Artikel "Semasa" Terkini
Konvoi Mahabbah Perluaskan Aktiviti Dakwah Bermotosikal
MARANG, 14 Disember - Konvoi Mahabbah Bersama Daie menjadi salah satu aktiviti dakwah bermotosikal yang semakin meluas dan mendapat sambutan di semua peringkat lapisan masyarakat peminat motosikal.
Baru-baru ini satu konvoi ke sebuah pondok telah diadakan melibatkan 30 buah motosikal dari kawasan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang.
Pegawai Akademik Didik Ulama Amilin Terengganu Dun Rhu Rendang, Mohd Fakhruddin Zakaria berkata, konvoi itu adalah bertujuan melawat sebuah pondok yang terletak di Dungun.
"Tujuan utama program ini diadakan bukan hannya sekadar bersuka ria tetapi adalah bagi mendapat manfaat sebaiknya dengan ilmu agama secara santai dan bersahaja.
“Peserta konvoi yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia ini bukan sekadar melawat pondok Manazil Siddiqin, tetapi juga turut mendengar taujihad ilmu yang disampaikan oleh Tuan Guru Ustaz Hj Mohd Suhaimi Daud Al-Khalidi.
Menurutnya tokoh itu adalah mudir pondok tersebut dan juga merupakan Pengerusi Pertubuhan Ahli Pengajian Kitab Turath Terengganu.
“Program ini mendapat kerjasama yang baik daripada peserta yang terdiri daripada belia, kelab motor, badan bukan kerajaan, dan sebagainya.
“ Usaha ini juga dapat menarik minat ramai golongan terutamanya anak muda yang minat berkonvoi dalam aktiviti dakwah dan ilmiah supaya lebih dekat dengan ajaran islam," ucapnya lagi.
Program anjuran DUAT ini, bermula seawal jam 8.00 pagi disertai oleh Kelab Kijing Bikers, Ahli Jawatankuasa beberapa buah masjid, sukarelawan masyarakan serta beberapa kumpulan daripada penduduk setempat.
14 Dec 20
656
Tunggu 20 Tahun Untuk Guna Jalan Bertar
MARANG, 14 Disember - Kesulitan penduduk Kampung Tertak Batu yang terpaksa menggunakan jalan berbatu hampir 20 tahun di kawasan berbukit dan cerung akhirnya berakhir apabila jalan tersebut diturap tar sepenuhnya untuk kegunaan penduduk sekitar.
Menurut Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tertak Batu, Zulkifli Taha, penduduk sekitar menunggu sejak sekian lama untuk menggunakan jalan yang selesa dan tidak berdebu.
"Walaupun jalan yang diturap ini hanya sepanjang 200 meter, tetapi dengan keadaan jalan yang berbukit dan berbatu sebelum ini menyebabkan banyak terjadinya risiko keselamatan kepada penduduk.
Keadaan jalan sebelum yang digunakan oleh penduduk
"Lebih kurang lima hingga enam buah rumah, adalah pengguna tetap jalan ini dimana mereka akan mendapat manfaat sepenuhnya daripada kemudahan jalan tersebut
"Sebelum ini jalan yang dipohon hanya dibina menggunakan batu kisaran dan sering kali rosak menyebabkan kesukaran penduduk untuk keluar masuk menggunakan jalan tersebut,"katanya.
Beliau berkata ketika dihubungi oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman, semalam
Jalan itu dibina dibawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (MARRIS) berjumlah RM37, 000 melalui Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang.
14 Dec 20
2219
Rakyat Bukit Tunggal Dijamu Gulai Daging
KUALA NERUS, 14 Disember - Sebanyak 5,700 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal di sini dijamu gulai daging melalui program dapur rakyat yang berlangsung dalam bulan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Dr Alias Razak berkata, sumbangan itu diagih ke setiap rumah penduduk tanpa mengira status pendapatan mereka melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing.
"Kita melahirkan rasa simpati kepada rakyat yang terjejas pendapatan mereka ekoran penularan wabak COVID-19 dan musim tengkujuh ini yang sedang melanda negeri kita.
"Biasanya kita buat jamuan rakyat dalam satu majlis, namun kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, kita akan hantar kepada rakyat dari rumah ke rumah lauk gulai yang siap dimasak oleh MPKK," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas selesai program Dapur Rakyat DUN Bukit Tunggal di Kampung Gong Kijang baru-baru ini.
