lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Belanjawan 2021 : Pusat Terapi Autisme Dibina
Belanjawan 2021 : Pusat Terapi Autisme Dibina
KUALA TERENGGANU, 23 November - Terengganu bakal memiliki Pusat Rawatan dan Terapi Austisme sendiri selepas kerajaan negeri bersetuju meluluskan pembinaannya. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pusat ‘Baitul Ummi’ dan ‘Raudhatul Jannah’ juga akan dibina dengan peruntukan RM1.4 juta. "Kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah pusat jagaan harian warga emas Baitul Ummi, khusus untuk golongan wanita di Kuala Terengganu dan menubuhkan Terengganu Autism Care and Therapy Centre (TACTC). "Kerajaan Negeri juga akan memulakan operasi Raudhatul Jannah, bagi melindungi golongan wanita dan kanak-kanak daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi rumah tangga," katanya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2021 Terengganu pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini. Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, bagi memastikan institusi keluarga di Terengganu terjamin pula, kerajaan negeri memberi perhatian penuh kepada Program Pemutihan 4P (Perintah Pengesahan dan Pendaftaran Perkahwinan). "Sebanyak RM145 ribu diperuntukkan untuk program pemutihan status perkahwinan rakyat Terengganu. "Selain itu, kerajaan negeri juga akan memperuntukkan sebanyak RM200 ribu untuk pembukaan tiga buah taska baharu di premis jabatan seluruh negeri Terengganu," jelasnya.
23 Nov 20
1148
Sidang DUN : PEUTER Jadi Pemudahcara
Sidang DUN : PEUTER Jadi Pemudahcara
KUALA TERENGGANU, 23 November - Urus Setia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) bertekad untuk menjadi peneraju utama bagi memudahcara antara agensi berkaitan dengan para usahawan dalam usaha membangunkan usahawan negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, sejak ditubuhkan 23 April 2014, sebanyak 39 agensi keusahawanan pusat dan negeri telah menganggotai PEUTER. “PEUTER dibawah kelolaan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Negeri Terengganu berperanan untuk menyelaras dan mengumpul maklumat berkait aktiviti keusahawan yang dilaksanakan khusus di negeri ini terutamanya membabitkan pembiayaan, geran perniagaan, latihan dan promosi,” ujarnya.  Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Ridzuan Hashim (PAS-Buluh Gading) mengenai objektif penubuhan PEUTER dan pencapaian sejak ianya ditubuhkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini. Katanya, antara pencapaian PEUTER bagi tahun ini iaitu sehingga 31 Oktober lalu, seramai 12,304 usahawan Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) menikmati pembiayaan berjumlah RM130,783,494 yang diperuntukkan oleh agensi berkaitan di bawah PEUTER.  “Manakala, 713 PKS memperoleh geran berjumlah RM3,326,151 sementara untuk latihan pula sebanyak 123 program melibatkan 4,363 usahawan dan promosi 43 program dengan 6,697 usahawan,” ujarnya. Sementara itu katanya, dalam usaha membantu usahawan PKS yang terjejas ekoran COVID-19, Bantuan Pembiayaan COVID-19 berjumlah RM4.3 juta dikeluarkan kepada 327 usahawan. “YPU juga turut memberi insentif menerusi pengecualian sewa kepada lebih 100 penyewa premis yang dianggarkan bernilai lebih RM500,000 dalam tempoh April hingga Mei 2020,” ujarnya.  
