Artikel "Semasa" Terkini
Setiu Model Pembangunan Tanah Terbiar
SETIU, 8 Disember – Daerah Setiu bakal dijadikan sebagai model membangunkan tanah terbiar dengan pelbagai aktiviti pertanian.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, terdapat lebih 1,000 hektar tanah terbiar yang boleh dimajukan menjadi tanah produktif dengan mengeluarkan hasil pertanian.
Katanya, tanah-tanah tersebut mempunyai pemilik namun tidak diusahakan selama tiga tahun berturut-turut.
"Bayangkan dengan keluasan tersebut jika ditanam dengan benda yang boleh memberi manfaat, berapa banyak hasil yang kita akan dapat. Contohnya Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pengkalan Aman, Setiu ada 27 hektar tanah yang telah diberi milik melalui proses RTB daripada tahun 2000 dan ke atas, namun 2020 ini tidak sampai 20 peratus daripada tanah telah diusahakan.
"Kita bekerja bersungguh-sungguh menunaikan hasrat rakyat untuk memiliki tanah tapi dalam masa yang sama ia perlu ada gabung jalin daripada bawah yang bersungguh-sungguh mengusahakannya. Akhirnya, ia memberi pulangan hasil kepada keluarga kita sendiri.
"Kita akan jadikan RTB di Pengkalan Aman sebagai ‘pilot’ projek bagi memajukan tanah terbiar. Antaranya kita akan tanam dengan tanaman kontan dan juga mangga harum manis," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Suratan Hakmilik (Geran) dan Borang 5A bagi Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Daerah Setiu di Dewan Serbaguna Sungai Tarom, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tanaman harum manis sangat subur jika ditanam di kawasan-kawasan berkenaan.
Ini kerana kadar kemanisan buah harum manis yang ditanam di Rhu Tapai telah mendapat bacaan brix meter sehingga 23 berbanding di Perlis hanya 22.
"Ia membuktikan bahawa harum manis ini mampu ditanam di kawasan tanah beris.
"Sebenarnya tanah yang tidak dimajukan ini mengikut Kanun Tanah Negara ada peruntukan hak yang membolehkan kita rampas semula tapi kerajaan negeri bukan mahu merampas.
"Yang kita mahukan adalah berpakat fikir cari jalan, buat kajian, panggil jumpa berbincang apa sebab dan apa faktor yang menyebabkan tanah ini terbiar," jelasnya.
Sementara itu, dalam majlis berkenaan, seramai 253 orang telah menerima geran dan 104 penerima jadual 5A.
"Jadi bukan semua di kalangan rakyat kita bernasib baik untuk mendapat tanah. Maka yang boleh tanah ini tidak dimanfaatkan ia menjadi satu kerugian, sekiranya memerlukan bantuan teknikal dan sebagainya jabatan-jabatan sedia membantu," katanya.
Beliau turut menegaskan kepada penerima jadual 5A supaya menjelaskan bayaran sebelum habis tempoh.
"Ini kerana ia akan merumitkan lagi keadaan untuk proses seterusnya. Jangan dibandingkan dengan harga tanah zaman dahulu kerana ia bergantung kepada penilaian tanah semasa," jelasnya.
08 Dec 20
1395
Skuad Banjir Hulur Bantuan, Bersih Rumah Penduduk
KUALA TERENGGANU, 8 Disember - Skuad Banjir Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang menghulurkan pelbagai bantuan pasca banjir kepada mangsa yang terjejas dalam gelombang ketiga banjiir baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata skuad yang ditubuhkan oleh Pusat ADUN Ladang itu dianggotai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Muslimat, Pemuda dan Ameerah DUN tersebut.
"Sudah dua hari mereka bekerja, membersih rumah-rumah yang telah terlibat dengan banjir, bersih semua barang-barang yang ditenggelami air, banyak juga barang terpaksa dibuang kerana sudah rosak dan tidak boleh digunakan seperti tilam," katanya.
