lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Polis Lancar Ops Lampu Isyarat Merah
Polis Lancar Ops Lampu Isyarat Merah
KUALA LUMPUR, 16 Disember  - Polis Diraja Malaysia melaksanakan Ops Lampu Isyarat Merah di seluruh negara mulai semalam. Ia susulan ramai pengguna jalan raya didapati tidak mematuhi peraturan lalu lintas terutamanya tidak memberhentikan kenderaan di lampu isyarat merah. Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, operasi sehingga 31 Disember itu bertujuan mengesan mereka yang melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat merah, terutamanya dalam kalangan penunggang motosikal, termasuk penghantar makanan atau barangan serta pemandu kenderaan lain. "Tindakan saman serta merta akan diambil atau direkodkan butiran kenderaan terlibat bagi tindakan susulan. "Kami memandang serius sikap dan trend pemanduan ini yang boleh menyebabkan kemalangan serta menimbulkan kegusaran kepada masyarakat," katanya dalam kenyataan semalam. Beliau berkata statistik penguatkuasaan yang melibatkan kesalahan melanggar lampu isyarat merah pada tahun lepas merekodkan 69,267 saman, dengan motosikal mencatatkan kesalahan tertinggi iaitu 32,657 diikuti kereta (29,873), lori (2,808) dan 3,929 lain-lain kenderaan. Bagi tempoh sejak Januari hingga Nov pula 52,170 saman dikeluarkan dengan kenderaan motosikal mencatatkan saman tertinggi iaitu 26,764 diikuti kereta (20,751), lori (2,208) dan 2,447 lain-lain kenderaan. Azisman berkata mana-mana individu yang melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat merah boleh diambil tindakan di bawah Kaedah 17 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan. - BERNAMA  
16 Dec 20
2861
Peruntukan RM250 Ribu ADUN UMNO, Kukuhkan Muafakat Nasional
Peruntukan RM250 Ribu ADUN UMNO, Kukuhkan Muafakat Nasional
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 16 Disember – Peruntukan sebanyak RM250 ribu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO adalah bukti Muafakat Nasional di Terengganu terus diperkukuh. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, perkara tersebut telah diluluskan dalam Persidangan DUN (Bajet 2021) pada 25 November yang lalu. “Untuk menggambarkan Muafakat Nasional, dalam Bajet 2021 kita telah meluluskan RM250 ribu kepada ADUN Bukan Kerajaan. Ini satu komitmen yang sangat tinggi daripada kerajaan sebenarnya,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam lintas langsung Bicara Khas Pasca Pembentangan Belanjawan Terengganu 2021 di Manis FM semalam. Menurutnya, penglibatan ADUN dalam Sidang DUN sangat baik dan persidangan berjalan dengan lancar serta berjaya mewujudkan suasana demokrasi dalam persidangan bajet 2021. “Sebenarnya ini kali pertama saya memberi peluang yang lebih ramai di kalangan ADUN Bukan Kerajaan yang mana tujuh orang daripada bukan ADUN dan lima orang daripada pihak kerajaan. “Ini nak menggambarkan suasana demokrasi yang saya sebut iaitu suasana Muafakat Nasional,” ujarnya.
