lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Masalah Tadbir Urus Punca Koperasi Gagal
Masalah Tadbir Urus Punca Koperasi Gagal
SETIU, 6 November - Masalah tadbir urus yang berlaku dalam pengurusan menjadi punca sesebuah koperasi mengalami kegagalan. Ahli Parlimen Satiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, banyak koperasi yang ditubuhkan menghadapi isu penyelewengan yang parah dan menyebabkan mereka gagal maju dan berdaya saing. Jelasnya, perkara itu akan dapat diselesai jika jawatankuasa audit dalaman bersifat telus dan bertanggungjawab. "Masalah tadbir urus antara faktor terbesar kepada kegagalan sesebuah koperasi untuk terus berkembang terutama isu penyelewengan yang sering berlaku dalam sesebuah koperasi.  "Oleh itu, dalam perbahasan tersebut saya ada membangkitkan cadangan agar jawatankuasa audit dalaman yang telus dan bebas wajar ditubuhkan dalam meningkatkan amalan tadbir urus korporat yang baik," ujar beliau dalam kenyataan media yang dikeluarkan kelmarin. Kerajaan telah membawa satu usul untuk meminda Akta Koperasi 1993 bagi memudahkan organisasi menubuhkan koperasi di seluruh Malaysia. Shaharizukirnain juga berharap pindaan yang dibawa ini akan memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia terutamanya saat negara dilanda virus COVID-19. "Saya berharap agar pindaan yang dibuat menggalakkan lebih ramai rakyat untuk menubuhkan koperasi bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, pada masa yang sama aspek pengurusan wajar diberi perhatian serius," tambah beliau lagi  
06 Nov 20
931
Teman Anak Perempuan Ke Tandas Setiap Malam
Teman Anak Perempuan Ke Tandas Setiap Malam
MARANG, 5 November - "Saya  terpaksa menemani anak perempuan walaupun sudah berusia 14 tahun ke bilik air pada waktu tengah malam kerana bimbang keselamatannya. "Terpaksa berbuat demikian kerana keadaan rumah terlalu daif, dinding dan bumbung tandas hampir runtuh," kata Nor Salasiah Abdul Rahman yang tinggal di Kampung Kelulut. Menurutnya, keadaan atap dan bumbung rumah yang ditumpangi itu sangat teruk sehingga apabila hujan turun dia terpaksa meletak besen di ruang tamu bagi menadah air hujan kerana bocor. "Suami, Zakaria Mohamad hanya berkerja kampung di mana sumber pendapatan sangat tidak menentu, tambahan pula semua anak masih bersekolah," katanya. Keadaan bilik air dan tandas yang tiada pintu, bumbung dan dinding yang sempurna. Keadaan keluarga itu mendapat perhatian Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang setelah menerima maklumat dan aduan daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kelulut. Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya telah membawa isu tersebut kepada  bagi pihak terbabit membantu menyelesaikan masalah mereka. "Setelah perbincangan bersama Pejabat Daerah Marang, keluarga Zakaria Mohamad telah dimasukkan sebagai cadangan penama penerima rumah bagi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) / Bina Baru di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB). "Berdasarkan maklumat, Zakaria boleh memohon PPRT dengan syarat yang kukuh seperti mempunyai tanah sendiri, lebih-lebih lagi melihat kepada keadaan mereka yang juga layak disenarai sebagai peserta e-Kaseh," katanya Atap di sepanjang ruang tamu yang bocor dan berlubang Menurutnya, namun sedikit masa diperlukan oleh keluarga ini untuk proses dan urusan tanah, tambahan lagi rumah yang diduduki sekarang adalah rumah tumpangan, bukannya rumah sendiri. "Ziarah bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini juga, keluarga ini telah menerima bantuan bulanan," tambahnya lagi.
