lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

30 Kucing Diselamatkan Petugas Banjir
30 Kucing Diselamatkan Petugas Banjir
Oleh: Pok Abbas KUALA TERENGGANU, 4 Disember- Dalam kekalutan membantu mangsa banjir di Jalan Terkukur di sini, petugas banjir daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang sempat menyelamatkan 30 ekor kucing terbiar. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, kesemua kucing yang terperangkap di dalam air itu telah dipindahkan ke tempat yang selamat.  "Termasuk juga ikan-ikan hiasan milik penduduk turut diselamatkan dan ditempatkan sementara di pusat pemindahan di Balai Raya Jalan Tekukur," katanya. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah Dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri Terengganu itu berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Khidmat Banjir DUN Ladang di Balai Raya Jalan Tekukur, semalam. Dalam lawatan itu, Tengku Hassan turut menyampaikan sumbangan daripada pihak Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) kepada mangsa banjir di pusat berkenaan. Katanya, pusat berkenaan yang beroperasi 24 jam itu dibuka untuk membantu mangsa-mangsa banjir dan dikendalikan oleh  MPKK di DUN tersebut.  "Mangsa banjir yang memerlukan bantuan makanan boleh mendapatkannya di pusat ini," ujarnya.
04 Dec 20
350
Penulis Otai Hadiahkan Buku Tanda 'Terima Kasih'
Penulis Otai Hadiahkan Buku Tanda 'Terima Kasih'
MARANG, 5 Disember - Seorang penulis otai menghadiahkan beberapa buah buku yang ditulisnya kepada jawatankuasa banjir dan sukarelawan sebagai tanda penghargaan kerana membantu membersihkan rumah akibat banjir kilat. Rahimah Latif, 68, yang dilahirkan di Kuala Terengganu mula menulis pada awal tahun 1969 dengan bimbingan Allahyarham Harun Hassan dan Sukby Latif. Beliau juga pernah berkerja sebagai wartawan sambilan di Utusan Malaysia dan BERNAMA, malah Cerpen, sajak, rencana beliau banyak tersiar dalam Utusan Malaysia dan Utusan Zaman. Rahimah berkata, buku bertajuk Diari Ummi Untuk Rafiqah merakamkan catatan dan kisah berkaitan perjalanan seorang ibu yang bersemangat kental dalam membesarkan anak yang disahkan menghidap 'Brain Tumor'. "Sebelum ini, hasil kutipan dan jualan buku daripada kisah benar ini juga turut disumbangkan kepada jabatan dan agensi tertentu," katanya. Beliau berkata ketika kerja-kerja gotong royong membersihkan rumahnya oleh Jawatankuasa Bencana Banjir Dun Rhu Rendang dan Jabatan Amal Marang, semalam. Dalam masa yang sama, satu jawatankuasa banjir Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang juga telah ditubuhkan bagi membantu mangsa yang terjejas banjir di mana Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat telah menjadi pusat sebagai bilik gerakan dan operasi. Inisiatif ini ditubuhkan khas bagi membantu penduduk sekitar dan mangsa-mangsa di Pusat Perpindahan Sementara (PPS) ekoran pertambahan jumlah mangsa secara mendadak. Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, dalam masa menghadapi banjir gelombang ketiga ini, jawatankuasa banjir telah memberi bantuan sokongan seperti membersihkan rumah kepada mereka yang memerlukan. "Rumah puan Rahimah agak teruk terjejas, tambahan lagi beliau merupakan warga mas, dan mempunyai anak yang sakit dan Orang Kelainan Upaya (OKU). "Semalam, kita menghantar bekalan makanan, seperti roti dan air pada peringkat awal ke beberapa buah PPS, kemudian kita menghantar bungkusan nasi yang disediakan dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung setempat  "Jawatankuasa ini tetap bersedia setiap masa dalam usaha membantu mangsa dan agensi yang terlibat dalam menguruskan bencana ini di sekitar Dun Rhu Rendang," tambahnya lagi.
