai Emas serta penduduk kampung Pengkalan Gelugur sangat dihargai. "Tempoh masa yang agak lama terpaksa dilaksanakan oleh kontraktor kerana sebahagian tali air sedia ada tertimbus dan menyukarkan laluan jentera berat namun ia berjaya diatasi dengan lancar,” jelasnya. Sebelum ini kerja-kerja pembersihan parit ini dilaksanakan di Kg.Banggol Nyiur, Gemuroh, Kg Raja Tepoh, Kg.Tok Ba dan sekarang kerja-kerja ini sedang dilaksanakan di Kg.Tok Jiring.
28 Oct 20
541
YADIM Peduli Lestari Dakwah, Bantu Keluarga Miskin
YADIM Peduli Lestari Dakwah, Bantu Keluarga Miskin
MARANG, 28 Oktober - Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) Terengganu terus melestarikan gerakan dakwah dengan menyumbang bantuan kepada golongan kurang bernasib baik menerusi program ‘YADIM Peduli’. Program yang diadakan bersempena Bulan Dakwah 2020 menjadi agenda utama meningkatkan aktiviti dakwah di peringkat negeri bermula 3 Oktober sehingga 30 Disember tahun ini. Penolong Pengarah YADIM Terengganu, Nasrul Hadi Saidin berkata melalui agenda tersebut, dianggarkan sebanyak 100 program telah disusun di pelbagai peringkat sehingga ke kawasan kampung. “Ini termasuklah program ziarah prihatin yang dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang hari ini. “Kami di Terengganu merasakan program sebergini perlu diteruskan, yang kurang bernasib baik perlu disantuni, yang sakit perlu diziarahi, dibantu dan didoakan kesihatan mereka. “Inilah gambaran sebenar bertapa indahnya islam yang disifatkan seperti sebuah binaan yang sentiasa menguatkan antara satu sama lain. “Mudah-mudahan ujian yang dilalui bukanlah menjadi penghalanh untuk kita sentiasa redha dan sabar dengan ujian dari Allah SWT," katanya sebaik sahaja selesai program ziarah “Yadim Peduli’ Musaadah COVID-19 di kampung Rusila semalam. Turut hadir adalah Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng, dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Rusila, Azhan Muda.
28 Oct 20
674
YPU Belanja RM500,500 Bina Kiosk Untuk Usahawan
YPU Belanja RM500,500 Bina Kiosk Untuk Usahawan
BESUT, 28 Oktober - Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu telah membelanjakan sebanyak RM500,500 bagi membina kiosk perniagaan untuk usahawan di negeri ini.  Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, sehingga September tahun ini, sebanyak 77 buah kiosk perniagaan telah dibina.  "Bagi Parlimen Besut sahaja, 18 unit telah dihantar ke lokasi terpilih seperti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut, DUN Kota Putera dan DUN Kuala Besut melibatkan peruntukan sebanyak RM117,000.  "Pelaksanaan program ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan negeri agar gerai-gerai di Terengganu lebih bersih dan menarik sekaligus dapat menarik lebih ramai pelanggan dalam membantu meningkatkan hasil jualan pengusaha,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Surat Tawaran Sewa Program Gerai Maju di Besut, semalam.  Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Ahmad Farhan Abdul Wahab, Ketua Pegawai Operasi YPU, Zulkifli Yunus dan Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh.  Tambah Nurkhuzaini, beberapa syarat telah ditetapkan untuk memohon Program Gerai Maju tersebut.  "Kesemua kadar sewaan bagi 77 buah kiosk ini hanya serendah RM150 untuk sebulan.  "Permohonan gerai ini adalah untuk rakyat Terengganu yang berumur 18 hingga 55 tahun serta mempunyai pendaftaran perniagaan sekurang-kurangnya enam bulan," katanya.  Nurkhuzaini juga berharap agar usahawan yang diberi peluang menyertai Program Gerai Maju dapat memberi tumpuan dan komitmen tinggi dalam menjalankan perniagaan sekaligus dapat meningkatkan pendapatan.  "Inilah masanya untuk kita membuktikan kepada kerajaan negeri bahawa pelaksanaan Program Gerai Maju ini merupakan salah satu program terbaik yang memberikan peluang kepada usahawan-usahawan untuk menjalankan perniagaan dan seterusnya dapat meningkatkan pendapatan.  "Dalam jangka masa panjang, program ini juga diharapkan menjadi contoh kepada peniaga-peniaga lain untuk menaiktaraf gerai-gerai mereka sepertimana kiosk ini yang lebih kemas dan mampu menarik lebih ramai pelanggan," katanya.  
