Artikel "Semasa" Terkini
Sidang DUN : Cipta Program, Tarik Remaja Imarah Masjid
KUALA TERENGGANU, 25 November - Golongan pendakwah dan agensi berkaitan perlu mengadakan program yang mampu menarik anak muda untuk mengimarahkan masjid dan surau.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, pengurus dakwah seperti ahli jawatankuasa serta pegawai masjid perlu memiliki pemikiran kreatif dan semangat yang kuat dalam mendekati golongan muda.
“Peranan pejabat agama dan agensi berkaitan juga penting untuk menaikkan semangat dan minat jawatankuasa serta pegawai masjid bagi mengadakan dan menyusun program yang mampu menarik anak muda ke masjid.
“Kita juga menggalakkan agensi yang ada hubungan dengan belia dan beliawanis seperti NGO Belia, Urusetia Belia dan Sukan, Urusetia Wanita dan Beliawanis mengadakan program di masjid untuk mendekatkan anak muda dengan masjid.
“Pendekatan kesedaran yang ditonjolkan semua pihak sedikit sebanyak membantu kerajaan dalam memastikan insitusi masjid dan surau diimarahkan terutama sekali daripada golongan muda,” ujarnya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-14, hari ini.
Katanya, setiap muslim mesti memiliki rasa tanggungjawab untuk melaksanakan dakwah di mana-mana sahaja sama ada berada dalam mana-mana agensi yang berkaitan dakwah ataupun luar bidang dakwah.
25 Nov 20
183
Belanjawan, Tangani Masalah Pengangguran Belia
KUALA TERENGGANU, 24 November – Belanjawan 2021 Terengganu yang diluluskan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) diyakini mampu menangani masalah pengangguran belia.
Pengarah Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Mohd Nasir Abdul Razak berkata, wabak COVID-19 telah mengakibatkan ramai rakyat terutamanya golongan muda terjejas.
Justeru katanya, ia memerlukan beberapa langkah proaktif daripada kerajaan negeri bagi mengurangkan beban yang ditanggung mereka.
“Alhamdulillah, beberapa inisiatif latihan kemahiran bakal mencetuskan lebih banyak peluang pekerjaan.
“Kita mengharapkan peruntukkan sejumlah RM7.52 juta dengan lapan inisiatif untuk latihan kemahiran dan peluang pekerjaan dapat memberikan impak kepada anak muda Terengganu.
“Di samping peruntukkan bagi golongan usahawan serta petani yang cukup bermakna,” katanya Ketika dihubungi media hari ini.
Mohd Nasir.
Dalam perkembangan sama, beliau gembira dengan pengumuman Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri berkenaan dua lagi manifesto yang akan dilaksanakan pada 2021.
“Dua lagi manifesto akan dijayakan tahun depan, iaitu Pencen Rakyat untuk warga emas sebanyak RM600 setahun dan juga Tabung Perumahan Rakyat Terengganu sebanyak RM50 juta.
“Ini menjadikan 17 daripada 20 manifesto PAS Terengganu telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam masa hampir tiga tahun.
“Bahkan kerajaan negeri juga telah meneruskan peruntukan khas kepada ADUN Bukan Kerajaan sebanyak RM 250 ribu bagi seorang ADUN. Inilah bukti permuafakatan antara PAS dan UMNO di Terengganu,” tambah beliau.
25 Nov 20
193
ADUN Telemong Cadang Dr Azman Diberi Anugerah 'Hero Pertanian'
KUALA TERENGGANU, 25 November – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Dato’ Rozi Mamat mencadangkan supaya Dr Azman Ibrahim dianugerahkan ‘Hero Pertanian’.
ADUN daripada UMNO itu berkata, kecaknaan dan kerja kuat Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri itu wajar dipuji.
“Sepatutnya usaha dan kerja kuat sebegini diberi anugerah ‘Hero Pertanian’, ‘The Hero Agriculture Terengganu,” katanya ketika sesi soalan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-14 hari ini.
