lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Cendol 1957 Raih Jualan RM1,000 Sehari
Cendol 1957 Raih Jualan RM1,000 Sehari
MARANG, 30 Disember - Hanya dibuka secara 'suka-suka' di perkarangan rumah, di Kampung Sentol Patah di sini, kini Warung Cendol 1957 mula menjadi tarikan ribuan peminat sehingga mampu meraih jualan RM1,000 sehari pada musim tertentu. Ia menjadi tarikan orang ramai selepas makanan itu divariasikan dengan pelbagai rasa, cendol durian, cendol aiskrim dan cendol nangka. Pemilik warung itu, Mohd Khairul Nizam Roslam, 35, berkata dia mula mengusahakan perniagaan cendol yang diwarisi dari keluarganya sejak 28 tahun lalu pada Ogos lalu. "Cendol 1957 diberi nama bersempena lot tanah rumahnya dan digabungkan dengan cendol dan secara kebetulan sama dengan tahun kita mencapai kemerdekaan," katanya. Beliau berkata ketika ditemubual Wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini. Menurutnya lagi, walaupun berniaga secara santai di rumah, sambutan daripada pelanggan sangat menggalakkan lebih-lebih lagi ketika musim durian. "Ketika musim durian, kita pernah meraih pendapatan lebih daripada RM1,000 sehari, dan pada cuti umum pula, kita juga menerima kunjungan dari penduduk luar negeri seperti Selangor, Perlis dan Pahang. "Idea untuk membuka perniagaan cendol di rumah, adalah suasana lebih selesa dan santai, susun atur yang lebih mudah, serta yang paling penting dapat menjimatkan kos menyewa. "Pekerja pula terdiri daripada ahli keluarga, dibantu oleh adik beradik manakala waktu operasi dibuka pada setiap hari kecuali jumaat bermula jam 12.00 tengah hari sehingga 6.00 petang," tambahnya lagi. Orang ramai yang ingin mencuba boleh mencari lokasi kedai menggunakan aplikasi 'Maps' atau mengunjungi laman rasmi 'Facebook Cendol 1957'.
29 Dec 20
2282
Skuad Amar Lancar Operasi Cegahan Maksiat Malam Tahun Baru
Skuad Amar Lancar Operasi Cegahan Maksiat Malam Tahun Baru
MARANG, 29 Disember -Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad Amar)  memberi amaran sekeras- sekerasnya agar menghentikan segera aktiviti  tidak bermoral, terutama ketika menjelang tahun baru tidak lama lagi. Operasi akan diadakan secara besar-besaran di lokasi-lokasi tertentu bagi mengelakkan hal-hal yang tidak diingini berlaku lebih-lebih lagi melibatkan generasi muda. Ketua Skuad Amar Marang, Nasaruddin Samsudeng berkata, sebaran meluas secara maya telah dibuat sebagai amaran bagi membendung dan menyahut ke arah seruan sifat maksiat di Terengganu. Katanya, operasi kali ini lebih kepada pencegahan awal, oleh sebab itu, hebahan berkaitan operasi telah dibuat awal melalui media massa, poster dan menggantung 'banner'. "Skuad Amar akan melakukan dua sesi, iaitu sesi pertama adalah membuat tinjauan di kawasan tumpuan seperti pusat peranginan, pantai, bermula lewat petang manakala sesi kedua pula akan melibatkan serbuan di hotel, chalet dan rumah tumpangan pada lewat malam, "katanya. Menurutnya ketika ditemubual wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman, beberapa keping banner juga akan mula digantung pada keesokan hari di beberapa lokasi tertentu di sekitar daerah ini. "Skuad Amar juga mendapat sokongan dan kerjasama yang baik daripada bahagian Penguatkuasaan Syariah daripada Pejabat Agama Daerah Marang. "Kita mengharapkan masyarakat bersama-sama dengan kita dalam mendidik generasi muda atau remaja terutamanya anak-anak kita, agar menjaga batas pergaulan dan tatacara berhibur mengikut ajaran dan syarikat islam. "Menjelang tahun baru, satu operasi akan diadakan secara besar-besaran di lokasi-lokasi tertentu bagi mengelakkan hal-hal yang tidak diingini berlaku lebih-lebih lagi melibatkan generasi muda,"katanya.  