Katanya lagi, selain agihan lauk yang sudah masak, pihaknya juga menyampaikan barangan keperluan dapur kepada keluarga B40 seperti beras, minyak dan gula.
"Walaupun sumbangan ini hanya kecil bagi kita, namun sekurang-kurangnya dapat menceriakan keluarga mereka yang kurang bernasib baik dengan menikmati bantuan ini," jelasnya.
14 Dec 20
669
720 Penduduk Terima Bantuan Musim Tengkujuh
MARANG, 14 Disember - Bantuan musim tengkujuh pada tahun ini diteruskan lagi dengan 720 penduduk di sekitar Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang bakal menerima manfaatnya.
Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Hasan Awang berkata, sumbangan berbentuk keperluan asas itu bertujuan membantu penerima yang kurang berkemampuan di kampung masing-masing
"Kita harap dengan sumbangan ini, semua yang layak lebih-lebih lagi masyarakat yang terjejas aktiviti perkerjaannya dapat merasa dan mendapat manfaat daripadanya.
"Selain itu, terdapat juga sumbangan yang diberikan kepada penerima daripada Pejabat Ahli Parlimen Marang, masjid, surau serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan NGO yang berkaitan," katanya.
Beliau berkata ketika merasmikan majlis serahan sumbangan musim tengkujuh di dewan pejabat DUN Rhu Rendang semalam.
Turut hadir, Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman, Pengerusi Penyelaras MPKK, Safie Adam dan wakil MPKK masing-masing.
Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap MPKK akan mengambil tanggungjawab untuk mengagihkan 20 keperluan kepada mereka yang memerlukan di kampung masing-masing.
"Ekoran daripada pandemik COVID-19, dan Prosedur Operasi Standard (SOP), majlis serahan seperti tahun sebelumnya tidak dapat diadakan secara besar-besaran.
"Kita harap MPKK dapat mengenal pasti penerima dan menyerahkan kepada kebijaksanaan mereka untuk mengagihkan sumbangan kepada penerima yang selayaknya," tambahnya lagi.
13 Dec 20
266
6,267 Rakyat Terengganu Dapat Manfaat Tabung Darul Iman
KUALA TERENGGANU, 13 Disember - Seramai 6,267 penduduk di Terengganu yang ditimpa musibah dan menghidap penyakit kronik mendapat manfaat daripada Tabung Darul Iaman (TDI).
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, ia membabitkan perbelanjaan lebih RM5.3 juta sepanjang tempoh 10 bulan tahun ini.
Katanya, daripada jumlah itu bantuan paling banyak dibelanjakan adalah Bantuan Sara Diri Tahunan iaitu RM2.4 juta.
"Manakala bantuan yang sebelum ini dikenali sebagai Bantuan Penyakit Kronik pula memberi manfaat kepada 4,438 penerima yang merupakan penghidap penyakit kronik seperti kanser, jantung, kegagalan buah pinggang dan strok.
"Bagi bantuan musibah, seramai 174 orang mendapat bantuan ini melibatkan peruntukan RM1.6 juta manakala bantuan susu dan lampin pakai buang pula diberikan kepada 1,428 penerima dengan jumlah bayaran RM960,646.
"Tetapi bantuan masuk hospital atau bil hospital pula tidak disediakan kerana Tabung Darul Iman hanya menyediakan Bantuan Perubatan melalui Surat Jaminan (GL). Bantuan perubatan ini adalah melibatkan bantuan implan, peralatan perubatan dan ubat-ubatan yang tidak disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.
Dalam pada itu, Hanafiah berkata, seramai 227 pesakit mendapat manfaat Bantuan Perubatan melibatkan peruntukan RM322,475 dalam tempoh sama tahun ini.
"Tabung Darul Iman adalah gabungan daripada tiga tabung sedia ada iaitu Tabung Darul Iman, Tabung Bantuan Penyakit Kronik dan Dana Kebajikan Sosial Perubatan yang bertujuan mengurus dan menyelaras bantuan secara sistematik dan efisien," katanya.
13 Dec 20
3841
Individu Dari Zon Merah Diminta Hubungi Jabatan Kesihatan
KUALA TERENGGANU, 11 Disember - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) meminta semua yang bergerak masuk ke Terengganu khususnya dari zon merah untuk menghubungi pihak berkaitan bagi penilaian risiko Covid-19.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, ia susulan kebenaran rentas daerah dan negeri yang bermula 7 Disember lepas.
Katanya, sebagai langkah kawalan, mereka ini diminta menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC) atau Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah dan menyediakan borang deklarasi yang perlu dilengkapkan.