Dr Azman.
Rozi ketika sesi itu turut mengemukakan cadangan supaya diwujudkan satu pusat pengumpulan hasil pertanian di Hulu Terengganu.
“Ini bagi memudahkan para petani, kerana sebelum ini hasil tani dihantar ke Setiu, memberi sedikit kesukaran kepada mereka kerana jarak yang jauh,” katanya.
Cadangan tersebut kemudiannya dipersetujui oleh Dr Azman.
“Insya-Allah saya luluskan dengan segera pusat pengumpulan di Hulu Terengganu,” jelas Dr Azman
25 Nov 20
4526
Belanjawan 2021 : RM42.8 Juta Untuk Tabung Pendidikan
KUALA TERENGGANU, 23 November – Kerajaan negeri memperuntukkan RM42.8 juta untuk Tabung Pendidikan Terengganu Sejahtera dalam usaha memastikan Terengganu terus unggul dalam bidang akademik.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dana tersebut meliputi biasiswa kepada pelajar cemerlang di beberapa peringkat pengajian.
"Kerajaan negeri akan meneruskan pemberian biasiswa dan pinjaman di bawah Yayasan Terengganu melalui Tabung Pendidikan Terengganu Sejahtera dengan peruntukan sebanyak RM42.8 juta.
"Merangkumi Biasiswa Pelajar Cemerlang Ijazah Pertama, Sarjana dan PhD; Kursus Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), Sijil Pentauliahan Penjaga Jentera Elektrik (Chargeman), Pinjaman Tabung Siswa Terengganu dan Pinjaman Latihan Kemahiran," katanya Ketika membentangkan Belanjawan 2021 Terengganu pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga akan memperuntukkan sebanyak RM2 juta untuk Program Kecemerlangan Pendidikan
bagi membantu pelajar-pelajar yang menghadapi peperiksaan UPSR, PT3, SPM dan STPM.
"Tambahan pula, sebanyak RM6 juta diperuntukkan bagi bantuan per kapita sekolah pondok, sekolah agama rakyat dan pusat pendidikan agama yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
"Bagi memberi motivasi kepada para pelajar sekolah untuk mempunyai semangat dan cita-cita untuk menyambung pelajaran ke peringkat menara gading, kerajaan negeri akan melaksanakan program dan latihan seperti Lambaian Menara Gading, Teknik Pembelajaran, Seminar Kepimpinan, Latihan Kerohanian dan Kecergasan serta motivasi dengan peruntukan sebanyak RM600 ribu," jelasnya.
Ahmad Samsuri turut memaklumkan, bagi memperkasakan institusi pendidikan dengan pelaksanaan pembelajaran berkualiti, pengupayaan warga pendidik dan pentadbir berprestasi tinggi, penyediaan infrastruktur yang lengkap, pembentukan
persekitaran islamik, serta penglibatan awam dan swasta, kerajaan negeri akan melancarkan Pelan Kecemerlangan Pendidikan Terengganu 2021-2025.
24 Nov 20
639
Penggiat E-sports Sambut Baik Belanjawan 2021
KUALA TERENGGANU, 24 November - Pendukung e-sports di Terengganu menyambut baik Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semalam.
Presiden E-sports Malaysia Terengganu, Ahmad Shahrul Nizam Ab Ghani berkata, secara asasnya kerajaan negeri telah memperuntukkan bajet yang cukup besar bagi menggerakan badan bukan kerajaan (NGO), industri sukan dan belia.
“Ini sudah jelas menggambarkan keprihatinan dan kesediaan kerajaan untuk terus mendengar serta menyantuni semua golongan terutamanya anak muda.
“Mewakili E-sports Terengganu, kami mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan negeri atas usaha ini,” katanya Ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Belanjawan 2021 juga banyak memberi fokus kepada golongan belia bagi meningkatkan keupayaan mereka khususnya mendapatkan pekerjaan dan sumber pendapatan serta kemahiran yang lebih baik.
