Artikel "Semasa" Terkini
Cuaca Buruk, Hujan Lebat Berterusan
KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk dengan hujan lebat dijangka berterusan di semua kawasan di Terengganu mulai jam 2 petang hari ini sehingga 5 Disember ini.
Sementara itu menurut Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, sehingga jam 2 petang tadi, seramai 190 keluarga membabitkan 684 mangsa banjir dipindahkan ke 15 Pusat Perpindahan Sementara (PPS) di lima daerah.
Katanya, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman terdapat mangsa perpindahan di beberapa PPS yang disediakan
“’Marang merekodkan mangsa banjir paling tinggi iaitu, 72 keluarga melibatkan 259 mangsa diikuti Kuala Nerus (32 keluarga, 137 mangsa); Kuala Terengganu (38 keluarga, 127 mangsa); Kemaman (33 keluarga, 113 mangsa) Dungun, (15 keluarga, 48 mangsa) dan Marang merekodkan bilangan 72 kelaurga, 259 mangsa),” katanya.
03 Dec 20
1144
Patuhi Arahan Berpindah
KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi menasihatkan penduduk di kawasan yang terjejas banjir agar segera berpindah ke pusat pemindahan apabila diarah berbuat demikian oleh pihak berkuasa.
Katanya, penduduk tidak perlu menunggu sehingga keadaan bertambah teruk sebelum bersedia untuk berpindah ke pusat pemindahan.
“Pastikan peralatan elektrik diletakkan di tempat yang selamat dan matikan suis elektrik sebelum meninggalkan rumah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering, hari ini.
Turut hadir, ADUN Wakaf Mempelam Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.
Menurut beliau, setakat pukul 10 pagi tadi jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Chendering adalah seramai 86 orang melibatkan 26 buah keluarga.
Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai terutama mangsa banjir supaya mengelak daripada bermain air di kawasan banjir kerana ia boleh memudaratkan dari aspek keselamatan dan kesihatan.
Terdahulu, Muhammad Khalil serta kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Burok telah meninjau dan membantu penduduk terjejas banjir di beberapa kawasan seperti Kondo Cerong Binjai, Kuala Ibai, Kampung Nibong dan Kampung Kubang Ikan serta beberapa kawasan lain.
“Proses pemindahan mangsa banjir ke SK Chendering malam tadi berjalan lancar dan kita turut mendapat kerjasama dan bantuan daripada pihak bomba, Angkatan Pertahanan Awam serta sukarelawan Pemuda PAS dan Jabatan Amal,” ujarnya.
03 Dec 20
692
Bantuan RM500 Untuk Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Kerajaan negeri meluluskan peruntukan lebih RM516 ribu yang akan diagihkan kepada semua keluarga mangsa banjir sepanjang bulan November.
Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, setiap keluarga akan menerima bantuan RM500 di samping tambahan RM500 diberikan khusus kepada mangsa banjir lumpur di daerah paling terkesan iaitu Kemaman.
"Ini menjadikan mangsa banjir yang agak teruk (di Kemaman) menerima RM1,000 bagi meringankan sedikit bebanan kerosakan rumah yang dialami.
"Sebahagian besar rumah yang terlibat dinaiki air menyebabkan semua barangan keperluan harian dan makanan musnah.
"Oleh itu, kerajaan bersetuju memberi bantuan khas RM500 kepada mereka yang mengalami kerosakan harta benda," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai sumbangan tersebut, Hanafiah berkata, bantuan akan diselesaikan dalam bulan ini.
"Kerajaan juga sedang mengkaji keperluan bagi penternak dan pekebun yang kehilangan hasil akibat bencana ini," tambahnya.
03 Dec 20
2918
Air Naik Mendadak, Tidak Sempat Buat Apa-Apa
KUALA TERENGGANU, 3 Disember – “Kali ni perabut pun sudah bergerak sendiri, mak cik berasa takut tengok walaupun air naik kali kedua dah sebab sebelum ni tidak macam ni,"rintih salah seorang mangsa banjir kilat, Wan Kelthom Abu Bakar.