"Sejak 7 Disember kami mengesan ramai juga kontak rapat kepada kes positif atau kluster dari luar Terengganu. Juga kes positif dikesan yang bergerak masuk ke Terengganu.
"Kita menjangkakan peningkatan kes ekoran kebenaran ini dan negeri bersebelahan Terengganu juga menunjukkan peningkatan kes dan situasi ini merisaukan kita.
"Jadi kita mesti ambil langkah berjaga-jaga untuk 'protect' Terengganu yang situasi Covid 19 masih terkawal. Jika tidak, ini bakal mengundang kluster baharu di Terengganu," ujarnya kenyataan yang dimuat naik menerusi laman rasmi Facebook miliknya hari ini.
Tambahnya, ada yang masuk dari zon merah tetapi terus ke Klinik Kesihatan untuk membuat saringan tanpa singgah di mana-mana perhentian.
"Mereka dikesan positif dan terus dimasukkan ke Hospital. Sikap begini sangat baik dan patut dipuji kerana ia membantu mengelakkan penularan dalam komuniti dan patut dicontohi oleh pengembara lain,"ujarnya lagi.
11 Dec 20
10328
72 Penduduk Bujal Kembali Dapat Hak Tanah
KEMAMAN, 10 Disember – Seramai 72 penduduk Kampung Bujal di sini kembali mendapat tanah mereka selepas proses penyerahan hak milik tertangguh lebih 16 tahun.
Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, setelah pelbagai peristiwa pahit dilalui para penerima terbabit kini dapat memajukan kembali tanah yang diperolehi.
"Terima kasih kepada para pemohon kerana bersabar, diharapkan agar pemohon seterusnya memahami urusan berkaitan hak milik tanah ini kerana perkara tersebut memakan masa dan melibatkan prosedur yang sedikit rumit.
“Syukur kepada Allah SWT kerana hari ini kerajaan Terengganu dapat memberi geran tanah terkilan kepada 72 orang di Kijal pada majlis fasa pertama ini.
“Bagi Fasa kedua, sebahagian kecil lagi masih berada di Pejabat tanah disini dalam proses melengkapkan maklumat untuk dibawa kepada PTG dan terus ke Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (MMKN), saya harap dalam tiga atau empat bulan insya-Allah dapat menyerahkan kepada 62 permohonan berbaki ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Hak Milik Rancangan Tanah Berkelompok Terkilan Bagi Tapak Bangunan Kediaman di Desa Makmur Bujal, Kijal, Kemaman hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab. Razak Ibrahim, Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh dan Pegawai Daerah Kemaman, Mohd Sophian Abu Bakar.
Menurut seorang penerima, Zaitun Che Ku Abdul, 59, dia menyuarakan rasa syukur dan lega atas pengembalian hak tanah yang ditunggu sejak 16 tahun lalu.
"Terima kasih kepada Yang Berhormat dan kerajaan dalam usaha ini. Dulu rumah diruntuh tapi sekarang ini rumah baharu akan dibina untuk keluarga," kata ibu kepada tiga orang anak itu.
Sementara itu, Samsudin Abdullah, 71, berkata, dia gembira setelah hak yang dinafikan kini dikembalikan dan berterima kasih terhadap usaha kerajaan dalam memperjuangkan perkara tersebut.
“Syukur kepada Allah SWT dan terima kasih atas usaha kerajaan negeri, belum pernah saya miliki tanah sebelum ini, walaupun sudah berusia tua, diharapkan supaya masjid dapat didirikan kembali di Kampung Bujal bagi kegunaan bakal penduduk di sini.
"Insya-Allah tanah akan dimanfaatkan untuk membina rumah bagi kemudahan anak-anak saya," tambahnya.
10 Dec 20
661
Bot Karam, Tiga Nelayan Hilang Sumber Pendapatan
KEMAMAN, 10 Disember - Tiga nelayan di Chukai di sini hilang sumber pendapatan selepas bot mereka karam dalam sekelip mata.
Juragan bot, Rozak Mohd, 64, berkata mereka sebelum ini bergantung pada pekerjaan itu bagi menyara keluarga.
Namun kini katanya, ia memberi beban kerana mereka tidak lagi dapat turun ke laut bagi mencari rezeki.
"Kami bertiga mempunyai tanggungan sendiri. Kami tiada duit untuk menampung perbelanjaan untuk keluarga.
