Artikel "Semasa" Terkini
Nisa’ Dekati Anak Muda Melalui Al-Quran
KUALA TERENGGANU, 27 Disember – Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Nisa’ Kawasan Kuala Terengganu berusaha mendekati golongan muda melalui aktiviti berasaskan pengisian al-Quran.
Ketua Unit Pembangunan Insan (UPI) Nisa’ Kawasan Kuala Terengganu (Nisa’ KT), Wan Nornuraini Wan Mohd Hanafi, berkata, program berkenaan Nisa’ Qurantime (NQT) akan diadakan secara berkala iaitu sekali dalam seminggu.
Katanya, NQT merupakan satu program yang mengajak anak remaja untuk lebih dekat kepada al-Quran di samping bertujuan untuk mengadakan sesi perkongsian ilmu dalam perkumpulanan yang kecil.
Wan Nornuraini Wan Mohd Hanafi
“Objektif utama penganjuran adalah untuk mendekatkan anak muda kepada NGO Nisa’ sekaligus memperkenalkan NGO ini dengan membawa ‘jenama’ variasi al-Quran supaya menjadi lebih dekat kepada masyarakat.
“Alhamdulillah, program hari ini (semalam) walaupun pertama kali penganjuran, kita berjaya melibatkan lebih 20 orang peserta dan kami juga menerima reaksi yang positif daripada peserta,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di TD 1303, kelmarin.
Nornuraini turut menyeru anak-anak muda terutamanya wanita di sekitar Kuala Terengganu untuk menyertai program-program anjuran Nisa’ KT dengan mengikuti sebarang hebahan di halaman rasmi Facebook Nisa’ KT.
Salah seorang peserta program NQT, Siti Jamilah Mohamad melahirkan rasa gembira atas penganjuran program tersebut dan berharap agar ianya berterusan pada masa-masa yang akan datang.
Siti Jamilah Mohamad
Dalam masa yang sama, beliau mengajak semua wanita supaya jangan takut dan segan untuk terlibat dalam program sedemikian.
“Saya pada awalnya takut juga nak sertai, tetapi bila sampai di sini, rupanya aktivitinya sangat menyeronokkan dan tidak membosankan di samping dapat menemui rakan-rakan baharu.
“Saya juga mencadangkan kepada pihak Nisa’ untuk lebih menyebar-luaskan program ini dan mungkin boleh buat di tempat-tempat yang terbuka supaya penyertaan itu lebih meluas,” katanya.
27 Dec 20
288
Bantuan Persekolahan, Tuisyen Rakyat Dengan Norma Baharu
KEMAMAN, 27 Disember - Kerajaan negeri sedang menggerakkan dua inisiatif pendidikan iaitu bantuan permulaan persekolahan tahun 2021 dan program Tuisyen Rakyat sebagai langkah memperkasakan pelajar, prestasi pelajaran serta pembelajaran negeri dalam norma baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, penularan wabak COVID-19 telah menyebabkan inisiatif bantuan dalam bentuk uniform dan barangan sekolah terpaksa ditangguhkan.
Katanya, pemberian berbentuk baucer RM100 secara asas sama seperti tahun sebelumnya akan disalurkan kepada pendaftar baharu tahun satu sehingga ke tingkatan enam, meliputi peringkat rendah dan menengah daripada golongan B40 sahaja.
“Keputusan telah diambil kira daripada situasi keperluan pelajar dan kekangan kewangan ibu bapa. Hasilnya, kerajaan telah meluluskan hampir RM7 juta dan jangkaan penyaluran bantuan ini pada Januari tahun hadapan.
“Data sedang dikemaskini daripada maklumat pemberian tahun lepas bersama kemasukan tahun satu tahun depan, pembersihan nama dibuat bagi menyingkir nama yang telah meninggal dunia dan sebagainya.
“Tahun lepas mencatatkan kira-kira 70,000 penerima, dan maksimum satu rumah adalah dua orang bagi tahun ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Khidmat Setia 2019 di Universiti Kolej TATI, baru-baru ini.
Mengulas lanjut berkenaan program Tuisyen Rakyat, beliau berkata, isu prestasi para pelajar yang terjejas dipandang serius kesan penularan wabak dan penutupan sekolah terutamanya mereka yang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) dan seumpamanya.
