Artikel "Semasa" Terkini
Nilai RM100, Tetapi Cukup Bermakna Buat Nelayan
MARANG, 21 Disember - Walaupun nilaian barangan keperluan dapur hanya RM100 dan diagihkan kepada golongan nelayan yang terjejas di daerah ini, ianya cukup bermakna kerana sekurang-kurang dapat meringgankan beban perbelanjaan untuk bulan berkenaan
Barangan itu diagihkan Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Musim Tengkujuh di Dewan Tok Guru, Rusila, kelmarin.
Dalam majlis iru seramai 250 nelayan di daerah Marang menerima bantuan berbentuk hamper bernilai RM100 setiap seorang.
Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusof berkata bantuan seumpama itu sangat diperlukan golongan nelayan kerana difahamkan golongan itu tidak dapat keluar mencari rezeki hampir sebulan, hanya mengharap duit simpanan untuk mebeli barangan dapur.
"Walaubagaimanapun, pihak Parlimen Marang, khususnya ‘Tok Guru’ akan sentiasa memantau keadaan nelayan. Sekiranya mereka tidak dapat pergi ke laut kita akan terus membantu mereka-mereka yang daif. Kita agih bantuan ini kepada mereka-mereka yang layak.
"Pun begitu tambahnya lagi, kadang-kadang ada juga nelayan yang tuhan beri rezeki dia lebih. Mereka ini tidak diberi dan hanya diberi kepada nelayan yang betul-betul memerlukan.
"Kalau nak agih kepada semua. Ini tidak adil, Orang kaya-kaya kita tidak agihlah. Kita agih kepada nelayan yang miskin. Yang memang keadaannya amat memerlukan bantuan,"katanya.,
Menurutnya, oleh itu, dia sebagai pegawai parlimen Marang mencari jalan bersama kakitangan saya bagaimana ingin memberi bantuan ini. Jadi. Hari ini kita berkumpul. Dapat peserta seramai 250 orang,
"Dan nilaian kita agih bantuan kepada setiap peserta ini dapat bertahan selama sebulan. Sekiranya cuaca baik akan datang. Maka mereka boleh pergi ke laut," ujarnya.
Menurutnya lagi, pihaknya juga akan adakan lagi bantuan sebegini dari masa ke masa bergantung kepada keadaan semasa. Setakat ini, bantuan diberikan untuk nelayan di peringkat DUN Rhu Rendang dahulu dan berkemungkinan akan diadakan juga untuk DUN Pengkalan Berangan.
Untuk makluman, penduduk DUN Bukit Payung dan DUN Alur Limbat tidak terlibat dengan kegiatan-kegiatan menangkap ikan (nelayan). Namun, pihaknya akan meneliti juga pengusaha dalam bidang pertanian yang terkesan dengan musim tengkujuh jika ada.
20 Dec 20
103
Masalah Banjir Teluk Kalong Diajukan Ke Kerajaan Pusat
KEMAMAN, 20 Disember – Masalah banjir di Teluk Kalong terutamanya di kawasan Rumah Mampu Milik (RMM) akan diusulkan kepada kerajaan pusat bagi tindakan lanjut.
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, isu tersebut dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat, hasil lawatan dan pemantauan keadaan serta mangsa banjir di DUN Kijal.
“Isu yang melibatkan lebih 2,000 penghuni, perlu dibawa ke peringkat pusat berkenaan takungan air atau saliran yang tidak mampu menampung aliran air keluar yang banyak, menyebabkan limpahan di tali air berhampiran kawasan perumahan terbabit.
“Saya telah bersetuju dengan ADUN Chukai untuk kita susuli perkara ini kepada menteri berkenaan urusan kerja raya bagi melihat tindakan yang boleh diambil.
“Insya-Allah, saya akan membawa usul ini pada hari rabu depan dalam mesyuarat kabinet,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas lawatan pengagihan bantuan kepada mangsa banjir di Pengkalan Ranggon, Kertih, malam semalam.
Tambah Dr Mohd Khairuddin, anggaran peruntukan RM1.6 juta diperlukan dan beliau sebagai menteri mewakili negeri Terengganu akan menunaikan tanggungjawab yang diberi untuk menjaga negeri.