04 Dec 20
426
Peningkatan Mendadak, 76 PPS Dibuka
Peningkatan Mendadak, 76 PPS Dibuka
KUALA TERENGGANU, 4 Disember- Memasuki hari kedua pengurusan bencana fasa ketiga di Terengganu, hari ini, sebanyak 76 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka. Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman menyatakan, jumlah tersebut melibatkan keseluruhan lapan daerah di negeri itu. "76 PPS yang dibuka membabitkan seramai 781 keluarga dengan keseluruhan 2,082 penduduk terjejas. "Bermula petang semalam, peningkatan mendadak kawasan dinaiki air berlaku tengah malam tadi dan awal pagi ini," katanya kepada pemberita ketika dihubungi pagi ini. Namun, beliau turut memaklumkan, data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di sungai-sungai utama negeri Terengganu, sebahagian besarnya berlaku penurunan. "Secara keseluruhannya pagi ini cuaca beransur reda tetapi mendung, jika tidak hujan paras air akan terus menurun. "Sekiranya keadaan berterusan begini, mungkin penduduk akan beransur-ansur dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," katanya.
04 Dec 20
509
'Kali Pertama Berdepan Banjir Besar'
'Kali Pertama Berdepan Banjir Besar'
KUALA TERENGGANU, 4 Disember – Banjir yang berlaku tahun ini jauh lebih besar berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana kawasan yang jarang dinaiki air turut terjejas. Salah seorang mangsa banjir, Hasnah Che Embong, 56 yang tinggal bersama anaknya menyifatkan kenaikan paras air di Kampung Batu Enam Chendering tahun ini sangat luar biasa. "Ini kali pertama mak cik dipindahkan dari rumah, sepanjang 56 tahun hidup tidak pernah lagi, banjir bulan lepas juga tidak berpindah. "Demi keselamatan nyawa, terpaksa tinggal barang-barang, habis rosak peti sejuk, kabinet, mesej basuh dan banyak lagi. "Kereta dan motosikal pun tak selamat kerana air naik tinggi bermula sekitar waktu maghrib. Kemudian lepas isyak penyelamat datang mari ambik mak cik," katanya kepada pemberita UPDI di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Chendering semalam. Menurutnya lagi, walaupun sedih memikirkan barangan di rumah, dia dan anaknya tetap bersyukur kerana dibantu banyak pihak. "Alhamdullilah, tempat PPS ini cukup lengkap semua keperluan dan anggota Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak lain amat membantu rakyat yang tengah susah sekarang ini," tambahnya.
04 Dec 20
644
Ini Bukan Masanya...
Ini Bukan Masanya...
KUALA TERENGGANU, 4 Disember- Orang awam diingatkan supaya tidak berkumpul di kawasan-kawasan berisiko sepanjang musim banjir ini. Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman menyatakan, tindakan tersebut dikhuatiri membahayakan diri dan keluarga mereka. "Dengan cuaca hujan renyai hari ini, ada diantara orang awam dan komuniti keluar ke bandar serta ke kawasan pinggir pantai untuk menyaksikan keadaan ombak dan sebagainya. "Kita nasihatkan supaya jauhkan daripada berada di kawasan berisiko sebab kita tahu agensi-agensi penyelamat dalam proses bertungkus lumus memindahkan mangsa-mangsa banjir di seluruh negeri Terengganu, ini bukan masanya," katanya. Beliau berkata demikian ketika tinjauan keadaan semasa sungai Terengganu di Pesisir Payang bersama Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), malam ini. Jelasnya, masyarakat terutamanya di Pantai Seberang Takir dan pinggir sungai ditegah mengabaikan aspek keselamatan mereka. "Itu agak berbahaya, jadi jangan sewenang-wenangnya bersiar-siar dan pergi melihat," katanya. Che Adam turut memaklumkan jangkaan semasa daripada agensi keselamatan berkaitan situasi banjir. "Kita jangkakan akan ada komposisi hujan yang agak lebat di kawasan pedalaman kerana di kawasan pantai keadaan telah reda. "Di kawasan hulu Terengganu, ada kebarangkalian kita bakal membuka lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melihat kepada rujukan berkaitan paras sungai di sana," katanya.    
03 Dec 20
672
Jangan ‘Bersiar-siar’ Di Pantai!
Jangan ‘Bersiar-siar’ Di Pantai!