29 Dec 20
2265
Klinik Al-Fatihah, Tahsin Azan Bakal Lahir Imam Muda
Klinik Al-Fatihah, Tahsin Azan Bakal Lahir Imam Muda
MARANG, 29 Disember - Klinik Al-Fatihah dan Tahsin Azan bakal melahirkan golongan pelapis kepada imam dan bilal di kalangan generasi muda. Pegawai Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu, Mohd Fakhruddin Zakaria berkata 'Program Minggu Bersama Daie', ini telah diadakan bagi memperelokkan bacaan al-fatihah dan azan. "Harapan besar bagi penganjur adalah melatih masyarakat tempatan supaya lebih yakin untuk menjadi iman dan bilal di kampung masing-masing. Katanya, idea bagi menganjurkan program seperti ini sesuai dengan keperluan generasi baharu yang perlu diangkat untuk mengalas tanggungjawab iman dan bilal. "Sekiranya mendapat sambutan dan program ini berjaya, kita akan melakukannya secara berkala dan berperingkat di setiap kampung masing-masing. Beliau berkata ketika ditemubual oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman hari ini. Menurutnya lagi, di samping melahirkan keyakinan sebagai imam dan bilal, adalah menjadi satu tuntutan dalam agama memperbetulkan bacaan dalam solat. "Lebih-lebih lagi, bila memimpin masyarakat sebagai imam solat atau melaungkan azan untuk menyeru umat islam untuk melaksanakan solat," tambahnya. Program anjuran DUAT Dun Rhu Rendang bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) ini diadakan selama lima hari di surau Medan Rhu, Rhu Renggeh bermula 27 sehingga 31 Disember.  
29 Dec 20
685
Pelajar Pondok Ibtada’i Bakal Jadi Perintis Program Kemahiran
Pelajar Pondok Ibtada’i Bakal Jadi Perintis Program Kemahiran
HULU TERENGGANU, 29 Disember – Seramai 30 pelajar Pondok Ibtada’i, Ajil menjadi perintis kepada pelaksanaan program kemahiran dengan kerjasama Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC) Hulu Terengganu dalam bidang pertukangan dan perkayuan apabila menerima sijil tamat latihan semalam. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah Pendidikan Dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Maliaman Kassim, berkata menerusi program kemahiran seperti ini, peluang pelajar tahfiz untuk berdikari dalam kehidupan selepas tamat pengajian akan lebih luas.   Katanya, ini merupakan inisiatif pertama dalam negara khususnya yang memberi fokus kepada pelajar pondok dan ia adalah satu cara kerajaan negeri untuk memperkasakan mereka dan akan dilebar luas serta dilakukan secara berperingkat. Justeru itu, pelajar tahfiz perlu bijak mengambil peluang dengan belajar ilmu tambahan selain bidang utama untuk meningkatkan lagi kebolehpasaran mereka. “Sebelum ini kebiasaan yang kita tahu pelajar pondok ini hanya tahu menadah kitab, tetapi sekarang ini terbukti pelajar aliran Agama juga sudah setanding dengan pelajar pelajar yang belajar di institusi kemahiran yang ada di negara ini. Pelajar ini bukan sahaja dibekalkan dengan ilmu agama dan akademik, sebaliknya dilengkapi dengan pengetahuan asas kemahiran.    “Pelajar yang mempunyai kemahiran peluang untuk berjaya dalam hidup bukan hanya tamat di institusi pondok dan tahfiz, sebaliknya mereka yang mendalami ilmu agama ini juga mampu memperoleh pendapatan tinggi melalui kemahiran dimiliki.  “Mereka yang mempunyai kemahiran dalam sesuatu bidang ditambah dengan daya kreativiti mampu memperoleh pendapatan yang lebih besar jika diusahakan bersungguh-sungguh,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui  wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Penutup Dan Penyampaian Sijil Tamat Latihan Program Pemantapan Kemahiran Pelajar Pondok Negeri Terengganu ( Pondok Ibtida'i, di Terengganu Timber Industry, semalam. Sementara itu, Muhammad Shahrul Ashraf Mohd Ropi,13, berkata, dia teruja menyertai kursus berkenaan, berikutan (TTITC)  memberi asas kemahiran sekali gus memenuhi minatnya dalam bidang pertukangan kayu. “Ia memberi satu lagi nilai tambah pada saya kerana selain mampu menghafal Al-Quran, saya juga belajar kemahiran lain sebelum memasuki alam pekerjaan. Keluarga juga beri sokongan untuk ikuti program ini,” kata anak kelahiran Chador, Kemaman itu. Bagi Mohd Lukman Mohamad, 34, pula berkata, menerusi program itu beliau mempunyai peluang atau akses mudah untuk menceburi bidang pembuatan Pergola dan Landskap Taman.  “Alhamdulillah. Terima kasih kepada kerajaan negeri dalam melaksanakan program kemahiran kepada pelajar institusi pondok dan tahfiz dengan semua kos ditanggung kerajaan," katanya.  
29 Dec 20
1006
Hishamuddin Dedah Punca Letak Jawatan Dalam PBSNT
Hishamuddin Dedah Punca Letak Jawatan Dalam PBSNT
KUALA TERENGGANU, 28 Disember – Hishamuddin Abdul Karim hari ini mendedahkan punca utama beliau melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkuatkuasa 1 Januari depan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh itu berkata, beliau meletak jawatan bukan kerana pertelingkahan atau persengketaan dengan mana-mana pihak. “Walaupun telah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden PBSNT, saya tetap menjadi keluarga PBSNT dan Terengganu Football Club (TFC). “Hubungan sesama keluarga pasukan ini tetap utuh dan kukuh. Saya bimbang muncul pelbagai spekulasi yang bukan-bukan. Tangan ghaiblah, apalah. Sebenarnya ia pilihan saya sendiri untuk menumpukan kerja yang lain dan lebih utama. “Selepas menyampaikan pemakluman notis perletakkan jawatan, saya masih lagi akrab dengan pasukan. Rakan-rakan peminat bola sepak usah bimbang. Malah saya berjanji dengan Ketua Jurulatih TFC, Nafuzi Zain dan Pengurus TFC, Joe Rozi untuk kekal berdiskusi tentang pasukan jika diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya. Peletakan jawatan yang diumum semalam itu mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat bola sepak dan tidak kurang juga ramai penyokong tidak bersetuju serta sedih dengan pengunduran Hishamuddin yang telah banyak membawa perubahan dalam PBSNT sejak 2018. Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Hishamuddin memberitahu, beliau juga sempat bertemu dengan dua pemain import baharu TFC semalam. “Kehadiran Petrus Shitembi dan Carli de Murga petang kelmarin, sempat juga saya santuni bersama. Sempatlah tengok Petrus aksikan tarian untuk rakaman video,” jelasnya. Katanya, ketika Sanjar Shakmedov masih bersama TFC, Petrus Shitembi menjadi antara pemain yang disyorkan Sanjar.  “Malah Sanjar pernah menyebut kepada ketua jurulatih, sama ada dia kekal dalam pasukan atau tidak, TFC perlu dapatkan Petrus Shitembi. Sangat berkebetulan pandangan Sanjar dengan pemerhatian Nafuzi Zain sendiri, akhirnya Petrus Shitembi berjaya diikat TFC. “Ketua Jurulatih turut menghidu prestasi bekas pertahanan skuad kebangsaan Filipina berkelahiran Sepanyol, Carli de Murga. Sebelum ini sebagai pemain kelab Chonburi FC. Usaha memperkukuhkan pertahanan antara yang disusun oleh Ketua Jurulatih untuk musim depan.  “Kedua-dua pemain import baru ini akan berada di tapak Padang Latihan TFC pada petang ini untuk memulakan latihan pertama bersama pasukan,” tambah beliau.