23 Nov 20
583
Sidang DUN : RM57 Juta Atasi Hakisan Pantai Teluk Lipat
Sidang DUN : RM57 Juta Atasi Hakisan Pantai Teluk Lipat
KUALA TERENGGANU, 23 November - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM57 juta bagi menyelesaikan masalah hakisan pantai yang berlaku di Pantai Teluk Lipat, Dungun sejak beberapa tahun lalu. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri Dr Mamad Puteh berkata, peruntukan itu antaranya melibatkan kerja-kerja penyuburan pantai serta pembaikian struktur awam seperti laluan pejalan kaki yang rosak akibat hakisan. “Projek ini dijangka siap akhir Ogos 2022 di mana kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja tersebut telah pun dilantik,” ujarnya. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Wan Hapandi Wan Nik (PAS-Sura) mengenai status terkini dan langkah yang diambil kerajaan negeri bagi mengatasi masalah hakisan di Pantai Teluk Lipat di Dungun, Pantai Rhu Rendang (Marang) dan kawasan pantai di sekitar Kuala Nerus pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini. Mamad Puteh. Sementara itu katanya, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengatasi masalah hakisan di Pantai Rhu Rendang sebagai penyelesaian jangkamasa sederhana yang dijangka dilaksanakan awal tahun hadapan. “Cadangan projek yang melibatkan kerja- kerja penyuburan pantai sepanjang 2.5 kilometer ini sedang di peringkat penyediaan reka bentuk terperinci oleh JPS. Bagi Pantai Kuala Nerus pula, beliau berkata JPS Negeri Terengganu sedang melaksanakan projek kawalan hakisan pantai di kawasan Kampung Telipot, Kuala Nerus. “Projek yang menelan biaya sebanyak RM 6.147 juta ini melibatkan kerja-kerja penyuburan pantai sepanjang 500 meter dan dijangka siap pada Ogos 2021,” ujarnya.
23 Nov 20
1523
Sidang DUN : RM85,000 Naik Taraf Mahkamah Syariah
Sidang DUN : RM85,000 Naik Taraf Mahkamah Syariah
KUALA TERENGGANU, 23 November - Kerajaan negeri meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM85,000 bagi proses pembaikian seluruh Mahkamah Syariah daerah tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, peruntukan tambahan itu diluluskan selepas kerajaan negeri melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) dan Perbendaharaan mengadakan satu siri lawatan ke seluruh Mahkamah Syariah di Terengganu. “Tujuannya meninjau secara terperinci keperluan infrastruktur dan juga cadangan pembangunan bagi Mahkamah Syariah secara menyeluruh,” ujarnya. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Muhammad Khalil Abdul Hadi (PAS-Batu Burok) mengenai sejauh mana tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri dalam membuat penambahbaikan Mahkamah Syariah dari segi pembangunan dan penstrukturan di seluruh Negeri Terengganu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini. Dari segi penstrukturan pula katanya, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu sedang menyediakan satu kertas cadangan bagi menaiktaraf tiga peringkat mahkamah melibatkan yang sedia ada iaitu Mahkamah Rendah Syariah Daerah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah dengan ditambah satu lagi tingkatan mahkamah yang lebih atas. “Tujuan penstrukturan dibuat untuk memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan hak dan pembelaan dengan lebih meluas,” ujarnya.
23 Nov 20
1471
Sidang DUN : Rantaian Ekonomi Projek Dipantau
Sidang DUN : Rantaian Ekonomi Projek Dipantau
KUALA TERENGGANU, 23 November - Kawalan dan pemantauan terhadap keseluruhan rantaian ekonomi bagi projek yang akan dilaksanakan kelak antara usaha dan penambahbaikan dilaksanakan oleh kerajaan negeri. Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, langkah itu bagi memanfaatkan sepenuhnya industri petroleum termasuk sektor hiliran bagi kepentingan rakyat dan negeri ini. Jelasnya, PETRONAS sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk menambah nilai kepada sumber hidrokarbon negara dalam sektor hiliran dan petrokimia yang berpotensi tinggi di negeri ini melalui beberapa projek mengikut kesesuaian. “Bagi industri petroleum dan gas sedia ada, kerajaan negeri dengan kerjasama PETRONAS sentiasa berusaha memastikan rantaian ekonomi sehingga kepada produk akhir berasaskan petroleum dan gas dihasilkan di dalam negeri ini. “Produk-produk lain yang mengguna pakai bahan mentah daripada gas dan petroleum dan gas juga boleh berkembang  seperti yang dapat dilihat di Taman Biopolimer Kertih yang terletak bersebelahan dengan Kompleks Petrokimia Bersepadu Kertih (KIPC),” ujarnya. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepoh) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini. Katanya, bagi syarikat anak tempatan pula, kerajaan negeri memanfaatkan peranan Terengganu Petroleum Council (TPC) untuk membida tender-tender yang dikeluarkan oleh pihak PETRONAS. “TPC diwujudkan di bawah seliaan Terengganu Inc yang menjadi payung kepada syarikat-syarikat yang dimiliki oleh anak- anak negeri Terengganu dan saling bekerjasama untuk mendapatkan kerja-kerja kontrak yang ditawarkan. “Peranan TPC yang menjadi medium kerajaan negeri bagi memastikan kedaulatan Negeri Terengganu sebagai pengeluar minyak dan gas yang utama di Malaysia dapat dilindungi haknya dengan sewajarnya demi kepentingan rakyat dan negeri,” ujarnya. Dalam pada itu katanya, kerjasama secara 'smart partnership dengan PETRONAS secara berterusan dengan memperkasakan Jawatankuasa Kerja Bersama Kerajaan Negeri Terengganu dan PETRONAS atau Joint Working Committee (JWC) yang mempunyai objektif bagi pengukuhan hubungan dua hala dan penjajaran kepentingan di antara Kerajaan Negeri Terengganu dan PETRONAS melalui saluran kerjasama rasmi untuk merealisasikan lanjutan faedah bersama daripada pembangunan petroleum di negeri ini. “Kerajaan negeri sentiasa mengutamakan rakyat tempatan menerusi penetapan syarat sebanyak 70 peratus daripada pekerja dalam mana-mana perusahaan di kawasan perindustrian di negeri ini perlulah terdiri daripada rakyat negeri Terengganu. “Secara tidak langsung pelaksanaan projek berpotensi tinggi dalam sektor hiliran dan petrokimia ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dengan memberi keutamaan kepada rakyat Terengganu,” jelasnya. Katanya, peluang pekerjaan yang tersedia akan ditambah nilai dengan latihan bagi memastikan tenaga kerja ini berkemahiran tinggi dan memenuhi keperluan industri. “Dengan penambahbaikan berterusan secara komprehensif dan kerjasama secara 'smart partnership dengan PETRONAS, kerajaan negeri yakin usaha ini akan memberikan hasil yang positif serta manfaat jangka panjang kepada rakyat dan Terengganu terutamanya menerusi pertambahan peluang pekerjaan dan perniagaan,” ujarnya.  
23 Nov 20
367
Pasang ‘Bollard’ Kerana Landskap Rosak
Pasang ‘Bollard’ Kerana Landskap Rosak
KUALA TERENGGANU, 22 November – Kerosakan landskap di Taman Awam Lagun Kuala Ibai di sini menjadi punca lapan unit ‘bollard’ dipasang.   Datuk Bandar Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT), Shahidan Embok menegaskan, langkah memasang ‘bollard’ akan menghalang kenderaan daripada memasuki kawasan landskap pusat rehat dan rekreasi tersebut. “Banyak landskap lembut dan kejur telah rosak disebabkan kenderaan pengunjung. “Selain untuk mengelakkan kenderaan yang memasuki kawasan itu dihempap pokok dalam musim tengkujuh sebagaimana terjadi di kawasan lain sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Mengulas lanjut, Shahidan walau bagaimanapun menjelaskan pemasangan empat daripada lapan ‘bollard’ itu hanyalah bersifat sementara. “Ia bersifat sementara dan kekal, empat kekal dan empat lagi boleh dipindah bagi membolehkan kenderaan penyelamat dan penyelenggaran untuk memasuki kawasan tersebut,” tambah beliau. Semalam, pemasangan ‘bollard’ itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat. Perkara itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi. Muhammad Khalil mengadakan perbincangan segera dengan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar bagi mencari penyelesaian terbaik dalam isu terbabit. “Perkara ini diberi perhatian yang serius oleh pihak kami dan semoga penyelesaian yang diperolehi akan menguntungkan semua pihak,” jelasnya. Difahamkan empat 'bollard' sementara telah dipindahkan manakala selebihnya masih dikekalkan.