KUALA TERENGGANU, 3 Disember – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri tempat berisiko seperti pantai sepanjang musim tengkujuh ini bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku. Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Lef Kol (PA) Che Adam A Rahman menegaskan, hasil tinjauan yang dilakukan di sekitar Drawbridge dan Pantai Seberang Takir pihaknya mendapati ramai orang awam berada di sana. “Sekarang keadaan ombak agak tinggi berserta angin kencing, tetapi ramai orang awam berada di kawasan sekitar. “Jadi kita nasihatkan agar elakkan daripada berada di kawasan tersebut sebab kita khuatir dalam situasi ini sangat tidak sesuai untuk ‘saja-saja’ melihat keadaan pantai,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi. Che Adam. Tambah beliau, pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat rondaan di kawasan terbabit. “Ini bagi menyuraikan keadaan daripada orang ramai terus berkumpul di sana,” jelasnya.
03 Dec 20
5793
'Air Naik Dengan Cepat'
'Air Naik Dengan Cepat'
MARANG, 3 Disember - Hujan berterusan dan air pasang besar bermula semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dinaiki air dengan cepat. Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, banjir besar ini berlaku hanya dalam masa beberapa jam. Malah katanya, kejadian seperti ini belum pernah berlaku dalam tempoh 20 tahun seperti yang dimaklumkan oleh seorang penduduk terjejas yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). "Ada di kalangan mereka di sini (PPS) bersama-sama anak kecil, bayi yang baru berusia beberapa bulan, dan ada juga kanak-kanak yang baru sahaja berkhatan. "Walau bagaimanapun kita mengucapkan terima kasih di atas kerjasama pihak jabatan dan agensi yang terlibat seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Bomba, Angkatan Pertahanan Awam, RELA, dan Polis Diraja Malaysia dalam memastikan keselamatan penduduk terjamin. "Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada 'Tentera Merah' iaitu Jabatan Amal yang turun serta merta membantu urusan perpindahan walaupun tidak dibayar sebarang imbuhan atau gaji," katanya. Beliau berkata setelah hadir menziarahi mangsa banjir di PPS bersama-sama Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Sabri Zakaria, dan Ketua Lajnah Penerangan Majlis Tindakan Dun Rhu Rendang, Najmuddin Rani. Mengulas lanjut, beliau berkata kerja-kerja membantu mangsa banjir akan terus dilakukan sehingga keadaan kembali normal. "Pihak PKM bersama-sama Jabatan Amal Marang dan MPKK telah turun ke beberapa lokasi yang terjejas teruk untuk membantu urusan perpindahan, mengangkat barang dan membersihkan rumah. "Kerja-kerja membantu telah dilakukan serta merta pada jam 8.30 malam, di antara lokasi awal adalah mangsa banjir kilat di Taman Bukit Indah. "Hampir jam 12 malam, seorang wanita warga emas yang menghidap penyakit lumpuh juga turut dipindahkan segera ke PPS setelah ianya dibuka di Rusila dengan bantuan Jabatan Amal Marang dan penduduk setempat," ujar beliau. Untuk rekod, empat PPS dibuka di daerah ini kepada mangsa banjir yang terjejas ekoran daripada hujan lebat dan air pasang yang bermula semalam. Seramai 372 mangsa yang terdiri daripada 98 keluarga telah ditempatkan di empat buah PPS ini iaitu Sekolah Kebangsaan Rusila, Sekolah Kebangsaan Bukit Gasing, Sekolah Kebangsaan Marang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Payong setakat dikemaskini pada jam 6.07 petang. Jumlah terkini merekodkan bilangan mangsa tertinggi di Marang dari seluruh negeri Terengganu bermula semalam di mana tiga PPS yang dibuka adalah di dalam kawasan DUN Rhu Rendang dan satu di Bukit Payong.      