Sementara itu, beliau turut menasihati rakyat agar berhati-hati dan mengikut arahan yang disampaikan oleh pemimpin negeri seperti dan parlimen bagi memastikan keselamatan nyawa serta harta benda.
“Pihak kerajaan Perikatan Nasional juga sentiasa prihatin terhadap situasi yang berlaku dan akan memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang terkesan tanpa gagal,” ujarnya.
19 Dec 20
2502
Kerajaan Pusat Dan Negeri Berkerjasama Hadapi Musibah Banjir
KEMAMAN, 20 Disember – Barisan kepimpinan negeri daripada peringkat pusat sehingga ke Dewan Undangan Negeri (DUN) giat berganding bahu dalam memastikan keselamatan dan kebajikan buat mangsa banjir di daerah Kemaman.
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali, berkata, lawatan kerja tersebut diadakan di kawasan terjejas dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sekitar DUN Kijal dan Kemasik.
“Antaranya pihak kami telah melawat salah satu PPS di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Ranggon, buat sementara waktu usaha sama melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam memastikan bantuan keperluan harian disalurkan.
“Kita akan pantau keadaan dari semasa ke semasa tentang keperluan rakyat Terengganu, saya akan pastikan sebarang perkembangan dan inisiatif baharu disampaikan kepada kementerian berkenaan,” katanya ketika ditemubual pemberita, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat dan ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili.
Tambah beliau lagi, jentera penyelamat dan kakitangan yang terdiri daripada pihak NADMA, Polis Diraja Malaysia (PDRM), JKM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta di peringkat negeri, DUN, Parlimen dan Exco sentiasa memberi tumpuan ketika musim banjir ini.
“Ini kerana isu melibatkan keselamatan nyawa dan kerosakan benda tinggi risikonya. Rekod-rekod kita turut menunjukkan bahawa persediaan bagi bencana ini ditahap yang tinggi,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai situasi banjir di Kemaman, beliau berkata, setakat jam 10 malam, seramai 4962 mangsa terkesan terdiri daripada 1199 keluarga dan 24 PPS telah dibuka.
Menemubual seorang mangsa di PPS tersebut, Ibrahim Mohd, 78, menceritakan keadaan rumahnya dipenuhi air sehingga paras betis di Damansara, Kertih pada jam 1 pagi.
Ibrahim yang mendiami rumah bersama seorang anaknya, berkata, dia memang tidak sedar langsung air naik kerana tidur ketika hujan turun pada malam itu.
“Barang pun ada yang sempat naik ada yang tidak, nasib baik anak yang tinggal bersama kejutkan pada awal pagi tadi,” katanya.
19 Dec 20
646
Terengganu Monsoon Surfing Popularkan Marang
Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan kerjasama Kelab Motor Terengganu telah menganjurkan Terengganu Monsoon Surfing 2020 bertempat di Pulau Kekabu, Marang pada 17 hingga 19 Disember 2020.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman berkata program itu merupakan penganjuran pertama kali bersesuaian dengan musim monsoon dengan menampilkan aktiviti luncur air di lokasi Pulau Kekabu, Marang.
“Terengganu Monsoon Surfing 2020 yang dianjurkan oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terenggau dengan diuruskan oleh Kelab Motor Terengganu bertujuan bagi menggalakkan industri pelancongan Negeri Terengganu semasa musim monsoon ini yang menjadikan Terengganu, khususnya Daerah Marang sebagai satu destinasi pilihan bagi pelancongan dalam dan luar negeri.
“Ini juga dapat menepis tanggapan ramai yang mengatakan Terengganu bukanlah sebuah destinasi pelancongan yang sesuai apabila tibanya musim monsoon, malah dengan adanya aktiviti seperti ini dapat menggalakkan lagi orang ramai untuk berkunjung, bukan hanya sebagai peserta malah sebagai tontonan kepada semua,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Terengganu Monsoon Surfing 2020 Kekabu Surf Competition.
Hadir sama, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu Encik Mohd Huzairil Nizam Ibrahim.
