lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

12 Tahun Hidup Tanpa Elektrik, Air
12 Tahun Hidup Tanpa Elektrik, Air
SETIU, 1 Disember - Fatimah Ismail, 54, terpaksa mendiami rumah usang bersama dua lagi anaknya tanpa bekalan elektrik dan air sejak 12 tahun lalu akibat kesempitan hidup. Lebih menyedihkan apabila rumah berusia 25 tahun di Kampung Pandu, Wakaf Chagak itu sering mengalami kebocoran atap dan berkeadaan sangat kotor. Fatimah berkata, selepas bercerai dengan suaminya pada 2010, kehidupan dia bersama dua lagi anaknya semakin tidak terurus. "Muhamad Shahmil Yahaya, 18, baru mendapat kerja melalui bapa saudaranya dengan menjadi nelayan di Tanjung Dawai, Kedah, manakala Muhamad Farid Yahaya, 21, pula baru hilang kerja semasa Perintah Kawalan Pergerakan baru-baru ini dan menyebabkan pendapatan kami tidak menentu. "Pendapatan Shahmil dan saya hanya kerja pembantu di Kedai Roti Canai tidak seberapa namun cukup untuk kami makan minum, kini kami hanya bergantung harap kepada anak bongsu saya Shahmil. "Tiga orang tinggal di rumah buruk dan sempit ini. Kami hanya mampu menagih simpati daripada beberapa individu prihatin yang ada memberi sumbangan makanan," katanya ketika ditemui di kampung Pantai Batu Rakit baru-baru ini. Sementara itu, Shahmil turut berkongsi keperitan hidup mereka membesar dengan serba daif serta terpinggir daripada masyarakat. "Ketika bersekolah saya membuat ulang kaji dan kerja sekolah hanya bercahayakan pelita. Sejak lahir saya dibesarkan di dalam 'kegelapan' dengan kehidupan yang daif di rumah ini tetapi saya bersabar kerana inilah syurga saya. "Saya tidak akan meninggalkan ibu saya yang kini sering jatuh sakit dan tua. Saya akan jaga mereka sehingga akhir hayat saya. Menyedari penderitaan mereka sekeluarga, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, kesukaran keluarga terbabit telah diselesaikan segera. “Syukur Alhamdulillah mereka tiga beranak telah berpindah ke rumah sewa di Pantai Batu Rakit, saya dan team akan bayar sewa rumah setiap bulan dan kami membeli tilam, rak baju, rak pinggang, tong gas, barangan harian dapur dan sedikit sumbangan duit,” katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman baru-baru ini. Orang ramai yang ingin membantu boleh menziarah rumah mereka di Pantai Batu Rakit, Kuala Nerus atau menghubungi saudara Fadol di talian 019-9569913 (bahagian pengurusan bayaran sewa rumah) atau boleh salurkan sumbangan melalui Kelab Sahabat Cakna (1301-0006296-71-2) Bank Muamalat.
01 Dec 20
941
Kerajaan Tanggung RM200,000 Kecualikan Bayaran Lesen
Kerajaan Tanggung RM200,000 Kecualikan Bayaran Lesen
KUALA TERENGGANU, 30 November - Kerajaan negeri akan menanggung kos sebanyak RM200,000 selepas bersetuju mengecualikan bayaran lesen perniagaan untuk peniaga kecil dan penjaja selama setahun bermula Januari depan. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pengecualian itu telah diumumkan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semasa membentangkan Belanjawan 2021 minggu lalu. “Insentif ini akan memberi manfaat kepada peniaga kecil yang memiliki lesen perniagaan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri ini. “Kita memahami tekanan yang dihadapi oleh golongan terbabit lebih-lebih dalam tempoh COVID-19, justeru dengan tiadanya kutipan lesen peniaga kecil dan penjaja bagi tahun 2021, diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang dihadapi oleh para peniaga dan penjaja sekali gus merancakkan lagi ekonomi Negeri Terengganu,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bersiaran secara langsung di TV Darul Iman, hari ini. Dr Alias. Mengulas mengenai rungutan peniaga yang meminta kerajaan mengecualikan bayaran sewa premis perniagaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, beliau berkata perkara berkenaan akan dikaji lebih terperinci. “Apabila kita buat sesuatu pengecualian itu, pertimbangan sewajarnya perlu dibuat kerana membabitkan kos yang akan ditanggung oleh kerajaan melalui agensi-agensi berkaitan,” ujarnya. Sebelum ini katanya, kerajaan negeri telah kehilangan hasil kira-kira RM5 juta ketika mengecualian bayaran sewa premis perniagaan dan moratorium dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).  