03 Dec 20
399
Rumah Dinaiki Air, Syukriah Tetap Semangat Belajar
Rumah Dinaiki Air, Syukriah Tetap Semangat Belajar
MARANG, 3 Disember - Dugaan dan cabaran kali pertama berhadapan dengan musibah banjir tidak pernah melunturkan semangat seorang pelajar untuk mengikuti kelas secara atas talian di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Nur Syukriah Roning, 22, antara mangsa banjir yang berada di PPS Sekolah Kebangsaan Rusila yang sedang menduduki peperiksaan  pertengahan semester tiga, Universiti Teknikal Malaysia Melaka Pelajar kejuruteraan Pembuatan tahun tiga itu berkata dia tetap melaksanakan tugasnya untuk belajar walaupun terpaksa meneruskan pembelajaran tanpa kelengkapan utama seperti buku-buku rujukan dan komputer. Menurutnya yang bercita-cita untuk menjadi seorang Jurutera, fokusnya untuk belajar  tidak hilang malah cuba tetap cekal meneruskan sesi kuliah bersama pensyarah dan rakan sekelas lain. "Saya terpaksa gunakan telefon bimbit  untuk membuat ulangkaji, memang sukar kerana liputan agak terhad kat PPS tapi tetap teruskan untuk peperiksaan subjek ketiga iaitu Bahasa Melayu pada Selasa hadapan. "Walaupun dalam keadaan kelam kabut, saya terus cekalkan hati serta kuat semangat kerana perlu menghadapi peperiksaan dan bencana ini memberi saya semangat supaya berusaha gigih untuk mencapai keputusan yang cemerlang," ujarnya ketika ditemui pemberita di sini, hari  ini. Anak bungsu dari tujuh beradik itu sempat menceritakan saat rumahnya dinaiki air secara mendadak menyebabkan hanya mampu mencapai apa yang perlu. "Saya cuma sempat ambil dua pasang baju sahaja sebab kami diarah untuk berpindah segera apabila hujan makin lebat dan paras air naik dengan cepat. "Segalanya berlaku dengan pantas, dan untuk kembali ke rumah, saya perlu mengharungi air separas pinggang jika ingin mengambil barang-barang keperluan," tambahnya.
03 Dec 20
817
Dua PPS Dibuka Di Kuala Besut
Dua PPS Dibuka Di Kuala Besut
BESUT, 3 Disember - Dua Pusat Perpindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut hari ini. Hujan lebat yang berterusan sejak semalam menyebabkan air naik dengan mendadak.  Dua PPS yang dibuka ialah bertempat di Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu dan Balairaya Kampung Lay Out Tok Has telah menempatkan lima buah keluarga.  Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Haji Azbi Salleh ketika menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di Air Terjun menasihati supaya penduduk sentiasa berjaga-jaga.  “Saya berharap penduduk yang tinggal di kawasan rendah patuh dengan arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. “Insya-Allah kita sentiasa berdoa agar musibah ini tidak teruk”, ujar beliau.   
03 Dec 20
137
Marang Catat Mangsa Banjir Tertinggi
Marang Catat Mangsa Banjir Tertinggi
MARANG, 3 Disember - Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu melaporkan daerah Marang mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 660 orang mangsa setakat jam 8.43 malam hari ini. Sekretariat tersebut dalam satu laporan berkata, daripada jumlah tersebut, pusat pemindahan di SK Rusila mencatat angka paling tinggi iaitu seramai 186 orang daripada 49 keluarga.  Selain itu, sebanyak empat pusat pemindahan baharu dibuka hari ini iaitu di SMK Merchang, SK Tasek, SMK Seri Payong dan Dewan Sivik Pekan Wakaf Tapai yang turut mendorong peningkatan kes di daerah ini. Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusof berkata, sumbangan segera telah diberikan kepada semua mangsa banjir di daerah ini  "Alhamdulillah, kita (Pusat Khidmat Ahli Parlimen Marang) baru selesai membuat lawatan pusat pemindahan di SK Rusila pada hari ini dan di sini mangsa banjir ni agak ramai iaitu berjumlah 186 orang.  "Saya mewakili parlimen Marang turun melawat dan juga memberi sumbangan kewangan pada mangsa-mangsa banjir ini untuk meringankan beban yang dialami mereka," katanya kepada wakil wartawan UPDI sejurus selesai agihan bantuan bertempat di SK Rusila, dekat sini, hari ini.  Beliau turut mengulas  berkenaan kesiapsiagaan jentera penyelamat dalam menghadapi apa-apa kemungkinan di luar jangka.  "Di samping itu, kita turut  melihat dan meninjau perkembangan persediaan pihak berkuasa dalam misi bencana banjir ini. Alhamdulillah nampaknya sangat bagus," katanya Berdasarkan tinjauan semasa yang dibuat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air semasa di Sungai Marang mencatat bacaan 1.39m dan dalam trend menaik, namun belum memasuki zon waspada atau amaran.
03 Dec 20
697