Tengku Hassan berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa sedang meninjau kerja-kerja membersih rumah-rumah di Bukit Kecil yang teruk ditenggelami air semalam.
Katanya lagi, skuad tersebut turut menghulurkan makanan tengah hari dan juga barang-barang keperluan dapur.
"Jika ada lagi keperluan yang nak kita bantu, insya-Allah kita akan bantu," ujarnya lagi.
08 Dec 20
280
Abdul Hadi Ronda Empat Dun Agih Bantuan Banjir
MARANG, 8 Disember - Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turun ke semua kawasan dalam daerah ini bagi mengagihkan bantuan banjir kepada semua mangsa yang terjejas.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, bantuan yang disalurkan kepada golongan memerlukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Pengkalan Berangan, Bukit Payung dan Alur Limbat tidak mengira latar belakang ideologi.
"Kita sudah berada di dalam kerajaan. Ini kurnia daripada Allah SWT. Sudah tentu kita ada peranan dan jentera kita berjalan dengan elok. Cuma kita kena baiki beberapa kesilapan yang berlaku. Kalau dulu, pemberian bantuan ini ambil kira parti-parti. Parti dia beri bantuan, bukan parti dia tidak diberi bantuan. Kita tidak boleh buat begitu.
"Tuhan ajar kepada kita untuk adil kepada semua. Tuhan yang Maha Berkuasa itu memberi rezeki kepada semua hamba-Nya, hamba yang beriman, hamba yang kafir, hamba yang munafik, hamba yang baik, hamba yang jahat, yang macam-macam hal, tuhan bagi rezeki belaka.
"Biarlah serahkan kepada tuhan hukum di hari akhirat. Itu rahmat tuhan dan kita ikut petunjuk tuhan," ucapnya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan peringkat DUN Alur Limbat di Masjid Tasek, di sini baru-baru ini.
Menurutnya, semua rakyat yang terlibat dengan bencana banjir yang melanda Terengganu baru-baru ini dibantu secara adil tanpa kompromi iaitu tidak memihak mana-mana pihak atau individu tertentu sahaja.
"Kita mengarahkan jentera-jentera kerajaan turun ke bawah. Sekadar kemampuan yang ada pada kita. Tolong semua orang yang berhajat. Bukan yang tidak berhajat. Kalau orang tu yang ada kemampuan sendiri dia tidak berhajat kepada bantuan, tidak kena dia mengambil bantuan. Hendaklah beri kepada orang yang berhajat. Orang yang sungguh-sungguh memerlukan pertolongan.
"Namun mereka yang berhajat pertolongan ini pun mungkin tak cukup, kena cari selalu mereka yang memerlukan. Alhamdulillah banyak pihak yang tolong menyumbang, tolong beri sekadar kemampuan," tambahnya lagi.
Untuk rekod, keempat-empat DUN di parlimen Marang ini telah diagihkan bantuan yang disampaikan sendiri oleh Ahli Parlimen Marang masing-masing bertempat di Bukit Gasing (DUN Rhu Rendang), Pengkalan Berangan, Atas Tol (DUN Bukit Payung) dan Tasek (DUN Alur Limbat).
08 Dec 20
532
Rentas Negeri, Jangan Ambil Mudah
KUALA TERENGGANU, 7 Disember - Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil mudah atau leka selepas kerajaan membenarkan aktiviti merentas daerah dan negeri di seluruh Malaysia kecuali di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Dato’ Dr Aminuddin Hassim meminta rakyat supaya kekal patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk memakai topeng muka ketika berada di luar rumah.
Katanya, aspek keselamatan terutamanya dalam situasi sekarang sangat penting kerana rakyat Terengganu khususnya perlu menangani 'bencana dalam bencana' iaitu banjir dan pandemik COVID-19.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menamatkan semua sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara bermula hari ini dan kemungkinan akan ada pergerakkan kenderaan merentas daerah dan negeri yang agak tinggi hujung minggu ini.