30 Nov 20
1404
'Tak Sabar Nak Balik Rumah'
'Tak Sabar Nak Balik Rumah'
MARANG, 30 November - Banjir yang berterusan di Terengganu sejak minggu lalu semakin ke penghujung apabila banyak Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mula ditutup sejak semalam. Antara penghuni terakhir di PPS yang masih ada, Mamat Chik, 61, berharap cuaca baik berterusan kerana sudah tidak sabar untuk pulang ke rumahnya di Kampung Padang Garam. "Sudah lima malam tinggal di sini. Hari ini pula, tinggal kami tiga keluarga sahaja di sini. Biasanya, seminggu jugalah hendak tunggu air surut di kampung, harap-harap hujan lebat tidak berterusan. Leftenan Kolonel (PA) Che Adam melawat mangsa banjir di PPS terakhir yang masih di buka di Terengganu. "Mujurlah keadaan di sini agak baik, banjirnya tidak membawa lumpur tetapi airnya lambat surut. Setakat ini, saya akur dengan arahan pihak berkuasa yang belum memberi kebenaran untuk pulang," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang, pusat pemindahan terakhir yang masih di buka di negeri tersebut. Dalam pada itu, penghulu mukim Merchang, Adnan Ibrahim menyatakan, situasi 'banjir termenung' di Kampung Padang Garam sebenarnya telah diselenggara oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sejak tahun lalu. "JPS sendiri telah menyelenggara aliran air untuk menyelesaikan masalah tersebut, namun jumlah air yang begitu banyak  semasa banjir baru-baru ini tidak dapat ditampung sepenuhnya oleh aliran itu. "Cuma, boleh dikatakan situasi kini lebih baik dan surut lebih cepat berbanding keadaan banjir di kampung tersebut pada tahun-tahun sebelum ini," katanya. Setakat ini, hanya tinggal tiga keluarga terdiri daripada lapan penduduk dari kampung berkenaan yang masih menetap di PPS terbabit. Nur Shahira Azlan,13, akui sukar belajar seorang diri di PPS apabila keluarganya antaranya yang masih tidak dibenarkan pulang ke rumah. Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman memaklumkan, secara keseluruhan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di PPS berlaku dengan baik. "PPS ini dijamin ialah salah pusat yang mematuhi SOP Covid-19 secara sepenuhnya kerana sekolah ini mempunyai kawasan yang luas dengan kapasiti bilik yang banyak, dan juga jumlah penduduk yang masih boleh ditampung. "Berkenaan banjir, kita masih bersiap siaga sepenuhnya namun jika ada lagi episod hujan lebat mungkin implikasinya tidak begitu besar kerana menurut Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), taburan hujan yang turun mengikut purata tahunan hanya tinggal lebih kurang 18 ke 23 peratus sahaja lagi, jadi dijangkakan tidak begitu besar," katanya.    
30 Nov 20
345
Kerajaan Prihatin Golongan OKU, Warga Emas
Kerajaan Prihatin Golongan OKU, Warga Emas
MARANG, 30 November - Belanjawan Malaysia 2021 adalah bajet yang menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap nasib Orang Kurang Upaya (OKU) dan Warga Emas. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff berkata perkara itu terbukti dengan bantuan bulanan OKU tidak berupaya bekerja telah dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan. "Kerajaan juga akan menaikkan bantuan untuk penjaga OKU dan pesakit terlantar iaitu daripada RM350 hingga RM500. Lebih 190,000 OKU di Malaysia adalah merupakan penerima bantuan bulanan. "Kenaikan saguhati lebih 150 peratus iaitu nilai RM150 dinaikkan kepada RM400 untuk Sukarelawan Khidmat Bantu Di Rumah yang melibatkan penjagaan warga emas dan OKU. YB Dato' Hajah Siti Zailah meninjau beramah mesra dengan golongan OKU di Bengkel Pemulihan Kebajikan Marang "Elaun pekerja OKU juga telah dinaikkan daripada RM400 kepada RM450 serta pasangan OKU juga akan mendapat pelepasan cukai dari RM3,500 kepada RM5,000 melebihi 40 peratus. "Manakala majikan yang memberi peluang pekerjaan kepada OKU juga akan dapat pelepasan Cukai sebanyak 20 peratus. Selain itu OKU juga akan dapat RM5 pas perjalanan tanpa had," katanya. Beliau berkata demikian ketika hadir melawat Rumah Sejahtera Taman Bahagia (RSTB), Bukit Payong dan Bengkel Pemulihan Kebajikan Marang bersempena pelancaran program Kembara Perihatin Negara peringkat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu, semalam. Turut hadir adalah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga Dan Perpaduan Nasional, Alias Harun, ADUN Wanita Terengganu, YB Zuraida Md Noor, Pengarah JKM Negeri Terengganu, Zuhaimi Omar. dan Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman. YB Dato' Hajah Siti Zailah Mohd Yusoff menyantuni warga emas di Rumah Sejahtera Taman Bahagia (RSTB) Menurutnya lagi, kerajaan turut bersetuju menaikkan peruntukan bagi pengoperasian (PAWE) daripada RM33,330 kepada RM50,000 yang melibatkan 150 PAWE sedia ada. "Kerajaan juga mensasarkan satu PAWE akan ditubuhkan di setiap Parlimen menjelang 2025 sebagai usaha memastikan kebajikan warga emas terjamin," tambahnya lagi.
