lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Mangsa Banjir Gembira Dibenar Pulang
Mangsa Banjir Gembira Dibenar Pulang
KUALA NERUS, 29 November – Kegembiraan jelas terpancar pada wajah mangsa-mangsa banjir setelah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Tok Jembal ditutup sepenuhnya pada pagi kelmarin. Timbalan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Zainal Lasim, berkata semua kawasan terjejas ditenggelami air sudah pun surut sepenuhnya selepas empat hari beroperasi ekoran cuaca cerah. Katanya, sebelum ini SK Tok Jembal menempatkan seramai 127 mangsa membabitkan 32 keluarga pada hari pertama sebelum ditutup pada jam 10 pagi. “Bagaimanapun, pihak sekretariat terdiri daripada Pusat Khidmat DUN Seberang Takir, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sentiasa bersedia melakukan pemantauan keadaan hujan bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, hari ini. Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Haji Mohd Fadhil Wahab dalam ucapanya selepas penyerahan sumbangan menegaskan, kerajaan negeri sentiasa menitikberatkan kebajikan mangsa-mangsa sepanjang berada di PPS seperti penyediaan makanan, khemah, dan keperluan lain.  
29 Nov 20
352
Peruntukan Kecemasan Tangani Hakisan Pengkalan Maras
Peruntukan Kecemasan Tangani Hakisan Pengkalan Maras
SETIU, 27 November - Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA) meluluskan peruntukan kecemasan sebanyak RM800 ribu bagi menangani hakisan pantai yang semakin kritikal di Pengkalan Maras. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, berkata kelulusan peruntukan kecemasan itu memberi sedikit kelegaan kepada penduduk di sana. "Pemakluman Menteri KASA kepada saya seusai sesi penggulungan untuk meluluskan peruntukan darurat yang bernilai RM800 ribu bagi menyelesaikan masalah hakisan tersebut amatlah melegakan penduduk setempat. "Ini jelas menzahirkan Kerajaan amat prihatin akan keperluan rakyat dengan segera meluluskan peruntukan darurat," katanya ketika ditemu ramah oleh wartawan. Pada Isnin yang lalu, beliau sekali lagi membangkitkan isu hakisan tersebut dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2021. "Saya sekali lagi memanjangkan kebimbangan rakyat di parlimen Setiu berkenaan hakisan yang semakin kritikal di Pengkalan Maras kepada Menteri KASA "Saya ingin mengucapkan terima kasih di atas usaha Kerajaan yang telah mengambil langkah proaktif dalam membantu rakyat," tambah beliau lagi   
27 Nov 20
2786
TDM Kembali Tersenarai Sekuriti Patuh Syariah
TDM Kembali Tersenarai Sekuriti Patuh Syariah
KUALA TERENGGANU, 27 November - Anak syarikat kerajaan Terengganu, TDM Berhad dimasukkan semula ke dalam senarai sekuriti Patuh Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bersama dengan 34 syarikat perladangan lain yang telah berada dalam senarai. Senarai-senarai sekuriti Patuh Syariah terkini yang diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) SC berkuat kuasa hari ini. Pengerusi TDM Berhad, Raja Dato' Idris Raja Kamarudin berkata, pengiktirafan itu mengukuhkan lagi jaminan kepada pelabur dan pihak berkepentingan bahawa perniagaan syarikat adalah mematuhi kriteria yang ditetapkan oleh Metodologi Saringan Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. "Pada tahun 2015, Kumpulan TDM dikecualikan daripada senarai Patuh Syariah kerana tidak mematuhi tanda aras berasaskan aktiviti yang disemak semula di mana had yang dibenarkan diperketatkan kepada lima peratus daripada 10 peratus. "Pada bulan Oktober 2018, TDM telah menyusun 'IDR Note' dan 'Credit Linked Note' mengikut tetapan tanda aras yang disemak semula. "Hari ini, TDM dengan bangganya merupakan salah satu daripada 715 saham patuh Syariah di Bursa Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Menurut beliau, Kumpulan TDM kini memberikan fokus kepada strategi dan pelan kesinambungan perniagaan untuk mengembangkan perniagaan syarikat. "Dengan pengambilalihan TDM-YT Plantation Sdn Bhd, yang sebelum ini dikenali sebagai THP-YT Plantation Sdn Bhd, TDM kini memiliki dan menguruskan 17 ladang kelapa sawit, tiga buah kilang, tiga kilang Bio-Organik dan tiga loji Biogas yang terletak di Terengganu dan Indonesia. "Kumpulan juga aktif dalam bidang penjagaan kesihatan melalui anak syarikat, Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMIHealthcare), yang menguruskan empat hospital pakar iaitu Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTSH), Kuantan Medical Centre (KMC), Kelana Jaya Medical Centre (KJMC) and Taman Desa Medical Centre (TDMC)," tambah beliau.  