28 Oct 20
1383
‘Aryan Nak Pindah Rumah Baru’
‘Aryan Nak Pindah Rumah Baru’
KUALA TERENGGANU, 27 Oktober- “Sampai sekarang saya masih tidak dapat terima kerana Aryan pergi dalam keadaan sihat, tidak sangka secepat ini dia meninggalkan kami sekeluarga,” kata Nurul Amelia Ali, 34, ibu kepada Mohamad Aryan Defa Danish Mohd Azizul,6, yang maut setelah tergelincir dari tingkat 15 flat Ladang Gemilang 1 Ahad lalu. Meskipun reda dengan pemergian anak tersayang, setiap detik terakhir bersamanya pasti akan dikenang sepanjang hayat. “Selepas Aryan tiada saya sangat sedih dan asyik menangis, hanya baju dan gambar dia menjadi pengubat rindu, hari ini baru saya kuat sedikit dan boleh berdepan dengan orang ramai,” ujarnya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat di rumah datuk arwah di Jalan Kenanga Batu Burok, semalam. Nurul Amelia. Rombangan yang diketuai oleh Hanafiah itu turut menghulurkan sedikit sumbangan dan melahirkan rasa simpati terhadap kejadian yang berlaku selain memberikan kata-kata semangat kepada ibu bapa mangsa. Berkongsi pilunya, Nurul Amelia berkata, pagi sebelum kejadian tidak banyak perubahan ketara ditunjukkan Aryan, cuma anak ketiga daripada empat beradik itu asyik bercakap hendak ke rumah baru. “Ketika bermain dengan adiknya, Aryan bagi tahu nak pindah rumah baru, dia juga banyak duduk di atas sofa dan merenung tingkap cermin tempatnya terjatuh. “Semasa kami sama-sama kemas rumah pagi tu, Aryan juga tiba-tiba bersalaman dengan saya, memang tidak sangka ia seolah-olah petanda Aryan akan meninggalkan kami,” katanya. Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa dikatakan terjatuh dari tingkap di ruang tamu ketika tinggal bersendirian di rumah.  Menurut ibunya, mangsa ditinggalkan seketika di rumah kerana tidur manakala dia bersama anak bongsu yang berusia empat tahun keluar membeli barang di kedai berdekatan. Katanya, kejadian itu hanya disedari semasa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas dihubungi suaminya, Mohd. Azizul Mohamad, 35, yang ketika itu bekerja luar daerah di Dungun.
28 Oct 20
4516
PKM Buka Ruang Kolaborasi Dengan Semua Pihak Demi Kepentingan Rakyat
PKM Buka Ruang Kolaborasi Dengan Semua Pihak Demi Kepentingan Rakyat
MARANG, 28 Oktober - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM)membuka ruang untuk bekerjasama dengan semua pihak demi kepentingan rakyat. Pegawai Khas PKM Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya menyambut baik program agihan sumbangan yang dijalankan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM). "Sebanyak lima buah rumah telah dipilih sebagai penerima bantuan sumbangan keperluan asas melalui ‘YADIM Peduli’ Musaadah COVID-19 di Kampung Rusila hari ini. "Antara yang dikunjungi adalah mereka yang kurang berkemampuan, sakit dan sebagainya," katanya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sebaik sahaja selesai program ziarah bersama YADIM semalam. Menurutnya lagi, program seperti itu sangat dialu-alukan dan sebagaimana kerjasama yang dilakukan hari ini, akan diteruskan pada masa akan datang. Sementara itu, Penolong Pengarah YADIM Negeri Terengganu, Nasrul Hadi Saidin berkata, walaupun pihaknya bukan satu badan yang menyediakan dana namun mereka telah melancarkan Tabung Dana Infaq untuk perbelanjaan dalam tujuan-tujuan tertentu seperti dakwah, pendidikan dan kebajikan. "Jika 30 juta penduduk Malaysia berinfaq sebanyak RM1 seorang, maka kami mampu meneruskan kesinambungan dakwah dengan lebih lancar dan dapat membantu lebih ramai insan yang memerlukan. "Agenda yang lebih besar ini juga adalah bagi memastikan program dakwah islamiah dan islahiah dapat dirasai oleh semua peringkat masyarakat. "Inilah yang dihasratkan oleh pihak pengurusan YADIM sekarang yang berada di bawah kepimpinan Yang Dipertua Ustaz Nasruddin Hassan. "Pihak kami juga sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan semua pihak, dan boleh menghubungi kami di talian 09-6263888 sekiranya ingin berkerjasama untuk melaksanakan program dakwah di daerah-daerah," tambahnya lagi.
