lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

PKPB Di Terengganu Tamat Esok
PKPB Di Terengganu Tamat Esok
KUALA TERENGGANU, 20 November - Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Terengganu akan ditamatkan bermula esok. Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata,  penamatan itu bukan bermakna Terengganu bebas sepenuhnya. "Negeri-negeri ditamatkan PKPB masih dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Rujuk kembali prosedur Operasi Standard (SOP) PKPP," katanya dalam kenyataan media hari ini. Pada 15 November lalu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri bagi memohon pelaksanaan PKPB di seluruh Terengganu itu ditamatkan lebih awal. Mengulas lanjut Ahmad Samsuri memaklumkan, usaha itu tidak terhenti setakat itu apabila pada beberapa hari selepas itu beliau sekali lagi mengutarakan kedudukan terkini COVID-19 di Terengganu. “Saya juga memberi alasan kenapa PKPB dapat ditamatkan lebih awal daripada jadual asal dalam Mesyuarat MKN secara atas talian yang dipengerusikan Perdana Menteri dari pejabat beliau," jelasnya.
20 Nov 20
1665
Internet Percuma Di Pusat Kuarantin
Internet Percuma Di Pusat Kuarantin
MARANG , 19 November - Kerajaan negeri bersetuju memasang internet percuma membabitkan peruntukan RM5,000 di pusat kuarantin di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai dalam tempoh terdekat. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, langkah itu memudahkan individu dikuarantin mendapatkan informasi semasa secara mudah. "Pada masa yang sama ia juga dapat menghilangkan rasa bosan dan tekanan sepanjang berada di pusat kuarantin. "Saya berharap seramai 160 individu yang masih berada di pusat itu bersabar dan mengetahui masing-masing merindui keluarga terutama yang mempunyai anak kecil," katanya. Hanafiah Mat. Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Person Under Surveillance di pusat kuarantin itu, di sini semalam. Mengulas tentang pusat kuarantin tersebut, Hanafiah berkata, beliau berpuashati dengan tahap pengurusan yang diselia barisan hadapan sejak dibuka ketika awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu. "Difahamkan mereka yang terlibat diberi makan lima kali sehari selain dibekalkan barangan kelengkapan diri lain," katanya
19 Nov 20
687
Terengganu Beri Wang Pencen Untuk Warga Emas
Terengganu Beri Wang Pencen Untuk Warga Emas
KUALA TERENGGANU, 18 November - Terengganu bakal melengkapkan pelaksanaan manifesto pemberian pencen rakyat sebanyak RM50 sebulan kepada warga emas yang layak selepas sesi pemilihan selesai. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sedang mengedarkan borang permohonan Pencen Rakyat Warga Emas tersebut bagi diisi mereka yang layak. Katanya, penerima akan ditentukan melalui analisa data yang di pejabat daerah. "Bakal penerima pencen itu pastinya bukan penerima bantuan bulanan daripada mana-mana agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam dan Adat Terengganu (Maidam), Perkeso dan penerima pencen sedia ada. "Hanya dibuka kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas yang tiada sumber pendapatan tetap. "Selain itu, dalam satu keluarga, seorang warga emas yang layak akan menerima manfaat tersebut," katanya. Hanafiah Mat. Beliau berkata demikian  selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Person Under Surveillance di Pusat Kuarantin COVID-19 di Akademi Bomba dan Penyelamat di Wakaf Tapai, di sini, hari ini. Mengulas lanjut, Hanafiah memaklumkan analisa data dijangka mengambil masa enam bulan untuk diselesaikan. "Selepas itu ia akan dibawa kepada mesyuarat mingguan Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri untuk mendapat persetujuan dan kelulusan. "Apa yang dilaksana itu adalah termaktub dalam Manifesto Pilihan Raya lalu yang menjanjikan sumbangan bulanan sebanyak RM600 setahun atau RM50 sebulan," tambah beliau.
