lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Dua Pusat Pemindahan Banjir Dibuka Di DUN Langkap
Dua Pusat Pemindahan Banjir Dibuka Di DUN Langkap
SETIU, 18 November - Dua Pusat Permindahan Sementara (PPS) dibuka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap sejak tengah malam tadi selepas banjir melanda kawasan terbabit. Pegawai Pertahanan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Setiu, Kapt. (PA) Mohd Nizu Husien, berkata PPS yang dibuka ialah PPS Kampung Sungai Lerek di Mukim Chalok dan PPS Kampung Bukit Nyior, Pelong di Mukim Hulu Nerus 1. "Setakat ini PPS Bukit Nyior melibatkan 37 orang mangsa daripada 10 keluarga. PPS Sungai Lerek pula melibatkan 7 orang mangsa dari sebuah keluarga di mana mereka ini telah dipindahkan dengan bantuan jentera APM. "Pihak APM menerima panggilan daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Lerek untuk memindahkan mangsa yang terperangkap di dalam rumah akibat paras air yang naik mendadak di Kampung Chalok Barat. "Pada jam 11.50 malam semalam kesemua mereka ini berjaya diselamatkan dengan bantuan seorang sarjan muda dan empat orang prebat APM dan kesemua mereka dibawa ke Balairaya Sungai Lerek," kata beliau ketika dihubungi wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Langkap Azmi Maarof menasihatkan penduduk supaya menjaga keselamatan diri dan keluarga bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini pada musim banjir ketika ini. "Saya menyeru mereka yang perlu berpindah supaya sentiasa memberi kerjasama kepada agensi penyelamat dan jagalah keselamatan diri serta pantaulah pergerakan anak-anak supaya dapat mengelak daripada berlakunya kejadian tidak diingini," katanya ketika melawat mangsa banjir di PPS Sungai Lerek.
17 Nov 20
1222
Amaran Cuaca Buruk Berterusan Di Terengganu
Amaran Cuaca Buruk Berterusan Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 November - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan notis amaran cuaca buruk dengan hujan lebat di hampir kesemua kawasan di Terengganu. Kenyataan itu memaklumkan, hujan lebat dijangka berterusan sehingga esok di daerah Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun, Kuala Nerus, Besut dan Setiu. Manakala di Kelantan, daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh juga mengalami cuaca sama.  Kenyataan terbabit turut mengeluarkan amaran cuaca peringkat waspada bagi Kemaman, Jeli, Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai. Amaran cuaca peringkat waspada itu turut membabitkan beberapa daerah di Pahang iaitu, Maran, Bera, Kuantan, Pekan dan Rompin.  
17 Nov 20
5439
MAIDAM Salur RM3.6 Juta Kepada Asnaf Terkesan COVID-19
MAIDAM Salur RM3.6 Juta Kepada Asnaf Terkesan COVID-19
KUALA TERENGGANU, 16 November - Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyalurkan bantuan kecemasan berjumlah RM3.6 juta bagi membantu golongan asnaf yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dikuatkuasakan kerajaan bermula Isnin lalu sehingga 6 Disember depan.  Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M. Rozi Bidin berkata, melalui bantuan segera itu, seramai 638 Ketua Isi Rumah (KIR) akan menerima wang tunai sekali bayaran berjumlah RM300. Menurut beliau, bantuan wang tunai secara sekali bayaran itu disalurkan melalui peruntukan sumber am kepada golongan asnaf dengan menepati syarat ditetapkan iaitu penerima bantuan bulanan dan bantuan persekolahan yang mempunyai tanggungan anak bersekolah lebih daripada tiga orang berusia lima tahun hingga 17 tahun.  "Tiada syarat ketat atau borang permohonan bantuan perlu disahkan kerana senarai penerima dikenal pasti melalui saringan berdasarkan rekod yang terdapat dalam sistem zakat dan bayaran. "MAIDAM akui golongan asnaf amat terkesan dalam menghadapi situasi penularan pandemik COVID-19, susulan PKPB dikuatkuasakan kerajaan," katanya ketika mewakili Yang Dipertua MAIDAM, Dato' Osman Muda pada program menyantuni pengayuh beca di Pasar Besar Kedai Payang, di sini, hari ini.  Pada majlis itu, seramai 13 orang pengayuh beca yang aktif menerima bantuan wang tunai sebanyak RM200 dan barangan keperluan dapur bernilai RM100 seorang.  M.Rozi menambah, bantuan lain disalurkan kepada 20,000 golongan asnaf adalah silinder komposit gas petroleum cecair (LPG), yang setiap satunya berkapasiti 14 kilogram bernilai RM155 setiap unit.  "Bantuan itu disalurkan bagi meringankan beban golongan asnaf untuk mendapatkan keperluan gas memasak susulan pemantuhan PKPB.  "Bagi membantu kerajaan mengalakkan masyarakat tidak keluar rumah bagi mengelakkan berlakunya penularan pandemik COVID-19, silinder komposit itu akan dihantar terus ke rumah penerima secara berperingkat, " katanya. Sementara itu M.Rozi berkata, golongan terkesan termasuk usahawan susulan penularan COVID-19 sehingga menyebabkan kerajaan menguatkuasakan PKPB boleh mengemukakan permohonan bantuan melalui borang dalam talian. 