Selain itu, beliau berkata, Terengganu Monsoon Surfing 2020 ini melibatkan penyertaan seramai 65 orang dari Terengganu, Pahang, Langkawi dan Johor yang mana ada diantara mereka adalah Atlit Malaysia di peringkat SEA Games dan juga peluncur professional.
“Penganjuran ini juga sentiasa memastikan segala SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara semasa tempoh PKPP dan PKPB ini dipatuhi oleh peserta malah pengunjung yang datang menyaksikan acara ini.
“Melihat kepada penganjuran ini, Pulau Kekabu dilihat sebagai lokasi yang terbaik dan berpotensi untuk penganjuran program sebegini pada masa hadapan dan mampu menjadi acara identiti kepada Daerah Marang, maka Terengganu Monsoon Surfing ini akan dianjurkan lagi pada tahun 2021 dengan skala yang lebih besar. Ujarnya.
Ia bukan sahaja dapat mempromosikan kempen Beautiful Terengganu Malaysia malah, apabila tiba musim monsoon, Terengganu tetap menjadi pilihan destinasi pelancongan.
19 Dec 20
1021
Tetap Berniaga Demi Keperluan Mangsa Banjir
HULU TERENGGANU, 19 Disember - Seorang suri rumah tetap berniaga ikan dan sayur di lokasi banjir bagi membantu penduduk yang terkandas.
Raja Anisah Raja Bongsu, 46, sanggup membuka gerai berhadapan rumahnya walaupun digenangi air hampir paras lutut susulan hujan lebat berterusan sejak Khamis lepas.
Katanya, ini kerana ramai penduduk sukar untuk mendapatkan bekalan makanan akibat bencana itu.
"Hampir 50 kilogram bekalan ikan dibekalkan setiap hari di samping sayur-sayuran dan barangan keperluan lain.
"Saya jual ikan ni sebab nak mudahkan orang kampung dapatkan bekalan ikan segar walaupun mereka terkandas kerana ramai penduduk yang keluar meredah air banjir untuk membeli ikan.
"Ikan yang saya jual ini adalah ikan segar seperti Selar, Kembung, Kerisi dan Selayang yang dibawa dari Kuala Terengganu. Saya menjual ikan dengan harga berpatutan dari RM10 hingga RM17 bergantung kepada jenis ikan,"ujarnya.
Dia yang bermula berniaga di lokasi berkenaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut dibantu tiga anaknya yang berusia 25 hingga 29 tahun.
"Malah, pelanggan gembira dengan tindakan saya kerana memudahkan mereka untuk mendapat bekalan makanan ketika waktu ini," katanya.
19 Dec 20
366
OKU Ziarah OKU, Beri Sokongan Antara Satu Sama Lain
MARANG, 18 Disember - Sebagai memberi sokongan antara satu sama lain, beberapa Orang Kelainan Upaya (OKU) di Kawasan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang telah diziarahi oleh Majlis Perfahaman Pertubuhan OKU Kelantan (MPPOK).
Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, kunjungan tersebut juga bertujuan memberi kata-kata semangat sesama mereka, di dalam kalangan OKU yang berkongsi nasib dan ujian kehidupan yang sama.
"Rata-rata OKU yang diziarahi dan dikunjungi adalah mereka yang sakit terlantar dan tidak dapat menguruskan diri sendiri dengan sempurna sama ada dijaga oleh keluarga atau ibu bapa,"katanya..
"Apa yang menariknya, ayat al-quran dan doa-doa diperdengarkan kepada mereka sepanjang ziarah tersebut, sebagai bait-bait penguat semangat serta pengisian rohani.
"Mewakili PKM, kami akan berusaha mewujudkan satu kumpulan sokongan yang terdiri daripada ibu bapa agar mereka saling mengenali dan menguatkan antara satu sama lain.
"Di samping itu, kita juga berharap program seperti ini dapat memberikan kesedaran kepada orang ramai atau komuniti berkaitan penerimaan OKU dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata sebaik sahaja selesai program menziarahi lima orang OKU di kampung Rusila, Gong Nangka, Sungai Kerak dan Sentul Patah.