18 Nov 20
9219
MAIDAM Peruntuk Dana Baiki Rumah Mangsa Banjir
MAIDAM Peruntuk Dana Baiki Rumah Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 18 November - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyediakan peruntukan membaik pulih kerosakan kediaman mangsa banjir, terutama membabitkan golongan asnaf. Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M. Rozi Bidin berkata, golongan asnaf yang mengalami masalah kerosakan rumah disebabkan ditenggelami air diminta mengemukakan permohonan. Katanya, bantuan akan diberikan bergantung kepada penilaian kerosakan kediaman dialami mangsa.  "MAIDAM ada menyediakan peruntukan dibawah kategori bencana kepada golongan asnaf yang menghadapi kerosakan kediaman disebabkan ditenggelami air, " katanya. M. Rozi berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pengagihan Silinder Komposit Gas Petroleum Cecair (LPG) di Kampung Beladau Kolam, di sini, hari ini.  Turut hadir, Pengurus Besar MAIDAM Property Sdn Bhd, Wan Farid Imran Wan A Latif dan Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan Zakat), Nazli Amiiri Ngah.  M Rozi berkata, bantuan membaik pulih kerosakan kediaman bukan sahaja terhad kepada golongan asnaf, sebaliknya semua mangsa banjir boleh mengemukakan permohonan melalui dalam talian.  Sementara itu, mengulas mengenai kutipan zakat, M Rozi mengakui berlaku kemerosotan sebanyak RM2 juta kutipan, terutama zakat perniagaan berikutan banyak pihak yang terkesan berikutan pandemik COVID-19.  "Sehingga semalam, hanya RM135 juta berjaya dikutip berbanding RM137 juta dalam tempoh sama tahun lalu," katanya.
18 Nov 20
963
PKPB : MB Terengganu Jumpa PM
PKPB : MB Terengganu Jumpa PM
KUALA TERENGGANU, 18 November – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri bagi memohon pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Terngganu itu ditamatkan lebih awal. Ahmad Samsuri berkata, langkah pencegahan yang dilaksanakan bermula pada 9 November itu sangat memberi kesan kepada rakyat. “Sebaik sahaja diumumkan PKPB di seluruh Negeri Terengganu, saya telah mengambil langkah mengadakan perbincangan di peringkat Majlis Keselamatan Negeri Terengganu bersama agensi-agensi berkaitan. “Selain itu, untuk memastikan penularan dapat dikawal sebaik mungkin, saya bersama rakan-rakan pentadbiran dan Jabatan Kesihatan Negeri, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Malaysia dan lain-lain telah bekerja keras mencari jalan untuk mengumpul maklumat terkini supaya PKPB di Terengganu dapat ditamatkan. “Berbekalkan data terakhir itu, saya telah bertemu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari Ahad 15 November lepas dan mengemukakan fakta berkaitan kawalan COVID-19 di Terengganu, memohon supaya PKPB di Terengganu dapat ditamatkan. Terima kasih kepada beliau yang sangat prihatin untuk mempertimbangkan hal ini dengan membawa dalam mesyuarat di Putrajaya,” katanya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini. Mengulas lanjut Ahmad Samsuri memaklumkan, usaha itu tidak terhenti setakat itu apabila pada hari ini beliau sekali lagi mengutarakan kedudukan terkini COVID-19 di Terengganu. “Saya juga memberi alasan kenapa PKPB dapat ditamatkan lebih awal daripada jadual asal dalam Mesyuarat MKN secara atas talian yang dipengerusikan Perdana Menteri dari pejabat beliau. “Kita akan terus berusaha dan berdoa agar dalam tempoh beberapa hari lagi satu keputusan dapat dibuat, insya-Allah,” tambah beliau.
18 Nov 20
1970
Waspada Keselamatan Musim Banjir
Waspada Keselamatan Musim Banjir
SETIU, 18 November - Fenomena banjir di daerah ini sudah menjadi kebiasaan bagi sesetengah penduduk, namun faktor keselamatan tidak wajar dipandang mudah. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata, penduduk perlu waspada dengan banjir yang bila-bila masa boleh berlaku pada musim ini dengan faktor penerimaan taburan hujan yang tinggi. "Kawasan yang rendah dan berisiko berlaku banjir perlu diberikan perhatian khusus mengenai keselamatan diri, keluarga dan harta benda," katanya. Beliau berkata demikian ketika meninjau situasi banjir di Kampung Padang, Mukim Hulu Setiu yang mengakibatkan laluan Bandar Permaisuri ke Kampung Seladang tidak dapat dilalui sejak malam tadi. Turut bersama Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Padang, Azizan Abdul Rahman. Zul Bhari turut menasihatkan orang ramai agar menjaga kesihatan lebih-lebih lagi dalam situasi COVID-19 yang masih belum reda.  