16 Nov 20
2269
Sepakat Tiga Tuan Tanah, Selesai Masalah Banjir
Sepakat Tiga Tuan Tanah, Selesai Masalah Banjir
MARANG, 16 November - Persetujuan tiga pemilik tanah di Kampung Kijing di sini yang membenarkan tanah mereka dibuat laluan air ke longkang utama bakal menyelesaikan masalah banjir dan air bertakung di kawasan terbabit. Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, masalah banjir itu perlu diselesaikan dengan menggali alur yang tidak pernah digali sejak sekian lama. "Bagi menggali alur ini, pihak jabatan perlu memohon kebenaran daripada beberapa orang tuan tanah kerana terpaksa melalui tanah miliknya. "Sebelum ini, pihak kerajaan negeri telah berusaha menyelesaikan masalah banjir ini dengan membina longkang yang dibina oleh Jabatan Kerja Raya Daerah Marang di sekitar sini. "Namun, ketiadaan saluran air untuk ke longkang utama yang dibina tersebut, menyebabkan sebuah rumah dimasuki air dengan teruk setiap kali hujan turun, lebih-lebih lagi pada musim tengkujuh," katanya. Beliau berkata ketika hadir bersama-sama meninjau kerja menggali alur air di Kampung Kijing baru-baru ini. Turut hadir, Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman, Ahli Majlis Daerah Marang, Wan Nelang Abd Rahman, Penghulu Mukim Rusila, Mohd Sukri A. Ghani dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kijing. Menurutnya lagi, usaha ini tidak akan terhenti setakat itu dan usaha tersebut juga telah bermula sejak mendapat aduan daripada MPKK. "Usaha seperti proses mengenalpasti tuan tanah, pembinaan longkang di kawasan sekitar dan mendapatkan persetujuan laluan air di atas tanah pemilik dijalankan. "Setinggi penghargaan diucapkan kepada beberapa pemilik tanah yang sanggup hadir berbincang walaupun ada yang keadaannya agak uzur," tambahnya lagi.
16 Nov 20
1756
Kesedaran dan Kerjasama Penduduk, Atasi Masalah Banjir
Kesedaran dan Kerjasama Penduduk, Atasi Masalah Banjir
HULU TERENGGANU, 16 November - "Kesedaran dan kerjasama penduduk tempatan untuk bersama-sama menyelenggara sistem saliran adalah penting dalam usaha mengatasi masalah banjir," demikian kata Timbalan Pengerusi Pertanian, Industeri Makanan, Peladangan Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Ustaz Hilmi Dato’ Harun. Tambahnya, longkang berhampiran rumah, pastikannya bersih dan tidak tersumbat kerana sampah yang dibuang sewenang-wenangnya ke dalam longkang akan dibawa air saliran utama. “Memang tidak dinafikan, kegagalan sistem saliran air sedia ada untuk menampung pengaliran air menjadi antara faktor utama banjir kerap melanda terutama kawasan penempatan lama atau tanah rendah," ujar beliau. Ustaz Hilmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir berkata demikian kepada media selepas melawat gotong-royong pemasangan ‘culvert’ saliran air banjir di kampung Pulau Manis anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), semalam. “Hampir setiap MPKK diberi peruntukan baik pulih atau bina baharu saliran air hasil peruntukan daripada pelbagai agensi seperti Majlis Badaraya Kuala Terengganu (MBKT), Pejabat Daerah dan Pusat Khidmat Masyarakat PKM ADUN Manir” “Justeru, sangat perlu mengukuhkan mekanisme menggabungkan antara agensi dan pentadbiran secara menyeluruh, selain mempertingkat kesedaran masyarakat dalam usaha mengekang banjir,"ujarnya.