28 Dec 20
12359
Tiga Pengunjung Positif COVID-19 Dikesan Di Pasar Payang
Tiga Pengunjung Positif COVID-19 Dikesan Di Pasar Payang
KUALA TERENGGANU, 28 Disember – Terdapat pertambahan kes positif COVID-19 melibatkan tiga orang pengunjung yang berkunjung ke Pasar Besar Kedai Payang, sejak minggu lalu. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, namun hasil tindakan pantas Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, keputusan saringan peniaga adalah negatif. “Walau bagaimanapun, kes pengunjung yang didapati positif COVID-19 itu menunjukkan kita sentiasa terdedah dengan risiko jangkitan lebih lebih lagi dengan bilangan pengunjung yang ramai yang pengamalan penjarakan fizikal susah dilaksanakan. “Oleh itu, saya ingin menyampaikan pesanan agar semua terus mengambil perhatian aspek keselamatan dan Prosedur Operasi Standard (SOP). “Para pengunjung perlu mendaftar MySejahtera, atau pada buku rekod kemasukan. Ini penting untuk tujuan contact tracing jika berlaku kes,” katanya sebagaimana dilapor Sinar Harian. Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, keputusan saringan bersasar kepada 126 peniaga di Pasar Payang mendapati tiada kes positif Koronavirus. “Risiko jangkitan amat kurang jika semua peniaga dan pengunjung sentiasa mematuhi SOP ketika berurusan jual beli. Ini penting kerana kita tidak tahu status mereka disekeliling. ”Mungkin mereka tiada gejala namun siapa tahu mereka mungkin pembawa virus bukan hanya di Pasar Payang tetapi di semua premis yang ramai pengunjung,” katanya. Untuk rekod, sehingga Ahad, Terengganu merekodkan pertambahan satu kes sembuh dan lima kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah 16 kes Covid-19 aktif sedang dirawat, menjadikan keseluruhan sebanyak 301 kes di Terengganu.
28 Dec 20
5600
Bakal Pengantin Lemas Selamat Dikebumikan
Bakal Pengantin Lemas Selamat Dikebumikan
KUALA LUMPUR, 28 Disember - Jenazah Naim Hariri Kamaruddin, 31, yang lemas di Pantai Kelulut telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Batu Muda di sini sekitar jam 8.00 pagi tadi. Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, sebaik sahaja selesai urusan pengebumian, keluarga Allahyarham telah menghubunginya dan mengucapkan terima kasih atas keperihatinan yang ditunjukkan oleh Kerajaan negeri Terengganu. "Keluarganya berbesar hati atas usaha kerajaan negeri dalam menguruskan urusan penghantaran jenazah serta proses mencari dan menyelamat mangsa. "Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar melalui Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang telah menguruskan segala urusan serta kos penghantaran jenazah, untuk memudahkan pengebumian jenazah Naim." jelasnya kepada UPDI hari ini. Kata Nasaruddin, beberapa pimpinan kerajaan negeri juga turut menziarahi keluarga mangsa di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu semalam dan ketika proses mencari serta menyelamat mangsa beberapa hari lepas. Menurutnya lagi, beliau juga sempat diberi penghormatan untuk mengimamkan solat jenazah arwah oleh ayah mangsa sebelum dibawa pulang ke Kuala Lumpur. "Kita juga telah bersama-sama memberikan dorongan serta bantuan kepada keluarga mangsa bermula hari pertama sehingga hari mangsa dijumpai, serta ketika proses pengurusan jenazah dan sehingga jenazah selamat dikebumikan," tambahnya lagi. Naim dilaporkan hilang selepas ditarik ombak ketika mandi di Pantai Kelulut pada jam 6.40 petang beberapa hari lalu Mangsa datang bersama ahli keluarga ke daerah ini untuk melangsungkan pernikahan bersama pasangannya, Fatin Nabilah Huda Ismail, 27.