30 Nov 20
815
JKM Pertimbang Tambah 8,000 Peluang Kerja
JKM Pertimbang Tambah 8,000 Peluang Kerja
MARANG, 30 November -  Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Malaysia sedang mempertimbangkan kewajaran pertambahan sekurang-kurangnya 8,000 peluang pekerjaan dalam usaha pengstrukturan semula Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Timbalan Menteri kementerian itu, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, pertambahan itu bertujuan  memenuhi keperluan terdesak  terutama ketika berdepan dengan musim tengkujuh  di mana-mana negeri yang sering dilanda banjir, termasuk Terengganu.. "Melalui belanjawan yang dibentangkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia baru-baru ini, kerajaan bercadang untuk meluluskan 50,000 jawatan secara kontrak melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pihak kementerian kami juga telah memohon sebanyak 8,000 jawatan untuk keperluan masyarakat. "Itu juga mungkin perlu ditambah lagi kerana saya melihat banyak isu-isu yang memerlukan tambahan tenaga kerja yang melibatkan kumpulan sasar di bawah Kementeria Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,"katanya Lawatan bersama di Depoh Simpanan Keperluan Bencana Marang Menurut Siti Zailah, pihaknya  juga memahami bahawa tenaga JKM kini agak terhad di mana mereka bukan sahaja menguruskan permohonan dan kerja di pejabat, tetapi mereka juga perlu membuat siasatan terhadap kes aduan dan menjaga keperluan di pusat-pusat perpindahan sementara. "Oleh itu, kita juga sangat mengharapkan kerjasama dalam kerajaan dan juga sokongan daripada sukarelawan-sukarelawan serta daripada semua pihak untuk bersama-sama kita memastikan keperluan terutama di musim bencana dapat diberikan secara terbaik kepada rakyat yang memerlukan,"katanya.. Beliau berkata ketika hadir melawat Depoh Simpanan Keperluan Bencana Marang bersempena pelancaran program Kembara Perihatin Negara peringkat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu, semalam. Turut hadir adalah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga Dan Perpaduan Nasional, Alias Harun, ADUN Wanita Terengganu, YB Zuraida Md Noor, dan Pengarah JKM Negeri Terengganu, Zuhaimi Omar. Ziarah dan penyerahan kerusi roda kepada penduduk setempat yang uzur Sementara itu, dalam aktiviti ziarah yang dilakukan di beberapa rumah penduduk sekitar, beliau menjelaskan bahawa tujuan program turun padang ini adalah bertujuan untuk melihat sendiri keadaan dan perkembangan semasa klien di bawah JKM. "Setinggi penghargaan kepada kakitangan JKM, sukarelawan dan semua pihak yang bergitu tekun serta perihatin terhadap kebajikan rakyat terutama golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas dan terlantar khususnya yang perlu dibantu sepanjang masa. "Saya juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu melalui Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang di mana saya dimaklumkan bahawa satu inisiatif telah diambil untuk membaik pulih rumah seorang penduduk yang merupakan penerima bantuan JKM."