15 Nov 20
691
12 Penternak Ikan Sangkar Rugi Ratusan Ribu
12 Penternak Ikan Sangkar Rugi Ratusan Ribu
MARANG, 16 November - Seramai 12 penternak ikan sangkar air payau di sekitar Sungai Marang mengalami kerugian ratusan ribu ringgit setelah hasil ternakan mereka mati mengejut beberapa hari lalu. Berdasarkan rekod Jabatan Perikanan Daerah Marang sehingga 14 November lalu, sekitar 21,300 ekor ikan  mati mengakibatkan kerugian sekitar lebih RM262,000. Kes itu adalah yang paling teruk dilaporkan berlaku dan punca sebenar masih dalam siasatan pihak Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu dan Jabatan Perikanan Daerah Marang. Menurut seorang penternak, Ahmad Zulkamal Md Arif, 32, kejadian seperti ini belum pernah berlaku sejak sepuluh tahun lalu menyebabkannya kerugian hampir RM 80,000. “Kejadian mengejut ini berlaku semenjak beberapa hari lepas dan kematian ikan meningkat secara mendadak di mana boleh dikatakan hari ini adalah hari kemuncak," katanya ketika dikunjungi oleh Pihak Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang. Sementara itu, Ketua Jabatan Perikanan Daerah Marang, Nor Hafizah Ngah ketika dihubungi berkata kes kematian pada 15 November semakin meningkat dan lebih banyak berbanding hari sebelumnya. “Dianggarkan kematian ikan yang berlaku melibatkan spesis Kerapu, Siakap Merah dan Siakap Putih terjadi di antara satu sehingga tiga minit bagi setiap penternak. “Pihak kami juga sedang berhubung dan menunggu keputusan sampel air daripada pihak Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu. “Sampel air itu diambil di tiga lokasi berbeza iaitu di Jambatan Alor Pak Bang, Perairan Air Gong Tepah, dan Kawasan Perairan Tempat Pelupusan Sampah. “Keputusan sampel tersebut mengambil sedikit masa bagi mengetahui status sebenar serta kaitan kes ini sama ada berpunca daripada pencemaran sungai. Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng menjelaskan, aduan telah dibuat sebaik sahaja menerima berita malang tersebut dan telah dimaklumkan kepada pihak berwajib. “Kita sentiasa berhubung dengan dua jabatan terbabit dan mengharapkan agar semua penternak bersabar diatas ujian besar yang menimpa mereka. “Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Penghulu Mukim Pulau Kerengga serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Desa Permai yang menyediakan jentera untuk menanam bangkai ikan-ikan tersebut,” katanya ketika melawat ke beberapa lokasi sangkar ikan tersebut. Turut hadir adalah Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Rhu Rendang, Mohamad Embong dan Ahli Majlis Daerah Marang, Wan Nelang Abd Rahman.  
15 Nov 20
2269
Parkir Mydin 'Mall' Kekal Percuma
Parkir Mydin 'Mall' Kekal Percuma
KUALA TERENGGANU, 15 November – Kerajaan negeri menegaskan parkir di Pasar Raya Mydin Bukit Besar di sini, kekal sebagai tempat letak kereta tidak berbayar. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak menegaskan, kewujudan meter parkir digital di lokasi tersebut adalah salah faham antara pihak swasta yang menguruskan tempat letak kereta berbayar dengan Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT). “Kawasan luar pasar raya mydin memang bukan kawasan berbayar. Mesin parkir digital yang ditempatkan di kawasan Mydin. “Berlaku salah faham antara pihak swasta dengan MBKT, walau bagaimanapun perkara ini sudah dalam tindakan MBKT, insya-Allah akan selesai seperti asal, maaf atas segala kesulitan,” katanya Ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.  Terdahulu, tular di media sosial mengenai kewujudan beberapa mesin parkir digital di Kawasan terbabit yang menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat. Difahamkan, mesin tersebut telah dialihkan oleh MBKT dan syarikat Vista Summerose  Sdn. Bhd. selaku pengendali parkir berbayar. Selepas meter parkir digital dipindahkan.  
