Artikel "Semasa" Terkini
Senarai Pengimport Daging Halal Dikeluarkan Dalam Masa Terdekat
KUALA NERUS, 31 Disember – Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengumumkan senarai pengimport daging halal di negara ini dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara itu sedang diteliti di peringkat kementerian dengan melibatkan pemain-pemain industri daging import.
“Senarai pengimport akan dikeluarkan dalam masa terdekat, tidak sampai sebulan dan mungkin seminggu, insya-Allah.
“Perbincangan tersebut dijangka pada awal bulan satu ini melalui kenyataan tarikh oleh Jakim.
"Rundingan demi rundingan seperti ini diharapkan akan selesaikan masalah ini sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Program Dana Inspirasi Malaysiaku (Inspirasiku) di Dewan Al Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Gong Badak semalam.
Menurut Dr Zulkifli Mohamad, pihaknya sedang dalam proses merancang pelan prosedur dan mengemaskini proses penilaian bahan mentah tersebut.
Jelasnya, kolaborasi erat dan berterusan antara pelbagai pihak dari kementerian yang berkait seperti Jabatan Veterinar juga dijalankan.
“Selain itu, pihak kami akan bertemu dengan pemain-pemain daging beku import untuk penyelarasan dan penerangan bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan," tambah beliau.
31 Dec 20
355
Polis Marin Rampas Rokok Seludup Bernilai RM2.4 Juta
KUALA TERENGGANU, 31 Disember – Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga melalui Ops Benteng COVID-19 telah berjaya merampas sebanyak 19,000 karton rokok bernilai hampir RM 2.4 juta dalam sebuah lori di Kampung Tepoh, Batu Rakit hari ini.
Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Superintendan Mohd Razlan Abdul Manaf berkata, lori lapan tan tersebut pada awalnya ditahan kerana disyaki mengangkut karton rokok yang belum diluluskan pihak kastam.
“Sembilan pegawai PPM telah menjalankan rondaan dengan kenderaan pasukan di kawasan Kampung Gemuroh, Kuala Nerus, dan mengekori sebuah lori yang disasarkan, pada jam lebih kurang 8.15 pagi ini.
“Pasukan telah memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan mengarahkan pemandu lori tersebut supaya memberhentikan kenderaanya tetapi suspek tersebut telah bertindak memecut laju tanpa mengendahkan arahan pihak polis.
“Pemandu tersebut diberkas setelah dikejar peronda kira-kira setengah jam kemudian selepas dia bertindak keluar melarikan diri daripada kenderaan," katanya dalam sidang media hari ini
Tambah Mohd Razlan, hasil pemeriksaan ke atas muatan lori tersebut telah menemui 340 kotak dipercayai mengandungi 50 karton rokok dalam setiap kotak.
“Pihak kami mengesyaki bahawa rokok berjenama ‘John’ ini adalah untuk pasaran Kuala Terengganu dan Dungun mengikut modus operandi sebelumnya.
“Kes ini merupakan kes pertama di Terengganu pada tahun 2020 hasil daripada Ops Benteng COVID-19, ini adalah rampasan terbesar dalam negeri buat tahun ini,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Mohd Razlan berkata, kes tersebut akan diserahkan kepada pegawai penyiasat jenayah Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu bagi tindakan lanjut.
“Pemandu lori warga tempatan berusia 30-an telah direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut. Kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
31 Dec 20
2259
YaPEIM Bantu Pelajar B40 UniSZA, UMT Lunas Yuran
KUALA NERUS, 30 Disember – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menyalurkan bantuan berjumlah RM636,500 bagi membantu pelajar B40 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) membayar yuran pengajian mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Program Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) itu memberi manfaat kepada 593 orang pelajar UniSZA dan 680 pelajar UMT.
"Sejumlah RM296,500 disampaikan kepada UniSZA dan RM340,000 disampaikan kepada UMT khusus bagi membantu menyelesaikan pembayaran yuran mahasiswa dan mahasiswi daripada keluarga kurang berkemampuan di Universiti Awam (UA).