30 Nov 20
361
Mangsa Ribut Terharu Rumah Dibaik Pulih
Mangsa Ribut Terharu Rumah Dibaik Pulih
KUALA NERUS, 30 November - Seorang penduduk di Kampung Banggol Donas menlahirkan rasa terharu selepas kediamannya yang rosak teruk dibadai ribut pada 17 Oktober lalu selesai dibaik pulih. Pemilik rumah tersebut, Kamaruddin Muda, 50, berkata kecaknaan pemimpin setempat terhadap permasalahan penduduk memberinya banyak kelegaan. “Terima kasih YB dan juga pengurusan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Buluh Gading atas pembaikan ini. Jumlah kerosakan tersebut sangat tinggi dan sememangnya tidak mampu untuk saya tanggung,” jelas beliau semasa ditemui media di kediamannya semalam. Turut hadir, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banggol Donas, Rosli Bidin. Sementara itu, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ustaz Ridzuan Hashim, pembaikan kediaman tersebut dimulakan seawal hari ketiga selepas berlakunya ribut tersebut. Beginilah keadaan rumah Kamaruddin yang rosak dibadai ribut, 17 oktober lalu “Pembaikan rumah tersebut bermula agak lambat kerana kita bersihkan pokok yang tumbang dahulu yang menimpa rumah tersebut. “Alhamdulillah kita berjaya membaik pulih rumah tersebut dalam masa empat hari dengan melibatkan kos sebanyak RM5,000,“ ujar beliau lagi. Beliau juga menyatakan pembaikan tersebut melibatkan penukaran atap, kayu dan juga struktur-struktur yang rosak pada rumah tersebut.   
29 Nov 20
186
Hanafiah, Sukarelawan Bersih Rumah Mangsa Banjir
Hanafiah, Sukarelawan Bersih Rumah Mangsa Banjir
KEMAMAN, 29 November – Hanafiah Mat bersama 200 sukarelawan daripada Pengurusan Kecemasan Bencana Khidmat Malaysia yang terdiri daripada Jabatan Amal Kemaman, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kemaman dan Pakat 4x4 turun padang membersihkan rumah mangsa banjir dan Tabika Kemas di Kampung Teladas, Air Putih di sini hari ini. Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri itu berkata, misi berkenaan turut melibatkan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan (DUN) Air Putih, Pejabat Daerah Kemaman, Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Syarikat Air Terengganu (SATU) dan RELA. “Mangsa yang terjejas dalam bah kali ini hampir 1,000 penduduk dan banyak rumah kotor kesan daripada banjir. “Banjir yang kian surut di sini menyaksikan penduduk mula pulang ke rumah masing masing. Namun cabaran mereka kini adalah untuk membersihkan kediaman yang terjejas akibat bencana itu. Sehubungan itu kita mengambil inisiatif bagi meringankan beban mereka,” katanya ketika ditemui media semasa operasi pembersihan. Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai itu menjelaskan, pihaknya akan mengagihkan makanan percuma ke setiap rumah mangsa banjir esok bagi meringankan beban mereka yang terlibat. “Kita akan buat dapur bergerak, jadi setiap rumah saya akan sediakan nasi dalam lima hingga enam bungkus satu keluarga, mereka tak perlu masak tengah hari, insya-Allah,” katanya.  Dalam pada itu, Hanafiah berkata, beliau dimaklumkan hanya satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih dibuka di seluruh Terengganu. “Satu PPS di Marang, iaitu di SMK Merchang dengan melibatkan tiga keluarga atau lapan mangsa,” tambah beliau.
29 Nov 20
2350
Bayaran Pinjaman Rumah Tak Lebih RM300 Sebulan
Bayaran Pinjaman Rumah Tak Lebih RM300 Sebulan
KUALA NERUS, 29 November - Bayaran balik pinjaman Tabung Pinjaman Perumahan Rakyat Negeri Terengganu dijamin tidak melebihi RM300 sebulan. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pihaknya kini sedang memperincikan perkara itu dengan pelbagai pihak termasuk pihak bank. Katanya, kelulusan maksima dan bagaimana untuk memohon sama ada melalui bank atau melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (Unit Perumahan) akan dimaklumkan kemudian. “Kerajaan mewujudkan tabung ini bagi memudahkan urusan rakyat memiliki rumah sendiri, di mana sebelum ini diakui agak sukar mendapat kelulusan bank kerana tidak cukup syarat terutama berkaitan tangga gaji. “Dengan kaedah yang diperkenalkan itu, mana-mana isi rumah yang belum memiliki rumah sendiri, mempunyai tanah dan berpendapatan RM5,000 ke bawah layak memohon,” katanya. Beliau berkata demikian ketika meninjau kemajuan Projek Rumah Pangsapuri Mampu Milik (RPMM) di Kampung Tok Jembal, di sini, hari ini. Dalam pembentangan Belanjawan 2021 Terengganu baru-baru ini, kerajaan meluluskan peruntukan RM50 juta bagi tujuan itu dan ia termaktub dalam manisfesto PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu. Berkaitan projek RPMM itu, Dr Alias memberitahu, kemajuan projek 160 unit rumah setinggi empat tingkat membabitkan lima blok itu hanya 30 peratus kurang ena peratus daripada sasaran awal. Katanya, ia mengalami kelewatan berbanding jangkaan siap pada Mei tahun depan. “Alasan diberikan, berdepan dengan musim tengkujuh dan Perintah Kawalan Pergerakan. “Disebabkan itu, kita memberikan tempoh lanjutan pembinaan sehingga September tahun depan,” katanya. Menurutnya, sebagai pilihan dan untuk menjimatkan masa, pihak kontraktor mengunakan Sistem Bina Berindustri atau turut dikenali Rumah Pasang Siap. “Difahamkan langkah itu mampu menjimatkan masa sehingga tujuh kali ganda berbanding secara konvensional,” katanya.  