05 Nov 20
1635
Perhalusi Cadangan Pengeluaran Akaun 1 KWSP
Perhalusi Cadangan Pengeluaran Akaun 1 KWSP
KUALA TERENGGANU, 5 November - Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyarankan agar kerajaan mempertimbang cadangan pengeluaran wang Akaun 1 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membantu rakyat khususnya mereka yang hilang pekerjaan. Katanya, perkara itu perlu diperhalusi dan dibincang secara menyeluruh mengenai bentuk atau kaedah pengeluaran sekiranya dibenarkan malah perlu memastikan pengeluaran itu hanya untuk tujuan kecemasan. “Mengenai pengeluaran Wang Akaun 1 caruman KWSP ini seperti diminta oleh agensi serta beberapa pihak yang viral di sosial media saya rasa kerajaan boleh membuat pertimbangan. “Antara yang boleh dipertimbangkan adalah untuk kes-kes munasabah yang perlu dibuktikan oleh pencarum yang mahu membuat pengeluaran dan bukan setiap orang boleh berbuat demikian. “Selain itu, jumlahnya juga tidak terlalu besar sekadar untuk menyelesaikan perkara-perkara kecemasan mereka sahaja,” ujarnya kepada pemberita. Justeru katanya, kerajaan perlu mempertimbangkan sewajarnya cadangan pengeluaran caruman ini supaya dapat meringankan beban rakyat di masa pandemik COVID- 19 dan secara tidak langsung dapat menjamin kelangsungan hidup pencarum. Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata kerajaan sukar membenarkan pengeluaran wang Akaun 1 caruman KWSP bagi digunakan rakyat yang berdepan wabak COVID-19. Kata Muhyiddin, beliau menyedari ada cadangan yang dibuat bagi pengeluaran wang Akaun 1 KWSP dibuat berikutan rakyat terbeban dengan impak ekonomi akibat penularan berkenaan. Jelas Muhyiddin, simpanan KWSP adalah untuk masa tua pencarum dan sekiranya kerajaan membenarkan pengeluaran dilakukan, ia akan memberi masalah lebih besar pada masa hadapan iaitu selepas pencen.  
05 Nov 20
487
Tabung Haji Kini 'Online'
Tabung Haji Kini 'Online'
SETIU, 5 Oktober - Urusan Tabung Haji (TH) kini boleh dilakukan secara atas talian melalui aplikasi terbarunya THiJARI. Pengurus TH Setiu, Wan Mohd Kamil Wan Abdul Ghani berkata, aplikasi terbaru itu akan membantu pengguna untuk membuat urusan seperti pindahan simpanan, ringkasan akaun, pendaftaran haji dan tawaran haji. "Insya-Allah aplikasi ini membantu pelanggan Tabung Haji yang mana kita tidak lagi menggunakan sistem buku seperti yang diamalkan oleh perbankan lain," katanya ketika ditemui oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A Rahman turut mendaftarkan aplikasi ini dalam satu majlis ringkas pagi tadi. Majlis ringkas itu juga dihadiri oleh kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri dan turut mendaftar sama.
05 Nov 20
791
Permint Granite Sumbang RM1 Juta
Permint Granite Sumbang RM1 Juta
KUALA TERENGGANU, 5 November - Permint Granite Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) menyumbang RM1 juta kepada kerajaan negeri bagi membantu rakyat yang terjejas banjir. Pengerusi Permint Granite Sdn. Bhd, Che Ghani Che Ambak berkata, pihaknya terpanggil untuk sama-sama membantu kerajaan negeri meringankan beban rakyat yang terkesan.  “Kita turut merasai kesusahan yang dialami mereka terutamanya golongan yang terlibat dengan banjir setiap tahun. Ditambah lagi dengan suasana sekarang yang mana wabak COVID-19 masih berpanjangan, jadi kami rasa bertanggungjawab untuk bersama-sama mengurangkan keperitan mereka,” ujarnya kepada pemberita. Katanya, sumbangan berkenaan merupakan antara tanggungjawab sosial korporat (SCR) yang dilaksanakan Permint Granite saban tahun.  