Warga emas berusia 70 tahun itu merupakan antara 16 mangsa yang telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Chendering oleh anggota Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Terengganu (sehingga jam 12.00 tengah malam).
Kelthom atau lebih mesra disapa Che’ Da berkata, dia menyedari paras air meningkat lebih mendadak berbanding waktu banjir semasa 23 November lalu, di mana dia turut dipindahkan sebelum ini.
“Air dulu melimpah masuk ke dalam dapur sahaja, tetapi sekitar waktu petang hari ini paras air menembusi lantai kayu rumah dan merosakkan perabot seperti almari dan katil malah mak cik tak sempat nak selamatkan apa-apa pun.
“Kali ini kiranya saya dua kali dah pindah pada tahun ini. Kebanyakan perabut dah tak ada tempat lebih tinggi untuk diangkat kerana air sudah naik lebih tinggi berbanding bulan lepas," katanya ketika ditemubual Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Anak Che’ Da, Tuan Zariah Tuan Yusof, 41, juga diantara mangsa yang telah ditempatkan di PPS bersama ibunya, berkata, kebiasaan ibunya yang berpindah sebab keadaan rumah yang rendah, namun kali ini rumahnya yang tinggi turut dimasuki air.
“Rumah saya tidak seteruk ibu saya jadi kerosakan tidak terkesan mana,”ujarnya lagi.
Ketua Sektor D Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Terengganu, Ahmad Fahmi Mohd Zahari berkata, hujan lebat berlaku sekitar jam 4.00 petang memberi tanda untuk bersiap siaga mengerakkan jentera.
“Kawasan berpotensi telah dikenalpasti dan hasilnya PPS SK Chendering dibuka pada jam 8.30 malam yang menempatkan enam keluarga. Paras air kali ini mencecah hampir paras dada (1.5 meter) berbanding pada bulan November iaitu 1.3 meter.
“Penduduk Kampung Simpang Empat dan Kampung Ketapang turut dijangka akan dipindahkan mengikut keadaan dan situasi semasa.
“Mangsa di PPS turut menjalankan saringan oleh anggota Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertugas di sini,”katanya.
02 Dec 20
2497
Penantian 38 Tahun Akhirnya Bernoktah
HULU TERENGGANU, 2 Disember - Selepas hampir 38 tahun menanti untuk mendapatkan jalan berturap, penduduk Kampung Jerlan kini mampu tersenyum selepas impian mereka akhirnya tertunai.
Pembinaan jalan baharu menghubungkan sebahagian kampung terbabit yang tertunda kini direalisasikan apabila jalan menghubungkan Kampung Jerlan dengan jalan utama telah siap diturap lebih satu kilometer.
Juwariah Che Lah, 62, berkata, dia bersyukur ke hadrat Ilahi dan berterima kasih kepada kerajaan Terengganu khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim.
"Hampir 38 tahun menanti, hari ini baru jadi kenyataan, dulu ada 15 keluarga di sini tetapi semua berpindah keluar akibat jalan yang teruk dan kini hanya tinggal saya dan jiran sahaja.
"Sebelum ini jalan menghubungkan ke rumah saya amat menyedihkan apabila terpaksa melalui jalan becak dan keadaan itu menyebabkan penduduk di kampung ini berdepan kesukaran perhubungan yang membolehkan penduduk membawa keluar hasil kebun dengan mudah.
“Paling penting anak-anak penduduk sekarang ni mudah untuk pergi dan balik dari sekolah. Sedangkan sebelum ini mereka terpaksa melalui jalan yang berdebu ketika kemarau dan becak ketika hujan.Jadi, saya amat berterima kasih kepada Ustaz kerana menunaikan impian penduduk kampung yang mahu jalan selesa,” katanya ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman(UPDI).
Sementara itu Ustaz Maliaman berkata, keperitan penduduk yang terpaksa melalui jalan becak dan berdebu sejak puluhan tahun lalu kini dapat ditunaikan.
