Artikel "Semasa" Terkini
Akad Nikah Hanya Di JHEAT, Pejabat Agama Daerah
KUALA TERENGGANU, 9 November – Majlis akad nikah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini hanya boleh diadakan di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Pejabat Agama Daerah (PAD).
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad berkata, arahan yang berkuatkuasa serta merta itu bertujuan menjaga keselamatan orang ramai dan memudahkan pemantauan pematuhan tatacara.
“Pelaksanaan di premis persendirian, masjid, surau atau tempat-tempat awam yang lain adalah tidak dibenarkan kecuali mendapat kelulusan khas daripada Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju' Orang lslam Negeri Terengganu melalui borang A.
"Pegawai Agama Daerah akan menentukan jurunikah dan waktu pelaksanaan majlis akad nikah mengikut jadual yang akan disusun oleh pihak PAD dengan mengambil kira perbincangan dengan pihak pemohon," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kehadiran orang ke majlis perlu diminimakan iaitu tidak melebihi 15 orang dewasa dan keutamaan kepada yang berkeperluan untuk hadir seperti seorang jurunikah, pengantin lelaki, pengantin perempuan, seorang wali, serta masing- masing dua orang saksi bagi pengantin lelaki dan pengantin perempuan.
Menurut Mat Azmi, tempoh masa pelaksanaan majlis akad nikah hendaklah dipendekkan dan tidak melebihi 30 minit.
“Individu yang mengalami gejala seperti batuk, selsema, demam dan sesak nafas tidak dibenarkan hadir dalam majlis tersebut termasuk kanak-kanak dan warga emas berisiko.
"Semua yang hadir pada majlis akad nikah berkenaan hendaklah didaftarkan nama, alamat semasa serta nombor telefon di dalam borang B dan diserahkan kepada PAD atau wakilnya dan perlu menggunakan hand sanitizer (penyahkuman) sebelum dan selepas majlis akad nikah," ujarnya.
Sementara itu katanya, upacara adat istiadat dalam majlis tersebut adalah tidak dibenarkan sama sekali.
"Jika mana-mana pihak yang tidak mematuhi tatacara ini, PAD atau wakilnya dengan kuasa Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju' Orang lslam Negeri Terengganu boleh menangguhkan majlis tersebut.
"Dokumentasi yang berkaitan majlis akad nikah seperti pendaftaran dan pengeluaran sijil perakuan nikah hendaklah ditangguhkan dan disempurnakan selepas tamat tempoh PKPB," jelasnya.
09 Nov 20
6403
Kanak-Kanak Taska Belajar Guna TV Pintar
KUALA TERENGGANU, 9 November - Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM700,000 bagi menyediakan sistem pembelajaran terkini, TS Kids atau TV Pintar di 68 Taska Permata Keluarga (TPK) mulai Januari tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, melalui peruntukan yang ada itu pihaknya terlebih dahulu akan menyediakan kemudahan berkenaan di taska-taska terpilih secara berperingkat.
Katanya, sekiranya semua berjalan lancar, peruntukan itu akan ditambah bagi membolehkan seluruh kanak-kanak di 68 taska milik Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dapat merasai pembelajaran TS Kids.
“Saya lihat apa yang bakal diperkenalkan kepada kanak-kanak itu sangat berkesan kerana bukan sahaja dapat belajar secara berdepan, malah boleh sentuh, lukis, menulis dan padam.
“Boleh juga berinteraksi secara maya antara kanak-kanak di taska lain dan pastinya kanak-kanak sangat teruja untuk mencuba,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas mengadakan lawatan ke TPK Wisma Darul Iman, di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Program), Kamarulzaman Awang berkata, TS Kids adalah program yang ditambah baik daripada skrin sesentuh kepada TV Pintar yang lebih mesra kanak-kanak.
“Kemudahan itu boleh sentuh, melukis dan pandam, malah boleh berinteraksi secara dalam talian antara guru dan kanak-kanak di taska lain menggunakan aplikasi Google Meet.
“Apa yang mahu dilaksanakan itu pastinya boleh menguatkan daya ingatkan kanak-kanak berbanding kaedah kad imbas yang biasa digunakan sebelum ini,” katanya.
Katanya, beliau percaya kaedah itu pastinya diminati kanak-kanak dan lebih bersemangat untuk meneroka ilmu.
“Lebih penting, lebih berdisplin, fokus serta mampu duduk diam kerana teruja mendengar suara, melihat setiap pergerakan gambar atau abjad apabila disentuh guru atau rakan,” katanya.
09 Nov 20
1241
MDM Perlu Dinaiktaraf Status Perbandaran
MARANG, 9 November- Marang berhasrat mahu menaiktaraf status Majlis Daerah Marang (MDM) kepada Majlis Perbandaran Marang sekiranya sudah menepati petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan untuk ke arah itu.
Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Huzairil Nizam Ibrahim, berkata sudah sampai masanya melihat Marang melakukan suatu perubahan baru dalam masa akan datang.
Katanya, pihaknya akan lihat sedikit masa lagi kerana dengan mata kita sendiri kerana berkat kerjasama di antara kerajaan negeri dan seluruh rakyat setempat di daerah ini.
"Di samping itu, bermula tahun hadapan, pembinaan Jambatan Sungai Marang akan mula dijalankan setelah termasuk dalam Belanjawan 2021 yang diumumkan baru-baru ini," katanya
"Dengan kegiatan ekonomi setempat yang sedang membangun, bukan sahaja bakal melaksanakan impian kita, malah akan juga mempercepatkan usaha ini,"katanya..
Beliau berkata ketika berucap dalam satu majlis perasmian Kilang Keropok Lekor Tok Molor yang baru sahaja membuka cawangan ke-dua di Kampung Pulau Kerengga semalam.
Turut hadir ke majlis tersebut adalah, Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman, Pengarah Urusan Keropok Lekor Tok Molor, Rapuan @ Sharuddin Abd Rahman, dan wakil agensi.
Menurutnya, ketika bertugas sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Marang sebelum ini, melihat Marang ditukar status sebagai Majlis Perbandaran Marang adalah hasrat utama.
"Ini adalah kerana Marang merupakan satu daerah strategik yang berada di tengah-tengah dan didampingi oleh dua daerah yang berstatus perbandaran," ucapnya lagi.
09 Nov 20
331
Keropok Lekor Tok Molor Tambah Cawangan Di Marang
MARANG, 9 November – Usaha pemilik Keropok Lekor Tok Molor melebarkan sayap perniagaan dengan membuka kilang dan gerai jualan di Kampung Pulau Kerengga, di sini sewajarnya dipuji.
Bukan sahaja menaik imej daerah itu di mata masyarakat luar, malah mampu merancakkan sektor pelancongan dan menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Pengarah Urusan Keropok Lekor Tok Molor, Rapuan @ Sharuddin Abd Rahman, 52, berkata dengan pembukaan kilang itu, pihaknya mampu membuka ruang pekerjaan kepada 150 orang kampung, terdiri golongan belia, ibu tunggal dan anak yatim..
“Saya memulakan perniagaan itu sejak berumur 34 tahun secara kecil-kecilan di halaman rumah sendiri, alhamdullilah berkat kesabaran, dia berjaya membuka cawangan kedua selepas cawangan asal di Kampung Tok Molor,”katanya.
Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Huzairil Nizam Ibrahim berkata dalam masyarakat menghadapi masalah pandemik Covid-19 yang serius usahawan ini hadir membantu dalam menguruskan sektor pekerjaan.
"Sama-sama membantu negeri Terengganu terus maju dalam keadaan kita menempuhi ujian dan rintangan, Pok Din berjanji akan berusaha dalam menyediakan pekerjaan seramai 500 orang, untuk membantu kerajaan negeri kepada penduduk setempat.
"Ini bukti kegigihan bumiputera kita yang setaraf dengan usahawan-usahawan lain di luar sana, di mana apabila bercakap pasal pelancongan, Terengganu tidak lari daripada Keropok Lekor sebagai produk negeri,"katanya.
Beliau berkata ketika hadir merasmikan operasi Kilang Keropok Lekor Tok Molor di Pulau Kerengga, semalam.
Turut hadir adalah, Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman, Penasihat Syarikat Keropok Lekor, Dato' Suhaimi Dato' Salleh, wakil Jabatan Perikanan, wakil Pejabat Daerah Marang, wakil Majlis Daerah Marang, dan agensi lain.
"Produk ini adalah duta Terengganu yang sebenarnya, oleh itu, Jabatan pelancongan juga akan berkejasama dalam mempromosikan produk ini di mana potensi dengan kekuatan produk tradisi masyarakat kita dan akan menjadi satu produk yang menarik serta sering meniti di bibir mulut pelancong.
"Kepada pekerja, berilah kerjasama dan berkerjalah sebaik-baik nya, kerana rezeki ini tidak akan lari kemana, ianya akan pulang kepada pekerja, orang ramai dan mengalir ke masyarakat marang juga,"tambahnya lagi.
Syarikat yang mula ditubuhkan pada tahun 2012 ini telah mengeluarkan jenama Tok Molor ke luar negeri setiap minggu dimana turut tertumpu di luar semenanjung, iaitu Sabah dan Sarawak.