05 Nov 20
1496
Tak Pasti Jangan Kongsi
Tak Pasti Jangan Kongsi
SETIU, 5 November - Orang ramai diingatkan menyemak kesahihan sesuatu berita yang diterima sebelum menyebarkannya kepada masyarakat. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, penyebaran berita atau maklumat yang tidak tepat hanya akan menimbulkan huru-hara dalam kalangan masyarakat. "Jangan mudah terpengaruh dan terperdaya dengan berita yang tidak benar.  "Semak dahulu maklumat yang kita terima melalui portal atau laman sesawang yang disahkan," ujarnya. Shafizi berkata demikian kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas mengagihkan Warta Darul Iman di sekitar Batu Rakit di sini kelmarin. Katanya dalam konteks negeri Terengganu, kerajaan telah menyediakan portal TV Darul Iman dan TRDI News sebagai medium terbaharu  penyampaian maklumat rasmi berkenaan kerajaan  negeri kepada masyarakat. “Oleh itu, kerajaan melalui UPDI giat turun padang dengan mengedarkan risalah bagi memastikan masyarakat setempat mendapat maklumat yang tepat. “Seperti hari ini (kelmarin), kita mengedarkan risalah mengenai kejayaan kerajaan Terengganu kepada peniaga dan penduduk di Batu Rakit," tambah beliau.
04 Nov 20
312
Air Sungai Melimpah, Tiga Rumah Terjejas
Air Sungai Melimpah, Tiga Rumah Terjejas
  HULU TERENGGANU, 4 November - Tiga buah rumah di Kampung Pelandan di sini mula digenangi air selepas hujan lebat sejak pagi tadi. Hasil tinjauan mendapati, lokasi rumah-rumah berkenaan berada hampir dengan sungai dan kawasan itu merupakan laluan air jika ia melimpah. Menurut salah seorang penduduk yang terlibat, Hassan Jusoh, 66, berkata hujan berterusan hampir tiga jam pagi tadi menyebabkan rumahnya dinaiki air hampir 0.5 meter. Dia yang tinggal bersama isterinya, Saadiah Abdullah, 56, dan anak lelaki, Mohd Hanif Azizi, 30 menyifatkan ia perkara biasa sejak menetap di situ lebih dari 30 tahun. "Hujan tidak berhenti sejak semalam dan semakin lebat pagi tadi menyebabkan Sungai Kepar melimpah secara tiba-tiba. "Biasanya pak cik akan pindah jika air hampir satu meter bagi keselamatan kami sekeluarga,"ujarnya ketika ditemui pemberita di rumahnya, hari ini. Hassan berkata, dia pernah mempunyai impian untuk mencari penempatan lain tetapi tidak mampu kerana kekangan kewangan. Sementara itu, seorang lagi penduduk, Dariah Abdullah, 43 yang tinggal bersama empat orang anaknya menyifatkan suasana itu perlu dilaluinya sejak tinggal di rumah berkenaan. "Kawasan rumah kami merupakan kawasan terawal dinaiki air pada musim tengkujuh. "Dah lalui hampir 30 tahun tapi setiap kali air naik, memang ada rasa takut.Sebab itu, kami sekeluarga tetap akan pindah ke pusat pemindahan untuk keselamatan anak-anak," katanya yang menumpang di tanah bekas bapa mertuanya.
04 Nov 20
17883
Penternak, Nelayan Dan Petani Perlu Waspada
Penternak, Nelayan Dan Petani Perlu Waspada
KUALA TERENGGANU, 4 November – Penternak, nelayan dan petani di seluruh negeri ini dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dalam menguruskan sektor masing-masing. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, walaupun ketiga-ketiga sektor berkenaan berjalan sepanjang tahun tanpa musim namun langkah berjaga-jaga tetap perlu diambil.  "Contoh penternakan akuakultur seperti ikan kerapu yang sensitif dengan perubahan kadar kemasinan air. Penternak perlu pastikan terutamanya yang berada di laguna, kawasan kuala, muara yang biasanya berlaku penurunan kadar kemasinan air dengan mendadak apabila air dari hulu turun.  "Mereka perlu memastikan bahawa apa yang diternak itu dituai sebelum daripada tiba musim tengkujuh sebab bila kadar kemasinan air menurun, ikan yang sensitif akan mati. "Untuk padi, sekarang ini tengah rancak dituai. Apabila hujan turun, memang kerja-kerja menuai akan ditingkatkan lagi dengan sedaya upaya supaya boleh disiapkan dalam tempoh terdekat. Kita berharap tidak ada padi kita yang rosak disebabkan banjir," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Wisma Darul Iman, semalam.  Menurutnya lagi, isu kekurangan kilang padi tahun lalu telah pun diselesaikan dengan jaya. "Walaupun berlaku pecutan diperingkat tuaian, Terengganu sudah mampu menampung dan memproses sendiri. "Jadi sebanyak manapun padi dituai di Terengganu khususnya di kawasan jelapang padi Besut dan IADA Ketara, ia mampu ditampung untuk diproses oleh kilang-kilang kita," jelasnya.  Sementara itu, pihakya telah memohon kepada pihak kerajaan negeri supaya peruntukan tabung bencana pertanian negeri sebanyak RM5000,000 ditingkatkan pada tahun depan. "Sektor pertanian sangat terdedah dengan bencana sebab ia berada di lapangan terbuka samaada pertanian, penternakan dan akuakultur.  "Kita mohon supaya dipertingkatkan lagi dengan angka yang munasabah dan mengharapkan di ucapan bajet pada akhir November nanti Menteri Besar akan mengumumkan satu berita gembira>" tambah beliau.