“Belanjawan 2021 banyak memfokus untuk golongan belia dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif dan insentif, oleh itu kita harap belia merebut dan memanfaatkan peluang yang disediakan untuk mereka,” tambah beliau.
24 Nov 20
452
Tambah Kerusi DUN Ikut Jumlah Pengundi
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 24 November - Kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa agar menambah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu mengikut jumlah pengundi.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Haji Yahaya Ali berkata, sudah tiba masanya bagi negeri itu untuk menerima hak yang sepatutnya.
"Saya berpendapat sudah sampai masanya kajian dan usaha-usaha yang lebih bersungguh-sungguh perlu dibuat untuk menambah kerusi DUN.
"Supaya mengikut demografi penduduk dan kemudahan kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertugas mengikut jumlah pengundi yang munasabah dan lain-lain prinsip yang disyorkan oleh pihak SPR," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam pembukaan Persidangan Mesyuarat Kali Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke 14 di U2, Wisma Darul Iman, semalam.
Menurutnya, kedudukan kerusi yang ada dalam DUN Terengganu iaitu sebanyak 32 dan penambahan satu kerusi iaitu ADUN Wanita yang dilantik.
"Tambahan kerusi kepada DUN kita yang terakhir berlaku pada tahun 1984 iaitu 36 tahun yang lalu dan tiada lagi pertambahan kerusi berlaku selepas itu," jelasnya.
24 Nov 20
1315
Aktiviti Agama, Kemasyarakatan Dibenar Berjalan Semula
KUALA TERENGGANU, 24 November - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memberi perkenan untuk membenarkan semua aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan berjalan di masjid dan surau di negeri ini berkuatkusa serta merta.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato' Osman Muda berkata, kebenaran itu adalah selaras dengan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Terengganu pada 21 November lalu.
"Semua aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di masjid dan surau dibenarkan serta merta.
"Berkaitan had umur minima yang dibenarkan menunaikan solat jemaah di masjid dan surau diturunkan kepada 12 daripada 15 tahun sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Osman Muda.
Menurutnya lagi, jawatankuasa masjid dan surau dikehendaki memastikan ahli Jemaah yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan pihak berkuasa.
"Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan mengharapkan agar semua pihak termasuk rakyat jelata mematuhi segala arahan dan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa," tambah beliau.
24 Nov 20
1067
Sidang DUN : Etika Pemakaian Patuh Syariah Perlu Diperkasa – Zuraida
KUALA TERENGGANU, 24 November – Kerajaan negeri digesa supaya memperkasakan etika pemakaian patuh syariah dalam kalangan penduduk di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, satu program perlu dirangka selari dengan peruntukkan RM 3.75 juta untuk Dasar Integriti Darul Iman (DIDI) dan Modul Itqan Itsani, iaitu dengan pemerkasaan etika pakaian patuh syariah.
Menurut Zuraida lagi, hal itu penting kerana tuntutan menutup aurat dengan sempurna sama ada kepada kaum lelaki atau wanita merupakan kewajipan bagi setiap muslim seperti yang disebut dengan jelas dalam surah An Nur ayat 31 dan surah Al Ahzab ayat 59.
“Lebih manis lagi sekiranya lambang ataupun syiar Islam ini bermula dengan kakitangan Wisma Darul Iman yang menjadi pusat pentadbiran utama kerajaan negeri Terengganu.
“Termasuklah sektor perhotelan, pelancongan, perniagaan dan sukan dengan menambah baik peraturan berpakaian yang selari dengan syariat.
“Hal ini penting untuk mempamerkan imej Islam di negeri Terengganu. Selari dengan usaha ini, pengaruh budaya luar yang negatif kepada penduduk setempat terutamanya di kawasan tumpuan pelancong dapat dibendung,” ujarnya.
Zuraida berkata demikian semasa membahas Belanjawan 2021 Negeri Terengganu di Dewan Undangan Negeri Terengganu, pagi tadi.