“Justeru, saya harap orang ramai patuh kepada SOP dan amalkan kebersihan yang tinggi termasuk sentiasa memakai topeng muka terutama ketika berada dalam kalangan ramai orang dan menjaga penjarakan sosial,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan Bencana Negara (BGBN) Terengganu di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Lef Kol (PA) Che Adam A Rahman.
Mengulas mengenai lawatan ke negeri ini, beliau berkata, pihak NADMA sudah melakukan perbincangan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu mengenai isu-isu berkaitan banjir dan COVID-19 seperti persiapan dan kemudahan malah mendapat pelbagai maklum balas serta cadangan.
“Sebagai agensi pusat kita akan lihat apa yang boleh dibantu, kerana banjir kali ini agak mencabar kerana bukan sahaja masalah banjir tetapi juga COVID-19. Maka, kita juga akan mencari jalan terbaik bagi mengatasinya,” katanya.
Sementara itu katanya, kebenaran merentas daerah dan negeri ini diharapkan tidak dijadikan pesta oleh orang ramai dengan berkumpul beramai-ramai terutamanya di kawasan berisiko banjir.
“Walaupun mereka hendak ziarah keluarga, atau sebagai NGO yang mahu sumbang makanan kepada mangsa banjir, di musim COVID-19 ini ada tatacara yang perlu dipatuhi.
“NGO sepatutnya gunakan Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah (PKOB) di daerah-daerah untuk menghantar barang bantuan supaya kita dapat rekod dan aturkan ke mana perlu bantuan tersebut disalurkan manakala orang ramai pula perlu sentiasa memastikan aspek kebersihan diri menjadi keutamaan,” ujarnya.
07 Dec 20
1069
Terengganu Bantu Pasar Produk Usahawan Secara Percuma
KUALA TERENGGANU, 8 Disember - Kerajaan negeri telah membantu memasarkan produk 100 usahawan yang terpilih secara percuma melalui program Digital Marketing Bootcamp.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pihaknya sentiasa menyokong usaha usahawan Terengganu untuk meningkatkan pasaran mereka.
"Tujuan program ini dianjurkan bagi merealisasikan kursus jualan dan pemasaran secara atas talian yang bertujuan memberi kefahaman secara “hands on” berkaitan pemasaran secara atas talian bagi meningkatkan jualan usahawan di Negeri Terengganu.
"Pemilihan peserta kursus ini adalah berdasarkan beberapa kriteria seperti jualan RM10 ribu hingga RM50 ribu sebulan, usahawan mempunyai laman facebook yang aktif dan kriteria utama sudah pasti usahawan tersebut merupakan usahawan negeri Terengganu," ujarnya ketika dialog di Duyung Marina & Resort.
katanya, kelas pemasaran yang dijalankan pada hari pertama program merupakan kelas praktikal di mana peserta progam belajar dan terus siapkan 20 iklan dengan bajet yang minimum. Kelas marketing disampaikan oleh guru facebook ads yang telah dicadangkan oleh ramai usahawan, Abdul Aziz Mustapha Kamal (Aziz MK) dari GymFBads.
"Hari kedua program pula di sambung dengan kelas closing sale oleh Dharma syamim fikri Dharma Mulya (Sir Dharma). Peserta diketengahkan dengan teknik closing yang telah terbukti dan juga diberi SOP closing yang betul dan infektif," ujarnya.
07 Dec 20
501
Benteng Kawal Hakisan Pantai Pengkalan Maras Dibina Minggu Depan
KUALA NERUS, 6 Disember - Kerja-kerja pembinaan benteng dan menambun pasir sepanjang kira-kira 200 meter bagi mengelak hakisan di Pantai Pengkalan Maras bertambah teruk akan dimulakan minggu depan.
Menterinya, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek bernilai RM800,000 itu dijangka memakan masa selama enam minggu untuk siap sepenuhnya.
Katanya, langkah terbabit bakal menyelamatkan kawasan perkuburan Islam di kampung berkenaan yang dibimbangi tenggelam ekoran masalah hakisan yang makin meruncing.