22 Nov 20
1101
Modal RM50, Kini Mampu Gaji Lapan Pekerja
Modal RM50, Kini Mampu Gaji Lapan Pekerja
KUALA NERUS, 22 November - Hanya bermodalkan RM50 sewaktu memulakan perniagaan pada 2017, pengusaha Popia Pisang (Popis) Muhammad Hanif Mat Zain, 27, kini mampu memperoleh pendapatan sehingga mencecah tiga angka sebulan. Pada masa yang sama dapat menawarkan peluang pekerjaan kepada lapan belia kampung iaitu empat pekerja untuk urusan mengoreng, promosi dan jualan, tiga orang bahagian memproses serta seorang ‘runner’. Muhammad Hanif yang juga graduan Sains Kimia dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, berkata pada awalnya, perniagaan itu hanya sekadar suka-suka dan mahu mencari pendapatan sampingan sebelum mendapat pekerjaan tetap sebaik tamat pengajian pada 2017. Katanya, disebabkan rezeki yang diperoleh kini agak memuaskan, dia mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap perniagaan itu sehingga apa yang diusahakan itu benar-benar berjaya. “Selain mampu menawarkan lebih ramai lagi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. “Pada masa akan datang mahu menambah beberapa cawangan di lokasi yang lebih strategik termasuk di kawasan Bandar Raya Kuala Terengganu,“ katanya ketika ditemui di Kiosk Popis miliknya di Kampung Padang Polis, Batu Rakit, di sini, baru-baru ini. Muhammad Hanif turut memberitahu, kejayaannya itu adalah hasil dorongan ibu bapa dan bantuan kerajaan negeri di mana pernah mengikuti program Usahawan Graduan Terengganu Sejahtera (U-GATES) pada 2018. “Ilmu yang diperoleh daripada program ini sangat bermakna dan memberi kesan mendalam kepada saya. “Pelbagai perkara dapat belajar antaranya strategi pemasaran,  keluar dan masuk duit, hala tuju perniagaan dan kaedah berdepan masalah,” katanya.  
22 Nov 20
1872
Pindah Sementara Operasi JKM Dungun
Pindah Sementara Operasi JKM Dungun
DUNGUN, 21 November - Pejabat yang menempatkan kakitangan bahagian pentadbiran dan pegawai operasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Dungun yang terlibat dalam kejadian kebakaran baru-baru ini akan dipindahkan ke lokasi sementara bagi membolehkan jabatan itu meneruskan operasi seperti biasa dalam masa terdekat. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, buat masa ini, pihak JKM Dungun dalam proses mencari bangunan baharu untuk disewa. "Akibat kebakaran yang berlaku di bilik pengkalan data (server room) di salah sebuah bangunan kira-kira 4 pagi Rabu lalu, semua kerja-kerja di bahagian pentadbiran tergendala. "Kakitangan JKM Dungun akan bekerja lebih masa untuk menyelesaikan apa yang patut dan yang paling penting memastikan bayaran kebajikan dibayar mengikut seperti yang dijadualkan kepada penerima," ujarnya kepada pemberita selepas meninjau kerosakan yang berlaku akibat kebakaran di pejabat tersebut, baru-baru ini. Katanya, susulan kejadian itu, perkhidmatan kaunter JKM Dungun akan beroperasi di dalam bas yang ditempatkan di lokasi asal manakala Pusat Aktiviti Kanak-Kanak dan Pusat Aktiviti Warga Emas yang berada diluar Pejabat JKM Dungun masih beroperasi seperti biasa. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun, ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik serta Pengarah JKM Terengganu, Zuhami Omar.  Hanafiah yang juga merangkap ADUN Chukai berkata, beliau akan bertemu dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, Dato' Seri Rina Mohd Harun bagi memohon peruntukan membaiki kerosakkan tersebut disegerakan. "Kita akan menunggu keputusan Jabatan Kerja Raya (JKR) samada hanya membaiki bilik yang rosak sahaja ataupun membina bangunan baharu dengan peruntukan daripada pusat," ujarnya.