28 Dec 20
2260
Nisa’ Saranghae Perkasa Agenda Kebajikan
Nisa’ Saranghae Perkasa Agenda Kebajikan
Foto: 3N Nisa' KUALA TERENGGANU, 28 Disember – Program Nisa’ Saranghae menjadi salah satu cara bagi pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) melengkapi fungsi kerajaan negeri dalam hal ehwal kebajikan masyarakat. Menurut Pengarahnya, Wan Nur Sakinah Din, program tersebut dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Wanita Nur Insani (Nisa’) negeri Terengganu yang bertujuan untuk membantu meringankan beban rakyat yang terkesan pasca-pandemik Covid-19 yang melanda dunia. Katanya, ia menjadi tanggungjawab bagi pihak NGO untuk turut sama-sama membantu masyarakat, tanpa mengharapkan kerajaan negeri semata-mata dan Nisa’ berperanan dalam membantu insan yang kurang bernasib baik dengan mengajak orang ramai untuk bersama-sama menghulurkan sumbangan dalam kerja amal tersebut. Pengarah Nisa' Terengganu menyampaikan sumbangan. “Kenapa kita pilih tajuk ‘saranghae’? Ianya sebagai simbolik masih ramai lagi masyarakat diluar sana yang sayang dan prihatin, mereka sebenarnya sedia membantu rakyat yang memerlukan dalam menghadapi musibah dan ini juga sebenarnya tanda Allah sayangkan kita semua. “Setakat ini, kita sudah bantu dua keluarga iaitu yang pertama keluarga Adik Balqis yang merupakan pelajar harapan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diuji dengan ayahnya yang baharu dipotong kaki akibat diabetes dan menyebabkan ibunya terpaksa bekerja untuk menampung perbelanjaan keluarga mereka. “Walaupun dalam keadaan kekurangan, satu telefon bergilir-gilir dengan adik-beradik, mereka masih bersemangat untuk mengikuti kelas secara atas talian. Jadi, kami sumbangkan sebuah komputer beserta mesin pencetak,” ujarnya. Penerima pertama Program Nisa' Saranghae. Sakinah berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), kelmarin. Tambahnya, Nisa’ menyasarkan semua daerah dapat menjalankan program tersebut dengan tapisan hasil kolaborasi bersama dengan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) setempat bagi mengelakkan berlaku pertindihan bantuan daripada agensi atau pihak lain. “Penerima kedua ialah seorang ibu tunggal, Puan Adawiyah yang menyara keluarganya dengan menjalankan perniagaan pastri secara kecil-kecilan dan sebenarnya bermacam-macam pekerjaan lain yang dilakukannya. “Kami beri bantuan ketuhar serta beberapa peralatan lain yang insya-Allah, mudah-mudahan membantunya untuk terus berusaha mengembangkan perniagaan,” ujar beliau lagi. Penerima kedua. Justeru itu, Sakinah turut mendoakan mereka yang ditimpa musibah ini dapat dibantu serta dibangunkan kembali jiwa serta semangat mereka untuk tidak berputus asa dengan rahmat Allah SWT. Dalam masa yang sama, beliau  turut menyeru masyarakat untuk turut sama-sama menyumbang, demi keuntungan saham akhirat dan orang ramai yang berminat untuk menghulurkan sumbangan, bolehlah mendapatkan maklumat di halaman Facebook rasmi Nisa’ Terengganu.
