lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Sasar Keluarkan Beras MyGAP April Depan
Sasar Keluarkan Beras MyGAP April Depan
MARANG, 4 November - Kerajaan negeri menyasarkan untuk mengeluarkan beras dengan jenama Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) Terengganu menjelang April tahun depan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut jawatankuasa khas untuk beras MyGAP Terengganu telah memutuskan Konsortium Kilang Padi di Baruh Masin, Jabi akan dijadikan kilang untuk memproses beras MyGAP. Katanya, langkah tersebut akan menjamin kualiti beras yang tinggi selepas melalui audit pensijilan yang ketat. “Di Terengganu ada seluas 413 hektar kawasan padi yang telah mendapat pensijilan myGAP, cuma sebelum ini sangat rugi apabila daripada jumlah itu ada yang tidak diproses dengan betul walaupun kita ada petani yang ada pensijilan myGAP. “Kita tidak ada jenama beras dengan kualiti myGAP. Ini menyebabkan kita fikir perlu untuk mewujudkan satu rantaian yang lengkap daripada petak sawah, sehingga ke mesin padi, pengangkutan, kilang proses, pembungkusan dan pemasaran,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kilang Padi Bukit Kor Sdn Bhd, Marang, semalam. Tambah beliau, rantaian tersebut perlu lengkap dan semuanya dalam perancangan pihak kerajaan negeri.  
04 Nov 20
912
2021, Tahun Bertuah Petani Terengganu
2021, Tahun Bertuah Petani Terengganu
KUALA TERENGGANU, 3 November – Tahun 2021 bakal menjadi tahun bertuah kepada seluruh warga tani di negeri Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, perkembangan itu selari dengan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin semasa perasmian sidang Dewan Undangan Negeri lalu. "Kita mempunyai agenda yang besar menjelang tahun 2021. Selaras dengan itu, kita nampak ruang-ruang yang agak menceriakan untuk warga tani Terengganu dengan peruntukan bajet yang jauh lebih besar berbanding dengan tahun sebelumnya. "Kalau kita tengok berdasarkan pada laporan Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tahun 2019, peningkatan ekonomi Terengganu berlaku pada kadar 3.3 peratus meningkat sedikit berbanding dengan 2.8 peratus pada tahun 2018 dan peningkatan ini daripada dua sektor iaitu pertanian dan perkhidmatan. "Ia terbukti pergerakan dan rangsangan ekonomi negeri ini dirangsang oleh sektor pertanian. Ini kerana hampir 70 peratus orang melayu beragama Islam di Terengganu berada dalam sektor ini sama ada sektor pertanian, penternakan, perikanan atau akuakultur," katanya kepada ketika ditemui media di Wisma Darul Iman hari ini. Mengulas lanjut, beliau menegaskan usaha untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri akan terus berjalan. "Jadi, kalau kita nak bantu rakyat dan mahu merangsangkan ekonomi supaya bergerak, kita perlulah tengok di mana majoriti rakyat kita berada. Tidak lain tidak bukan, sektor pertanian inilah yang perlu digerakkan. "Saya nampak ada ‘hint’ yang menggembirakan dan tunggulah ia di masa depan, insya-Allah,’’ ujarnya.
03 Nov 20
1921
Terengganu Mampu Proses Padi Sendiri
Terengganu Mampu Proses Padi Sendiri
MARANG, 3 November - “Keperluan kilang padi di Terengganu sudah mencukupi dan tidak perlu lagi dihantar ke Kedah untuk diproses,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim. Menurut beliau, setakat ini terdapat empat kilang padi yang beroperasi di Terengganu iaitu Kilang Padi Bukit Kor di Marang, Kilang Bernas di Bukit Kenak, Jerteh dan Kilang Mutiara Timur di Kerandang, Jabi selain Kilang Konsortium Lembaga Pertubuhan Peladang di Baruh Masin Jabi yang mula operasi April lalu. “Dengan kapasiti empat buah kilang padi yang ada di Terengganu sekarang ini, ia telah mencukupi untuk menampung keperluan pemprosesan pengeluaran padi bersih kita sekitar 60,000 metrik tan setahun. “Pengeluaran ini telah berjaya mencukupkan dalam sekitar 53 peratus daripada kadar kecukupan sara diri (SSL) untuk 1.2 juta penduduk di Terengganu,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika megadakan lawatan ke Kilang Padi Bukit Kor Sdn Bhd di Marang, hari ini. Katanya, sebelum ini padi-padi yang dikeluarkan daripada kawasan jelapang padi dan kawasan sawah di Terengganu terpaksa dihantar ke Kedah untuk diproses disebabkan masalah tidak cukup kilang. “Jadi apabila kilang Konsortium Lembaga Pertubuhan Peladang telah beroperasi di tambah kilang padi daripada Bukit Kor dicampur dengan kilang Bernas dan Mutiara Timur, alhamdulillah satu daripada keperluan utama dalam rantaian pengeluaran beras Negeri Terengganu kita berjaya cukupkan,” ujarnya.  