“Hasilnya kita telah luluskan di setiap 32 DUN untuk melaksanakan Tuisyen Rakyat sebagai program lonjatan akhir menghadapi ujian tersebut.
“Setiap DUN akan menerima RM10,000 bagi pelaksanaan program ini khususnya di zon luar bandar yang menghadapi isu liputan talian dan gajet. Oleh itu, premis awam seperti dewan balai raya dan masjid digunakan.
“Inisiatif ini hasil kepekaan pentadbiran dalam mengekalkan kecermelangan akademik di Terengganu dengan harapan penganjuran ini meliputi segala peringkat khususnya di luar bandar,” katanya lagi.
Tambah Satiful lagi, program Lonjakan Akhir SPM sebelum akhir bulan Mac akan dijalankan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN)
“Pelaksanaan menggunakan guru pakar daripada JPN di balai awam walaupun dalam jumlah pelajar sedikit kerana pematuhan terhadap larangan Kementerian yang telah ditetapkan,” katanya.
26 Dec 20
1957
Teruskan Pembangunan Selaras Dengan Hasrat Kerajaan
KUALA NERUS, 26 Disember - Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) akan menjalani penjenamaan baru kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) selaras dengan hasrat dari kerajaan Persekutuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim berkata, MPKK diminta muhasabah dan berlapang dada menerima penjenamaan baru JPKK 2021 ini untuk terus melaksanakan gerak kerja selari dengan kerajaan dan dalam masa yang sama berusaha meningkatkan imej kerajaan hari ini.
"Marilah kita semua berkerjasama bagi membangunkan negeri Terengganu dengan memainkan peranan masing-masing dengan sebaik-baiknya dari pimpinan kerajaan sehinggalah kepada rakyat.
"Kita mesti mengorak usaha ini dengan keikhlasan daripada lubuk hati. Saya tidak akan mampu mengalas tanggungjawab ini jika tiada bantuan daripada pihak MPKK.
"Jadi kita perlu terus berdaya saing memberi komitmen dalam mentadbir urusan rakyat di kampung masing-masing tanpa pilih kasih. MPKK yang sebelum ini perlu terus menerus berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira latar belakang parti politik," katanya.
Beliau berkata demikian di dalam Majlis Jasa Mu Dikenang MPKK Peringkat DUN Tepoh di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, semalam.
Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah Kuala Nerus,Encik Muhd Azman Shukri bin Ariffin, Dato' Ustaz Haji Ahmad Bukhari, Wakil Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus, Penghulu Mukim Tepoh, Razali bin Ismail dan Wakaf Tembesu Mohd Zamari bin Abu Zih.
Sementara itu dalam ucapan terdahulu, Azman Shukri berkata, sebelum daripada ini MPKK telah berfungsi dengan cukup baik memainkan peranan sebagai mata dan telinga kerajaan dalam menyalurkan maklumat dan memastikan bantuan dapat disalurkan dengan tepat kepada sasaran
26 Dec 20
292
KPKK Rangka Tiga Strategi Untuk Golongan Pekebun Dan Penoreh Terjejas
KUALA NERUS, 24 Disember - Kementerian Perusahaan Peladangan dan Komoditi (KPPK) merangka tiga strategi untuk menjaga kebajikan golongan pekebun kecil dan penoreh getah yang terjejas pendapatan susulan harga getah yang rendah.
Setiausaha Politik Menteri KPPK, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin, berkata kementeriannya akan mempergiat hebahan dan kesedaran kepada pekebun kecil agar memohon Insentif Pengeluaran Getah (IPG).
“Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2020, sebanyak RM149 juta telah dibelanjakan untuk membiayai tuntutan IPG.
"KPPK juga menggalakkan pekebun kecil mengamalkan tanaman integrasi jangka pendek, sederhana dan panjang sebagai pendapatan sampingan,"ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam satu program bersama warga penoreh getah anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tepoh dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus, baru-baru ini.
Dalam program berkenaan, seramai 260 penoreh getah yang terjejas mendapat sumbangan kewangan dan barang keperluan ekoran musim tengkujuh melanda daerah tersebut.
Sementara itu, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dr Khairuddin Aman Razali ketika dihubungi berkata, hebahan ini untuk mewajibkan pekebun kecil menggunakan sistem RRIM Niaga yang akan berfungsi pada 1 Januari 2021 bagi memudahkan penyaluran IPG tanpa proses permohonan manual.