16 Dec 20
1516
Hasrat Nelayan Miliki Tanah Akhirnya Tertunai
Hasrat Nelayan Miliki Tanah Akhirnya Tertunai
KEMAMAN, 16 Disember – “Umur sudah mencecah 66 tahun, saya yang tidak pernah dapat tanah, tetapi setelah tunggu lebih 20 tahun, alhamdullilah Kerajaan Negeri telah realisasikan hasrat ini,” luah seorang nelayan, Abd Ghani Ismail, setelah menerima Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Dewan Sivik, Kemasik, Kemaman, pagi tadi. Abd Ghani atau lebih mesra disapa Pok Ya, berkata sangat menghargai usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili dan kerajaan Terengganu atas pemberian hak milik tanah tersebut. “Sekarang saya tinggal di Kampung Baru Kiri, insya-Allah harapan supaya dimurahkan rezeki bagi mendirikan rumah ini memandangkan saya seorang nelayan, tapi sekali lagi saya nak berterima kasih kepada ADUN Kemasik dan Majlis Daerah Kemaman,” katanya. Sementara itu, seorang lagi penerima dari Kampung Baru Kemasik, Suriyani Abdullah, 43, yang mewakili suaminya, Mat Zawan Muhammad, mengakui gembira dan tidak percaya kerana mendapat hak milik tanah sendiri. “Inilah satu tanah pertama yang pernah dapat, saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan Terengganu. “Selama ini pun tiada rumah tetap, tapi dengan tanah ini akhirnya dapat dirikan rumah sendiri. Hasil manifesto ini boleh dikatakan sebagai jadi sungguh,” ujar Suriyani yang juga ibu kepada empat orang anak. Sementara itu, Saiful Azmi berkata, penghargaan diberikan kepada Pegawai Daerah dan seluruh kakitangan Pejabat Daerah atas usaha dalam memastikan hasrat kerajaan disempurnakan secepat mungkin. “Kerajaan negeri telah menjanjikan 20 manifesto, sehingga sekarang sebahagian daripada 18 manifesto telah dilaksanakan atau sedang berjalan, usaha RTB ini adalah bukti proses merealisasikan sedang diteruskan. “Bagi DUN Kemasik terdapat tujuh RTB bagi tapak kediaman, dan hari ini adalah RTB keenam yang dapat disempurnakan. Harapan supaya baki satu lagi akan dapat direalisaiskan pada suku pertama tahun hadapan," katanya ketika ditemubual pemberita.  
16 Dec 20
402
ExxonMobil Serah Sumbangan Kepada JPBN
ExxonMobil Serah Sumbangan Kepada JPBN
KUALA TERENGGANU, 16 Disember-ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc. (ExxonMobil) terus menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya dengan menyerahkan sumbangan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN). Majlis penyerahan sumbangan berupa bantuan kit kesihatan mengandungi facemask dan hand sanitizer itu telah berlangsung di Wisma Darul Iman hari ini. Pada majlis itu, ExxonMobil yang diwakili Pengurus Besar Hal Ehwal Awam Dan Kerajaan, Sukiman Mohamed telah menyerahkan sumbangan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat sebelum disampaikan kepada wakil Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) iaitu Timbalan Pengarah (Perubatan) JKNT, Dr Saifur Rahman. Hanafiah berkata, bagi pihak kerajaan negeri beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada ExxonMobil yang sentiasa menunaikan CSR termasuk ketika COVID-19 dan musim tengkujuh melanda negeri ini. “Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada pihak ExxonMobil dan diharapkan syarikat ini akan terus berkembang dengan maju lagi agar lebih ramai yang dapat manfaat,” ujarnya.  
16 Dec 20
145
Bantuan Banjir RM500 Disalur Sebelum 15 Januari
Bantuan Banjir RM500 Disalur Sebelum 15 Januari
KUALA TERENGGANU, 16 Disember - Kerajaan negeri memberi jaminan bantuan kecemasan sekali bayaran berjumlah RM500 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas berikutan bencana banjir baru-baru ini akan dibuat sebelum 15 Januari depan. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat berkata, bayaran itu akan diberikan kepada mangsa yang berdaftar dan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS). Hanafiah berkata, kerajaan negeri melalui Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang diketuai Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman kini dalam proses akhir untuk mengemaskini data mangsa banjir yang terkesan. "Jumlah keseluruhan peruntukan kerajaan negeri untuk bantuan kecemasan itu bergantung kepada data yang kini sedang dikemaskini. "Saya sudah maklum kepada semua pegawai daerah supaya sebelum berakhir 30 Disember ini nama-nama kita akan angkat dan pembayaran boleh dibuat sebelum 15 Januari agar mangsa banjir dapat menerima bantuan disaat mereka benar-benar memerlukan,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Sumbangan ExxonMobil di Wisma Darul Iman, hari ini. Dalam pada itu, Hanafiah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang meluluskan bantuan RM500 kepada mangsa banjir. “Sementara itu mangsa banjir lumpur di Kemaman pula akan menerima bantuan kecemasan sekali bayaran daripada tabung dana khas berjumlah RM1,000 satu keluarga,” ujarnya.  