"Tambahan pula musim begini, bulan Januari nanti pula anak-anak akan ke sekolah, sudah tentu ia memerlukan kewangan yang secukupnya untuk itu," ujarnya ketika ditemui pemberita baru-baru ini di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai.
Rozak yang tinggal di Kampung Paya Berenjut mengharapkan agar ada jalan atau bentuk bantuan daripada kerajaan negeri bagi membantu meringankan beban yang sedang mereka hadapi
Dalam kejadian pada 29 November lalu itu, Rozak bagaimanapun berkata dia bersama dua lagi rakannya Hamzah Bakar, 67, dan Mohd Rodi Ibrahim, 51 terselamat.
"Kejadian malang itu berlaku pada jam 9.40 pagi ketika kami sedang leka mencari rezeki.
"Kejadian berlaku sekelip mata, kami tidak sempat berbuat apa-apa. Ketika itu kami memakai jaket keselamatan mengambil keputusan terjun ke laut.
"Setengah jam menunggu akhirnya kami diselamatkan oleh bot nelayan lain yang lalu di kawasan itu," jelasnya.
Bot dinaiki mereka dikatakan tenggelam di Laut Kepala Geliga yang dianggarkan sejauh dua batu nautika daripada darat.
10 Dec 20
259
Minyak Hitam Percuma Untuk Mangsa Banjir
KEMAMAN, 9 Disember - Penduduk di Kampung Air Putih dan Teladas yang terjejas akibat banjir baru-baru ini diberikan minyak hitam secara percuma.
Program yang dianjurkan oleh Urus Setia Belia Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) dan diketuai oleh Alternative Riding Club (ARC) Kemaman itu merupakan salah satu operasi sukarelawan pasca banjir yang menyasarkan penduduk di kawasan sekitar.
Ketua ARC Kemaman, Ab. Rahman Ngah berkata, bermula seawal jam 9.30 pagi, sebanyak 150 botol minyak hitam disediakan untuk program servis tukar minyak hitam motosikal terbabit.
"Sepanjang tiga jam pertama program ini berjalan, ramai orang kampung yang tidak melepaskan peluang dalam program tersebut," katanya ketika ditemui media.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim yang turut turun padang ke tapak program berkenaan tidak melepaskan peluang membantu para sukarelawan menukar minyak hitam motosikal.
"Program seumpama ini amat bermanfaat terutama kepada mereka yang baru sahaja ditimpa musibah banjir.
"Diharapkan semoga adanya program ini dapat meringankan bebanan para penduduk memandangkan motosikal merupakan salah satu pengangkutan utama bagi penduduk di kedua-dua buah kampung ini,” tambah beliau lagi.
Sementara itu, rata-rata penduduk kampung yang ditemui mengucapkan ribuan terima kasih kepada ADUN Air Putih dan pihak urusetia kerana memberi peluang kepada penduduk di Kampung Air Putih dan Teladas menukar minyak hitam motosikal secara percuma.
09 Dec 20
457
Kerajaan Bantu Nelayan Miliki Alat Moden
SETIU, 9 Disember – Kerajaan Terengganu terus komited memastikan semua golongan nelayan di negeri ini dilengkapi dengan peralatan moden mampu milik.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata peralatan moden seperti ‘Global Positioning System’ (GPS) dan alat pencari ikan (fish finder) sudah menjadi keperluan asas yang wajib dimiliki para nelayan.
"Kita perlu berpijak di bumi nyata dan menyedari bahawa kos menyediakan sebuah kapal menangkap ikan berteknologi moden lengkap dengan kemudahan memproses ikan memerlukan belanja yang sangat besar.
"Sekarang kami bekerja untuk mempastikan agar semua nelayan dilengkapi dengan peralatan moden mampu milik seperti GPS dan fishfinder walau mereka hanya kelaut dengan sampan enjin sangkut," ujarnya dalam satu kenyataan, pagi ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat beberapa syarikat telah datang mengemukan cadangan untuk membina bot nelayan berteknologi moden.
"Kita sangat mengalu-alukan dan mereka perlu melalui prosedur yang sepatutnya. Fokus kami sekarang ialah kepada lebih 6,000 orang nelayan berdaftar di Terengganu agar isu-isu serta permasalahan yang berlegar seputar kehidupan mereka dapat ditangani secara berperingkat.
"Mendongak dan mengimpikan untuk mencapai bintang di langit tak sekali-kali melupakan kita kepada rumput di bumi," tambahnya lagi.
09 Dec 20
1190