27 Nov 20
620
'NGO Membantu Mangsa Banjir Perlu Patuhi SOP'
'NGO Membantu Mangsa Banjir Perlu Patuhi SOP'
KUALA TERENGGANU, 26 November - Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau mana-mana pihak yang ingin membantu mangsa-mangsa banjir diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, tindakan itu adalah perancangan jangka panjang Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri (SPBN) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19. "Apabila mangsa balik ke rumah masing-masing selepas banjir surut, NGO atau sesiapa sahaja yang ingin membantu membersihkan rumah mereka tidak boleh bergotong-royong secara terlalu ramai dibimbangi menyebabkan penularan pandemik. "Kita boleh beri, tetapi mengikut had yang sesuai," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sewaktu tinjauan paras air semasa di Tasik Kenyir, hari ini. Jelasnya, SPBN berdepan cabaran besar dalam melaksanakan norma baharu di Pusat Pemindahan Banjir (PPS). "Kita boleh atasi dari segi bilangan mangsa, cuma apabila hujan lebat anggota kita mengalami kesukarang untuk melaksanakan pematuhan SOP seperti mengambil suhu badan dan sebagainya sebelum masuk ke PPS. Walaupun begitu kita cuba atasinya dari masa ke masa. "Apabila mangsa yang dipindahkan agak ramai sekaligus, itu adalah cabaran semasa, dari segi 'main power' juga perlu ditingkatkan dan pematuhan SOP agak sukar untuk dilaksanakan sepenuhnya tetapi kita berusaha ke arah itu sebaik mungkin,"katanya. Oleh itu, katanya SPBN mengambil tindakan pencegahan awal dan sentiasa mewara-warakan kepada masyarakat untuk sentiasa bermunajat serta berdoa supaya keadaan tidak semakin memburuk. "Kita juga sentiasa memaklumkan penduduk di kawasan-kawasan berisiko sebab kalau mereka berpindah awal, kita dapat uruskan secara berperingkat, "Kita jangkakan SPBN di negeri-negeri lain juga menghadapi cabaran sama kerana ini adalah tahun pertama kita menguruskan banjir dalam norma baharu bagi mengekang Covid-19.      
26 Nov 20
439
Tasik Kenyir Masih Di Paras Normal, Tapi...
Tasik Kenyir Masih Di Paras Normal, Tapi...
KUALA TERENGGANU, 26 November- Tinjauan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu bersama Urus Setia Penerangan Darul Iman ke Tasik Kenyir, hari ini memperlihatkan paras semasa air di tasik berkenaan adalah setinggi 137.44 meter, iaitu berada pada paras normal. Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman menyatakan, keadaan di lokasi tersebut dan daerah Hulu Terengganu masih dalam keadaan terkawal. "Namun, jangkaan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, sama ada lewat petang ini atau malam ini terdapat kebarangkalian Terengganu akan menerima komposisi hujan yang banyak terutama di Hulu Terengganu.  "Jadi, pihak Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri (SPBN) di Hulu Terengganu telah bersiap siaga di kawasan-kawasan yang berisiko bajir di sini," katanya. Jelasnya, walaupun keadaan di daerah-daerah lain dilihat semakin pulih, masyarakat di minta berjaga-jaga. "MetMalaysia juga memaklumkan, kita dijangka akan menerima empat ke enam episod hujan lebat sepanjang musim dan Terengganu telah menerima dua gelombang hujan lebat yang berakhir semalam. Ada kebarangkalian untuk kita menerima sekitar dua lagi gelombang hujan lebat pada awal Disember nanti. "Sebelum ini, semua daerah terlibat banjir kecuali Hulu Terengganu. Namun kita tahu, mengikut rekod situasi sebelum ini, apabila Hulu Terengganu banjir, implikasinya akan lebih besar dan terus ke daerah-daerah lain, jadi semua harus berjaga-jaga," katanya. Pasukan APM sedang melakukan persediaan di Tasik Kenyir.  