“Masih banyak kemudahan asas di DUN Ajil ini yang perlu kita tunaikan, mana yang perlu disegerakan, kita ikhtiar supaya dapat ditunaikan dalam masa terdekat.Tidak semua isu kita dapat selesaikan dalam masa tempoh baru dua tahun memegang tampuk pemerintahan.
“Saya sangat bersyukur kepada ALLAH mempermudahkan urusan ini. Alhamdulillah, sekarang proses penurapan jalan sedang berjalan, kita sujud syukur kepada ALLAH,” katanya.
02 Dec 20
1228
Waspada 'Scammer' Abad Moden
KUALA TERENGGANU, 2 Disember – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya berkongsi atau mendedahkan maklumat akaun bank kepada mana-mana pihak tidak dikenali.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, Deputi Superintendan Hamdan Zali berkata, ini kerana risiko terperangkap dalam sindiket penipuan amat tinggi terutamanya ketika menghadapi cabaran ekonomi COVID-19.
Katanya, dalam isu tersebut masyarakat jangan terlalu mudah memberi dan panik apabila dihubungi pihak tidak dikenali bertopengkan nama pihak berkuasa meminta nombor akaun atau kata laluan bank peribadi.
“Jika berlaku situasi sedemikian, nombor dan akaun bank yang disyaki tersebut boleh disemak melalui laman pautan ‘Semak Mule’ di ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk akaun bank dan nombor telefon yang digunakan sindiket penipuan.
“Langkah ini penting sebelum membuat apa-apa transaksi atau dihubungi pihak yang mencurigakan kerana laman web tersebut menunjukkan laporan yang telah dibuat terhadap akaun atau nombor tersebut.
“Terdapat empat bentuk penipuan komersial paling kerap berlaku di Kontinjen Terengganu iaitu pinjaman tidak wujud (PTW), Penipuan E-dagang, ‘Macau Scam’ dan ‘Love Scam, kes-kes lain ada tapi bilangan kecil berbanding empat kes tersebut,” katanya ketika bersiaran di TV Darul Iman, pagi semalam.
Mengulas mengenai modus operandi seperti Macau Scam dan pinjaman tidak wujud, beliau berkata, keldai akaun mengerakkan sindiket tersebut.
“Contohnya, iklan PTW tetapi bertopengkan premis pinjaman berlesen di sosial media menyediakan pinjaman segera tanpa kira jika disenarai hitam oleh institusi kewangan.
“Si mangsa contohnya peniaga kecil atau orang ingin meniaga terutamanya ketika musim pandemik, pergi ke bank peraturan ketat bila lihat banting iklan tersebut senang diperdaya kerana jalan yang senang.
“Walaubagaimanapun, suspek tidak akan beri wang dan meminta dahulu wang deposit dan duti setem secara berperingkat, si mangsa akan terperangkap dengan bayaran RM14,000 walaupun pinjaman hanya RM10,000.
“Begitu juga ‘Macau Scam’ dimana mangsa ditelifon suspek menyamar jadi pihak berkuasa memaklumkan kes seperti langgar kereta dan meminta mangsa memasukkan wang ke dalam akaun keldai. Perkara sebegini boleh diatasi tanpa panik dan merujuk kepada ‘Semak Mule’,” katanya lagi.
02 Dec 20
1074
Pengisian Rohani, Hadiah Sampingan Untuk Pesakit Kronik
MARANG, 2 Disember - Mewujudkan kelas mengaji, program keagamaan dan perkongsian ilimiah antara pendekatan terbaru yang diusahakan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri, Rhu Rendang bagi membantu pesakit kronik supaya kuat semangat melawan penyakit.
Di samping membawa agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk bantuan secara luaran.
Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, pendekatan ini adalah sesuai dengan keadaan mereka yang diberi ujian dan memerlukan semangat yang kuat serta emosi yang terurus.
"Kerana kekangan yang dihadapi mereka untuk tempat-tempat seperti surau atau masjid sangat terbatas, jadi kita akan bantu mereka dengan membuat program ke rumah secara berkala,"katanya.