03 Nov 20
1222
Tambun Tanah Perlu Ikut Prosedur
Tambun Tanah Perlu Ikut Prosedur
MARANG, 3 November - Masyarakat setempat sewajarnya mengikut prosedur tertentu  sekiranya mahu menambun dan meratakan tanah milik masing-masing bagi mengelak berlakunya kejadian banjir dan air bertakung. Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata,, masalah air bertakung disebabkan punca tambunan tanah yang tiada aliran air kini menjadi satu permasalahan yang sangat besar lebih-lebih lagi ketika menjelang musim tengkujuh. Katanya, terdapat beberapa aduan daripada penduduk berkenaan masalah air bertakung, banjir, air melimpah ke dalam rumah dan sebagainya kerana tambunan tanah daripada tuan tanah. "Sebagai seorang jiran yang hidup dalam komuniti, kita perlulah lah mengambil berat isu seperti ini bagi mengelakkan timbulnya sebarang pertelingkahan di antara satu sama lain. "Rata-rata tanah yang ditambung tidak mengikuti prosedur yang betul, ketiadaan saliran air, longkang dan sebagainya mendatangkan musibah kepada orang lain jelas menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab. "Baru-baru ini, satu tinjauan telah diadakan di Kampung Bukit Rhu Rendang bersama-sama Majlis Daerah Marang bagi melihat keadaan tanah yang ditambung yang dipercayai tidak mengikuti prosedur yang betul kerana menutup saliran serta laluan air, "katanya. Menurutnya lagi, keadaan yang menyebabkan beberapa buah rumah mengalami masalah banjir sehingga air melimpah ke dalam ruang rumah dan sebagainya telah diserahkan kepada pihak MDM untuk melakukan perbincangan diantara tuan tanah bagi menyelesaikan masalah tersebut. "Orang ramai juga dinasihatkan supaya melaporkan terus kepada MDM dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) jika terdapat sebarang aktiviti tambunan tanah yang dilihat tidak menepati ketetapan yang betul, tambahnya lagi.        
03 Nov 20
4223
MB Terengganu Bertugas Dari Katil
MB Terengganu Bertugas Dari Katil
KUALA TERENGGANU, 3 November - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memulakan tugas dari katil Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) selepas selesai jalani pembedahan lutut semalam. Katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini, walaupun masih tidak boleh berjalan, dan berdiri tetapi minda harus sentiasa cergas untuk melaksanakan amanah. "Tengah hari semalam, iaitu tidak sampai 24 jam selepas 'operation', saya sudah minta Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu dan Ketua Polis Terengganu supaya datang ke bilik wad saya untuk memberi taklimat mengenai kedudukan terkini COVID-19 dan isu keselamatan di Terengganu.  "Fail-fail di pejabat Menteri Besar yang memerlukan tugas saya untuk ditandatangani juga saya minta dibawa ke bilik wad.  "Saya juga memaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, sekiranya ada perkara yang memerlukan MB membuat keputusan, sila terus bawa kepada saya walaupun semasa saya berada di dalam kamar wad," ujar Ahmad Samsuri. Dalam masa yang sama, beliau memohon maaf sekiranya ada sebarang kekhilafan yang dilakukannya. "Saya akui kelemahan diri saya dalam pelbagai perkara dan bukanlah 'superman' yang boleh melakukan berbagai-bagai kerja yang luar biasa, tetapi sesungguhnya saya merasa insaf bahawa rakyat sentiasa memerlukan keputusan dan tindakan pemimpin kerajaan dalam urusan seharian," tambah beliau. Petang kelmarin Ahmad Samsuri selesai menjalani pembedahan lutut selepas mengalami kecederaan ‘anterior cruciate ligament (ACL). Setiausaha politiknya, Muhyidin Abdul Rashid berkata, Ahmad Samsuri telah dinasihatkan oleh doktor untuk mengurangkan pergerakan fizikal yang boleh memberi kesan pada proses penyembuhan. “Proses penyembuhan dijangka sekurang-kurangnya selama enam minggu. “Pembedahan ini dilakukan kerana kecederaan dalaman pada ligamen lutut akibat terseliuh kerana menahan badan daripada jatuh semasa aktiviti riadah,” katanya.