26 Nov 20
1274
Potong Paip Demi Keselamatan Pengguna Jalan Raya
Potong Paip Demi Keselamatan Pengguna Jalan Raya
KEMAMAN, 26 November - Beberapa batang paip dipotong di laluan susur keluar Jambatan Bukit Kuang di sini dipotong bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya berada dalam keadaan baik. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat berkata, kerja keras pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Kemaman, Jabatan Bomba & Penyelamat Kemaman, Roadcare dan semua pihak yang terlibat dalam menyelesaikan permasalahan yang berlaku itu sangat dihargai. "Alhamdulillah, hari ini kita dapat memotong paip yang dikatakan tersumbat akibat daripada pembuangan sisa-sisa makanan, pasir dan sebagainya menyebabkan air bertakung di atas jalan. "Insya-Allah selepas daripada ini jika berlaku hujan lebat, air di atas jalan tidak akan bertakung lagi dan keselamatan pengguna jalan raya di sini akan terjamin," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas selesai memotong empat batang paip oleh pekerja Roadcare dengan menggunakan jentera bomba.
26 Nov 20
401
Strategi ‘Holistik’ Banteras Dadah
Strategi ‘Holistik’ Banteras Dadah
KUALA TERENGGANU, 26 November – Kerajaan negeri melaksanakan strategi secara holistik selaras dengan manifesto pada PRU-14 lalu bagi menangani masalah penagihan dadah dalam kalangan rakyat Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kerjasama berterusan dengan beberapa badan berkuasa termasuk Agensi Anti dadah Kebangsaan (AADK) turut diperhebatkan bagi menyelesaikan masalah ini bermula daripada akar umbi. Katanya, peningkatan masalah penagihan dadah dalam kalangan belia pula memerlukan satu jalan yang komprehensif serta melibatkan semua pihak dan anggota masyarakat. “Di pihak kerajaan, peranan turut dimainkan oleh Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) yang melaksanakan inisiatif ‘street dakwah’ memberi kesedaran kepada orang ramai tentang bahaya dadah. “Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) Daerah juga dalam perancangan untuk mengadakan program 'Bual Bicara' dengan menjemput pegawai daripada AADK atau menampilkan ikon yang telah berjaya bebas daripada dadah atau membuat hebahan tentang bahaya dadah. “Manakala di peringkat Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), satu modul bersepadu bagi menangani masalah sosial termasuk penagihan dadah dalam kalangan belia turut dibangunkan, insya-Allah ini usaha kerajaan,” katanya ketika ditemui UPDI selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman semalam. Dalam perkembangan sama, Mohd Nor memaklumkan, usaha membasmi najis dadah tidak terhenti setakat itu selepas Pusat Pemulihan Dadah Holistik Terengganu yang juga antara manifesto kerajaan negeri mula beroperasi Januari depan di Kem Chador, Marang. “Insya-Allah jika tiada halangan, kita akan bermula dengan pengambilan 100 pelatih dengan kerjasama (AADK) Terengganu dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Kebangsaan. “Dalam konteks pemilihan pelatih, kita tidak akan memaksa mereka  untuk berubah sebaliknya menggunakan pendekatan  kerohanian dan mendalami ilmu agama, mengaji al-Quran, pentingnya solat apabila pelatih ke pusat itu kelak. “Modul pusat tersebut diketuai TSIS dengan penglibatan pakar-pakar dan pensyarah universiti, dan ia telah siap untuk digunapakai tahun depan,” tambah beliau.