Turut hadir adalah Pegawai Khas Hal Ehwal OKU, Pejabat Timbalan Menteri Putrajaya, Mohammad Faizal Che Yusoff, Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman, , Skuad Upaya daripada Lanjah Kebajikan & Kemasyarakatan PAS Pusat, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang dan MPKK kampung masing-masing.
Menurutnya lagi, program seperti ini wajar diteruskan dan dilakukan secara berkala lebih-lebih lagi apabila dapat berkerjasama dengan pihak seperti persatuan OKU atau Skuad Upaya seperti ini.
"Antara yang diziarahi adalah mereka yang berusia antara lapan sehingga 40 tahun," tambahnya lagi.
18 Dec 20
526
Terengganu Lancar Tahun Melawat Kenyir 2021
KUALA TERENGGANU,17 Disember - Bagi melonjakkan sektor pelancongan negeri, Terengganu hari ini mengumumkan 2021 sebagai Tahun Melawat Kenyir (TMK2021).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, inisiatif anjuran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memilih Tasik Kenyir kerana destinasi ekopelancongan tersohor itu mempunyai pelbagai produk yang digemari pengunjung.
“Produk yang boleh diterokai oleh pelancong seperti Santuari Kelah, Kenyir Elephant Conservation Village (KECV), Taman Herba, Taman Orkid, Air Terjun Lasir dan Sungai Saok, Gua Bewah dan Gua Taat, Zon Bebas Tasik Kenyir dan pelbagai lagi.
“TMK2021 yang julung-julung kali diadakan ini akan dimeriahkan lagi dengan pelbagai program menarik sepanjang tahun sekali gus memperkukuhkan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan wajib sekiranya berkunjung ke Terengganu.
“Acara-acara yang dirancang telah memfokuskan pelbagai lapisan masyarakat dan akan menarik lebih ramai peminat sukan lasak kerana ekologi yang terdapat di Tasik Kenyir membuka ruang acara sebegini dilaksanakan,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Ariffin Deraman.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penganjuran TMK2021 juga antara lain untuk merancakkan kembali ekonomi pemain pelancongan yang terbantut dek penangan COVID-19.
“Dengan adanya penganjuran sebegini yang diatur secara berpanjangan dan penekanan kepada pelancongan komuniti setempat (community based tourism).
“Ia juga akan memberi impak positif kepada penggiat pelancongan yang terdiri daripada pengusaha bot laju, pengusaha rumah bot dan pengusaha kedai makan dan juga komuniti setempat,” tambah beliau.
17 Dec 20
2232
Pesakit Perlu Ikut Nasihat Hospital - Kak Zah
MARANG, 17 Disember - Pesakit kronik yang memerlukan rawatan segera perlulah mengikuti nasihat seperti mana yang disarankan oleh pihak hospital atau pakar.
Isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman berkata pesakit perlu mengutamakan kesihatan diri dengan merujuk kepada pihak yang lebih pakar seperti hospital daripada tempat lain.
Menurutnya lagi, ahli keluarga dan masyarakat juga perlu sentiasa memberikan sokongan serta dorongan kepada pesakit yang menghidap sakit kronik seperti barah atau kanser agar emosi dan semangat mereka terus kuat.
Keadaan salah seorang pesakit terlantar yang menghidap masalah saraf
Ucapnya ketika menziarahi lima orang pesakit kronik di kawasan Dewan Undagan Negeri (DUN) Rhu Rendang bersama-sama agensi dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Kampung Rhu Muda, Alur Tuman, serta Kampung Baru Rhu Muda.
Antara jabatan yang hadir adalah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Marang, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM), Tabung Darul Iman (TDI), dan Norlan United.
Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, tujuan ziarah ini bertujuan memberikan bantuan seperti bantuan perubatan, bantuan pembedahan, katil, bantuan am bulanan, sewa rumah dan sebagainya.
To' Puan Seri Tuan Faizah memberikan sedikit sumbangan kepada pesakit kanser
"Mereka yang diziarahi kebanyakannya terdiri daripada mereka yang di luar kemampuan, dan terpaksa menampung kos-kos perubatan yang besar.
"Jabatan ini hadir bagi memberikan bantuan yang selayaknya agar beban mereka dapat dikurangkan di samping menunjukkan kecaknaan pihak kerajaan kepada masyarakat." katanya.