03 Nov 20
1461
Projek Rumah Terbengkalai Padang Setengge Hampir Pulih
Projek Rumah Terbengkalai Padang Setengge Hampir Pulih
Oleh : Suriati Ali HULU TERENGGANU, 2 November - Projek Perumahan Padang Setengge di Kuala Berang yang terbengkalai sejak 10 tahun lalu kini hampir siap dibangunkan sepenuhnya. Berdasarkan kemajuan projek, fasa ketiga kini 99 peratus siap manakala fasa keempat pula 77 peratus siap dan kedua-dua fasa itu dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, kejayaan merealisasikan harapan 234 pembeli rumah projek terbengkalai yang ditinggalkan kerajaan terdahulu merupakan satu kejayaan bagi pihaknya. "Pada masa sama mampu  disiapkan mengikut jadual walaupun berdepan beberapa masalah tertentu, antaranya berdepan dengan faktor cuaca dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya. Beliau berkata demikian ketika mengadakan Lawatan Kerja Ke Kawasan Projek Perumahan di sini hari ini. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said @ Mat Ali. Menurut beliau, berdasarkan rekod, anggaran kos pembaikian rumah terbengkalai di Padang sentegge itu adalah antara RM8.5 hingga RM10 juta. "Tidak ada kos tambahan yang dikenakan kepada pembeli dan semuanya akan ditanggung oleh kerajaan negeri melalui pihak Lembaga Tabung Amanah Warisan," jelasnya. Difahamkan, projek di kawasan perumahan Padang Setengge bagi fasa tiga dan empat itu dilaksanakan secara berperingkat bermula 2011 melibatkan 234 unit rumah. Berdasarkan jadual, pemaju sepatutnya menyerahkan kunci kepada pembeli pada Ogos 2014 namun gagal dilaksanakan. Sebanyak lebih 100 unit rumah di fasa 4 selepas itu ditinggalkan terbengkalai oleh sub-kontraktor dalam keadaan 75 hingga 80 peratus siap kerana kegagalan SePurnama sebagai kontraktor utama projek tersebut dalam melunaskan hutang kepada sub-kontraktor yang telah melaburkan sebahagian besar modal untuk menyiapkan projek. Akibat daripada itu, berlakulah saman-menyaman antara sub-kontraktor dan kontraktor utama sehingga mahkamah memutuskan kontrak kepada SePurnama batal dan syarikat tersebut diisytihar muflis oleh insolvensi dan yang menjadi mangsa adalah pembeli yang terpaksa menanggung beban.
02 Nov 20
5000
MB Terengganu Jalani Pembedahan Lutut ACL
MB Terengganu Jalani Pembedahan Lutut ACL
KUALA TERENGGANU, 1 November – Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selesai menjalani pembedahan lutut selepas mengalami kecederaan ‘anterior cruciate ligament (ACL), reconstruction and cartilage repair’ di sebuah hospital pada petang tadi. Setiausaha politiknya, Muhyidin Abdul Rashid berkata, Ahmad Samsuri telah dinasihatkan oleh doktor untuk mengurangkan pergerakan fizikal yang boleh memberi kesan pada proses penyembuhan. “Proses penyembuhan dijangka sekurang-kurangnya selama enam minggu. “Pembedahan ini dilakukan kerana kecederaan dalaman pada ligamen lutut akibat terseliuh kerana menahan badan daripada jatuh semasa aktiviti riadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Mengulas lanjut, Muhyidin memaklumkan, Ahmad Samsuri walau bagaimanpun akan tetap berusaha untuk meneruskan urusan pentadbiran seperti mesyuarat kerajaan, agensi, syarikat berkait kerajaan (GLC) dan menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti biasa.    
01 Nov 20
1735
DUAT Gigih Bentuk Wanita Terengganu Solehah
DUAT Gigih Bentuk Wanita Terengganu Solehah
Foto : Media DUAT KUALA TERENGGANU, 1 November – Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) komited untuk melahirkan golongan wanita negeri yang berakhlak solehah.  Pegawai Seranta Unit Majlis Daie DUAT, Ilhami Nadhrah Hamzah berkata, hal itu boleh dibuktikan melalui siri-siri penganjuran program yang menjadikan kaum wanita sebagai golongan sasar utamanya. “Program Bicara Minda Daie Wanita Terengganu yang dianjurkan di Dewan Imam Naafi' Masjid Al-Muktafi Billah Shah, baru-baru ini juga termasuk dalam agenda menjadikan wanita Terengganu berakhlak solehah. “Program ini merupakan program khusus untuk para wanita yang menampilkan moderator dan panel dalam kalangan asatizah wanita dalam Terengganu iaitu Sumaiyah Zakaria, Noorzila Mohamad serta Nor Aqma Zulaikha Roslan. “Walaupun program ini telah dilaksanakan dengan skala kecil demi mematuhi Standard Operation Procedure (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) namun, ia tetap mencapai matlamatnya."ujarnya. Ilhami berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam. Menurut beliau lagi, antara tujuan utama penganjuran ialah untuk memberi ruang kepada para wanita di Terengganu menggilap ilmu dakwah semasa dan ilmu untuk menjadi wanita solehah. “Di samping itu, kita juga mahu membina keyakinan para wanita untuk menyebarluaskan ilmu kepada masyarakat terutamanya wanita. “Kita juga bercita-cita untuk menjadikan Negeri Terengganu sebagai negeri model yang subur dengan majlis ilmu khususnya buat wanita,” katanya. Ilhami turut melahirkan harapan agar para peserta  dapat mengamalkan ilmu yang telah dikongsikan dalam program tersebut dan sama-sama berusaha untuk menjadi wanita yang solehah.