"Jutaan terima kasih kepada YaPEIM kerana menjalankan program ini yang bermula sejak 2016, selaku satu agensi di bawah seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
“Semoga kerjasama bersama IPT dieratkan lagi bagi mengenalpasti dan membantu mereka yang memerlukan dari semasa ke semasa.
“Kami tidak melupakan siswa dan siswi yang sedang menghadapi masalah yuran pembelajaran dan sentiasa mengambil cakna dan prihatin khususnya ketika era pandemic COVID-19," jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa majlis penyerahan sumbangan program dana Inspirasi Malaysiaku (Inspirasiku) di Dewan Al Muktafi Billah Shah, UniSZA Gong Badak semalam.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Dato’ Mohd Redza Shah Abdul Wahid dan Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi hasrat itu di masa hadapan, YaPEIM menyasarkan kutipan dana sehingga RM40 juta bagi membantu 40,000 pelajar miskin.
"Iaitu dengan kadar bantuan sehingga RM500 bagi pelajar sekolah dan RM1,000 bagi seorang pelajar IPT,” katanya.
Sementara itu, dalam program berkenaan, Dr Zulkifli turut merasmikan pelancaran buku 'Ulul Albab : Menyingkap Keajaiban Islam' di Studio Al-Quran, Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT.
Naib Canselor UMT, Profesor Dato' Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, buku tersebut mengetengahkan hasil kajian saintifik melalui sembilan artikel berkaitan keajaiban islam yang dilaksanakan oleh 23 orang penyelidik Universiti di seluruh Malaysia.
“Pelbagai penemuan telah dapat membuka minda para pembaca khususnya dalam bidang teknologi pemakanan, kesihatan, genetik dan penternakan binatang,” katanya.
31 Dec 20
541
Rombakan Jakim : 'Masih Terlalu Awal' - Menteri
HULU TERENGGANU, 31 Disember - Kerajaan pusat belum memutuskan sebarang tindakan mengenai gesaan untuk merombak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) secara besar-besaran berikutan isu kartel daging yang berlaku baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamed Al-Bakri berkata, pihaknya perlu meneliti isu tersebut dengan lebih luas daripada pelbagai aspek.
“Pada pandangan kami, terlalu awal untuk membuat keputusan berkenaan gesaan rombakan Jakim, saya lebih suka menambah kualiti dan kebaikan jabatan ini.
“Membina sesuatu lagi susah dari membaikinya namun kadang-kadang ada juga membaiki lebih susah dari membina, tapi perkara sebegini yang dipegang.
“Saya sudah beberapa kali bertemu dengan pihak halal Jakim dan respons yang diberi cukup baik. Kita sarankan supaya isu amanah, integriti, kejujuran dan kerja secara berpasukan dengan penuh profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semalam.
Tambah Dr Zulkifli, Jakim turut memberi jaminan untuk mengemaskini prosedur operasi standard (SOP) pengimportan daging sejuk beku.
“Jakim tetap akan laksanakan tugasan-tugasan membaiki garis panduan terutamanya dalam urusan pengimportan dan tindakan drastik akan diambil dengan kadar segera,” katanya lagi.
30 Dec 20
348
200 Orang Asli Sungai Berua Terima Bantuan
HULU TERENGGANU, 30 Disember – Seramai lebih 200 orang asli di Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Berua menerima bantuan yang disampaikan Menteri Hal Ehwal Agama dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), petang tadi.
Menterinya, Datuk Dr Zulkifli Mohamed Al-Bakri berkata, program kali ketiga itu bertujuan menyantuni masyarakat dan anak orang asli yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Alhamdullilah kelihatan jelas keseronokan dan kegembiraan yang ada pada muka anak-anak orang asli ini dan diharapkan kita dapat melangsungkan program begini dari semasa ke semasa.
“Pihak kementerian bersama agensi lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memberi tumpuan kepada golongan B40 dan M40 dengan mengadakan hampir 30 jenis skim-skim bantuan.