15 Nov 20
10592
Sheikh Nuruddin Terkejut Dengan Sikap Kerajaan Terengganu
Sheikh Nuruddin Terkejut Dengan Sikap Kerajaan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 November - Sheikh Nuruddin Al-Banjari terkejut dengan layanan kerajaan Terengganu terhadap golongan ulama yang bertandang dan berada di negeri itu. Pendakwah terkenal itu berkata, daripada beberapa negeri yang pernah dikunjunginya, beliau merasakan Terengganu mempunyai aura luar biasa. "Walaupun Menteri Besarnya, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sakit, tetapi beliau tetap menjemput saya datang, mereka siapkan kami dua buah velfire, mereka memandu untuk kami dan kereta itu (bukan kereta kerajaan) memang mereka siapkan khusus untuk tetamu dan orang agama," katanya selepas bertandang ke Terengganu baru-baru ini. Menurutnya lagi, orang ramai boleh melihat keadaan tenang di Terengganu dan ia berpunca daripada sikap kerajaan yang memuliakan golongan agamawan serta ulama. "Saya juga dijemput kerajaan melalui Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah untuk berbincang beberapa perkara bersama kumpulan kami. "Ikram dan takzim mereka kepada tetamu sangat ketara, prinsip dan asas ini insya-Allah tidak akan dipandang kosong oleh Allah SWT," jelasnya. Katanya lagi, beliau juga terkejut dengan sambutan masyarakat Terengganu terhadap kuliah-kuliah yang dianjurkan. "Sewaktu saya berkuliah di daerah-daerah dan masjid-masjid, bukan setakat mendapat sambutan, tetapi hubungan kami juga kami sangat mesra walaupun dalam keadaan menjaga prosedur operasi standard (SOP)," tambah beliau.
15 Nov 20
10537
Exco Terengganu Dinobat Hero Pelancongan Malaysia
Exco Terengganu Dinobat Hero Pelancongan Malaysia
KUALA TERENGGANU, 14 November - Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman dinobatkan sebagai Hero Pelancongan Malaysia sempena Sidang Kemuncak Emas Pelancongan Malaysia 2020 yang berlangsung semalam. Ariffin dalam satu kenyataan menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak terutama pegawai dan kakitangan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu) serta Jabatan dan Agensi kerajaan yang terlibat. “Pertama sekali saya ingin mengucapkan syukur Alhamdulillah dan jutaan terima kasih kepada Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) atas ‘Anugerah Malaysia Tourism Heroes’ yang diberikan kepada saya. “Anugerah ini adalah hasil kerjasama daripada semua pihak yang turut terlibat dan juga pemain-pemain industri pelancongan yang banyak membantu dan memberi sokongan, ini adalah hadiah untuk Negeri Terengganu hasil daripada kerjasama semua pihak. “Semoga kecemerlangan ini dapat diteruskan dan ditambah baik dalam usaha meningkatkan lagi produktiviti dan memacu pembangunan negeri,” katanya. Mengulas lanjut, beliau memberi komitmen untuk terus mengangkat industri pelancongan Terengganu ke tahap tertinggi “Akhir sekali, saya mendoakan agar Terengganu terus maju dalam usaha merealisasikan misi untuk mencapai status ‘Negeri Terengganu Negeri Pelancongan’,” tambah beliau. Sidang Kemuncak Emas Pelancongan Malaysia 2020 berlangsung dari 11 hingga 13 November 2020 di platform digital maya http://www.MTCSummit.com.
14 Nov 20
4521
JENDELA Bakal Selesaikan Isu Internet Setiu
JENDELA Bakal Selesaikan Isu Internet Setiu
SETIU, 13 November - Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan pada bulan Ogos lalu bakal menyelesaikan masalah rangkaian internet di Setiu. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, berkata penduduk di luar bandar khususnya di Parlimen Setiu akan menikmati rangkaian 4G sama seperti di kawasan bandar. "Jalur lebar di sesetengah kawasan Setiu masih lagi menggunakan rangkaian 2G dan 3G sedangkan pembangunan infrastruktur komunikasi ini merupakan keperluan yang amat penting. "Inisiatif ini membolehkan penduduk luar bandar mendapatkan perkhidmatan 4G sebagai platform penambahbaikan komunikasi digital serta liputan perkhidmatan jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti tinggi," ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini. Beliau juga berterima kasih kepada pihak Kerajaan atas jawapan yang lengkap berkenaan masalah rangkaian internet di Setiu serta usaha-usaha yang akan dilaksanakan. "Jawapan menteri melalui jawapan lisan berkenaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) memberi berita gembira untuk rakyat Setiu. "Melalui inisiatif JENDELA, bagi Kawasan Parlimen Setiu, sebanyak 1,322 premis akan dinaik taraf capaian kepada gentian optik. Selain itu, 13 menara kamunikasi baru bakal dibina serta 57 pemancar komunikasi di menara sedia ada turut dinaik taraf," tambah beliau lagi. JENDELA merupakan inisiatif Kerajaan dalam meningkatkan kesalinghubungan serta kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi di seluruh negara. Fasa pertama inisiatif ini akan dimulakan dengan mengembangkan rangkaian 4G di Malaysia dari 91.8 peratus ke 96.9 peratus, terutamanya di kawasan yang mempunyai penempatan yang padat.
13 Nov 20
432