09 Nov 20
5171
'Home Manager' Terima Permintaan Dari Luar Negara
KUALA TERENGGANU, 8 November – Pelaksanaan program 'Home Manager' berjaya mencuri tumpuan ramai apabila mendapat permintaan yang menggalakkan termasuk daripada luar negara.
Ketua Penolong Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), Mohd Fauzy Abdul Ghani berkata, statistik penyertaan ahli program Kakitangan Pengurus Kediaman (Home Manager) mencatatkan jumlah penglibatan memberangsangkan iaitu seramai 222 orang setakat Oktober 2020.
Katanya, jumlah tersebut juga mengatasi bilangan pekerja asing (pembantu rumah) iaitu 35 orang manakala bilangan ‘Home Manager’ seramai 231 orang pada tahun 2019, sekali gus membantu golongan miskin, belia-beliawanis dan ibu tunggal dalam meningkatkan taraf hidup juga pendapatan keluarga.
“Permintaan untuk perkhidmatan ‘Home Manager’ melalui kiriman e-mel daripada peminta warga Malaysia yang menetap di luar negara.
“Kita menerima panggilan daripada Dubai dan Brunei untuk mendapatkan perkhidmatan pembantu rumah, sesuai kerana orang Malaysia yang bekerja di sana memerlukan kepakaran dan tenaga kerja yang memahami budaya sama.
“Walau bagaimanapun, pihak Yayasan masih tidak bersedia lagi dalam menunaikan permintaan tersebut kerana kita hanya memfokuskan di dalam Terengganu sahaja buat masa sekarang,” katanya ketika ditemubual selepas Program Bulan Dakwah 2020 di Dewan Kompleks Ibu Tunggal, Chendering, semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor dan Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Terengganu, Nasrul Hadi Saidin.
Mengulas mengenai Program Bulan Dakwah 2020, Zuraida berkata, inisiatif tersebut wajar diteruskan dan diperkembangkan lagi menerusi pelbagai peringkat supaya masyarakat dapat didekatkan dengan ilmu agama khususnya kepada kaum wanita.
“Saya berterima kasih kepada pihak YADIM atas penganjuran ini dengan kerjasama kerajaan negeri yang melibatkan kakitangan ‘Home Manager’ pada hari ini.
“Ini penting kerana ilmu agama berperanan sebagai banteng kepada kaum hawa. Oleh itu, program seperti ini memberi ilmu kepada semua khususnya kepada supaya wanita Terengganu terus dimartabatkan,” ujarnya.
08 Nov 20
1178
Koperasi Pengusaha Getah Tingkat Pendapatan Pekebun Kecil
KUALA NERUS, 8 November - Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mahu agar usaha menambah pendapatan dan mengoptimumkan penggunaan tanah pekebun kecil getah diberi penekanan sepenuhnya.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, selaras dengan itu konsep Pembangunan Komuniti Pekebun Kecil Getah diperkenalkan melibatkan penyatuan pengurusan tanah pekebun kecil termasuk kawasan tanah terbiar.
“Matlamat utama ialah mewujudkan koperasi bagi membolehkan pekebun kecil menambah pendapatan melalui pengurusan teknologi huluan sehingga hiliran, memendekkan rantaian bekalan (supply chain), penjualan hasil getah dan tanaman sampingan melalui sistem perladangan kontrak (contract farming) dan elemen pembangunan kebun getah secara integrasi dengan ternakan dan tanaman secara berkelompok,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Koperasi Pengusaha Getah Kuala Nerus Berhad di Duyong Marina& Resort, Pulau Duyong, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM), Dato’ Dr. Zairossani Mohd Nor.
Katanya, koperasi yang ditubuhkan berperanan sebagai pembeli dan penjual getah berlesen termasuk mengurus pengeluaran lateks yang berkekalan bagi keperluan industri.
“Produk nilai tambah juga dilaksanakan sebagai pendapatan tambahan kepada pekebun kecil.
“Berdasarkan kajian, kaedah ini mampu membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil sehingga 30 peratus berbanding kebergantungan terhadap hasil getah semata-mata,” ujarnya.
Justeru katanya, semua pihak termasuk LGM, koperasi dan peserta projek yang terdiri daripada pekebun kecil perlu memainkan peranan masing-masing.
“ Adalah diharapkan dengan pelancaran koperasi di Kuala Nerus ini, taraf hidup pekebun kecil getah dapat ditingkatkan ke tahap yang membanggakan,” ujarnya.
08 Nov 20
690
Sukan Motocross Bakal Gegarkan Bumi Jabi
SETIU, 8 November – Sukan lasak motocross bakal mengegarkan bumi Jabi selepas litar sukan terbabit yang bernilai RM10,000 siap dibina di Kuala Kubang di sini dalam beberapa masa lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, penganjuran sukan itu turut mampu meningkatkan ekonomi penduduk sekitar.
"Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi ialah sebuah pekan kecil dengan kuasa beli penduduknya yang terhad. Kedai makan, restoran, kedai runcit, kedai sate dan lain-lain lagi dah banyak wujud di Jabi.
"Dengan jumlah pelanggan tempatan yang terhad, kita merancang pelbagai program supaya Jabi menjadi tumpuan pengunjung dari luar.
"Sebelum ini kita buat Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Terengganu, Himpunan Lembu Sado Pantai Timur, Karnival Dun Jabi dan beberapa program lagi. Dengan wujudnya program bersaiz mega sebegini, Pekan Jabi dilimpahi pengunjung.
"Kesan ekonomi sangat ketara. Kedai satay dan kedai makan penuh orang. Stesen minyak penuh kereta. Homestay dan hotel bajet tak cukup bilik dan macam-macam lagi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita setelah melakukan lawatan ke tapak litar motocross yang masih dalam penyelenggaran semalam.
Turut bersama Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kuala Kubang, Aziz Rashid.
Dalam masa yang sama, Dr Azman turut bercadang untuk menghidupkan kembali acara Tebu Mountain Challenge dan mensasarkan dijadikan ia suatu acara bertaraf antarabangsa.
08 Nov 20
533
SOP PKPB Di Terengganu Berpandu MKN
KUALA TERENGGANU, 7 November - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Terengganu bermula Isnin ini akan dikuatkuasakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebarang perubahan terhadap garis panduan tersebut akan dibuat mengikut keadaan.
"Garis panduan atau SOP adalah berdasarkan arahan sedia ada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti diumumkan, namun akan dikemaskini berdasarkan situasi semasa.
"Oleh itu, rakyat dinasihatkan untuk terus mematuhi arahan dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini daripada Kerajaan Negeri dan MKN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob memaklumkan, (PKPB) kini diperluaskan ke tujuh negeri termasuk Terengganu bermula 9 November hingga 6 Disember.
"Atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) PKPB dilaksanakan di seluruh negeri semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan bagi membolehkan saringan bersasar untuk mengekang pandemik COVID-19," jelasnya.
Menurut Ismail Sabri, pergerakan keluar masuk atau merentas negeri tidak dibenarkan kecuali bagi kes kecemasan dan perlu mendapat kebenaran polis.
“Bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran majikan. Hanya 2 orang sahaja dari rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan.
“Manakala, individu berisiko tinggi dan kanak-kanak tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak. Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz ditutup,” katanya.
07 Nov 20
17730
PKPB Turut Dikenakan Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 7 November - Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kini diperluaskan ke tujuh negeri termasuk Terengganu bermula 9 November hingga 6 Disember.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, berkata atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) pelaksanaan PKPB di seluruh negeri semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan bagi membolehkan saringan bersasar untuk mengekang pandemik COVID-19.
"Sidang khas hari ini mendengar pembentangan KKM berhubung peningkatan kes positif COVID-19 di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu.
"PKPB ini dilaksanakan selama empat minggu bermula 9 November hingga 6 Disember ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
07 Nov 20
4344
Ketengah Bantu 500 Keluarga Terjejas COVID-19
DUNGUN, 6 November - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) melalui anak
syarikatnya Ketengah Holding Sdn. Bhd. (KHSB) memperuntukan RM338,700 bagi menyalurkan bantuan kepada 500 keluarga yang terjejas akibat wabak pandemik COVID-19.
Pengerusi Ketengah, Senator Datuk Razali Idris berkata penerima-penerima ini melibatkan Mukim Rasau, Dungun dan kampung tradisi dalam Wilayah Ketengah.
Jelas beliau, sebagai contoh, Mukim Rasau Dungun yang merupakan salah sebuah kawasan yang mempunyai kes positif COVID-19 bagi gelombang ketiga terpilih untuk bantuan kali ini.
"Melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini, setiap keluarga menerima bantuan berupa barang keperluan asas yang dihantar ke beberapa lokasi berhampiran.
"Ia bagi memudahkan proses pengagihan kepada keluarga yang terlibat melalui Pihak Berkuasa Tempatan dan pemimpin setempat bagi mengelak penerima keluar rumah.
"Bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga yang terjejas punca pendapatannya selain membantu usaha kerajaan bagi memastikan masyarakat sentiasa tetap berada di rumah untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19 ini demi keselamatan bersama," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu pada gelombang pertama penularan COVID-19 melanda negara, seramai 86 orang pengusaha sektor pelancongan telah dibantu Ketengah dengan peruntukan sebanyak RM152,700.
Manakala KHSB turut menyalurkan RM70,000 kepada Tabung Bantuan COVID-19 Terengganu bagi agihan secara menyeluruh di negeri Terengganu.
06 Nov 20
453