“Sebenarnya kita sudah ada pelan kajian terperinci secara holistik di kawasan ini membabitkan peruntukan sebanyak RM90 juta tetapi disebabkan keadaan hakisan di kawasan itu semakin kritikal, maka kementerian telah meluluskan RM800,000 untuk membina benteng.
“Harapan kita agar projek ini dapat menyelamatkan buat sementara waktu tanah perkuburan dan sekitarnya sebelum kita melaksanakan projek kekal yang menelan belanja kira-kira RM90 juta untuk keseluruhan kawasan pantai di Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau hakisan pantai di Kampung Pengkalan Maras di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail
Tuan Ibrahim turut memberitahu, pihaknya kini giat berbincang dengan kerajaan negeri bagi mencari jalan penyelesaian terbaik yang boleh diambil kedua-dua pihak berhubung isu hakisan pantai di Terengganu yang semakin buruk terutama pada musim tengkujuh.
“Kita menerima laporan tentang situasi pantai di Terengganu dan sebab itu kajian holistik secara keseluruhan perlu dilakukan bagi memantau dan mengatur perancangan berkesan.
“Saya dalam perbincangan dengan kerajaan negeri untuk melihat langkah yang boleh diambil berhubung isu ini kerana ada ketikanya pembinaan benteng berisiko menyebabkan kawasan lain terjejas dengan kerosakan,” katanya.
Dua minggu lalu, Kementerian Alam Sekitar dan Air telah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM800,000 bagi pembinaan benteng dan menambun pasir di kawasan pantai di Kampung Pengkalan Maras.
06 Dec 20
2269
Penggodam FB Exco Terengganu Kantoi
KUALA TERENGGANU, 6 Disember - 'Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua', itulah perumpamaan sesuai bagi menggambarkan situasi penggodam laman sosial seorang Exco Terengganu yang berjaya dikenalpasti semalam.
Individu tersebut dipercayai telah menceroboh salah satu ‘facebook (FB) page' milik Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim pada 29 November lalu.
Setelah itu, dia bertindak membuang semua pentadbir asal laman tersebut termasuk Dr Azman.
Malah bukan itu sahaja kata Dr Azman, instagram (IG) peribadinya turut digodam untuk tujuan yang tidak diketahui.
"Beberapa akaun ‘scammer’ ini dapat dikesan apabila mereka menawarkan jualan akaun IG secara atas talian.
"Dari 29 November sehingga 5 Disember. Kami hanya boleh melihat saja apa yang berlaku di akaun-akaun media sosial terbabit tanpa boleh mengubah dan menyiar apa-apa. Pelbagai usaha serta aduan telah dibuat kepada FB termasuklah melalui surat rasmi. Tapi masih buntu dan tiada penyelesaian," katanya ketika dihubungi media.
Mengulas lanjut, kata Dr Azman, selepas terkantoi penggodam berkenaan mengakui bahawa dialah juga salah seorang yang terlibat meggodam akaun FB miliknya.
"Perangkap dipasang untuk beli balik IG. Bukan mahal pun, RM180 sahaja. Penggodam yang menggunakan FB akaun palsu memberikan nombor akaun sebuah bank tempatan untuk proses pembayaran, nama orang melayu tempatan saja bukan penggodam luar negara.
"Akhirnya IG dapat diselamatkan kembali tanpa satu sen pun bayaran. Berlakulah insiden lucu dan pelik, kumpulan kami yang berhempas pulas mendapatkan hak kami dituduh menipu apabila bayaran kepada penggodam tak dibuat dalam transaksi jual beli IG tersebut," katanya
Tambah beliau, maklumat nombor akaun bank milik penggodam adalah bukti kuat untuk membuat laporan polis.
"Dah ada laporan polis, saya serius untuk teruskan dengan tindakan melalui saluran undang-undang. Akhirnya pencuri mengalah dan pulangkan balik page kami pagi ini," jelasnya.
