Artikel "Semasa" Terkini
JPKK, Status Quo Parti Kerajaan Dikekalkan
BESUT, 12 November – Status quo parti kerajaan dikekalkan dalam Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang mula berjalan tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, penyusunan terbaharu dengan lima kuota tambahan turut diadakan bagi meraikan rakan-rakan daripada Perikatan Nasional (PN).
"Telah diputuskan supaya ‘rumah’ yang ada sekarang ini tidak dirobohkan tetapi dalam masa yang sama kita meraikan rakan-rakan daripada parti PN," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Taklimat JPKK kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Daerah Besut di Kota Putera Square baru-baru ini.
Jelasnya, beberapa negeri lain juga bakal membuat langkah sama bagi meneruskan kemenangan yang ada sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-15 dijalankan.
"Dikekalkan itu bukan bermakna mengekalkan individu tetapi dikekalkan komposisi. Kita menjemput rakan PN untuk mengisi kuota tambahan ini dengan memberikan tiga kepada UMNO dan dua untuk Bersatu di Terengganu," ujarnya.
Sementara itu menurutnya, kerajaan Persekutuan telah menetapkan syarat, sesebuah parti yang boleh menyertai JPKK di suatu lokasi mestilah parti yang mempunyai cawangan di lokaliti terbabit.
"Kalau tiada cawangan maka tidak termasuklah dalam kategori yang perlu dijemput dan diundang untuk sama-sama menyertai JPKK.
"Tetapi di negeri Terengganu kita berlapang dada dan tidaklah 'stick' sangat mesti ada cawangan. Cukuplah sekadar ada orang dan mereka bersedia untuk berkhidmat. Dipersilakan sebab lima kuota tambahan memang kita peruntukkan kepada rakan kita," tambah beliau.
Untuk rekod, penjenamaan semula Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh negeri akan bermula pada 1 Januari 2021.
12 Nov 20
1872
Buletin Rhu Rendang, Rujukan Dan Sumber Maklumat Rakyat
MARANG, 12 November - Buletin yang dikeluarkan Pejabat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang menjadi rujukan dan sumber maklumat rakyat di kawasan terbabit.
Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Sabri Zakaria berkata, buletin itu perlu disebarkan kepada segenap lapisan masyarakat supaya mereka tidak ketinggalan dlama mendepani isu semasa yang dilakukan oleh kerajaan negeri lebih-lebih lagi di Rhu Rendang.
"Dalam buletin ini, semua maklumat berkaitan pembangunan, kerja-kerja menaik taraf dan aktiviti kebajikan yang dilakukan daripada pihak wakil rakyat kepada komuniti," katanya.
Beliau berkata demikian sebaik sahaja selesai program edaran risalah buletin Rhu Rendang di kawasan Pasar Pagi Bandar Marang, semalam.
Menurutnya lagi, Pusat Khidmat akan terus menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat tanpa pilih kasih dan mengikut keutamaan semasa berdasarkan aduan yang diterima.
"Dengan program sebaran seperti ini, berlaku komunikasi dua hala terutamanya apabila rakyat sendiri mendapat maklumat berkenaan.
"Sebagai perantara kepada kerajaan negeri, kita akui maklumat tentang keadaan rakyat yang memerlukan bantuan tidak meluas atau tidak sampai di peringkat kami.
"Jadi masyarakat juga perlu berkerjasama dan jangan malu-malu untuk datang mengadu di Pusat Khidmat, seperti kebiasaannya aduan diterima melalui maklumat daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
"Sementara itu, program ini juga menjadi rujukan dua hala apabila kita berpeluang mendengar sendiri pendapat dan rungutan daripada rakyat lebih-lebih lagi yang berniaga Pasar Pagi dalam menempuhi pandemik Covid-19 ini," tambahnya lagi.
Turut hadir adalah Ketua Lajnah Penerangan Dun Rhu Rendang, Najmuddin Rani, Ketua Hal Ehwal Wanita Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Faridah Omar dan Pegawai Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) Dun Rhu Rendang, Fakhruddin Zakaria.
12 Nov 20
495
Speaker Naik Angin, Ahli Parlimen DAP Dihalau
KUALA LUMPUR, 12 November - Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, dihalau dari Dewan Parlimen selepas menyatakan Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun 'bodoh' dalam membuat keputusan.
Ahli Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu juga berkeras dengan kenyataan beliau walaupun telah diminta untuk ditarik balik.
"Kenapa saya perlu tarik balik apabila 'Speaker' telah membuat satu 'ruling' yang bodoh?," ujar beliau dalam Dewan Rakyat hari ini.
Beliau juga bertindak menghalau Yang Dipertua Dewan Rakyat apabila keputusan halau keluar dewan dijatuhkan kepadanya.