04 Nov 20
2151
11 Rumah Terjejas Akibat Banjir
11 Rumah Terjejas Akibat Banjir
KUALA TERENGGANU, 4 November – Kira-kira 11 rumah terjejas dalam kejadian banjir di Kampung Binjai, Chendering malam semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sebelum ini kawasan tersebut sudah dikenalpasti sebagai lokasi berpontensi dinaiki air kerana ia berdekatan dengan bukit. Berikutan itu katanya, tindakan awal telah dilakukan bagi mengelakkan keadaan lebih bertambah teruk. “Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Binjai telah mengambil beberapa langkah seperti kerja pembersihan longkang sedia ada, mendalamkan kawasan yang cetek dan mengutarakan isu ini dalam perhatian peringkat atasan. “Buat masa sekarang juga kerja pembinaan longkang baharu sedang giat dijalankan bagi menyelesaikan masalah ini. “Air melimpah dari bukit Cerun Binjai tertumpu di sini (Kampung Binjai) kemudian mengalir ke muara Kuala Ibai. Tahun-tahun sebelum ini kira-kira 18 keluarga dipindahkan apabila datang musim banjir,” ujarnya ketika ditemubual pemberita selepas melawat keadaan di Kampung Binjai hari ini. Dalam perkembangan sama, Sekretariat Bencana Daerah Kuala Terengganu melaporkan anggaran mangsa terjejas adalah seramai 51 orang. "Namun, hanya satu keluarga telah dipindahkan di rumah penginapan ‘Homestay’ berdekatan," kata kenyataan itu.
04 Nov 20
875
Hadiah Untuk Nelayan, Tempat Baiki Bot Siap Dibina
Hadiah Untuk Nelayan, Tempat Baiki Bot Siap Dibina
MARANG, 4 November - Kesukaran membaiki bot dalam kalangan nelayan di daerah ini akhirnya berjaya diatasi selepas 'mini slipway' di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Marang siap dibina. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ‘mini slipway’ yang boleh menarik bot seberat sekitar 30 tan ke darat itu dibina dengan kos kira-kira RM460,000 dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri. Katanya, tempat membaiki bot berkenaan siap seperti yang dijadualkan sekali gus menyelesaikan masalah nelayan yang terpaksa menempuh perjalanan jauh sehingga ke daerah lain bagi tujuan itu. "Saya melihat 'mini slipway' (tempat membaiki bot) ini boleh memenuhi keperluan nelayan kerana kerosakan kecil seperti kerosakan kipas yang memerlukan pembaikan selama beberapa hari, boleh dilakukan di 'mini slipway' seperti ini. “Sebelum ini nelayan sekitar Marang terpaksa pergi ke Pulau Duyong, Kuala Terengganu apabila bot mereka mengalami kerosakan yang akhirnya membuang masa, tenaga meningkatkan kos dan sebagainya. “Maka tahun ini kerajaan negeri menghadiahkan dua keperluan yang sangat diperlukan nelayan Marang iaitu tempat membaiki bot ini dan bilik sejuk beku di jeti LKIM Marang dengan kapasiti simpanan kira-kira 10 tan ikan dan hasil laut dalam satu-satu masa,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek 'mini slipway' di Marang, semalam. Katanya, diharapkan nelayan di kawasan Marang dapat manfaatkan sebaik mungkin dua kemudahan yang disediakan kerajaan negeri ini sekaligus berupaya mempertingkatkan lagi pengeluaran sektor perikanan negeri.  
04 Nov 20
1450