26 Nov 20
520
Projek RINTIS Angkat Martabat Guru KAFA
Projek RINTIS Angkat Martabat Guru KAFA
KUALA LUMPUR, 25 November - Penaiktarafan jawatan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Air (KAFA) melalui Projek RINTIS akan memartabatkan golongan pendidik terutamanya dalam mata pelajaran agama. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, berkata menaiktaraf guru KAFA dengan memberikan jawatan tetap menunjukkan keseriusan pihak kerajaan dalam membela nasib asatizah di Malaysia. "Tenaga pengajar ini telah berkhidmat puluhan tahun namun, guru-guru tersebut masih lagi tidak diberikan jawatan tetap dan sehingga kini hanyalah berstatus kontrak. "Jawapan Menteri Agama (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) pada sesi jawapan Kementerian berkenaan Projek Rintis membuktikan Kerajaan hari ini memberi tumpuan yang serius bagi membela nasib guru-guru KAFA ini," ujarnya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan. Projek RINTIS Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang sepatutnya bermula Mac lalu, ditunda ke tahun depan susulan penularan COVID-19. Ini adalah salah satu langkah pihak Kerajaan memperkasakan 35,000 guru KAFA untuk diserap ke jawatan tetap dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
25 Nov 20
1422
Sidang DUN: Kadar Pengangguran Terengganu Masih Rendah
Sidang DUN: Kadar Pengangguran Terengganu Masih Rendah
KUALA TERENGGANU, 25 November- Kadar pengangguran di Terengganu masih rendah jika dibandingkan dengan kadar penganguran Malaysia. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pada tahun 2018 kadar pengangguran di Terengganu adalah 4.8 peratus. "Kemudian pada tahun 2019 terus menurun kepada 3.5 peratus dan suku pertama tahun ini 3.3 peratus, lebih rendah daripada kadar pengangguran Malaysia iaitu 3.5 peratus. "Bagaimanapun akibat  berdepan penularan wabak COVID-19 pada Suku Kedua 2020, kadar pengangguran Terengganu meningkat kepada 3.8 peratus, tetapi masih lebih rendah daripada kadar pengangguran Malaysia iaitu 5.1peratus," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soal lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun di Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas (Bajet), di Wisma Darul Iman, hari ini. Katanya, ia adalah petanda Terengganu sedang menuju ke satu arah yang betul dan kerajaan akan terus menggembleng tenaga berkolaborasi dengan pelbagai pemegang taruh dalam sektor pekerjaan. "Ini bagi memastikan rakyat Terengganu dapat menikmati pembangunan dalam bentuk peluang pekerjaan yang baik," jelasnya. Sementara itu katanya, kerajaan negeri melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Negeri Terengganu (T-HRDC) telah mengadakan kolaborasi erat bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Terengganu bagi membantu rakyat yang kehilangan pekerjaan ekoran COVID-19. "T-HRDC juga membantu majikan mendapatkan pelbagai insentif  Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi membolehkan mereka mengambil pekerja baru disamping mengelak mereka daripada membuang pekerja sedia ada. “Selain membantu institusi latihan mendapatkan penempatan kerja dan dana latihan melalui kerjasama dengan majikan dan persatuan industri,” ujarnya. Menurut beliau, setakat ini kerajaan negeri melalui T-HRDC telah menjalinkan kolaborasi dengan lebih 20 agensi antaranya PERKESO, Jabatan Tenaga Kerja, Jobs Msia, Jabatan Statistik Malaysia, UC TATI, TESDEC,  KKYT, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu Timber Industry Training Centre (TTITC) serta Terengganu O&G Council ( TOGC). Katanya, sebanyak 500 peluang pekerjaan juga telah dikenal pasti melalui program penempatan pekerjaan yang dijalankan. "Di mana T-HRDC telah menemui sendiri majikan-majikan yang memerlukan pekerja dan berunding agar mengambil anak-anak Terengganu sebagai pekerja," tambah beliau.  
25 Nov 20
383
Sidang DUN Kini Ada Jurubahasa Isyarat
Sidang DUN Kini Ada Jurubahasa Isyarat
KUALA TERENGGANU, 25 November – Terengganu terus mengorak langkah ke hadapan dalam memartabat dan melancarkan penyaluran maklumat kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) apabila jurubahasa isyarat digunakan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN). Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, buat pertama kalinya siaran langsung persidangan itu menggunakan khidmat jurubahasa isyarat melalui Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT). “Pembaharuan yang bermula hari ini itu disifatkan satu sejarah kepada golongan OKU di negeri ini bagi membolehkan mereka mengikuti perkembangan persidangan negeri secara langsung. "Buat masa ini jurubahasa isyarat ini akan bersama siaran selama tiga jam melalui siaran langsung di TV Darul Iman bermula jam 9.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari, selepas ini insya-Allah kita akan gunakan mereka," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Sementara itu, Presiden POPT,  Tengku Arman Haris Tengku Ismail berkata, pihaknya mengalu-alukan sebarang kerjasama dengan kerajaan negeri bagi memudahkan golongan OKU pekak dan bisu mengikuti isu terkini negeri “Supaya kami tahu apa yang berlaku dalam negeri Terengganu kerana daripada kami ada yang tidak mampu membaca, yang pasti semua kami tidak boleh mendengar. “Jadi, inisaitif ini adalah yang pertama kali diadakan di Terengganu membuatkan kami rasa sangat gembira, teruja dan dihargai, dalam masa yang sama kami boleh menyumbang untuk kemajuan Terengganu “Terima kasih kerajaan negeri kerana memanfaatkan kami, kami juga mahu hidup sama taraf seperti masyarakat normal lain,” tambahnya.
25 Nov 20
702