18 Nov 20
465
Tetap Berniaga Walaupun Kedai Dinaiki Air
Tetap Berniaga Walaupun Kedai Dinaiki Air
  HULU TERENGGANU, 18 November -Walaupun musim banjir menjadi satu musibah buat penduduk yang terlibat, namun ia tetap terselit kisah yang memberi inspirasi. Ketika paras air banjir mencecah 0.3 meter, ia tidak menjadi halangan Engku Hasmah Engku Kamaruzaman, 45, tetap berniaga di kedai runcitnya sekaligus menguruskan warung kopi di Kampung Nibong, Telemong. Kata ibu kepada sembilan anak ini, perniagaan perlu diteruskan kerana penduduk perlu mendapatkan keperluan di kedainya di samping untuk mencari rezeki buat mereka sekeluarga. "Setakat ini, saya masih meneruskan operasi kedua-duanya kerana keadaan masih selamat untuk berniaga. "Selagi keadaan selamat dan stok bahan mentah mencukupi, saya akan terus berniaga. Kebetulan pula, stok barang runcit sudah dibeli dari awal,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini. Katanya, kedai yang diusahakannya masih dibuka memandangkan paras air masih paras lutut dan akan menutup kedai sekiranya paras air meningkat sehingga membahayakan keselamatan. Engku Hasmah juga berkata, tiada masalah untuknya menyediakan makanan walaupun premisnya dibanjiri air kerana ruangan memasak berada pada tempat tinggi. "Lagipun saya hanya menyediakan air minuman kerana kuih-muih yang ada dihantar oleh penduduk kampung untuk dijual. “Apapun, saya tetap mementingkan aspek kebersihan. Lagipun, ia hanya ‘air lalu’ yang dibawa arus deras (banjir), bukannya air bertakung seperti di sesetengah kawasan. “Ini agak agak menyeronokkan juga, malah menawarkan pengalaman unik kerana dapat menikmati hidangan dalam persekitaran banjir. Ada yang tidak melepas peluang merakam gambar dan video kenangan,” katanya.    
18 Nov 20
1274
APM Terus Pantau Keadaan Banjir, Paras Air Sungai
APM Terus Pantau Keadaan Banjir, Paras Air Sungai
KUALA TERENGGANU,18 November – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri terus memantau perkembangan banjir dan kenaikan paras air sungai di Terengganu. Pengarah APM negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman memaklumkan, pihaknya telah meninjau kenaikan air pasang di hiliran sungai, Kuala Terengganu semalam dan hasil pemantauan mendapati kenaikan paras air tersebut ialah fasa awal musim tengkujuh seperti dimaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada petang semalam. “MetMalaysia telah menjangkakan notis amaran cuaca buruk (amaran jingga), hasil pemantauan APMM di sekitar Terengganu mendapati waktu kemuncak air pasang dengan peningkatan 2.4 meter pada jam 11 malam ini. “Namun begitu, alhamdullilah hujan lebat telah berhenti pada lewat petang sehingga malam ini dan tiada pemindahan yang berlaku di kawasan berdekatan. Kesiapsiagaan pasukan APMM di seluruh negeri sedang giat dengan pemantauan berterusan. “Pihak kami turut bekerjasama dan memaklumkan semua daerah dan sekretariat pengurusan bencana setiap daerah untuk bersiap sedia jika ada hujan lebat kerana kebarangkalian boleh berlaku pemindahan pada bila-bila masa,” katanya. Beliau berkata demikian selepas kerja pemantauan air pasang di Jeti Losong Ferry dan di Pulau Warisan, malam semalam. Mengulas berkenaan kawasan berisiko untuk dinaiki air, beliau berkata, Hulu Terengganu, Hulu Besut, Setiu, Kemaman dan Dungun adalah diantara kawasan yang diberi tumpuan atas faktor seperti komposisi air di hulu tidak dapat mengalir keluar laut.  “Terutama di kawasan berhampiran sungai seperti di Losong, Pulau Sekati, Pulau Rusa dan Manir.  “Pihak berkuasa menasihati penduduk terutama di kawasan berisiko seperti di tepi sungai untuk bertindak awal atas sebab potensi kenaikan air dan memindahkan kenderaan mereka ke kawasan selamat,” ulasnya.