“Skim tersebut terdiri daripada bantuan makanan, persekolahan dan sebagainya kepada pelbagai golongan masyarakat seperti asnaf dan bukan islam,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program ‘Cuci-cuci Masjid’ dan Musa'adah COVID-19 di Kampung Sungai Berua, Kuala Berang.
Hadir sama, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Rosol Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh, Pengarah Bahagian Dakwah Jakim, Hashim Salleh serta Pegawai Agama Daerah Hulu Terengganu, Yang Mulia Engku Omar Amiruddin Engku Ali .
Sementara itu, Tuan Kamarul Arief menyifatkan usaha yang dicetuskan Menteri sendiri itu menunjukkan keprihatinan dan kecaknaan beliau terhadap pelbagai lapisan masyarakat termasuk orang asli.
“Sumbangan bantuan terdiri daripada barang keperluan asas, pakaian dan wang tunai kepada warga dewasa dan kanak-kanak.
“Manakala sukarelawan YADIM yang terlibat mencuci masjid adalah 20 orang dari Bukit Payung.
“Buat masa sekarang sukarelawan seluruh negara seramai 7,000 orang, matlamat kami adalah untuk mencapai 10,000 orang bagi mempergiatkan usaha dakwah dan kebajikan di seluruh negeri dan negara,” tambahnya.
30 Dec 20
1112
Tunjuk Kepimpinan Cara Orang Muda - Zuraida
KUALA TERENGGANU, 30 Disember – Golongan pemuda yang dilantik menjawat posisi penting dalam pentadbiran negara, mesti menggunakan peluang tersebut bagi menunjukkan cara memimpin dari perspektif seorang pemuda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata pelantikan tersebut merupakan peluang keemasan yang wajar dimanfaatkan oleh mereka bagi menunjukkan bagaimana seorang pemuda mentadbir dan berfikir.
Pada masa yang sama, beliau turut melahirkan kegembiraan apabila golongan muda begitu diraikan, diberi pengiktirafan serta peluang untuk menerajui tampuk penting dalam pentadbiran negara walaupun dalam usia yang masih muda.
“Bukanlah kami meminta jawatan, jauh sekali ingin menyaingi golongan yang lama, kami tetap hormat dan sanjung cumanya sinergi antara kaum muda dan kaum yang lebih berpengalaman, pastinya akan memberi lebih kelicinan pada gerak kerja seperti pepatah arab, semangat para pemuda dan kebijaksanaan orang lama.
“Kelebihan orang muda adalah dari segi semangat dan tenaganya manakala orang lama miliki pengalaman dan ilmu yang banyak, kalau kita seiringan, mengatur gerak langkah secara harmoni, insya-Allah banyak perkara yang akan diselesaikan bersama,” ujarnya.
Zuraida yang juga merupakan Ketua Pengarah Ameerah Malaysia berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), kelmarin.
Terdahulu, beliau mengucapkan tahniah kepada Senator Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin atas pelantikan selaku Ahli Dewan Negara, yang telah mengangkat sumpah pada 28 Disember 2020 yang lalu.
Untuk rekod, Khairil merupakan Ketua Dewan Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (DPPM) dan merangkap Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN).
30 Dec 20
271
DUAT Turun Padang Santuni Masyarakat
SETIU, 30 Disember - Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) turun padang menyantuni masyarakat dengan mengedarkan risalah berbentuk nasihat di Pasar Tani Bandar Permaisuri di sini hari ini.
Penolong Pegawai Seranta DUAT Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Mohd Zulkifle Abd Halim berkata, program edaran risalah itu adalah sebahagian tugasan pihaknya menyampaikan dakwah kepada masyarakat.
"Risalah yang berbentuk nasihat seperti penyalahgunaan dadah, penjagaan aurat, hidup berjiran dan menjauhi maksiat ini adalah dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri yang mana menjadi 'tuan rumah'," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman.