Beliau berkata ketika selesai mengunjungi tiga orang penduduk sakit kronik bersama agensi JKM di Kampung Sungai Kerak, Seberang Marang dan Bukit Gasing.
Menurutnya lagi adalah, beliau pernah dihubungi oleh pesakit kronik memohon untuk diadakan kelas mengajar mengaji dan kelas agama buat mereka yang tidak mampu melakukan aktiviti serta pergerakan seperti orang lain.
"Kita juga menghadiahkan sebuah buku yang ditulis oleh Fathi Yakan yang bertajuk "Apa Ertinya Saya Mengganut Islam" kepada mereka yang dikunjungi di mana buku ini menceritakan kisah tentang kehidupan kita sebagai seorang muslim.
"Dalam tempoh kita diuji dengan kesihatan dan kesakitan, kita memerlukan satu bimbingan semangat yang kuat, demi meneruskan kelangsunan hidup. Oleh itu, dengan hadiah dan inisiatif program yang akan dilakukan ini, dapat membantu sedikit sebanyak kehidupan mereka di samping bantuan sumbangan atau kewangan daripada agensi.
"Program ini juga akan diadakan dengan penglibatan daripada pegawai Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu, yang terlibat secara langsung atau tidak langsung," tambahnya lagi.
02 Dec 20
262
Peniaga Pasar Marang Kembali Ke Tempat Berniaga Asal
MARANG, 2 Disember - Puluhan peniaga Pasar Marang mula kembali berniaga di tempat asal selepas beberapa minggu dipindahkan ke tempat baru kerana arahan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).
Perpindahan ke tempat baru menyebabkan aktiviti jual beli sedikit perlahan kerana agak jauh dari bangunan utama pasar sehingga menimbulkan keluhan daripada peniaga-peniaga sekitar yang terjejas.
Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata isu keluhan peniaga ini telah mendapat perhatian dan telah beberapa kali dibawa ke dalam mesyuarat untuk diambil tindakan.
Katanya, rundingan yang diadakan bersama pihak Majlis Daerah Marang, Ahli Majlis Daerah dan peniaga pasar telah diadakan ke arah mencapai penyelesaian bersama di samping mengelakkan penularan wabak pandemik Covid-19.
"Hari ini, kita bersama-sama turun bagi melihat aktiviti perniagaan setelah diambil tindakan untuk balik semula ke tempat asal dengan pematuhan SOP baru yang ditetapkan.
"Sebanyak empat pintu atau laluan masuk akan dibuka kepada pembeli serta orang awam dan akan dikawal ketat oleh pihak penguatkuasa MDM yang dibantu oleh persatuan penjaja secara bergilir," katanya.
Menurutnya lagi, pihak terlibat memahami masalah yang mungkin dialami oleh peniaga namun dalam keadaan semasa, masyarakat dan jabatan perlu mengambil berat masalah penularan wabak yang sedang meningkat.
"Lebih-lebih lagi, kes-kes yang berlaku melibatkan kawasan sekitar menambah kegelisahan kita dari sudut penjagaan SOP dan aktiviti sosial yang dijalankan.
"Sebarang keputusan atau perubahan melibatkan keselamatan dan masalah penularan wabak ini perlu diteliti secara berhati-hati bagi mengelakkan sebarang risiko yang tidak diingini.
"Namun, pihak terlibat akan sentiasa memantau dan meninjau isu-isu berbangkit yang melibatkan masyarakat dengan membuat keputusan yang terbaik demi kesejahteraan bersama," ucapnya lagi.
Turut hadir adalah Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman, Ahli Majlis Daerah Marang, Yusuf Abdul Hadi, Penolong Pegawai Penilaian Kanan, Mohd Khalid Awang, Ketua Penguatkuasa MDM, Mohd Azam Arsad, MPKK Batu Merah dan wakil persatuan penjaja.