28 Oct 20
177
Henti 'Politicking', Patuhi Titah Agong
Henti 'Politicking', Patuhi Titah Agong
KUALA TERENGGANU, 28 Oktober – Ahli politik diseru supaya mentaati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, titah baginda bertepatan dengan keadaan semasa negara yang sedang berperang menentang wabak COVID-19. Menurut Zuraida lagi, seruan ‘no politicking’ (meninggalkan permainan politik) wajar disahut oleh semua ahli politik tanpa mengira parti atau blok, sebaliknya bersatu sebagai satu bangsa dengan tujuan serta matlamat yang satu iaitu membebaskan negara daripada kemelut virus tersebut. “Kita diseru untuk meninggalkan ‘politicking’ yang berlebihan, sebaliknya menumpukan segenap usaha bersama rakyat Malaysia untuk melawan wabak COVID-19. “Ingatlah barisan hadapan yang sedang mengorbankan masa-masa senang mereka bersama keluarga demi untuk negara, serta rakyat yang terhimpit desakan ekonomi kerana pandemik ini. “Semoga Allah mengurniakan bantuan dan petunjuk-Nya kepada kita,” ujarnya ketika ditemuramah oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), kelmarin. Beliau yang juga merupakan Ketua Pengarah Ameerah Pusat mengingatkan bahawa aulawiyat (keutamaan) bagi Malaysia ialah memastikan negara pulih sepenuhnya, baik dari segi kesihatan mahupun ekonomi, maka perkara yang tidak berkaitan perlu diketepikan buat masa sekarang. Terdahulu, Seri Paduka Baginda bertitah, mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala ‘politicking’ (mainan politik) yang boleh mengganggu-gugat kestabilan pemerintahan negara termasuklah sebarang tindakan tidak bertanggungjawab, yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan yang sedia ada. Pada masa yang sama, Al-Sultan Abdullah turut menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang bakal dibentangkan, adalah amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara. Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan terutamanya oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka.
27 Oct 20
299
e-AS Sekat Perkahwinan Sesama Keluarga Susuan
e-AS Sekat Perkahwinan Sesama Keluarga Susuan
KUALA TERENGGANU, 28 Oktober – Aplikasi e-Anak Susuan (e-AS) mampu menjadi penghalang daripada berlakunya perkahwinan tanpa sengaja sesama keluarga susuan. Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Gong Badak, Dr Siti Fatimah Salleh berkata, Projek e-AS merupakan satu aplikasi telefon pintar mudah alih, mesra pengguna hasil penyelidikan yang dijalankan oleh kumpulan penyelidik dari Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, UniSZA. Penyelidikan tersebut melalui Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bertajuk: Pembinaan Model Pengurusan Pensijilan Dan Dokumentasi Anak Susuan Patuh Syariah. “e-AS bermatlamat untuk mendokumentasi maklumat anak susuan, ibu bapa susuan, saudara susuan dan adik beradik ibu bapa susuan serta jaluran usul dan furu’, ekoran amalan pengambilan anak susuan. “Aplikasi ini mampu memberi perlindungan kepada bayi susuan atas faktor kelahiran pra matang dan sebagainya dalam aspek pemeliharaan nyawa dan jaluran mahram susuan yang berlaku serta hubungan sosial. “Di samping boleh memberi pendedahan dan pendidikan awal kepada masyarakat tentang anak susuan, serta pendedahan tentang kepentingan dan keperluan dokumentasi anak susuan,” ujarnya ketika dihubungi pemberita. Dr Siti Fatimah juga yakin bahawa e-AS dapat membantu menyelesaikan isu agama di peringkat Nasional dan Antarabangsa, isu komuniti muslim di seluruh dunia, isu perkahwinan sesama mahram, isu sosial yang melibatkan pergaulan, isu ibadat seperti wudhu’, aurat, mahram haji dan umrah, isu pengurusan dan pentadbiran, iaitu pelengkap dokumen permohonan haji dan umrah dan platform interaksi antara mahram susuan. Menurut beliau lagi, e-AS akan diperkenalkan kepada Pejabat Agama Islam Negeri bagi tujuan pelaksanaan rasmi, secara menyeluruh di peringkat kebangsaan dan aplikasi ini adalah satu sistem yang mampu menyimpan maklumat yang didaftar oleh pengguna dan turut beroperasi untuk mencetak sijil anak susuan yang akan disahkan oleh pendaftar daerah di Pejabat Agama negeri. “Melihat kepada kepelbagaian cara penyusuan dan penghasilan air susu ibu, serta faktor penyusuan, menuntut kepada pelaksanaan dokumentasi anak susuan secara rasmi dan terurus sama ada secara atas talian atau manual di peringkat negeri dan kebangsaan maka besar harapan kami bagi pihak penyelidik agar pihak kerajaan dapat membentuk satu akta atau kaedah dokumentasi anak susuan agar pelaksanaan secara menyeluruh dapat dilaksanakan. “Serta memberi perhatian terhadap pengetahuan masyarakat tentang implikasi penyusuan bayi lain. Saya juga berharap, melalui pembinaan aplikasi ini, ianya mampu memelihara kemurnian jaluran keturunan disebabkan penyusuan selaras dengan tuntutan maqasid syariah bagi menyelesaikan isu komuniti muslim terhadap amalan pengambilan anak susuan sama ada dalam dan luar negara,” ulasnya. Baru-baru ini, telah berlangsung satu perbincangan bersama antara penyelidik dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) yang diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor bagi memperhalusi cara penyediaan kaedah, Standard Operation Prosedur (SOP) Dokumentasi Anak Susuan Negeri Terengganu.
27 Oct 20
249