Beliau juga berpendapat bahawa sudah tiba masanya untuk mengislahkan Terengganu dengan lebih serius dengan pemerintahan negeri maju, berkat dan sejahtera.
“Dalam Belanjawan 2021, Teras yang pertama adalah untuk meneguhkan pelaksanaan agenda Islam. Jelas bahawa kerajaan terus komited dalam menjadikan Terengganu sebagai ikon pentadbiran Islam dan terus menarik perhatian negeri lain sebagai model terbaik dalam menerajui sebuah kerajaan.
“Justeru, saya memohon supaya diadakan satu kempen menyeluruh dan berterusan berkaitan pemakaian yang patuh syariah dalam kalangan kakitangan awam dan swasta di seluruh negeri Terengganu,” tambahnya.
24 Nov 20
906
Banjir Di Terengganu, 192 Mangsa Dipindahkan
KUALA TERENGGANU, 24 November - Seramai 192 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu apabila tiga daerah di negeri ini dilanda banjir berikutan hujan lebat malam tadi.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, sehingga jam 8 pagi ini, empat PPS telah diaktifkan bagi menempatkan 57 keluarga dari daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun.
“Daerah Kuala Nerus merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 151 orang daripada 46 keluarga yang kini ditempatkan di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal dan Balai Raya Alor Damat.
“Di daerah Kuala Terengganu pula, seramai 15 mangsa melibatkan lima keluarga telah dipindahkan ke SK Chendering, sementara seramai 22 mangsa daripada enam keluarga telah ditempatkan di PPS Dewan Sivik Seberang Pintasan, Dungun,” ujarnya.
Menurut beliau, kesemua mangsa mula dipindahkan secara berperingkat sejak malam tadi susulan hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan kediaman mereka dinaiki air.
“Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) sentiasa bersiap siaga termasuk melakukan pemantauan dari semasa ke samasa terutamanya di kawasan berisiko,” ujarnya.
24 Nov 20
925
Belanjawan 2021 : Kawasan Perdagangan Bebas Diwujudkan
KUALA TERENGGANU, 23 November - Bagi menggalakkan lagi aktiviti import dan eksport serta pergudangan dan perniagaan secara pukal, kerajaan negeri bakal mewujudkan kawasan perdagangan bebas di Teluk Kalong, Kemaman.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, usaha melalui anak syarikat kerajaan, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) turut berpeluang merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri dan masyarakat setempat.
"Bagi memenuhi keperluan pelabur-pelabur baharu seperti Emerald USA dan Malaysia Phosphates, Pelabuhan Kemaman juga akan diperbesarkan.
"Ini kerana pada masa sekarang kadar purata pengendalian kargo di Dermaga Timur adalah melebihi 50 peratus kapasiti iaitu bersamaan dengan 4 juta metrik tan kargo setahun dan dijangka melebihi 14 juta metrik tan kargo pada tahun 2024; melangkaui kapasiti kemudahan sedia ada.
"Diharapkan pembesaran ini dapat memenuhi keperluan pelabur-pelabur baharu," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mengulas mengenai kemajuan perkhidmatan kesihatan pula, beliau berkata ia telah berkembang sebanyak 13 peratus dalam kumpulan Terengganu Incorporated di bawah Kumpulan Medic Iman.
"Ia juga dilihat maju setapak lagi apabila kita bakal menyaksikan Pusat Jantung akan dibuka di Kuala Terengganu Specialist Hospital, dalam suku pertama tahun 2021. Kerajaan Negeri juga akan membina hospital baharu di Chukai, Kemaman dengan kapasiti sebanyak 150 katil dan pembesaran Kuantan Medical Centre serta Kelana Jaya Medical Centre.
"Selain itu, pengambilalihan dan pembesaran Tawau Specialist Hospital dengan kapasiti sebanyak 75 katil akan dilaksanakan dalam suku kedua tahun 2021," jelasnya.
23 Nov 20
732