02 Dec 20
3698
Terengganu FC 2 Hanya Ambil Tiga Import
KUALA TERENGGANU, 2 Disember - Terengganu Football Club II (TFC II) bakal mendapatkan hanya tiga pemain import bagi saingan 2021 berbanding empat pemain pada musim ini.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim memaklumkan, keputusan itu selaras dengan tujuan Terengganu FC II diwujudkan iaitu sebagai pasukan pembangunan kepada skuad elit Terengganu FC.
"Kenapa kita kurangkan pemain import? Ini kerana kita mahu optimumkan pemain-pemain tempatan sesuai dengan skuad pembangunan yang dibina.
"Pemain import yang diambil pula lebih bertindak sebagai sokongan kepada Terengganu FC serta pembimbing kepada pemain-pemain muda dalam pasukan," katanya kepada pemberita selepas Dialog hala Tuju Bola Sepak Terengganu di Hotel Permai, semalam.
Jelasnya, kehadiran beliau sebagai wakil PBSNT sebagai memberi sokongan kepada peminat Skuad Penyu tersebut sebagai menghargai jasa mereka.
"Alhamdulillah program ini berjalan lancar. Sebahagian cadangan yang diberikan akan dijadikan sebagai satu perkara serius untuk dilihat ke depan. Manakala, teguran dan kritikan yang diterima, kami akan muhasabah.
"Harapan saya, kita sama-sama sokong pasukan kita dengan lebih berkualiti dan jangan fokus mencari salah sesiapa. Kita perlu saling memperkuatkan dan kalau kita bersatu insya-Allah kita akan lebih kuat," katanya.
02 Dec 20
640
YB Amzad Sumbang ‘Chainsaw’, Mesin Rumput kepada MPKK
KUALA TERENGGANU: 2 Disember - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim melalui pusat khidmat kawasannya, mengagihkan mesin ‘chain saw’ (gergaji rantai) dan ‘grass machine’ (mesin rumput) kepada beberapa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi membantu memudahkan urusan pentadbiran peringkat kampung.
Pengerusi MPKK Kubang Jambu, Ibrahim Mat Zaki Mat Rani, 58, yang turut menerima bantuan tersebut berkata, pihaknya amat memerlukan gergaji rantai itu bagi kerja-kerja menebang pokok tumbang.
Ini kerana, musim tengkujuh yang sedang melanda negeri-negeri pantai timur terutama Terengganu, bukan sahaja menyebabkan hujan lebat dan banjir, tetapi juga masalah pokok tumbang.
“Alhamdulillah, dengan adanya mesin ‘chain saw’ ini lebih mudah untuk pihak MPKK (DUN Wakaf Mempelam) melaksanakan kerja-kerja pembersihan pokok tumbang.
“Kita (MPKK) juga perlu kepada mesin rumput untuk kerja-kerja pembersihan rumput di kawasan tumpuan awam,” katanya selepas menerima sumbangan di Pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu, semalam
Sumbangan disampaikan oleh Pegawai Perhubungan dan Kemasyarakatan Parlimen Kuala Terengganu, Haji Zulkifli Wahab mewakili Ahli Parlimennya, Ahmad Amzad Hashim kini bertugas di Dewan Rakyat.
Manakala, Mohamad Yasin Muda, 57, dari Kampung Ladang Titian menjadi salah seorang dari dua penerima individu bantuan tersebut.
“Saya pembuat sarung keris dan kraftangan, jadi saya perlu kepada mesin ‘chain saw’ ini untuk buat kerja-kerja tebang pokok dan kayu. Alhamdulillah, dengan sumbangan ini lebih memudahkan kerja saya, terima kasih.
Bagi Daud Muda, 66, dari Kampung Tiong Jalan Banggol (DUN Bandar) pula, sumbangan mesin rumput memudahkannya memperolehi kerja-kerja memotong rumput di kawasan perkuburan Lorong Kemunting, Kuala Terengganu.
“Saya guna mesin ini untuk buat kerja-kerja memesin rumput di kawasan tanah perkuburan dan rumah-rumah penduduk di kawasan ini,” jelasnya.
02 Dec 20
603