“IPG adalah mekanisme sokongan harga ladang dengan Paras Harga Pengaktifan (PHP) RM2.50 sekilogram getah sekerap atau RM6.10 sekilogram getah Standard Malaysian Rubber (SMR) 20.
“Sehingga kini, sebanyak 20 koperasi terlibat dalam urusniaga getah dan menawarkan harga cup lump pada purata RM0.10 sehingga RM0.20 sekilogram lebih tinggi berbanding pembeli getah lain,” katanya.
24 Dec 20
313
14 Barangan Disenarai SHMMP Krismas
KUALA TERENGGANU, 24 Disember – Sebanyak 14 jenis barangan disenaraikan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sebagai langkah menstabilkan harga barang di pasaran ketika musim perayaan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, penguatkuasaan telah bermula semalam sehingga 31 Disember ini.
“Antara barangan tersenarai seperti ayam (hidup, standard, super), ayam belanda import, telur ayam, daging kambing dan biri-biri import, telur ayam (gred A,B,C), tomato dan Kubis Bulat (import).
“Sebelum pelaksanaan, pihak kementerian sudah mengedar risalah kepada semua peniaga-peniaga sebagai panduan pematuhan, setakat masa ini tiada lagi tindakan dibuat kerana masih ada peniaga yang baru mendapat maklumat berkenaan skim tersebut.
“Justeru, pada peringkat awal ini kami mengharapkan agar para peniaga meletakkan harga-harga barangan dibawah harga maksima dan elak melepasi batasan tersebut,"katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas peringkat Terengganudi Pasaraya PXR, Kuala Nerus, pagi semalam.
Tambah beliau, untuk membezakan harga biasa dengan harga kawalan pengguna perlu melihat dan menyemak pada tanda harga berwarna merah jambu.
Mengulas berkenaan faktor pelaksanaan harga maksimum, Shaharuddin berkata, perbincangan telah diadakan sebelum perlaksanaan bersama para pemborong utama, peladang, penternak bagi memastikan harga barangan munasabah.
“Selain itu, faktor bekalan turut diambil kira dalam penetapan harga dan kita tidak sewenang-wenangnya menetap harga dan mengambil kira tentang peniaga dan pengguna.
“Antara peniaga yang terlibat adalah di sektor pasaraya, pasar basah, kedai runcit dan di peringkat borong juga akan dipantau kerana harga pemborong mempengaruhi harga runcit,"ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa peniaga yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti yang ditetapkan.
"Individu yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000," katanya.
24 Dec 20
373
Tiada Kes Daging Import Haram Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 Disember – Terengganu tidak mencatatkan sebarang kes berkaitan isu daging sejuk beku import haram atau tidak halal berdasarkan pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri.
Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, kementerian sebelum ini telah mengarahkan pemeriksaan di seluruh negeri bagi mengesan lokasi penghantaran produk haram tersebut.
“Ini adalah tindak balas segera selepas menerima berita tentang kegiatan kartel daging di Johor Bharu, baru-baru ini.
“Setakat ini, hasil pemeriksaan berterusan mendapati tiada isu berbangkit berkaitan dagin import, halal dan sebagainya di Terengganu, boleh dikatakan daging import di sini selamat,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Mengulas isu kenaikan harga bawang, Saharuddin berkata, setakat ini tiada aduan diterima dan belum ada tindakan yang perlu diambil berkenaan perkara tersebut.
“Kebiasaannya ramai pihak merujuk kepada kami tentang mengapa berlaku sesuatu peningkatan harga, kemudian penjelasan akan diberikan bersama sebab peningkatan oleh kementerian sendiri.
“Peningkatan harga bukan bermakna item tersebut tiada di pasaran tetapi kuantitinya terbatas.
“Pihak kerajaan telah mengambil tindakan dalam isu bawang sekarang seperti isu bawang kecil dari India, solusi alternatif diambil adalah membekalkan barangan sama daripada negara lain seperti Pakistan, China, Vietnam dan sebagainya,” katanya.