29 Nov 20
9947
511 Sukarelawan JKM Aktif Di Terengganu
511 Sukarelawan JKM Aktif Di Terengganu
MARANG, 29 November - Terengganu merekodkan seramai 511 sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang aktif di negeri ini ketika ini. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, sukarelawan dalam pelbagai bidang amat diperlukan untuk berkhidmat kepada masyarakat. “Ramai sukarelawan diperlukan untuk bersama-sama memastikan kebajikan rakyat terjaga dimana setiap daerah seluruh negara disasarkan dapat mencapai 100 orang sukarelawan baru. “Kita juga amat mengalu-alukan golongan profesional termasuk doktor, kaunselor dan sebagainya untuk tampil bersama dalam kerja-kerja sukarela ini kerana kepakaran mereka amat diperlukan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Mula Kerja (Kick Off) Kembara Prihatin Negara Peringkat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu di Pusat Khidmat Setempat (OKU) Sungai Kerak, disini hari ini. Justeru katanya, untuk menampung khidmat sukarelawan dengan keluasan daerah yang ada di Terengganu ini, pihaknya mengalu-alukan lebih ramai pembabitan masyarakat terhadap kerja sukarelawan. Sempena program tersebut, Siti Zailah turut menyantuni warga emas di Rumah Sejahtera Taman Bahagia Bukit Payong dan mengadakan ziarah kebajikan dengan menyampaikan barangan keperluan kepada penerima terpilih. 
29 Nov 20
479
Kembara Prihatin Negara Sasar Santuni Sejuta Individu
Kembara Prihatin Negara Sasar Santuni Sejuta Individu
MARANG, 29 November - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan sejuta individu mendapat manfaat daripada Program Kembara Prihatin Negara dalam usaha menyantuni rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.  Timbalan Menterinya, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, bagi mencapai hasrat itu pihaknya akan menjelajah ke 108 daerah di seluruh negara dan mengharapkan lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada aktiviti dijalankan sepanjang satu tahun pelaksanaan. “Terengganu adalah negeri yang ke-11 kita laksanakan program ini di mana program kembara bertumpu di kawasan-kawasan tumpuan awam seperti pasar tani, pasar pagi, kompleks niaga, pusat komuniti setempat dan lain-lain. “Kita turut menyantuni kumpulan sasar yang berada di kawasan pedalaman menerusi kereta dan van bergerak dengan membuka kaunter untuk memudahkan rakyat mendapatkan perkhidmatan yang berada di bawah kementerian,” ujarnya. Siti Zailah menyantuni warga emas. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Mula Kerja (Kick Off) Kembara Prihatin Negara Peringkat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu di Pusat Khidmat Setempat (OKU) Sungai Kerak, di sini hari ini. Siti Zailah turut menyeru NGO dan syarikat korporat untuk bersama dengan pihaknya bagi bersama-sama membantu golongan yang memerlukan. “Selain daripada program yang sedia ada, program Kembara Prihatin ini memudahkan lagi untuk kita beri perkhidmatan kepada rakyat dan kita mengharapkan masyarakat di luar sana ambil peluang ini. “Apabila kita turun ke daerah-daerah bagi mereka yang berada jauh di pedalaman, inilah ruang untuk mereka bertanya, ambil borang bantuan dan sebagainya kerana semua disediakan malah pegawai kita sentiasa bersedia untuk membantu,” ujarnya. Sementara itu beliau berkata, KPWKM turut mengadakan Ziarah Prihatin terhadap klien-klien yang berada dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendekati dan melihat sendiri keadaan masyarakat.
29 Nov 20
754