18 Nov 20
381
Pindah Segera Jika Banjir
Pindah Segera Jika Banjir
DUNGUN, 18 November-  Arahan segera berpindah telah dikeluarkan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Besi Cawangan Besol kepada penduduk kampung itu sekiranya banjir berlaku. Pengerusinya, Nasharuddin Salleh berkata, arahan berkenaan dikeluarkan agar semua penduduk berada dalam keadaan siap sedia dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga. "Sehingga 4 pagi semalam alhamdulillah keadaan masih terkawal dan saya mengarahkan penduduk jika hujan lebat berterusan sehingga mengakibatkan paras sungai meningkat segera berpindah ke Pusat Pemidahan Sementara (PPS) di Surau Kampung Besol Lama. "Sekitanya berlaku banjir dikawasan ini ianya akan menjejaskan lapan buah rumah," ujarnya melalui satu kenyataan melalui 'Whatsapp' Khidmat Malaysia DUN Bukit Besi, hari ini. Walau bagaimanapun katanya, pagi ini air sungai sudah mulai surut dan dan kembali seperti sediakala. Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, Bilik Gerakan Banjir melalui Khidmat Malaysia DUN Bukit Besi telah diaktifkan serta merta. "Kita akan sentiasa berhubung dengan pihak MPKK yang biasa terlibat dengan banjir agar sentiasa membuat laporan dari semasa ke semasa setiap empat jam sekali bagi melaporkan keadaan penduduk dan aras sungai jika hujan berterusan membabitkan Sungai Pasir Raja, Jerangau dan Kuala Jengai. "Kita mendoakan agar tidak berlaku banjir yang teruk, serta hujan yang mengundang bencana serta perkara yang tidak diingini kerana menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan dijangka hujan lebat berterusan tambahan pula telah tiba musim tengkujuh" ujarnya. Tindakan awal untuk berpindah katanya amat penting bagi menjamin keselamatan terutama kepada golongan warga emas, pesakit kronik, ibu bersalin dan sebagainya. "Diharapkan agar tidak ada penduduk yang ingkar dan enggan berpindah sekiranya arahan dikeluarkan, dikhuatiri akan mengundang pelbagai perkara yang tidak baik serta menyukarkan kerja -kerja menyelamat, menyampaikan bantuan dan sebagainya. "Di samping kita telah dimaklumkan mengenai tatacara Prosedur Operasi Standard ( SOP) yang telah ditetapkan dalam suasana norma baru pada tahun ini didalam keadaan menghadapi pandemik COVID-19," ujarnya.
18 Nov 20
406
Musim Tengkujuh : Penoreh Getah Perlu Bantuan
Musim Tengkujuh : Penoreh Getah Perlu Bantuan
SETIU, 18 November – Musim tengkujuh yang melanda beberapa negeri di Pantai Timur memberi impak kepada penoreh getah dan nelayan yang tidak dapat bekerja seperti biasa. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, perkara itu perlu ditangani dengan baik kerana ia boleh menjejaskan kehidupan golongan tersebut terutamanya melibatkan bekalan asas. "Alhamdulillah, sebahagian stok makanan ruji persiapan musim banjir sudah tiba. Beras dari sawah padi Terengganu dan dikilangkan di Terengganu. Walau susah macam mana sekalipun, wajib kita kena pastikan setiap rumah di Jabi ada beras, "Tengkujuh adalah musim sukar untuk penoreh terutama penyandang jawatan 'noreh getah orang'. Dari tangga ke tangga kita kunjungi dalam program ziarah cakna penoreh sekitar Kampung Tok Dor, Kampung Bahagia, Kampung Padang Lengkuas, Kampung Tasik Nibong, Kampung Bukit Jeruk, Kampung Kerandang, Kampung Pondok Paku, Kampung Gong Dasar dan Kampung Matlain Badrin. "Alhamdulillah, sempat 60 buah rumah sahaja hari ni. Insya-Allah akan disusuli lagi di beberapa lokaliti lain yang masih berbaki," katanya selepas menyerahkan sumbangan kepada penoreh getah di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, baru-baru ini. Mengulas tentang banjir, beliau yang juga ADUN Jabi memaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan keperluan untuk mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). "Di Jabi yang berpindah ke PPS tak berapa ramai. Majoritinya tak berpindah tetapi mereka adalah mangsa musim banjir terutamanya penoreh getah. Inilah yang perlu kita selesaikan dan disantuni. Tentunya bantuan ini tak akan sampai ke setiap rumah di Jabi sebagaimana agihan masa Perintah Kawalan pergerakan (PKP) dulu. ‘’Biarlah berat sama dipikul, susah sama dirasa dan kepayahan sama diringankan. Ternyata beban yang perlu dipikul atas dunia terlalu ringan berbanding beratnya bebanan amanah yang perlu kita jawab di hadapan Allah. ‘’Kami bukan yang terbaik. Tetapi kami berusaha untuk sentiasa hadir ketika rakyat dalam kesukaran," tambah beliau.
18 Nov 20
434