"Speaker yang patut keluar!," laung beliau.
Lim telah bangkit bagi mempertahankan kenyataan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang juga merupakan Setiausaha Agung parti yang beliau anggotai.
Ahli Parlimen DAP itu juga digantung dari memasuki Dewan Parlimen selama lima hari akibat tindakan kurang ajar tersebut.
12 Nov 20
784
Exco Bincang Benar Kuliah Agama Di Masjid, Surau
KUALA TERENGGANU, 12 November - Kebenaran untuk mengadakan pengajian agama di masjid dan surau sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) turut dibincangkan dalam mesyuarat ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, penangguhan aktiviti atau kuliah agama itu sememangnya memberi kesan kepada banyak pihak.
"Saya pernah sebut kepada pihak pejabat agama supaya dicadang dan dipanjangkan kepada pihak yang berkenaan agar aktiviti pengajian diteruskan di masjid dan surau.
"Saya memang rasa sedih dengan keputusan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) tetapi akur dan mentaati keputusan pihak penguasa agama.
"Hari ini, saya telah menyuarakan cadangan saya dalam mesyuarat exco supaya dipanjangkan oleh beberapa ahli MMKN dalam mesyuarat MAIDAM," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim dan ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed telah mengadakan perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Ustaz Mohd Rozi Bidin berhubung isu terbabit.
Jelas Hishamuddin, kerajaan negeri melalui Mohd Nor sentiasa memainkan peranan bagi merungkai segala kemelut.
"Dalam pertemuan itu, pihak MAIDAM memaklumkan keputusan (penangguhan kuliah agama) tidak akan berlanjutan sehingga tamat tempoh PKPB, sebaliknya ia akan dinilai berdasarkan kes COVID-19 di Terengganu.
"Keputusan untuk perkara itu secara pentadbirannya akan dikeluarkan secara telus oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melalui pesuruhjayanya," tambah beliau.
11 Nov 20
3509
Waspada Hadapi Musim Banjir - Maliaman
HULU TERENGGANU, 11 November - Penduduk di sekitar Hulu Terengganu diingatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga terhadap keselamatan keluarga mereka ketika perubahan angin monson yang boleh mengakibatkan banjir di kawasan yang berisiko.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata,pPenduduk yang tinggal di kawasan rendah diminta bersiap sedia untuk menghadapi banjir ekoran hujan lebat ketika ini.
“Kebiasaannya pada setiap hujung tahun merupakan musim tengkujuh di Pantai Timur. Melihat kepada keadaan cuaca dan hujan yang sentiasa turun dalam seminggu ini, saya berpesan kepada seluruh rakyat di daerah ini khususnya agar bersedia dan berwaspada bagi menghadapi kemungkinan banjir yang akan melanda terutamanya mereka yang terlibat dengan kawasan berisiko banjir.
“Oleh itu, masyarakat khususnya di kawasan berisiko banjir dan kawasan rendah terutama di kawasan berhampiran sungai disarankan supaya lebih berjaga-jaga serta berpindah awal di pusat pemindahan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kita nasihatkan semua penduduk di kawasan berisiko banjir dan kawasan rendah terutama di kawasan berhampiran sungai supaya lebih berjaga-jaga.Pastikan anak-anak kecil tidak bermain air, mandi di sungai terutama pada musim hujan ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika meninjau hakisan tanah di Kampung Machang, pagi ini.
Tambahnya, jika air mulai melimpah dari sungai dan membanjiri kawasan kampung, maka ibu bapa perlu lebih peka, jaga keselamatan anak-anak dan jangan sesekali membiarkan mereka bermain dengan air banjir, sungai, parit besar dan sebagainya yang berisiko.
“Pihak keselamatan akan sentiasa memantau keadaan paras air sungai dan sentiasa menyalurkan maklumat terkini mengenai perkembangan semasa banjir di negeri ini.
“Saya berharap, seluruh rakyat tidak mengambil mudah terhadap setiap arahan dan panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa terutamanya melibatkan arahan untuk berpindah. Apabila arahan berpindah dikeluarkan, hendaklah semua pihak mengambil langkah segera untuk berpindah dan berpindah awal di pusat pemindahan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” jelasnya.
11 Nov 20
372
Usahawan Disaran Agresif Rebut Peluang Dana RM4.6 Bilion
KUALA TERENGGANU, 11 November - Golongan usahawan dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya bumiputera disaran lebih agresif merebut peluang yang disediakan kerajaan menerusi peruntukan RM4.6 bilion untuk merancakkan lagi pembangunan PKS.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pengumuman kerajaan pada Belanjawan 2021 Jumaat lalu dilihat berupaya membantu meringankan beban yang dialami usahawan yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.