28 Dec 20
325
MPKK Nadi Kerajaan Dalam Komuniti
MPKK Nadi Kerajaan Dalam Komuniti
KUALA TERENGGANU, 27 Disember - Majlis Pengurusan Komuniti Kampung atau singkatannya MPKK merupakan nadi bagi melancarkan gerak kerja kerajaan di peringkat masyarakat kampung. Tanpa kerjasama mereka, tentunya agenda kerajaan terutama berkaitan kebajikan akan tergendala dan lumpuh. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, MPKK ibarat tangan kepada kerajaan.  "Banyak hal-hal berkait dengan komuniti, melalui merekalah diselesaikan. Tanpa komitmen MPKK, kerajaan negeri bagai kepatahan tangan. Ahmad Shah ketika memberi ucapan dalam Majlis Keraian di Paya Bunga Hotel. "Tiada ungkapan selayaknya yang boleh saya berikan kepada MPKK selain dari ucapan terima kasih dan mendoakan agar Allah SWT melimpahi seribu kerahmatan buat para MPKK," katanya. Beliau berkata demikian dalam majlis keraian Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Bandar bersama seluruh jawatankuasa MPKK Dun Bandar 2020 di Hotel Paya Bunga, semalam. Tambah beliau lagi, terlalu besar pengorbanan pihak MPKK. Mereka perlu berhadap dengan pelbagai karenah masyarakat. Kadang-kadang dipuji, namun seringkali dikeji.  Ahmad Shah yang juga Timbalan Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan, dan Alam Sekitar itu turut mengharapkan agar anggota-anggota MPKK yang dilantik dapat membaiki kelemahan dan eratkan lagi kerjasama dalam usaha Terengganu mencapai hasrat pemerintahan maju, berkat, dan sejahtera. Syed Husin (Pengerusi MPKK Tok Kaya) meneri hadiah cabutan bertuah daripada YB Ahmad Shah. "Kita mahukan keberkatan dalam kemajuan. Dari keberkatan, akan terhasilnya ketenangan yang akan melahirkan kesejahteraan dalam komuniti," katanya. Turut diraikan dalam majlis tersebut ialah YM Engku Mohd Firdaus Engku Alam, Mantan Penolong Pegawai Daerah Kuala Terengganu dan Encik Mohd Zamari Abu Zih, Mantan Penghulu Mukim Chabang Tiga dan Pulau-Pulau.
27 Dec 20
356
PKM Rhu Rendang Tanggung Pengurusan Jenazah Mangsa Lemas
PKM Rhu Rendang Tanggung Pengurusan Jenazah Mangsa Lemas
MARANG, 27 Disember - Pusat Khidmat Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang akan menanggung kos pengurusan dan penghantaran pulang jenazah mangsa lemas, Naim Hariri  Kamaruddin, 31 seperti dipersetujui oleh keluarga arwah. Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya telah berbincang dan berurusan dengan keluarga mangsa untuk membantu serta memudahkan urusan pengembumian jenazah. "'Van jenazah telah disediakan dan kita hanya menunggu keputusan daripada hospital melibatkan prosedur kematian, ketika musim Covid-19," katanya kepada UPDI hari ini. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, mayat bakal pengantin yang lemas pada Jumaat lalu dijumpai terdampar di pesisir pantai pada jam 8.55 pagi ini. "Mayat mangsa, Naim Hariri Kamaruddin, 31, dijumpai oleh saya sendiri bersama-sama empat orang lagi anggota penyelamat ketika melakukan rondaan awal pagi ini," jelasnya. Menurutnya lagi, keluarga mangsa telah membuat pengecaman berdasarkan beberapa identiti dan mengesahkan mayat yang masih berada dalam keadaan sempurna itu adalah Naim. "Mayat mangsa akan dibawa terus ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk siasatan seterusnya," tambah beliau. Kira-kira jam 6.40 petang, jumaat lalu, mangsa dikatakan ditarik ombak ketika mandi seorang diri. Operasi mencari dan penyelamat yang berlangsung selama tiga hari dianggotai oleh lebih 60 orang petugas itu ditamatkan pada jam 11.00 pagi ini.    
27 Dec 20
800