Isteri Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang itu juga turut memberikan sedikit sumbangan kewangan bersama-sama keperluan asas yang diserahkan daripada pihak Norlan United.
17 Dec 20
117
UniSZA Tubuh Persatuan Perhubungan Awam Pertama Di Pantai Timur
KUALA TERENGGANU, 19 Disember – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) merupakan universiti pertama di Pantai Timur yang berjaya menubuhkan sebuah persatuan perhubungan awam pelajar, 'Institute of Public Relations Malaysia Student Association' (IPRMSA) bertujuan untuk menyatukan para mahasiswa dalam bidang perhubungan awam (PR).
Kejayaan itu dicapai pada Oktober lalu,dengan majlis pelancaran dan forum atas talian bersama sesi perkongsian tentang dunia PR dan aktiviti-aktiviti berkenaan Institute of Public Relations Malaysia (IPRM).
Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UniSZA, Professor Madya Dr. Mohd Nazri Latiff Azmi, berkata, bersama cogan kata “penglibatan tanpa batasan”, IPRMSA akan menjadi sebuah platform yang berpotensi bagi meningkatkan pengetahuan dan keupayaan dalam perhubungan awam serta meluaskan lagi kenalan.
Mengulas berkenaan kerjasama antara IPRSMA Unisza, Professor Dr. Kiranjit Kaur, berkata, kolaborasi ini bukan sahaja menyediakan satu wadah untuk pembangunan diri malah menyumbang kepada kemajuan dan transformasi dalam industri perhubungan awam.
“Bahkan juga, ia memberi pendedahan kepada perkembangan terkini dalam bidang pekerjaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Muhammad Nazri Abu Hassan, presiden IPRMSA UniSZA, mengulas, “Kami akan memanfaatkan kelab ini sebaik mungkin bukan sahaja bagi UniSZA tetapi keseluruhan komuniti di Terengganu,” ulasnya.
Sementara itu, Penasihat IPRSMA UniSZA, Dr. Siti Zanariah Haji Yusoff, mengulas perancangan UniSZA dalam menawarkan program baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Awam dengan Media Kontemporari.
“Dengan penubuhan persatuan ini juga diharap agar menjadi batu loncatan bagi menunjukkan kesediaan terhadap kursus terbaharu yang dalam perancangan untuk ditawarkan,” katanya.
Untuk rekod, acara berkenaan merasmikan penubuhan 'IPRMSA UniSZA Chapter' pertama di Pantai Timur, menjadikan persatuan ke-11 di Malaysia yang menyertainya bersama universiti berprestij lain seperti Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), UiTM dan banyak lagi.
Diterjemahkan oleh: Nur Farah Amirah Hamzah
17 Dec 20
3187
Pastikan Bajet Sampai Ke Sasaran
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 16 Disember – Belanjawan Terengganu 2021 yang diluluskan sebulat suara dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 23 hingga 25 November lalu haruslah sampai kepada sasaran betul.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, bantuan daripada pihak kerajaan haruslah terus sampai kepada rakyat tanpa ada unsur penyelewengan.
“Pihak kerajaan menekankan berkenaan soal pembangunan insan para pegawai kerajaan agar melakukan kerja dengan amanah dan cepat, supaya pengurusan kita mungkin meluluskan dengan mudah untuk sesuatu peruntukan belanjawan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam lintas langsung Bicara Khas Pasca Pembentangan Belanjawan Terengganu 2021 di Manis FM, semalam.
Kata Yahaya, beliau menekankan kepada pihak pelaksana yang dilantik di peringkat negeri agar komited dalam menjaga kebajikan rakyat negeri Terengganu.
“Saya nak tekankan di sini bagaimana pihak pelaksana melaksanakan pengurusan bajet itu. Ini sangat penting di kalangan pegawai-pegawai kerajaan.
“Kalau kita di peringkat pelaksana lemah dan tidak ada pemantauan serta tidak ada satu mekanisma yang baik kadang-kadang apa yang kita luluskan itu tidak sampai kepada rakyat,” jelasnya.
Justeru itu, beliau berharap agar bantuan daripada pihak kerajaan biar sampai pada rakyat.
16 Dec 20
221