01 Nov 20
753
113 Peserta RTB Bukit Besi Terima Borang 5A
113 Peserta RTB Bukit Besi Terima Borang 5A
DUNGUN, 2 November- Seramai 113 orang peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi telah menerima pemberian Borang 5A. Seramai 51 orang daripada jumlah berkenaan merupakan mereka yang dikategorikan sebagai 'peserta tanah terkilan' bagi RTB Pinang Luit Mukim Jerangau, 54 orang merupakan RTB Chemuak Sejahtera bagi tapak perumahan serta 8 peserta bagi RTB Kampung Talong. Seorang penerima, Zainal Abidin Mat Hassan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana mengotakan janji. "Sebagaimana yang telah dimaklumkan apabila kerajaan PAS membentuk kerajaan negeri antara manifesto yang dijanjikan ialah menyelesaikan semula tanah yang tidak sempat diberikan geran ketika era PAS memerintah pada 1999-2004. "Alhamdulillah saya rasa legalah apabila ianya kembali dicaknai dan membolehkan saya untuk menerima Borang 5A dan perlu menjelaskan premium dengan kadar segera bagi mendapatkan geran kekal," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada Majlis Penyerahan Borang 5A bagi RTB Terkilan Pinang Luit, RTB Tapak Rumah Chemuak Sejahtera yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli di Dewan Sivik Jerangau, baru-baru ini. Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman. Sementara itu, peserta RTB Chemuak Sejahtera, Nurul Hikmah Zameli berkata sangat gembira apabila layak mendapat borang berkenaan "Selepas tahu layak dapat RTB ini memang sangat gembira kerana  sebelum ini masih belum memiliki tanah jadinya selepas ini dapat duduk di kampung sendiri setelah berpindah kerja dimana  sebelum ini kerja di Kuala Lumpur. "Sebagai generasi kedua memang saya berhajat untuk memiliki kediaman sendiri, jadi sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri, selepas ini saya akan bayarlah premium," ujarnya. Dalam pada itu, Ghazali Sulaiman berharap agar setiap peserta yang telah menerima borang 5A berkenaan memanfatkan sebaik mungkin pemberian berkenaan. "serta saya mengharapkan agar premium sebagaimana yang dinyatakan diselesaikan mengikut tempoh yang telah diberikan,"ujarnya.  
01 Nov 20
659
Berakhirnya Derita 11 Tahun
Berakhirnya Derita 11 Tahun
KUALA TERENGGANU, 31 Oktober - Setelah hampir 11 tahun terpaksa menghidu bau busuk limpahan air longkang, derita penduduk Lorong Kemunting kini berakhir. Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, pihaknya membina longkang baharu selepas longkang sedia ada gagal berfungsi dengan baik. "Kita dapati terdapat dua lapis longkang, longkang lama ditindih dengan longkang yang dibina kemudiannya tetapi tidak dapat menyelesaikan masalah sehingga berlarutan selama hampir 11 tahun dan binaannya juga tidak sekata. "Dengan lemak-lemak melekat menjadikan air tidak dapat mengalir dengan baik menyebabkan ia melimpah masuk ke kawasan Sekolah Menengah Tengku Bariah dan baunya yang busuk menganggu keselesaan pelajar untuk belajar," jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja pembinaan longkang terbabit di sekitar Sekolah Menengah Tengku Bariah di sini semalam. Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Lorong Kemunting, Ahmad Shukri Adha Ali bersyukur dengan terbinanya longkang baharu tersebut  kerana masalah yang menghantui pihaknya berjaya diselesaikan.  "Air longkang memang melimpah ke sekolah sehingga pernah satu ketika sampai ke paras peha dan telah menyebabkan kereta rosak," katanya.  
31 Oct 20
897