Justeru, beliau menyeru semua golongan usahawan merebut dan memanfaatkan peluang peruntukan tersebut supaya sektor PKS dapat terus berkembang pada masa depan.Katanya, keprihatinan kerajaan dalam membantu golongan itu menerusi peruntukan yang disediakan dalam Belanjawan 2021 perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Usahawan di negeri ini khususnya perlu merebut peluang kerana banyak peruntukan yang disediakan kerajaan untuk bantu usahawan, malah boleh dikatanya Bajet 2021 sangat memberi tumpuan kepada usahawan yang terkesan akibat COVID-19.
“Terima kasih banyak kepada pihak kerajaan kerana bidang keusahawanan ini dijadikan antara bidang utama yang diberi penekanan dalam pembentangan bajet kali ini dan kita sangat bertuah kerana kerajaan memberi sokongan yang tidak berbelah bagi untuk bidang keusahawanan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.
Katanya, difahamkan daripada jumlah tersebut sebanyak RM510 juta diperuntukkan bagi tujuan pembiayaan kepada PKS dan PKS mikro Bumiputera melalui TEKUN dan PUNB.
“Sebanyak RM800 juta melalui program peningkatan keupayaan oleh Bank Pembangunan Malaysia dan SME Bank.
“Sementara RM2 bilion diperuntukkan bagi membantu pembiayaan PKS Bumiputera melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan dan RM1.3 bilion lagi untuk pelbagai program peningkatan kapasiti termasuk pembangunan profesional, Dana Kemakmuran Bumiputera serta program atau projek khusus untuk Bumiputera,” ujarnya.
11 Nov 20
4634
125 Taska Dibenar Beroperasi Jika Cukup Syarat
KUALA TERENGGANU, 11 November - Sebanyak 125 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di negeri ini dibenar beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekiranya mematuhi syarat dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat berkata, permohonan kesemua taska tersebut sedang diteliti oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum apa-apa keputusan dibuat.
Menurut Hanafiah, daripada 125 taska, 122 merupakan institusi taska berpusat, manakala tiga lagi taska di rumah melibatkan 1,870 kanak-kanak.
“Kerajaan putuskan supaya taska dan pusat jagaan harian yang menjaga anak-anak petugas barisan hadapan dan ibu bapa perlu keluar bekerja dalam tempoh PKPB dibenarkan operasi sekiranya mereka memenuhi syarat.
“Antara syarat itu adalah pendaftaran taska dengan JKM masih sah, mematuhi SOP PKP Pemulihan iaitu Garis Panduan Pencegahan Penularan Covid-19 pasca PKP dan mendapat kebenaran daripada JKM.
“Selain itu, taska yang memohon juga perlu melampirkan surat pengesahan dan arahan bekerja di pejabat oleh majikan ibu bapa kanak-kanak berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hanafiah berkata, kebenaran operasi taska dan pusat jagaan harian dalam tempoh PKPB adalah selaras dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) yang sedang dikuatkuasakan.
“Bancian dilakukan kerajaan pada 23 hingga 25 Oktober lalu mendapati ada keperluan kebenaran operasi taska dan pusat jagaan harian yang menjaga anak-anak petugas barisan hadapan serta ibu bapa yang keluar bekerja.
“Bagaimanapun, kebenaran ini akan dibatalkan sekiranya terdapat arahan terkini daripada mana-mana pihak berkuasa berhubung perkara ini,” katanya.
11 Nov 20
2343
Longkang Baharu Atasi Banjir Kilat Di Kampung Telaga
HULU TERENGGANU, 11 November - Pembinaan longkang baharu berjaya mengatasi masalah banjir kilat sekaligus memberikan kelegaan kepada penduduk Kampung Telaga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata pembinaan longkang baharu ini telah pun berjaya disiapkan dan dijangkakan dapat mengatasi masalah banjir walaupun berlakunya hujan lebat.
"Kita baru siap bina longkang di Kampung Telaga yang mana kosnya lebih kurang RM100 ribu dan ini adalah untuk kemudahan penduduk di sini.
"Saya telah bertanya kepada penduduk kawasan sekitar dan mereka beritahu bahawa walaupun hujan selama tiga atau empat hari secara berterusan, tidak lagi berlaku banjir di kawasan dapur atau rumah mereka," jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika mengadakan lawatan ke tapak pembinaan longkang tersebut di Kampung Telaga, baru-baru ini.
Menurut Dr Mamad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrasturktur, Kemudahan Awam, Utiliti, dan Teknologi Hijau negeri, longkang yang disiapkan ini perlu ditutup dengan baik untuk keselamatan penduduk kampung.
"Kita harapkan akan disiapkan batu baur dan penutup longkang bagi mengelakkan sebarang kecelakaan kepada penduduk disini kerana keadaan penduduk di sini yang agak padat.