24 Dec 20
6241
KPDNHEP Rampas Barang Berjumlah RM400,000
Oleh: Nur Farah Amirah Hamzah
KUALA TERENGGANU, 24 Disember – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri merekodkan sebanyak RM446,278 hasil nilai rampasan dan RM147,750 nilai kompaun daripada tindakan 569 kes di beberapa daerah sekitar Terengganu bagi tahun 2020.
Pengarah KPDNHEP, Saharuddin Mohd Kia berkata, Kuala Terengganu mencatatkan kes tertinggi iaitu 241 kes diikuti dengan 127 kes di Besut, 108 kes di Kemaman dan kes terendah di Dungun dengan 93 kes.
“Jumlah kes tersebut adalah mengikut statistik pemeriksaan yang merangkumi 49,777 pemeriksaan di seluruh negeri Terengganu pada tahun sama.
"Pecahan daripada jumlah data operasi tersebut melibatkan 22,169 pemeriksaan di Kuala Terengganu, 9,017 di Kemaman, 9,412 di Dungun dan 9,179 di Besut. Kesemua pemeriksaan ini melibatkan 4,007 bilangan premis," katanya ketika ditemubual pemberita.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas peringkat Terengganudi Pasaraya PXR, Bukit Tunggal, Kuala Nerus, semalam.
Tambahnya, 15 kes telah disabit kesalahan dan dikenakan denda berjumlah RM192,300 untuk hukuman denda oleh mahkamah. Kesalahan ini tertakluk di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Pelindungan Pengguna 1999 dan Akta Cap Dagangan 2019.
Sementara itu, Saharuddin turut menasihati para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan dalam memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan melalui aplikasi telefon pintar, EzADU dan whatsapp ke 019-2794317.
"Aduan juga boleh diajukan di Portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, talian telefon di 1800-886-800, e-mel menerusi e-aduan@kpdnhep.gov.my, di media sosial Facebook dan Twitter KPDNHEP Terengganu atau laporkan ke mana-mana pejabat KPDNHEP Negeri Terengganu," katanya lagi.
24 Dec 20
628
Seru Keterlibatan Dalam Aktiviti Kesukarelawanan
KUALA TERENGGANU, 24 Disember – Anak-anak muda diseru untuk melibatkan diri dalam komuniti dan masyarakat melalui aktiviti-aktiviti kesukarelawanan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, anak muda perlu menjadikan diri mereka dekat dengan masyarakat, bukannya hanya meluangkan masa di media sosial semata-mata.
Menurut beliau lagi, partisipasi golongan muda dalam aktiviti kemasyarakatan menjadikan mereka seseorang yang bertanggunggjawab, cakna kepada masyarakat dan sering keterdepan dalam setiap aktiviti.
“Kita kena jadi anak muda yang diingati oleh masyarakat, biar perginya kita akan disebut-sebut oleh masyarakat. Bukannya tidak diendahkan sama ada kita ada atau pun tidak.
“Saya juga mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur atas penganjuran program yang sangat baik ini dan saya puji kesungguhan mereka untuk menghidupkan sukan-sukan sunah Rasulullah SAW iaitu memanah dan dua lagi, berkuda serta berenang.
“Kita boleh jadikan aktiviti-aktiviti ini sebagai salah satu medan dakwah, medan dakwah mestilah dipelbagaikan dan melalui pelbagai platform untuk kita mengajak seramai mungkin manusia berbuat kebaikan,” ujarnya.
Zuraida berkata demikian ketika merasmikan Program Bulan Dakwah 2020: Street Siasah Sihat dan Cantik anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Terengganu dengan kerjasama Kelab Bakti Hawa DUN Ladang (BELLA) di Gelanggang Futsal DUN Ladang, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau turut berpesan supaya golongan beliawanis mengambil peluang untuk turut memanfaatkan Bajet Terengganu 2021 yang diumumkan kerajaan dengan peruntukan dua juta untuk sukan.
Zuraida bagai manapun mengingatkan bahawa aktiviti bersukan, perlu dijalankan dalam keadaan yang patuh syariat termasuklah melibatkan pengasingan antara jantina di samping soal pakaian yang patuh syariah.
Wakil BELLA, Tengku Shahidah Tengku Ahmad pula menzahirkan penghargaan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan kepada kelab tersebut untuk menganjurkan aktiviti kepada para beliawanis.