16 Dec 20
2571
Hujan Lebat Dijangka Landa Terengganu Esok
Hujan Lebat Dijangka Landa Terengganu Esok
KUALA TERENGGANU, 15 Disember - Hujan lebat diramal berlaku di beberapa kawasan di Malaysia termasuk Terengganu mulai esok. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan berkata, amaran cuaca waspada itu dijangka berlarutan sehingga Jumaat ini. Amaran sama turut dikeluarkan kepada negeri Kelantan dan Sabah. Hujan lebat yang diramal di Sabah dijangka berlaku di Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat bermula Jumaat sehingga Sabtu  
15 Dec 20
2570
HOERBIGER Sumbang RM106,000 Kepada Mangsa Banjir
HOERBIGER Sumbang RM106,000 Kepada Mangsa Banjir
KEMAMAN, 15 Disember - HOERBIGER-KT Malaysia memberi sumbangan sebanyak RM106,000 kepada Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Terengganu. Usaha itu diambil oleh HOERBIGER setelah melihat beberapa kawasan terutamanya di Kemaman terjejas teruk akibat banjir. Sumbangan tersebut digunakan untuk pembelian makanan dan keperluan asas yang akan diedarkan kepada 1,000 keluarga terjejas di Kemaman, Marang dan Dungun. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat yang mewakili kerajaan negeri menghargai jasa pihak HOERBIGER dan YFBM atas usaha terbabit. "Ini menandakan bahawa seluruh masyarakat yang berada di negara kita tanpa mengira bangsa dan agama mengambil cakna kesengsaraan yang dialami oleh mangsa-mangsa banjir ini. "Semoga HOERBIGER dan YFBM terus maju dalam bidang yang diceburi masing-masing seterusnya dapat melakukan kerja amal dalam membantu mereka yang memerlukan pertolongan," ujarnya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis tersebut di Dewan Sivik Air Putih, semalam. Dalam majlis itu, Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang dan Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak turut menerima sumbangan itu mewakili mangsa-mangsa banjir di kawasan masing-masing. Turut bersama dalam majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab. Razak Ibrahim, Pegawai Daerah Kemaman, Mohd Sophian Abu Bakar serta ketua-ketua jabatan. Untuk makluman, HOERBIGER aktif di seluruh dunia dalam sektor tenaga, industri proses, industri automotif, sektor kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan keselamatan dan industri elektrik. Produk dan perkhidmatan mereka digunakan dalam pemampat timbal balik, unit kawalan aliran gas, transmisi kenderaan, penggabung berputar, perlindungan letupan, enjin berkuasakan gas dan hidraulik kereta.        