21 Nov 20
1951
5,000 Ribu Kampit Beras Asnaf Empat DUN
5,000 Ribu Kampit Beras Asnaf Empat DUN
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 21 November - Sebanyak 5,000 kampit beras disalurkan kepada asnaf yang terjejas di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Besut. Penyelaras Parlimen Besut, Ustaz Dr Riduan Mohamad Nor berkata, ia adalah bagi meringankan beban mereka yang menghadapi musibah berganda iaitu COVID-19 dan juga musim banjir. "Kami akan mengagihkan di keempat-empat dun, Kuala Besut, Kota Putera, Jertih dan Hulu Besut, di seluruh 147 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk serahan beras Asnaf musim banjir. "Untuk minggu ini kita laksanakan untuk siri satu, pada minggu depan siri dua dan insya Allah kita akan agihkan sempena dengan musim tengkujuh ini," jelasnya. Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata demikian ketika dihubungi media semalam. Menurut Dr Riduan, rata-rata asnaf ini berpendapan kurang daripada RM1,000 hanya mereka bergantung harap kepada pertanian, getah dan juga hasil tangkapan ikan di laut. "Jadi dengan sedikit sebanyak sumbangan ini diharapkan dapat meringankan beban mereka. "insya-Allah bagi pihak Pejabat Penyelaras Parlimen Besut akan berusaha lagi untuk agihkan selain daripada beras pada minggu akan datang, insya Allah," ujarnya. Beliau menambah, beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) terlibat antaranya, Jabatan Amal Malaysia, daripada Muslim Care Malaysia, PAPISMA dan MediCOM, sama-sama berkolaborasi dalam membantu mangsa banjir. "Setiap hari kita memantau paras air sungai dan memantau paras air empangan di dua buah empangan di daerah Besut iaitu Empangar Jajar dan Paya Peda," tambah beliau.
21 Nov 20
463
Lebih 1,000 Kapit Beras Diagihkan Kepada Penduduk
Lebih 1,000 Kapit Beras Diagihkan Kepada Penduduk
KUALA NERUS, 20 November - Lebih 1000 kampit beras telah diagihkan kepada golongan terkandas akibat banjir dan Covid-19 sejak awal bulan Oktober yang lepas.  Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, beras itu dikumpulkan hasil sumbangan pelbagai pihak menerusi Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus bagi menjaga kebajikan mereka yang berada dalam kesusahan. Katanya, program itu akan dilaksanakan setiap masa sehingga berakhirnya musim tengkujuh dan wabak Covid-19.  “Kita sentiasa mengambil berat terhadap golongan kurang bernasib baik dan hidup dalam kesusahan dengan memberi bantuan samaada dalam bentuk barang keperluan atau kewangan. “Saya mahu rezeki ini dikongsi bersama golongan miskin untuk membantu mengurangkan kos sara hidup,” katanya ketika dihubungi. Beliau yang diwakili Setiausaha Politiknya, Ustaz Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin, mengagihkan beras dan keperluan dapur yang lain pada satu majlis di Surau Kampung Banggol Tok Esah, di sini, pagi tadi. Sementara itu, Ustaz Kamal Nazmi berkata, dianggarkan lebih daripada 2000 asnaf yang tinggal di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Buluh Gading, Tepoh, Bukit Tunggal dan Seberang Takir. “Ini adalah salah satu usaha dari Dato' Dr Khairuddin yang julung kali  diadakan tahun ini bagi memberi sinar harapan kepada golongan asnaf supaya kehidupan mereka mendapat pembelaan. "Dari masa ke semasa pihak kami akan menambah bilangan beras dan yang terbaru kita akan usahakan juga agihan minyak kelapa sawit kepada golongan yang memerlukan,"ujarnya.
20 Nov 20
756