Katanya lagi, edaran risalah yang dijalankan itu menjadi salah satu jalan dalam mendidik masyarakat supaya sentiasa mengamalkan cara hidup berlandaskan hukum Islam.
"Rata-rata pengunjung yang ditemui menyambut baik dengan menerima risalah dan mengucapkan terima kasih," tambah beliau.
30 Dec 20
872
Tuisyen Rakyat, Nilai Tambah Kepada Projek Pendidikan
MARANG, 30 Disember - Program Tuisyen Rakyat menjadi satu nilai tambah kepada projek pendidikan walaupun dijalankan di saat akhir sebelum peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Februari depan.
Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Marang Sektor Pengurusan Sekolah, Mat Alhuda Hanafi berkata, program yang berteraskan peperiksaan awam yang utama seperti ini diharap dapat memberikan anjakan kepada pelajar yang bakal berdepan peperiksaan nanti.
"Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana sudi berkerjasama dengan kita, sama-sama membangunkan pendidikan di daerah Marang, demi melonjakkan pencapaian pendidikan anak-anak bangsa kita khususnya.
Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Marang, Sektor Pengurusan Sekolah, Mat Al Huda Hanafi
"Kita juga sentiasa menadah tangan jika ada pihak-pihak yang sudi menghulurkan bantuan seperti ini, di mana dapat memberikan kesan yang sangat baik dan mendalam,"katanya.
Menurutnya lagi, semasa Peperiksaan Percubaan SPM, Marang mendapat satu keputusan yang baik dengan lonjakan peningkatan semua subjek, bahkan Gred Purata daerah juga turut meningkat.
Beliau berkata ketika hadir merasmikan Program Tuisyen Rakyat Terengganu 2021 Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang hari ini.
Turut hadir adalah Pengarah Majlis Tindakan DUN Rhu Rendang, Hasan Awang.
Katanya, apa yang dibimbangkan, keadaan pelajar yang berada lama di rumah disebabkan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan momentum dan semangat menempuhi peperiksaan sudah menurun.
"Namun apabila berlaku perubahan dan lanjutan tempoh peperiksaan, kita harapkan kelas tuisyen yang diadakan dapat memulihkan kembali semangat pelajar-pelajar ini.
"Saya juga percaya, semua guru juga berusaha untuk melakukan kaedah yang terbaik untuk pelajar-pelajar demi prestasi dan masa depan termasuk kerajaan negeri," tambahnya lagi.
30 Dec 20
630
MPKK, Masjid Agih Pek Makanan
SETIU, 30 Disember - Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Putera Jaya dan Pak Kancil serta Masjid Putera Jaya bekerjasama mengagihkan pek makanan kepada penduduk setempat yang kurang berkemampuan.
Pengerusi MPKK Pak Kancil, Ramli Halam berkata, bantuan itu adalah sumbangan daripada Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undagan Negeri (DUN) Permaisuri, badan korporat, individu dan orang ramai.
"Bantuan berupa barangan keperluan dapur ini diharap mampu meringkan sedikit beban yang ditanggung golongan B40," katanya dalam majlis agihan tersebut semalam.
Hadir sama Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A Rahman.
Seramai 142 penerima pek makanan itu terdiri pelbagai lapisan umur.
Rata-rata penerima kelihatan gembira dan mengucapkan syukur serta terima kasih atas sumbangan yang disampaikan.
30 Dec 20
606
Hujan Lebat Dijangka Kembali Landa Terengganu Esok
KUALA TERENGGANU, 30 Disember - Hujan lebat diramal kembali berlaku di beberapa kawasan di Terengganu mulai esok sehingga 2 Januari ini.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), amaran cuaca peringkat waspada itu dijangka akan membadai daerah Marang, Dungun dan Kemaman.
Manakala hujan lebat Kawasan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu pula diramal berlaku pada 1 hingga 2 Januari.
Amaran berkenaan turut membabitkan negeri Kelantan dan pedalaman Sabah termasuk Pantai Barat dan Kudat (Kota Marudu).
30 Dec 20
10962