15 Dec 20
501
KTS Perkenal Rawatan Kesihatan Di Rumah Serendah RM30
KTS Perkenal Rawatan Kesihatan Di Rumah Serendah RM30
KUALA TERENGGANU, 14 Disember - Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTSH) terus meluaskan rangkaian perkhidmatannya apabila menawarkan servis penjagaan kesihatan terus ke rumah (KTSH Homecare) pada harga serendah RM30. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kelebihan utama KTSH Homecare adalah perkhidmatan rawatannya dilakukan secara menyeluruh dan mengutamakan kualiti. “Dalam erti kata lain, apa yang ditawarkan di KTSH, juga boleh dilaksanakan di rumah, antaranya konsultasi pakar, fisioterapi, farmasi, dietetik dan nutrisi, serta perkhidmatan ambulans. “Juga ada perkhidmatan lain seperti penjagaan sebelum dan selepas bersalin, penjagaan Orang Kurang Upaya, pesakit terlantar, warga emas, rawatan selepas pembedahan dan sewaan alatan bantuan,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran ‘KTSH Homecare’  di ruang legar KTSH di sini hari ini. Hadir sama, Pengurus Besar KTSH, Salina Long dan Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin. Menurut Dr Alias, seramai 10 jururawat terlatih dan beberapa pegawai perubatan serta doktor pakar sedia berkhidmat sekiranya mana-mana pesakit yang tinggal di kawasan Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang memerlukan rawatan. “Harga rawatan yang dikenakan sangat berpatutan serendah RM30 atau bergantung kepada jenis penyakit dan tempoh perkhidmatan yang dikendalikan. "Apa yang diperkenalkan bermula akhir tahun lalu itu, amat bersesuaian dengan perubahan kehidupan kepada norma baru kerana kebanyakan masyarakat hari ini, tidak digalakkan berada di kawasan berisiko. "Berdasarkan rekod sehingga November lalu, seramai 700 individu yang menghidapi pelbagai penyakit telah menerima perkhidmatan KTSH Homecare,” katanya. Untuk rekod, KTSH merupakan anak syarikat kerajaan negeri di bahagian penjagaan kesihatan TDM Berhad dan ia di bawah kelolaan Kumpulan Medic Iman (KMI Healthcare)  
14 Dec 20
4000
Khidmat Malaysia Setiu Bantu Mangsa Pasca Banjir
Khidmat Malaysia Setiu Bantu Mangsa Pasca Banjir
SETIU, 14 Disember - Pengurusan Kecemasan Bencana Malaysia atau Khidmat Malaysia kawasan Setiu hulur bantuan pasca banjir kepada mangsa yang terjejas. Pengerusinya, Mohd Nor Hamid berkata kerja-kerja gotong-royong atau pasca banjir ini adalah sebahagian tanggungjawab kami dalam menjayakan kerja kebajikan yang telah diamalkan sebelum ini. "Hari ini kita turun ke pusat tahfiz menjalankan kerja-kerja seperti mesin rumput, membersih longkang dan sebahagian kawasan yang terlibat dengan banjir baru-baru ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI)baru-baru ini. Pusat Tahfiz Al-Quran Baitulrahmat baru-baru ini turut ditenggelami banjir lebih dua meter mengakibatkan tingkat bawah tenggelam 100 peratus. Bentuk geografi muka bumi di kawasan ini yang mengakibatkan saban tahun terlibat banjir menjadikan penduduk di sini lebih bersedia apabila tiba musim  tengkujuh.
14 Dec 20
313
Kaum Wanita Diseru Kuasai Silat
Kaum Wanita Diseru Kuasai Silat
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 14 Disember - Golongan wanita diseru supaya menguasai ilmu persilatan bagi mempertahankan diri daripada berhadapan dengan situasi yang membahayakan keselamatan diri. Yang Dipertua Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, langkah itu juga mampu menangkis tanggapan bahawa wanita adalah golongan yang lemah dan mudah diambil kesempatan. "Berita ragut, rogol dan bunuh sering kali terjadi kepada kaum hawa, mereka dijadikan sasaran kerana dianggap lemah dan mudah diambil kesempatan. "Justeru, kita lihat seni silat boleh mempertahankan diri dan keluarga termasuk di kalangan wanita, golongan wanita pada hari ini mesti menjadikan dunia seni silat ini sebahagian rutin kehidupan mereka," jelasnya. Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kenaikkan Bengkung Pusaka Gayong Peringkat Negeri 2020 Zon1 di Madrasah Darul Iman, Bukit Payung baru-baru ini. Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati orang ramai agar tidak menggunakan seni warisan melayu itu hanya untuk bermegah-megah dan mencari lawan. “Tetapi gunakanlah ia untuk mempertahankan diri dalam keadaan suasana masyarakat sekarang ini. "Saya juga berharap seni mempertahankan diri itu menjadi satu perkara yang penting dalam kehidupan anak-anak muda agar mereka tidak menghabiskan masa dengan perkara yang tidak berfaedah," tambah beliau.
14 Dec 20
1006