"Kita tahu bahawa penduduk disini sekian lama telah menghadapi masalah banjir kilat di kawasan rumah mereka dan saya sangat bersyukur kerana kita semua berjaya menyelesaikan masalah ini," katanya.
11 Nov 20
964
Agih Peralatan Berniaga Percuma
KUALA NERUS, 11 November - Kerajaan komited untuk meningkatkan pendapatan peniaga-peniaga kecil dan membantu mereka keluar daripada kemiskinan dengan mengagihkan peralatan berniaga secara percuma.
Pegawai Penyelaras Dewa Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, golongan terbabit telah dipilih oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk menerima peralatan perniagaan bernilai RM10,000.
“Objektif program ini adalah untuk membantu meningkatkan pendapatan peserta melalui pemberian bantuan projek ekonomi yang melibatkan aktiviti pengeluaran, pemprosesan, pengedaran dan pemasaran.
“Selain itu, kita mahu meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta daya saing peserta melalui latihan-latihan di bawah program Rezeki Tani dan latihan teknikal," katanya ditemui pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di rumah salah seorang penerima bantuan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, penerima dipilih melalui sistem e-Kasih terutama melibatkan golongan miskin serta isi rumah yang berpendapatan tidak melebihi RM2,614 atau pendapatan per kapita tidak melebihi RM650.
Shafizi berkata keutamaan akan diberikan kepada calon berminat, berpengalaman dan berkemahiran yang sedang menjalankan aktiviti berkaitan pertanian, penternakan, perikanan dan pemprosesan produk berasaskan pertanian serta perniagaan tani.
“Mereka juga dipilih setelah saya sendiri turun padang dan meninjau keadaan penerima bantuan,” katanya.
Sementara itu, salah seorang penerima, Zaharah Zainon, 46, yang menerima bantuan tersebut berkata, sumbangan seperti kuali, periuk kukusan, ‘multi functional disintegrator’dan beberapa peralatan lagi itu membantunya mengembangkan lagi perniagaan.
“Saya mengusahakan perniagaan menjual ketupat frozen, pau goring sambal ikan (woh bom orang ganu panggil), kuih keppa dan kuih woh gomok secara serius sejak 5 tahun lalu bermula tahun 2015.
"Setiap bulan kami memperolehi hasil jualan sekitar RM3,000 sehingga RM3,500 setiap hari dapat RM 100 sehingga 150 daripada hasil jualan secara atas talian, pasar pagi dan tempahan daripda rakan-rakan dan keluarga terdekat. Kadang-kala kami terpaksa menolak tempahan pelanggan kerana tidak sempat untuk menghasilkan kuih woh gomok, pau goreng dan kuih keppa kerana kekurangan peralatan.
"Dengan bantuan sebegini, kami benar-benar bersyukur. Kalau sekarang kami dapat hasilkan 300 biji woh gomok dan kuih keppa, selepas ini mungkin dapat mencecah 1000 biji lebih dengan bantuan yang telah diberikan," katanya.
11 Nov 20
3453
Cadang Bina Jalan dan Jambatan Ke Madrasah Darul Zahraa- Dr Mamad
HULU TERENGGANU, 11 November - Kerajaan negeri akan mencadangkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membina infrastruktur jalan dan jambatan menghala ke Madrasah Darul Zahraa milik Ustaz Muhammad Abdullah @ Ustaz Mad Kecik.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri ,Dr Mamad Putih berkata, usaha telah dilakukan bagi mendapatkan infrastruktur berbentuk jalan dan jambatan ke madrasah ini.
"Kita sedang berusaha untuk mendapatkan peruntukan dan kita cadangkan kepada JPS kerana belum ada jalan dan jambatan yang sebaiknya untuk digunakan ke Madrasah Darul Zahraa ini.
"Jambatan yang sedia ada bermasalah apabila hujan kerana ianya akan ditenggelami air sungai," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak cadangan jalan dan jambatan ke Madrasah Darul Zahraa milik Ustaz Muhammad Abdullah @ Ustaz Mad Kecik di Kampung Kuala Dura, Kuala Berang baru-baru ini.
Menurut beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kuala Berang berkata kos kesemua ini kemungkinan menelan belanja dalam RM500 ribu.
"Jambatan sementara yang sedia ada, berada dalam kawasan tanah milik individu. Kita akan buat jalan sama ada jalan 'crusher run' dulu, atau jalan 'premix', yang dianggarkan bernilai sekitar RM500 ribu," katanya.
Turut hadir, Pegawai JPS Hulu Terengganu, Roslan, Pegawai Penyelaras DUN Telemong, Safari Abu, dan Guru Madrasah Nasrun Abdullah.
11 Nov 20
701