06 Dec 20
4969
Kak Zah Ziarah Mangsa Banjir
MARANG, 5 Disember - Isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman meluangkan masa menziarahi mangsa banjir di tiga buah Pusat Perpindahan Sementara (PPS) semalam.
Beliau berkata, kehadirannya juga adalah bagi mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang tidak dapat hadir kerana masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut.
"Ahmad Samsuri juga turut menyampaikan salam kepada semua mangsa banjir dan kekesalan kerana tidak dapat bersama dalam kunjungan bersama penduduk terjejas banjir yang tidak bernasib baik.
Turut hadir adalah Pegawai Khas Menteri Besar, Sabri Zakaria, Pengarah Majlis Tindakan DUN Rhu Rendang, Hasan Awang, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng.
Tuan Faizah juga sempat beramah mesra dan mengagihkan makanan daripada Jawatankuasa Bencana Banjir kepada mangsa banjir yang dibungkus sendiri olehnya.
Sedikit sumbangan dan hadiah juga turut diserahkan kepada mangsa yang terdiri daripada bayi baru lahir, Orang Kelainan Upaya (OKU), pesakit terlantar dan kanak-kanak berkhatan di PPS.
To' Puan Seri Tuan Faizah membungkus maknanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di PPS
05 Dec 20
473
Boleh Rentas Negeri Bermula Lusa
KUALA LUMPUR, 5 Disember - Tiada lagi sekatan rentas daerah dan negeri dikenakan bermula 7 Disember.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pergerakan dibenarkan tanpa kebenaran polis kecuali kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
AKAN MENYUSUL
05 Dec 20
762
Belia Santuni Asnaf
KUALA TERENGGANU, 5 Disember – Walaupun terbatas kepada skala kecil dalam suasana COVID-19, warga belia tetap meneruskan inisiatif memberi bantuan dari rumah ke rumah kepada golongan yang memerlukan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, bersesuaian dengan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia Peringkat Negeri Terengganu 2020, pelbagai latar belakang anak muda terlibat menjayakan aktiviti itu.
“Alhamdullilah, hasil usaha sama agensi seperti sukarelawan Rakan Muda Kuala Terengganu dan Pasukan Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam ini telah menyantuni 30 orang asnaf di 30 buah rumah.
“Lokasi tumpuan kita bermula di Kampung Gong Pauh kemudian ke Kampung Kuala Bekah dan diakhiri di Kampung Sungai Rengas selepas Solat Jumaat,” katanya kepada pemberita selepas program Hari Kesukarelawanan Belia peringkat Kuala Terengganu, pagi semalam.
Turut hadir, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Mohd Izwandy Ismail dan Pengerusi Majlis Belia Daerah Kuala Terengganu, Anas Hazizul.
Wan Sukairi yang juga ADUN Wakaf Mempelam menyatakan rasa terima kasih kepada sukarelawan yang terlibat dalam memberi kesedaran dan mengalakkan aktiviti kesukarelawanan dan kemanusiaan di dalam negeri.
Sementara itu, menurut Izwandy, program tersebut merupakan usaha daripada Kementerian Belia dan Sukan serta kerajaan negeri bagi menggalakkan dan melahirkan sukarelawan di kalangan belia bersama komuniti.
“Sebagai mana sedia maklum, 5 Disember ialah Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia dan di peringkat negeri kita telah merangka usaha ini bersama Exco dan agensi-agensi pelaksana lain Urusetia Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Majlis Belia Terengganu dan sukarelawan di dalam Kelab Rakan Muda Kuala Terengganu.
“Program menyantuni melibatkan 25 sukarelawan belia ini adalah usaha peringkat akar umbi dalam menanam semangat sukarelawan yang jitu di kalangan anak muda supaya semangat ini dapat kita kekalkan dalam usaha berbakti dari semasa ke semasa,” katanya.
Seorang penerima, Saudah Ngah,60, yang juga nenek kepada 15 cucu menyifatkan usaha belia ini sesuatu yang amat baik terutamanya mendidik orang muda berbakti kepada masyarakat setempat.
05 Dec 20
446