“BELLA merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar, bertujuan untuk menjadi platform anak muda menjalankan aktiviti kebajikan, kesukanan di samping menjalinkan ukhuwah.
“Kita membuka keahlian kepada semua wanita muda dan semua aktiviti kita diasingkan berdasarkan jantina aktiviti, menjadikan wanita lebih bebas di samping dapat menjaga aurat dan pergaulan," katanya.
24 Dec 20
396
Bersih Rumah, 400 Ekor Ayam Untuk Mangsa Banjir
KEMAMAN, 23 Disember - Tidak sekadar membersihkan rumah, 400 ekor ayam turut disumbangkan kepada penduduk di daerah ini.
Inisiatif itu adalah bagi membantu meringankan beban mangsa banjir di kampung Seberang Tayor Hilir dan penduduk kampung sekitar.
Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih, Ab. Razak Ibrahim berkata, beliau teruja menerima kehadiran rombongan daripada PAS kawasan Marang dalam operasi banjir tersebut.
“Terima kasih diucapkan kepada Ketua Rombongan, Sulaiman Sulong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan dan Pengerusi Jawatan Kuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital yang turut menyumbang 400 ekor ayam, " katanya.
Katanya melalui satu kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi ‘Facebook’ miliknya.
Sementara itu, Ketua Operasi Pembersihan, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin ketika dihubungi berkata, dengan sumbangan tenaga yang diberikan diharap dapat meringankan beban mereka yang memerlukan.
“Operasi pembersihan telah melibatkan beberapa buah rumah, surau, masjid dan juga balairaya,” tambahnya lagi.
Rombongan dari Marang telah disertai oleh 170 orang yang terdiri daripada PAS Kawasan Marang, Khidmat Malaysia Marang, Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang, Jabatan Amal Marang, Muslimat, Ameerah, PASAK dan ARC Marang.
Turut hadir adalah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang membantu menangkap seekor ular yang bersarang di dalam rumah seorang mangsa banjir.
23 Dec 20
594
TDM, EY Teroka Kerjasama Lahir Pakar Akaun
KUALA TERENGGANU, 23 Disember - TDM Berhad hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama organisasi perkhidmatan profesional Ernst & Young PLT bagi melahirkan tenaga kerja perakaunan dan kewangan mahir.
Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin memaklumkan, persefahaman tersebut terdiri daripada dua program iaitu Program Pelatih untuk Kelayakan Perakaunan Profesional dan Program Peminjaman Kakitangan.
"Kolaborasi ini akan berlangsung bagi tempoh dua tahun pertama ini dan kita akan melihat keperluan untuk meneruskannya pada masa akan datang.
"Program ini akan bermula seawal Januari dengan tiga calon bagi sesi pertama melibatkan kedua-dua program," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas majlis menandatangani MoU tersebut yang disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Mohd Zahari Md. Azahar di Wisma Darul Iman, hari ini.
Jelasnya, kerjasama yang diusahakan itu merupakan peluang berharga bagi pihak syarikat untuk mengetengahkan bakat perakaunan supaya dapat menerima latihan yang relevan dan menimba pengalaman kerja dengan salah satu firma perakaunan terkemuka negara.
"Calon Program Pelatih untuk Kelayakan Perakaunan Profesional akan menjalani latihan selama dua tahun bersama EY sebagai pelatih dan akan diambil bekerja tertakluk pada terma dan syarat kontrak pekerjaan EY.
"Manakala kakitangan TDM yang mengambil bahagian dalam Program Peminjaman Kakitangan akan bekerja bersama EY selama enam bulan untuk memperoleh pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pengkhususan perkerjaan masing-masing," katanya.
Tambahnya lagi, inisiatif berkenaan juga merupakan misi untuk mendorong pembangunan modal insan di negeri Terengganu dan komitmen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat untuk memperkasakan bukan sahaja tenaga kerja perakaunan profesional di TDM tetapi juga
graduan perakaunan yang berkelayakan
"Kita berusaha menyediakan platfom untuk merealisasikan potensi mereka sepenuhnya dan terus maju dalam kerjaya profesional masing-masing.
Kami juga ingin memastikan pekerja kami mengikuti perkembangan kemahiran dan kepakaran yang berkaitan untuk menyokong pertumbuhan syarikat secara tidak langsung," katanya.
23 Dec 20
597